Saturday, November 17, 2007

Isu Halal Lawan Haram
Rakyat Lawan Abdullah?

Ruhanie Ahmad

Gelombang kuning yang melanda Kuala Lumpur pada 10 November 2007, kini terus dijebak masalah statusnya yang “halal” atau “haram” di sisi undang-undang. Sindrom pasca peristiwa ini sengaja dicanangkan secara bertubi-tubi ke seluruh negara untuk menyekat, melemah dan mematikan gelora penentangan yang sedang marak membara di kalangan segolongan rakyat jelata terhadap Datuk Seri Abdullah Ahmad, selaku Perdana Menteri, Menteri Kewangan, Menteri Dalam Negeri, Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO.

Sindrom ini juga terus dikipas dan dibesar-besarkan oleh perkasas propaganda pemerintah kerana gelombang kuning kini mula mencetuskan fenomena gelombang rakyat - satu kebangkitan tanpa mengira kaum dan fahaman politik - yang berani menyatakan tentangan terbuka terhadap Abdullah.

Ini bermakna, gelombang kuning kini memang sudah bertukar jadi gelombang rakyat. Ia sudah berubah corak dan matlamatnya. Hanya pihak-pihak yang gemar didodoikan dengan “denial syndrome” sahaja yang enggan mengakui hakikat dan realiti ini. Dan, hanya kalangan yang berpandangan singkat dalam perjuangan sahaja yang akan lemah semangat, angkat bendera putih, dan dengan hati yang longlai, terus menyerah kalah secara betina.

Jangan Hilang Punca

Oleh itu, janganlah sindrom “halal” dan “haram” ini menyebabkan perjuangan gelombang rakyat termati langkah dan kehilangan punca. Kuatkanlah semangat dan jitukanlah tekad juang masing-masing. Fahamilah bahawa kalau gelombang kuning hanya menuntut kewujudan satu sistem pilihan raya bersih, telus, adil dan saksama, gelombang rakyat adalah perjuangan menuntut satu proses koreksi yang komprehensif dan total terhadap seluruh bentuk kepincangan yang wujud di bawah kepimpinan Abdullah.

Insafilah. Kalau gelombang kuning distruktur dan dipimpin secara rasmi, gelombang rakyat meletus secara spontan dan tanpa struktur organisasi dan kepimpinan yang rasmi dan nyata. Kalau gelombang kuning hanya kelihatan di sekitar Kuala Lumpur, gelombang rakyat pastikan menggelora di serata negara. Kalau gelombang kuning kelihatan dengan kehadiran fizikal rakyat jelata secara besar-besaran di perkarangan Istana Negara, gelombang rakyat pula hanya memerlukan penyatuan dan penggemblengan roh dan jiwa warganegara yang dahagakan pembelaan tulen dan sejati, benar dan ikhlas, adil dan saksama dalam semua aspek kehidupan.

Oleh itu, sementara rakyat menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini dan merafak sembah kasih kerana pihak Istana Negara berkenan menerima memorandum pada 10 Noveber 2007, rakyat juga menggantungkan harapan semoga perjuangan gelombang rakyat untuk mengkoreksikan kepimpinan Abdullah secara komprehensif dan total ini turut berada dalam pengetahuan Baginda. Harapan ini bukan berbentuk politik. Harapan ini dilahirkan kerana perjuangan ini adalah nasional ciri-cirinya.

Dalam konteks ini, pastinya rakyat jelata akan menjunjung titah Baginda untuk sentiasa “mematuhi undang-undang negara dan tidak melibatkan diri dalam apa-apa juga kegiatan atau tindakan yang menyalahi atau bertentangan dengan undang-undang negara; akan terus memelihara ketenteraman awam demi menjamin keamanan dan kesejahteraan negara; dan mengekalkan semangat persaudaraan dan perpaduan demi membina negara yang lebih makmur, bersatu padu dan dihormati.”

Tuntutan Pembaharuan

Tetapi, dalam konteks ini juga pastinya rakyat jelata mengharapkan satu kepastian yang terjamin terhadap penghujung kepada perjuangan mereka. Apa yang mereka harap-harapkan adalah perubahan dan pembaharuan dalam kepimpinan negara. Apa yang mereka aspirasikan adalah seluruh naluri dan sendi yang lemah dan longgar dalam Perlembagaan Negara diperkukuh dan diperjelaskan tanpa menjejaskan status quo yang ada mutakhir ini. Apa yang mereka cita-citakan adalah seluruh tunjang dan paksi kenegaraan dan kewarganegaraan Malaysia mesti dimartabat, didaulat dan dimuliakan berasaskan sejarah warisan silam yang diserasikan pula dengan realiti semasa.

