Thursday, January 11, 2007

Barisan Alternatif
Boikot Batu Talam

Kuala Lumpur (2.00 pagi) 11 Januari 2007: Barisan Alternatif memboikot pilihanraya kecil DUN Batu Talam, Raub, Pahang. Keputusan ini diisytiharkan di markas Pas di Sega, Raub, jam 10.00 malam, 10 Januari 2007.

Demikianlah isi kandungan sms yang saya terima dari seorang sahabat pada 2.00 pagi 11 Januari 2007. Sahabat berkenaan berada di Sega untuk membuat liputan majlis ceramah BA.

Katanya, selepas pengisytiharan di atas, satu kenyataan akhbar mengenai pemboikotan berkenaan, ditandatangi oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dan Presiden Keadilan, Datin Seri Wan Aziz, telah diedarkan kepada para wartawan.

Turut berucap di majlis ceramah itu adalah Penasihat Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Abdul Hadi, dan beberapa lagi pemimpin tertinggi Pas.

Katanya sahabat saya lagi, beribu-ribu rakyat dalam DUN Batu Talam hadir. Saya pun mengirim sms kepada sahabat tersebut untuk bertanya, berapa ramai?

“Bayangkan sendiri satu padang bola penuh sesak dengan manusia” jawabnya.

Soalnya sekarang, kalau ceramah BA dihadiri oleh beribu-ribu orang, mengapakah BA memboikot pilihanraya kecil tersebut? Kerana ia tidak yakin akan menang? Kerana DUN Batu Talam kubu kuat BN?

Seorang daripada ‘Toyol’ saya pula memberikan jawapan kepada soalan di atas. Antaranya, BA dikatakan tidak yakin dengan Suruhanjaya Pilihanraya. Keduanya, BA dipercayai telah mengesan lebih seratus nama yang didakwa sebagai pengundi hantu.

Betulkah begitu? Tidak mungkinkah pemboikotan itu hanya satu gimik? Bagaimana dengan DAP? Adakah DAP juga akan akur dengan keputusan BA untuk sama-sama memboikot pilihanraya itu?

Jadi, mungkinkah BN akan menang tanpa bertanding? Atau, mungkinkah akan muncul calon-calon bebas di hari penamaan calon kelak? – Ruhanie Ahmad.

3 comments:

Unknown said...

Datuk

Terima kasih kerana melayan sms saya yang kutu ini tempoh hari. Saya juga mohon izin untuk menyelit berita di sini:

PAS, Keadilan boikot pilihan raya
Batu Talam


Thursday, 11 January 2007

KUALA LUMPUR (Malaysiakita): Barisan Alternatif (BA) menolak dan memboikot penyertaan dalam pilihanraya kecil bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Talam.

Keputusan itu ditegaskan dalam kenyataan bersama Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dalam pengumuman keputusan itu dalam satu majlis ceramah di Markas PAS Sega di Raub malam tadi, kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman disebut sebagai faktor yang mengesahkan kecurigaan BA terhadap proses pilihanraya di negara ini.

Dalam kenyataannya, Abdul Rashid menyatakan bahawa ”undang-undang dan peraturan pilihan raya yang telah berusia 50 tahun itu tidak lagi sesuai digunakan pada masa ini dan tidak lagi memberi ruang kepada SPR untuk menjamin keadilan terus wujud bagi semua pihak memandangkan sosial yang telah berubah”.

Pilihan raya tidak adil

Abdul Rashid dilihat sebagai memberikan gambaran bahawa pilihan raya di negara ini tidak telus, tidak adil dan tidak saksama apabila berkata, kajian semula undang-undang dan peraturan pilihan raya bertujuan menjadikan proses pilihan raya lebih telus, adil dan saksama kepada semua parti politik dan rakyat negara ini.

Beliau juga dilihat menggambarkan bahawa SPR tidak dapat menjamin keadilan dalam pilihan raya apabila berkata, undang-undang dan peraturan pilihan raya yang telah berusia 50 tahun itu tidak lagi sesuai digunakan pada masa ini dan tidak lagi memberi ruang kepada SPR untuk menjamin keadilan terus wujud bagi semua pihak memandangkan keadaan sosial yang telah berubah.

SPR memihak kepada BN

Kenyataan itu menyenaraikan tujuh kepincangan proses pilihanraya di negara ini iaitu, daftar pemilih yang tidak tepat dan diragui, pengundi pos yang sering disalahgunakan bagi kepentingan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan proses penjalanan pilihanraya yang tidak telus, prejudis dan bersifat berat-sebelah.

Selain itu, sikap dan pendirian Pengerusi SPR yang tidak konsisten dan memihak kepada kerajaan BN, tindakan SPR dalam pengendalian persempadanan yang tidak mengikut semangat dan peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan bersifat tidak adil serta sikap SPR yang rela diperkudakan oleh parti pemerintah sehingga menjejaskan maruah dan wibawa SPR sebagai Suruhanjaya bebas yang seharusnya memelihara proses pilihanraya.

"Berlatarbelakangkan kesemua faktor yang digariskan di atas, maka kami meyakini pilihan raya kecil DUN 06 Batu Talam akan menyaksikan berulangnya penyelewengan yang merosakkan kesucian (sanctity) proses demokrasi.

"Kenyataan Pengerusi SPR yang menyebut bahawa daftar pemilih yang telah diwartakan pada 30 November 2006, berjumlah 10,748 telah dibersihkan menjadi 10,524 selepas daripada perwartaan itu kini menimbulkan kecurigaan," kata kenyataan bersama itu.

Tidak telus

Kenyataan Abdul Hadi dan Azizah menyifatkan proses pembersihan tersebut tidak boleh dikatakan telah dijalankan secara telus kerana ianya dilakukan secara unilateral oleh SPR tanpa penyertaan parti-parti politik yang mengambil bahagian dalam pilihan raya.

Abdul Hadi dan Penasihat PKR Dato' Seri Anwar Ibrahim berada dalam majlis pengumuman yang dihadiri lebih 1,000 orang penyokong PAS dan PKR itu.

Kerusi Batu Talam kosong berikutan kematian Adun BN Dato' Tengku Paris Tengku Razlan, 65, pada 27 Disember lalu.

Ketika mengulas kenyataan pengerusi SPR itu, Anwar sebelum ini berkata, pengakuan Abdul Rashid itu secara tidak langsung merupakan pengakuan kelemahan yang serius, salahlaku yang jelas dan pengingkaran nyata terhadap prinsip-prinsip demokrasi.

“Saya menyeru kesedaran Pengerusi SPR untuk tidak terus digunakan sebagai boneka oleh Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN),” kata Anwar dalam satu kenyataan.

Anonymous said...

bold decision but could be a right one. good to tell it straight to the government's face. i think spr must do something after the spr head has made that declaration of spr is not quite fair

Husin Lempoyang said...

Ini mungkin gimik politik yang pertama kali mahu di cuba.

Ana happy lah utk UMNO kalau menang free ... Tapi nanti orang Dol dan Tingkat 4 akan mendabik dada dan kompang bagai nak giler ... part tu boring ana.

Ana pening lalat memikirkan