Thursday, January 04, 2007

Al-Fatehah Istimewa
Buat Saddam Hussein

Mantan Presiden Iraq, Saddam Hussein, telah dibunuh oleh proksi Amerika Syarikat. Ramai pengunjung kuda-kepang mengharapkan blog ini mendedikasikan Al-Fatehah istimewa kepada beliau.

Ini termasuklah permintaan daripada seorang pengunjung blog ini bernama Nonie, yang sedang menuntut di Salford, Manchester, United Kingdom. Menerusi SMSnya kepada saya, Nonie berkata seperti berikut:

“Takziah diucapkan kepada keluarga arwah Saddam Hussein. Adakah arwah telah diadili dengan adil? Tentu sekali pihak Barat sedang bersorak gembira. Moga-moga roh beliau dicucuri rahmatNya dan ditempatkan di kalangan orang yang soleh. Insya Allah. Al-Fatehah!”

Seorang daripada anak saya pula bercucuran air matanya bila mendengar berita Saddam Hussein dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Sedih

Beliau tidak pernah mengenali Saddam Hussein secara peribadi. Tetapi, beliau amat sedih dan terlalu kesal di atas apa yang terjadi. Khususnya bila pembunuhan itu dilakukan menjelang Hari Raya Korban.

Begitu juga keadaannya dengan beberapa pegawai keselamatan dan pegawai kastam yang bertugas di KLIA pada Sabtu 30 Disember 2006.

Mereka memberitahu saya yang baru tiba dari Tehran, bahawa Saddam Hussein telah menjalani hukuman gantung sampai mati.

Mereka juga tidak mengenali Saddam Hussein secara dekat. Tetapi, mereka tetap kesal dan sedih.

Kata mereka, Presiden Bush sudah keterlaluan. Dia tergamak menghina seluruh umat Islam dengan membunuh Saddam Hussein di ambang perayaan Hari Korban.

Zionis

Buat diri saya sendiri, Saddam Hussein adalah mangsa kezaliman dan kekejaman Pentadbiran Presiden Bush yang jadi lembu cocok hidung kepada kuasa zionis.

Sebab itulah sejak Amerika Syarikat memerangi Afghanistan pada Oktober 2001 dan menakluki Iraq mulai 2003, saya telah menulis banyak artikel mengenainya.

Artikel-artikel berkenaan, majoritinya tersiar dalam Utusan Malaysia. Saya telah cuba membukukan artikel-artikel berkenaan. Tetapi, tidak ada penerbit tempatan yang berani menerbitkan buku-buku tersebut.

Bersekongkol

Bagaimanapun, saya akan terbitkan buku-buku itu dalam bentuk e-book. Insya Allah, tidak lama lagi akan saya poskan e-book berkenaan di satu lamanweb khas mengenai e-book kelolaan saya sendiri.

Kembali kepada soal Saddam Hussein, saya mengambil kesimpulan, bahawa inilah bahaya dan bahananya kalau ada sekelompok rakyat di sesebuah negara yang bermaruah, berdaulat dan merdeka sanggup bersekongkol dengan kuasa-kuasa asing, demi sesuatu kepentingan yang sempit.

Saya juga mengambil kesimpulan, bahawa di abad ke-21 ini, seluruh rakyat jelata di sesebuah negara yang bermaruah, berdaulat dan merdeka, wajarlah menghapuskan sebarang persekongkolan individu atau kumpulan tertentu dengan kuasa-kuasa asing. – Ruhanie Ahmad.






No comments: