Wednesday, June 09, 2010

Etnisiti, Kewarganegaraan, dan Nation


Ruhanie Ahmad

Malaysia negara majmuk. Kajian keselamatan mengketagorikan negara seperti ini sebagai state-nation, bukannya nation-state seperti Jepun. Kemajmukan Malaysia ini dimanifestasikan menerusi struktur kewarganegaraannya yang dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

State-nation dan nation-state adalah berpaksikan kepada perkataan nation yang ditakrifkan sebagai sekelompok besar umat manusia yang berkongsi warisan budaya yang serupa dan hidup di sebuah lokasi geografi yang sama (Buzan 1983:45).

Berdasarkan definisi di atas, Tanah Melayu sebelum era penjajah mulai 1511, adalah sebuah nation-state kerana pada ketika itu majoriti penduduk Tanah Melayu adalah sekelompok besar manusia yang berkongsi warisan budaya yang sama, iaitu budaya Melayu, dan hidup di lokasi geografi yang sama, iaitu Alam Melayu.

Bagaimanapun, status Tanah Melayu ini berubah menjadi state-nation setelah merdeka pada 31 Ogos 1957. Ini kerana para pejuang kemerdekaan tanah air kita sanggup bertolak-ansur untuk memberikan kewarganaan kepada rakyat asing dan sekaligus negara ini menjadi negara pelbagai keturunan.

Biarpun begitu, para pejuang kemerdekaan yang multi-etnik juga bersetuju mengekalkan elemen nation-state Tanah Melayu secara simbolik dengan memaktubkan beberapa Fasal strategik di dalam Perlembagaan Persekutuan mengenai agama Islam, Bahasa Melayu, Raja-Raja Melayu, serta keistimewaan Melayu dan Bumiputera.

Oleh itu, walaupun Malaysia sebuah negara yang majmuk atau state-nation, kemajmukan ini sebenarnya berpaksikan kepada elemen-elemen nation-state Tanah Melayu di era pra penjajah.

Hakikat ini difahami oleh para pejuang kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Malangnya, elemen nation-state inilah yang kini menjadi duri dalam daging dan sentiasa dipolemik dan dipolitikkan oleh elit-elit sosial, politik, dan ekonomi rakyat Malaysia bukan Melayu dan bukan Bumiputera.

Soal inilah yang kini menjadi punca kepada pelbagai tuntutan rakyat bukan Melayu dan bukan Bumiputera di Malaysia. Soal inilah juga yang menjadikan orang Melayu dan Bumiputera berasa cemas dan lemas.

Apa tidaknya? Fasal 153 Perlembagaan Persekutuan mengenai keistimewaan Melayu dan Bumiputera sentiasa diungkit-ungkit oleh bukan Melayu dan bukan Bumiputera kontemporari. Dasar-dasar affirmative kerajaan dikatakan menindas. Dasar pendidikan kebangsaan dipersoalkan. Dasar Ekonomi Baru yang semangatnya diterapkan ke dalam Dasar Pembangunan Nasional dijadikan isu politik. Status Islam sebagai agama Persekutuan mahu disamatarafkan dengan agama-agama lain. Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan juga mahu disamaratakan dengan Bahasa Cina dan Tamil.

Semasa Singapura berada dalam Malaysia, perjuangan seperti ini digerakkan menerusi Malaysian Malaysia---sama rata, sama rasa. Hari ini, sesetengah elit politik dalam Barisan Nasional sendiri bersuara lebih vokal daripada suara Lee Kuan Yew di era Malaysian Malaysia.

Saya yakin masalah yang berpunca daripada struktur Perlembagaan Persekutuan yang memanifestasikan secara simbolik elemen-elemen nation-state Tanah Melayu ini akan terus menjadi masalah strategik dalam pembinaan bangsa Malaysia.

Kepada pihak yang buta sejarah, khususnya elit-elit sosial, politik, dan ekonomi bukan Melayu, saya cadangkan mereka kaji kedudukan beratus ribu warga keturunan Korea dan China yang menetap di Jepun, sejak dulu hingga ke hari ini.

Negara Jepun mengamalkan model differential exclusion dalam soal kewarganegaraannya (Yamanaka 2004:69). Ini kerana Jepun sebagai sebuah nation-state mahu mengekalkan satu rupa bangsa yang tunggal, iaitu bangsa Jepun. Negara Jepun mengamalkan model ini kerana ia menganggap kemajmukan rakyatnya akan mengancam status Jepun sebagai nation-state.

Oleh itulah hingga ke hari ini Jepun tidak memberikan taraf kewarganegaraan kepada 700,000 keturunan Korea dan 200,000 keturunan China yang nenek moyang mereka berhijrah ke Jepun di era penjajahan Jepun di Korea dan China.

Kelompok ini mengalami social exclusion, tidak mempunyai civil rights, dan hidup dalam prejudis. Generasi kedua dan generasi ketiga kelompok ini menerima layanan dingin daripada kerajaan Jepun, warga korporat Jepun menyifatkan mereka sebagai pekerja sementara, dan rakyat Jepun mengkategorikan mereka sebagai kelas bawahan (Yamanaka 2004:67-68).

Bagaimana agaknya jika rakyat keturunan Cina dan India di Malaysia menerima layanan seperti generasi kedua dan generasi ketiga Korea dan China di Jepun? Bagaimana agaknya jika di era menjelang kemerdekaanj tanah air seluruh orang Melayu bersikap seperti orang Jepun?

Oleh itu, jangan kita bercakap mengenai etnisiti, kewarganegaraan dan nation secara melulu. Hakikatnya, Malaysia kontemporari adalah sebuah state-nation. Pakar-pakar keselamatan berpendapat, sesebuah negara seperti ini perlu dibina menerusi dasar kerajaan yang tegas.

Jika di sesebuah nation-state, bangsa yang membina negara, di sesebuah state-nation, negara yang berperanan penting membina bangsanya. Oleh sebab itulah Gagasan IMalaysia adalah satu daripada mekanisme penting ke arah pembinaan bangsa Malaysia.

Oleh sebab itu jangan kelirukan 1Malaysia dengan Malaysian Malaysia. Ini kerana bangsa Malaysia tidak boleh dibina menerusi Malaysia Malaysia yang dulu diperjuangkan oleh Lee Kuan Yew, dan kini dijuarai oleh DAP dan beberapa elit BN yang buta sejarah. Sebabnya, pendekatan ini adalah konfrontasional serta menjejaskan struktur Perlembagaan Persekutuan.

Akhir sekali, kerajaan perlu bertegas untuk mengekalkan status quo dasar yang digubal dan dilaksanakan berasaskan Fasal-Fasal strategik dalam Perlembagaan Persekutuan. Jika tidak, negara Malaysia yang majmuk ini boleh jadi kacau-bilau. Jika tidak, pasti akan ada pihak yang akan menginjak-injak kepala orang Melayu dan Bumiputera.

Mereka akan bertindak sedemikian kerana mereka tidak mahu menerima hakikat bahawa Malaysia, yang dulunya dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu, adalah sebuah nation-state bernama Tanah Melayu di era pra penjajahan.

[Saya menyepikan diri selama enam bulan kerana misi peribadi. Jutaan maaf saya pinta daripada seluruh pengunjung].

7 comments:

Unknown said...

Apapun alasan dan contoh yang diberi, kita sebagai orang beriman mempunyai kayu ukur dan nilai tersendiri yang berdasarkan Quran dan Hadis. Tidaklah betul kalau kita merujuk kepada Negara Jepun sebagai kayu ukur yang benar.

Kalau negara ini didominan oleh Melayu tetapi Melayu yang angkuh, akhlak rendah, derhaka kepada suruhan Tuhan, tidak ada maknanya juga.

Anonymous said...

Hi. Mungkin masa dekat Merdeka dimana penduduk Cina lebih drpd 50%, kita blh kata Msia adalah state-nation. Tapi situasi dah byk berubah sejak itu dan org Melayu/bumi terdiri dpd lebih kurang 60-70% penduduk Msia. Malah, sejak zaman Mahahtir lagi, bangsa Melayu telah menjadi tunggak pembinaan identiti bangsa Malaysia. Saya sbg rakyat Malaysia tidak mempertikaikan ini tapi banyak polisi telah disalahgunakan dan tidak sesuai lagi bagi abad ke-21. Saya setuju memamng di Jepun, mereka amalkan polisi sebegitu sebab sejarah, dan jugak national security. Sekian. TQ.

-thethinker- said...

TAK TEPAT langsung perbandingan Jepun dengan Malaysia , Jepun telah wujud sbg sebuah negare berdaulat dan merdeka sblm penghijrahan orang korea dan china . Golongan pendatang dan keturunan pendatang tak terlibat dlm pembinaan negara , pengasasan negara. Spt UK , US , Europe , besar mana pun minoriti india ke , pakistan ke , timur tengah ke .. mereka bukanlah antara yg menubuhkan negara... berlainan dengan M'sia,semua kaum menyumbang secara LANGSUNG ke-arah pembinaan bangsa dan negara. Itu beza yg AMAT ketara. Sebab tuu , hak asasi kaum minoriti diberi perhatian serius. Perbandingan dengan Jepun , US , UK adalah tidak tepat sama sekali kerana minoriti tidak terlibat dlm penubuhan negara.
Sbg cth , kaum dayak merupakan minoriti diMsia ( 11 % ) tetapi diberi perhatian kerana mereka merupakan antara asas penubuhan Msia .
Peranan kaum cina dan india dlm pembentukan Malaya adalah sama spt peranan kaum dayak dlm pembentukan Malaysia.
Mungkin Malaya akan merdeka tanpa kaum cina dan india dimana ianya menjadi negara bangsa spt UK , tapi apakah daya , sejarah telah tercatat . Utk merdeka pada 1957 , ketiga-tiga kaum utama diberikan hak masing masing ... terima je laa .. unless kita boleh pusing balik masa , suruh Sultan sultan merdekakan negeri dari British .. jadi spt Brunei ..

-thethinker- said...

tambahan kpd komen pertama saya , jika pada 1957 , Sultan-Sultan berjaya memerdekakan negeri masing masing tanpa pembentukan Malaya , maka sekarang Malaya akan menjadi 9 negeri melayu , dimana 2 negeri - Perak dan Selangor akan menjadi negari melayu yg bermajoritikan bukan melayu . 3 negeri-negeri selat yg bernaung bawah british: P.Pinang , Melaka dan Singapura akan didominasi oleh bukan melayu , begitu juga sabah dan sarawak akan didominasi oleh orang dayak , Iban bagi Swak dan Kadazan-dusun bagi Sabah.

kudakepang said...

The Thinker

Terima kasih atas ulasan anda. Memang tidak TEPAT untuk membandingkan Jepun dengan Malaysia. Tetapi, apa yang terjadi di Malaysia adalah hasil pelbagai reaksi kepada bentuk Persekutuan Tanah Melayu yang dirancang oleh Pejabat Tanah Jajahan British dalam era Perang Dunia ke-2. Pada ketika itu British memilih bentuk Tanah Melayu yang multi-etnik untuk dijadikan asas pembinaan Tanah Melayu dalam era pasca Perang Dunia ke-2. Sebab itu British kembali dengan Gagasan Malayan Union yang ditentang habis-habisan oleh orang Melayu.

Bagaimanapun, walau Gagasan Malayan Union gagal, bentuk multi-etnik ini diteruskan menerusi perancangan kemerdekaan Tanah Melayu.

Ada beberapa faktor yang mendasari perkara ini. Antaranya British kecewa kerana kononnya orang Melayu memihak kepada Jepun. Kedua, kerana kerajaan China menjadi sekutu Britain dalam Perang Dunia ke-2. Oleh itu, Britain terhutang budi untuk memberikan layanan yang lebih adil kepada kaum Cina di Tanah Melayu dalam era pasca Perang Dunia ke-2.

Apa pun, ini hanya sejarah. Seperti anda katakan secara tepat, kita tidak boleh memutarkan sejarah ini.

Tetapi, seserius manakah peranan dan sumbangan seluruh kaum dalam pembinaan bangsa dan negara Malaysia? Persoalan ini akademik dan berbau politik. Sama-samalah kita timbangkan mengikut kapasiti intelektuil masing-masing..

Salam takzim - Ruhanie Ahmad

Shaf Nor said...

Melayu bukan lagi kaum majoriti di Malaysia, tak sedar-sedar lagi ke?
Cuba ikut macam Chua Tee Yong anak Chua Soi Lek.
Di atas keberanian dia meliwat semua Ahli Parlimen Melayu dalam persidangan Parlimen pada 16 Mac lalu, MCA hadiahkan dia jawatan Timbalan Menteri!
Bacalah kisah kehebatan dia di www.merdeka-online.net.
Orang Melayu sekarang dah lumpuh ke… tidur ke?
Tayang je tajuk muka depan Utusan Malaysia 'Bangkitlah Melayu'
Tapi selepas apa yang dibuat oleh Tee Yong tu, Melayu dalam Parlimen dan di luar Parlimen kini cuma mampu buat kuih bangkit je...

Shaf Nor said...

Itu semua kisah lama.
Sekarang sejarah baru apabila Melayu dikatakan bukan lagi kaum majoriti di Malaysia.
Apa hujah Kudakepang?
Chua Tee Yong anak Chua Soi Lek berucap demikian dalam persidangan Parlimen pada 16 Mac lalu.
Di atas keberanian itu, MCA hadiahkan dia jawatan Timbalan Menteri!
Bacalah kisah kehebatan dia di www.merdeka-online.net.
Atau Kudakepang memperakukan kenyataan Tee Yong itu sebab dia pun dari BN Johor?