Intisari kepada semua tuntutan di atas adalah: kemuliaan agama, kesejahteraan rakyat jelata, kemerdekaan dan kedaulatan negara, integriti dan maruah bangsa serta pertahanan, keamanan dan keselamatan tanahair ini jangan sekali-kali digolok-gadaikan kepada sesiapa dan jangan sekali-kali dikompromikan dengan kepentingan mana-mana pihak, baik rakan, taulan dan jiran tetangga, sama ada regional atau pun global.

Begitulah besar, komprehensif dan totalnya matlamat dan cita-cita gelombang rakyat yang sedang menggelora. Dalam keadaan begini, tidak perlulah diizinkan diri masing-masing diracuni kesan sindrom “halal” atau “haram” gelombang kuning. Dalam keadaan begini, lebih wajar jika diperkukuhkan lagi azam dan iltizam mengkoreksikan seluruh kelemahan dan segala kepincangan Abdullah selaku insan yang menerima mandat untuk memimpin kita semua. Dan usaha koreksi total ini mestilah dilaksanakan secara aman, bijaksana, bersopan dan bersusila.

Akhir sekali, gelombang rakyat perlu mengambil inisiatif mengenalpasti kumpulan insan berjiwa murni yang difikirkan layak dijadikan jemaah pemimpin gagasan perjuangan besar, total dan kompehensif ini. Renungkanlah dan fikir-fikirkanlah dengan hasrat mulia terhadap agama, bangsa dan negara!


7 comments:

spycatcher03 said...

Datuk, well written, message understood. Dari awal lagi saya telah membuat penilaian bahawa gerakan gelombang kuning bertujuan bukan sahaja setakat pRu bersih. Ianya mempunyai objektif yang lebih dari itu dalam usaha memperbetulkan keadaan kerajaan sekarang. Ini yang membimbangkan pemimpin kerajaan sekarang terutama PM. Sekiranya momentum gelombang ini di pertingkatkan secara konsisten, saya percaya objektif tersirat akan tercapai dan tiada kuasa dalam negara dapat menghalangkan nya kecuali Allah SWT ! Saya rasa Dtuk faham apa yang saya maksudkan!!!

kudakepang said...

Spycatcher, terima kasih.

Tahniah kerana memahami hasrat tersirat di sebalik gelombang kuning yang kini jadi gelombang rakyat.

Selamat berjuang dan salam takzim.

hha said...

Datuk,

Saya amat seronok bila orang-orang seperti Datuk, a well-known UMNO member, menyokong gerakan rakyat secara terang-terangan kerana hanya orang yang berjiwa merdeka sahaja yang berani seperti Datuk.

Saya harap bloggers yang berpengaruh seperti Datuk dan beberapa Datuk yang lain akan terus meng'highlight' isu-isu penting yang pada jangkamasa panjang akan merosakkan negara sekiranya tidak diperbetulkan sekarang.

Sekian. Wassalam

puanhha

mazlan-bdn said...

Dapat info, paklah n KJ tidak sihat... Kena demam Kuning. Arahan akan d keluarkan...... Zebra crossing akan d tukar warna.... dari kuning ke biru ......

mod said...

datuk,
terima kasih datuk kerana terus bersama rakyat yg dahagakan keadilan di dalam sistem pemerintahan yg kini makin suram.islam makin jauh dari pemerintah,rakyat makin ditindas dek kehidupan yang makin dan terus mendesak. kami rakyat yg hanya berkuasa dengan undi setiap 5 tahun, memohon agar datuk terus bersama kami.terima kasih datuk.AllahuAkbar!!!

duittenet said...

Salam Datuk,sedangkan pendatang asing yang masuk kenegara kita secara haram pun mereka tak panggil sebagai pendatang haram tapi bila rakyat berkumpul dilabelkan haram pulak.Kesalahan memasuki negara orang tanpa permit adalah lebih besar dari berkumpul dinegara sendiri tanpa permit.

kudakepang said...

Puan Ha, Mazlan, Karambit dan Namel, terima kasih.

Usah berterima kasih kepada saya. Bersyukur kepada Allah SWT yang membukakan hati kita semua untuk menimbang konsep amal makruf nahi mungkar dalam konteks kepimpinan Malaysia mutakhir. Mudah-mudahan anda semua akan mendukung gelombang kuning dan gelombang rakyat demi kebaikan kita bersama dan anak cucu kita di masa akan datang.

Salam takzim.