Tuesday, February 26, 2008

PRU12: Warga BN Kedah Dilanda Bimbang?

Saya menerima banyak info panas mengenai PRU12 dari seluruh negara. Ia dikirimkan menerusi komen dalam blog kudakepang, menerusi SMS, panggilan telefon dan menerusi faks.

Contohnya, seorang eksekutif muda di Kuala Lumpur, tetapi pulang ke kampung halamannya Kedah untuk mengikuti PRU12, telah mengirimkan info bahawa sehari sebelum Hari Penamaan Calon, DUN Mentalon telah “dibom” dengan CD mengenai skandal salah seorang calon yang bertanding di DUN tersebut.

Lagi: http://puteramalaysia.blogspot.com
Manifesto Million, Billion Dan Trillion PRU12
Tanpa Komitmen Pada Demokrasi Berparlimen?

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah membentangkan Manifesto bagi PRU12 tanpa menghuraikan komitmen BN kepada keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang serta sistem kerajaan demokrasi berparlimen dan Raja berperlembagaan.

Saya meneliti manifesto tersebut berkali-kali dan mendapati bahawa tidak sepatah pun perkataan mengenai perkara-perkara strategik di atas dihuraikan dalam manifesto berkenaan.

Hakikat ini amat berbeza dengan Manifesto BN bagi PRU11 yang menghuraikan perkara-perkara seperti berikut:

BN bertekad mempertahankan keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Demokrasi

BN komited kepada demokrasi berparlimen.

BN menghormati pembahagian kuasa yang termaktub dalam Perlembagaan, dengan setiap institusi - eksekutif, perundangan dan kehakiman - memainkan peranan semak dan timbang bagi memastikan pentadbiran negara yang berlandaskan kepada undang-undang.

BN akan terus mentadbir mengikut sistem demokrasi, berdasarkan prinsip undang-undang.

BN menjamin kebebasan badan kehakiman dan menyediakan prasarana moden untuk meningkatkan kecekapan pentadbiran keadilan.

Bagaimanapun, saya yakin kepimpinan Abdullah tidak menganggap perkara-perkara tersebut di atas sebagai remeh. Tetapi, saya musykil mengapakah ianya tidak disebut langsung dalam manifesto PRU12.

Disengajakan?

Adakah ianya sesuatu yang tidak disengajakan kerana Abdullah kelihatannya amat ghairah untuk menghuraikan prestasi kerajaan sejak 2004 hingga 2007 yang diterjemahkan dalam angka-angka million, billion dan trillion ringgit sahaja?

Atau, mungkinkah hakikat ketiadaan faktor-faktor strategik tersebut memang disengajakan kerana dianggap tidak penting dan tidak perlu?

Memang Abdullah dan BN mungkin mempunyai sebab dan wisdom tersendiri untuk melupakan faktor-faktor strategik yang menjadi tunggak kerajaan Malaysia sejak merdeka higga ke hari ini.

Tetapi, tidakkah hakikat ini akan menimbulkan keraguan sesetengah pihak mengenai bentuk kerajaan Malaysia sesudah PRU12 yang akan diterajui oleh BN seandainya parti tersebut memenangi pilihan raya kali ini? Fikir-fikirkanlah… - Ruhanie Ahmad
Abdullah Pengaruhi SPR Di P131 Rembau?

Saya paparkan di bawah ini posting blog http://anti-khairy.blogspot.com dengan jodol Bapa Mertua Telefon SPR Bantu Menantu, untuk tatapan bersama, seperti berikut:

Jika SPR tidak berat sebelah, Badrul Hisham sudah menang percuma. Menantu PM yang meletakkan tarikh semalam di borang penamaan calonnya dibantah oleh Badrul yang lebih dikenali sebagai Chegubard.

Pegawai SPR hampir membuat keputusan untuk menerima bantahan. Panggilan daripada PM telah menyebabkan pegawai SPR membernarkan borang penamaan calon menantu PM diluluskan.

Begitulah pilihanraya di Malaysia, baru bermula sudah bermacam-macam penipuan. Walaubagaimanapun, Anak Jati Rembau tidak akan membiarkan menantu PM untuk menang mudah. - Anak Jati Rembau, Ahad, 24 Februari 2008, 8:47 malam.

Blog yang sama juga memaparkan gambar satu pesawat ringan berlegar-legar di ruang angkasa di tempat pusat penamaan calon di Rembau untuk mengibarkan bendera Umno dan BN.

Pastinya ini pesawat itu disewa oleh Khairy atau penajanya. Pastinya masyarakat BN Rembau rasa bangga melihat bendera Umno dan BN dikibarkan di ruang angkasa dengan menggunakan pesawat ringan.

Soalnya, berapakah kos sewa pesawat itu? Tidakkah usaha itu seolah-olah menunjuk-nunjuk kemewahan calon BN bagi P131 Rembau?

Tidakkah usaha itu juga mencerminkan kemungkinan banyak lagi wang berjuta-juta ringgit akan dicurahkan ke Rembau dalam PRU12 ini? Tidakkah masyarakat Rembau akan bertanya, dari mana calon BN itu dapat wang?

Tidakkah masyarakat Rembau akan mendesak supaya BPR memantau perbelanjaan calon BN P131 untuk memastikan tiadanya penyelewengan?

Dan, tidakkah BPR akan siasat bagaimana kertas penamaan calon yang bertarikh 23 Februari 2008, diterima oleh SPR setelah menerima pangilan telefon dari Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi? – Ruhanie Ahmad

Sunday, February 24, 2008

Saya Lega Kerana Tidak Bertanding Semula

Esok hari penamaan calon bagi PRU12. Ini bermakna debar jiwa mengenai soal siapa yang dicalonkan sudah pun berakhir. Dan, ini juga bermakna bahawa persoalan siapa akan menang dan siapa akan kalah kini mula menggelodak di setiap jiwa mereka yang bertanding kali ini.

Saya pun berasa lega kerana akhirnya saya tidak dicalonkan. Saya kata saya lega bila tidak dicalonkan semula kerana sebelum ini, lebih tepat lagi sejak dua bulan lalu sehingga 8.30 malam 21 Februari 2008, nama saya masih lagi disenaraikan oleh satu kumpulan tertentu sebagai salah seorang yang diketengahkan untuk kawasan Parlimen Parit Sulong.

Nama saya tidak diketengahkan oleh pihak UMNO Bahagian Parit Sulong kerana saya kini hanya seorang ahli biasa dalam bahagian tersebut. Lagi pun, saya sudah memberitahu ketua bahagian bahawa saya tidak lagi berhasrat “to make a come back.”

Biarpun begitu, satu kumpulan prihatin yang berpengaruh kuat mahukan saya kembali berkhidmat. Rasanya tak payahlah saya nyatakan di sini siapa kumpulan berkenaan.

Saya jelaskan kepada mereka bahawa saya sudah tidak punya tenaga untuk berkhidmat semula. Cukuplah saya berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama 14 tahun. Saya sudah menjalankan tugas saya selaku setiausaha BBC selama lima tahun dan lima tahun seterusnya selaku pengerusi BBC. Sesudah itu saya enggan memegang apa-apa jawatan di dalam Parlimen melainkan aktif dalam Persatuan Parlimen Komonwel dan Parlimen ASEAN.

Singapura

Kata kumpulan tersebut, khidmat saya sangat dikehendaki ketika ini kerana saya berani bersuara lantang mengenai Singapura dan isu-isu geopolitik membabitkan Malaysia. Jawab saya, cukuplah. Ramai lagi darah muda yang boleh bersuara lantang dalam apa juga isu jika mereka memilih untuk bersuara lantang demi agama, bangsa dan tanah air.

Saya terus didesak untuk menerima cadangan kumpulan berkenaan. Tetapi, saya terus bertegas mengatakan bahawa saya tidak akan kembali sebagai Ahli Parlimen. Sesudah itu, saya pun mendiamkan diri.

Dua tiga hari yang lalu, salah seorang anggota kumpulan itu mengirimkan mesej menerusi ruangan komen dalam blog ini. Mesejnya berkod. Saya faham maksudnya. Tetapi saya mendiamkan diri dan tidak memberikan sebarang respons.

Mesej beliau adalah: Orang Shah Alam tak mau terima Ketua PU3 kerana orang luar. Kita akan hantar dia balik ke rumah Kak Long dia di Johor. Apa pendapat anda? Betulkah Datuk tak mahu balik ke rumah Kak Long tu?

Maksudnya, Ketua Puteri tidak diterima di Shah Alam. Kita akan hantar dia bertanding di kampung dia di Parit Sulong. Apa pendapat anda? Betulkah Datuk tak minat lagi bertanding di Parit Sulong?

Muktamad

Saya tak berikan apa-apa respons. Tapi pada petang Khamis, salah seorang orang perantaraan kumpulan tersebut dengan saya datang menemui saya.

Beliau bertanya: “Betul Abang tak mau tanding lagi? Saya nak kata muktamad Abang. Kita nak finalise senarai. Kalau Abang tak tanding, kita akan kemukakan nama Ketua Puteri.”

Saya tersenyum. Kata saya: “Kan Abang dah cakap tiga minggu sudah, Abang tak mau tanding apa-apa, baik atas tiket BN, baik atas tiket PKR, baik calon Bebas.”

“Muktamad ni Bang?” tanya orang perantaraan itu lagi.

“Apa yang nak dimuktamadkan lagi? Abang dah tak mau tanding lagi. Dah cukup 14 tahun. Cukup,” kata saya dengan nada agak jengkel kerana terus didesak.

“OK Bang. Muktamad Abang tak mau. Saya akan beritahu bos, Abang tak mau. Jangan nyesal,” katanya selamba lantas menelefon “bosnya” untuk memberitahu keputusan saya.

Rumah Kak Long

Pada tengah malam Jumaat, saya pun menerima SMS dari orang perantaraan itu: “Confirm Ketua PU3 balik ke rumah Kak Long dia di Batu Pahat.”

Semalam, Syed Hood Syed Edrus, bekas Ahli Parlimen Parit Sulong yang menggantikan saya selama empat tahun mengirimkan SMS kepada saya untuk mengucapkan terima kasih atas sokongan saya selama ini. Katanya: “saya digantikan dengan Datuk Noraini Ahmad.”

Saya paparkan kisah di atas untuk membunuh seluruh kata-kata kesat yang dikirimkan kepada saya menerusi blog ini selama ini kononnya saya bersuara lantang memperkatakan kepincangan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana saya marah bila tidak dicalonkan semula pada PRU11 dulu.

Hakikatnya, bila saya tidak dicalonkan semula dalam PRU11, saya terima keputusan itu dengan hati terbuka. Buktinya, bila kali ini saya didesak untuk bertanding semula pun saya tetap bertegas menolak desakan itu.

Pada waktu yang sama, saya juga menolak risikan PKR supaya saya bertanding di Parlimen Parit Sulong. Ini juga bukti bahawa saya tidak kecil hati dan tidak pula mendendam sehingga tergamak untuk bertanding atas pelantar pembangkang.

Wilayah Iskandar

Jadi, kalau selama 18 bulan kebelakangan ini saya bersuara lantang menerusi blog ini mengenai Abdullah, ini kerana memang ada yang tak kena dengan apa yang beliau lakukan sebagai pemimpin nombor satu negara.

Paling saya bangkang adalah keputusan Abdullah mewujudkan WPI yang saya sifatkan sebagai menggadaikan bumi Johor Darul Takzim kepada Singapura.

Keduanya, saya sangat bangkang kemaharajalelaan menantu Abdullah kerana saya beranggapan insan ini menjadi umpama sokong membawa rebah kepada Abdullah. Ketiganya, saya tentang kedolak-dalikan Abdullah mengenai Projek Jambatan Bengkok di Johor Bahru dan lain-lainnya.

Pendek kata, banyak lagi perkara mengenai Abdullah yang merimas dan membimbangkan diri saya selaku seorang anak Melayu dan anak Johor. Saya mengkritik Abdullah kerana ini hak saya sebagai anak bumi Malaysia yang merdeka. Saya berhak bersuara jika saya rasakan negara kita seolah-olah sedang didominasikan oleh kuasa asing di hujung Tanah Melayu.

Oleh itu, saya ucapkan jutaan terima kasih kepada surfers yang berikrar akan membantu saya sekiranya saya bertanding semula dan sebagainya. Keprihatinan anda semua amat saya hargai dan sanjung tinggi. Selamat berjuang dari saya. – Ruhanie Ahmad

Friday, February 22, 2008

Sila Tempah Segera
Stok Buku Makin Berkurangan

Stok ketiga-tiga buku yang diiklankan dalam blog ini makin berkurangan. Anda yang belum membelinya sila buat tempahan dengan segera menerusi kaedah yang dipaparkan dalam blog http://warung-buku.blogspot.com

Salam takzim dari kami. – Ruhanie Ahmad

http://warung-buku.blogspot.com

Abdullah Dan Prestasi Trillion Ringgitnya

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak mahu jadi Perdana Menteri satu penggal. Sebab itu beliau memohon mandat baru dari rakyat jelata menerusi PRU12 untuk terus berkuasa buat sekian lama lagi.

Pada 21 Februari 2008, beliau pun menyerahkan “kad laporan kerajaan” untuk menawan sokongan para pengundi. Antara laporan beliau adalah seperti berikut:

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat 18 peratus dari RM427 bilion pada 2004 kepada RM504 bilion pada 2007. Peningkatan ini melibatkan semua sektor termasuk pertanian moden, bioteknologi dan perbankan Islam.

Sejumlah 21 juta pelancong melawat negara ini sempena Tahun Melawat Malaysia pada 2007.

Perdagangan antarabangsa meningkat 26 peratus dari RM881 bilion pada 2004 kepada RM1.113 trilion pada 2007.

Dalam tempoh yang sama, pendapatan purata isi rumah meningkat dari RM3,249 kepada RM3,617.

Subsisi

Kerajaan membelanjakan RM43.4 bilion dalam bentuk subsidi untuk mengekalkan harga barang keperluan asas.

Program transformasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berjaya meningkatkan keuntungan serta memberi pulangan lebih tinggi kepada pemegang saham amanah.

Lebih 204,000 industri kecil dan sederhana (IKS) dibangunkan sejak 2005 melibatkan pemberian pinjaman berjumlah RM107 bilion.

Kerajaan sedang melaksanakan lima pelan koridor ekonomi untuk menjana ekonomi dan membawa pertumbuhan ke seluruh pelusuk negara.

Indeks komposit Bursa Malaysia meningkat ke paras tertinggi dalam sejarah dengan peningkatan 161 peratus nilai pemodalan pasaran daripada RM460 bilion pada 2003 kepada RM1.2 trilion pada tahun lepas.

Cukup Hebat

Defisit fiskal dikurangkan daripada lima peratus KDNK pada 2003 kepada 3.2 peratus KDNK tahun 2007.

Simpanan matawang asing meningkat 120 peratus dari USD4 bilion kepada USD101 bilion.

Penarafan Malaysia dalam indeks daya saing global juga meningkat dari tangga 25 ke tangga 21
.

Hebat. Memang cukup hebat. Ini bermakna seolah-olah era Abdullah jauh lebih baik daripada era Tun Dr Mahathir Mohamad. Ini bermakna seolah-olah Abdullah adalah Perdana Menteri yang amat cemerlang prestasinya.

Soalnya, adakah pengundi di kampung-kampung yang menjadi pendukung setia BN sejak merdeka, faham hakikat di atas? Adakah mereka pedulikan seluruh perangkaan tersebut? Tidak mungkinkah mereka akan bertanya, kalau prestasi kerajaan Abdullah mencecah trillion ringgit, kenapakah harga barang mahal? Kenapa harga petrol naik? Kenapa duit mereka seolah-olah semakin menguncup nilainya?

Roh Dan Jiwa

Saya kemukakan soalan di atas kerana inilah persoalan orang-orang kampung mutakhir ini. Sepatah kata orang Jawa di kampung saya, mereka masih lagi memikirkan soal “sandang-pangan” atau soal pakaian dan makanan. Mudahnya, soal kehidupan yang asas – soal perut!

Pada waktu yang sama, adakah para pengundi di kawasan bandar terpesona dengan laporan di atas? Mereka akan mengungkit, indeks rasuah negara bagaimana? Soal kemiskinan di bandar di mana tahapnya? Mereka akan menghujjah, soal kredibiliti kerajaan ketika ini di mana tarafnya? Soal presepsi bahawa kerajaan mutakhir seolah-olah menggadaikan kedaulatan negara kepada kuasa asing mengapa kian merebak? Soal kronisme mengapa terlalu rancak dipolemikkan? Dan, soal keterlanjuran menantu Abdullah mengapa kian menghantui pemikiran rakyat?

Golongan idealis pula akan bersuara, sudahkah Abdullah memberikan semangat, roh dan jiwa kepada kata-kata beliau yang termaktub di dalam puisi Damai Abadi yang menghiasi Manifesto BN dalam PRU11? Dan, sudahkah propaganda puitis Abdullah yang kononnya beliau mahu mencari “Al-Ghazali dan Al-Shafie” kerana beliau pemimpin yang berpedomankan “rahsia kitab suci” dan berpandukan “sunnah nabi,” menjadi realiti?

Sebenarnya, senarai persoalannya amat panjang sekali. Bagaimanapun, seluruh persoalan di atas sewajarnya menginsafkan Abdullah bahawa kesejahteraan hidup rakyat jelata yang sedang diraihkan sokongannya ketika ini bukan hanya berpaksikan kepada perangkaan trillion ringgit nilainya. Kesejahteraan total rakyat ketika ini sewajarnya merangkumi soal perut, roh dan jiwa; sewajarnya meliputi soal prinsip dan integriti; sewajarnya mencakupi soal minda, akal, budi dan kredibiliti, semestinya memfokus kepada soal maruah, jatidiri dan kedaulatan negara-bangsa! – Ruhanie Ahmad

Thursday, February 21, 2008

Amaran Buat Rakyat Malaysia
[http://antikhairy.blogspot.com]

Selepas pilihan raya ini maka kita akan saksikan pembentukan kerajaan baru. Kalau dahulu pilihan raya ini adalah untuk mendapatkan mandat buat Barisan Nasional tetapi kali ini adalah untuk mendapatkan mandat buat Khairy dan sekutunya memerintah Malaysia. Kerajaan Baru ini akan terdiri dari kroni-kroni Khairy Jamaluddin dan UMNO patut sedar bahawa keadaan ini pasti akan berlaku.

Pilihan raya ini akan menyaksikan ramai orang Khairy yang akan bertanding dan akan membentuk kepimpinan baru di peringkat bahagian kelak. Ini sebenarnya menjurus kepada pembentukan kerajaan baru yang akan dipimpin oleh orang-orang Khairy.

Percayalah orang-orang Khairy akan menjadi mata dan telinga beliau di setiap negeri dan akan mengambil alih kepimpinan daripada pemimpin yang sedia ada. Inilah yang akan membentuk kerajaan baru Khairy Jamaluddin yang sebenarnya tidak akan membawa apa-apa manfaat selain dari kuasa yang ada dibolot oleh Khairy dalam perancangannya untuk mengambil alih Malaysia.

Orang UMNO perlu sedar sekarang bahawa banyak wakil rakyat akan dibolot oleh orang-orang Khairy dan mereka akan mempunyai kuasa di setiap bahagian kelak. Mereka akan jadi penentu untuk Khairy menjual negara kita ini.

Kita dari UMNO perlu sedar kebinasaan yang akan berlaku kelak. Jalannya mudah – kita kena pastikan kalau Khairy bertanding – kita terpaksa berusaha mengalahkan beliau. Kita tidak mahu kerajaan baru khususnya kerajaan dalam kerajaan.

Malaysia sebenarnya dalam keadaan bahaya kalau membiarkan Khairy terus menerus bebas menyediakan kerajaa baru beliau – kerajaan dalam kerajaan dan ini MEMBUNUH kita sebagai rakyat Malaysia.

Posted by Anti Khairy at 2:16 AM
http://antikhairy.blogspot.com/2008/02/amaran-buat-malaysia.html

Calon PRU 12 Pilihan Khairy?

Menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin, dipercayai mempengerusikan jawatankuasa penilai calon-calon Parlimen dan DUN bagi PRU12. Demikian menurut Datuk Kamal Amir dalam tulisan terbarunya di Malaysia Today 18 Februari 2008.

Lain-lain anggota jawatankuasa tersebut, kata Kamal, adalah Datuk Panglima Anwar Zaini (Pengerusi Bernama), Datuk Shagul Hamid (Ketua Pengarah Biro Tata Negara), Datuk Kalimullah Hassan (Timbalan Pengerusi NST), Vincent Lim (Tingkat 4) dan Kamaluddin Abdullah (anak Perdana Menteri).

Di bawah ini saya petik tulisan Kamal kerana kisah ini seolah-olah mengesahkan info rahsia yang dikirimkan kepada blog ini pada akhir 2006 yang kemudiannya saya terbitkan dalam siri The Toyol Code. Antara coretan Kamal yang amat menusuk jiwa adalah seperti berikut:

Mana-mana (bakal) calon (dari kalangan penyandang dan muka baru) yang tidak mempunyai akses atau talian keakraban dengan menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin, lebih baik usah berangan menjadi calon (PRU12) meskipun musim pilihan raya ke-11 dahulu berjaya memperolehi kemenangan besar.

Kayu Pengukur

Persoalan sama ada mereka telah berkhidmat dengan baik, kawasan yang diwakilinya pesat membangun, bakat kepimpinan mereka terserlah dan mereka disayangi oleh pengundi, bukan lagi menjadi kayu pengukur. Jauh sekali persoalan bersih atau kepimpinan berkualiti diutamakan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Menurut seorang yang rapat dengan pejabat Perdana Menteri, sejak jam 12.00 tengahari Isnin, 18 Februari 2008, sebaik sahaja senarai calon yang dibawa oleh Ketua Perhubungan Barisan Nasional negeri diserahkan kepada Datuk Tajuddin selaku Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, senarai itu telah dihantar kepada satu jawatankuasa penilai.

Khabarnya, jawatankuasa penilai itu dipengerusikan oleh Khairy. Lain-lain anggotanya adalah Datuk Anwar Zaini, Datuk Shagul Hamid, Datuk Kalimullah Hassan, Vincent Lim dan Kamaluddin Abdullah.

Meskipun Datuk Seri Najib Tun Razak dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya (BN Pusat), beliau dan setiausaha politik Perdana Menteri, Datuk Osman Desa, tidak tersenarai untuk mengenal pasti serta meluluskan calon-calon yang bakal bertanding mewakili BN (dalam PRU12). Begitulah hebatnya menantu Perdana Menteri yang bakal dinobatkan sebagai Perdana Menteri menggantikan Abdullah menjelang tahun 2010.

Insaflah

Untuk itu, pimpinan peringkat Umno Bahagian di seluruh negara sedar dan insaflah bahawa persoalan bakat kepimpinan, kehebatan sebagai pemimpin ataupun (peribadi dan perilaku yang) bersih bukan lagi menjadi perkiraan. Apa yang penting, sejauh mana kesetiaan serta kesediaan anda merelakan Khairy menjadi Perdana Menteri di tahun 2010 sebagai kriteria terpenting. [Lagi: http://www.malaysia-today.net/2008/content/view/3083/84/]

Saya harap tulisan di atas tidak benar kerana kejadian seperti ini tidak pernah berlaku di era kepimpinan yang lalu. Mana mungkin Perdana Menteri atau Pengerusi BN menyerahkan tugas memuktamadkan senarai calon PRU kepada jawatankuasa yang majoriti anggotanya tidak mempunyai locus standi dalam kerajaan dan pengerusinya pula menantu beliau? Mana mungkin anak Perdana Menteri juga duduk sebagai seorang daripada ahli jawatankuasanya?

Tetapi, bagaimana kalau tulisan Kamal seperti di atas adalah yang benar dan sebenar-benarnya? Tidakkah tindakan ini memberikan gambaran amat negatif kepada Abdullah? Adakah Abdullah menyedari hal ini? Atau, mungkinkah kewujudan jawatankuasa itu memang direstui oleh Abdullah?

Dalam buku The Toyol Code [rujuk http://warung-buku.blogspot.com] saya paparkan maklumat bahawa sejak akhir 2006 wujud satu kelompok yang dikatakan diketuai oleh Khairy, bertanggungjawab menyediakan blueprint PRU12, termasuk menyenaraikan barisan calonnya.

Konspirasi Besar

Kumpulan itu dikatakan dibantu oleh Patrick Lim dan pihak asing. Maklumat eksklusif itu dikirimkan oleh seorang toyol kepada blog kudakepang. Seluruh maklumat tersebut dipetik oleh toyol terbabit daripada satu cakera padat (cd) yang mengandungi blueprint satu konspirasi besar. Konspirasi itu pula dijangka dilaksanakan menerusi PRU12.

Konspirasi tersebut kononnya direstui oleh Abdullah dengan beberapa objektif termasuk memastikan pucuk pimpinan tertinggi Malaysia mutakhir ini berjaya meneruskan kepimpinannya sesudah PRU12; memastikan seluruh agenda kuasa asing di Malaysia berjaya dicapai selepas PRU12; serta merintis dan mempercepatkan peluang seorang individu tertentu yang mengetuai konspirasi tersebut mencapai cita-citanya menjadi PM Malaysia menjelang usianya 40 tahun.

Saya juga berharap apa yang diinfokan kepada blog ini adalah tidak benar. Tetapi, kata toyol terbabit, kalau ada pihak yang menafikannya, cd konspirasi itu akan diposkan ke internet. Dua salinan cd tersebut dipercayai telah dibocorkan (dijual oleh salah seorang anggota konspirasi yang tidak mahu mengkhianati negara) kepada dua orang besar di Malaysia.

Oleh itu, kita tunggu dan lihat. Bagaimanapun saya terus berdoa ke hadrat Allah SWT semoga apa yang ditulis oleh Kamal dan apa yang dibocorkan oleh toyol kepada blog ini tidak akan jadi kenyataan! – Ruhanie Ahmad

Eksklusif:

Zakaria Deros Digugurkan
Ghani Kekal MB Johor

http://maisuara.blogspot.com

Wednesday, February 20, 2008

Terkini Tengahari:
Pemimpin-pemimpin Parti Komponen BN Temui Abdullah

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Dengan hanya tinggal empat hari sebelum hari penamaan calon bagi pilihan raya umum 8 Mac ini, pemimpin-pemimpin Barisan Nasional terus mengunjungi Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi mengemas kini senarai calon BN.

Sejak semalam beberapa Menteri Besar menemui Abdullah yang juga Pengerusi BN di Pejabat Perdana Menteri di sini.

Hari ini, beberapa buah kereta antaranya yang membawa Presiden MCA Datuk Seri Ong Ka Ting dilihat masuk ke kawasan bangunan kerajaan itu.

Lagi: http://web6.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=314965


Polemik Pasal Bloggers Di Ambang PRU 12

Di bawah ini adalah kenyataan terbaru dari seorang menteri dalam kerajaan sementara Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai bloggers tempatan. Menteri berkenaan (sahabat saya) menyarankan bloggers Malaysia “menjalani kursus budi bahasa.”

Saya tidak akan komen kenyataan di bawah ini. Sebaliknya, saya paparkan beberapa posting saya terdahului mengenai blogging dan bloggers buat renungan bersama. Juga dipaparkan di sini adalah sebahagian epilog buku yang sedang saya tulis – Bloggers Kawan Atau Lawan – sebagai input penggeloraan minda.

Berikut adalah antara sedutan kenyataan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, yang saya petik daripada Bernama 19 Februari 2008, berjodol Hentam Kerajaan Dalam Blog Bukan Budaya Malaysia.

Penulis blog perlu menilai diri sendiri sebelum mahu menghidupkan budaya mencemuh orang lain di negara ini.

Walaupun budaya menghentam kerajaan dalam laman blog adalah antara cabaran yang dihadapi oleh Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi pilihan raya umum, ia bukanlah budaya BN dalam berkempen dan memenangi pilihan raya.

Kursus Budi Bahasa?

Mereka (bloggers) menghentam Perdana Menteri, menteri dan anggota pentadbiran tetapi yang mereka tak hentam adalah diri mereka sendiri.

Tindakan penulis blog kini semakin menjadi-jadi dan pada pandangan saya mudah, musim (pilihan raya) ini adalah musim mencemuh orang, membunuh orang dengan kata-kata tetapi itu bukan budaya kami (BN). Saya sarankan mereka menjalani kursus budi bahasa kerana budi bahasa itu budaya kita.

Pada 11 Oktober 2006, saya kirimkan posting berjodol Ingatan Google Tentang Pengaruh Blog yang saya petik daripada Reuters seperti berikut:

Ketua Eksekutif Google Inc., Eric Schmidt, menyifatkan ahli-ahli politik masih belum menghargai impak dunia secara talian yang akan turut memberi kesan kepada keputusan pilihan raya.

Katanya, ramai ahli politik sebenarnya tidak memahami fenomena Internet dengan baik disebabkan masalah usia mereka.

Pada 14 September 2006 saya kirimkan tulisan ke blog ini berjodol Demokrasi Maya Mula Berwibawa. Antaranya saya meminta Datuk Seri Lik Kheng Yaik membaca The Electronic Republic oleh Lawrence Grossman, Cyberethics oleh James Lynch, dan Vote.Com oleh Dick Morris, kerana ketiga-tiga buku ini memberikan perspektif jelas mengenai alam siber dan generasi internet.

Maklumat Alternatif

Ketiga-kita buku ini juga boleh membantu kita memahami bagaimana masyarakat celek internet di serata dunia, termasuk di Malaysia, sedang dan akan mencorakkan demokrasi di hari muka menerusi ICT.

Pada 3 Mei 2007, saya poskan menerusi blog ini berita Bernama yang berjodol NUJ Mahu Kerajaan Iktiraf Blog Sebagai Media Baru. Berita itu memetik Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ), Norila Mohd Daud, sebagai berkata bahawa fenomena mendapatkan maklumat menerusi internet memberi kesan yang amat besar dan ini menjadi sumber maklumat alternatif isu-isu semasa yang menyentuh masyarakat di negara ini.

Akhir sekali, inilah tulisan mutakhir saya yang saya akan muatkan sebagai prolog dalam buku baru saya mengenai bloggers. Antaranya saya katakan seperti berikut:

Saya menerima satu ugutan maut, lebih lima kali diura-urakan untuk di tahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA, pernah digosipkan secara meluas untuk dipecat daripada UMNO, dibenci dan dimusuhi oleh segelintir manusia di sekeliling Perdana Menteri, digolongkan dalam kalangan 30 bloggers Malaysia yang berada dalam senarai hitam pihak-pihak tertentu, dan, paling hina sekali, pernah dikartunkan wajah saya dengan bertubuhkan seekor anjing!

Semua ini terjadi kerana manusia yang memandang serong terhadap bloggers sosio-politik, termasuk Abdullah dan segelintir menterinya, gagal memahami pentingnya blogs sebagai wadah komunikasi rakyat yang paling berkesan pada ketika ini. Sikap prejudis dan kebencian yang amat tebal ini menyebabkan individu-individu tersebut jadi buta hati. Mereka enggan menerima hakikat bahawa bloggers sosio-politik di Malaysia adalah golongan yang mempunyai kepakaran di bidang profesional. Mereka juga gagal untuk mengakui bahawa majoriti bloggers sosio-politik di negara ini juga adalah kumpulan wartawan yang berpengalaman dan ada nama.

Paling Rugi

Kegagalan Abdullah dan segelintir menterinya memahami hakikat blogs dan blogging serta signifikennya cabang komunikasi ini di seluruh dunia, juga menyebabkan mereka jadi bahan ketawa kepada banyak pihak. Lebih serius lagi, kegagalan ini menyebabkan mereka tidak menggunakan blogs sebagai satu daripada media penting dalam soal-soal negara dan kenegaraan.

Dalam konteks parti politik, sikap negatif dan tindakan konfrontasi Abdullah serta segelintir menterinya terhadap bloggers sosio-politik, menyebabkan UMNO khususnya, jadi pihak yang paling rugi dan paling ketinggalan dalam memanfaatkan blogs sebagai satu cara mengukuhkan parti, baik dari segi proses memenangi jiwa dan sokongan generasi muda, mahu pun dalam konteks melicinkan pengurusan politik hingga ke akar umbi.

Sebagai seorang ahli UMNO, saya amat sedih dengan hakikat ini. Bagaimanapun, saya sengaja tidak akan menghurai serta memperincikan dari aspek manakah UMNO kerugian dan dari aspek mana pula UMNO jadi ketinggalan. Cukup sekadar saya nyatakan di sini, apalah yang hendak diharapkan daripada UMNO kalau Ketua Penerangan UMNO Malaysia yang tidak tahu cara mengakses sesuatu lamanweb, membawa bala tenteranya ke satu balai polis di Kuala Lumpur untuk membuat laporan kononnya ada lamanweb tempatan yang menghina Institusi Raja.

Memang UMNO mempunyai sekumpulan cyber troopers atau bloggers upahan dengan ganjaran yang lumayan. Tetapi, oleh kerana individu yang jadi Ketua Penerangan UMNO Malaysia pun tidak faham apa itu blogs dan apa pula signifiken dan pentingan blogs sebagai wadah komunikasi moden, bloggers upahan ini pun hanya bertindak sebagai kaki pukul siber yang merapu tak tentu hujung dan pangkalnya. Ada juga di kalangan bloggers upahan ini yang kini jadi penabur fitnah par excellence!

Segala-galanya jadi begini kerana inilah hakikatnya UMNO di era Abdullah. Kalau UMNO di era Tun Dr Mahathir Mohamad berjaya mencetuskan gagasan ICT yang dikagumi dunia, UMNO di era Abdullah terbukti gagal hanya untuk menangani fenomena blogs - satu-satunya ledakan baru daripada convergence ICT mutakhir ini. Kalau ada individu yang perlu dipersalahkan dalam hal ini, individu itu adalah Abdullah, Menteri Penerangannya dan lain-lain pihak yang enggan menasihati Abdullah, UMNO dan pemerintah dengan nasihat yang sebenar-benarnya mengenai blogs dan komunikasi rakyat di zaman ICT. – Ruhanie Ahmad

Tuesday, February 19, 2008

Kenyataan “Hamba No. Satu Negara”
Yang Sukar Untuk Dilupakan Rakyat (2)

Sebilangan rakyat jelata Malaysia dilanda dilemma dan keresahan. Mereka dirayu untuk memberikan mandat besar kepada Barisan Nasional (BN) dalam PRU12 seperti dalam pilihan raya umum sejak berpuluh tahun yang lalu.

Untuk membantu rakyat jelata membuat keputusan muktamad, saya siarkan semula di bawah ini beberapa kenyataan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Perdana Menteri mutakhir.

Buat siri kali ini, pastikanlah mengapa dalam Manifesto BN bagi PRU 11, Abdullah berkata: “saya adalah hamba no. 1 negara” dan “bekerja bersama saya dan bukan untuk saya.”

Sesudah itu, renungkanlah apa sudah jadi kepada “hamba no. 1 negara” kita pada hari ini? Mengapakah kini wujud persepsi negatif rakyat jelata terhadap beliau? Mengapakah terlalu banyak foto beliau yang sedang tertidur dalam sesuatu majlis diabadikan oleh jurufoto lokal dan internasional? [Foto-foto beliau yang menghiasi side-bar blog ini adalah antara buktinya.]

Dan, adakah kata-kata “bekerja bersama saya dan bukan untuk saya” yang terkandung dalam Manifesto BN bagi PRU11 cuma satu retorika atau sudah jadi kenyataan? Kalau jadi realiti, siapakah yang bekerja untuk Abdullah? Menantunya? Konco-konco menantunya? Atau, sekadar segelintir manusia di sekelilingnya yang bertindak “sokong bawa rebah”?

Oleh itu, sekali lagi wajar anda insaf bahawa sebelum anda keluar mengundi pada 8 Mac 2008, renung, tuntasi dan rincikanlah kata-kata di atas dengan tenang dan rasional. Kaji sejauh manakah kata-kata itu telah diberikan roh dan jiwa setelah Abdullah menerima mandat besar melalui PRU 11. Akhirnya, pastikan sendiri sama ada kenyatan di atas adalah realiti atau sekadar retorika dan ilusi. – Ruhanie Ahmad

Saturday, February 16, 2008

Tunggul Kayu, Kenyataan Mahathir
Dan Pendapat Terbaru Khir Toyo….

Baru-baru ini Tun Dr Mahathir Mohamad menasihati rakyat Malaysia supaya berfikir dengan penuh hikmah sebelum mengundi BN dalam PRU12. Kata Tun Mahathir, sekiranya calon itu hanya “tunggul kayu” dan rasuah “rakyat tidak sepatutnya mengundi mereka sekalipun mereka mewakili BN.”

Kenyataan Mahathir disifatkan oleh sesetengah pihak sebagai menghasut. Sebenarnya, kenyataan itu berasaskan maklumat yang sampai ke telinga Mahathir. Contohnya adalah seperti di bawah ini:

Voters Go For Candidates Than Party, Says Khir

KUALA SELANGOR, Feb 16 (Bernama) -- Two recent surveys indicate that the majority of voters in the Klang Valley rely on the candidate than the party in picking their elected representative, Selangor Menteri Besar Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo said here.

He said the surveys, conducted by the Selangor Barisan Nasional (BN), showed that between 50 and 70 per cent of the respondents looked at the personality of the candidate rather than the party when making their choice in an election.

The surveys revealed that the mindset of voters had changed, signalling that the Selangor BN must ensure that its candidates in the Klang Valley must be well qualified and acceptable to the voters, he told reporters after launching the Sekinchan Smart Community programme at the Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yoke Kuan in Sekinchan near here last night.

As such, the criteria for choosing election candidates in Selangor included good educational background and good interpersonal skills, he said, adding that good looks would be an added advantage.

Khir said this new trend was also apparent among the Indian voters in the Batu Caves state constituency, adding that Selangor BN had to propose more than one potential candidate from the MIC to gauge their popularity and acceptance.

He also called on voters in Sekinchan to return the BN to the state seat held by the DAP. – BERNAMA [http://www.bernama.com]

Mingguan Wasilah meminta komen saya mengenai kenyataan Mahathir. Jawapan saya kepada akhbar tabloid yang akan terbit esok adalah seperti berikut:

“Tun Mahathir seorang negarawan. Beliau pemikir soal bangsa yang kritis dan futuristik. Beliau banyak membaca. Beliau banyak mengkaji. Kepada saya, apa yang Tun Mahathir suarakan perlu dikaji secara dalam. Kepada saya, kenyataan itu ibarat “pukul anak sindir menantu”.

Bila Tun Mahathir minta rakyat berfikir panjang sebelum mengundi, kenyataan itu mesti dibaca bersama kenyataan beliau yang meminta rakyat menilai sama ada seseorang calon dalam PRU12, waima BN, adalah “tunggul kayu”, rasuah, penipu dan tidak mempunyai akauntabiliti kepada rakyat. Saya katakan ini kenyataan “pukul anak sindir menantu” kerana Tun Mahathir mahu menghantar isyarat kepada kepimpinan mutakhir supaya calon-calon BN dalam PRU12 ini adalah berwibawa, jujur, ikhlas dan mempunyai komitmen tinggi terhadap rakyat dan kesejahteraannya.

Maknanya, Tun Mahathir mahukan Datuk Seri Abndullah Ahmad Badawi “bersihkan” UMNO, kerajaan dan BN menerusi pemilihan calon PRU12. Ini membuktikan Tun Mahathir terus prihatin terhadap keunggulan UMNO, BN dan kerajaan.

Pastinya Tun Mahathir mengeluarkan kenyataan itu setelah beliau membaca sikap pengundi di zaman ini, di mana mereka lebih menentingkan personaliti daripada soal parti.

Sebagai blogger sosio-politik, saya sering menerima komen seperti ini daripada kalangan mereka yang memberikan komen. Saya rasa sikap ini seolah-olah menyeluruh di kalangan generasi muda dan golongan profesional. Mereka mengambil sikap ini kerana mereka jelak dengan desas-desus rasuah, skandal rasuah dan salahguna kuasa dan sebagainya yang berlaku hari ini.

Jadi, kepimpinan BN kenalah sensitif terhadap kenyatan Tun Mahathir ini. Ambillah semangat kenyataan ini secara positif dan proaktif demi UMNO, BN dan kerajaan. Tapi, kalau kenyataan Tun Mahathir ini disifatkan negatif dan ditafsir dari sudut yang serong, ambillah risiko sendiri kalau sesuatu mengejutkan berlaku menerusi PRU12 ini.

Jangan kata tidak ada negarawan yang pernah bersuara tentang hal ini! Lagipun, memang sudah sampai masanya kita ketengahkan golongan yang berwibawa dan berkemampuan memperjuangkan rakyat kerana zaman menuntut kita sentiasa memperkasakan perjuangan kita!
- Ruhanie Ahmad


Kenyataan “Hamba No. Satu Negara”
Yang Sukar Untuk Dilupakan Rakyat (1)

Sebilangan rakyat jelata Malaysia dilanda dilemma dan keresahan. Mereka dirayu untuk memberikan mandat yang besar kepada Barisan Nasional (BN) seperti dalam pilihan raya umum sejak berpuluh tahun yang lalu.

Untuk membantu rakyat jelata membuat keputusan muktamad, saya siarkan semula di bawah ini beberapa kenyataan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Perdana Menteri mutakhir.

Dalam siri permulaan ini saya siarkan sepenuhnya di bawah ini ucapan Abdullah sewaktu membentang Usul Penghargaan Dan Terima Kasih kepada YAB Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad, Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia pada jam 11.00 pagi, 3hb November 2003.

Luangkanlah sedikit masa untuk membaca kenyataan yang agak panjang ini seperti berikut:

Tuan Yang di-Pertua. Izinkan saya bangun membawa usul khas di bawah Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 27(3), dalam persidangan Dewan kali ini yang berbunyi:

Bahawa Dewan ini, menerima hakikat bahawa Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu, yang menjadi Perdana Menteri Malaysia Keempat sejak 16 Julai 1981 dan telah berkhidmat dengan penuh dedikasi, tegas, cekap, berkesan, cemerlang dan bijaksana, telah pun mengosongkan persada kepimpinan negara;

Menghargai serta menyanjung tinggi perjuangan, pengorbanan, budi, jasa dan bakti bekas Perdana Menteri iaitu Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu yang amat murni, abadi serta tidak ternilai besarnya, menerusi pelbagai dasar, strategi dan program yang pragmatik, demi perpaduan dan ketahanan nasional, keselamatan dan kesejahteraan bangsa serta kemakmuran dan kegemilangan negara;

Menyedari serta menginsafi konsistensi, kesungguhan dan keprihatinan Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu di dalam perjuangannya memartabatkan Islam dan umat Islam di seluruh jagat, khususnya di negara Malaysia yang majmuk, menerusi penguasaan dan kecemerlangan ilmu di semua bidang kehidupan mutakhir,

Kebijaksanaan

Menghayati serta menyokong penuh kebijaksanaan Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu di dalam menangani krisis ekonomi negara akibat kedurjanaan pengganas kewangan antarabangsa menerusi strategi ekonomi, kewangan dan pengurusan yang unik, efektif dan diiktiraf dunia;

Mengiktiraf bahawa Wawasan 2020 yang diilhamkan oleh Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu iaitu bekas Perdana Menteri adalah satu doktrin perdana bagi perjuangan membina negara Malaysia yang terus berdaulat dan merdeka serta lebih bersatu padu, sejahtera, aman, makmur, maju, cemerlang, bermaruah dan berwibawa di era globalisasi dan neo-kolonialisme;

Mengakui bahawa perjuangan Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu memajukan ICT menerusi penubuhan Koridor Raya Multimedia serta memajukan bioteknologi menerusi kewujudan Lembah Bio akan memberi manfaat besar kepada bangsa dan negara Malaysia di hari muka;

Mengagumi kewibawaan, kebijaksanaan serta keberanian Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu yang telah memperkasa martabat bangsa dan negara Malaysia serta umat manusia di negara-negara membangun secara amnya, di arena antarabangsa, menerusi inisiatif multilateral sewilayah, di antara benua dan di seluruh jagat, serta menerusi pandangan, gagasan serta pemikirannya yang universal di bidang kemanusiaan, kesaksamaan, kesamarataan, perdagangan sains, teknologi, siasah dan keluhuran undang-undang antarabangsa, khususnya di peringkat ASEAN, APEC, NAM, OIC dan PBB;

Maka, Dewan Rakyat yang bersidang pada hari ini, 3 November 2003, bersamaan 8 Ramadhan 1424H, mengambil ketetapan untuk;

Merakamkan setinggi-tinggi penghargaan serta jutaan terima kasih dari seluruh rakyat jelata Malaysia kepada Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu;

Berikrar akan terus berjuang mempertahankan kedaulatan, kemerdekaan dan kesejahteraan tanah air menerusi seluruh dasar, strategi dan program yang telah diperkenalkan serta diperjuangkan oleh Ahli Parlimen Kubang Pasu;

Pengabdian

Dan terus berusaha ke arah mencemerlangkan rakyat Malaysia di hari muka berasaskan semangat Perlembagaan Persekutuan, prinsip-prinsip Rukun Negara dan juga matlamat utama Wawasan 2020.

Tuan Yang di-Pertua, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad telah mengabadikan diri untuk negara bangsa Malaysia selama tempoh 22 tahun 3 bulan 15 hari sebagai Perdana Menteri bermula pada 16 Julai 1981 sehinggalah pada tarikh beliau bersara pada 31 Oktober lalu.

Sesungguhnya khidmat beliau kepada negara bangsa bermula lebih awal dari itu. Suara bernas lagi tegas beliau mula bergema di Dewan ini sejak dipilih sebagai Ahli Parlimen bagi kawasan Kota Setar Selatan dalam pilihan raya umum yang diadakan pada 25 April 1964.

Perkhidmatan beliau sebagai Ahli Parlimen terputus seketika apabila beliau tewas dalam pilihan raya umum pada Mei 1969. Pada 12 Februari 1973 beliau dilantik sebagai Ahli Dewan Negara. Dalam pilihan raya pada 24 Ogos, 1974 beliau dipilih menjadi Ahli Parlimen bagi kawasan Kubang Pasu. Beliau lalu dilantik oleh Allahyarham Tun Abdul Razak sebagai Menteri Pelajaran.

Apabila Tun Abdul Razak kembali ke rahmatullah, beliau di lantik oleh Allahyarham Dato’ Hussein Onn sebagai Timbalan Perdana Menteri. Di bawah kepimpinan Dato’ Hussein Onn beliau pernah menjawat jawatan Menteri Perdagangan dan Industri.

Dalam tempoh waktu menjawat jawatan Perdana Menteri beliau turut menjadi Menteri kepada Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kewangan.

Ditolak 42 bulan beliau terputus menjadi Ahli Parlimen, Ahli Dewan ini, Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu adalah orang kedua yang paling lama selepas Ahli Parlimen bagi Batu Berendam berkhidmat sebagai Ahli Parlimen.

Dalam tempoh hampir 36 tahun menjadi Ahli Parlimen, selama 29 tahun beliau menjadi anggota Jemaah Menteri dan selama lebih 22 tahun sebagai Perdana Menteri.

Wawasan

Sewaktu menjadi Ahli Parlimen biasa di Dewan Rakyat mahupun di Dewan Negara, beliau telah menyuarakan pendapat secara berani, secara kritis, secara terbuka, secara berterus terang.

Beliau memiliki identiti sebagai Ahli Parlimen yang menyuarakan pandangan bernas dan berpendirian tegas. Beliau sentiasa membawa nada pembaharuan sering kali mendahului jauh ke hadapan dari segi pandangan, pendirian unjuran dan wawasan.

Ketika mengambil tanggungjawab sebagai Perdana Menteri, negara di ambang menyambut ulang tahun kemerdekaan kali yang ke 24. Ketika beliau mengundurkan diri dari jawatan tersebut, Malaysia telah menyambut hari ulang tahun kemerdekaan kali yang ke 46.

Beliau mewarisi dari kepimpinan terdahulu sebagai sebuah negara yang stabil dari segi politik dan makmur dari segi ekonomi, bertapakkan gagasan sebuah negara yang aman lagi makmur, beliau telah melonjakkan pencapaian negara kepada satu tahap kejayaan yang amat membanggakan.

Pembangunan prasarana fizikal dan pembangunan sumber manusia negara berlaku paling pesat dalam tempoh beliau menjadi Perdana Menteri yang lebih penting adalah kejayaan meletakkan negara mendapat pengiktirafan dunia hingga Malaysia dijadikan negara contoh dari segi kestabilan politik, kemakmuran ekonomi, perpaduan kaum dan toleransi agama serta di iktiraf sebagai sebuah negara Islam yang paling progresif.

Melalui kepimpinan beliau, negara kecil bernama Malaysia bangun untuk memainkan peranan besar di forum antarabangsa, Kerjasama Selatan-selatan diberikan nafas baru, ASEAN berjaya diperbesarkan, Persidangan Negara-negara Komanwel, Negara G15, Persidangan Negara-negara Berkecuali dan Persidangan Negara OIC dapat dianjurkan di Malaysia.

Kebanggaan

Hari ini Malaysia menjelma sebagai negara ke lapanbelas terbesar dunia dari segi perdagangan. Malaysia telah menggariskan wawasan jangka panjang menjadi sebuah negara maju dalam tahun 2020. Malaysia berkeupayaan menangkis ancaman krisis kewangan 1997.

Beliau berjaya membina dan menyemaikan keyakinan diri, kebanggaan nasional, nilai, maruah dan semangat kenegaraan, di kalangan warga. Beliau adalah wira bangsa, wira Negara, yang telah mengharumkan nama negara, bangsanya di serata dunia.

Bekas Perdana Menteri pemimpin berwawasan. Lebih penting dari itu, beliau mempunyai kesungguhan memastikan wawasan menjadi realiti.

Beliau merupakan negarawan yang memenuhi aspirasi warganya dan memberikan inspirasi kepada mereka untuk mencapai aspirasi yang diimpikan. Seorang negarawan yang mendahului pemikiran warga sezaman, namun berjaya mencipta masa depan yang penuh realiti. Beliau melakukan transformasi kepada negara dari begitu bergantung kepada sumber pertanian menjadi sebuah negara perindustrian dan maju di kalangan negara membangun.

Bahawa warga dan negara amat menghargai jasa dan khidmat bakti yang telah beliau laksanakan secara amanah, secara bertanggungjawab hingga memungkinkan warga dan bangsa berada di persada kehebatan bertapak di altar kecemerlangan muncul sebagai sebuah negara yang dihormati lagi disegani.

Dewan ini, Tuan Yang di-Pertua, ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas segala jasa dan segala bakti, segala cetusan pemikiran, segala kebernasan pendapat, segala pengorbanan, segala khidmat, segala kesungguhan, segala kegigihan yang telah beliau buktikan.

Sesungguhnya Dewan ini juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Siti Asmah binti Mohd Ali dan seluruh anggota keluarga beliau yang turut sama melakukan pengorbanan besar untuk membolehkan beliau menumpukan tenaga, pemikiran dan masa mengabadikan diri berkhidmat bukan sekadar untuk negara dan warga Malaysia, malah di rantau ini di kalangan negara-negara membangun, di kalangan negara-negara Islam.

Warisan

Kita mendoakan semoga hari-hari persaraan beliau dilimpahkan segala rahmat dan keberkatan. Semoga beliau berada dalam keadaan sihat lagi sejahtera, semoga beliau dan Tun Dr. Siti Asmah serta keluarga dilimpahkan segala kebahagiaan.

Semoga khidmat bakti beliau diterima oleh Allah S.W.T sebagai amal maa’ruf, dianugerahkan ganjaran di dunia dan ganjaran akhirat. Sebesar-besar hadiah persaraan yang dapat warga Malaysia berikan kepada beliau adalah untuk meneruskan wawasan dan impian menjadikan Malaysia sebuah negara maju, makmur, aman dan stabil.

Saya amat bersyukur bahawa bekas Perdana Menteri telah mewariskan satu kejayaan, kejayaan mengekalkan kestabilan politik, kejayaan mengukuhkan perpaduan warga, kejayaan membangunkan ekonomi negara, kejayaan mengisi erti kemerdekaan, atas tapak kejayaan tersebut dengan bimbingan Ilahi dan mengambil pedoman dari kejayaan yang telah dicipta oleh pemimpin-pemimpin terdahulu.

Dengan kerjasama anggota Jemaah Menteri dan dengan sokongan dari setiap lapisan rakyat saya akan berusaha menumpukan fikiran dan tenaga meneruskan usaha membina kejayaan lebih cemerlang, lebih gemilang dan lebih terbilang.

Tuan Yang di-Pertua, izinkan saya memetik hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud bermaksud:

“Jikalau Allah inginkan supaya sesuatu bangsa itu sejahtera maka Tuhan memberikan bangsa itu pemimpin yang baik.”

Kita bersyukur kerana Allah S.W.T telah mengurniakan negara Malaysia dengan barisan kepimpinan yang baik.

Keempat-empat Perdana Menteri terawal Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putera - Al-Marhum, Tun Abdul Razak Hussein - Al-Marhum, Tun Hussein Onn - Al-Marhum dan Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad telah mewariskan kepada kepimpinan terkemudian sebuah negara yang aman, stabil dan makmur.

Terbilang

Pemimpin terkemudian berupaya membina kejayaan lebih cemerlang atas kejayaan yang telah dicipta oleh pemimpin sebelumnya.

Setiap Perdana Menteri telah mencipta kejayaan dalam era kepimpinan masing-masing. Dewan ini wajar memperingati jasa dan bakti setiap Perdana Menteri, mewariskan kepada warga sebuah negara yang stabil lagi makmur.

Semoga Allah S.W.T. mencucuri rahmat ke atas mereka yang telah pergi mendahului kita kembali ke Rahmatullah. Pada petang Jumaat 31 Oktober 2003, bersama 5 Ramadhan 1424 Hijrah, dengan ketentuan Allah S.W.T. saya telah mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia Kelima.

Penentuan tersebut memperkukuhkan betapa kebesaran kuasa Ilahi bahawa manusia sekadar merancang, Allah juga yang menentukan. Ketahuilah Allah S.W.T. adalah berkuasa dan mentakdirkan segala-galanya dalam ayat Al-Quran 68, Surah Al-Qasas, ada sepotong ayat yang maksudnya: “Dan Tuhanmu menciptakan apa yang dirancang berlakunya, dan dialah juga yang memilih sesuatu dari makhluknya untuk sesuatu tugas ataupun keutamaan dan kemuliaannya. Tidaklah layak dan tidaklah berhak bagi sesiapa pun memilih selain dari Allah, maha suci Allah dan maha tinggilah keadaannya dari apa yang mereka sekutukan dengannya.”

Abdullah melafazkan kata-kata di atas di Dewan Rakyat dengan secara ikhlas dan jujur demi agama, bangsa dan negara. Bagaimanapun, sebelum anda keluar mengundi pada 8 Mac 2008, renung, tuntasi dan rincikanlah kata-kata di atas dengan tenang dan rasional. Kaji sejauh manakah kata-kata itu telah diberikan roh dan jiwa setelah Abdullah menerima mandate besar melalui PRU 11. Sesudah itu, pastikan sendiri sama ada kenyatan itu satu realiti atau sekadar retorika dan ilusi semata-mata. – Ruhanie Ahmad
Buku-Buku Mengenai PRU12
Dijual Di Warung Buku Siber

Hindraf
Satu Konspirasi?
ISBN No: 978-983-43835-1-0.

Gelombang Kuning
Gelombang Rakyat
ISBN No: 978-983-43835-2-7

The Toyol Code
ISBN No: 978-983-43835-0-3

segera dapatkannya menerusi http://warung-buku.blogspot.com

Friday, February 15, 2008

Abdullah Mengadap DYMM Sultan Johor:
Bakal MB Baru Seorang Veteran UMNO

[maisuara.blogspot.com]

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini tergesa-gesa terbang ke Johor Bahru untuk mengadap DYMM Sultan Johor, Sultan Iskandar, di Istana Bukit Serena, dipercayai untuk membereskan soal pencalonan bakal MB Johor selepas PRU12. Demikian sumber-sumber ibu pejabat UMNO Malaysia memberitahu Suara tengahari tadi.

Sebelum itu, Abdullah mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi BN dan kemudiannya mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO, di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur.

Sumber-sumber di Johor Bahru pula memberitahu Suara, Abdullah diperkenan mengadap DYMM Sultan Iskandar lebih kurang satu jam mulai 3.30 petang. Kemudiannya beliau terus terbang pulang ke Kuala Lumpur.

Adalah tidak diketahui sama ada MB Johor, Datuk Haji Abdul Ghani Othman, yang tidak menghadiri mesyuarat MT UMNO di Kuala Lumpur, turut terlibat dalam pertemuan berkenaan.

Bernama pula melaporkan Ghani memang tidak turut serta dalam rombongan Abdullah menghadap Sultan Iskandar. Kata laporan itu lagi, ini menguatkan ura-ura bahawa pertemuan itu ada kaitan dengan kedudukan Ghani.

Ketika ini, beberapa nama disebut-sebut sebagai bakal MB Johor selepas PRU12. Ini termasuklah Datuk Seri Khalid Nordin, Exco Kanan Haji Ahmad Zahri Jamil dan Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Tan Sri Mohamad Rahmat.

Sumber-sumber di Johor Bahru bagaimanapun menyatakan, kemungkinan nama-nama di atas diperkenankan menduduki kerusi MB Johor adalah amat tipis. Kata mereka, DYMM lebih lebih cenderung melilih seorang pemimpin veteran UMNO Johor untuk jawatan tersebut.

Siapakah beliau? Warga politik Johor yang masih ingat bagaimana bercelarunya keadaan pertukaran kerusi DUN dan Parlimen di saat-saat akhir dalam PRU11, di mana Khalid Nordin yang dijangka bertanding DUN terpaksa berhijrah ke Parlimen Pasir Gudang, pastinya ingat akan Datuk Ali Hassan, yang kini Speaker DUN Johor. Mungkinkah beliau calon MB yang direstui DYMM Sultan? Kita tunggu dan lihat! - Suara Eksklusif
Rakyat Malaysia Mengundi Pada 8 Mac

PUTRAJAYA, 14 Feb (Bernama) -- Pengundian bagi pilihan raya umum ke-12 ditetapkan pada 8 Mac ini manakala penamaan calon ialah pada 24 Feb, Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) mengumumkan hari ini.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata pilihan raya umum kali ini membabitkan 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di 12 negeri kecuali Sarawak yang telahpun mengadakan pilihan raya negerinya pada 2006.

Seramai 10,922,139 rakyat Malaysia layak mengundi kali ini berdasarkan kepada daftar pemilih yang diwartakan pada 5 Feb lepas, katanya.

http://web6.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=313754

Thursday, February 14, 2008

Terkini:
Pencalonan 24 Februari 2008
Pengundian Sabtu 8 Mac 2008

Ini maklumat terkini yang masih belum disahkan – hari penamaan calon bagi PRU12 dijangka pada Ahad 24 Februari 2008 (12 hari dari tarikh pembubaran parlimen), sementara pembuangan undi pada Sabtu 8 Mac 2008 (14 hari dari hari penamaan calon).

Tempoh ini agak panjang (25 hari dari tarikh pembubaran parlimen hingga ke hari membuang undi) berbanding PRU11. Pastinya ini akan menjadikan PRU12 lebih menarik, mendebarkan dan mencapekkan semua pihak. – Ruhanie Ahmad
Untuk Tempahan Buku

The Toyol Code
ISBN No: 978-983-43835-0-3
RM16.00 (Semenanjung)
RM18.00 (Sabah & Sarawak)
Tambahan RM3.00 untuk tempahan secara pos

Gelombang Kuning Gelombang Rakyat
ISBN No: 978-983-43835-2-7
RM17.00 (Semenanjung)
RM19.00 (Sabah & Sarawak)
Tambahan RM3.00 untuk tempahan secara pos

Hindraf Satu Konspirasi?
ISBN No: 978-983-43835-1-0
RM18.00 (Semenanjung)
RM20.00 (Sabah & Sarawak)
Tambahan RM3.00 untuk tempahan secara pos
Kunjungilah

Warung Buku
destinasi serenti untuk karya ruhanie ahmad

http://warung-buku.blogspot.com/

SUARA
Laman Berita Politik Malaysia

http://maisuara.blogspot.com
Kepimpinan Abdullah Dan PRU12:
Satu Renungan Buat Rakyat Jelata

Ruhanie Ahmad

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan membubarkan parlimen pada 13 Februari 2008 mengikut kuasanya yang termaktub dalam Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan.

Lantas, majoriti rakyat jelata pun terus memfokus perhatian kepada PRU12 yang boleh dijalankan pada bila-bila masa dalam tempoh 60 hari mulai tarikh pembubarannya.

Hanya segelintir sahaja yang mungkin dibelenggu pertanyaan sama ada setelah pembubaran di atas, Agong wajar melantik satu team kerajaan sementara di bawah pimpinan seorang Perdana Menteri yang juga sementara kuasa-kuasanya.

Hakikatnya sedemikian kerana rakyat Malaysia sudah terbiasa dengan amalan convention di mana Perdana Menteri dan kabinetnya yang berkuasa sebelum parlimen dibubarkan diiktiraf sebagai team yang terus bertanggungjawab mengendalikan negara secara sementara setelah parlimen dibubarkan.

Hakikatnya juga begitu kerana convention yang sama memang jadi amalan di majoriti negara-negara komonwel di serata dunia, melainkan di Bangladesh.

Pada waktu yang sama, Perlembagaan Persekutuan juga tidak mempunyai peruntukan khusus dan jelas mengenai kerajaan sementara dan sekatan-sekatan kuasanya.

Kerajaan Sementara

Rakyat Malaysia juga tidak pernah mempertikaikan status kerajaan sementara di waktu parlimen sudah dibuarkan kerana majoritinya selesa dengan karenah serta perilaku pucuk pimpinan kerajaan yang wujud sebelum pembubaran berkenaan.

Dalam ertikata lainnya, sebelum ini memang sebilangan besar rakyat Malaysia tidak pernah berasa kecewa, tidak pernah berasa resah dan tidak pernah melahirkan kebencian mereka secara terbuka terhadap kerajaan sebelum parlimen dibubarkan.

Mereka bersikap begitu kerana mereka tidak pernah berasa tidak selamat, tidak pernah merasakan maruah dan kedaulatan negara seolah-olah digadaikan kepada kuasa asing, tidak pernah menganggap kehidupan mereka amat dihempet dan dihambat oleh kos sara hidup yang seolah-olah di luar kawalan kerajan.

Majoriti rakyat juga tidak pernah beranggapan bahawa Perdana Menteri mereka tidak efektif, tidak pernah diganggu-gugat oleh kemaharajalelaan kroni-kroni pembesar negara ke tahap yang ekstrem, tidak pernah terfikir yang kerajaan diancam sindrom kredibiliti yang parah, tidak pernah dibingungkan dengan seribu satu kedolak-dalikan, pembohongan, penipuan dan kepura-puraan.

Pendek kata, setelah mengambil kira hakikat bahawa “manusia hanya merancang, tetapi Allah SWT sahaja yang menentukan segala-galanya,” rakyat jelata sebelum era Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memang tetap yakin bahawa kerajan dan kepimpinan negara boleh terus dimandatkan memimpin kerajaan sementara sewaktu parlimen sudah dibubarkan untuk sesuatu PRU.

Era Mahathir

Hakikat dan realiti seperti di atas terutamanya wujud di era kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri. Biarpun kepimpinan Mahathir pernah berhadapan dengan seribu satu masalah, ribut dan kegawatan, majoriti rakyat tetap yakin dan selesa bila Mahathir mengepalai kerajaan sementara sewaktu sesuatu PRU dijalankan.

Ini kerana Mahathir berwawasan besar, optimis, melonjak serta mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa, memberikan harapan dan inspirasi yang segar ke arah hari muka yang lebih berwibawa, bahagia dan sejahtera. Kepimpinan Mahathir juga tidak dibayangi pelbagai karenah dan perilaku ekstrem oleh segelintir insan rakus, angkuh dan manipulatif di sekelilingnya.

Memang ada segolongan rakyat yang membidas Mahathir secara melulu sehingga tercetus gelaran “mahafiraun” dan sebagainya. Tetapi, negativism sedemikian rupa mudah sahaja dilunturkan oleh rekod Mahathir yang diiktiraf ramai sebagai cemerlang dan membanggakan.

Biarpun begitu, walau terdapat suatu detik dalam pemerintahannya di mana Mahathir hanya menikmati popularity rating sebanyak 80 peratus, Barisan Nasional (BN) terbukti pernah tewas di peringkat negeri. Sampai hari ini pun Kelantan masih kekal dikuasai oleh PAS sejak 1990.

Berasaskan huraian yang mungkin juga digandingi retorika dan nostalgia seperti di atas, sewajarnyalah kepimpinan Abdullah menginsafi hakikat dan realiti terhadap peluang BN dalam PRU12.

Keajaiban Abdullah

Tetapi, kerana PRU12 pun hanya beberapa hari lagi akan diadakan, apakah keajaiban Abdullah untuk menjamin kecemerlangan BN kali ini serupa dengan prestinya dalam PRU11?

Slogan cemerlang, gemilang, terbilang ciptaan Abdullah kini hanya jadi gurauan rakyat. Retorika Abdullah bahawa “saya hamba no. 1 negara” sudah jadi bahan ketawa. Propaganda puitis bahawa Abdullah adalah Mr. Clean yang hanya mencari “Al-Ghazali dan Al-Shafie” kerana beliau pemimpin yang berpedomankan “rahsia kitab suci” dan berpandukan “sunnah nabi,” sudah jadi amat sukar untuk diyakini.

Saya ahli UMNO dan saya juga pendukung BN. Manusia seperti saya menghuraikan soal-soal di atas bukan kerana membenci BN atau mengkhianati UMNO. Saya jadi begini kerana saya bimbang akan sesuatu bencana yang mungkin tiba.

Berapa ramai lagikah agaknya warga siasah yang pessimis seperti saya? Dalam kebimbangan seperti ini mereka juga dilanda dilemma. Di telan mati emak, diluah mati bapak, begitulah ibaratnya.

Dalam situasi sebegini, apakah ubat kepada dilemma tersebut? Bagaimana jika sebilangan besar warga UMNO dan BN memilih untuk menjadi Jebat Derhaka? Apa kesudahannya jika mereka memilih untuk mengubati kekecewaan mereka yang parah secara emosi dan marah?

Lantaran itu, untuk menyelamatkan keadaan sedemikian rupa, bersalahkah dan berdosakah jika majoriti rakyat menggantungkan harapan agama, bangsa dan negara ini buat sementara waktu, ke pundak Agong dan Raja-Raja Melayu untuk mengkoreksikan segala kepincangan, ketempangan dan kekecewan yang wujud mutakhir ini secara total dan komprehensif? DAULAT TUANKU!

Wednesday, February 13, 2008

Pendirian Ruhanie, BN Dan PKR
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-12

Kehadiran saya di satu majlis yang turut dihadiri sahabat saya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Kuala Lumpur, malam tadi, sekali lagi menimbulkan spekulasi kononnya saya akan bertanding di kawasan Parlimen Parit Sulong, Johor, atas tiket PKR dalam PRU12. Lantaran itu, saya dihujani panggilan telefon sepanjang hari ini. Posting saya di blog ini hari juga menerima pelbagai reaksi pro dan kontra.

Oleh kerana parlimen sudah dibubarkan dan hari penamaan calon bagi PRU12 dijangka pada 21 Februari 2008, saya siarkan sepenuhnya di bawah ini satu posting saya di blog puteramaya pada 27 Disember 2007, dengan jodol Ruhanie Tanding PRU 12 Atas Tiket Parti Keadilan?, seperti berikut:

Masyarakat dalam Parlimen Parit Sulong sedang digemparkan dengan ura-ura saya (Datuk Ruhanie Ahmad) akan bertanding dalam PRU12 atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR)

Berita ini menyebabkan seorang Pegawai Polis Cawangan Khas (SB) bahagian politik di Pejabat Polis Daerah Batu Pahat menghubungi saya untuk mendapatkan kepastian yang muktamad.

Ia juga menyebabkann wartawan bebas, Saudara Basrah Ali, menghubungi saya untuk mebdapatkan gambaran sebenarnya.

Jawapan saya kepada kedua-duanya mudah sahaja. Saya katakan kepada mereka: “Saya seorang ahli UMNO sejak 1973. Saya pernah menjadi Ahli Parlimen Parit Sulong atas tiket BN selama tiga penggal mulai 1990. Saya tidak pernah merancang untuk menyertai mana-mana parti pembangkang. Saya akan terus berada di dalam UMNO. Tetapi, saya akan berjuang bersendirian menerusi blogging untuk membantu pihak-pihak loyalis UMNO menegakkan kebenaran dan keadilan serta memulihkan imej, maruah dan martabat UMNO.”

Pendirian saya seperti di atas telah pun saya sampaikan menerusi SMS kepada Ketua UMNO Bahagian Parit Sulong, YB Haji Ahmad Zahri Jamil, beberapa hari yang lalu.

Ahmad Zahri menjawab: “Biasalah. Menjelang pilihan raya macam-macam spekulasi timbul. Selamat berjuang.”

Semoga kenyataan hitam putih ini akan mematikan seluruh spekulasi, desas-desus dan cakap-cakap kedai kopi mengenai diri saya di Parit Sulong ketika ini. – Ruhanie Ahmad [Posted by puteramaya at 8:54 AM, Thursday, December 27, 2007]

Saua harap posting di atas akan menghapuskan segala keraguan dan keghairahan di kalangan kedua-dua belah pihak - BN dan juga BA.

Dengan ini, saya ucapkan selamat berjuang dan selamat majujaya kepada seluruh sahabat saya yang akan bertanding di pihak BN dan BA di Parit Sulong kali ini. Tetapi, oleh kerana senario siasah negara ketika ini kelihatan agak luar biasa, gunakanlah sepenuh kebijaksanaan sewaktu anda melaksanakan kuasa demokrasi sewaktu membuang undi. Salam takzim. – Ruhanie Ahmad
Terbaru:
Penamaan Calon

Sumber-sumber memberitahu blog ini bahawa hari penamaan calon dijangka pada 21 Februari 2008 sementara hari pembuangan undi adalah pada 1 Mac 2008.

Dalam PRU12 ini terdapat lebih 10.9 juta pengundi. – Ruhanie Ahmad
Terbaru:
Parlimen Dibubar

Sumber-sumber memberitahu blog ini bahawa Abdullah telah dipanggil mengadap Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong pada jam 11.00 pagi tadi. - Ruhanie Ahmad
Parlimen Dibubar

Ini berita terkini yang belum disahkan – PARLIMEN DIBUBARKAN HARI INI, kata beberapa sumber kepada blog ini sebentar tadi.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dijangka mengadakan satu sidang akhbar di JPM sebentar lagi.

Apa pun, dalam hal ini Abdullah telah berjaya memperdayakan semua pihak yang berteka-teki mengenai tarikh pembubaran tersebut. – Ruhanie Ahmad
Tiada Pembubaran Parlimen Esok

BANGI, 12 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini berkata tiada pembubaran Parlimen esok bagi memberi ruang kepada pilihan raya umum ke-12.

“Tak adalah, esok tak ada," katanya kepada pemberita selepas melancarkan empat program serentak iaitu Institut Islam Hadhari Universiti Kebangsaan Malaysia, Kursi Syeikh Abdullah Fahim, buku Biografi Tun Abdullah Salleh dan Kompleks Tun Abdullah Salleh di sini.

Ditanya adakah esok mesyuarat kabinet terakhir sebelum parlimen dibubarkan beliau berkata: "Apakah yang membuatkan anda terfikir bahawa ia adalah mesyuarat kabinet yang terakhir,” katanya.

Berita sepenuhnya, sila akses:
http://web6.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=313493

Isu Pembubaran Parlimen
Anwar Ibrahim dan PKR

12 Februari 2008: Hari ini banyak pihak berteka-teki: benarkah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengadap Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong untuk memohon perkenan bagi pembubaran parlimen pada 13 Februari 2008? Benarkah esok, Rabu, merupakan hari Mesyuarat Kabinet yang terakhir bagi kerajaan Abdullah? Betulkah PRU12 akan dijalankan dalam seminggu dua lagi?

Jawapan kepada seluruh teka-teki di atas adalah: Abdullah belum mengadap Agong. Esok bukan Mesyuarat Kabinet terakhir bagi Abdullah. PRU12 belum pasti diadakan dalam tempoh dua minggu dari sekarang.

Mana saya perolehi jawapan di atas? Daripada orang dalam. Siapa mereka? Itu rahsia kerana etika kewartawanan mengizinkan saya melindungi sumber-sumber maklumat saya. Bolehkah info ini dipercayai? Kalau nak percaya, silakan. Kalau tak percaya, apa boleh buat!

Sebagai maklumat tambahan, sumber-sumber saya menyatakan bahawa Mesyuarat Kabinet terakhir bagi Abdullah adalah pada 27 Februari 2008. Pada 26 Februari 2008, beliau dijangka mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO.

Kalau begitu, tidak mungkinkah parlimen akan dibubarkan pada 1 Mac 2008, hari penamaan calon pada 13 Mac 2008 dan pembuangan undi pada 22 Mac 2008? Kesemua tarikh ini mati dengan angka 4. 1 Mac adalah 1+3=4. 13 Mac adalah 1+3=4. 22 Mac adalah 2+2=4.

Saya ramalkan tarikh di atas kerana kata orang, Abdullah sangat menggemari angka 4. Tapi, jika Abdullah bukannya kaki nombor, ini bermakna parlimen mungkin dibubarkan pada atau selepas 27 Februari 2008. Dan, ini juga bermakna bahawa seluruh komuniti politik tanah air akan terus berteka-teki mengenai tarikh PRU12 yang sebenarnya.

Dalam kesibukan komuniti politik berteka-teki seperti di atas, malam ini saya ketemu sahabat dan bos lama saya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama isteri, YB Datin Seri Wan Azizah Ismail, di satu majlis deklamasi puisi anjuran Prihatin Malaysia atau PRIMA, di kediaman Tan Sri Khalid Ibrahim, di Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, kami yang duduk bersebelahan, hanya terluang waktu beberapa minit sahaja untuk bertukar-tukar maklumat siasah. Sebaliknya, Anwar memperli saya kerana kononnya mengambil sikap “atas pagar” dan saya pula mengucapkan “selamat berjuang” kepada beliau yang akan memimpin Barisan Alternatif dalam PRU12.

Dalam pada itu, pengacara majlis memperkenalkan saya sebagai mantan Ahli Parlimen Parit Sulong. Saya pun berkata: “Saya memang mantan AP Parit Sulong. Tetapi, kehadiran saya dalam satu majlis bersama Anwar bukan untuk mengesahkan ura-ura kononnya saya akan bertanding atas tiket PKR bagi parlimen yang sama dalam PRU12.”

Para hadirin yang hampir 200 orang, majoritinya warga PKR, karyawan, cendikiawan dan warga korporat, ketawa berderai mendengar kata-kata tersebut.

Apa pun, sama ada benar atau tidak saya akan bertanding atas tiket PKR, Anwar tetap sahabat yang saya kenali sejak 1969 - murah dengan senyuman, karismatik, berjiwa besar dan masih lagi penuh dengan api perjuangan yang terus membara.

Kepada Anwar, saya sampaikan menerusi blog ini satu mesej daripada seorang sahabat: “BN goyang di lima negeri. BA mungkin boleh sapu BN kalau ketengahkan calon yang secocok.”

Saya tidak tahu sama ada mesej itu benar atau propaganda semata-mata. Bagaimanapun, saya ucapkan selamat berjuang dan selamat maju jaya! – Ruhanie Ahmad

Tuesday, February 12, 2008

Abdullah Nilai Kredibiliti Calon BN
Siapa Menilai Kredibiliti Abdullah?

http://puteramalaysia.blogspot.com
Sokongan Pengundi Melayu
Jangan Diambil For Granted

Lamandau

Dalam posting - Mengimbas Kembali Manifesto BN Dalam PRU11 (3) - saya kemukakan persoalan mengapakah kebelakangan ini timbul anggapan di kalangan pemimpin kita seolah-olah undi orang Melayu kurang penting untuk memenangkan BN dalam PRU12? Saya juga katakan, jika anda kurang faham akan hakikat ini, kajilah sendiri majoriti kenyataan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya kebelakangan ini dan pastikan, tidakkah kenyataan mereka membuatkan orang Melayu, termasuk warga UMNO, berasa dipinggirkan, jengkel dan jauh hati?

Di bawah ini saya siarkan sepenuhnya reaksi seorang Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian. Reaksi beliau seolah-olah membuktikan bahawa keprihatinan hati kecil saya ketika ini adalah benar dan hakiki.

Sebagai seorang ahli UMNO, saya amat optimis BN akan menang dalam PRU 12. Cuma tahap kemenangannya yang menjadi teka-teki semua aktivis UMNO. Saya amat terpanggil untuk berkongsi sentimen orang Melayu dengan Datuk. Rata-rata orang Melayu menganggap pemimpin negara sekarang ini mengambil orang Melayu "for granted". Orang-orang Melayu rasa terpinggir dalam keadaan semasa memandangkan pemimpin hanya sibuk melakukan damage control di kalangan bangsa lain.

Untuk makluman Datuk, orang Melayu rata-rata terguris hati mereka berikutan dengan dakwaan Hindraf. Dakwaan melulu Hindraf betul-betul membuat orang Melayu rasa terhina dan rasa bersalah kerana dituduh sedemikian rupa oleh aktivis Hindraf yang saya amat yakin bersifat chauvanist dan racist.

Orang Melayu rasa kecewa kerana selama ini kaum India tidak pernah memberitahu kita tentang kedaifan mereka. Persoalan yang mungkin timbul di kalangan orang Melayu hari ini ialah: adakah peminggiran benar-benar berlaku ke atas kaum India. Sehingga kini saya belum terbaca dakwaan kaum India itu disertakan dengan statistik tertentu untuk memperkuatkan hujahnya.

Dalam hal yang sama, saya juga gagal untuk membaca hujah-hujah pemimpin kerajaan berserta dengan statistik untuk menafikan dakwaan kaum India. Saya berharap sangat kalau-kalau ada pemimpin Melayu – Menteri-Menteri, KSN, KSU atau ketua jabatan - mengeluarkan statistik untuk menunjukkan kedudukan kaum India sebenarnya. Seterusnya, bagaimana pula kedudukan golongan profesional kaum India jika dibanding dengan populasinya yang kurang lebih 2.2 juta sahaja?

The absence of these explanations thus cause the Malays to ponder. Are we that cruel, heartless or inhumane? Lest, our leaders take immediate remedial actions to give in to the demands of not only the Indian but the Chinese too! What about our (Malay) demands?

Inilah yang merupakan hambatan kepada usaha kita untuk memujuk orang Melayu memberikan 100 peratus sokongan kepada BN. Setakat nak tunjuk harga barang keperluan yang rendah berbanding negara-negara lain, saya ingat pengundi tidak terpedaya.

Kedudukan sekarang, advantagenya adalah milik pembangkang. Banyak isu yang tidak terjawab akan dieksploitasikan seoptimum mungkin oleh pembangkang yang akan membuatkan pemidato BN ketandusan modal dan hanya berusaha untuk membuat rebuttal aje!

Tujuan saya memberi komentar ini adalah untuk mengingatkan pemimpin kita agar waspada terhadap sokongan orang Melayu dan carilah jalan supaya sokongan mereka dianggap lebih relevan oleh kaum sendiri! – Lamandau, 12.27 PM, 12 Februari 2008.

Maka, terserahlah kepada Abdullah dan barisan kepimpinan Melayu untuk menilai luahan hati seperti di atas. Pastikanlah sama ada perasaan seperti ini menyeluruh atau hanya isolated. – Ruhanie Ahmad
Siri Ketiga:
Mengimbas Kembali Manifesto BN Dalam PRU11

Ruhanie Ahmad

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah dapat ilham untuk memohon restu Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen dan mengadakan PRU12. Sama ada permohonan ini akan diperkenankan adalah bergantung kepada kuasa mutlak Agong yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, politik Malaysia kini mula dilanda seribu satu gelora rasa. Pihak yang mengharap untuk dicalonkan makin berdebar-debar. Kalangan yang khuatir digugurkan dari betanding semula jadi semakin gusar. Keadaan ini melanda warga BN dan juga pembangkang.

Pada waktu yang sama, pemimpin serta penyokong BN bimbang akan majoriti kerusi yang akan dimenangi dalam PRU12, pihak pembangkang mencongak keupayaan masing-masing di beberapa negeri tertentu, pengundi atas pagar pula sukar menentukan arah undi mereka secara muktamad.

Dalam PRU11, BN pimpinan Abdullah menang besar berasaskan rekod kecemerlangan Tun Dr Mahathir Mohamad. BN juga menang besar kerana kecemerlangan Mahathir dipakejkan bersama propaganda mengenai diri Abdullah sebagai Mr Clean, insan yang hanya mencari “Al-Ghazali dan Al-Shafie”, pemimpin yang berpedomankan “rahsia kitab suci” dan pemimpin yang berpandukan “sunnah nabi.”

Kotakan Janji

Seluruh realiti dan ilusi di atas telah memukau hati majoriti pengundi dalam PRU11. Lantas, mereka pun yakin bahawa kepimpinan Abdullah juga akan memunculkan Malaysia cemerlang, gemilang, terbilang.

Keyakinan ini juga menjadikan sebilangan besar pengundi berasa bahawa BN dan Abdullah akan mengkotakan sebilangan besar janji-janjinya dalam manifesto PRU11. Antara janji-janji tersebut adalah seperti berikut:

BN mengiktiraf semua golongan, termasuklah generasi muda, wanita dan penduduk luar bandar, sebagai aset negara.

BN menjemput semua kumpulan menyertai proses pembangunan negara. Generasi muda, kaum wanita dan masyarakat luar bandar terutamanya merangkumi sebahagian besar daripada jumlah rakyat. Mereka mestilah diberikan peluang untuk sama-sama memainkan peranan.

BN menjamin satu sistem kerajaan untuk semua rakyat di mana kerajaan yang dipilih haruslah berupaya memelihara segala pandangan dan pendapat rakyat diberi perhatian dalam usaha melaksanakan dasar mesra rakyat.

Punya Suara

Dengan BN, semua rakyat Malaysia mempunyai peranan dan suara. BN memberikan setiap warganegara suara dalam pentadbiran negara.

BN menjamin kepentingan semua rakyat, peka dan bertindak memenuhi harapan dan aspirasi semua kumpulan merentasi umur, jantina,kaum dan agama.

Selepas PRU11, bagaimana? Adakah rakyat “mempunyai peranan dan suara”? Adakah benar BN “memberikan setiap warganegara, suara dalam pentadbiran negara”?

Jika ada, bagaimana timbul persepsi umum bahawa Abdullah dimanipulasikan oleh menantunya serta kroni-kroni menantunya? Jika benar, di mana suara rakyat dalam beberapa isu besar seperti kewujudan WPI, kenaikan harga barang-barang makanan, kenaikan harga petrol dan kenaikan kadar tol?

Jika benar, mengapakah suara-suara kekecewaan rakyat disifatkan sebagai penentangan sehingga Abdullah tergamak mengeluarkan kata-kata “saya pantang dicabar”?

Keresahan

Jika benar, kenapakah Abdullah tidak mengindahkan keluhan, keresahan dan kecaman rakyat terhadap keleluasaan dan kemaharajalelaan menantunya yang kelihatan seolah-olah dialah yang sangat berkuasa di Malaysia?

Hari ini, Abdullah dan jemaah kabinetnya seolah-olah sedang berkempen, walaupun PRU12 entah bila akan dilaksanakan. Hari demi hari berdentam-dentum kenyataan dihebahkan dan pelbagai projek berbillion ringgit diumumkan.

Kalau janji dalam manifesto cemerlang, gemilang, terbilang bagi PRU11 pun sebilangan besarnya masih belum dikotakan, bagaimanakah rakyat boleh menerima janji-janji yang baru?

Dan, mengapakah agaknya dalam tempoh kebelakangan ini kelihatannya seolah-olah undi orang Melayu kurang penting untuk memenangkan BN dalam PRU12?

Jika anda kurang faham akan hakikat ini, kajilah sendiri majoriti kenyataan Abdullah dan Timbalannya kebelakangan ini. Tidakkah kenyataan-kenyataan mereka membuatkan orang Melayu, termasuk warga UMNO, berasa dipinggirkan, jengkel dan jauh hati?

Lantas, apakah agaknya tema manifesto BN bagi PRU12? BN PEMBELA RAKYAT? BN PEJUANG KESEJAHTERAAN? RAKYAT JELATA SUMBER KUASA? Atau hanya satu barisan kata-kata yang mudah - MAAFKAN KAMI?

Monday, February 11, 2008

Kes Penggadaian Tanah Premier UM:
Harapkan Pagar, Pagar Makan Padi?

Apa kata komuniti prihatin Malaysia mengenai perkembangan terbaru membabitkan UM kali ini? Mungkinkah Profesor Diraja Ungku Aziz akan menyifatkan cadangan ini sebagai suatu yang “gila dan kurang ajar.” Mungkinkah Alumni UM akan membantah? Mungkinkah BPR akan segera menyiasat? Mungkinkah Kementerian Pendidikan Tinggi akan membuat siasatan terperinci? Mungkinkah Abdullah akan mengeluarkan arahan supaya penggadaian ini dibatalkan segera? Mungkinkah Abdullah akan membiarkan sahaja perkembangan ini berlaku kerana ia membabitkan kroninnya sendiri? Atau, mungkinkah Abdullah akan merestui kata-kata hikmat: harapkan pagar, pagar makan padi! – Ruhanie Ahmad

Untuk posting sepenuhnya sila akses
Kroni PM "Flip-Flop" Gadai 27 Ekar Tanah UM?

[
bigdogdotcom.wordpress.com]

Kroni PM ‘Flip-Flop’ Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Dato’ Annuar Zaini, telah ‘mengadai’ sebidang 27 ekar tanah premier (bernilai tinggi) dalam kawasan kampus Universiti Malaya (UM), kepada sebuah pemaju hartanah untuk dijadikan kondominium mewah. Sebagai timbal-balas (trade off), Alumni Universiti Malaya akan mendapat balik lima ekar dari tanah itu dan sebuah bangunan rumah kelab bernilai RM 3 juta.

Annuar, yang juga Ahli Lembaga Pengelola Majlis Universiti Malaya (merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Korporat Universiti Malaya) membuat keputusan untuk menerima cadangan syarikat pemaju hartanah itu. Sumber maklumat ini datang dari kakitangan UM sendiri.

Pada kasarnya, sekiranya tanah premium itu dinilai sebagai RM 100.00/ kaki persegi (kerana lokasinya berada di utara kampus, bersempadan dengan kawasan mewah Bukit Damansara dan amat hampir dengan kawasan Bukit Bandaraya/Bukit Pantai, yang harga tanah rata rata melebihi RM 200.00 / kaki persegi), bermakna Universiti Malaya telah ‘melepaskan’ tanah bernilai sekurang kurangnya RM 95.6 juta untuk menerima ‘habuan’ sebuah rumah kelab bernilai RM 3 juta sahaja. Sekiranya nilai tanah itu bernilai RM 150.00 / kaki persegi, maka ianya dengan mudah bernilai RM 143.7 juta.

Annuar juga merupakan Pengerusi Bernama dan penulis ucapan PM ‘Flip-Flop’ Abdullah. Sebagai usaha membetulkan imej yang ‘dicalari’, beliau telah menemu-ramah PM ‘Flip-Flop’ Abdullah pada sebuah rancangan khas TV 3 yang disiarkan 7 Ogos 2006, sebagai respons awal kepada kritikan kiritikan terbuka mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai beberapa isu. Antara yang menjadi ‘mercu tanda’ temu ramah ini ialah apabila PM ‘Flip-Flop’ mengatakan Kerajaan tidak terlibat memberi kontrak kepada Scomi (yang dikuasai Dato’ Kamaluddin Abdullah) dan menantu beliau (Khairy Jamaluddin) tidak terlibat langsung dalam apa apa proses keputusan Kerajaan.

Annuar juga ialah seorang ahli lembaga pengarah Malaysia Airlines. Beliau, PM ‘Flip-Flop’ Abdullah dan mantan Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam, yang baru baru ini ‘menjawab’ bagi pihak PM ‘Flip-Flop’ Abdullah segala kritikan terbaru mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad dalam satu forum anjuran Alumni UM, adalah antara alumnus UM ini.

Untuk membaca posting sepenuhnya sila akses:

Sunday, February 10, 2008

Pastikan Pindaan Enakmen Rizab Melayu
Tak Jejas Anak Sendiri Mati Kebuluran!

Enakmen Rizab Melayu (ERM) adalah undang-undang tanah yang strategik. Ia “menyekat tanah kerajaan di dalam kawasan Rizab Melayu daripada dilupuskan dengan apa cara jua pun kepada bukan Melayu” dan “menyekat tanah pegangan Melayu atau tanah Rizab Melayu daripada dibuat apa-apa urusniaga persendirian di antara Melayu dan bukan Melayu.” Kedua-dua objektif ini memastikan seluruh tanah milik Melayu di bawah ERM berkekalan dikuasai oleh orang Melayu sepanjang zaman.

Bagaimanapun, banyak pihak berpendapat objektif-objektif di atas menyukarkan Tanah Rizab Melayu TRM untuk dibangunkan secara komersil. Takrif Melayu dalam ERM pula berbeza dari negeri ke negeri. Ada pendapat mengatakan takrif itu mengatasi tafsiran Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kata mereka: “walaupun tafsiran Melayu didalam Perkara 160 Fasal 2 Perlembagaan Persekutuan kelihatan semacam mengatasi tafsiran Melayu di dalam tiap-tiap ERM, namun kerana tafsiran Melayu di dalam ERM dibuat mengikut peruntukan Perkara 89 Fasal 6 Perlembagaan Persekutuan, maka tafsiran Melayu di dalam ERM mengatasi tafsiran Melayu di bawah Perkara 160 Fasal 2 Perlembagaan Persekutuan. Melayu bagi maksud Perkara 160 Fasal 2 memberi penekanan kepada adat istiadat, manakala di bawah Perkara 89 Fasal 6 seperti yang diberikan pada tiap-tiap ERM memberi tekanan kepada keturunan.”

Seluruh perincian mengenai ERM boleh diperolehi daripada link berikut:
www.instun.gov.my/sehari%20selembar%20benang/ENAKMEN%20RIZAB%20MELAYU10.pdf

Pihak kerajaan telah melaksanakan beberapa mesyuarat penggeloraan minda dan menubuhkan beberapa pasukan kerja untuk mengatasi masalah-masalah di atas menerusi cadangan meminda ERM.

Pada 2002, kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet berkenaan Pembangunan Tanah Rizab Melayu. Laporan jawatankuasa ini telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri. Lantas dibentuklah Jawatankuasa Teknikal Penyediaan Cadanagan Pindaan ERM yang merumuskan dasar dan strategi pembanguna TRM. Antaranya adalah seperti berikut:

Membenarkan bank dan institusi yang dilesenkan di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (Akta 372) atau Akta Bank Islam 1983 (Akta 276) untuk menerima gadaian TRM.

Membenarkan Perbadanan yang dibenarkan oleh Pihak Berkuasa Negeri (PBN), melalui pemberitahuan di dalam warta, dan Perbadanan ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang Persekutuan atau Negeri untuk menerima gadaian TRM.

Pendek kata, dalam usaha membangunkan TRM, jawatankuasa penyediaan pindaan undang-undang ERM sentiasa bertunjangkan kepada prinsip “ke arah memperluaskan ruang bagi usaha-usaha membangun dan meningkatkan nilai komersial TRM dengan cara membolehkannya dibangunkan bersama penglibatan orang Bukan Melayu, tanpa menjejaskan pemilikan tanah-tanah tersebut di kalangan orang-orang Melayu.”

Perincian dasar dan strategi ini boleh diakses menerusi link berikut: www.instun.gov.my/Kertas%20Seminar/Pembgnan%20tanah%20Rizab.doc

Oleh itu, bila Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid, dipetik oleh Utusan Malaysia 8 Februari 2008, sebagai berkata bahawa ERM akan dipinda untuk “membolehkan tanah rizab Melayu di seluruh negara dipajak termasuk kepada bukan Melayu dengan tempoh maksimum 60 tahun supaya ia dapat dimajukan,” kita pastikanlah pindaan itu membawa manfaat lebih besar kepada Melayu.

Kenyataan terbaru Azmi sepenuhnya boleh diakses di sini: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0209&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_03.htm

Mengikut perangkaan 2002, di Kuala Lumpur terdapat 1182.61 hekter TRM - Kampung Bharu 101.02 hekter, Datuk Keramat 87.58 hekter, Segambut 293.97 hekter, Kampung Sungai Penchala 291.65 hekter, Gombak 320.61 hekter dan Selayang 87.78 hekter.

Lantaran itu, kepimpinan masyarakat, parti politik dan NGO Melayu di seluruh negara, khususnya di kawasan seperti di atas, wajar prihatin terhadap pindaan yang akan dilakukan. Manalah tau kalau-kalau status syarikat Melayu yang akan membangunkan kawasan TRM suatu ketika kelak adalah syarikat atas kertas, di mana realitinya, syarikat itu adalah milik asing, terutama sekali dari selatan yang dipercayai sedang “mengaruk” di Kuala Lumpur dengan bantuan sesuatu kelompok Melayu tertentu!

Dan, adalah lebih afdal jika Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar serta pelbagai agensi kerajaan berkaitan dengan pentadbiran tanah memberikan taklimat yang telus, jelas dan ikhlas kepada seluruh kepimpinan Melayu mengenai strategi dan matlamat pindaan yang mahu dilaksanakan ke atas TRM.

Langkah pro-aktif seperti ini pasti akan mengelakkan sebarang kemungkinan negatif di mana pindaan ke atas ERM ini akan menyebabkan dagang lalu ditanakkan, kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kebuluran! – Ruhanie Ahmad
Kerajaan Sementara:
Dr Aziz Bari Sanggah Rais Yatim Dan Shad Faruqi

Tarmizi Mohd Jam
[
http://sanggahtoksago.blogspot.com]

Setelah meneliti tulisan Datuk Ruhanie Ahmad bertajuk “Realiti Kerajaan Sementara Sesudah Parlimen Bubar” yang disiarkan dalam blognya kuda-kepang.blogspot.com pada 7hb. Februari lalu, saya terus menghubungi Profesor Dr Abdul Aziz Bari untuk mendapat penjelasan tentang isu-isu berhubung dengan kerajaan sementara, pembubaran parlimen dan banyak lagi, yang saya kira ia patut diketahui oleh rakyat.

Pensyarah Undang-Undang di UIAM itu agak kecewa kerana katanya apa yang disiarkan dalam akhbar perdana tidak begitu tepat dan cuba mengesahkan apa sahaja yang dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional.

Dr. Abdul Aziz telah lama memperkatakan malah telah menerbitkan buku tentang isu-isu yang kini menjadi perbahasan hangat.

Persoalan tentang kuasa pembubaran dewan oleh Agong telah disentuh oleh Dr. Abdul Aziz dalam kolumnya di Mingguan Eksklusif sewaktu era reformasi pada 1999. Ia kemudian diterbitkan oleh IKD sebagai salah satu bab dalam sebuah buku bertajuk Politik Perlembagaan pada 2006.

Buku ini turut memuatkan persoalan kerajaan sementara. Dr. Abdul Aziz telah menghuraikan konsep kerajaan sementara dan sebuah lagi buku beliau yang diterbitkan pada tahun 2002 ialah Cabinet Principles yang turut menyentuh isu ini.

Apapun Dr. Abdul Aziz berasa positif tentang keprihatinan yang ditunjukkan oleh Datuk Ruhanie Ahmad dalam blognya kuda-kepang.blogspot.com itu.

“Bagaimana rencana dalam Utusan Malaysia yang memetik pandangan Dr Rais Yatim itu semacam meremehkan isu kerajaan sementara tetapi Rais tidak bertegas.

“Walaupun Rais betul dalam menyebut bahawa Perlembagaan tidak menyatakan konsep kerajaan sementara! Apa yang menjadi masalah, Rais tidak begitu tegas dan semacam cuba mengharuskan tindakan kerajaan mengumum atau meluluskan projek sewaktu berkempen,” komen Pensyarah Undang-Undang UIAM itu.

Untuk posting sepenuhnya sila akses: http://sanggahtoksago.blogspot.com/2008/02/kerajaan-sementara-dr-aziz-bari-sanggah.html

Saturday, February 09, 2008

BLOG KUDAKEPANG
TERIMA 1 JUTA HITS

Hari ini blog kudakepang berusia satu tahun enam bulan. Tetap pada jam 5.30 petang, pada hari ini juga, 9 Februari 2008, hits blog kudakepang mencecah satu juta. Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh pengunjung yang terus mengikuti cetusan minda saya menerusi blog ini.

Sempena pencapaian hits yang ke satu juta ini saya sedang menyiapkan sebuah buku berjodol Bloggers: Kawan Atau Lawan. Buku ini mengisahkan pengalaman saya sebagai blogger sosio-politik, penemuan saya mengenai pentingnya blog sebagai saluran komunikasi rakyat yang murah lagi berkesan, masa depan blogs kepada propaganda dan sosialisasi politik masyarakat, dan gagasan minda saya tentang cara-cara meningkatkan akauntabiliti bloggers dalam konteks demokrasi siber di Malaysia.

Insya Allah, buku ini akan saya terbitkan dalam tempoh dua bulan dari sekarang. Sementara itu, terimalah saya dengan segala kekurangan saya selama ini. Dan, berilah teguran membina jika difikirkan wajar. Terima kasih. – Ruhanie Ahmad