Monday, June 21, 2010

Pentadbiran Awam dan Rasuah: Siri Tiga

Ruhanie Ahmad

Saya amat bersimpati dengan insan-insan mulia dalam perkhidmatan awam Malaysia yang dipalitkan dengan persepsi rasuah akibat perbuatan segelintir penjawat awam di semua peringkat.

Ini kerana walaupun rasuah adalah jenayah peribadi seseorang individu, persepsi buruk jenayah ini distereotaipkan sebagai amalan keseluruhan warga perkhidmatan awam.

Oleh sebab itu, saya tetap berpendapat bahawa hanya perkhidmatan awam atau kerajaan yang tidak mempunyai kakitangan serta pemimpin yang rasuah sahaja yang boleh terbebas daripada persepsi rasuah.

Oleh itu, NGO perkhidmatan awam Malaysia wajar sensitif terhadap persepsi negatif ini. Mereka wajar melaksanakan pelbagai tindakan anti-rasuah di semua peringkat.

Seluruh institusi negara yang diwujudkan untuk memantau dan memerangi rasuah wajar diorientasikan semula bagi membanteras rasuah dalam sektor awam tepat kepada sasarannya. Janganlah institusi-insitusi ini akhirnya terkubur dengan tindihan pita birokrasi.

Kajian di Argentina

Bagaimanapun, persepsi seperti ini bukan sahaja wujud di Malaysia. Satu kajian di Argentina untuk mendapatkan pandangan rakyat mengenai rasuah dan definisinya, membuktikan hakikat ini.

Menurut kajian Boniolo & Elbert (2005), rakyat Argentina mendefinisikan rasuah sebagai karenah dan perilaku individu besar dan kecil dalam perkhidmatan awam. Sebagai kesimpulan kepada kajiannya, Boniolo & Elbert (2005:3) menegaskan:

”Rasuah telah memusnahkan demokrasi di Amerika Latin kerana kesannya terhadap prestasi institusi ekonomi di negara-negara terbabit dan kerana rasuah telah menyebabkan rakyat jelata di negara-negara terbabit hilang keyakinan kepada institusi kerajaan mereka.”
Anti-rasuah 2004-2008

Hakikat di Argentina ini hampir serupa dengan di Malaysia dalam tempoh 2004-2008. Akibat persepsi bahawa segelintir pemimpin negara, ahli keluarganya, serta sekelompok kakitangan awam Malaysia adalah bergelumang dengan rasuah, segolongan rakyat di negara ini telah hilang kepercayaan kepada kerajaan.

Biarpun demikian, pemimpin terbabit langsung tidak bertindak untuk menghapuskan persepsi ini secara tegas. Akibatnya, jika agenda membasmi rasuah menjadi tema utama dalam manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) 2004, tema yang sama langsung tidak tersenarai dalam manifesto PRU 2008. Impak kepada hakikat ini sudah pun dimanifestasikan menerusi keputusan PRU 2008.

Sebagai imbasan, manifesto Barisan Nasional (BN) dalam PRU 2004 dengan tema Ke arah Malaysia Cemerlang, Gemilang, Terbilang, menyatakan dalam perenggan pertamanya bahawa “memerangi rasuah dan memperbaiki mutu perkhidmatan kerajaan” adalah matlamat utama kerajaan BN.

Agenda anti-rasuah dalam manifesto PRU 2004 ini didahulu dengan beberapa kenyataan Perdana Menteri Kelima mengenai usaha membanteras rasuah. Contohnya, Utusan Malaysia 7 November 2003, melaporkan PM Kelima mengarahkan pihak polis “mempercepatkan siasatan terhadap kes-kes rasuah, termasuk isu Perwaja, supaya imej kerajaan tidak tercemar.”

Rakyat Kecewa

Utusan Malaysia 13 November 2003, memetik beliau mengeluarkan arahan “semua siasatan kes rasuah diselesaikan bagi mengelakkan timbul tanda tanya mengenai status kes tersebut.”

Sempena 100 hari kepimpinannya, salah sebuah saluran TV Malaysia bertanyakan soalan mengenai rasuah. PM Kelima menjawab: “rasuah adalah amalan jijik. Pendekatan lebih berkesan menangani rasuah hendaklah diterokai. Pendekatan pencegahan sama penting dengan pendekatan punitif.”

Utusan Malaysia 12 Disember 2003, memetik PM Kelima “mempelawa pemimpin ASEAN menghantar peserta ke Akademi Pencegahan Rasuah” yang akan ditubuhkan di Malaysia.

Pada 13 Januari 2004, PM Kelima membuat kenyataan ”kerajaan akan menjadikan sistem pemberian tender terbuka sebagai amalan bagi mengurangkan rasuah dan mengekang peningkatan kos perniagaan di negara ini. Rundingan secara langsung pula akan dihadkan hanya kepada kes istimewa yang tertentu sahaja.” Pada 18 Februari 2004, beliau menyatakan di Tehran, Iran, beliau “komited dalam usaha perangi rasuah.”

Bagaimanapun, selepas PRU 2004, PM Kelima dibelenggu tuduhan skandal ECM-Libra yang didakwa membabitkan anggota keluarganya. Mulai ketika itu beliau sentiasa berada dalam sindrom penafian. Oleh sebab itulah agenda membasmi rasuah tidak langsung disebut dalam manifesto BN dalam PRU 2008.

Impak Kepada PRU 12

Impak daripada kedolak-dalikan pemerintahan PM Kelima dalam melaksanakan agenda anti-rasuahnya telah kita semua ketahui. Di samping lain-lain isu, kekecewaa rakyat Malaysia terhadap agenda anti-rasuah dalam era 2004-2008 adalah antara penyumbang kepada kehilangan keyakinan rakyat terhadap parti pemerintah.

Imbasan di atas adalah hakikat. Saya yakin masih ramai rakyat jelata insaf akan hakikat ini. Ianya perlu dijadikan cermin sejarah kepada kepimpinan mutakhir dalam agendanya membanteras rasuah.

Untuk mengakhiri siri ini sama-samalah kita fahami kenyataan ini: Fenomena korupsi sistemik kini dipergunakan oleh penjenayah untuk menyogok jentera kerajaan, daripada kalangan pembikin dasar, sektor pentadbiran, penguatkuasa undang-undang, hinggalah kepada anggota judisiari, bagi memudahkan operasi jenayah rentas sempadan di sesebuah negara (Williams 2007:199; Holmes 2007:84).

Mungkinkah rasuah sistemik seperti ini wujud di Malaysia, contohnya dalam jenayah pemerdagangan manusia, penyeludupan dadah, transmigrasi haram, dan lain-lainnya? [Siri keempat mengenai rasuah akan disiarkan Khamis depan.]


Friday, June 18, 2010

Pentadbiran Awam dan Rasuah: Siri Dua

Ruhanie Ahmad

Adakah benar pentadbiran awam yang cekap menjadi indikator bahawa ianya bebas daripada amalan rasuah? Adakah meleset untuk mempertikaikan bahawa pentadbiran awam yang cekap belum pasti terbebas daripada amalan rasuah? Persoalan pokok ini dikemukakan kerana pada hakikatnya, kecekapan warga pentadbiran awam tidak menjamin bahawa segolongan mereka pastinya berjiwa murni, beriman kukuh, dan bermatian-matian menjauhi serta membenci rasuah.

Contohnya, Malaysia sentiasa menitikberatkan aspek mutu, produktiviti, dan kecekapan pertadbiran awam. Hakikat ini diperincikan oleh Ahmad Sarji (1991) yang menghuraikan bahawa Kerajaan Malaysia telah melaksanakan pelbagai usaha memupuk serta menerapkan budaya kerja cemerlang dengan emfasis kepada nilai-nilai murni, disiplin, kualiti, produktiviti, akauntabiliti, dan amalan bersih dari rasuah. Mohd Sidek (2008:9) pula berkata, ”usaha menyediakan satu Perkhidmatan Awam Kelas Pertama adalah merupakan satu usaha berterusan Kerajaan Malaysia.”

Selanjutnya, pada 19 Mac 1983, Tun Dr. Mahathir Mohamad, melancarkan kempen Penerapan Nilai-Nilai Islam dan Kepimpinan Melalui Teladan. Kedua-dua kempen ini didasari oleh pelaksanaan konsep Bersih Cekap, Amanah (BCA) yang antara matlamat terasnya adalah untuk melahirkan warga pentadbiran awam ”yang mempunyai moral yang tinggi, bertatatertib dan berdisiplin, tidak menyeleweng dan tidak rasuah.” Konsep BCA kemudiannya dirangkumkan ke dalam Wawasan 2020 yang diumumkan pada 28 Februari 1991.

Pada 23 April 2004, Tun Abdullah Ahmad Badawi, melancarkan Pelan Integriti Negara (PIN) yang sasaran utamanya adalah untuk ”mengurangkan gejala rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan secara berkesan.”

Menerusi pelan ini, kerajaan berazam untuk meningkatkan kedudukan (ranking) anti-rasuah di Malaysia yang ditentukan oleh Transparancy International (TI), daripada tangga ke-37 dari 133 negara di seluruh dunia, dengan skor 5.2 mata pada tahun 2003, kepada skor 6.5 mata pada 2008. Ironisnya, ranking anti-rasuah di Malaysia yang statis pada tangga ke-43 dengan skor 5.1 pada tahun 2006 dan tahun 2007, meredum kepada tangga 47 juga dengan skor 5.1 mata, pada tahun 2008.

Pada awal 2009, Parlimen Malaysia pula meluluskan kewujudan instrumen perundangan serta institusi anti-rasuah yang baru menerusi kewujudan SPRM dengan harapan kedua-duanya akan memperhebatkan pembanteras rasuah di kalangan sektor awam dan swasta.

Selain itu, pada 28 April 2009, Datuk Seri Najib Tun Razak, mengisytiharkan pelaksanaan Indeks Prestasi Utama (KPI) bagi meningkatkan keberkesanan pentadbiran awam. Pada 27 Julai 2009, Najib pula mengumumkan Bidang Keberhasilan Utama Nasional atau National Key Results Area (NKRA) yang antara sasaran utamanya adalah membasmi rasuah. Ini kerana menurut Najib (27 Julai 2009), ”kerajaan amat komited dalam usaha memerangi rasuah.”

Kecekapan Pentadbiran Awam

Seluruh program di atas memang membuktikan komitmen Kerajaan Malaysia untuk meningkatkan mutu serta kecekapan pentadbiran awam. Ia juga membuktikan kesungguhan kerajaan untuk membanteras rasuah di kalangan warga sektor awam. Tetapi, adakah inisiatif tersebut menjamin bahawa pentadbiran awam yang cekap adalah bebas daripada rasuah?

Tidakkah analogi ini mengelirukan? Tidakkah ia memberi gambaran seolah-olah kecekapan dalam pentadbiran awam adalah sinonim dengan sikap anti-rasuah; boleh dijadikan determinan utama kepada amalan menjauhi rasuah; dan boleh mengikis mentaliti kotor pemberi serta penerima rasuah?

Persoalan in penting diperdalami. Ini kerana Harvey (2007) yang mendefinisikan kecekapan perkhidmatan awam sebagai kadar bandingan (ratio) antara input dan output, menegaskan bahawa kadar ini rumit untuk dipastikan secara tepat, kualitatif dan kuantitatif.

Mukherjee (2000) pula menyatakan, usaha mengukur prestasi dan kecekapan sektor awam adalah sukar. Pertama, sebab sektor ini tidak mempunyai satu indikator prestasi yang khusus seperti sektor swasta yang boleh diukur prestasinya menerusi kadar perolehan keuntngan atau berasaskan penguasaan pasarannya. Kedua, sebab sektor awam bertanggungjawab untuk mengendalikan barangan yang rendah tahap ukuran keuntungannya.

Biarpun begitu, kini memang wujud sistem penilaian prestasi bagi warga perkhidmatan awam. Tetapi, menurut Klingner & Nalbandian (2003:262-263), penilaian ini hanya menitikberatkan matlamat teknikal dan pengurusan organisasi awam. Ia juga bertujuan untuk memberikan motivasi kepada warga pentadbiran awam disamping memastikan soal-soal kenaikan gaji dan pangkat.

Ini bermakna sistem penilaian prestasi ini tidak boleh dijadikan pengukur kepada kecekapan perkhidmatan awam, apatah lagi untuk mengetahui secara sistematik sama ada kecekapan organisasi awam itu akan mengurangkan kadar rasuah secara keseluruhannya.

Bagaimanapun, kajian oleh Antonio, Schuknecht & Tanzi (2003:6) mendapati bahawa memang mutakhir ini soal pengukuran kecekapan sektor awam mulai ditikberatkan di negara-negara maju.

Tetapi, usaha ini masih terhad. Keputusan kajian berkenaan mendapati ”negara yang mempunyai tahap kecekapan yang tinggi di dunia adalah Jepun, Luxembourg, Australia, Amerika Syarikat (AS) dan Switzerland.”

Oleh sebab itu, jika mauduk perbincangan siri ini mengandaikan bahawa pentadbiran awam yang cekap adalah bebas dari rasuah, benarkah rasuah di negara-negara ini rendah tahapnya ataupun sifar kadarnya?

Indeks Persepsi Rasuah

Oleh sebab itu wajar dipastikan apakah tahap rasuah di negara-negara tersebut. Kepastian ini akan diperolehi menerusi perbandingan Indeks Persepsi Rasuah (IPR) yang diterbitkan oleh TI pada tahun 2006, 2007, dan 2008.

Menurut IPR pada tahun 2006, daripada 163 negara yang dikaji, Switzerland menduduki tangga ke-7 dengan skor 9.1 mata; Australia di tangga ke-9 dengan skor 8.7 mata; Luxembourg di tangga ke 11 dengan skor 8.6 mata, Jepun di tangga ke-17 dengan 7.6 mata, dan AS di tangga ke-20 dengan skor 7.3 mata.

Daripada 179 negara yang dianalisis pada tahun 2007, Switzerland berada di tangga ke-5 dengan skor 9 mata; Australia di tempat ke-11 dengan skor 8.6 mata; Luxembourg di tahap ke 12 dengan skor 8.4 mata; Jepun di peringkat ke-17 dengan skor 7.5 mata; dan AS di tangga ke-20 dengan skor 7.2 mata.

Daripada 180 negara yang dikaji pada tahun 2008, Switzerland menduduki tangga ke-5 dengan skor 9 mata; Australia di tangga ke-9 dengan skor 8.7 mata; Luxembourg di tangga ke 11 dengan skor 8.6 mata; sementara Jepun dan AS sama-sama menduduki tangga ke-17 dengan skor 7.5 mata.

Ironisnya, kedudukan IPR bagi ketiga-tiga tahun di atas didahului oleh Denmark, New Zealand, Sweden, Singapura dan Iceland yang kecekapan pentadbiran awamnya belum dikaji secara sanitifik. Oleb sebab itu, adalah tidak salah untuk mengatakan bahawa IPR di atas membuktikan bahawa analogi pentadbiran awam yang cekap adalah bebas dari rasuah, adalah analogi yang stereotaip dan meleset.

Ini kerana jika andaian ini benar, pastinya IPR di atas menujukkkan kadar anti-rasuah di Switzerland, Australia, Luxembourg, Jepun dan AS adalah lebih rendah daripada Denmark, New Zealand, Singapura dan Iceland.

Maka terbuktilah bahawa tahap rasuah dalam pentadbiran awam tidak boleh dipastikan tinggi-rendahnya berasaskan kecekapannya. Ini kerana tahap kecekapan perkhidmatan awam tidak memberikan korelasi positif kepada kadar rasuah dalam organisasi berkenaan.

Sebabnya, rasuah bukannya dilakukan oleh pentadbiran awam. Sebaliknya, rasuah diamalkan oleh sekelompok individu dalam perkhidmatan awam atau oleh sesetengah pemimpin dalam kerajaan. Namun begitu, impak jenayah rasuah tetap dibebankan kepada perkhidmatan awam dan kerajaan. Hakikat ini selaras dengan maksud pribahasa di mana seekor kerbau bergelumang lumpur, seluruh kandang akan pasti terpalit!
[Siri ketiga mengenai rasuah akan disiarkan Isnin depan.]


Tuesday, June 15, 2010

Pentadbiran Awam dan Rasuah: Siri Satu

Ruhanie Ahmad


Rasuah boleh meruntuhkan negara. Rasuah juga boleh menjejaskan pembangunan nasional. Oleh sebab itulah Kerajaan Malaysia sentiasa berusaha untuk membanteras rasuah menerusi pelbagai pendekatan administratif, termasuklah peningkatan kecekapan warga perkhidmatan awam, penguatkuasaan undang-undang, pengamalan prosidur operasi, dan menerusi pelaksanaan mekanisme trasparensi..

Ini semua dilakukan kerana kepimpinan negara berpendapat bahawa rasuah adalah gejala yang wujud daripada ketidakcekapan warga perkhidmatan awam. Oleh sebab itu lahir andaian bahawa kecekapan sesuatu pentadbiran awam boleh dijadikan indikator kepada tahap minimanya rasuah di sesebuah negara. Program dan dasar anti-rasuah juga diandaikan boleh dijadikan pendekatan tunggal untuk membanteras jenayah tersebut.

Tetapi, adakah ini benar? Adakah benar bahawa perkhidmatan awam yang cekap akan terbebas daripada amalan rasuah? Jika ini benar, pastinya perkhidmatan awam Malaysia hari ini sudah terbebas daripada rasuah. Ini kerana Kerajaan Malaysia sentiasa melaksanakan pelbagai program dan strategi membanteras rasuah. Pada waktu yang sama, wujud pula pelbagai agensi dan mekanisme untuk memantau dan menghapuskan rasuah.

Siri ini mempertikaikan andaian sedemikian rupa. Ia akan membuktikan andaian bahawa pentadbiran awam yang cekap adalah bebas dari rasuah adalah andaian yang meleset.

Perkhidmatan Awam

Sebelum itu, fahami maksud perkhidmatan awam. Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan mendefinisikan perkhidmatan awam sebagai Angkatan Tentera, Perkhidmatan Kehakiman dan Undang-Undang, Perkhidmatan Awam Am Persekutuan, Pasukan Polis, Perkhidmatan Awam Bersama, Perkhidmatan Awam Negeri, dan Perkhidmatan Pelajaran.

Ahmad Atory Hussain (1983:1) mendifinisikan perkhidmatan awam secara umumnya sebagai “organisasi yang mengurus manusia dan benda-benda untuk mencapai tujuan-tujuan kerajaan.” Dimock et al. (1983:5) menyifatkan pentadbiran awam ”sebagai satu operasi pengeluaran barangan dan perkhidmatan untuk memenuhi kehendak rakyat.”

Milakovich dan Gordon (1995:6) pula menegaskan, ”pentadbiran awam adalah segala proses, organisasi, dan individu yang terlibat dalam perlaksanaan undang-undang dan peraturan yang diputuskan atau dikeluarkan oleh badan perundangan, eksekutif dan kehakiman, di samping terlibat dalam proses penggubalan undang-undang dan peraturan yang berkenaan.”

Definisi Rasuah

Selanjutnya, kenali pula apa itu rasuah. Jenayah rasuah di Malaysia tidak diberikan perspektif perundangan yang serius seperti jenayah pengedaran serta penyeludupan dadah yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati.

Sebaliknya, rasuah di Malaysia hanya tertakluk kepada Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009; Ordinan 22 Darurat 1970 berkaitan rasuah; Akta Kastam 1967 (Disemak 1980) berkaitan rasuah (167); Kanun Keseksaan (Akta 574); Akta kesalahan pilihanraya berkaitan rasuah(2009); dan Akta pengubahan wang haram 2001 berkaitan rasuah.

Namun begitu, siri ini hanya akan menghuraikan rasuah takrifan SPRM dan definisi umum oleh kalangan tempatan dan antarabangsa.

SPRM mentakrifkan rasuah sebagai ”wang, derma, alang, pinjaman, fi, hadiah, cagaran berharga, harta atau kepentingan mengenai harta, iaitu apa-apa jenis harta, sama ada alih atau tak alih, atau apa-apa manfaat seumpama itu yang lain; apa-apa jawatan, kebesaran, pekerjaan, kontrak pekerjaan atau perkhidmatan, dan apa-apa perjanjian untuk memberikan pekerjaan atau memberikan perkhidmatan atas apa-apa sifat; apa-apa bayaran, pelepasan, penunaian atau penyelesaian apa-apa pinjaman, obligasi atau liabiliti lain, sama ada keseluruhannya atau sebahagian daripadanya; apa-apa jenis balasan berharga, apa-apa diskaun, komisen, rebat, bonus, potongan atau peratusan; apa-apa perbuatan menahan diri daripada menuntut apa-apa wang atau nilai wang atau benda berharga; apa-apa jenis perkhidmatan atau pertolongan lain, seperti perlindungan daripada apa-apa penalti atau ketakupayaan yang di kenakan atau yang dikhuatiri atau daripada apa-apa tindakan atau prosiding yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah, sama ada atau tidak sudah dimulakan, dan termasuk penggunaan atau menahan diri daripada menggunakan apa-apa hak atau apa-apa kuasa atau kewajipan rasmi; dan apa-apa tawaran, akujanji atau janji, sama ada bersyarat atau tidak bersyarat, untuk memberikan suapan mengikut pengertian mana-mana perenggan (a) hingga (f) yang terdahulu.”

Demikianlah definisi rasuah oleh SPRM---berjela-jela dan sukar untuk difahami oleh rakyat biasa. Tetapi, begitulah takrifan rasuah secara undang-undangnya.

Dalam bahasa yang mudah, Mahathir Mohamad (1980:180-181) menegaskan, “umumnya rasuah ditafsirkan sebagai pemberian saguhati kepada seseorang yang berkuasa supaya menyalahgunakan kuasa dan memilih kasih dalam tindakannya.” Pada waktu yang sama, “penyalahgunaan wang kerajaan sudah tentu patut dianggap rasuah sama seperti penyalahgunaan kuasa.”

Syed Hussein Alatas (1995:vii) mendefinisikan rasuah sebagai ”dengan sengaja melakukan kesalahan atau melalaikan tugas yang diketahui sebagai kewajipan, atau tanpa hak menggunakan kekuasaan, dengan tujuan memperolehi keuntungan yang sedikit sebanyak bersifat peribadi.” Beiau juga menghuraikan tujuh kategori rasuah---transaktif, extortif, investif, neopostik, defensif, autogenik, dan suportif.

Bernveniste (1997:113) menyatakan, ”rasuah adalah perilaku yang melanggar undang-undang, regulasi dan peraturan yang lazimnya dilakukan secara rahsia. Rasuah juga adalah penyalahgunaan kuasa dan mandat awam untuk memperolehi keuntungan kewangan dan material.”

Klitgaard (2001:31) mendefinisikan rasuah sebagai ”tingkah laku yang menyimpang dari tugas-tugas rasmi sebuah jabatan negara kerana keuntungan status atau wang yang menyangkut peribadi (perseorangan, keluarga dekat, kelompok sendiri); atau melanggar atura-aturan pelaksanaan beberapa tingkah laku peribadi.”

Fethi Ben Jomma Ahmed (2005:26-27) pula menghuraikan bahawa rasuah atau disebut dalam Quran dan Sunnah sebagai fasad, adalah melibatkan sifat-sifat murni termasuk kemuliaan, reformasi, istiqamah, dan amanah.

Kepada saya, rasuah adalah pendapatan, ganjaran, atau faedah kewangan dan bukan kewangan yang diperolehi oleh seseorang individu yang berkuasa menerusi amalan haram, amalan mengkhianati mandat rakyat, dan mengkhianati mandat negara. Amalan seperti ini mesti dikategorikan sebagai amalan yang melanggar nilai-nilai teras keselamatan nasional.

Impak Rasuah

Definisi pentadbiran awam seperti di atas membuktikan betapa pentingnya perkhidmatan tersebut kepada Kerajaan Malaysia kerana keseluruhannya membabitkan hal ehwal ketenteraan, pertahanan dan keselamatan; urusan pembangunan insan; serta tanggungjawab pelaksanaan dasar pembangunan ekonomi serta kesejahteraan rakyat. Oleh sebab itu INTAN (1991:831) menegaskan bahawa “perkhidmatan awam adalah tunggak yang dapat menentukan jatuh bangunnya sesebuah negara.”

Definisi rasuah di atas pula mengilustrasikan impak pengkhianatan kepada negara menerusi rasuah. Lantaran itu jika segolongan warga perkhidmatan awam adalah pengamal rasuah, dan sesetengah pemimpin kerajaan juga adalah penerima rasuah, impaknya pasti mengancam keselamatan negara, menggerhanakan masa depan generasi muda di bidang pendidikan dalam dunia yang kompetatif, dan memudaratkan kelangsungan ekonomi dan rakyat dalam era globalisasi dan liberalisasi yang mencabar.

Impak total daripada amalan rasuah adalah, rakyat yang tidak berpendidikan akan terpinggir, pembangunan negara menjadi lembab, pasaran kerja profesional dikuasai oleh tenaga mahir asing, nikmat kemajuan ekonomi dimonopoli oleh pihak yang kaya raya, rakyat yang miskin pula dinafikan keselesaan hidup di tanah airnya sendiri. Fenomena ini boleh menyebabkan kerajaan kehilangan wibawa dan dan rakyat kehilangan keyakinan. Lantas proses demokrasi pun boleh jadi kucar-kacir akibat kemelut dan asymmetrik kuasa.

Inilah antara sebabnya penganalisis seperti Johnston (2005) memprovokasikan pemikiran warga jagat supaya memberikan perspektif baru kepada soal pembanterasan rasuah. Oleh sebab itu juga Jonhston (2005:42-46) membahagikan rasuah kepada empat kategori khusus supaya rasuah sistemik dapat dirincikan secara mendalam.

Pertama, rasuah mempengaruhi pasaran (influeance markets corruption) yang membabitkan pemimpin politik untuk memperolehi sumbangan secara sah atau sebaliknya.

Dua, rasuah kartel elit (elite cartel corruption) yang melibatkan sesetengah pihak dengan pelbagai sumber kuasa seperti tentera, birokrasi, perniagaan, dan parti politik.

Tiga, rasuah oligarki dan kelompok (oligarchy and clan corruption) yang menjurus kepada pertarungan antara segolongan pihak yang berkuasa dengan pihak yang berpengaruh untuk menggadaikan kuasa bagi memperolehi kekayaan peribadi.

Empat, rasuah tokoh rasmi (official mogul corruption) yang memfokus kepada sesetengah pihak yang mempunyai pertalian politik untuk menghalalkan jenayah rasuah.

Sementara itu, Williams (2007:197) yang menganalisis amalan rasuah sistemik pula menegaskan, mutakhir ini kelompok teroris antarabangsa serta penjanayah juga menjadikan rasuah sistemik sebagai instrumen penting bagi memudahkan pelaksanaan teorisme atau jenayah rentas sempadan.

Caiden et.al. (2001:245-246) pula menghuraikan peri mustahaknya diadakan pemikiran semula terhadap kod etika rasmi pentadbiran awam di seluruh dunia supaya rasuah sistemik dapat dibanteras secara berkesan dan menyeluruh.

Seterusnya, Johnson (1995:184) memperkenalkan konsep rasuah struktural sebagai rasuah yang disasarkan khusus kepada pemimpin tinggi sesebuah negara untuk memudahkan urusan perniagaan sesuatu syarikat multinsasional.

Perry (1997) pula menghuraikan secara terperinci soal rasuah politik dan impaknya kepada negara. Contohnya, Perry (1997:27) menyatakan bahawa gejala rasuah politik adalah sama seriusnya dengan ketagihan arak atau penyalahgunaan dadah.

Demikianlah takrifan perkhidmatan awam dan definisi rasuah oleh pelbagai agensi awam dan sarjana. Takrif dan definisi seperti ini menyebabkan majoriti rakyat agak kurang memahami impak rasuah kepada diri mereka, kepada masyarakat, dan kepada negara. [Siri kedua mengenai rasuah akan disiarkan Khamis depan.]

Friday, June 11, 2010

Pentadbiran Awam dan Rasuah: Pengenalan


Ruhanie Ahmad

Rasuah mengancam demokrasi dan keselamatan negara. Jenayah ini juga menjejaskan proses pembangunan ekonomi dan menggugat kesejahteraan rakyat. Lazimnya rasuah dilakukan oleh segolongan anggota birokrasi yang tergamak untuk menggadaikan kuasa awam yang diamanahkan kepada mereka untuk memperolehi keuntungan peribadi. Ia juga dilakukan oleh sesetengah pihak yang mempunyai kuasa atau naungan politik.

Oleh sebab itulah Perry (1997:30) menghuraikan kewujudan rasuah politik dan rasuah pentadbiran. Ini kerana pertalian antara pentadbian awam, politik, dan rasuah sistemik adalah fenomena yang universal.

Oleh sebab itu juga Fethi Ben Jomma Ahmed (2005:104) menghuraikan masalah rasuah ekonomi kerana jenayah ini ”mengurangkan aktiviti ekonomi dan keuntungan.”

Lantaran itulah juga Syed Hussein Alatas (1995:viii-xiv) menyifatkan rasuah sebagai “pengkhianatan kepercayaan yang membawa pengaruh buruk kepada pemerintah, pembangunan, kesejahteraan masyarakat, institusi swasta atau masyarakat umum.” Dan, Mahathir Mohamad (1980:181) pula menegaskan, “rasuah boleh membawa keruntuhan kerajaan.”

Huraian-huraian di atas adalah antara faktor utama yang menyebabkan Kerajaan Malaysia sentiasa prihatin terhadap usaha pembanterasan rasuah.

Terbaru sekali, Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak, di Dewan Rakyat, Khamis 10 Jun 2010, antara lainnya menghuraikan tindakan Kerajaan untuk membanteras rasuah.

Keprihatinan Perdana Menteri terhadap jenayah ini sangat dihargai dan sewajarnya mendapat sokongan serta kerjasama daripada rakyat jelata di semua lapisan masyarakat.

Antara fokus tindakan pembanterasan rasuah yang terkandung dalam Ringkasan Eksekutif RMK-10 (Unit Perancang Ekonomi 2010:30) adalah seperti berikut:

Memperkukuh pematuhan agensi barisan hadapan menerusi pemantauan secara berkala ke atas proses pengkuatkuasaan serta penyiasatan kes rasuah yang dilaporkan.

Mempertingkat ketelusan dalam Kerajaan termasuk meneruskan edaran Laporan Ketua Audit Negara kepada umum dan mengamalkan ketelusan melalui portal MyProcurement yang akan memaparkan maklumat perolehan Kerajaan kepada rakyat.

Mengenakan hukuman dengan cepat serta lebih berat untuk mencegah amalan memberi rasuah termasuk mendedahkan kepada umum maklumat terperinci individu yang didapati bersalah mengamalkan rasuah.

Meningkatkan kesedaran awam mengenai peranan penting mereka dalam menangani rasuah.

Menilai semula institusi utama yang memerangi rasuah bagi meningkatkan kebebasan dan pemerkasaan institusi tersebut.

Memupuk sistem nilai berteraskan integriti dan moral melalui pelan tindakan Tekad integriti yang akan diperkenalkan sebagai penambahbaikan kepada Tekad 2008.

Sehubungan dengan keseriusan Kerajaan membanteras rasuah, blog ini akan menyiarkan beberapa siri posting mengenai rasuah. Persoalan utama posting ini ialah, adakah benar bahawa pentadbiran awam yang cekap adalah pentadbiran awam yang bebas dari rasuah?

Saya harap para pembaca blog ini akan bersama saya untuk merungkaikan persoalan ini. Saya juga amat berbesar hati jika anda sekalian sudi berkongsi maklumat sahih dengan saya mengenai rasuah di Malaysia.

Contohnya, saya mendapat maklumat yang masih belum dapat disahkan, kononnya kekurangan gula di Malaysia mutakhir ini adalah akibat amalan rasuah di kalangan beberapa agensi Kerajaan.

Tuduhan ini sedang hangat dikedaikopikan kerana kononnya bekalan gula yang sampai di pelabuhan Malaysia kemudiannya diseludupkan pula ke sebuah negara jiran. Adakah ini benar? Adakah ini fitnah? [Siri pertama mengenai rasuah akan disiarkan Isnin depan.]

Wednesday, June 09, 2010

Etnisiti, Kewarganegaraan, dan Nation


Ruhanie Ahmad

Malaysia negara majmuk. Kajian keselamatan mengketagorikan negara seperti ini sebagai state-nation, bukannya nation-state seperti Jepun. Kemajmukan Malaysia ini dimanifestasikan menerusi struktur kewarganegaraannya yang dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

State-nation dan nation-state adalah berpaksikan kepada perkataan nation yang ditakrifkan sebagai sekelompok besar umat manusia yang berkongsi warisan budaya yang serupa dan hidup di sebuah lokasi geografi yang sama (Buzan 1983:45).

Berdasarkan definisi di atas, Tanah Melayu sebelum era penjajah mulai 1511, adalah sebuah nation-state kerana pada ketika itu majoriti penduduk Tanah Melayu adalah sekelompok besar manusia yang berkongsi warisan budaya yang sama, iaitu budaya Melayu, dan hidup di lokasi geografi yang sama, iaitu Alam Melayu.

Bagaimanapun, status Tanah Melayu ini berubah menjadi state-nation setelah merdeka pada 31 Ogos 1957. Ini kerana para pejuang kemerdekaan tanah air kita sanggup bertolak-ansur untuk memberikan kewarganaan kepada rakyat asing dan sekaligus negara ini menjadi negara pelbagai keturunan.

Biarpun begitu, para pejuang kemerdekaan yang multi-etnik juga bersetuju mengekalkan elemen nation-state Tanah Melayu secara simbolik dengan memaktubkan beberapa Fasal strategik di dalam Perlembagaan Persekutuan mengenai agama Islam, Bahasa Melayu, Raja-Raja Melayu, serta keistimewaan Melayu dan Bumiputera.

Oleh itu, walaupun Malaysia sebuah negara yang majmuk atau state-nation, kemajmukan ini sebenarnya berpaksikan kepada elemen-elemen nation-state Tanah Melayu di era pra penjajah.

Hakikat ini difahami oleh para pejuang kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Malangnya, elemen nation-state inilah yang kini menjadi duri dalam daging dan sentiasa dipolemik dan dipolitikkan oleh elit-elit sosial, politik, dan ekonomi rakyat Malaysia bukan Melayu dan bukan Bumiputera.

Soal inilah yang kini menjadi punca kepada pelbagai tuntutan rakyat bukan Melayu dan bukan Bumiputera di Malaysia. Soal inilah juga yang menjadikan orang Melayu dan Bumiputera berasa cemas dan lemas.

Apa tidaknya? Fasal 153 Perlembagaan Persekutuan mengenai keistimewaan Melayu dan Bumiputera sentiasa diungkit-ungkit oleh bukan Melayu dan bukan Bumiputera kontemporari. Dasar-dasar affirmative kerajaan dikatakan menindas. Dasar pendidikan kebangsaan dipersoalkan. Dasar Ekonomi Baru yang semangatnya diterapkan ke dalam Dasar Pembangunan Nasional dijadikan isu politik. Status Islam sebagai agama Persekutuan mahu disamatarafkan dengan agama-agama lain. Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan juga mahu disamaratakan dengan Bahasa Cina dan Tamil.

Semasa Singapura berada dalam Malaysia, perjuangan seperti ini digerakkan menerusi Malaysian Malaysia---sama rata, sama rasa. Hari ini, sesetengah elit politik dalam Barisan Nasional sendiri bersuara lebih vokal daripada suara Lee Kuan Yew di era Malaysian Malaysia.

Saya yakin masalah yang berpunca daripada struktur Perlembagaan Persekutuan yang memanifestasikan secara simbolik elemen-elemen nation-state Tanah Melayu ini akan terus menjadi masalah strategik dalam pembinaan bangsa Malaysia.

Kepada pihak yang buta sejarah, khususnya elit-elit sosial, politik, dan ekonomi bukan Melayu, saya cadangkan mereka kaji kedudukan beratus ribu warga keturunan Korea dan China yang menetap di Jepun, sejak dulu hingga ke hari ini.

Negara Jepun mengamalkan model differential exclusion dalam soal kewarganegaraannya (Yamanaka 2004:69). Ini kerana Jepun sebagai sebuah nation-state mahu mengekalkan satu rupa bangsa yang tunggal, iaitu bangsa Jepun. Negara Jepun mengamalkan model ini kerana ia menganggap kemajmukan rakyatnya akan mengancam status Jepun sebagai nation-state.

Oleh itulah hingga ke hari ini Jepun tidak memberikan taraf kewarganegaraan kepada 700,000 keturunan Korea dan 200,000 keturunan China yang nenek moyang mereka berhijrah ke Jepun di era penjajahan Jepun di Korea dan China.

Kelompok ini mengalami social exclusion, tidak mempunyai civil rights, dan hidup dalam prejudis. Generasi kedua dan generasi ketiga kelompok ini menerima layanan dingin daripada kerajaan Jepun, warga korporat Jepun menyifatkan mereka sebagai pekerja sementara, dan rakyat Jepun mengkategorikan mereka sebagai kelas bawahan (Yamanaka 2004:67-68).

Bagaimana agaknya jika rakyat keturunan Cina dan India di Malaysia menerima layanan seperti generasi kedua dan generasi ketiga Korea dan China di Jepun? Bagaimana agaknya jika di era menjelang kemerdekaanj tanah air seluruh orang Melayu bersikap seperti orang Jepun?

Oleh itu, jangan kita bercakap mengenai etnisiti, kewarganegaraan dan nation secara melulu. Hakikatnya, Malaysia kontemporari adalah sebuah state-nation. Pakar-pakar keselamatan berpendapat, sesebuah negara seperti ini perlu dibina menerusi dasar kerajaan yang tegas.

Jika di sesebuah nation-state, bangsa yang membina negara, di sesebuah state-nation, negara yang berperanan penting membina bangsanya. Oleh sebab itulah Gagasan IMalaysia adalah satu daripada mekanisme penting ke arah pembinaan bangsa Malaysia.

Oleh sebab itu jangan kelirukan 1Malaysia dengan Malaysian Malaysia. Ini kerana bangsa Malaysia tidak boleh dibina menerusi Malaysia Malaysia yang dulu diperjuangkan oleh Lee Kuan Yew, dan kini dijuarai oleh DAP dan beberapa elit BN yang buta sejarah. Sebabnya, pendekatan ini adalah konfrontasional serta menjejaskan struktur Perlembagaan Persekutuan.

Akhir sekali, kerajaan perlu bertegas untuk mengekalkan status quo dasar yang digubal dan dilaksanakan berasaskan Fasal-Fasal strategik dalam Perlembagaan Persekutuan. Jika tidak, negara Malaysia yang majmuk ini boleh jadi kacau-bilau. Jika tidak, pasti akan ada pihak yang akan menginjak-injak kepala orang Melayu dan Bumiputera.

Mereka akan bertindak sedemikian kerana mereka tidak mahu menerima hakikat bahawa Malaysia, yang dulunya dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu, adalah sebuah nation-state bernama Tanah Melayu di era pra penjajahan.

[Saya menyepikan diri selama enam bulan kerana misi peribadi. Jutaan maaf saya pinta daripada seluruh pengunjung].

Sunday, January 10, 2010

Keselamatan Negara Malaysia

Ruhanie Ahmad

Tahun 2009 menyaksikan beberapa polemik yang boleh menjejaskan keselamatan nasional. Contohnya, polemik mengenai taraf bukan bumiputera, status Melayu dan peribumi dalam Perlembagaan Pesekutuan, soal kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, dan isu Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Kemunculan polemik ini menandakan transformasi pemikiran segolongan rakyat Malaysia terhadap status jatidiri atau identiti mereka, khususnya identiti Melayu-Bumiputera berbanding bukan Bumiputera di era merdeka.

Transformasi ini memang lumrah akibat peredaran zaman dan evolusi persepsi masyarakat. Tetapi, ianya jelas menafikan soal jatidiri rakyat Malaysia yang telah dibina secara perlembagaan di mana penggubalan serta kelulusannya adalah berasaskan persetujuan pejuang kemerdekan yang multi-etnik, budaya, agama, sejarah dan latarbelakang ekonomi.

Oleh itu, pelbagai kelompok elit – politik, agama, sosial, budaya atau ekonomi – yang berjuang merobah status jatidiri komunitinya di negara ini wajar menyedari aspek-aspek sejarah, agama, budaya dan lain-lainnya untuk menghindari perilaku serta kenyataan mereka mencetuskan masalah keselamatan nasional di Malaysia.

Hakikatnya demikian kerana soal keselamatan nasional di sesebuah negara plural yang muda dan membangun seperti di Malaysia wajar dianalisis berdasarkan wisdom dan permuafakatan pejuang kemedekaan negara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kini rakyat pelbagai etnik memang berhak membicarakan pembinaan jatidiri masing-masing serta boleh menyuarakan desakan demi desakan termasuk yang sensitif dan mencanggahi beberapa peruntukan teras dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tetapi, janganlah proses pembinaan jatidiri ini meminggirkan sama sekali prinsip-prinsip perpaduan nasional, ketahanan nasional dan keselamatan nasional atau boleh mencetuskan masalah keselamatan nasional.

Ini kerana prinsip-prinsip keselamatan nasional di negara maju yang sebenarnya American-centric tidak boleh dijadikan asas kepada pensekuritisasian keselamatan nasional di Malaysia.

Ini juga sebab core-values atau nilai teras dan referent object atau objek rujukan keselamatan di negara muda dan membangun seperti di Malaysia adalah amat berbeza dengan nilai teras, objek rujukan dan proses pensekuritisasian di negara maju.

Hakikatnya demikian kerana keselamatan nasional di negara maju hanya difokus daripada konteks ancaman luaran sahaja.

Nota: jutaan maaf kerana blog ini tidak dikemaskinikan sekian lamanya akibat pelbagai konstrains teknikal dan peribadi.

Friday, November 27, 2009

Ombudsman Dan Whistleblowers

Ruhanie Ahmad

Ombudsman berbeza daripada whistleblowers. Ombudsman institusi pemantau bebas untuk menangani perbuatan salah laku, keputusan tidak saksama, atau perilaku penjawat awam yang menindas rakyat.

Konsep serta amalan ombudsman sektor awam diperkenalkan di Sweden pada tahun 1809. Institusi ini kemudiannya diperkenalkan di beberapa negara Scandinavia. New Zealand adalah negara pertama yang memperkenalkannya di luar Eropah. Kini beratus-ratus negara termasuk Papua New Guinea dan Cooks Island mempunyai institusi ini.

Ombudsman di peringkat negara dilantik oleh dan bertanggungjawab kepada parlimen. Anggotanya adalah individu berwibawa, berintegriti, dan terhormat. Tugasnya menyiasat aduan salah laku jabatan kerajaan, dan memperakukan koreksi serta penyelesaiannya.

Di kebanyakan negara asing wujud badan yang sama di peringkat jabatan, agensi awam, universiti, kerajaan tempatan, dan hospital untuk membolehkan masalah rakyat disiasat dan diselesaikan di peringkat berkenaan.

Whistleblowers adalah individu yang secara sukarela menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa mengenai rasuah dan salah laku. Mereka terdiri daripada individu yang berkhidmat dengan kerajaan, bekerja di sektor swasta, menjadi pemimpin dan ahli organisasi politik, penggerak dan ahli pertubuhan sukarela, atau rakyat biasa di semua peringkat. Di kebanyakan negara, kelompok ini diberikan perlindungan undang-undang.

Ini bermakna whistleblowers adalah individu penyampai maklumat kepada pihak berkuasa sementara ombudsman adalah institusi yang bertindak untuk menyiasat maklumat berkenaan untuk membuat perakuan kepada pihak berkuasa bagi memperbaiki atau menyelesaikannya.

Whistleblowers dan umbudsman penting untuk membanteras rasuah dan penyelewengan kuasa. Mereka memperkukuhkan keberkesanan agensi antirasuah serta pelaksanaan undang-undang mengenainya yang diwujudkan oleh sesebuah negara.

Ombudsman merupakan istilah yang sering dipoltikkan oleh pembangkang di Malaysia terutamanya bila mereka membicarakan soal rasuah dan penyelewengan kuasa oleh pihak pemerintah.

Sebuah akhbar Inggeris tempatan melaporkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, pada 10 April 2006, bahawa kerajaan bercadang mewujudkan ombudsman bagi menyiasat aduan terhadap pihak berkuasa termasuk menteri dan badan pencegah rasuah.

Agensi berita AP 11 April 2006 pula memetik kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa Malaysia mungkin menubuhkan sebuah badan bebas untuk menyiasat aduan terhadap seluruh agensi kerajaan termasuk para menteri dan penggubal undang-undang.

Oleh itu, bila agaknya kerajaan Malaysia akan menubuhkan ombudsman di peringkat nasional? Usaha ini pasti akan memperkukuhkan lagi Akta Whistleblowers yang akan digubal dan dikuatkuasakan mulai 2010.

Saturday, November 21, 2009

Peranan Whistleblowers Membanteras Rasuah


Ruhanie Ahmad

Malaysia akan memperkenalkan undang-undang anti-rasuah yang dikenali sebagai The Whistleblowers Act. Ini diumumkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan belanjawannya tempohari.

Penggubalan dan penguatkuasaan undang-undang ini membuktikan betapa seriusnya kepimpinan Najib terhadap usaha membanteras rasuah dan salahguna kuasa di Malaysia.

Undang-undang ini banyak manfaatnya. Satu: ia memberikan perlindungan serta kekebalan kepada rakyat jelata yang menyampaikan maklumat mengenai rasuah dan salahguna kuasa dalam sektor awam, swasta, dan sukarela.

Dua: perlindungan dan kekebalan diberikan supaya rakyat menyampaikan maklumat mengenai rasuah dan penyalahgunaan kuasa kepada media massa atau lain-lain agensi anti-rasuah tanpa takut dan bimbang.

Tiga: undang-undang ini mewujudkan persekitaran anti-rasuah yang lebih menggerunkan pihak yang cuba memberi rasuah dan menerima rasuah kerana tindakan mereka boleh dipantau oleh sesiapa sahaja dan pada setiap masa.

Empat: undang-undang ini memantapkan lagi undang-undang dan institusi anti-rasuah yang sudah wujud di Malaysia.

Lima: undang-undang ini dijangka mendorong kewujudan civil society anti-rasuah yang lebih komprehensif dan tidak berpaksikan politik.

Undang-undang Whistleblowers telah dikuatkuasakan di beberapa negara asing sejak bertahun lamanya. Keberkesanannya dicerminkan menerusi pengaplikasian beberapa peruntukan mengenai whistleblowers ke dalam peraturan syarikat, jabatan kerajaan, dan pertubuhan sukarela.

Contohnya, terdapat syarikat di India memaktubkan sebahagian undang-undang Whistleblower India ke dalam kod etika syarikatnya bagi membolehkan pekerjanya menerima perlindungan bila melaporkan salahlaku dan penyelewengan kepada pihak majikannya.

Di Amerika Syarikat, banyak jabatan kerajaan yang mewujudkan perlindungan whistleblowers dalam organisasi mereka sebagai strategi mencegah penyelewengan dan rasuah.

Di AS juga wujud National Whistleblowers Center (NWC) yang memantau whistleblowers (penyampai maklumat) yang cuba dianaiya oleh pihak yang didedahkan penyelewengannya.

Ini mencerminkan bahawa whistleblowers adalah golongan berpengaruh dalam mendedahkan perilaku negatif dalam sesebuah organisasi awam dan swasta.

Nota: Jutaan maaf kerana tidak membuat posting buat sekian lama akibat peperiksaan yang baru sahaja berakhir. Dalam posting akan datang akan saya paparkan perbezaan peranan whistleblowers dengan ombudsman dalam membanteras rasuah dan salahguna kuasa.

Saturday, October 17, 2009

Sekat Kemunculan Broker Kuasa Di Peringkat Negeri Dan Bahagian

Ruhanie Ahmad

Pindaan perlembagaan UMNO, terutama sekali mengenai kaedah baru pemilihan pucuk pimpinan parti dilakukan di peringkat cawangan, yang diluluskan oleh Perhimpunan Agung UMNO semalam adalah perubahan yang perlu dilaksanakan dengan segera.

Ia akan memperbaiki kelemahan organisasi dalam pemilihan pucuk pimpinan parti. Jika tidak UMNO akan terus dibelenggu oleh gejala politik wang dan akan kehilangan wibawa serta integritinya.

Perubahan ini perlu juga dilaksanakan dengan cekap, secara sistematik, dan lengkap dengan regulasi dan prosidur pencegahannya supaya kaedah baru ini pula tidak menimbulkan fenomena kelemahan yang baru di dalam parti.

Satu fenomena baru yang boleh wujud daripada kaedah pemilihan yang baru ini adalah perilaku Ketua Perhubungan UMNO Negeri dan/atau Ketua UMNO Bahagian yang akan bertindak sebagai broker kuasa untuk menentukan calon manakah yang perlu disokong oleh warga UMNO akar umbi.

Ketua Perhubungan dan/atau Ketua UMNO Bahagian boleh menggunakan kuasa mereka dan menjual kuasa itu kepada calon-calon yang sanggup merasuah mereka.

Setelah dirasuah, Ketua Perhubungan dan/atau Ketua UMNO Bahagian terbabit pula akan menggunakan kuasa mereka untuk menekan warga UMNO cawangan supaya memilih calon pilihan Negeri atau Bahagian.

Jika ini berlaku, demokrasi tiada maknanya, Ketua Perhubungan dan/atau Ketua UMNO Bahagian akan menjadi broker kuasa dan gejala politik wang yang dulunya berleluasa di kalangan perwakilan ke perhimpunan agung UMNO akan berlaku pula secara meluas di peringkat Negeri dan/ atau peringkat Bahagian.

Gejala ini boleh berlaku jika kaedah baru pemilihan pucuk pimpinan UMNO ini tidak diurus dengan baik dan tidak pula digandingi dengan regulasi serta prosidur untuk mencegah penyalahgunaan kuasa oleh Ketua Perhubungan dan/atau Ketua Bahagian.

Di sinilah sendi kelemahan paling utama kepada kaedah pemilihan pucuk pimpinan UMNO yang baru diluluskan. Masalah ini perlu diatasi menerusi peraturan dan prosidur yang ketat. Peraturan serta prosidur ini pula perlu dikuatkuasakan dan dipantau secara bersih, cekap, dan amanah.

Dengan cara ini amalan rasuah sistemik dalam UMNO akan terhapus dan pengamal serta penerima rasuah sistemik ini pula akan terpinggir dengan sendirinya.

Hanya dengan ini sahaja akan tercipta satu norma,nilai serta budaya baru dalam UMNO yang kemudiannya menjadi pemacu serta pemangkin kepada kewujudan tamadun politik baru di tanah air tercinta ini.

Friday, October 16, 2009

Tubuhkan Suruhanjaya Pilihanraya UMNO

Ruhanie Ahmad

Perhimpunan Agung Khas UMNO semalam memberikan kuasa kepada 146,500 warga UMNO akar umbi untuk memilih pemimpin parti di peringkat pusat. Ini satu perubahan radikal dan berani.

Syabas kepada Datuk Seri Najib Tun Razak kerana memberikan kepimpinan yang tegas untuk mengorak langkah pembaharuan ini.

Dengan itu terserahlah kepada warga UMNO akar umbi untuk memilih pucuk pimpinan parti secara bijaksana tanpa dipengaruhi oleh sesiapa.

Jika ini mampu dilakukan tanpa politik wang atau rangsangan kebendaan pastinya UMNO akan memiliki barisan pemimpin yang benar-benar kuat, berwibawa, dedikated, bersih dan amanah.

Bagaimanapun perubahan ini memerlukan satu sistem dan jentera pilihanraya UMNO yang telus, cekap, dan berkesan. Untuk itu UMNO wajar melantik satu badan bebas bagi mengendalikan sistem dan jentera berkenaan.

Kini eloklah warga UMNO yang telah jauh hati akibat kepincangan organisasi ini kembali ke pangkuan perjuangan parti untuk sama-sama memertabatkan semula wadah perjuangan ini.

Ini selaras dengan seruan najib supaya ”setiap pemimpin dan ahli UMNO bangkit menyalakan obor perubahan bagi memartabatkan perjuangan parti dengan keutamaan kepada kebajikan dan keperluan rakyat untuk membentuk kerajaan yang kuat serta stabil..”

Thursday, October 15, 2009

Transformasi UMNO Atau Transformasi Diri Sendiri?

Ruhanie Ahmad

Di bawah ini saya siarkan sebahagian kenyataan Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang dilaporkan oleh BERNAMA hari ini. Kata kunci dalam kenyataan beliau adalah “transformasi sikap, transformasi keahlian UMNO, dan pandangan 1Dunia.”

KUALA LUMPUR 13 Okt. - Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin hari ini berharap pindaan perlembagaan yang dijadual dibentangkan pada perhimpunan agung khas UMNO Khamis ini turut menuntut perubahan sikap semua para perwakilan khususnya Pemuda.

''Saya istilahkan perhimpunan Pemuda dan perhimpunan agung sebagai satu perhimpunan transformasi di mana perubahan bukan hanya berlaku kepada peraturan dan undang-undang dalam perlembagaan tetapi juga melibatkan kompas politik kita.

''Harapan kita bahawa pindaan ini akan mendorong kepada seluruh keahlian terutama Pemuda UMNO untuk membuat transformasi sikap kita. Transformasi perlembagaan sahaja tidak mengubah segala-galanya dan kita perlu kepada transformasi keahlian itu sendiri,'' katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda di Menara Dato' Onn di sini.

Khairy berkata, mesyuarat hari ini juga menyentuh mengenai bagaimana Pemuda dapat memainkan peranan mereka dalam menjayakan gagasan 1Malaysia.

''Kita mesti mempunyai pandangan 1Dunia iaitu satu pandangan politik yang lebih terbuka yang boleh diterima oleh seluruh rakyat Malaysia. Kita kena tunjuk kepimpinan Pemuda UMNO dan UMNO bukan hanya untuk orang Melayu sahaja tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia,'' katanya.

Perkataan transformasi lazimnya membawa erti dan implikasi yang positif. Jadi, apakah yang dimaksudkan dengan “transformasi sikap”? Daripada pengamal politik wang menjadi penentang politik wang? Daripada pengamal kronisme kepada penentang kronisme? Daripada kodong dapat cincin jadi lilin membakar diri?

Apa pula maksud ”transformasi keahlian”? Daripada ahli UMNO yang boleh dirasuah kepada ahli pembenci rasuah? Daripada ahli yang menentingkan diri kepada ahli yang prihatin terhadap penderitaan rakyat? Daripada bergelumang dengan kepura-puraan jadi ahli yang jujur dan ikhlas kepada perjuangan parti?

Akhir sekali, apa ertinya ”pandangan 1Dunia”. Universalisme? Globalisme? Tidak payah cemburu dengan jiran yang berniat buruk terhadap negara? Meritokrasi? Demokrasi liberal? Liberal internasionalisme? Postmodernist? Konstruktivist? Beri betis, peha, dan semuanya kepada sesiapa sahaja bukan Melayu yang memintanya?

Bagaimanapun, sebelum banyak pihak ikut melalut dengan retorik dan lambongan idea bombastik yang indah kabar dari rupa, sama-samalah hayati sebahagian daripada Perlembagaan UMNO seperti berikut:

FASAL 3: ASAS DAN TUJUAN

UMNO adalah sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruh dan martabat bangsa, agama dan negara.

3.1 Mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara.

3.2 Mendukung dan mempertahankan Perlembagaan Negara, Perlembagaan Negeri-negeri dan Raja Berpelembagaan.

3.3 Menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam, agama rasmi negara serta menghormati prinsip kebangsaan beragama.

3.4 Mempertahankan kedaulatan rakyat dan keadilan sosial dengan mengamalkan Sistem Pemerintahan Demokrasi Berparlimen serta memajukan ekonomi rakyat Melayu dan Bumiputera khasnya dan rakyat Malaysia amnya.

3.5 Menjamin kedudukan Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu) sebagai bahasa rasmi yang tunggal dan Kebudayaan Kebangsaan yang berteraskan Kebudayaan Melayu.

3.6 Mewujudkan kerjasama antara kaum bagi melahirkan satu bangsa Malaysia yang kuat dan bersatu berasaskan kepada hak-hak Asasi Manusia dan Hak-Hak Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera.

Wednesday, October 14, 2009

Nyahkan Kaki Rasuah, Batu Api, Talam Dua Muka, Musuh Dalam Selimut, Pengampu, Dan Tukang Kipas....

Ruhanie Ahmad

Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, memang tepat bila menegaskan UMNO mesti bersihkan seluruh batu api, kaki cucuk, dan talam dua muka daripada jemaah perjuangannya.

Mahyuddin mahukan ahli-ahli kategori perosak ini dimansuhkan daripada UMNO kerana beliau mahukan satu UMNO yang mantap, progresif dan berwibawa.

Beliau juga mahukan pembaharuan ini supaya warga UMNO mampu mengamalkan empat rukun perjuangan yang beliau cadangkan, iaitu Kesatuan Minda (Wahdatul Fikr), Kesatuan Hati (Wahdatul Qalb), Kesatuan Amal (Wahdatul Amal) dan Kesatuan Matlamat (Wahdatul Hadaf).

Apa yang Muhyiddin tidak sebutkan ialah kelompok kaki rasuah, pengampu, pembodek, tukang kipas, musuh dalam selimut, gunting dalam lipatan, bodoh sombong, kacang lupakan kulit, kadok naik junjung dan beruk dapat bunga. Kelompok ini sama juga bahaynya seperti kategori yang disenaraikan oleh Muhyiddin. Mereka mesti dinyahkan daripada UMNO dengan seberapa segera.

Bagan Pinang Dan PRU 13

Kemenagnan BN di DUN Bagan Pinang memang hakiki. Tidak ada dakwa dakwi mengenainya. Tetapi, kemengan ini usah dijadikan petanda terhadap peluang BN dalam PRU 13 kelak. Tindakan seperti ini bahaya padahnya.

Sempenan Perhimpunan Agung UMNO kali ini janganlah kemenangan BN di Bagan Pinang dijadikan indikator kononnya UMNO sudah pulih dan BN kian mantap. Sebaliknya, berdebatlah secara jujur dan ikhlas. Mana yang bengkok, luruskan segera. Mana yang cacat, mansuhkan parutnya. Mana yang salah, tegur secara membina. Mana yang silap, cadangkan pembetulannya secara menyeluruh.

Kalau boleh, PAU kali ini usah dijadikan medan lawak jenaka dan gurau senda oleh para badot kelas atasan. Sebaliknya, perah otak dan jenihkan minda. Kemukakan kaedah untuk perbaiki jemaah bperjuangan, dari cawangan sampai ke bahagian, dari peringkat negeri sampai peringkat pusat.—Ruhanie Ahmad.

Monday, October 12, 2009

ISA MEMANG BESAR TAPI TEE KEAT KALAH BESAR?


Tahniah kepada BN dan Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad kerana menang besar dalam PRK DUN Bagan Pinang. Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin dipetik oleh Utusan Malaysia sebagai berharap bahawa kemenangan BN di DUN Bagan Pinang menjadi titik permulaan dalam menjana perubahan berterusan dan percaya pengundi menyokong kepada kepimpinan dasar yang dilakukan oleh BN.

Tetapi, bagaimana dengan Ong Tee Keat dan MCA? Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga dipetik oleh Utusan Malaysia sebagai berkata, ”jawatankuasa pusat MCA perlu buat keputusan berdasarkan kepada resolusi yang telah diputuskan oleh perwakilan pada EGM Sabtu.”

Kemenangan Isa mahu dijadikan pembekal semangat kepada mana-mana pilihan raya di masa akan datang. Benarkah begitu? Bagaimana dengan kekalutan dalam MCA dan kegelabahan dalam MIC? Bolehkah ini dijadikan indikasi kepada masa depan BN yang kurang mantap jika kekalutan dan kegelabahan ini berlarutan?---Ruhanie Ahmad

Monday, October 05, 2009

Bagan Pinang, Serapah Minang, Siapa Menang?

Orang Negeri Sembilan adalah pengamal adat Minangkabau. Satu dari societal dictum atau madah serapah yang menggemblengkan kemuafakatan masyarakatanya ialah: bukit sama didaki, lurah sama dituruni; hati nyamuk sama dicicah, hati gajah sama dilapah; dan, kerbau dipegang talinya, manusia dipegang janjinya.

Namun orang Melayu juga mempunyai bidal dan kata nasihat bahawa bila guruh berdentum di langit, air tempayan jangan curahkan; burung terbang jangan pipiskan lada; jong pecah, yu kenyang; dan, akibat nila setitik, rosak susu sebelanga!

Lantas, bagaimana agaknya madah serapah dan bidal kata ini akan dimanifestasikan di Bagan Pinang? Pengundi India yang jadi penentu dalam PRK ini memang bingung total untuk memahaminya. Para pengundi Melayu bagaimana rentaknya? --- Ruhanie Ahmad

Friday, October 02, 2009

Peranan Masyarakat Sivil Membanteras Rasuah

Ruhanie Ahmad

Rasuah banyak jenisnya. Teroris dan penjenayah rentas sempadan amalkan rasuah sistemik (Nadelman 1993; Holmes 2007). Rasuah jenis ini disasarkan kepada pihak pembuat dasar, warga birokrat, pegawai penguatkuasa dan juga warga kehakiman di negara sasaran mereka.

Di kalangan pemimpin tinggi kerajaan ada rasuah yang dikategorikan sebagai rasuah struktural (Johnson 1995). Rasuah jenis ini pernah menggegarkan Jepun dalam tahun 1990-an.

Dalam siasah, ada rasuah politik yang disinonimkan dengan penagihan dadah (Perry 1997). Oleh sebab itulah rasuah jenis ini sering disebut dan diungkit-ungkit oleh rakyat jelata di sesebuah negara.

Secara umum, ada rasuah pasaran (influeance markets corruption) yang membabitkan pemimpin politik untuk memperolehi sumbangan secara sah atau sebaliknya. Ada rasuah kartel elit (elite cartel corruption) yang melibatkan sesetengah pihak dengan pelbagai sumber kuasa seperti tentera, birokrasi, perniagaan, dan parti politik.

Ada rasuah oligarki dan kelompok (oligarchy and clan corruption) yang menjurus kepada pertarungan antara segolongan pihak yang berkuasa dengan pihak yang berpengaruh untuk menggadaikan kuasa bagi memperolehi kekayaan peribadi; dan ada rasuah tokoh rasmi (official mogul corruption) yang memfokus kepada sesetengah pihak yang mempunyai pertalian politik untuk menghalalkan jenayah (Jonhston 2005).

Ada pihak menganggap rasuah boleh dikurang atau dimansuhkan dengan wujudnya kecekapan dalam sistem penyampaian awam dan juga kecekapan warga perkhidmatan awam. Maka timbullah macam-macam konsep ke arah ini---Bersih, Cekap, Amanah; Pelan Integriti Nasional, KPI dan NKRA.

Usaha-usaha ini semuanya baik. Tapi, rasuah hanya akan kurang atau mansuh bila pihak pemberi takut merasuah, dan pihak penerima takut dirasuah. Ini bermakna kecekapan tidak kena-mengena secara langsung dengan amalan rasuah. Hanya minda dan mentaliti yang bersih sahaja akan menghapuskan rasuah.

Persekitaran takutkan rasuah ini akan wujud jika semua rakyat di sesebuah negara komited untuk membanteas rasuah. Oleh itu perlu wujud banyak civil society mengenai pembanterasan rasuah. Civil society ini pula jangan main poilitik atau ada kaitan dengan mana-mana parti politik.

Jenayah rasuah boleh dihapuskan menerusi kebangkitan masyarakat sivil yang berani bersuara dan bertindak secara berwibawa dalam soal-soal anti-rasuah. ”Penyertaan masyarakat sivil diperlukan dalam pembanterasan rasuah kerana jenayah ini adalah sistemik. Oleh sebab itulah reformasi menghapuskan rasuah perlukan dukungan minat serta tenaga masyarakat” (Johnston 2007).

Ini kerana ”rasuah hanya akan terhapus jika pihak berkuasa yang bertanggungjawab membanteras rasuah tidak boleh dirasuah oleh sesiapa. Situasi seperti ini wujud jika badan berkuasa berkenaan mempunyai komitmen kepada misi perjuangan negara dan komitmen kepada profesionalisme kerjaya” (Benveniste 1997).

Pada waktu yang sama, ”warga perkhidmatan awam perlu mengamalkan sistem etika dan tanggungjawab moral yang murni. Mereka boleh mengamalkannya jika mereka menginsafi bahawa mereka berkhidmat untuk negara dan rakyat. Amalan ini sangat diutamakan dalam negara yang demokratik. Jika tidak, warga perkhidmatan awam akan dituduh mengamalkan birokrasi ala-Nazi yang mengorbankan kepentingan rakyat demi memenuhi matlamat birokrasi yang kejam” (Caiden et. al. 2001).

Tetapi, ”jika penjawat awam hanya menentingkan keselesaan peribadi, mereka akan berleluasa tanpa mengambilkira hak-hak rakyat serta integriti perlembagaan negaranya” (Dobel 1999).

Oleh sebab itu, rasuah wajar disekuritikan sebagai elemen keselamatan negara. Mereka yang memberi rasuah dan menerima rasuah perlu diheret ke mahkamah atas tuduhan menjejaskan keselamatan masyarakat, keselamatan insan dan keselamatan ekonomi sesebuah negara.

Dengan pensekuritian seperti ini, dan dengan wujudnya masyarakat sivil yang anti-rasuah, maka rasuah politik akan reda, rasuah sistemik akan kurang, rasuah sktuktural akan hilang. Lantas ramai-ramailah bangkit untuk mewujudkan pertubuhan sivil membanteras rasuah!

Tuesday, September 29, 2009

Bagan Pinang Dan Karenah Segelintir Elit India

Kebelakangan ini segelintir elit India Malaysia amat menduga kesabaran orang Melayu. Kelompok ini wujud dalam pertubuhan haram seperti Hindraf dan dalam pertubuhan halal seperti PKR dan MIC.

Segelintir elit Hindraf mengheret kerajaan hingga ke peringkat antarabangsa dengan tuduhan kononnya Perlembagaan Persekutuan adalah represif. Dua tiga kerat elit India PKR menayangkan kejagohannya di Dewan Undangan Negeri Perak. Seorang elit MIC amat gian untuk mengalungkan selipar jepun kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Mengapa jadi begini? Mahu tunjuk biadap? Hendak jadi kurang ajar? Untuk tonjol dan pertahankan identiti? Atau bertujuan untuk menggelodakkan sentimen etnisiti supaya tercetus kebencian India-Melayu?

Tetapi, kerana segala-galanya dilihat dari kaca mata politik, maka layanan yang mereka terima juga cukup political. Biar orang Melayu marah, biar orang Melayu tersula jiwa, biar orang Melayu dendam kesumat, kesemua ini diketepikan demi politik!

Persoalannya di sini, adakah layanan yang politically friendly ini akan membawa keuntungan politik kepada pihak yang berkuasa? Bagaimana jika keuntungan ini dikaut oleh puak yang cuba hendak berkuasa?

Dan, adakah layanan yang cukup politically freindly ini akan akan membawa keuntungan relatif kepada BN di Bagan Pinang tidak lama lagi? Bukankah pengundi India dikatakan jadi faktor penentu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di DUN tersebut?

Saya terlalu terbakar dengan gelagat segelintir elit India Malaysia sejak Disember 2007 bila pertubuhan haram bernama Hindraf berlagak besar kepala. Mereka pukul anggota polis. Tapi, ada elit Melayu bela mereka dan kes berkenaan pun langsai tanpa bicara. Saya cukup terguris dengan perilaku segelintir elit India PKR di Perak. Tapi ada lagi elit Melayu yang lintang pukang mempertahankannya. Saya amat terkedu dengan tebiat segelintir elit MIC dua tiga minggu yang lalu. Kali ini baru ada elit Melayu yang berani bersuara, waima sekadar melepaskan batuk di tangga!

Saya amat menantikan bagaimana agaknya segelintir elit India daripada ketiga-tiga kelompok ini akan mencorakkan pengundian kaum India dalam PRK Bagan Pinang kelak. Saya juga tertunggu-tunggu bagaimana agaknya elit Melayu akan menawan hati mereka!

Akhir sekali saya tegaskan: SAYA BUKAN RASIS. Bicara saya kali ini adalah bicara hati seorang anak Melayu yang menentang rasisme oleh segelintir elit India yang bertindak rasis di balik topeng keadilan dan kesaksamaan untuk mengukuhkan identiti mereka di Malaysia---identiti yang mereka perolehi menerusi sifat toleransi Melayu di era pra merdeka dan terus dipertahankan oleh orang Melayu hingga ke hari ini!-Ruhanie Ahmad

Monday, September 28, 2009

Al-Fatehah: Takziah kepada keluarga Allahyarham Tan Sri Rahim Bakar

Pada Khamis, 24 Septembe 2009, seorang sahabat yang saya sifatkan sebagai abang, Tan Sri Abdul Rahim Bakar, bekas Menteri Besar Pahang, 66 tahun, kembali ke rahmatullah di kediamannya di Jalan U Thant, Kuala Lumpur, akibat serangan jantung.

Allahyaham seorang cendikiawan, idealis dan nasionalis yang saya kagumi. Saya sekeluarga mengucapkan takziah kepada keluarga beliau. Moga-moga roh Allahyarham akan berada dalam golongan orang yang soleh. Al-Fatehah.---Ruhanie Ahmad

Selamat Hari Raya

Saya sekeluarga memohon jutaan maaf zahir batin kepada seluruh sahabat saya di mana mereka berada dan juga kepada kesemua pengikut setia blog ini. Akibat masalah teknikal, blog ini tidak dapat berfungsi selama 20 hari sejak sebelum Hari Raya. Harap maklum.--- Ruhanie Ahmad

Friday, August 28, 2009

DILEMA POLITIK DAN PERUT RAKYAT

Ruhanie Ahmad

Insan manusia sering diandaikan sebagai individu atau kelompok yang sentiasa dikuasai oleh pelbagai prasangka dan naluri negatif terhadap satu sama lain. Walaupun kini kita berada dalam era dunia pasca moden, negitiviti ini tetap wujud dan tiada penghujungnya. Situasi ini mewujudkan dilema kepada pihak-pihak prihatin. Dalam konteks dilema politik Malaysia mutakhir, pihak-pihak ini adalah UMNO, BN dan pemerintah.

UMNO dicengkam dilema kerana kredibilitinya yang tercemar sejak kepimpinan pra-Najib. UMNO mutakhir memang berusaha keras untuk memperbetulkan dirinya. Tetapi, kerana kebokrokan era pra-Najib---dari segi imej, persepsi, karenah, personaliti, kepimpinan, dan daya juang---masih gagal ditemui punca-puncanya secara menyeluruh, maka apa jua yang dilaksanakan oleh kepimpinan Najib nampaknya masih diterima secara sinis oleh segolongan warga dan simpatisan UMNO.

Sebagai tulakbelakang BN, UMNO juga dibebani masalah parti-parti komponennya. MCA bercelaru. MIC haru-biru. Gerakan seolah-olah jadi keris makan tuan. PPP asyik dengan episod rebutan kuasa. Lain-lainnya walaupun kurang berdetik, ini tidak bermakna mereka tidak bermasalah.

Kelemahan BN ini pula mencetuskan dilema kepada pemerintah. Ini kerana bila BN lemah akibat UMNO yang luntur kredibalitinya dan akibat permuafakatan antara komponen BN yang agak rapoh, maka timbullah kelompok oportunis, penangguk di air keruh, pelukut di tepi gantang, pemeras-ugut dan segala-galanya yang akan memberikan tekanan demi tekanan kepada pemerintah untuk mendapatkan apa jua yang sukar diperolehinya sewaktu UMNO kuat dan BN kukuh.

Dilema siasah di atas memerlukan penyelesaian segera dan efektif. UMNO, BN dan pemerintah wajar menggunakan konsep dan pendekatan keselamatan politik dan keselamatan rejim untuk menyelesaikannya.

UMNO perlu mengadakan analisis tiga aras---di aras terbawah, kajilah kekuatan dan kelemahan UMNO akar umbi dan bahagian; di aras tengah, kajilah UMNO peringkat negeri; di aras tertinggi, kajilah UMNO di peringkat kepimpinan pusat. Aktor-aktor politik di seluruh aras terbabit perlu di analisis dengan ikhlas, tegas dan berani---kayu mati mesti disingkir, duri dalam daging mesti dihapus, gunting dalam lipatan mesti dimusnah. Segala masalah di kesemua aras ini mesti diterima dengan dada terbuka---jangan disorok bawah permaidani, jangan diatasi dengan sindrom penafian, jangan diselesaikan menerusi tindakan selektif.

Begitu juga dengan BN. Ia perlu melakukan analisis SWOT menerusi kaedah analisis tiga aras. Pertama, di aras bawah sekali, bedah dan siasatlah semua parti komponen BN di semua peringkat. Di aras pertengahan, kaji dan bedahlah BN di peringkat pusat. Di arah paling tingi, bedah dan siasatlah BN sebagai pemerintah negara. Seluruh aktor politik BN di semua aras ini mesti dianalisis---jika perlu diberi amaran, berikanlah sekeras-keras dan setegas-tegasnya. Jika ada yang perlu dipecat, pecat mereka dengan segera. Permuafakatan mestikan dijadikan matlamat utama. Becakap biar senada. Bergerak biar sederap dan sama langkahnya.

Akhir sekali, pemerinah juga mesti melakukan analisis tiga aras. Di aras terbawah, kaji dan siasatlah masalah serta prestasi agensi-agensinya. Di aras pertengahan, kaji dan siasatlah prestasi semua kementerian. Di aras tertinggi, kaji dan siasatlah prestasi kepimpinan tertinggi pemerintah, baik orang politik atau pun birokrat.

Dalam konteks ini, jika konsep re-inventing government menikitberatkan anti-rasuah, autoriti pencegah rasuah mestilah bebas daripada rasuah (walaupun dari segi persepsinya) sebelum ia boleh bertindak tegas dan jujur terhadap pihak lain yang disyakki terbabit denbgan rasuah.

Pada waktu yang sama, sewaktu melaksanakan tindakan anti-rasuah, jangan pilih golongan marhaen. Sebaliknya sasarkan kepada golongan dewa besar. Kalau hendak menguatkuasakan undang-undang, laksanakan dengan tegas, tetapi juga dengan hemah dan budibahasa.

Jangan ada double-standard dan jangan pilih kasih. Kalau sesuatu tender kerajaan itu adalah tender terbuka, jangan ada tender terbuka yang boleh jadi negotiated tender.

Pendek kata, jika 1Malaysia benar-benar mendahulukan rakyat, periuk nasi rakyat dan perut rakyat mestilah didahulukan. Ini kerana dalam situasi kemelesetan ekonomi mutakhir, majoriti rakyat memang amat menitikbeatkan soal-soal periok nasi dan perut!

Lebih penting lagi, jika sesuatu dasar itu adalah khusus dan dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan, jangan sekali-kali dasar itu dikompromikan semata-mata kerana pihak birokrasi ditekan oleh pemerintah yang mahu menyelematkan keselamatan rejimnya demi kuasa yang dikuasainya buat sekian lamanya!

[JUTAAN MAAF. Agak lama saya tak terdaya untuk update blog ini kerana kesuntukan masa. Maklumlah assignments terlalu mendesak. Salam takzim - Ruhanie Ahmad]

Thursday, August 13, 2009

Berkongsi duka dan luka

Seniman Abdul Muluk Daud @ Dharmala N.S., 62 tahun, kembali ke Rahmatullah 8.30 pagi, 12 Ogos 2009, akibat serangan jantung selepas bersahur pada awal pagi 4 Ogos 2009. Jenazah beliau dikebumikan di kampung halamannya di Negeri Sembilan.

Dharmala menulis dalam semua genre termasuk novel, cerpen, puisi, rencana, skrip drama pentas, televisyen dan filem. Allahyarham merupakan pemenang hadiah sastera nasional 1974 kategori cerpen, sayembara novel Yayasan Sabah Gapena 1979 dan 1981, dan hadiah cerpen Esso-Gapena 1981 dan 1982. Beliau menganggotai jawatankuasa penyelidikan budaya Muzium Negeri Sembilan 1990-2003. Hingga ke akhir hayatnya, beliau memimpin NGO Prima atau Warga Prihatin Malaysia dan mengendalikan dua blog---Suara Prima dan Pustaka Adimul.

Saya kehilangan seorang sahabat. Moga-moga roh Allahyarham akan berada di kalangan orang-orang yang soleh. Al-Fatehah!

Bagaimanapun, penyair Yassinsalleh, kehilangan seorang anak saudara. Di bawah ini Yassin mendedikasikan puisi untuk Allahyarham. -- Ruhanie Ahmad

Berkongsi duka dan luka

Malam ini lagu angin mengulit daun-daun rimbun
bagaikan sengaja mahu menambah nestapaku di dada sarat gundah
bagaikan sengaja
melodinya mempersenda aku fakir kasih yang sedang amat sengsara ini.

Aduhai betapalah ya mampunya aku memujuk pilu yang kian menghimpit
bagaikan ranjau karang menampan angin
menunda buih ke pasir rindu yang tak kesampaian.

Lagu angin yang aku tak mau dengar itu
tetap jua tidak berhenti menggenta sepiku
merancakkan rontaan rinduku yang kian bertambah.

Aduhai
pilu yang singgah
katakanlah esok akan datang seorang gadis
yang hatinya juga sengsara
untuk ku balut lukanya
dan kami akan menutup telinga
bila angin malam bernyanyian di daun-daun rimbun
sambil kami saling berkongsi duka dan luka...

yassinsalleh
11.38 malam
11 Ogos 2009

Tuesday, August 11, 2009

Kesabaran orang Melayu kian menipis

Ruhanie Ahmad

Gelagat sesetengah ahli politik alternatif tertentu kebelakangan ini cukup melampau. Institusi Raja-Raja Melayu dipolemikkan secara kurang ajar. Soal-soal pribumi dipertikaikan secara provokatif. Orang Melayu yang bersuara untuk mempertahankan hak-hak bangsanya dilabelkan sebagai rasis. Pihak-pihak yang membakar kemarahan orang Melayu mendabik dada dan menganggap dirinya sebagai pejuang kesaksamaan dan kesamarataan. Ironinya, ada juga segelintir pemimpin politik Melayu dan umat Melayu tertentu yang turut menyokong seluruh tindakan anti-Melayu ini kononnya atas dasar liberalisme dan pragmatisme.

Sebagai individu yang didewasakan di era penjajah dan kemudiannya menceburi alam kerjaya---profesional dan politik---di era merdeka, saya amat terganggu dengan perkembangan mutakhir ini yang bertitik tolak daripada apa yang didakwa sebagai era keterbukaan yang dilakukan sejak 2004.

Tetapi, ini tidak bererti saya menentang keterbukaan. Apa yang saya kesali hanyalah keterbukaan yang dilakukan semata-mata untuk menutup sesuatu kelemahan pimpinan tertentu, keterbukaan yang tidak secocok dengan tuntutan keselamatan negara, keterbukaan yang memberikan muka kepada pertubuhan haram tertentu walaupun ianya telah mengheret negara ini ke arena antarabangsa dengan tuduhan kononnya Perlembagaan Persekutuan adalah menindas sesetengah kaum, keterbukaan yang double-standard di mana anak-anak muda di Terengganu diburu ”ibarat sampai ke lubang cacing” kononnya atas jenayah membakar Jalur Gemilang sementara penunjuk perasaan di sebuah ladang babi di Melaka yang menginjak-injak Jalur Gemilang di hadapan sekumpulan pegawai pemerintah dibiarkan bebas tanpa hukuman, keterbukaan yang mengizinkan peguam pemerhati untuk mengujjah perbicaraan kes murtad, keterbukaan yang menghalalkan hukuman selektif ke atas individu tertentu yang terbukti terbabit dengan rasuah politik, keterbukaan di mana individu yang terbukti rasuah masih dikekalkan dengan tanggungjawab memimpin negeri dan rakyat, keterbukaan di mana soal kronisme dilindungi dan kebenaran disanggah secara habis-habisan walaupun tindakan itu telah melunturkan keyakinan segolongan rakyat terhadap pemerintah.

Keterbukaan ini sedang menjadi senjata yang makan tuan. Mangsanya adalah orang Melayu dan umat Islam. Sebilangan orang Melayu di sebuah negeri tertentu dikatakan sedang beramai-ramai meninggalkan parti politik mereka untuk mendampingi sebuah parti yang baru. Hak-hak Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan dipertikaikan. Kerajaan dituduh sebagai pendukung dasar apartheid. Bumiputera dipanggil babiputra. Hak orang Melayu menerima biasiswa yang dilindungi oleh perlembagaan diasak dan didesak atas prinsip meritokrasi. Urusan pentadbiran Islam di sebuah negeri tertentu diganggu-gugat oleh sesetengah pihak bukan Islam. Tulisan Cina dan Tamil cuba dimasyarakatkan menerusi papan tanda jalan (walaupun gagal untuk dilaksanakan, percubaannya cukup simbolik untuk membuktikan niatnya!).

Pada waktu yang sama, undang-undang preventif seperti ISA diperjuangkan secara bermati-matian supaya dimansuhkan. Pihak yang mempertahankannya walaupun dengan beberapa cadangan untuk pindaan yang wajar, dituduh sebagai kuno dan anti hak asasi kemanusiaan sejagat. Pihak yang cuba menansuhkan ISA atas alasan yang cetek dan tanpa memahami rasional penting undang-undang ini pula disokong dan dilonjakkan sebagai wira.

Ke mana akhirnya Malaysia, orang Melayu, umat Islam dan bumiputra jika perkembangan mutakhir seperti ini terus berlarutan? Jika Lee Kuan Yew yang mempertikaikan seluruh hak Melayu, Agama Islam, Bahasa Melayu dan Raja-Raja Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan pada 1964, kita faham mengapa beliau bertindak sedemikian. Beliau memperjuangkan Konsep Malaysian Malaysia dan tergamak mengguris hati dan jiwa orang Melayu pada ketika itu atas desakan elemen-elemen komunis yang menganggotai PAP. Tetapi, apakah rasional terkini yang menyebabkan elemen-elemen Malaysian Malaysia kembali menggugat orang Melayu pada hari ini? Adakah ini bermakna bahawa sesetengah parti politik tertentu di negara ini sedang melalui renaissance anti-Melayu kerana kerajaan yang memberikan keterbukaan mulai 2004 kini dianggap lemah dan boleh diugut serta digugat secara berterusan?

Jika tidak begitu hakikatnya, mengapakah kini wujud kebimbangan di kalangan sesetengah pihak orang Melayu bahawa negara ini mungkin akan menghadapi satu lagi tragedi kaum tidak lama lagi? Saya persoalkan kemungkinan ini bukan untuk menghasut. Tetapi, apabila ada pihak sudah tergamak untuk menulis---biarpun secara bertopeng dan menerusi blog clandestine---bahawa bumiputra adalah babiputra, bila secara terang-terangan hak-hak bumiputra dan Melayu dipertikaikan pada setiap masa, tidak mungkinkah ada golongan bumiputra yang akan menerima provokasi ini menerusi manifestasi keganasan? Dan, jika Raja-Raja Melayu pun sudah mengulangi semula wasiat keramat yang menunjangi kemerdekaan tanah air ini pada 1957 supaya wasiat itu difahami dan dihayati oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, salahkan untuk sesiapa yang prihatin untuk mentafsir bahawa keadaan etnisiti di negara ini memang sedang menuju suatu musibah yang serius?

Inilah cabaran terbesar di Malaysia pada hari ini. Di samping masalah perut rakyat yang sentiasa digugat oleh konstrain ekonomi, di samping retorika pemerintah yang masih belum menyelesaikan soal perut dan sandang-pangan rakyat dengan sepenuhnya, di samping perasaan sesetengah orang Melayu yang kini sedang diancam keterbukaan songsang mulai 2004, inilah cabaran yang mesti diakui sebagai ancaman utama dalam tempoh terdekat ini.

Lantas, apakah objek rujukan untuk menangani perkembangan seperti ini? Apakah nilai-nilai teras yang mesti dipertahankan di sini? Bagaimanakah kerajaan selaku securitizing authority kepada keselamatan negara akan bertindak dalam situasi seperti ini? Dan, apa pula pendekatan terbaik dan berkesan untuk menghapuskan fenomena ini? KEPADA ALLAH BESERAH!

Thursday, August 06, 2009

Isytiharkan Selsema Babi masalah keselamatan negara

Ruhanie Ahmad

Kerajaan perlu mengisytiharkan pandemik Selsema Babi sebagai masalah keselamatan negara, seperti masalah terorisme, subversion, atau pun espionage.

Ini kerana pandemik ini sedang mengancam keselamatan rakyat Malaysia dengan jumlah kematian setakat ini seramai 12 orang dan jumlah jangkitannya meningkat kepada 1,476 orang akibat penularan domestik.

Pengisytiharan ini pasti akan memaksa perubahan mentaliti seluruh pegawai perkhidmatan kesihatan di negara ini daripada bertindak dengan mentaliti sambil lewa kepada mentaliti darurat dalam menangani pandemik ini.

Mutakhir ini banyak kritikan terhadap kakitangan perubatan awam dalam menangani pandemik Selsema Babi. Antara contohnya adalah seperti berikut:

Dua hari lalu, sepasang suami isteri membawa anaknya yang berumur satu setengah tahun ke Hospital Kajang kerana anak itu dikatakan in contact dengan seorang anak sahabatnya yang disyaki dijangkiti Selsema Babi.

Hospital Kajang merujukkan kes anak kecil itu ke Hospital Serdang. Pasangan itu dan anak kecilnya tiba di Hospital Serdang jam 9.00 pagi. Malangnya, sehingga jam 9.00 malam, iaitu 12 jam setelah mereka berada di hospital berkenaan, barulah mereka mendapat layanan.

Itu pun setelah ayah anak kecil itu naik berang kerana layanan yang diberikan di hospital itu tidak mengikut nombor giliran. Ada pelanggan yang lebih lewat sampai mendapat layanan yang segera, sementara yang sudah lama menunggu tidak dilayan langsung.

Pada waktu yang sama, pada ketika itu terdapat ramai pelanggan lain yang disyaki dijangkiti Selsema Babi datang untuk mendapatkan pemeriksaan di hospital itu. Tetapi, pihak hospital tidak langsung melaksanakan langkah-langkah pencegahan awal seperti memberikan kepada mereka topeng penudung mulut, sedangkan alat itu dikatan bertimbun-timbun di atas meja salah seorang pegawai kesihatan di hospital tersebut.

Suami yang saya maksudkan dalam kisah ini adalah seorang pelajar program masters di sebuah universiti tempatan, sementara isterinya adalah seorang pendidik. Kisah mereka kisah benar. Kisah seperti inilah antara sebab penularan Selsema Babi secara domestik menjadi semkin membimbangkan.

Bayangkanlah kalau kakitangan perubatan di Hospital Serdang yang moden mempunyai sikap yang sedemikian rupa terhadap mereka yang disyaki dijangkiti Selsema Babi, bagaimana agaknya gelagat di hospital di luar Putrajaya atau di luar Kuala Lumpur?

Bayangkanlah jika anak kecil yang disyaki dijangkiti Selsema Babi hanya dilayan selepas 12 jam berada di Hospital Serdang, bagaimana agaknya layanan di hospital kecil di daerah-daerah?

Soal keselamatan masyarakat, keselamatan rakyat dan keselamatan insan akibat perebakan pandemik Selsema Babi ini janganlah sekali-kali dikompromikan dengan sikap sambil lewa seperti di atas.

Menteri Kesihatan mesti dipertanggungjawabkan dengan mentaliti sambil lewa seperti yang dihuraikan di atas. Jika beliau tidak mahu bertanggungjawab, elok beliau letakkan jawatan seberapa segera.

Wednesday, July 29, 2009

Satu catatan di persimpangan hidup

Ruhanie Ahmad
Kehidupan ada batas dan etikanya. Manusia punya nilai moral dan akal budinya. Politik ada sempadan dan sekatannya. Kebebasan bercakap dan bersuara ada adat dan susilanya. Inilah tuntutan kehidupan yang luhur dan abadi. Apatah lagi dalam kerangka masyarakat Malaysia yang masih mencari-cari asas perpaduan yang tulen dan sejati.

Hakikatnya begitu kerana kita bukan mahkluk rimba. Manusia bukannya singa yang boleh membunuh sesiapa sahaja yang disukainya pada saat dan ketika yang terbaik mengikut naluri kebinatangannya. Manusia juga bukannya kancil yang boleh menipu dan memijak kepala sesiapa sahaja yang mampu diperbodohkannya.

Biarpun lumrah semulajadi manusia saling mencurigai antara satu sama lain, manusia juga dianugerahkan Allah dengan akal budi yang boleh memoderatkan sesuatu ekstremisme. Biarpun kita realis atau pun liberal internasionalis, kita adalah manusia yang mempunyai identiti, salasilah, sejarah dan tamadun.

Lantaran itulah wujud konsep-konsep societal yang menitikberatkan soal bumi yang perlu dipijak dan langit yang harus dijunjung. Lantaran itulah lahir kata pujangga yang melarang seluang menodak langit, kacang usah lupakan kulit. Sebab itulah dilahirkan logika purba yang mengatakan orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa. Dan, sebab itu jugalah jika kita menampi, jangan pula dibuang padinya.

Pastinya seluruh warga Malaysia faham maksud cetusan di atas. Datuk Nik Aziz Nik Mat pastinya arif akan kesemuanya. Pihak yang menuduh Tun Mahathir Mohamad sebagai rasis semata-mata kerana beliau menegakkan kebenaran mengenai Melayu, wajar mengerti apakah kebenaran yang sebenar-benarnya. Blogger yang celupar dan tergamak menggelar Melayu sebagai babiputera, tentu faham akan dampak dan implikasi kata-katanya. Apologis Melayu juga mesti insaf bahawa sopan dan santunnya Melayu pantang sekali dipijak kepalanya.

Kita semua bukan binatang. Kita bukan singa. Kita bukan kancil. Kita Melayu. Kita Cina. Kita India. Kita rakyat Malaysia. Kita ada persamaan. Kita juga ada perbezaan. Tetapi, persamaan dan perbezaan ini tidak akan menggoncang langit atau menggelorakan segara jika kita sentiasa memilih kerukunan, kedamaian dan kemuafakatan. Kita boleh menjadi materialis. Kita boleh menjadi idealis. Tapi, janganlah jadi oportunis. Jangan jadi pseudo-nasionalis.

Walau apa sekali pun arah pilihan kita, pastinya kita akan melalui satu jalan tengah sebelum kita boleh bergerak ke kiri atau ke kanan. Akal dan budi akan memandu kita ke arah kebaikan!

Malaysia bukannya rimba. Kita bukannya binatang. Tetapi, atas nama sebuah kebebasan, sesiapa yang memilih untuk menjadi binatang, carilah rimba di hujung dunia. Sesiapa yang mahu menodai seluruh norma-norma societal warisan kita bersama, bangunlah daripada kehidupan di alam mimpi dan insaflah bahawa alam nyata yang dimimpi-mimpikan itu pastinya bukan di Malaysia.

Thursday, July 23, 2009

ISA dan oportunis politik

Ruhanie Ahmad


Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA tidak menjadi isu jika tidak dipolitikkan oleh sesetengah pihak. Sebelum tragedi 9/11 Presiden George W. Bush pun pernah membidas ISA. Tetapi sesudah 9/11 dia kata ISA amat relevan untuk era terorisme.

Pada awal 1980-an Amnesty International membuat isu pasal ISA. Maka KDN jemput wakil Amnesty International melawat beberapa tahanan ISA di Kemunting. Sesudah itu NGO antarabangsa itu tidak lagi membangkitkan soal ISA.

Kali ini ada orang politik nak anjurkan perhimpunan besar-besaran pada 1 Ogos 2009 sebab hendak berarak ke Istana Negara untuk membantah ISA. Pada hari ini juga satu lagi NGO akan adakah perhimpunan di Kuala Lumpur untuk menyokong ISA dikekalkan.

Ini bermakna ada pihak membantah ISA dan ada satu lagi pihak menyokong ISA. Seperti saya pernah tulis dalam Utusan Malaysia kira-kira sebulan lalu, ISA perlu untuk keselamatan rakyat, keselamatan ekonomi dan keselamatan negara.

ISA cuma dijadikan isu oleh sesetengah oportunis politik yang meraih sokongan menerusi isu. Jika tidak ada isu kumpulan ini akan layu tanpa sokongan.

Kumpulan ini silap jika mereka nak berarak ke Istana Negara sebab ISA. Mereka nak tnnjuk kekuatan kononnya mereka disokong oleh rakyat. Mereka tidak sedar bahawa antara silent majoriti pun ramai yang sokong ISA.

Jika mereka tak percaya, teruskanlah perarakan pada 1 Ogos depan dan lihat berapa ramai rakyat yang akan bersama pihak yang menyokong ISA yang juga akan berhimpun pada hari berkenaan.

Apa yang membimbangkan ialah kemungkinan adanya golongan provokator di kalangan pembangkang untuk menimbulkan huru-hara dan kemudiannya ditudingkan kepada pihak pemerintah.

Kumpulan provokator ini juga mungkin akan dikirimkan menggangu perhimpunan pihak penyokong ISA. Bayangkan apa akan jadi jika huru-hara tercetus.

Seelok-eloknya, batalkan cadangan perarakan pada 1 Ogos depan supaya pihak penyokong ISA juga akan membatalkan rancangan mereka. Ini elok kerana kerajaan pun sudah bercadang untuk meminda ISA.

Jika kita benar-benar prihatin hantarkanlah memorandum kepada kerajaan supaya diberikan pertimbangan dalam pindaan yang dicadang akan dilakukan. Jika pemerintah tidak memberikan reaksi, jadikanlah ISA sebagai manifesto dalam PRU13.

Cara ini lebih budiman dan berhemah. Lagi pun ISA bukannya undang-undang yang buruk. Ianya hanya diberikan imej yang buruk oleh pihak-pihak yang mempunyai buruk sangka terhadap pemerintah.

Secara peribadi saya syakki adanya pihak-pihak tertentu yang kini sengaja nak menghangatkan isu ISA untuk melencongkan pandangan rakyat daripada isu-isu politik yang lebih explosive dan controversial membabitkan sesetengah pemimpin pembangkang.

Jangan korbankan keselamatan negara dan keselamatan rakyat demi masalah peribadi yang sedang membelenggu diri seseorang.

Monday, July 20, 2009

Al-Fatehah buat Kapten Yusof Ahmad @ the Ancient Mariner

Saya baru berkesempatan membaca beberapa posting sahabat-sahabat yang terpapar di Penggabung Suara. Antara posting yang memeranjatkan adalah kepulangan blogger Kapten Yusof Ahmad @ the Ancient Mariner, ke rahmatullah malam semalam. Beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir sewaktu di dalam tidur.

Saya mengenali Allahyarham sejak mula berblogging mulai pertengahan 2006. Antara sesi perbualan saya yang terpanjang dengan Allahyarham adalah di salah satu pertemuan Mee Rebus di kediaman Maria Samad di Kelana Jaya. (Lama saya tidak menghadiri sesi ini kerana sibuk dengan pengajian di UKM sejak enam bulan lalu).

Perjuangan Allahyarham menerusi blogging amat dihargai. Semoga roh Allahyarham sentiasa menerima rahmat daripada Allah SWT dan sentiasa berada dalam kategori golongan yang soleh. Al-Fatehah! – Ruhanie Ahmad.

Friday, July 17, 2009

Bumiputera diidentitikan menerusi perlembagaan (1)

Ruhanie Ahmad

Identiti rakyat Malaysia yang terbahagi kepada bumiputera dan bukan bumiputera, atau pribumi dan bukan pribumi, adalah identiti yang dibina secara berperlembagaan. Pihak yang mempertikaikan hakikat ini adalah kelompok yang mempertikaikan Perlembagaan Persekutuan.

Kelompok yang mempertikaikan identiti ini adalah segelintir individu bukan bumiputera yang berusaha untuk membina identiti yang baru. Ada juga golongan bumiputera, terutamanya orang Melayu, yang apologis dan beranggapan bahawa perjuangan mempertahankan identiti bumiputera adalah perjuangan perkauman.

Kedua-dua kumpulan ini boleh disinonimkan dengan para pendukung konsep Malaysian Malaysia pada tahun 1964 atau disinonimkan dengan imperialis Inggeris yang memperjuangkan konsep Malayan Union pada tahun 1946.

Konsep Malaysian Malaysia diperjuangkan oleh sekelompok etnik Cina yang menjadi warganegara Malaysia. Konsep Malayan Union diperjuangkan oleh pihak penjajah Inggeris.

Kedua-dua konsep ini menjadikan Islam, Raja-Raja Melayu, orang Melayu, masyarakat bumiputera, Bahasa Melayu, dan lain-lain aspek sosio-ekonomi serta nilai dan budaya Melayu dan bumiputera sebagai sasarannya.

Ini bermakna konsep Malaysian Malaysia adalah disasarkan kepada orang Melayu dan bumiputera serta seluruh komponen identiti mereka. Usaha ini sama seperti yang cuba dilakukan oleh konsep Malayan Union.

Menurut Malik Munip (1981), jika konsep Malayan Union diperjuangkan oleh pihak kolonialis. Konsep Malaysian Malaysia pula diperjuangkan oleh sekelompok individu tempatan yang mempunyai kerangka pemikiran kolonialis.

Konsep Malaysian Malaysia pernah disinonimkan dengan Lee Kuan Yew, Perdana Menteri Singapura sewaktu republik itu menjadi sebahagian wilayah Malaysia mulai 16 September 1963 hingga 8 Ogos 1965.

Pada ketika itu Lee menjadi Setiausaha Agung PAP, parti politik yang diwujudkan di Singapura pada 21 November 1954. Menurut Lau (1998:22), PAP adalah parti politik berhaluan kiri yang mendukung fahaman sosialisme demokratik.

Vasil (1984:26) menjelaskan, PAP berhaluan kiri kerana anggotanya pada ketika itu adalah gabungan antara individu berpendidikan Inggeris yang mendukung aliran sosialisme demokratik dan kelompok berpendidikan Cina yang pro-komunis.

Chan (1976:10) pula menegaskan, perkembangan pesat PAP dalam tahun 1950-an adalah disebabkan oleh perikatannya dengan puak-puak komunis yang memberikan keupayaan di bidang organisasi dan mobilisasi politik. PAP terpaksa berhaluan kiri untuk memelihara barisan bersatunya dengan puak yang pro-komunis.

Oleh sebab itulah PAP pada ketika itu memperjuangkan supaya bahasa Cina dan bahasa Tamil diberikan status rasmi seperti bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. PAP juga mendesak kewujudan hak-hak kewarganegaraan yang sama bagi seluruh rakyat, tanpa mengira bangsa, bahasa dan agama (Vasil, 1984:30).

Matlamat perjuangan PAP pada ketika itu adalah serupa dengan objektif konsep Malaysian Malaysia. Ghazali Ismail (1990:11) menyatakan, intisari konsep Malaysian Malaysia adalah: seluruh rakyat, tanpa mengira bangsa, budaya dan agama, berhak memperolehi layanan yang sama, berhak menuntut hak yang sama, berhak menikmati apa jua keistimewaan yang sudah diberikan kepada orang-orang Melayu.

Ini bermakna, etnik bukan Melayu wajar mendapat status istimewa seperti orang Melayu (Perkara 153), agama mereka perlu diberikan taraf seperti Agama Islam yang menjadi agama rasmi Persekutuan (Perkara 3), dan bahasa Cina serta bahasa Tamil pula hendaklah diberikan taraf seperti Bahasa Melayu yang menjadi Bahasa Kebangsaan (Perkara 152).

Berasaskan huraian di atas, salahkah bagi orang Melayu dan bumiputera mempertahankan identiti mereka yang dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan? Wajarkah tindakan sesetengah bukan Melayu dan bukan bumiputera untuk meminta identiti mereka yang berasaskan kaum pendatang disamaratakan dengan identiti orang Melayu dan bumiputera? Tidakkah usaha seperti ini merupakan usaha mempertikaikan Perlembagaan Persekutuan?

Dan, patutkah wujud kelompok Melayu apologis yang beranggapan bahawa perjuangan mempertahankan identiti Melayu dan bumiputera adalah perjuangan perkauman, sementara perjuangan bukan Melayu dan bukan bumiputera yang mempertikaikan identiti Melayu dan bumiputera adalah tindakan yang selaras dengan prinsip-prinsip hak asasi manusia sejagat?

Fikir-fikirkanlah! -- [bersambung dalam bahagian dua].

Wednesday, July 08, 2009

Renungan sempena 100 hari kepimpinan Najib

Ruhanie Ahmad

Pada Sabtu,11 Julai 2009, jam 10.30 pagi, di KLCC, Kuala Lumpur, akan berlangsung majlis “100 hari Najib bersama rakyat.” Daripada jemputan yang saya terima, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, juga dijangka turut hadir.

Sempena majlis berkenaan, saya ada beberapa catatan buat renungan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri Malaysia keenam merangkap Presiden UMNO Malaysia.

Satu: Segolongan orang Melayu kini berasa cemas terhadap beberapa pengumuman kerajaan mengenai liberalisasi baru-baru ini. Perkara ini perlu dijelaskan hingga ke peringkat akar umbi jika kerajaan mahukan kemenangan dalam PRU 13. Ada pihak mengatakan kesemuanya baik dan selaras dengan tuntutan global. Tapi banyak pihak juga yang merasakan kerajaan seolah-olah memberikan terlalu banyak muka kepada pihak bukan Melayu dan kelompok asing.

Dua: Konsep 1Malaysia perlu mempunyai satu dokumen yang rasmi dan komprehensif. Ini perlu dikeluarkan dengan seberapa segera untuk mengelakkan ianya dieksploitasikan oleh pihak oportunis yang mahu memesongkan rakyat kononnya konsep 1Malaysia adalah sinonim dengan konsep Malaysian Malaysia yang dihebahkan oleh PAP serta Malaysian Solidarity Council di Singapura pada 6 Jun 1965, dan diumumkan oleh DAP menerusi Deklarasi Setapak, di Kuala Lumpur, menjelang PRU pada tahun 1967.

Tiga: Biasiswa Nasional yang diumumkan oleh kerajaan atas dasar meritokrasi cukup menarik. Tetapi, belum pasti ianya diterima baik oleh pribumi, iaitu orang Melayu dan Bumiputera, terutama sekali bila soal biasiswa adalah soal yang termaktub dan dilindungi oleh Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Untuk merincikan polemik ini kajilah maksud dan semangat Perkara 153 dengan tenang dan terbuka. Pihak bukan Melayu yang asyik mendesak dengan tuntutan demi tuntutan mengenai soal biasiswa juga perlu memahami semangat Perkara 153 ini. Menurut Leong (2003:91), penganugerahan hak-hak kewarganegaraan kepada bukan Melayu (pada 1957) adalah sebagai pertukaran kepada pengiktirafan bukan Melayu pada ketika itu terhadap kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera (sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan). Oleh itu, kerajaan sewajarnya mempertahankan semangat dan maksud Perkara 153 tanpa sebarang kompromi.

Empat: Pengumuman kerajaan mengenai jambatan ketiga bagi menghubungkan Malaysia dengan Singapura kurang disenangi oleh sebilangan rakyat, terutamanya rakyat Johor Darul Takzim. Sebaliknya, kerajaan akan terbukti bijaksana jika Projek Jambatan Bengkok dapat diteruskan pembinaannya.

Lima: Adakah UMNO sudah benar-benar pulih dan kembali perkasa? Bukankah UMNO masih lagi dipalit dan dicalit dengan beberapa kontroversi membabitkan beberapa individu yang terbukti terlibat dengan rasuah politik? Apakah tindakan tegas sudah dikenakan ke atas mereka? Atau, masihkah UMNO mahu meneruskan patronage ke atas individu-individu ini? Persoalan-persoalan ini perlu dihayati demi kelangsungan UMNO dan kerajaan dalam PRU13.

Demikian lima perkara khusus buat renungan Najib dan Muhyiddin serta seluruh anggota kabinetnya sempena majlis “100 hari Najib bersama rakyat” pada 11 Julai 2009. Saya akan artikulasikan seluruh perkara ini satu per satu tidak lama lagi.

Mudah-mudahan kepimpinan Najib-Muhyiddin akan mampu memberikan sinar harapan serta keunggulan realiti kepada orang Melayu, Bumiputera dan bukan Melayu seluruhnya berasaskan semangat dan maksud perkara-perkara strategik dalam Perlembagaan Persekutuan yang diwujudkan khusus demi negara yang majmuk dan kelangsungannya di hari muka. KEPADA ALLAH BERSERAH!

Saturday, July 04, 2009

E-Maklum Balas PM Malaysia Tak Berfungsi?

Semalam saya menerima email daripada seorang Hamba Allah yang pernah menyandang jawatan tinggi dalam sektor pendidikan awam. Beliau memperkenalkan dirinya. Tetapi, kerana blog beliau masih bertopeng, identiti beliau tidak akan saya dedahkan di sini. Bagaimanapun, saya berikan indikasi bahawa beliau adalah seorang yang pernah berjasa besar dalam sektor pendidikan negara dan bergelar Dato’.

Mesej blogger VIP ini ditujukan khas kepada Datuk Seri Najib Tun Razak. Kandungannya adalah seperti yang tersiar di dalam posting di blog beliau, Jumaat, 3 Julai 2009, yang boleh diakses di: luahfikiran.blogspot.com. Sinopsisnya adalah: “MANA PERGI JANJI KERAJAAN BERJIWA RAKYAT? ADUAN KEPADA PERDANA MENTERI TIDAK MENDAPAT RESPONS!”

Saya yakin blogger VIP ini faham bahawa apa yang beliau alami bukannya akibat tindakan PM yang disengajakan. Sebaliknya, mungkin terdapat aral melintang di pihak web-master atau moderator kepada E-Maklumbalas yang bertugas untuk PM.

Saya harap menerusi posting ini, webmaster atau moderator E-Maklumbalas PM akan segera bertindak dengan sewajarnya. Para pegawai PM yang membaca blog ini juga seharusnya bertindak dengan secepat mungkin kerana blogger yang mengirimkan masalahnya kepada saya ini berbuat demikian atas semangat dan prinsip 1Malaysia Rakyat Diutamakan! – Ruhanie Ahmad.

Friday, July 03, 2009

Dagang usah ditanakkan, kera jangan disusukan!

Ruhanie Ahmad

Bala sudah mula tiba. Orang Hindraf marahkan DAP. Pembesar DAP berbalah dengan chief PKR. PAS tersepit di tengah-tengah. Ini semua akibat kepura-puraan dalam Pakatan Rakyat.

Kepura-puraan ini wujud kerana kesemuanya mempunyai mimpi yang berlainan. Mereka mempunyai nilai dan matlamat perjuangan yang berbeza. Mereka mempunyai idealisme yang tidak serasi. Tetapi mereka wujud dalam satu kerangka mimpi (an imagined framework) kononnya mereka boleh bersatu. Inilah corak dan wajah PR.

DAP masih tetap setia dengan perjuangannya untuk menegakkan konsep Malaysian Malaysia. Menurut Malik Munip (1981) jika konsep Malayan Union yang bertujuan untuk menghapuskan Melayu dan seluruh identitinya pernah diperjuangkan oleh kolonialis Inggeris, konsep Malaysian Malaysia pula diperjuangkan oleh warganegara Malaysia yang hidup dalam kerangka minda kolonialis.

Pejuang-pejuang Malaysian Malaysia ini lupakan hakikat bahawa nenek moyang mereka diberikan hak-hak kewarganegaraan di negara ini pada 1957 sebagai gantian kepada pengiktirafan nenek moyang mereka kepada keistimewaan Melayu dan Bumiputera yang dimaktubkan dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Rumusan ini ditegaskan oleh Leong H Liew (2003:91) yang menyatakan, the granting of citizenship rights to non-Malays (was) in exchange for recognition of the special position of the Malays.

Malangnya orang-orang PAS dan pemimpin-pemimpin besar PKR (orang Melayu) sudah dijangkiti sindrom lupakan sejarah. Oleh sebab itu mereka sanggup bersekutu dengan puak-puak yang masih memperjuangkan konsep Malaysian Malaysia yang sinonim dengan konsep Malayan Union.

Oleh sebab itu TG Datuk Seri Nik Aziz pun sedia menerima kunjungan LK Yew dan memuji LK Yew sebagai pejuang yang tidak mengamalkan rasuah. Orang-orang besar PKR pula merasionalkan persekongkolan mereka dengan pejuang-pejuang konsep Malaysian Malaysia kononnya kerana mereka adalah universalist yang memperjuangkan hak-hak asas dan kebebasan.

Mereka lupa bahawa hak-hak asas dan kebebasan (fundamental rights and liberties) juga diperjuangkan menerusi aliran culturalist. Jika aliran universalist didukung dan disokong oleh imperialis dan neo-imperialis Barat, aliran culturalist adalah berpaksikan kepada nilai-nilai Timur atau the Asian values.

Aliran culturalist memperjuangkan hak-hak asas dengan berpaksikan kepada the Asian values, iaitu nilai-nilai di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Aliran universalist pula memijak bumi dan menjunjung langit imperialis dan neo-imperialis. Pihak ini menuduh aliran the Asian values sebagai kolot dan salah.

Lebih aneh lagi, ada juga golongan pak turut yang mengikuti aliran universalist ini. Contohnya, mereka sama-sama menjeritkan konsep-konsep kesamarataan dan kemanusiaan Barat semata-mata untuk menghalalkan Chin Peng kembali ke Malaysia.

Puak ini lupa atau tidak mengerti bahawa Chin Peng adalah simbol keganasan dan kezaliman. Beribu-ribu perwira Melayu terkorban akibat perjuangan teroris yang dikepalai oleh Chin Peng. Beribu-ribu lagi yang cacat dan cedera, yang kodong tangan dan kodong kaki akibat perjuangan Chin Peng.

Seterusnya wujud pula Hindraf. Puak ini juga lupa bahawa nenek moyang mereka menjadi warganegara atas prinsip yang dihuraikan oleh Leong di atas. Mereka tergamak menghantar surat kepada Ratu Elizabeth II kononnya Perlembagaan Persekutuan adalah menindas.

Mereka masih hidup dalam kepompong imagined society (masyarakat impian) mereka di benua kecil di Asia Selatan. Sebab itulah pihak yang memperjuangkan hak-hak pribumi dituduh sebagai pihak yang memperjuangkan perkauman, sementara mereka yang mempersoal dan mempertikaikan hak-hak pribumi menyifatkan diri mereka sebagai pihak yang non-racialist.

Pribumi Malaysia mutakhir ini sudah insaf, dagang yang lalu tidak akan ditanakkan, kera di hutan tidak akan disusukan sebab dagang yang lalu kini mendakwa dirinya sebagai tuan tanah dan kera yang disusukan pula mendakwa dirinya sebagai tauke ladang pisang. Mereka tidak insaf bahawa apabila identiti sesuatu kelompok mahu dihapuskan maka percubaan itu akan ditentang habis-habisan kerana itulah hakikatnya di seluruh dunia yang sudah diakui oleh para pengkaji sains keselamatan kontemporari antarabangsa.

Kesimpulannya, semua pihak perlu insaf, pribumi Malaysia mutakhir ini (secara peribahasanya) memang sudah hilang sabar dengan gelagat sesetengah pedagang yang pernah ditanakkan dan cukup meluat dengan gelagat sesetengah kera yang pernah disusukan di zaman pra-merdeka.

Jika kelompok ini masih mahu menegakkan dunia impian masing-masing, berhentilah daripada impian itu, kembali ke alam realiti dan sesudah itu pulanglah ke alam nyata yang wujud di dalam mimpi tersebut.

Kepada pihak PAS dan majoriti orang Melayu dalam PKR, (sekali lagi secara peribahasa) rentikanlah kebodohan Melayu mentanakkan pedagang yang lalu dan rentikanlah kebodohan Melayu menyusukan kera di hutan.

Akhir sekali, ingatan kepada DAP dan HINDRAF. Hak Melayu, keistimewaan Melayu dan seluruh elemen yang menjadi komponen kepada identiti Melayu dan peribumi di negara ini jangan sekali-kali cuba dipertikaikan. Kepada PAS dan Melayu dalam PKR, insaflah, rujukan utama politik kuasa adalah agama, bangsa dan tanah air, iaitu Alif, Ba, Ta. Jika rujukan politik kuasa yang sedang diperjuangkan oleh PAS dan Melayu PKR hari ini adalah kuasa demi kuasa, (sekali secara berperibahasa) jangan salahkan ibu mengandung jika pedagang yang lalu dan kera yang di hutan akan menginjak-injak Melayu dan Islam walaupun menerusi strategi sehalus jarum peniti.