Thursday, November 01, 2007

Gelombang Kuning:
Apa Boleh Terjadi Sebelumnya?

Kuala Lumpur akan menyaksikan satu perarakan aman, dikenali sebagai gelombang kuning, pada Sabtu, 10 November 2007. mulai jam 3.00 petang.

Perarakan menuju ke Istana Negara itu akan bermula daripada Padang Selangor Club di Jalan Sultan Abdul Samad.

Soalnya di sini, apakah kemungkinan yang boleh terjadi sebelum gelombang kuning melanda Kuala Lumpur? Hakikat ini perlu diambilkira sepenuhnya oleh pihak penganjur dan perserta.

Hakikat ini perlu dijangka dan diperincikan supaya puluhan ribu peserta gelombang kuning tidak dicengkam kebimbangan, tidak patah semangat dan tidak juga terpengaruh dengan apa jua usaha atau dakyah untuk menggagalkan perarakan tersebut.

Sumber-sumber berwibawa memberitahu blog ini bahawa antara kemungkinan yang boleh berlaku sebelum perarakan gelombang kuning adalah seperti berikut:

Kegemparan Di KL

Sebaik sahaja ribuan ahli UMNO yang menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2007 pulang ke daerah masing-masing pada petang 9 November 2007, mungkin akan terjadi sesuatu yang menggemparkan di KL.

Kegemparan itu mungkin menjelma dalam pelbagai bentuk. Pokoknya, akibat kegemparan itu, pihak keselamatan boleh mengeluarkan kenyataan bahawa rakyat jelata tidak digalakkan masuk ke KL pada 10 November 2007, atau rakyat jelata diingatkan berwaspada akan keselamatan masing-masing sewaktu berada di sekitar KL pada hari yang sama.

Kegemparan sedemikian juga boleh menyebabkan pihak keselamatan mengadakan sekatan jalanraya di semua pintu masuk ke KL daripada pelbagai penjuru.

Kemungkinan seperti ini boleh menimbulkan kebimbangan dan mungkin memadamkan semangat para peserta yang berkobar-kobar untuk menyertai perarakan gelombang kuning pada 10 November 2007.

Oleh itu, pihak penganjur wajar menyediakan minda para peserta bahawa kemungkinan seperti ini boleh berlaku tetapi tidak harus mematahkan semangat penyertaan masing-masing.

Tangkapan

Pihak keselamatan mungkin melakukan operasi dan tangkapan ke atas para penganjur gelombang kuning dengan alasan kononnya perarakan itu boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Memang kemungkinan tindakan ini agak minima kerana pihak kerajaan tidak mahu menimbulkan kemarahan rakyat jelata menjelang Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) tidak lama lagi. Tetapi, para penganjur tidak wajar mengenepikan terus kemungkinan ini.

Keadaan Haru-biru

Mulai awal pagi hingga 3.00 petang pada 10 November 2007, sistem trafik dan pengangkutan awam di KL mungkin jadi celaru dan haru-biru. Ini boleh berlaku akibat kegemparan di atas atau akibat beberapa kemalangan jalanraya dan sebagainya, khususnya di jalan-jalan utama menuju ke Padang Selangor Club.

Oleh itu, pihak penganjur wajar menstrategikan cara-cara terbaik untuk para peserta gelombang kuning dapat datang ke Padang Selangor Club tanpa sebarang halangan.

Persediaan Rapi

Pendek kata, pihak penganjur wajar mempunyai persediaan yang rapi supaya gelombang kuning mencapai matlamatnya untuk menyerahkan memorandum yang menuntut perjalanan PRU yang adil dan saksama kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Yang Di-Pertuan Agong.

Antara strategi terbaik adalah: Jangan bawa sebarang bendera atau sepanduk yang melambangkan parti. Sebaliknya hanya bawa bendera Malaysia.

Menjung Panji Negara

Cara-cara mengarak bendera Malaysia atau menjunung panji negara ini pula perlu dengan penuh sopan, tertib dan mengikut amalan dan tradisinya.

Rasional dan rahsia di sebalik emfasis kepada cara yang sopan dan tertib ketika menjunjung panji negara ini perlu dijelaskan kepada para peserta.

Rukun Negara Dan Negaraku

Permulaan perarakan wajarlah didahului dengan acara membaca Rukun Negara secara beramai-ramai. Kemudiannya, diikuti pula dengan nyanyian Negaraku, juga secara beramai-ramai.

Kedua-dua acara ini akan menjadi lambang dan bukti bahawa gelombang kuning adalah satu perarakan yang sebenar-benarnya dilakukan demi negara Malaysia tercinta.

Akhir kata, hayatilah bahawa kuning adalah warna yang boleh menjanjikan suatu era baru, adalah lambang kebijaksanaan, adalah simbol kehidupan abadi, adalah mercutanda persahabatan dan kesetiakawanan di kalangan rakyat jelata Malaysia.

Oleh itu, bergerak dan bertindaklah dengan bijaksana, penuh persahabatan dan kesetiakawanan demi menempah suatu era baru yang akan menghasilkan kehidupan lebih abadi di hari muka. Selamat majujaya. – Ruhanie Ahmad

4 comments:

-thethinker- said...

satu lagi kemungkinan.. perwakilan dan penyokong PEKEMBAR ( awat guna UMNO , tuu inggeris.. cammna nak perjuangkan nasib melayu dgn junjung nama dlm inggeris )akan menunggu pertembungan dgn pembawa gelombang kuning.. mungkin bertempur ???

KZ Ahmad said...

Salam,

Perhimpunan Bersih adalah anjuran NGO. Kalau anjuran NGO maka sambutan adalah sangat kurang, malah kalau dibandingkan dengan populasi KL, bolehlah dikira hampir tiada perhimpunan.

Oleh itu kuasa politik pembangkang digunakan untuk memeriahkan perhimpunan itu kerana boleh menyediakan ahlinya yang ramai.

Kalau tidak silap, ada artikel menyatakan Presiden PAS mengarahkan seluruh ahlinya di Malaysia menghadiri perhimpunan itu.

Itu belum lagi dengan PKR dan lain-lain.

Perhimpunan menuntut pilihanraya bersih yang dianjurkan NGO akan dirogol oleh penyokong-penyokong parti pembangkang yang ekstrim dan perhimpunan ini akhirnya tidak akan mencapai matlamat.

Apakah kita mahu perhimpunan ini mencapai matlamat iaitu pilihanraya bersih atau sekadar menjadi popular sahaja. Saya rasa perhimpunan ini sekadar popular.

Lagi satu, saya bimbang ada strategi halus untuk menampakkan Malaysia huru hara dengan kebangkitan rakyat kononnya, dan 10 Nov ini ada dalam skrip.

Selamat berjaya kepada Malaysia

dzulman said...

Perhimpunan yg sedang di rancang walau pun mempunyai nawaitu yang baik tidak boleh di anggap sebagai satu budaya politik negara ini. Ianya boleh mendedahkan kepada berbagai bahaya kerana ada yang menyokong tidak kurang juga ada yang menentang.
Diharap sangat pihak penganjor ambil iktibar dari apa yang telah berlaku di Pakistan, Wilayah Selatan Thai dan juga Manila kerana tidak kurangnya kita juga mungkin ada orang orang yang gila yang berkemampuan "berjihad" membuta tuli.
Mengapa tidak adakan perhimpunan ini dalam dewan, daftarkan semua yang hadir supaya ia menjadi satu perhimpunan yang halal. Akta Polis seksyen 27 jelas mengatakan apa jua perhimpunan 5 orang atau lebih misti ada kebenaran dari Polis jika tidak ianya haram. Itu undang undang.
Tidak perlu cari gaduh atau bikin susah pada diri sendiri. Pasang sepanduk di serata pelusuk negeri dan sibar risalah menyatakan apa yang hendak dinyatakan adalah lebih berkesan kerana orang akan lihat,baca, berbincang dan terus faham.
Yang dikhuatiri perhimpunan ini akan diperalatkan sahaja oleh mereka yang menunggu untuk mengapi-ngapikan situasi dan kondisi kelak.
Fikir fikirlah dan cari yang mana lebih menguntungkan!

kudakepang said...

The Thinker, KZ Ahmad, Dzulman.

Pertama sekali kk mengalu-alukan kehadiran KZ dan Dzulman buat pertama kali dalam blog ini. Keduanya, gelombang kuning adalah kebangkitan rakyat yang memburu kesaksamaan. Dalam pada itu, saya percaya anggota UMNO adalah waras dan bertanggungjawab. Tapi, kalau mereka memilih untuk berlaga di gelanggang dengan gelombang kuning, maka itulah akhirnya kewarasan. Untuk makluman, saya difahamkan yang akan hadir pun ramai juga anak-anak muda UMNO yang bergerak dalam senyap kerana fed-up dengan khairy.

Salam takzim...