Tuesday, September 26, 2006

KUAN YEW PERLU
PERBETULKAN KENYATAANNYA
Rencana Pengarang Utusan Malaysia

PADA 16 September lalu, ketika berucap sebagai penceramah utama pada Forum Raffles sempena mesyuarat Bank Dunia-Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Lee Kuan Yew yang digelar bapa Singapura moden telah ‘mengguris’ perasaan jirannya, terutama Malaysia.

Di hadapan 250 peserta antarabangsa, Menteri Mentor yang merupakan Perdana Menteri Singapura dari 1959 hingga 1990 itu, memperkecilkan Malaysia dan Indonesia dengan menuduh kedua-dua negara itu meminggirkan kaum Cina secara sistematik.

Sebagai negara serantau yang saling bergantung sama ada dari segi ekonomi mahupun sosial, Singapura nampaknya masih menyimpan persepsi negatif terhadap jiran-jirannya. Malah dakwaan Kuan Yew itu amat serius kerana ia boleh menimbulkan pelbagai implikasi negatif termasuk menjejaskan keharmonian kaum di Malaysia.

Sebagai pemimpin kanan, bekas Perdana Menteri Singapura itu sepatutnya lebih memahami usaha jiran-jirannya terutama Malaysia dalam memastikan kekayaan negara diagihkan secara sama rata di antara kaum.

Kuan Yew tentu tahu, di sebalik segala dasar kerajaan Malaysia dalam membela nasib golongan bumiputera, kaum lain tidak pernah dipinggirkan.

Malah sejak negara mencapai kemerdekaan hingga kini, ekonomi Malaysia kekal dikuasai kaum Cina.Begitu juga dengan pentadbiran negara. Kerajaan Malaysia lebih suka berpegang kepada konsep perkongsian kuasa dengan setiap kaum mempunyai wakil dalam kerajaan tanpa ada yang terpinggir.

Malah sejak dari awal lagi parti pemerintah terdiri daripada gabungan parti-parti yang mewakili semua kaum yang terdapat di negara ini termasuk masyarakat Cina yang dikatakan oleh Kuan Yew telah dipinggirkan secara sistematik.

Ia membuktikan bahawa dakwaan Kuan Yew itu memang tidak berasas. Malah Kuan Yew sepatutnya sedar bahawa jika kaum Cina dipinggirkan, dia sendiri tentunya tidak berpeluang untuk menjadi pemimpin Singapura ketika negara itu masih di bawah Malaysia.

Sebagai pemimpin paling kanan di republik itu, Kuan Yew sepatut lebih memahami adat berjiran dan tahu menghormati perasaan negara jiran tanpa mengeluarkan kenyataan yang tidak berasas seperti itu.Beliau sepatutnya lebih berhati-hati dalam menjaga hubungan baik dengan Malaysia.

Seperti kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, ia merupakan satu kenyataan yang boleh menghasut kaum Cina di negara ini.

Jika itu berlaku maka ia tidak akan memberi apa-apa keuntungan kepada Singapura. Sebagai jiran, kenyataan Kuan Yew itu juga bukanlah sesuatu yang diinginkan dan ia tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang pemimpin kanan sepertinya.Membangkitkan isu sensitif seperti itu tidak memberikan apa-apa faedah kepada Singapura mahupun Malaysia.

Seperti kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak: ‘‘Ia satu kenyataan yang tidak perlu dilakukan dan ia tidak dihargai langsung.’’

Oleh itu, dengan mengambil kira kepentingan dan sensitiviti negara jiran, adalah wajar jika Kuan Yew memperbetulkan kenyataannya itu.

No comments: