Wednesday, September 20, 2006

[Artikel di bawah ini saya petik daripada Majalah Backbench April 1997. Saya siarkan semula artikel tersebut pada hari ini sebagai latarbelakang yang akan membolehkan kita membicarakan implikasi kenyataan Lee Kuan Yew seperti di dalam blog ini, menerusi perspektif yang jelas. Terima kasih. – Ruhanie Ahmad]

MALAYSIA-SINGAPURA:
RENTETAN SEJARAH MENYEDIHKAN
[dipetik daripada Backbench 1997]

Singapura dan Malaysia, negara berjiran yang mempunyai hubungan diplomasi unik. Hubungan keduanya nampak tenang. Malah hubungan Malaysia - Singapura dikatakan berada dalam situasi shuttle diplomacy. Dalam ketenangan itu, adakalanya hubungan kedua negara digoyahkan oleh beberapa isu. Sejarah perjalanan hubungan kedua sahabat ini sebenarnya melalui ranjau yang sedikit sebanyak menjejaskan jalinan tersebut.

9 OGOS 1965

Singapura menarik diri daripada menyertai Malaysia setelah Lee Kuan Yew gagal mencapai beberapa persetujuan politik dengan Malaysia.

Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963 dengan penyertaan Sabah, Sarawak dan Singapura, bertujuan mencapai kesejahteraan dan keselamatan negeri-negeri tersebut. Dua tahun kemudian, Singapura disingkirkan setelah kurang kepercayaan dan sikap curiga pemimpin-pemimpin Kerajaan PAP atau PETIR terhadap kepimpinan Kerajaan Perikatan.

Konsep Malaysian Malaysia yang dicetuskan oleh Lee dalam Sidang Seri Temasik pada 8 Mei 1965, seolah-olah mempersoalkan keistimewaan Melayu yang termaktub di dalam Fasal 153 Perlembagaan Malaysia. Beliau juga telah melabelkan beberapa pemimpin UMNO sebagai pelampau. Akibatnya, Malaysia tawar hati untuk menerima Singapura.

Tunku Abdul Rahman kemudiannya mengambil keputusan untuk menyingkirkan Singapura bagi mengelakkan sebarang perbalahan kaum dan politik nanti.

SEPANJANG 1965

Singapura mendesak Kuala Lumpur mengubah kedudukan stesen KTM di pusat perniagaan utama negara itu untuk membolehkan kawasan itu dimajukan bersama (joint venture). Bagaimanapun, persetujuan gagal dicapai berikutan perbezaan kepentingan terhadap kawasan berkenaan.

Mengikut perjanjian yang ditandatangani pada tahun 1990 antara bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew, KTM perlu memindahkan stesennya di Tanjung Pagar ke Bukit 'I`imah. Namun, melalui kajian pembangunan yang dijalankan, Bukit Timah bukanlah satu kawasan yang berpotensi untuk dimajukan. Kerajaan Singapura juga enggan membina infrastruktur ke kawasan itu.

Walaupun Malaysia mempunyai hak selama 999 tahun ke atas kawasan itu, Singapura sentiasa mendesak supaya dilepaskan. Malaysia kemudiannya bercadang memindahkan stesen KTM ke Woodland. Tetapi, Singapura meminta ditukarkan dengan kawasan lain. Kawasan yang dicadangkan Singapura itu didapati tidak mempunyai nilai yang sama dengan Tanjung Pagar.

NOVEMBER 1992

Tindakan Singapura menaikkan kadar sewa sebanyak tiga kali ganda terhadap Pangkalan Tentera Laut Malaysia di Woodlands telah menyebabkan Malaysia terpaksa menutup pangkalan tersebut. Singapura sengaja berbuat demikian sebagai desakan agar Malaysia melepaskan Woodlands. Bagaimanapun, menurut Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, Malaysia mengalah dengan desakan itu untuk menjaga hubungan baik dengan negara berkenaan.

OKTOBER 1994

Isu perebutan Pulau Batu Putih (dikenali sebagai Pedra Branca oleh Singapura) antara Malaysia-Singapura semenjak 1850 dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). Kedua-dua pihak bersetuju merujuk tuntutan ke atas pulau itu ke ICJ bagi mendapatkan keputusan muktamad. Kata putus diperolehi selepas pertemuan kedua-dua datuk Seri Dr Mahathir dengan Goh Chok Tong, di Langkawi pada September 1994.

Isu Pulau Batu Putih, sebuah pulau batu karang di selatan Semenanjung mula dibangkitkan pada tahun 1989 setelah pihak berkuasa Singapura menghalang nelayan Malaysia memasuki pulau berkenaan.

OKTOBER 1994

Ketepatan Perjanjian 1927 yang menentukan garis sempadan perairan antara Malaysia dan Singapura dipertikaikan. Perjanjian tersebut hanya menggunakan garis fantasi sebagai sempadan serta konsep bahagian paling dalam Selat Johor tidak tepat dan sering menimbulkan kekeliruan.

Sehubungan itu, satu kajian laut dalam dilakukan di Selat Johor pada 1982 untuk menentukan titik koordinat bahagian paling dalam perairan itu. Kata sepakat dicapai setelah kedua-dua pihak menandatangani dokumen perjanjian terakhir berhubung tanda persempadanan di mesyuarat ketujuh Penandaan Sempadan Malaysia-Singapura pada 15 Oktober 1994. Kedua-dua negara bersetuju bahawa titik koordinat di bahagian paling dalam perairan itu menjadi asas sempadan baru yang tetap.

JANUARI 1995

Tiga buah kapal yang didaftarkan di Singapura, MV Song San, Solo dan MT Redwood, ditahan kerana masuk tanpa izin dan serta menjalankan kerja pembersihan sisa toksik di perairan Tanjung Piai, Johor. Bagaimanapun, Song San dan Solo melarikan diri ketika dalam tahanan Jabatan Laut.

Kedua-dua kapal berkenaan dikesan berlabuh di perairan Singapura. Masalah timbul apabila Singapura enggan memberikan kerjasama. Malaysia pula akan menggunakan semua mekanisme perundangan untuk mendakwa kedua-dua kapal tangki itu.

Pertikaian itu cuba diselesaikan dalam mesyuarat Jawatankuasa Bersama Malaysia-Singapura mengenai Alam Sekitar (MJSCE). Malaysia mengusulkan dua agenda utama iaitu proses penyeragaman pertukaran maklumat dan penguatkuasaan undang-undang maritim. Ini kerana wujudnya pertindihan undang-undang maritim yang mana Malaysia menganggotai Konvensyen Basel 1989 dan Singapura masih mengikut Kovensyen Pencegahan Pencemaran Marin (Marpol) 1973.

FEBRUARI 1995

Singapura menghadapi krisis penggunaan air yang meningkat. Kekurangannya akan menjejaskan masa depan negara itu dalam masa 15 hingga 20 tahun lagi.

Singapura menandatangani dua perjanjian dengan Johor untuk membawa masuk 336 juta gelen air sehari: Menjelang 2011, Singapura dijangka memerlnkan lebih 330 juta gelen air sehari.

Singapura kemudiannya mengadakan rundingan untuk membeli air daripada Pahang selepas Johor tidak dapat memenuhi permintaan pihak berkuasa negara itu untuk menambah bekalan airnya. Johor hanya akan melayani permintaan itu apabila semua warga negeri tersebut mendapat kemudahan air bersih yang mencukupi.

JANUARI 1996

Singapura mengumumkan untuk melantik duta pertamanya ke Israel tanpa mengendahkan penduduk muslim negaranya atau negara jiran. Tindakan Singapura seolah-olah sengaja menggugat usaha damai antara Israel-Palestin.

Singapura bertindak demikian setelah Kuala Lumpur membuat pengumuman membenarkan ahli-ahli perniagaan Malaysia membuat hubungan dagang dengan Israel tetapi dalam situasi limited scale.

Sebelum ini, hubungan Malaysia - Singapura pernah tegang berikutan lawatan Perdana Menteri Israel, Yitzak Rabin, ke negara itu. Tindakan itu dianggap sebagai mempersendakan umat Islam di Malaysia.

APRIL 1995

Malaysia-Singapura sekali lagi dilanda krisis berhubung sekatan Malaysia terhadap barangan petrokimianya. Malaysia membuat keputusan mengubah had import terhadap bahan polyethylene dan polypropylene kepada prosedur lesen automatik dalam satu mesyuarat dengan duta Singapura dalam Badan Penyelesaian Krisis WTO (DSB).

Singapura mendakwa had import itu mencabul perjanjian perdagangan pelbagai hala di bawah GATT - AFP.

MAC 1996

Malaysia mendakwa jet Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) menceroboh ruang udara Gelang Patah. Kementerian Pertahanan mengumpul bukti dan maklumat termasuk mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Luar Negeri berhubung dakwaan itu.

Kementerian juga akan mengkaji tahap ketinggian dibenarkan kepada pesawat RSAF berada di ruang udara Malaysia khususnya di Johor sebelum tindakan diambil. Malaysia mempunyai perjanjian dengan Singapura untuk membenarkan penggunaan ruang udara negara ini tetapi mereka perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan. Malaysia cuba bersikap berhati-hati untuk mengekalkan hubungan baik dengan negara republik itu.

JUN 1996

Pada 8 Jun 1996, Lee Kuan Yew membayangkan kemungkinan Singapura menyertai semula Malaysia. Lee meletakkan syarat supaya Malaysia menerima dasar meritokrasi seperti¬mana republik tersebut.

Idea percantuman itu menerima pelbagai respon, positif dan negatif. Percantuman semula tidak boleh dianggap sebagai satu usaha oleh mana-mana pihak untuk mewujudkan kuasa monopoli ke atas pihak yang lain. Sekiranya Singapura mahu menyertai semula Malaysia, negarainilah yang lebih berhak untuk meletakkan syarat-syarat percantuman tersebut.

12 MAC 1997

Lee Kuan Yew mengeluarkan kenyataan menghina Johor di dalam afidavitnya bertarikh 27 Januari 1997, berkaitan saman terhadap bekas calon pilihan raya Singapura yang lalu, Tang Liang Hong. Dalam afidavit tersebut, Lee menyatakan Johor sebagai negeri yang banyak kejadian jenayah seperti tembak-menembak, rompakan dan rampasan kereta.

Tuduhan Lee ini dianggap sebagai menghina Kerajaan Malaysia. Rakyat dan Kerajaan negara ini membuat bantahan mendesak Lee untuk meminta maaf secara terbuka. Walaupun akhirnya Lee meminta maaf tetapi sikapnya itu kembali mengeruhkan hubungan kedua-dua negara.

Nampaknya memang sukar menjalinkan persahabatan dengan Singapura. Sejak dari awal perpisahan Singapura dari Malaysia hingga insiden terakhir baru-baru ini pelbagai perselisihan faham dan kekeliruan yang ditimbulkan.

[Berasaskan kenyataan Lee Kuan Yew terhadap Malaysia pada 15 September 2006, elok kita ulangi kata-kata di atas: Apakah agenda sebenar Singapura? Mengapakah Lee Kuan Yew begitu lancang mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang menguris hati? Apapun motifnya hanya Lee dan Kerajaan Singapura sahaja yang mengetahuinya.]


No comments: