Monday, September 11, 2006

SAPA KECUNDANG
DI KUBANG PASU?
Oleh Ruhanie Ahmad
Tun Dr Mahathir Mohamad kalah? Betul ke dia kalah pemilihan jadi perwakilan bahagian ke perhimpunan agung UMNO Malaysia November ini? Betul? Apa sudah jadi ni? Ahli UMNO nombor 000 000 1 pun tergamak dikecundangkan oleh segolongan ahli UMNO daripada bahagian yang dipimpin sendiri oleh Tun Dr Mahathir selama 22 tahun yang lalu? Hiss... Celaru betul. Tak tau nak kenang budi. Tak tau nak balas budi. Macam kacang lupakan kulit. Bagaikan pagar memakan padi.

Tapi, Tun Dr Mahathir tetap gentleman. Beliau mengakui beliau memang tewas dalam pemilihan 9 Septembr 2006. Tetapi beliau kalah “kerana sogokan,” Beliau kalah “kerana jentera kerajaan” digunakan sepenuhnya untuk menewaskannya. Beliau kecundang kerana ada tiga panglima utamanya di Kubang Pasu turut berkempen menentang dirinya sendiri.

Berasaskan hakikat di atas, Tun Dr Mahathir tidaklah kecundang. Yang kecundang adalah segelintir orang UMNO yang tergamak mengkhianati beliau. Yang kalah adalah golongan yang tunduk kepada ugutan. Yang kalah adalah kelompok yang tunduk kepada tekanan.

Yang kalah adalah manusia-manusia yang hanya pentingkan tembolok sendiri. Yang kalah adalah segelintir perwakilan yang kelabu mata bila menerima sampul-sampul putih dan coklat yang dipercayai berisi wang ringgit paling minima $200. Yang kalah adalah barisan anggota parti yang gagal mempertahankan prinsip perjuangan ikhlas, tulen dan abadi.

Jadi, sapa boleh kata Tun Dr Mahathir kalah? Yang kalah adalah prinsip dan amalan demokrasi. Yang kalah adalah ahli dan kepimpinan UMNO yang bermuka-muka. Yang kalah adalah perjuangan untuk menegakkan kebenaran. Yang kalah adalah perjuangan untuk mempertahankan kedaulatan agama, bangsa dan negara.

Kenapa jadi begini? Apa yang takut sangat Tun Dr Mahathir jadi perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO Malaysia tahun ni? Takut Tun Dr Mahathir bawa jampi serapah yang boleh membuka seluruh gerobok yang penuh dengan jerangkong milik seseorang pemimpin tertentu? Kalau tidak, takut apa pada Tun Dr. Mahathir?

Memang ada pihak yang sangat gembira bila Tun Dr. Mahathir tewas. Mereka lega. Kononnya, Tun Dr. Mahathir tidak akan menggunakan Perhimpunan Agung UMNO 2006 ini sebagai medan mengkritik kepimpinan Datuk Sri Abdullah Ahmad Badawi.

Kepada pihak-pihak ini, awas. Janganlah menghilai tawa terlalu panjang berjela. Tun Dr Mahathir tidak kalah. Beliau pasti akan terus bersuara. Demi kebenaran dan kedaulatan bangsa, beliau akan terus bersuara, melalui apa jua cara sekalipun.

Begitulah Tun Dr Mahathir. Semangatnya tetap tinggi. Demi maruah dan kedaulatan agama, bangsa dan negara, tidak ada apa yang dapat menyekatnya daripada berjuang menegakkan kebenaran. Katanya, beliau akan terus bersuara, kecuali beliau disumbat ke dalam penjara.

No comments: