Friday, November 16, 2007

Gelombang Kuning
Gelombang Rakyat

Ruhanie Ahmad

Gelombang kuning kini memunculkan satu perspektif baru. Pada 16 November 2007 - enam hari selepas gelombang kuning melanda Kuala Lumpur - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, dipetik oleh BERNAMA sebagai melahirkan rasa kesal dengan dakwaan kononnya baginda dan Istana Negara memperkenankan dan menyokong gelombang kuning.

Kata BERNAMA, Tuanku Mizan menegaskan bahawa baginda dan Istana Negara tidak pernah pada bila-bila masa jua memperkenankan atau memberikan apa-apa sokongan secara langsung atau tidak langsung kepada mana-mana pihak yang menganjurkan atau terlibat dalam perhimpunan haram itu (gelombang kuning) dan apa-apa jua kegiatan lain yang berkaitan yang menyalahi undang-undang negara.

Tuanku Mizan juga berharap agar rakyat Malaysia sentiasa bertindak dengan mematuhi undang-undang negara; tidak melibatkan diri dalam apa-apa juga kegiatan atau tindakan yang menyalahi atau bertentangan dengan undang-undang negara; bertanggungjawab untuk memelihara ketenteraman awam demi menjamin keamanan dan kesejahteraan negara; dan bersama-sama mengekalkan semangat persaudaraan dan perpaduan demi membina negara yang lebih makmur, bersatu padu dan dihormati.

Kenyataan di atas amat jelas mesej dan maksudnya. Ia pastinya menggembirakan Datuk Seri Abdullah dan barisan kabinetnya yang sedang berhempas pulas menyebarkan propaganda menegakkan benang yang basah. Pastinya kenyataan di atas juga akan ditafsirkan oleh pihak pemerintah sebagai satu kemenangannya.

Dinamika Rakyat

Tafsiran saya amat jauh berbeza. Apa jua yang mahu dikatakan pada hari ini mengenai gelombang kuning, semua pihak terpaksa menerima hakikat bahawa gelombang itu kini sedang mentransformasikan bentuknya menjadi satu gelombang rakyat yang menyeluruh serta mempunyai mesej, matlamat dan aspirasi yang lebih besar daripada tuntutan pilihan raya yang benar-benar telus, bersih, adil dan saksama.

Oleh itu, persoalan terhadap soal “halal” dan “haram” gelombang kuning di sisi undang-undang sudah tidak lagi relevan dan hanya jadi topik yang akademik bentuknya. Apa yang pasti adalah: gelombang kuning sudah pun menggerak dan membangkitkan dinamika kekecewaan rakyat jelata terhadap kepimpinan Abdullah untuk menggelorakan gelombang rakyat yang lebih besar, menyeluruh dan luas cita-cita serta aspirasinya.

Jangan bicarakan prasangka politik dan usah dirungkai aspek-aspek teknikaliti perundangan untuk memahami kebangkitan gelombang rakyat. Sebaliknya, analisalah hakikat kemarahan, keresahan dan kekecewaan rakyat jelata terhadap kepimpinan Abdullah selaku Perdana Menteri, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Presiden UMNO, Pengerusi OIC dan Pengerusi NAM mutakhir ini.

Kajilah juga kebangkitan gelombang rakyat ini dalam konteks Islam sebagai agama rasmi negara; dalam konteks kepincangan pengurusan negara dan keleluasaan amalan neopotisme serta kronisme; dalam konteks kedaulatan negara dan maruah bangsa; dan dalam konteks kecelaruan fokus serta emfasis perjuangan mensejahterakan rakyat seluruhnya.

Secara ringkasnya, dinamika gelombang rakyat yang saya maksudkan ini wajar dikaji dari sudut sosio-politik dan ekonomi Malaysia mutakhir dan masalah semasa yang menjejaskan kesejahteraan rakyat akibat kepincangan dalam pengurusan ketiga-tiga cabang kehidupan berkenaan.

Tanpa Prasangka

Pihak penganjur gelombang kuning yang sedang dibuai euphoria kemenangan (dan kini pasti dikejutkan pula oleh titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong) seolah-olah gagal melihat kelahiran gelombang rakyat ini. Pihak pemerintah yang dijebak propaganda menegakkan benang basah (dan kini mungkin kegembiraan dengan kenyataan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong) juga gagal melihat fenomena yang sama.

Sebab itulah kedua-dua pihak terus terperangkap dengan persoalan asas sama ada perarakan gelombang kuning baru-baru ini “halal” atau “haram” di sisi undang-undang. Sebab itulah kedua-dua pihak seolah-olah tidak menyedari bahawa gelombang kuning telah jadi pemangkin yang melekdakkan dinamika kebangkitan gelombang rakyat di seluruh tanahair.

Dari Perlis sampai ke Sabah, rakyat jelata kini sedang membicarakan gelombang kuning dalam konteks keresahan dan kekecewaan mereka terhadap sosio-politik dan ekonomi negara tanpa sebarang batas dan prasangka politik. Mereka membicarakan impak serta implikasi gelombang kuning kepada penyatuan aspirasi seluruh rakyat jelata ke arah mencari satu formula jitu untuk mengkoreksi segala-galanya yang pincang dan tempang dalam kepimpinan Abdullah ketika ini.

Memang kebangkitan gelombang rakyat ini masih samar-samar bentuk dan matlamat utamanya. Memang dinamika massa ini masih belum mempunyai struktur kepimpinan yang nyata. Tetapi, hakikat kebangkitan massa ini sudah mula dirasai rentak dan geraknya.

Sabtu Yang Kuning

Contohnya, idea blog ini supaya rakyat Malaysia memakai pakaian berwarna kuning pada setiap hari Sabtu mulai menerima reaksi serta sambutan yang luas dan luar biasa. Ini bermakna segolongan rakyat jelata sudah mula redha untuk mengassosiasikan diri masing-masing dengan gelombang kuning. Ini bermakna mereka juga mempunyai sebab dan rasional tersendiri untuk mentransformasikan gelombang kuning sebagai satu kebangkitan gelombang rakyat. Ini juga bermakna bahawa segolongan rakyat jelata yang tidak mendukung pejuangan BERSIH secara khusus, pun mula menggelorakan gelombang rakyat.

Pastinya golongan yang mengharapkan kebangkitan gelombang rakyat ini tidak akan memilih untuk berlindung di bawah naungan BERSIH. Pastinya mereka menanti-nantikan kemunculan sekumpulan individu yang mampu memimpin mereka ke arah suatu perjuangan mecapai cita-cita mereka. Pastinya kumpulan individu pemimpin yang dinanti-nantikan kehadirannya pula bukannya daripada kalangan penganjur gelombang kuning.

Lantas, siapakah yang bertanggungjawab untuk memunculkan kepimpinan gelombang rakyat? Organisasi apakah yang wajar dijadikan wadah kepada perjuangan gelombang rakyat? Bagaimanakah organisasi ini akan muncul dan bagaimana pula ia akan melegitimasikan perjuangan gelombang rakyat?

Persoalan ini wajar difikirkan secara terperinci. Gelombang kuning hanya mahukan kewujudan satu sistem pilihan raya yang bersih, telus, adil dan saksama. Tuntutan ini tidak mungkin akan dipenuhi oleh pemerintah hari ini. Gelombang rakyat pula menuntut satu bentuk koreksi yang komprehensif kepada seluruh kepincangan sosio-politik dan ekonomi yang wujud mutakhir ini. Tuntutan ini juga pastinya tidak dapat dilaksanakan oleh pemerintahan Abdullah.

Formula Di Luar Kotak

Tuntutan gelombang kuning urgent dan penting. Tuntutan gelombang rakyat yang lebih besar dan menyeluruh juga amat urgent dan amat penting. Kedua-dua tuntutan ini perlu diatasi secara serentak. Kedua-dua tuntutan ini memerlukan satu bentuk organisasi yang berwibawa, mantap dan efektif.

Jadi, fakir-fikirkanlah. Apakah agaknya bentuk organisasi perjuangan gelombang rakyat? Dan, siapkanlah minda kita semua seandainya organisasi kepimpinan gelombang rakyat ini pula muncul secara mendadak dan tiba-tiba hasil daripada satu proses pemikiran di luar kotak!

Seluruh persoalan di atas dan kesudahan kepada perjuangan gelombang rakyat yang masih berada di peringkat permulaan ini jadi semakin kritikal bila Tuanku Mizan sendiri melahirkan rasa kesal dengan dakwaan kononnya baginda dan Istana Negara memperkenankan dan menyokong satu perhimpunan haram (gelombang kuning) pada Sabtu, 10 November 2007.

Oleh itu, fikir-fikirkanlah perkembangan terbaru ini dengan serius, rasional dan menjurus kepada komitmen memberikan pembelaan kepada rakyat jelata yang mahu kepincangan pemerintahan Abdullah dikoreksikan dengan seberapa segera.

7 comments:

Unknown said...

Assalamu'alaikum Datuk

Saya dah boh mesej SMS Datuk dalamposting saya mengneia kenyataan Yang di-Pertuan Agong hari ini. Tq, bos!

Oh, before i terforget: Ada kawan2 tanya, awat Ron jadi sampai lagu tu? Terbalik kuang. Dulu, dia antara geng BBC yang paling keras dengan pembangkang.

Unknown said...

Memang tepat. Apa pun orang nak kata, gelombang kuning memang sudah jadi gelombang rakyat. Gelombang ini akan jadi saluran rakyat menunjukkan frustrasi mereka kepada pemerintah. Jadi, sementara kita junjung titah Agong,kita kena teruskan gelombang rakyat ini tanpa gentar dan gusar. Apa yang perlu cuma pakai pakaian warna kuning setiap Sabtu. Itu saja. Daulat Tuanku.

Unknown said...

Ampun Tuanku, Ampun Tuanku, Ampun Tuanku.

Titah Tuanku patik junjung. Naluri kasih sayang patek terhadap Institusi Raja akan terus membara. Gelombang kuning akan terus mara. Gelombang akan tetap ketara di seluruh negara.

Daulat Tuanku, Daulat Tuanku, Daulat Tuanku!!!!!!

Unknown said...

Tahniah kepada Abdullah Badawi kerana berjaya gunakan balacinya di Istana untuk keluarkan kenyataan pasal gelombang kuning. Tapi ingat, rakyat akan teruskan gelombang ini kerana rakyat fed-up dengan kepimpinan Abdullah.

kudakepang said...

Bakaq, Putera bentan, Nakhoda dan Cyber, terima kasih.

Bakaq: Ron tak berubah. Belum masuk parti pembangkang dan belum tinggalkan UMNO. Pokoknya, perjuangan adalah membabitkan prinsip keikhlasan dan kesaksamaan. Dan, itulah yang saya perjuangkan secara persendirian demi agama, bangsa dan tanahair tercinta.

Putera: Kepada saya gelombang kuning memang gelombang rakyat. Ini adalah satu fenomena yang lahir akibat kemaharajalelaan dan keleluasaan tindakan dan keputusan yang tidak menyenangkan rakyat jelata.

Nakhoda: Memang kita junjung titah Raja kita. Tapi, tidaklah berdosa kalau rakyat yang setia kepada Raja ini berusaha mencari kesaksamaan dan kesejahteraan daripada terus diperlekehkan oleh Abdullah dan konco-konconya.

Cyber: Elok kita junjung titah Raja kita. Pada waktu yang sama kita buktikan juga kepada Abdullah bahawa rakyat hari ini sudah putus asa dengan seluruh kepura-puraan pemerintah.

Salam takzim.

Anonymous said...

Dato besok saya akan pakai baju kuning dan tiap2 hari sabtu saya akan berbaju kuning.

saya tak menghilangkan diri cuma lama berada diluar negeri tetapi saya tetap bersama sama blogers

Disebabkan karenah Pak Lah dan menantunya serta beberapa org pemimpim Umno maka Umno dan Bn mula dibenci rakyat.Mca ,Gerakan dan Mic juga menerima tempiasnya .Kalau tak nak bakar kelambu pakai spray Mortin atau Ridsect boleh mati ke nyamok2 ni Dato ?

tq

kudakepang said...

Dr Butiq. Tahniah dan terima kasih.

Sama-samalah kita semarakkan lagi fenomena gelombang rakyat hanya dengan memakai warna kuning setiap Sabtu.

Soal bakar kelambu tu terserahlah kepada umum. Tapi, cubalah kita berfikiran out of the box dan nantikan apa yang akan terjadi kelak dengan hati yang terbuka.

Salam takzim.