Saturday, September 16, 2006


MAHATHIR LAWAN ABDULLAH
DEMI KEDAULATAN MALAYSIA
Oleh Ruhanie Ahmad
Segolongan rakyat Malaysia hari ini kesal dengan sesetengah pihak yang bermati-matian mahu melayani Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai seorang pariah politik. Golongan rakyat ini jadi tambah kesal bila Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi seolah-olah mendiamkan diri dan seakan-akan merestui usaha tersebut.

Pada waktu yang sama, ada pula pihak yang sering bersorak-sorai terhadap Tun Dr. Mahathir. Bila beliau tewas dalam pemilihan perwakilan UMNO Bahagian Kubang Pasu ke Perhimpunan Agung UMNO Malaysia, terdengarlah sorak-sorai yang berderai-derai. Bila beliau disekat dari menemui ahli-ahli UMNO akar umbi di seluruh negara, kedengaranlah hilai ketawa yang berjela-jela.

Semua pihak ini seolah-olah gembira bila Tun Mahathir menemui jalan buntu. Pihak-pihak ini lupa, Tun Dr. Mahathir bukannya Si Luncai yang boleh dijadikan bahan ketawa. Awas. Orang Melayu mutakhir jangan sekali-kali tergamak memperlekehkan Tun Dr. Mahathir sepertimana nenek moyang kita pernah memperlekehkan Si Luncai yang terjun ke sungai dengan labu-labunya!

Hakikatnya, Tun Dr. Mahathir adalah mantan Perdana Menteri. Datuk Seri Abdullah adalah Perdana Menteri. Tun Dr. Mahathir dan Datuk Seri Abdullah kini bermasalah oleh kerana beberapa isu yang strategik, isu yang membabitkan maruah bangsa, isu yang menjejaskan kedaulatan negara.

Ini bermakna mantan Perdana Menteri bukannya berkonflik dengan Perdana Menteri atas isu-isu yang peribadi, bukan atas isu-isu yang sempit, bukan atas sebab-sebab yang remeh, bukan didorong oleh sindrom pasca perdana menteri – (mudah disebut sebagai penyakit gila talak.)

Berwibawa

Hakikat di atas wajar diakui secara ikhlas dan jujur. Keikhlasan dan kejujuran semua pihak untuk menerima hakikat di atas akan memudahkan kita semua memahami dan memperincikan apa yang sebenarnya sedang berlaku pada hari ini.

Kita semua hanya boleh membantu Tun Dr. Mahathir dan Datuk Seri Abdullah meleraikan kekusutan semasa sesudah kita semua berjaya to crystalise and articulate masalah-masalah yang sebenarnya.

Ini bermakna kenyataan-kenyataan sesetengah Menteri dan Menteri Besar terhadap Tun Dr. Mahathir kebelakangan ini adalah sia-sia, tidak relevan, dan sangat-sangat dikesali. Seluruh kenyataan mereka menyebabkan sesetengah pihak jadi kelihatan tidak bijak, kurang berwibawa dan rendah harga diri. Kenyataan-kenyataan mereka juga menyebabkan nama baik Datuk Seri Abdullah terhakis dan kenyakinan rakyat terhadap kerajaan kian menipis.

Itulah sebabnya Datuk Seri Abdullah mesti bertindak secara tegas dan secara fokus mulai sekarang. Perdana Menteri mestilah tunjukkan kepada rakyat jelata bahawa beliau mampu memberikan kepimpinan yang berkesan, berwibawa serta dihormati.

Kalau Datuk Seri Abdullah enggan atau gagal bertindak secara tegas, secara fokus, secara ikhlas dan secara jujur, pastinya konflik Mahathir-Abdullah ini akan berlarutan, banyak pihak akan kehilangan arah, dan banyak pihak juga akan kematian punca.

Jika ini berlaku, maruah bangsa Malaysia mungkin terus tercalar, kedaulatan negara Malaysia mungkin terus tercemar, kewibawaan negara-bangsa Malaysia mungkin turut tercabar. Dalam keadaan sebegini, yang rugi adalah bangsa Malaysia dan negara Malaysia seluruhnya.

Hilang Hormat

Jadi, apakah pendekatan terbaik sekali untuk meleraikan pertikaian Mahathir-Abdullah mutakhir ini? Adakah wawancara Datuk Seri Abdullah menerusi TV3 tempohari telah menyelesaikan masalah tersebut? Adakah pemberian label dan jenama iblis, beruk dan singa sarkas kepada Tun Dr. Mahathir telah menyelesaikan masalah berkenaan?

Adakah usaha menyekat Tun Dr. Mahathir menemui rakyat jelata sudah menyelesaikan masalah terbabit? Adakah menghina dan mempariahkan Tun Dr. Mahathir telah menyelesaikan masalah yang kita hadapi? Adakah tindakan Datuk Seri Abdullah berdiam diri membawa manfaat kepada semua pihak?

Saya yakin, Datuk Seri Abdullah amat arif akan jawapan kepada seluruh pertanyaan di atas. Saya juga pasti, Perdana Menteri tidak rela Malaysia dan rakyat jelatanya terjejas akibat sesuatu keputusan dan tindakan yang tidak tepat dan tidak berkesan.

Lantaran itu, Datuk Seri Abdullah kenalah ikhlas dan jujur kepada dirinya sendiri. Beliau kena insaf bahawa beliau memegang amanah agama, bangsa dan negara. Amanah ini mestilah ditunaikan sebaik-baiknya, bukannya demi kepentingan keluarga, tetapi demi kepentingan negara.

Datuk Seri Abdullah tidak boleh terasa hati bila ada kata-kata seperti ini. Beliau kena insaf bahawa kemarahan segolongan rakyat jelata Malaysia terhadap beliau pada hari ini adalah real, hakiki dan memang sedang meluap-luap.

Dengan berselindung di sebalik nama-nama samaran di ruang maya, ramai rakyat jelata Malaysia yang kini seolah-olah sudah hilang sabar, hilang hormat dan hilang kepercayaan kepada Datuk Seri Abdullah sebagai Perdana Menteri.

Kejatuhan

Punca utama sebilangan rakyat jelata hilang sabar, hilang hormat dan hilang kepercayaan kepada Datuk Seri Abdullah adalah apa yang ditakrifkan ramai sebagai kedolak-dalikan Perdana Menteri dalam menangani isu-isu strategik yang dibangkitkan oleh Tun Dr. Mahathir.

Sebab itulah segolongan rakyat jelata kini menganggap kata-kata dan perbuatan Perdana Menteri dalam menangani isu-isu yang ditimbulkan oleh Tun Dr. Mahathir pada masa ini seolah-olah diwarnai pembohongan, kepura-puraan, kejahilan.

Warna-warna negatif ini menyebabkan Perdana Menteri jadi manusia yang dikatakan sebagai cakap tak serupa bikin. Warna-warga ini juga dikatakan boleh menjerut leher Datuk Seri Abdullah sendiri. Lebih serius lagi, warna-warna ini dikatakan mungkin boleh menyebabkan kejatuhannya.

Satu lagi puncanya adalah sikap serta perilaku Khairy Jamaluddin, menantu Datuk Seri Abdullah, yang kini menimbulkan persepsi negatif terhadap Perdana Menteri, kepimpinan negara dan kepimpinan UMNO.

Realiti terhadap kedua-dua punca ini mungkin sangat jauh berbeza dengan persepsi umumnya. Tetapi, seperti pernah saya nyatakan dalam beberapa tulisan sebelum ini, politik adalah mengenai persepsi. Ini kerana persepsi inilah yang dijadikan asas untuk segolongan anggota masyarakat umum melakar warna dan mencorak suasana politik pada keseluruhannya.

Kalau Perdana Menteri tidak percaya, arahkanlah pihak bertanggungjawab mengenai ruang maya, ICT, perisian internet, buku, akhbar dan majalah, memberikan analisis dan laporan terperinci terhadap seluruh komen wartawan, penulis, bloggers dan warga maya Malaysia terhadap kepimpinan Datuk Seri Abdullah mutakhir ini.

Kajian

Datuk Seri Abdullah juga wajar melantik sebuah task force atau jawatankuasa kerja untuk mengkaji seluruh sentimen, maklumat, maklum balas dan apa jua komen penulis, wartawan, bloggers dan warga maya terhadap dirinya, kerajaan dan parti pimpinannya, keluarganya dan segala-galanya pada hari ini.

Seluruh pandangan, komen dan kritikan terhadap Perdana Menteri, keluarganya, kerajaannya dan partinya yang tersiar dalam seluruh buku dan akhbar tabloid Malaysia juga perlu dijadikan input atau asas kajian yang menyeluruh dan terperinci terhadap status politik dan kerajaan Malaysia pada hari ini.

Dengan cara ini, Perdana Menteri dapat mempastikan sejauh manakah kebenaran segala-galanya. Dengan cara ini, Datuk Seri Abdullah dapat mempastikan benar atau tidak kepimpinan beliau adalah umpama telur di hujung tanduk. Dengan cara ini, beliau pastikanlah sendiri sama ada beliau perlu bertindak seperti sekarang, atau beliau mesti melakukan perubahan yang radikal dan drastik dengan seberapa segera.

Saya mungkin orang pertama yang terpanggil untuk merakamkan cetusan di atas kepada Datuk Seri Abdullah demi agama, bangsa dan negara. Saya juga yakin, cetusan ini akan menerima berbagai-bagai tafsiran, majoritinya negatif dan memualkan.

Apa pun, saya tidak hairan. Saya juga tidak peduli. Saya tidak dilahirkan ke dunia penulisan dan dunia siasah Malaysia untuk menjahanamkan agama, bangsa dan negara. Sebaliknya, saya dididik untuk memperkatakan yang benar dan membina.

Kepada Datuk Seri Abdullah dan Datuk Shagul Hamid - Ketua Pengarah BTN – izinkan saya tegaskan di sini, saya adalah anak Malaysia yang mahir mendendangkan Lagu Warisan, di samping memahami dan menghayati maksudnya. Saya juga telah menghasilkan buku Patriotisme Malaysia Penangkis Neoimperialisme.

Oleh sebab itu, saya tidak rela dan saya tidak redha kalau suatu hari nanti “bumi dipijak” ini mungkin jadi “milik orang” asing atas sebab-sebab strategik yang gagal kita tuntasi, rincikan dan atasi mutakhir ini.

Ilusi

Oleh itu, terserahlah. Kalau Datuk Seri Abdullah terus menerus mahu dihiburkan dengan feedback yang indah-indah, kata-kata yang manis-manis, dan pandangan yang sentiasa lunak dan merdu, siapalah yang boleh melarang. Beliau adalah Perdana Menteri!

Dan, kalaulah Datuk Seri Abdullah memilih untuk terus hidup dalam ruang kepimpinan yang penuh ilusi, beliau mestilah bersedia untuk dikejutkan dari lingkaran ilusi itu dengan suatu realiti yang mungkin pahit, getir dan memilukan.

Semua pihak boleh berkata, saya cuma permerhati politik yang kerdil. Pandangan saya juga mungkin cetek dan meleset. Tetapi, sebagai seorang yang telah dilambung badai siasah Malaysia, secara aktif, sejak 1972, saya pasti analisa ini tidak jauh menyimpang dari kebenarannya. Saya pasti sorotan ringkas ini tidak boleh disifatkan melulu dan sia-sia.

Oleh itu, Datuk Seri Abdullah mestilah berani mengakui bahawa apa yang dibangkit dan diungkitkan oleh Tun Dr. Mahathir kebelakangan ini adalah sesuatu yang strategik dan demi kepentingan maruah bangsa dan kedaulatan negara Malaysia.

Oleh itu juga, Datuk Seri Abdullah kenalah menerima hakikat bahawa soal Kamaluddin Abdullah, Khairy Jamaluddin, Datuk Kalimullah Hassan, Brendon Preira dan lain-lain insan yang dibabitkan dengan masalah-masalah yang strategik ini adalah realiti semasa yang menyebabkan sebilangan rakyat jelata jadi hilang sabar, hilang hormat dan hilang keyakinan kepada UMNO, kerajaan dan kepimpinan Malaysia.

Penutup

Bola kini berada dalam gelanggang Datuk Seri Abdullah. Rakyat jelata sedang tertunggu-tunggu dengan penuh debaran. Sebaik-baiknya, sebelum Perdana Menteri menendang bola itu ke arah yang selamat, bersihkanlah dulu gelanggang dan carilah team pemain yang baru yang ikhlas dan jujur.

Mudah-mudahan, team itu terdiri daripada kelompok manusia yang terdidik untuk sentiasa menjunjung serta menegakkan kebenaran, memelihara maruah bangsa, menjaga kedaulatan negara dan mempertahankan kemerdekaan kita bersama.

Dalam ertikata yang lain, selesaikanlah pertikaian Mahathir-Abdullah pada hari ini secara bijaksana, berkesan, objektif, professional dan berhemah, demi kepentingan agama, bangsa dan negara tercinta.

Jadi, segeralah bertindak. Kalau Tun Dr. Mahathir perlu diketemukan dengan seluruh ahli Majlis Tertinggi UMNO, ketemukanlah beliau dengan sewajar-wajarnya. Kalau Tun Dr. Mahathir perlu diketemukan dengan seluruh Jemaah Menteri, anjurkankah pertemuan itu dengan seikhlas-ikhlasnya.

Datuk Seri Abdullah tidak perlu takut. Tun Dr. Mahathir bukan mahu merampas kuasa. Beliau tidak mahu kembali jadi Perdana Menteri. Beliau juga tidak berhasrat kembali jadi Presiden UMNO. Apa yang diperlukan oleh Tun Dr. Mahathir adalah, maruah bangsa dan kedaulatan negara mesti dipelihara dan dipertahankan pada setiap masa.

Janganlah bertangguh-tangguh lagi. Sewajarnya, sebelum Perhimpunan Agung UMNO Malaysia November 2006 ini, Datuk Seri Abdullah dan Tun Dr. Mahathir sudah merintis jalan damai secara jujur dan ikhlas. Gagasan damai yang dicari bukannya untuk kepentingan Perdana Menteri atau keluarganya. Gagasan damai yang dipinta bukannya untuk kepentingan mantan Perdana Menteri dan mahathirisme. Kedamaian abadi yang dinanti-nantikan adalah demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

Oleh itu, kedamaian yang akan diteroka janganlah hanya pada kata-kata dan retorika sahaja. Kedamaian abadi yang dinanti-nantikan mestilah bersendikan iltizam dan komitmen diri ke arah usaha memperbetulkan seluruh kesilapan dan kelemahan.

Banyak yang mesti dilakukan. Selepas biduk berlalu, kiambang mesti dipupuk supaya bertaut semula. Bulu ayam yang tercarik mestilah diberikan peluang bercantum kembali. Nila yang memusnahkan berbelanga-belanga susu sebelum ini mestilah dimusnahkan. Kerbau yang memalitkan lumpur ke seluruh kandang mestilah disingkirkan.

Ingat. Perbalahan Mahathir-Abdullah bukan atas motif yang peribadi. Persengketaan Mahathir-Abdullah bukannya atas motivasi yang sempit. Mahathir bertubi-tubi mengkritik Abdullah kebelakangan ini demi cinta, kasih dan sayangnya yang tidak terhingga kepada bangsa Malaysia dan negara Malaysia. Datuk Seri Abdullah, nasionalis bangsa yang kini bertakhta di persada kuasa, amat arif akan hakikat ini.

Bertindaklah segera. Bertindaklah secara jujur dan ikhlas. Bertindaklah dengan dada yang terbuka. Bertindaklah dengan tangkas dan tegas. Bertindaklah secara berhemah dan berbudi bahasa. Mudahan-mudahan Allah akan merestui usaha damai yang akan didayausahakan oleh Datuk Seri Abdullah dan Tun Dr. Mahathir. Moga-moga mereka berjaya. Insya Allah.

1 comment:

A Voice said...

Excellent writing bang