Monday, September 04, 2006


BERANI KERANA SALAH
TAKUT KERANA BENAR?
Oleh Ruhanie Ahmad

Orang Melayu dituntut berani kerana benar, takut kerana salah. Umat Islam pula dituntut mendekati kemakrufan, menjauhi kemungkaran. Tapi, entah di mana silapnya, kini kita seolah-olah didorong untuk menerima realiti baru, iaitu berani kerana salah dan dekatilah kemungkaran.

Lantaran itulah sesetengah individu yang memperjuangkan kebenaran dan mendekati kemakrufan sentiasa dibenci, dicaci, dikutuk, dicela, dan dimusuhi. Individu-individu seperti ini dicap sebagai api dalam sekam, gila talak, singa sarkas, beruk sarkas, dan juga iblis.

Hakikat seperti ini sungguh memilukan. Ia juga amat menyayat hati. Ia terjadi sewaktu Bangsa Malaysia diseru bangkit mencapai kecemerlangan, kegemilangan dan keterbilangan menerusi gagasan Islam Hadhari.

Inilah ironinya. Kita sedang dilanda sindrom “cakap tak serupa bikin.” Bukalah mata seluas-luasnya. Pasanglah telinga baik-baiknya. Anda akan tahu sendiri, siapakah yang bercakap tapi tak serupa bikin.

Sepatah kata orang Tanjung, pi mai, pi mai, dok tang tu juga. Puas kita konar kanan, konar kiri, balik tang tu juga. Jenuh kita keriau sampai pecah tekak, pun masih pasal tu juga. Siapakah punya angkara? Apakah puncanya? Di manakah silapnya?

Kini timbul satu lagi episod “cakap tak serupa bikin.” Utusan Malaysia 26 Jun 2006, melaporkan Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, sebagai berkata bahawa UMNO bahagian bebas mengadakan pertemuan dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Berikutan kenyataan itu, beberapa cawangan atau bahagian UMNO yang sudah mengundang Tun Dr. Mahathir tiba-tiba sahaja membatalkan undangan masing-masing. Mereka mendakwa ditekan secara serius.

Kini, ada pula segolongan orang besar UMNO melalak, melolong, melalut, dan melatah tak tentu pasal. Mereka berbuat begitu pasal Tun Dr. Mahathir nak jadi perwakilan UMNO Bahagian Kubang Pasu, Kedah, ke Perhimpunan Agung UMNO Malaysia, November 2006 ini.

Soalnya, salahkah Tun Dr. Mahathir menawarkan diri untuk jadi perwakilan bahagian ke Perhimpunan Agung UMNO Malaysia? Adakah tawaran itu melanggar Perlembagaan UMNO?

Bukankah Fasal 6.2 Perlembagaan UMNO memaktubkan, setiap ahli UMNO mempunyai hak untuk “bercakap dan mengemukakan pendapat-pendapat dan mengundi di dalam mesyuarat-mesyuarat parti”?

Bukankah Fasal 6.2 Perlembagaan UMNO juga memaktubkan hak seseorang ahli untuk “memilih, dipilih dan dilantik untuk sebarang jawatan di dalam parti”?

Kita jangan cepat lupa. Nombor keahlian UMNO Tun Dr. Mahathir adalah 000 000 1. Ini bermakna, kalau hari ini UMNO mempunyai keahlian satu juta orang, ahli yang pertama sekali adalah Tun Dr. Mahathir. Kalau ahli UMNO tiga juta orang, ahli yang pertamanya pun masih juga Tun Dr. Mahathir.

Jadi, apa yang tak kena kalau Tun Dr. Mahathir nak jadi perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO? Betulkah kerana ada pihak yang kononnya tak redha Tun Dr. Mahathir akan merendahkan martabah beliau? Adakah kerana ada pihak bimbangkan Tun Dr. Mahathir jadi paksi perhatian seluruh perwakilan?

Adakah kerana ada orang yang takutkan bayang-bayang? Adakah kerana ada pihak yang takut perhimpunan agung itu mungkin jadi terbalik court? Atau pun mungkin kerana ada pihak yang takut Tun Dr. Mahathir main smash kanan, swing kiri, ikut sesuka hatinya sahaja?

Sekali lagi, jangan kita cepat lupa. Tun Dr. Mahathir adalah ahli UMNO yang pakai nombor keahlian 000 000 1. Bukannya seperti Khairy Jamaluddin yang pakai nombor keahlian 02 872 000. Oleh itu, Tun Dr. Mahathir pastinya amat arif dengan asas dan tujuan perjuangan UMNO seperti yang termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO.

Tun Dr. Mahathir amat insaf bahawa “UMNO adalah sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruh dan martabat bangsa, agama dan negara.”

Sebenarnya, kalau kita sudi mengikuti suara Tun Dr. Mahathir kebelakangan ini secara ikhlas dan jujur, cita-cita “berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara” inilah yang mendorong apa yang beliau perjuangkan sekarang.

Kini memang Tun Dr. Mahathir cuba menyampaikan suara hatinya yang berasaskan prinsip perjuangan “mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruh dan martabat bangsa, agama dan negara” yang dituntut oleh Fasal 3 Perlembagaan UMNO, menerusi pentas UMNO. Tapi, sesiapa sahaja dalam UMNO yang berusaha memberikan “pentas UMNO” kepada Tun Dr. Mahathir, nampaknya menerima tekanan demi tekanan.

Hakikat ini dinyatakan sendiri oleh Tun Dr. Mahathir menerusi sepucuk surat terbuka beliau bertarikh 11 Ogos 2006. Surat itu ditujukan khusus kepada ahli-ahli UMNO di seluruh negara. Dalam surat itu, Tun Dr. Mahathir menyatakan “Utusan Malaysia 26 Jun 2006, melaporkan Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, sebagai berkata: “UMNO Bahagian bebas untuk membuat keputusan sama ada mahu mengadakan pertemuan dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, atau sebaliknya,”

Tetapi, kata Tun Dr. Mahathir, “dua tiga bahagian dan Pergerakan Pemuda yang telah menjemput saya telah menarik balik jemputan selepas kenyataan Presiden UMNO. Mungkin ini kerana mereka “bebas” membuat keputusan untuk tarik balik. Tetapi mereka memberitahu saya mereka ditekan dengan teruk. Mana dianya kebebasan?”

Seterusnya, Tun Dr. Mahathir bertanya menerusi surat itu, “kenapakah kepimpinan tertinggi UMNO begitu takut membenar ahli UMNO bertemu dan mendengar penjelasan saya. Mereka beratus-ratus, mempunyai kuasa, menguasai akhbar dan televisyen. Saya seorang sahaja. Tidak berkuasa, tidak punyai media sendiri. Media bebas putar apa yang saya kata! Apa yang nak takut?”

Beginilah nasib ahli UMNO nombor 000 000 1. Tun Dr. Mahathir amat gigih dalam perjuangannya “mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara.”

Tetapi, ada pula elemen-elemen tertentu dalam UMNO sendiri yang dikatakan menyekat perjuangan itu. Tun Dr. Mahathir mahu “ahli UMNO perlu tahu ke arah mana pemimpin mereka membawa mereka.” Tetapi, usaha itu mati-matian mahu disekat dan digagalkan.

Tun Dr. Mahathir menyatakan di dalam surat terbukanya bahawa “saya ahli UMNO, bekas Presiden UMNO. Kesetiaan saya adalah pada UMNO, bukan kepada mana-mana individu, tak kira jawatan. Semasa Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Musa Hitam dan Datuk Seri Abdullah Badawi cuba menjatuhkan saya pada tahun 1986, saya tidak sekat mereka dari bertemu dan berucap kepada bahagian, cawangan dan ahli-ahli UMNO. Saya tidak tuduh mereka tidak setia kepada UMNO. Ahli buat keputusan pada tahun 1986 setelah mendengar kedua-dua pihak. Kenapa sekarang ahli UMNO boleh dengar satu pihak sahaja? Apakah ini percubaan untuk memperbodohkan UMNO?”

Tun Dr. Mahathir menyatakan di akhir surat itu bahawa “berani kerana benar dan takut kerana salah.” Berapa ramai lagikah agaknya pemimpin UMNO yang sanggup mengamalkan prinsip ini? Atau, mungkinkah prinsip itu sudah berubah menjadi “berani kerana salah, takut kerana benar”?

Saya huraikan soal berani kerana benar, takut kerana salah ini bukan untuk mempersenda-sendakan Datuk Seri Abdullah. Tetapi, dengan harapan semoga majoriti ahli UMNO berani menyatakan kebenaran pada setiap masa.

Saya juga huraikan soal ini dengan harapan seluruh perwakilan cawangan dalam UMNO Bahagian Kubang Pasu, Kedah, akan sebulat suara mengundi Tun Dr. Mahathir jadi perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO Malaysia tahun ini.

Insaflah. Fasal 3 Perlembagaan UMNO menyatakan dengan jelas, “UMNO adalah sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara.”

Fasal 3.1 Perlembagaan UMNO juga memaktubkan bahawa asas dan matlamat perjuangan utama parti berkenaan adalah untuk “mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara.”

Jadi, adakah satu dosa bagi Tun Dr. Mahathir menemui ahli-ahli UMNO di seluruh negara kalau pertemuan itu demi “mengekalkan maruah dan martabat bangsa dan negara”? Dan, salahkah untuk Tun Dr. Mahathir mendapatkan “pentas UMNO” demi “mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara.”?

Fikirkanlah semasak-masaknya. UMNO memerlukan kita semua membela bangsa, agama dan negara. Berani kerana benar, takut kerana salah. Ingat. Sejarah akan akan mengutuk ahli-ahli UMNO yang mendiamkan diri kerana takut membela kebenaran, tetapi melalak melolong, semata-mata untuk menudung bangkai gajah yang sedang reput di depan mata.

Halusilah kata-kata Tun Dr. Mahathir “kenapa sekarang ahli UMNO boleh dengar satu pihak sahaja? Apakah ini percubaan untuk memperbodohkan UMNO?”

Oleh itu, ahli-ahli UMNO Bahagian Kubang Pasu khususnya, dan ahli-ahli UMNO di seluruh Malaysia amnya, tanyalah diri sendiri, apakah kita rela kalau hari ini ada pihak-pihak tertentu yang mungkin berusaha “untuk memperbodohkan UMNO” demi sebuah agenda perjuangan yang sempit dan peribadi?

No comments: