Tuesday, November 06, 2007

Perjuangan Angkasakan Bangsa:
Milik Khairy Atau Najib Razak?

Ucapan Datuk Seri Najib Razak, di majlis perasmian serentak Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, memang first class - tinggi cita-citanya, dalam maksudnya dan furistik kerangka masanya.

Beliau mencetuskan gagasan besar supaya umat Melayu di Malaysia berusaha keras "mengangkasa dan mengantarabangsakan tamadun bangsa".

Kata Najib, langkah ini akan menggemilangkan atau memartabatkan sesuatu pencapaian Melayu selama ini ke peringkat lebih tinggi dalam persaingan global.

Syabas kepada Najib kerana mencetuskan gagasan besar ini. Bagaimanapun, sama-samalah kita nantikan, cara manakah UMNO dan barisan kepimpinan besarnya akan menterjemahkan gagasan tersebut.

Konspirasi Khairy?

Pada waktu yang sama, ikutilah perkembangan di hari-hari mendatang dan pastikan siapakah yang sebenarnya akan mendukung perjuangan mengangkasakan tamadun Melayu cadangan Najib.

Mampu dan sediakah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menterjemah dan melaksanakan gagasan Najib menjadi realiti? Mungkinkah Khairy Jamaluddin akan menasihati ayah mertuanya untuk mensukseskan gagasan Najib? Akan berpeluangkah Najib sendiri mencerna, melaksana dan merealitikan gagasan nurani dirinya sendiri?

Saya terpaksa mendorong anggota UMNO yang prihatin supaya bertanyakan soalan-soalan di atas kerana inilah antara soalan strategik yang perlu diselesaikan sebelum gagasan mengangkasakan tamadun Melayu ini boleh diterjemahkan kepada program perjuangan yang komprehensif dan berkesan.

Seluruh pertanyaan di atas pula berpaksikan kepada Khairy yang kini didesas-desuskan sebagai mengepalai satu konspirasi untuk menyingkirkan Najib menerusi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 kelak.

[Perincian soal konspirasi ini terkandung dalam buku saya, The Toyol Code, (jodol sahaja bahasa Inggeris) yang akan berada dalam pasaran sehari dua lagi. Antara intisarinya, konspirasi yang didakwa sebagai telah direstui oleh mertua Khairy ini dikatakan melibatkan Patrick Lim dan sebuah kuasa asing.]

Gagalkan Konspirasi

Pasti Najib sudah menyedari, orang-orang kuat Najib sudah menyedari, dan sebilangan pemimpin UMNO juga menyedari wujudnya desas-desus konspirasi ini.

Pendek kata, mereka tau, tapi berpura-pura tak tau, untuk mengelakkan Abdullah dan Khairy tau, yang seluruh kabilah Najib memang dah tau akan wujudnya desas-desus mengenai konspirasi tersebut.

Lantaran itu, tanpa sebarang niat memperkecil-kecilkan gagasan besar Najib, ahli-ahli UMNO yang prihatin terhadap masa depan UMNO dan bangsa Melayu, mestilah bongkar, dedah dan gagalkan desas-desus konspirasi Khairy untuk menyingkirkan Najib.

Jika ahli-ahli UMNO menyokong gagasan mengangkasakan tamadun Melayu sebagaimana disuarakan oleh Najib, mereka mesti gagalkan ura-ura konspirasi Khairy yang memang bercita-cita mengkasakan dirinya dan masa depannya untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia sebelum berusia 40 tahun. – Ruhanie Ahmad

4 comments:

Berita dari gunung said...

Dato,

Politik yang serius bermaksud memanjat tiang licin kepuncak. Rata-rata kejayaan adalah diusahakan, bukan kebetulan.

Seharusnya Najib berada di atas, bila tiba waktunya. Nasib yang menimpa beberapa TPM sebelum ini, adalah peringatan kepada Najib, bahawa seseorang boleh naik bila dijulang dan ditolak keatas. Namun jika ditarik atau diterjah, seseorang boleh jatuh menggelungsur.

Kes Ramli dan Musa memaparkan konflik. Insiden seperti ini jarang berlaku, jadi Orang akan buat tanggapan. Hanif Omar awal-awal lagi sudah beri amaran wujudnya dua kem dalam polis. Rakyat menunggu usaha berdamai. Rakyat kekal kecewa. Kabinet suka Koridor bukan selesaikan Konflik.

Jangan sangka Ramli mesti jatuh. Jangan terus kata Musa boleh senyum. Kalau Khairy cuba sesuatu, jangan terus mengiakan bahawa Najib akan turun. Belum tentu.

Khairy mungkin selamat dibelakang wajah ulama Mertuanya. Sepertimana Musa menjangka dirinya selamat dibelakang wajah ulama Bapanya. Najib juga menjangka dirinya selamat dengan prestasinya, dengan penyokongnya dan wajah pembangunan Bapanya.

Akal dan budi bukan berada pada wajah. Wajah sekadar tabir yang mampu menutup apa jua didalam. Isi durian tidak semestinya sedap seperti harum baunya.

Setakat ini, hasrat Khairy adalah pengetahuan umum. Yang belum dewasa pun dapat mengerti apa muslihat Khairy. Tapi yang dewasa sering bertanya, apa ada pada khairy? Yang veteran pula menggeleng kepala kerana sejarah kerap memapar kisah sedih betapa yang gelojoh sering jatuh tersembam!

Terima kasih.

kudakepang said...

Berita Dari Gunung, terima kasih dan tahniah berjaya mengolah satu pendapat yang bernas, tajam dan filosofikal. Moga-moga pigak terbabit, baik Khairy, baik Najib akan ambil ingatan.

Salam takzim.

Hamizi Hamdan said...

datuk... dah lama saya tidak komen di blog datuk, walaupun saya masih membacanya...

bila persidangan UMNO bermula, keluar lah gimik-gimik politik pemimpin-pemimpin melayu untuk memperbodohkan melayu...

esoknya mula lah media arus perdana memuji-muji gimik politik bodoh itu...

bagi saya perkataan-perkataan gimik seperti islam hadhari, mengangkasakan bangsa dan ntah hapa-hapa lagi cuma cakap orang-orang yang lemah... bukan lemah tenaga, tetapi tiada wibawa dalam pekerjaan mereka...

come on lah politician, walk the talk lah, don't talk cock...

kudakepang said...

OK Hamizi. Lebih mudah kata retorika je. Tapi, Najib ni memang kesian. Dia kena main dek budak berhingus aje. Jadi, apa yang dia ucapkan biarkan melambung sampai ke angkasa tingginya, tinggal kata je. Silap-silap dia pun terpelanting dek mainan budak berhingus tu.

Inilah wadah perjuangan kita hari ini. Kita kena bertulkan sama-sama. Tapi, tunggulah apa yang akan terjadi...

Salam takzim.