Friday, July 03, 2009

Dagang usah ditanakkan, kera jangan disusukan!

Ruhanie Ahmad

Bala sudah mula tiba. Orang Hindraf marahkan DAP. Pembesar DAP berbalah dengan chief PKR. PAS tersepit di tengah-tengah. Ini semua akibat kepura-puraan dalam Pakatan Rakyat.

Kepura-puraan ini wujud kerana kesemuanya mempunyai mimpi yang berlainan. Mereka mempunyai nilai dan matlamat perjuangan yang berbeza. Mereka mempunyai idealisme yang tidak serasi. Tetapi mereka wujud dalam satu kerangka mimpi (an imagined framework) kononnya mereka boleh bersatu. Inilah corak dan wajah PR.

DAP masih tetap setia dengan perjuangannya untuk menegakkan konsep Malaysian Malaysia. Menurut Malik Munip (1981) jika konsep Malayan Union yang bertujuan untuk menghapuskan Melayu dan seluruh identitinya pernah diperjuangkan oleh kolonialis Inggeris, konsep Malaysian Malaysia pula diperjuangkan oleh warganegara Malaysia yang hidup dalam kerangka minda kolonialis.

Pejuang-pejuang Malaysian Malaysia ini lupakan hakikat bahawa nenek moyang mereka diberikan hak-hak kewarganegaraan di negara ini pada 1957 sebagai gantian kepada pengiktirafan nenek moyang mereka kepada keistimewaan Melayu dan Bumiputera yang dimaktubkan dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Rumusan ini ditegaskan oleh Leong H Liew (2003:91) yang menyatakan, the granting of citizenship rights to non-Malays (was) in exchange for recognition of the special position of the Malays.

Malangnya orang-orang PAS dan pemimpin-pemimpin besar PKR (orang Melayu) sudah dijangkiti sindrom lupakan sejarah. Oleh sebab itu mereka sanggup bersekutu dengan puak-puak yang masih memperjuangkan konsep Malaysian Malaysia yang sinonim dengan konsep Malayan Union.

Oleh sebab itu TG Datuk Seri Nik Aziz pun sedia menerima kunjungan LK Yew dan memuji LK Yew sebagai pejuang yang tidak mengamalkan rasuah. Orang-orang besar PKR pula merasionalkan persekongkolan mereka dengan pejuang-pejuang konsep Malaysian Malaysia kononnya kerana mereka adalah universalist yang memperjuangkan hak-hak asas dan kebebasan.

Mereka lupa bahawa hak-hak asas dan kebebasan (fundamental rights and liberties) juga diperjuangkan menerusi aliran culturalist. Jika aliran universalist didukung dan disokong oleh imperialis dan neo-imperialis Barat, aliran culturalist adalah berpaksikan kepada nilai-nilai Timur atau the Asian values.

Aliran culturalist memperjuangkan hak-hak asas dengan berpaksikan kepada the Asian values, iaitu nilai-nilai di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Aliran universalist pula memijak bumi dan menjunjung langit imperialis dan neo-imperialis. Pihak ini menuduh aliran the Asian values sebagai kolot dan salah.

Lebih aneh lagi, ada juga golongan pak turut yang mengikuti aliran universalist ini. Contohnya, mereka sama-sama menjeritkan konsep-konsep kesamarataan dan kemanusiaan Barat semata-mata untuk menghalalkan Chin Peng kembali ke Malaysia.

Puak ini lupa atau tidak mengerti bahawa Chin Peng adalah simbol keganasan dan kezaliman. Beribu-ribu perwira Melayu terkorban akibat perjuangan teroris yang dikepalai oleh Chin Peng. Beribu-ribu lagi yang cacat dan cedera, yang kodong tangan dan kodong kaki akibat perjuangan Chin Peng.

Seterusnya wujud pula Hindraf. Puak ini juga lupa bahawa nenek moyang mereka menjadi warganegara atas prinsip yang dihuraikan oleh Leong di atas. Mereka tergamak menghantar surat kepada Ratu Elizabeth II kononnya Perlembagaan Persekutuan adalah menindas.

Mereka masih hidup dalam kepompong imagined society (masyarakat impian) mereka di benua kecil di Asia Selatan. Sebab itulah pihak yang memperjuangkan hak-hak pribumi dituduh sebagai pihak yang memperjuangkan perkauman, sementara mereka yang mempersoal dan mempertikaikan hak-hak pribumi menyifatkan diri mereka sebagai pihak yang non-racialist.

Pribumi Malaysia mutakhir ini sudah insaf, dagang yang lalu tidak akan ditanakkan, kera di hutan tidak akan disusukan sebab dagang yang lalu kini mendakwa dirinya sebagai tuan tanah dan kera yang disusukan pula mendakwa dirinya sebagai tauke ladang pisang. Mereka tidak insaf bahawa apabila identiti sesuatu kelompok mahu dihapuskan maka percubaan itu akan ditentang habis-habisan kerana itulah hakikatnya di seluruh dunia yang sudah diakui oleh para pengkaji sains keselamatan kontemporari antarabangsa.

Kesimpulannya, semua pihak perlu insaf, pribumi Malaysia mutakhir ini (secara peribahasanya) memang sudah hilang sabar dengan gelagat sesetengah pedagang yang pernah ditanakkan dan cukup meluat dengan gelagat sesetengah kera yang pernah disusukan di zaman pra-merdeka.

Jika kelompok ini masih mahu menegakkan dunia impian masing-masing, berhentilah daripada impian itu, kembali ke alam realiti dan sesudah itu pulanglah ke alam nyata yang wujud di dalam mimpi tersebut.

Kepada pihak PAS dan majoriti orang Melayu dalam PKR, (sekali lagi secara peribahasa) rentikanlah kebodohan Melayu mentanakkan pedagang yang lalu dan rentikanlah kebodohan Melayu menyusukan kera di hutan.

Akhir sekali, ingatan kepada DAP dan HINDRAF. Hak Melayu, keistimewaan Melayu dan seluruh elemen yang menjadi komponen kepada identiti Melayu dan peribumi di negara ini jangan sekali-kali cuba dipertikaikan. Kepada PAS dan Melayu dalam PKR, insaflah, rujukan utama politik kuasa adalah agama, bangsa dan tanah air, iaitu Alif, Ba, Ta. Jika rujukan politik kuasa yang sedang diperjuangkan oleh PAS dan Melayu PKR hari ini adalah kuasa demi kuasa, (sekali secara berperibahasa) jangan salahkan ibu mengandung jika pedagang yang lalu dan kera yang di hutan akan menginjak-injak Melayu dan Islam walaupun menerusi strategi sehalus jarum peniti.


16 comments:

Tayadih Maysia said...

Angkara/ancaman DAP, PKR itu baru sekadar teori datuk, namun dasar 1Malaysia, biasiswa nasional, liberalisasi sana, liberalisasi sini yang tengah ada depan mata...baru makan bersuap sekali habis 30 peratus kuota Bumi.

Mika Angel-0 said...

Sdr Ruhanie Ahmad,

Bala sudah mula tiba...semua akibat kepura-puraan dalam Pakatan Rakyat.

anda mahu PRU13 yang berbebankan bala atau PRU13 yang penuh musibah - PRU musibat!

waribangsarbaru said...

Salam Ron,

Melayu yang dah lupakan sejarah ini sebenarnya tak perlulah dimadahkan lagi. Buang masa saja.

Hakikatnya, agenda perjuangan Keadilan & PAS telah jauh terpesong sejak awal lagi. Sayangnya kesongsangan sebegini dapat pula diterima oleh orang Melayu dengan persepsi yang terbuka.

Adakah ini satu evolusi politik Melayu yang akan menyesatkan sehingga Melayu itu tidak akan dapat berpatah balik? Fikir-fikirlah...

Apa nak jadi dengan orang Melayu pada hari ini? Rasa serba-serbi terlalu hebat tetapi secara tidak sedar sedang mengalami barah politik yang sedang merebak secara senyap dan pantas.

Akhir-akhir ini, kita havoc dengan
H1N1, kata Pak Menteri, kita tahu daripada mana puncanya dan keadaan masih terkawal. Rakyat tak perlu bimbang.

Bimbang sedikit mungkin juga tapi rasanya inilah persamaan politik Melayu pada hari ini. Tidak perlu bimbang keadaan terkawal......

Kalau beginilah awan politik orang Melayu, kita hendak ke arah mana pula??? Siapa pula orang yang agaknya paling layak untuk mengepalai politik orang Melayu???

warongkopi56 said...

Assalamua'laikum Datuk,

Syabas! cukup padat, tiada apa yang hendak ditambah lagi. Count me in insyaallah.

Selamat Berjuang.

Warongkopi56

setulangdaing said...

Assalamualalikum Datuk,

Ramai dari kita sedar UMNO adalah parti Melayu. Dari dulu sampai sekarang ia masih parti Melayu. Soalnya apakah ia masih lagi memperjuangkan kepentingan orang Melayu lebih dari memperjuangkan kepentingan mereka sendiri. Kenapa bila rasa tergugat, ia kembali menyebut ingin menjaga kepentingan Melayu atau adakah ia sebenarnya lebih risaukan kehilangan kuasa mereka.

Kita menyalahkan PAS kerana perpecahan Melayu tetapi pernahkah kita menyoal diri kita sendiri, apakah sebuah parti seperti PAS boleh mencipta perpecahan itu. Tak mungkin mereka mampu kiranya tiada dorongan pihak lain. Mengata dulang paku serpih. UMNO seharusnya melihat peranan mereka dalam perpecahan ini.

Dengan kuasa dan wang ringgit yang ada, UMNO sendiri sebenarnya telah memainkan peranan yang cukup besar dalam perpecahan ini. Malah mereka masih terus melemahkan kuasa Melayu dengan pelbagai isu yang dicipta antaranya termasuklah isu Bahasa Melayu yang belum selesai, pembubaran MECD dan yang terkini pemilikan tanah bumiputera oleh orang asing dan biasiswa berdasarkan merit.

Semua perubahan itu dijustifikasikan dengan momokan globalisasi atau 1Malaysia atau demi menjamin kemampuan bersaing dipasaran bebas. Benarkah begitu. Kalau benar kenapa kelihatannya seperti keistimewaan Melayu sahaja yang dihakis.

Sikap double standard pendokong-pendokong UMNO juga amat memualkan. Kita marah Pas kerana bermuka-muka tapi kita diamkan diri bila pemimpin kita bermuka dua atau tiga. Kita kutuk PAS dan PKR berhabisan kerana isu yang kita sendiri spin selaju-lajunya.

UMNO juga amat keras terhadap orang Melayu tetapi menjadi lunak kepada kaum lain sehinggakan ada dikalangan pemimpin kita yang sanggup meminta maaf secara terbuka kepada mereka. Semua perlakuan ini dijustifikasikan kerana perpaduan. Tidak pernah merasa berdosakah mereka kepada bangsa mereka sendiri.

Inilah antara beberapa punca orang Melayu menjauhi UMNO kerana kita lihat UMNO bukan lagi seperti dulu. Bukan lagi seperti zaman TDM dan jauh sangat dari zaman Dato Harun. Perpecahan ini menjadikan kita lemah dan terpaksa mengharapkan sokongan kelompok lain bagi mengekalkan kuasa atau mendapatkan kuasa.

Tidak adakah pemikir-pemikir dalam UMNO yang dengan jujur melihat soal ini dari sudut kepentingan orang Melayu.

syedwafa said...

Apa pendapat Datuk bila DS Najib mansuhkan ekuiti 30 % bumiputera?

yes said...

Ramai diantara rakyat yang tidak lupakan sejarah, tetapi UMNO telah berubah secara drastic. Dulu Pemimpin UMNO memperjuangkan hak rakyat, sekarang pemimpin memperjuangkan hak diri dan keluarga. Sebelum jadi pemimpin pakai satu kereta, dah jadi pemimpin tiba tiba anak isteri dan keluarga dah pandai berniaga. Rakyat bukan buta, mereka nampak semua ini.
Jangan samakan pemimpin UMNO dulu dengan yang sekarang Bezanya seperti langit dan bumi.

Nurimo said...

Salam dulu,

Hebat kata-kata tuan,

"Dagang usah ditanakkan"

Dagang kalau orang tablir kena tanakkan juga.

"Kera jangan disusukan"

Jangan niaya haiwan,dia nak hidup serupa kita juga.

Tapi saya faham maksud tuan,memang patut puak-puak tak mandi wajib,memamg jangan bagi muka,bagi betis,raba sampai paha.

shahbandarmalakat said...

Kalau di kaji secara halus mereka mereka ini yang memperjuangkan konon ideologi berlainan hanya untuk dapat sokongan untuk mereka berkuasa.Puncaknya kuasa lain tak ada.

tok iskandar said...

Dagang Pak Malau dagang merempat,dagang hamba mengkuang layu.

Rasanya kuda kepang masih ingat dialog yang diucapkan oleh seniman tersohor negara suatu ketika dulu,Allahyarham nordin ahmad dalam filem sri mersing.

Dalam peta,Damak watak yang dilakonkan oleh Allahyarham Nordin terletak di Pahang dan Seri Mersing hanya tinggal Mersing lokasinya pula di Johor.Dua negeri yang berjiran.Pahang negeri kelahiran PM,Datuk Seri Najib dan Johor negeri kelahiran sepupunya Datuk Seri Hishamuddin.Kedua ibu-bapa mereka adik beradik.

Apa pula relevannya dengan isu di atas?
Sesama Melayu juga dipinggirkan.Buktinya Melayu yang sokong PAS di Kelantan dan Terengganu dan Melayu yang sokong PKR di Selangor dan Perak telah dihukum melalui kaedah politik balas dendam.

Melayu UMNO lupa bangsa sendiri ketika berkuasa dan ketika di ambang kepupusan,mula mencari rakan sebangsa dalam PAS dan PKR atas nama perpaduan bangsa Melayu.

Di terenggaunu sampai sekarang ada nasi dagang.tok cadangkan kuda kepang ke sana sambil memikirkan mengapa Melayu dah menolak UMNO.

Mereka bukan bodoh tapi yang bodoh adalah melayu yang masih nak mereput di dalam umno.kuda kepangpun begitu?

Keluarlah dari kepompong dan jangan utamakan kepentingan peribadi.berapa sangatlah harta yang dimiliki.lambat laun habis jua.

umno bukannya empayar rom yang akhirnya menyembah bumi.suka atau tidak umno dah tak relevan dan sudah tiba masanya kuda kepang memilih parti mana yang disukainya.bukankah suatu ketika dulu kuda kepang sahabat karib Anwar.

yes said...

Betulkah dagang yang lalu usah ditanak kan dan kera dihutan tidak di susui? Tetapi dagang yang lalu sekarang ini membawa pitih untuk di laburkan di Malaysia, kera dihutan boleh mempengaruhi industri pelancongan. Masihkah Dato' seorang kekal dengan pepatah diatas. Rasanya kerajaan sekarang tentu tak setuju dengan Dato'

Shade said...

Walau apa pun yang diperkatakan tentang kekurangan Pakatan Rakyat (PAS, PKR dan DAP) tetapi tidaklah seburuk UMNO/BN yang akhirnya mempunyai identiti sebagai sebuah PARTI KORUP dan pemimpinnya sebagai PENYAMUN yang mementingkan diri..masakan kita perlu mewujudkan perpaduan dengan UMNO yang menjadikan amalan rasuah sebagai budaya kepimpinan mereka..Tun Dr.Mahathir sendiri mengesahkan bahawa setelah 52 tahun merdeka rasuah terpalit dimuka pemimpin2 UMNO..Oleh itu jauhilah dari bergaul dengan parti yang sebegini rupa agar kita tidak terpalit sama.

NeomaX said...

sdra setulangdaing

Sejak UMNO(Baru) masuk sesabah selepas PRU 1990 dulu, keahlian UMNO(Baru) bukan ekslusif kepada orang melayu sahaja. Keahliannya terbuka kepada semua bumiputra yang menepati takrif bumiputra dalam perlembagaan.

Dari segi hakikatnya tidak tepat jika dikatakan UMNO(Baru) sebagai parti orang melayu sahaja pasca 1992. Dimalaysia ini, terdapat sebuah lagi parti berasaskan bumiputra. Parti tersebut ialah Parti Pesaka Bumiputra Sarawak yang dipimpin oleh YAB Tan Sri Abdul Taib mahmus.

Harap maklim

bat8my

Teratak Cahaya said...

Adakah satu parti baru akan muncul dan lebih digeruni pihak lawan iaitu: IMNO

I - Islamic
M - Malay
N-National
O - Organisation

Demi perpaduan Melayu Islam yang berada di bumi bertuah ini. Bersatulah!

mybiznes said...

Puak2 UMNO cakap mmg hipokrit utk bela Melayu dan islam konon, Kat Kelantan majoriti Melayu sanggup hak royalti minyak dinafikan demi pembangunan org melayu di sana terhalang? kemudian buat fitnah Kelantan negeri mundur! masa trengganu dlm PAS royalti minyak kena tarik balik yg mana rakyat majoriti adalah melayu jg. Bukankan itu politik balas dendam. Masa UMNO berkuasa di Selangor kuliah2 agama disekat di Masjid dan surau kerana takut pemimpin2 di kalangan UMNO yg melanggar perintah Allah diketahui oleh rakyat.Aku haramkan UMNO dlm diri aku dan keluarga aku sampai mati.

redq said...

Kalau dagang tidak ditanakkan nasi dia tidak akan singgah. Tak ada FDI yang hendak dibanggakan dalam laporan ekonomi. Tak usah sebut kera sekarang ini ada berjuta kera dari Nepal, Vietnam dan entah mana-mana lagi.