Monday, January 15, 2007

Kisah Naga Keluar Dari Pertapaan
& Strategi Pengurusan Pasca Banjir
Oleh Ruhanie Ahmad

Saya mengalami banjir besar pada tahun 50-an. Ketika itu saya menuntut di Sekolah Kebangsaan Kampung Separap, Batu Pahat, Johor. Kampung dan sekolah saya ditengglami air sedalam hampir empat kaki.

Kebanyakan orang kampung ketika itu berkata, banjir besar berlaku kerana naga penjaga sungai sudah keluar daripada pertapaannya di hulu Sungai Simpang Kiri.

Sebab itulah banjir pada tahun itu melanda hampir seluruh kampung di sepanjang kanan kiri tebing Sungai Simpang Kiri - dari Kampung Gombak yang berhampiran dengan Bandar Penggaram, hinggalah ke Kampung Sejagong di hulu sungai berkenaan.

Jadi, anak-anak kecil seperti saya pada ketika itu diminta duduk diam di atas rumah. Kalau tidak, nanti kami ditelan oleh naga berkenaan. Kebanyakan kaum dewasa pula bergerak dari rumah ke rumah menggunakan rakit batang pisang.

Ketika itu negara kita masih dijajah British. Penjajah tidak peduli dengan nasib rakyat jelata yang dilanda malapetaka. Tidak ada wakil rakyat, tidak ada petugas banjir, tidak ada pusat pemindahan banjir, tidak ada bantuan banjir.

Bagaimanapun, kebanyakan orang kampung terus tinggal di rumah masing-masing. Ini kerana rumah merka adalah jenis rumah yang bertiang. Tinggi tiangnya sekurang-kurangnya empat kaki. Ada juga yang tingginya lima kaki.

Ubi Kayu

Jadi, mereka tidak perlu berpindah. Mereka juga tidak memerlukan bantuan makanan. Mereka berdikit-dikit. Kalau tengahari mereka makan nasi, sebelah malamnya mereka makan ubi atau keladi.

Lauk pauk pun begitu juga. Mereka makan berlaukkan ikan kering atau ayam atau pun sekadar telur ayam. Kalau ikan kering, ayam atau telur pun sudah habis, mereka hanya makan berlaukkan sambal belacan atau sambal tumis dengan sayur pucuk ubi.

Begitulah senario banjir di zaman penjajah. Ia amat berbeza dengan hari ini – macam langit dengan bumi.

Sewaktu saya jadi setiausaha politik pada awal 80-an, kawasan Seri Medan dalam Parlimen Air Hitam, Batu Pahat, dilanda banjir termenung. Ia digelar banjir termenung kerana air banjirnya tidak begerak sehingga hampir tiga bulan.

Datuk Musa Hitam yang jadi Timbalan Perdana Menteri ketika itu datang melawat. Lawatan itu menghasilkan beberapa tindakan mencegah banjir.

Secara jangka pendeknya, Sunga Simpang Kiri yang tohor diperdalamkan semula. Secara jangka panjang, kerajaan membina Empangan Bekok.

Seri Medan

Kesannya, Alhamdulillah, kawasan Seri Medan kurang dilanda banjir. Bumi Seri Medan juga jadi satu-satunya kawasan kampung yang subur dengan tanaman hasil mahsul termasuk kelapa sawit.

Bagaimanapun, sewaktu saya mula jadi Ahli Parlimen pada 1990, Seri Medan sekali lagi dilanda banjir kira-kira dua kaki dalamnya. Ini kerana hujan yang berlebihan di kawasan Segamat dan di hulu Sungai Pahang. Air dari kedua-dua kawasan ini melimpah turun ke Sungai Simpang Kiri.

Saya turut berhempas pulas memindahkan penduduk terbabit ke beberapa pusat pemindahan di sekitar Pekan Seri Medan. Kerja-kerja sukarela itu dilakukan oleh anggota Rela, Kebajikan Masyarakat, pertubuhan belia, pertubuhan peladang dan juga JKKK.

Mereka berkhidmat kerana Allah. Mereka tidak mengharapkan muka mereka keluar dalam televisyen. Mereka juga tidak mengharapkan nama mereka dicalonkan untuk dapat pingat PIS Kerajaan Johor atau AMN Kerajaan Persekutuan.

Dalam banjir kali ini, pertubuhan sukarela yang sama masih terus menabur bakti dengan dedikasi dan komitmen kepada kesjahteraan rakyat jelata setempat.

Sultan Johor

Bagaimanapun, apabila banjir besar melanda kali kedua dalam tempoh tiga minggu di Johor, termasuk Johor Bahru, banyak teori diperbualkan mengapa Johor menjadi negeri yang paling teruk dilanda kali ini.

Teori yang popular, tetapi sukar untuk diprcayai, adalah kerana pemimpin negara kita engkar terhadap titah Duli yang Maha Mulia Sultan Johor yang baru-baru ini mencadangkan Tambak Johor dipecah dan digantikan dengan sebuah jambatan.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor membuat cadangan itu supaya air di Selat Teberau dapat mengalir dengan baik. Kalau tidak, Tambak Johor itu menghalang pergrakan air.

Adakah teori ini betul? Adakah benar bumi Johor dilanda banjir dengan seteruk-teruknya kerana pemerintah Malaysia enggan memecahkan Tambak Johor? Adakah benar banjir kali ini akan meredah Tambak Johor sehingga terbelah dua?

Seorang saudara saya di Kota Tinggi, baru-baru ini agak musykil kenapa bumi Johor paling teruk dilanda banjir. Katanya, mungkinkah ada sesuatu yang tidak kena?

Laksamana Bentan

Beliau juga memberitahu saya, bahawa biarpun Bandar Kota Tinggi dilanda banjir teruk, makam Laksamana Bentan yang hanya beberapa kaki jauhnya daripada tebing Sungai Johor tidak langsung ditenggelami air. Benarkah begitu? Kalau betul, apakah ertinya?

Kembali kepada kisah banjir dalam kawasan Parlimen Parit Sulong kali ini, ramai sahabat di Seri Medan mengirim sms kepada saya dan bertanya kalau-kalau saya akan turun padang.

Ada pula yang mengatakan bahawa sebilangan kaum tua di Seri Medan tidak tahu yang saya bukan lagi Ahli Parlimen Parit Sulong.

Bila dimaklumkan bahawa Ahli Parlimen Parit Sulong kini adalah Syed Hood Syed Edrus, mereka tertanya-tanya, siapakah beliau? Hakikat ini buat saya jadi serba salah. Bagaimanapun, saya akan tetap turun padang.

Bagaimanapun, apa yang agak kurang mengenai pengurusan mangsa banjir adalah bagaimana kita mahu memulihkan saikologi dan kehidupan mereka selepas banjir?

Hakikat ini memerlukan satu perancangan pengurusan krisis pasca banjir. Ia penting kerana usaha memulihkan seluruh aspek kehidupan selepas sesuatu malapetaka adalah kritikal dan mendesak.

Kalau tersilap langkah, malapetakan ini boleh menyebabkan penderitaan yang berpanjangan di kalangan rakyat jelata di peringkat akar umbi!

3 comments:

A Voice said...

Teori Sultan Johor tu tak perlu nak bermistik kerana memang logik.

Saya cadangkan kita baca blog budak PAS ni di entry disini:

http://mimpiboneka.blogspot.com/2006/12/johor-banjir-jual-belum-habis-lagi.html#links

Banjir ini semua ada link kepada kerja tambak oleh SIngapura.

DI KMu ada satu perbincangan menarik di Forum berjudul Singapore akan tenggelam.

Link disini:
http://forum.mykmu.net/modules.php?name=Forums&file=viewtopic&t=11490

cakapsiang said...

Saya amat bersetuju dengan cadangan pengendalian krisis mangsa pasca banjir. Keadaan selepas banjir adalah ketika yang amat kritikal buat mangsa-mangsa. Bayangkanlah mereka ini tidak punya apa lagi yang tinggal, harta benda, sumber pendapatan dan ada juga yang kehilangan ahli keluarga.

Jika kita lihat sekarang ini ramai yang turun padang membantu mangsa banjir, meredah air bah - satu langkah terpuji, tapi berapa ramaikah yang akan turun padang membantu mangsa-mangsa banjir sesudah banjir pulih?

Jawapannya hampir tiada. Hakikatnya waktu yang paling derita bagi mangsa-mangsa adalah ketika berhadapan dengan masa depan selepas banjir surut.

Kerajaan perlu memberi perhatian berat dan bersungguh dalam memastikan kehidupan mangsa banjir ini dipantau selepas banjir surut.

Kerajaan harus mempertimbangkan langkah-langkah bantuan yang harus diberi. Jika kita lihat daripada bencana-bencana yang lepas, banyak kes wang bantuan diselewengkan. Mereka yang patut dapat bantuan dinafikan, sebaliknya mereka yang membahagikan bantuan pula yang senang lenang. Lihat sahaja bantuan untuk mangsa Tsunami, wang puluhan juta habis dibelanja, tetapi pembahagiannya dibuat secara kurang adil dan ada kalanya tidak munasabah, sebaliknya kain baju yang disumbangkan, makanan dan air mineral yang diderma tidak sampai kepada penerima malah hingga sekarang masih ada yang tersimpan di setor dan banyak sekali yang terbuang begitu sahaja. Kenapa? Kerana pihak yang mengagihkan pakaian, makanan dan minuman ini tidak dapat faedah daripadanya!

Sedemikian, bantuan dalam bentuk bukan wang ringgit juga amat perlu difikirkan bagi meringankan beban mangsa. Sebagai contoh; Pencualian cukai pendapatan, cukai jalan, cukai pintu serta cukai-cukai lain, yuran sekolah, bantuan buku, bantuan makanan untuk murid, bantuan rawatan percuma, penurunan kadar eletrik, air dan telefon dll untuk jangkamasa beberapa bulan atau tahun bagi mangsa. Bantuan dalam bentuk ini tidak mudah untuk diseleweng dan semua mangsa akan dapat menikmatinya.

Mentaliti sesetengah pemimpin hanyalah pergi meredah air bah, ambil gambar, masuk TV beri sedikit biskut dan bantuan RM300 untuk satu keluarga. Ini sahajakah yang mampu difikirkan oleh mereka?

Anonymous said...

Asalamualaikum Dato, apakhabar orang Batu Pahat? Sedih juga cerita kisah Dato zaman dulu, makan ubi kayu masa banjir. Sekarang mangsa banjir jangan risau sebab banyak mee segera dibekalkan.

Kata orang tua2 di sini ada kemungkinan ini balasan Allah swt pada penduduk Johor yang kuat menyokong UMNO di mana Presiden sekarang membawa mahzab baru menyesatkan. Mana tidaknya menantunya buat dosa besar jual negara tak boleh di tangkap tapi bila rakyat biasa buat silap sikit masuk ISA.

Seorang sahabat saya mmemberitahu sekarang ini menantunya tidak lagi tinggal dengan anak Presiden UMNO. Ehh apa sudah jadi, apa cerita sebenarmya? Kawan saya ini kawan baik dengan anak perempuan Presiden UMNO.

Dato, ada baiknya Dato pulangke Johor pukul canang pada semua penduduk Johor keluar parti ramai-ramai. Pemimpin UMNO seorang pun tak kesihan tengok nasib mereka. Sekarang semua tumpu di Batu Talam tak mahu peri ke Batu Pahat.

Kg Melayu Ipoh