Dr Mahathir Yakin
Usaha Jadikan Perang Satu Jenayah
Dapat Sokongan
BERNAMA
8 Januari, 2007
PUTRAJAYA, 8 Jan (Bernama) -- Tun Dr Mahathir Mohamad berkata gerakan ke arah menjadikan perang satu jenayah akan didengar oleh badan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa Bersatu selepas usaha itu mendapat sokongan masyarakat dunia.
"Jika kita lemah dan orang masih gemar membunuh untuk menyelesaikan pertikaian, permohonan kita tidak akan dipertimbangkan secara serius," katanya.
Bekas Perdana Menteri itu berkata demikian pada sidang akhbar untuk mengumumkan mengenai satu persidangan dan pameran yang akan diadakan bulan depan sebagai sebahagian daripada usaha menjadikan perang sebagai satu jenayah. Persidangan itu, yang akan berlangsung di PWTC di Kuala Lumpur dari 5 hingga 7 Feb, dianjurkan oleh Perdana Global Peace Organisation yang beliau pengerusikan.
Dr Mahathir berkata penduduk yang pernah melihat peperangan dan kekejaman seperti di Hiroshima dan Iraq, termasuk seorang mangsa penyeksaan di penjara Abu Ghraib, akan dijemput bagi menceritakan mengenai penderitaan dan betapa sia-sianya peperangan itu.
"Dengan bertambahnya bilangan penceramah kali ini, kita harap persidangan ini akan menghuraikan secara lebih terperinci mengenai kesan perang. Kita perlu ubah pemikiran rakyat...biar mereka sedar bahawa perang itu kejam, perang bukannya jalan pilihan untuk menyelesaikan pertikaian antara negara," katanya.
Dr Mahathir juga bercakap panjang lebar mengenai hukuman gantung yang dijalani oleh bekas Presiden Iraq Saddam Hussein baru-baru ini, dengan menyifatkannya sebagai satu hasil perbicaraan memalukan yang menyaksikan hakim ditukar dan peguam dibunuh.
"Saya berpegang bahawa sebuah mahkamah yang ditubuhkan oleh musuh kita tidak mungkin menjalankan perbicaraan yang adil. (Dalam kes ini), yang jelasnya ialah mahkamah ini adalah mahkamah musuh, dan niat mereka dari awal lagi, pada pendapat saya, ialah untuk menjatuhkan hukuman salah dan menggantung beliau," katanya.
Sambil menganggap hukuman itu kejam kerana dibuat secara tergesa-gesa tanpa memberi masa untuk rayuan, Dr Mahathir berkata Iraq kini berada dalam keadaan lebih buruk.
Mengenai laporan bahawa Presiden Amerika Syarikat George W. Bush akan menghantar lebih banyak anggota tenteranya ke Iraq, beliau berkata langkah itu tidak akan mengubah keadaan.
"Dia hendak buktikan bahawa dia tidak akan dipengaruhi oleh sebarang perkembangan di Iraq...bahawa dia ada cara sendiri untuk bertindak, dan jika rakyat Iraq tidak setuju pun, dia tetap lakukan sesuka hatinya.
"Dia patut letak jawatan sekarang juga dan diadili oleh sebuah mahkamah yang dibentuk oleh musuhnya," kata Dr Mahathir. -- BERNAMA
No comments:
Post a Comment