Sunday, September 24, 2006

LEE KUAN YEW
PERLU MINTA MAAF

MUAR 23 Sept. – Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu Lee Kuan Yew memohon maaf kerana mendakwa orang Cina di negara ini dipinggirkan.

Beliau berkata, dakwaan bekas Perdana Menteri Singapura itu tidak berasas dan lahir daripada ‘seorang yang baru bangun dari tidur di sebuah pulau yang tidak tahu apa-apa’.

Tegas beliau, dakwaan itu juga cuba merosakkan usaha negara serantau mencari jalan bagi meningkatkan hubungan baik sesama rakyat di negara ini.

‘‘Beliau perlu meminta maaf kerana provokasi sebegini tidak akan memberikan faedah untuk mewujudkan keamanan serantau di ASEAN.

‘‘Mungkin juga dia (Kuan Yew) baru bangun dari tidur dan tidak tahu keadaan sebenar sebab tinggal di sebuah pulau dan tidak tahu apa yang berlaku di sekeliling,” kata beliau.

Di KOTA KINABALU, bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Salleh Said Keruak berkata, dakwaan Kuan Yew tidak bertanggungjawab dan berniat buruk.

‘‘Ia dibuat bagi membangkitkan kemarahan orang Cina terhadap kerajaan negara ini. Ia satu kenyataan tidak bertanggungjawab, ia berniat buruk,'' katanya.

Di KOTA BHARU, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut mempertikaikan motif kenyataan bekas Perdana Menteri Singapura itu.

Mursyidul Am Pas berkata, sebagai orang tua dan bekas pemimpin sebuah negara, Kuan Yew tidak wajar mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan kemarahan orang lain.

“Apa hubungan mu (Kuan Yew) dengan Malaysia, ini tidak betul,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-31 Pertubuhan Peladang Negeri Kelantan di Akademi Pengajian Islam Nilam Puri di sini, hari ini.

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=0924&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_01.htm

No comments: