Tuesday, January 16, 2007


Strategi Pasca Banjir
Penting Dan Perlu…

Soerang pengunjung blog ini menyokong penuh pendapat kuda-kepang supaya Kerajaan mempunyai strategi khusus untuk meringankan beban mangsa banjir selepas malapetaka berkenaan.

Antara pandangan pengunjung yang menggunakan nama samaran Cakapsiang adalah seperti berikut:

Saya amat bersetuju dengan cadangan pengendalian krisis mangsa pasca banjir. Keadaan selepas banjir adalah ketika yang amat kritikal buat mangsa-mangsa.

Bayangkanlah mereka tidak punya apa lagi yang tinggal, harta benda, sumber pendapatan dan ada juga yang kehilangan ahli keluarga.

Jika kita lihat sekarang ini ramai yang turun padang membantu mangsa banjir, meredah air bah - satu langkah terpuji.

Tapi, berapa ramaikah yang akan turun padang membantu mangsa-mangsa banjir sesudah banjir pulih? Jawapannya hampir tiada.

Hakikatnya, waktu yang paling derita bagi mangsa-mangsa adalah ketika berhadapan dengan masa depan selepas banjir surut.

Kerajaan perlu memberi perhatian berat dan bersungguh-sungguh dalam memastikan kehidupan mangsa banjir ini dipantau selepas banjir surut. Kerajaan harus mempertimbangkan langkah-langkah bantuan yang harus diberi.

Jika kita lihat daripada bencana-bencana yang lepas, banyak kes wang bantuan diselewengkan. Mereka yang patut dapat bantuan dinafikan, sebaliknya mereka yang membahagikan bantuan pula yang senang lenang.

Lihat sahaja bantuan untuk mangsa Tsunami, wang puluhan juta habis dibelanja. Tetapi, pembahagiannya dibuat secara kurang adil dan ada kalanya tidak munasabah.

Sebaliknya, kain baju yang disumbangkan, makanan dan air mineral yang diderma tidak sampai kepada penerima malah hingga sekarang masih ada yang tersimpan di setor dan banyak sekali yang terbuang begitu sahaja.

Kenapa? Kerana pihak yang mengagihkan pakaian, makanan dan minuman ini tidak dapat faedah daripadanya!

Sedemikian, bantuan dalam bentuk bukan wang ringgit juga amat perlu difikirkan bagi meringankan beban mangsa.

Sebagai contoh - pencualian cukai pendapatan, cukai jalan, cukai pintu serta cukai-cukai lain, yuran sekolah, bantuan buku, bantuan makanan untuk murid, bantuan rawatan percuma, penurunan kadar eletrik, air dan telefon dll untuk jangkamasa beberapa bulan atau tahun bagi mangsa.

Bantuan dalam bentuk ini tidak mudah untuk diseleweng dan semua mangsa akan dapat menikmatinya.

Mentaliti sesetengah pemimpin hanyalah pergi meredah air bah, ambil gambar, masuk TV beri sedikit biskut dan bantuan RM300 untuk satu keluarga. Ini sahajakah yang mampu difikirkan oleh mereka?

Demikian pandangan Cakapsiang. Elok juga pandangan seperti ini dirincikan oleh pihak Kerajaan. Dan, memang wajarlah Kerajaan mempunyai satu blueprint yang praktikal, berkesan dan menyeluruh mengenai bantuan pasca banjir. – Ruhanie Ahmad.

No comments: