Monday, January 26, 2009

AL-FATEHAH BUAT PAK ARENAWATI DAN HAJI SAMANI MOHD. AMIN

Dunia sastera dan kewartawanan Malaysia kehilangan Pak Arenawati - Sasterawan Negara 1988 - semalam, dan Haji Samani Mohd Amin, bekas ketua pengarang berita Berita Harian, kira-kira sepuluh hari yang lalu. Saya sekeluarga mengucapkan takziah kepada keluarga mereka.

Wartawan, penulis dan sasterawan adalah kelompok manusia yang sentiasa berjuang untuk kesejahteraan ummah. Begitulah juga hakikatnya dengan Pak Arenawati, yang meninggal dunia kerana komplikasi penyakit kanser paru-paru.

Wasiat beliau ialah: “anak-anak Melayu harus berjuang membela dan menjaga kesinambungan bangsa Melayu di seluruh Nusantara.”

Abang Samani selaku warga angkatan wartawan Melayu di era kemerdekaan tanahair, adalah seorang yang gigih dan sentiasa menitikberatkan disiplin diri. Kepada beliau, dunia kewartawanan adalah dunia perjuangan yang berterusan.

Arenawati atau Muhammad Dahlan Abdul Biang, 83, menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM). Jenazah beliau disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Halimah Sulong, 77, dan enam orang anak Rahmah Wati; Heryati, 52; Ilhamuddin, 51; Ratna Siti Akbari, 49; Hasanuddin, 48; dan Kamaluddin Rostov, 45.

Sepanjang penglibatan Allahyarham dalam bidang penulisan, beliau telah berjaya mendapat beberapa anugerah. Antaranya anugerah SEA Write Award 1985, Anugerah Sasterawan Negara 1988, Sukma Angin 1999, Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1998/99 serta pemenang hadiah sastera Majlis Sastera Asia Tenggara (Hadiah Mastera) 2003.

Novelnya yang pertama ialah Kisah Tiga Pelayaran pada tahun 1959 di Singapura dan selepas itu beliau terus giat dalam penulisan. Antara karya Allahyarham Lingkaran (1962), Sandera (1971), Bunga Dari Kuburan (1987), Kuntum Tulip Biru (1987), Sakura Mengorak Kelopak (1987) dan Panrita (1993).

Al-Fatehah untuk Pak Arenawati dan Abang Samani. – Ruhanie Ahmad. [disusun berasaskan berita Utusan Malaysia]

2 comments:

~PakKaramu~ said...

Salam ziarah

Semut Api said...

ALFATEHAH...