Saturday, January 06, 2007

Surat Terbuka Dari Pemuda Kecil
Untuk Tengku Razaleigh Hamzah

Assalamualaikum Tengku,

Sejak seminggu lepas jiwa saya meronta hendak menulis surat kepada Tengku, namun kesibukan tugas membuatkan surat tersebut tidak dapat disiapkan. Apabila terbaca akan blog Datuk Ruhanie ini saya fikir, eloklah saya tulis di sini sahaja supaya dapat dikongsi dengan Melayu lain di sini.

Nama Tengku Razalegh Hamzah saya kenali dari buku Lima Raja Terakhir oleh S.H. Alattas. Waktu itu saya masih di bangku sekolah dan apa yang dapat saya simpulkan Tengku adalah seorang berdarah raja yang hidup mewah.

Namun, apa yang lebh penting ialah pengaruh Tengku amat besar. Ramai orang Melayu sama ada terlalu becnikan Tun Dr. Mahathir Mohamad waktu itu atau terlalu sayangkan Tengku.

Semangat 46 menjadi satu parti politik yang kuat selepas UMNO. Ini dapat dilihat oleh budak kecil seperti saya melalui ceramah politik dan poster di Negeri Sembilan.

Setelah dewasa, melalui pembacaan, artikel Tun Ghafar Baba, Tun Musa Hitam dan penganalisis politik, saya dapat mengenali Tengku secara lebih mendalam.

Dari peristiwa di mana Tengku melepaskan peluang kepada Tun Dr. Mahathir untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri atau Timbalan Presiden hingga ke peristiwa Tengku menuntut Mahkamah mengharamkan UMNO kerana ada cawangan UMNO yang tidak berdaftar secara sah.

Peristiwa ini juga membawa kepada perpecahan UMNO kepada Semangat 46 di mana Semangat 46 membawa ramai pemimpin berkaliber Melayu seperti Datuk Seri Dr. Rais Yatim, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan ramai lagi.

Hari ini, ramai beranggapan betapa Tengku amat jahat kerana mencabar Tun Dr. Mahathir dan mengakibatkan UMNO berpecah.

Namun, pada saya dan ramai lagi, tindakan Tengku mencabar Tun Dr. Mahathir waktu itu adalah satu tindakan memuliakan sistem demokrasi di Malaysia.

Tun Dr. Mahathir juga tidak langsung berasa Tengku berdosa kepadanya. Ini terbukti apabila Tun Dr. Mahathir menerima Tengku kembali ke pangkuan UMNO.

Tindakan Tun Dr. Mahathir ini, walaupun dianggap sebagai menyusukan anak harimau, tetapi Tun Dr. Mahathir optimis, bangsa Melayu perlukan pemimpin seperti Tengku, Rais Yatim, Abdullah Ahmad Badawi, Zahid Hamidi,dan ramai lagi.

Tengku,

Memang benar Tengku tidak bersalah kepada Tun Dr. Mahathir, tetapi Tengku bersalah kepada Melayu.

Tengku mengharamkan UMNO, Tengku membiarkan nasib orang yang menyokong Tengku terbiar apabila Semangat 46 dibubarkan.

Tengku membiarkan perasan takut Melayu kepada perpecahan, bimbang kepada "opportunist", risau akan kedudukan mereka.

Selepas Tengku membubarkan Semangat 46, Tengku tidak menegaskan kepada Melayu yang menyanjung Tengku, yang mendokong demokrasi dan keadilan, Tengku tidak menegaskan keputusan Tengku mencabar jawatan Presiden itu murni dan adil.

Maka, dengan kesalahan Tengku ini, timbullah satu cara pemikiran separa sedar yang kini semakin menjadi prinsip separa sedar Melayu.

Justeru, Melayu menjadi lemah, kerana mahu mepastikan bangsa lain tidak berjaya atau tidak mengambil kesempatan, adalah lebih penting dari mepastikan Melayu itu sendiri maju, kaya, berkedudukan, bijak pandai, dihormati dan berdaya saing secara bersih tanpa bantuan.

Tengku,

Tebuslah dosa Tengku kepada Melayu. Tengku bertanggungjawab dalam melahirkan satu pemikiran konvensional atau kekampungan.

Tebus kesalahan Tengku kepada penyokong Semangat 46 yang mati bersama bendera parti itu.

Tegakkanlah demokrasi, perjuangkan suara kami Melayu. Tun Dr. Mahathir sudah tua, janganlah diganggu Tun Dr. Mahathir lagi.

Allah Maha Besar, Allah Maha Mengetahui. Mungkin RAHMAT Allah turun kepada bangsa Melayu. Semoga RAHMAN Allah juga dikurniakan kepada kita.

Akhir kata Tengku, ada Saudara saya mati dalam bendera Semangat 46, mati dengan menyanjung Tengku. Janganlah Tengku gentar, kerana Melayu tidak akan hilang di dunia. Melayu Boleh. Malaysia Boleh, Tengku.

Yang Berharap,
Pemuda Kecil

1 comment:

Husin Lempoyang said...

Pemuda

Ente sudah salah orang. Cuba tanya Sec Gen UMNO. Dia boleh kasi maklumat dengan detail pasal pembubaran UMNO. Tapi bukan kerana dia Sec Gen sekarang, dia ada byk maklumat.

Tapi ini semua rakan2 saya dalam berniaga manusia ... wow!!!!Lagi baik dari berniaga unta... hehehe
Tengok2 Blog saya ... hehehe