Tuesday, January 09, 2007

SPR Perlu Dirombak
Bagi Menangkis Dakwaan
Badan Itu Tidak Bebas – Pengerusi

Utusan Malaysia
9 Januari 2007

BANGI 8 Jan. – Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman mencadangkan badan itu distruktur semula dan undang-undang serta peraturan pilihan raya di bawahnya yang sudah berusia 50 tahun dirombak secara drastik.

Kajian semua itu bertujuan menjadikan SPR dan proses pilihan raya yang sering dikritik pelbagai pihak, menjadi lebih telus, adil dan saksama kepada semua parti politik dan rakyat negara ini.

“Orang sekarang lebih pandai, negara juga dah moden. Orang bertanya kenapa tidak boleh dibuat pilihan raya yang lebih telus,” katanya kepada pemberita selesai sesi soal jawab pada majlis pelancaran Akademi Pilihan Raya di sini hari ini.

Bagi tujuan itu, tegas Ab. Rashid, satu suruhanjaya bebas yang dianggotai pakar undang-undang, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik perlu dibentuk bagi mengemukakan cadangan penambahbaikan tersebut.

“Saya berpendapat undang-undang pilihan raya dan struktur SPR sedia ada yang digubal kira-kira 50 tahun lalu ketika negara mengalami ancaman komunis dan masalah hubungan kaum tidak lagi sesuai dengan perubahan pada zaman moden sekarang,” katanya.

Ab. Rashid berkata, beliau mengemukakan cadangan itu kerana merasakan SPR agak terikat berikutan terlalu banyak kelemahan yang terdapat pada undang-undang pilihan raya sekarang dan berharap badan itu diberikan lebih kuasa.

“Saya bersedia menjadi penasihat kepada suruhanjaya bebas yang bakal ditubuhkan itu bagi memastikan SPR dimodenkan supaya ia boleh dipercayai, efektif dan tidak dipersoalkan oleh mana-mana pihak yang mengambil bahagian dalam pilihan raya,” katanya.

Dalam pada itu, ketika menyampaikan ucaptama di majlis itu bertajuk Badan Pengurusan Pilihan Raya - Suatu Elemen Penting Dalam Menghasilkan Integriti Pilihan Raya Demokratik, Ab. Rashid menggaris beberapa pembaikan yang perlu dibuat terhadap SPR.

Antaranya, kata beliau, termasuk mempercepatkan proses pindaan undang-undang pilihan raya, peruntukan kewangan secara terus, kebebasan SPR untuk melantik kakitangan, kuasa menyelesaikan kes kecil dan pelantikan ahli badan secara telus.

Menurutnya, proses pindaan undang-undang pilihan raya yang kini mengambil masa sehingga bertahun-tahun dan perlu melalui pelbagai tahap harus dipermudahkan selain kerenah birokrasi yang perlu dikurangkan.

“Peruntukan kewangan untuk badan ini perlu diluluskan khas oleh Parlimen dan SPR perlu diberi kuasa untuk melantik kakitangannya sendiri dan membayar gaji tanpa perlu melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“SPR juga harus diberikan kuasa untuk memproses, menghakim dan menyelesaikan pertelingkahan kecil pada musim pilihan raya yang kini dikendalikan oleh polis dan perlu melalui proses mahkamah yang mengambil masa agak lama,” katanya.

Menurut Ab. Rashid, Perlembagaan Persekutuan disaran memasukkan peruntukan jelas mengenai pelantikan ahli-ahli SPR bagi mengelak parti pemerintah diberi kuasa mutlak dalam proses pemilihan dan pelantikan ahli SPR serta memastikan mereka mempunyai kekebalan sebagaimana dinikmati pihak kehakiman.

Beliau juga menggariskan enam kuasa yang tidak wujud pada SPR yang menjadi punca kelemahan badan itu pada masa ini, iaitu:

· Kuasa menentukan penubuhan parti politik dan menjamin kebebasan mengambil bahagian bila-bila masa dalam pilihan raya.

· Kuasa mengawal semua keadaan pada musim berkempen.

· Kuasa mengatur keadilan dan kebebasan melapor bagi semua media cetak dan elektronik.

· Kuasa mengawal dan menghukum pihak yang menyalahgunakan kemudahan awam untuk berkempen.

· Kuasa menentukan keadilan dalam hal-hal berkaitan dengan pembiayaan kewangan untuk kempen parti.

· Kuasa mengawal dan mencegah rasuah dan aktiviti membeli undi dalam musim pilihan raya.

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=0109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm

No comments: