Sunday, January 28, 2007

BN Menang Di Batu Talam
Dengan Majoriti Lebih Besar

RAUB, 28 Jan (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri Batu Talam pada pilihan raya kecil hari Ahad dengan majoriti lebih besar daripada yang diperolehi pada pilihan raya umum 2004.

BN bukan sahaja mengekalkan kerusi itu, malah memenanginya dengan bergaya setelah mencapai kedua-dua sasaran pucuk pimpinan - mencatatkan majoriti melebihi 3,000 undi dan calon Bebas hilang wang pertaruhan.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Abdul Kadir Abu Bakar mengumumkan pada pukul 8.17 malam bahawa Abdul Aziz Kiram, 47, memperolehi 6,276 undi, menewaskan calon Bebas, Ng Chee Pang, 22, dengan majoriti 5,857 undi.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Datuk Tengku Paris Tengku Razlan yang menewaskan calon PAS di kerusi Batu Talam pada pilihan raya umum lepas dengan majoriti 2,761.

Seramai 7,080 orang atau 67.32 peratus daripada 10,525 pengundi berdaftar mengundi hari ini.

Abdul Kadir mengumumkan terdapat 385 undi rosak pada pilihan raya kecil ini.

DUN Batu Talam mempunyai 79.36 peratus pengundi Melayu, Cina 10.8 peratus, India 4.74 peratus dan Orang Asli 5.09 peratus.

Proses pengundian di 12 pusat pengundian berjalan lancar dalam keadaan cuaca yang mendung sejak dibuka pukul 8 pagi sehingga ditutup pada 5 petang.

BERNAMA, 28 Januari, 2007
http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=243869

No comments: