Thursday, November 22, 2007

Gelombang Kuning
Dukung Rukunegara

Ruhanie Ahmad

Pentadbiran Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengkategorikan gelombang kuning sebagai perhimpunan “haram”. Propaganda RTM menggambarkan gelombang kuning sebagai aktiviti politik jalanan yang liar, ganas dan boleh menjejaskan ketenteraman awan serta mengancam keselamatan negara.

Begitulah seriusnya prasangka kedua-dua pihak terhadap gelombang kuning walaupun sebelum rombongan berjalan kaki secara aman menuju ke Istana Negara itu menjadi realiti pada 10 November, 2007. Mereka mempunyai prasangka sedemikian rupa nampaknya kerana mereka jahil terhadap semangat dan prinsip-prinsip Rukunegara, yang diperkenalkan oleh Tun Razak Hussein sejak 31 Ogos, 1970, dan sentiasa menjadi rukun masyarakat rakyat jelata Malaysia hingga ke hari ini.

Rukun Masyarakat

Rukunegara menggariskan prinsip-prinsip ketuhanan, kesetiaan, perpaduan, pembangunan, kemajuan dan modenisasi. Seluruh prinsip ini jadi asas utama dalam pembentukan jatidiri rakyat jelata yang patriotik. Seluruh prinsip ini juga diterapkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad ke dalam Wawasan 2020 - doktrin nasional yang diharapkan dapat memacu rakyat dan negara Malaysia ke arah kemajuan sepenuhnya 13 tahun akan datang. Sebab itulah Wawasan 2020 disifatkan sebagai lanjutan dan dinamika kepada Rukunegara.

Prinsip-prinsip Rukunegara merangkumi kepercayaan kepada Tuhan; kesetiaan kepada Raja dan negara; keluhuran Perlembagaan; kedaulatan undang-undang, dan kesopanan dan kesusilaan.

Seluruh prinsip ini kait-mengait antara satu sama lain. Oleh sebab itu, setiap rakyat jelata yang menghayati Rukunegara pastinya akan menghayati seluruh maksud dan semangat di sebalik prinsip-prinsipnya. Ini kerana Rukunegara juga adalah rukun masyarakat yang sentiasa menghargai serta mengutamakan keamanan, kemakmur dan perpaduan.

Prinsip Kesetiaan

Dalam konteks perbincangan ini, hayatilah maksud prinsip kedua Rukunegara - kesetiaan kepada Raja dan negara. Lamanweb Kementerian Penerangan menjelaskan prinsip ini seperti berikut:

Semua rakyat dituntut setia kepada raja dan negara. Yang di Pertuan Agong merupakan ketua negara dan Raja Melayu merupakan ketua negeri. Raja adalah simbol penyatuan rakyat dan pelindung hak istimewa peribumi. Penderhakaan kepada raja juga bermaksud penderhakaan kepada negara.

Dalam buku saya, Patriotisme Malaysia Penangkis Neopimerialisme, prinsip kedua ini saya huraikan seperti berikut:

Prinsip ini jadi asas pembentukan rakyat Malaysia yang patriotik. Bila mereka patriotik, mereka akan cinta dan sayangkan negaranya. Bila mereka cinta dan sayangkan negara, mereka akan sentiasa memelihara seluruh institusi yang menjamin keselamatan, kenteraman dan kemakmuran. Bila mereka sedia memelihara seluruh institusi berkenaan, pastinya mereka rela berkorban untuk mempertahankan Malaysia dari sebarang ancaman dalaman atau luaran. Dengan cara tersebut, kemerdekaan Malaysia akan terus dipertahankan, kedaulatan Malaysia akan sentiasa dilindungi dan kemurnian agama akan sentiasa dipelihara.

Raja Dan Negara

Berasaskan prinsip kesetiaan kepada Raja dan negara seperti yang terhurai di atas, siapakah Ketua Negara Malaysia kalau bukannya Yang di Pertuan Agong? Oleh itu, salahkah bagi rakyat jelata mengadakan rombongan berjalan kaki secara aman dan beramai-ramai menuju ke Istana Negara semata-mata untuk menyampaikan satu memorandum kepada wakil Yang di Pertuan Agong?

Pada waktu yang sama, adakah masuk akal bagi sesuatu rombongan ke Istana Negara untuk merusuh di sepanjang jalan? Kalau tidak masuk akal, kenapakah RTM menyiarkan klip video kononnya gelombang kuning akan jadi ganas dan liar? Apakah rasional di sebalik tindakan yang tidak bijaksana oleh RTM ini?

Berasaskan prinsip kesetiaan kepada Raja dan negara seperti di atas juga, adakah Abdullah yakin bahawa rombongan jalan kaki menuju ke Istana Negara itu adalah rombongan pengganas, elemen anti-nasional dan elemen anti-raja? Kalau Abdullah yakin peserta gelombang kuning bukan pengganas, bukan anti-nasional dan bukan anti-raja, apakah rasional pentadbiran Abdullah enggan memberikan permit kepada gelombang kuning?

Bukti Kejahilan

Bukankah tindakan tidak memberikan permit ini mencerminkan seolah-olah pentadbiran Adullah yang sebenar-benarnya anti-raja? Tidakkah tindakan tersebut juga membuktikan kejahilan pemerintah terhadap prinsip kesetiaan rakyat kepada dan raja negara?

Abdullah juga wajar bertanyakan kepada diri sendiri: adakah lojik bagi rombongan rakyat jelata yang mahu mengadakan rombongan berjalan kaki ke Istana Negara akan bertindak liar dan ganas sehingga boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara?

Tanyalah juga kepada diri sendiri: adakah lojik kelompok-kelompok manusia daripada golongan professional, kakitangan korporat, kakitangan awam, ahli-ahli parti pembangkang dan parti pemerintah, pesara pasukan keselamatan dan organisasi berniform, pelajar institusi pengajian tinggi dan masyarakat akar umbi yang menyertai gelombang kuning akan jadi ganas dan liar dalam perjalanan untuk menyerahkan memorandum kepada wakil Yang di Pertuan Agong di Istana Negara?

Lagu Negaraku

Bukankah sebelum 10 November 2007 sudah diwar-warkan menerusi internet bahawa rombongan gelombang kuning menuju ke Istana Negara akan memulakan perjalanan mereka di Dataran Merdeka dengan upacara bacaan ikrar Rukunegara yang disusuli dengan nyanyian lagu Negaraku secara beramai-ramai? Bukankah sudah diwar-warkan bahawa majoriti peserta gelombang kuning akan menjunjung Jalur Gemilang sambil melaungkan slogan Daulat Tuanku, Daulat Tuanku, Daulat Tuanku, di sepanjang jalan?

Tidakkah seluruh aturcara di atas dibuat berasaskan prinsip kesetiaan kepada Raja dan Negara? Kalau begitu, kenapakah gelombang kuning tidak mendapat permit polis dan disifatkan sebagai perhimpunan “haram”?

Penderhakaan?

Amat malang sekali. Semangat peserta gelombang kuning yang berkobar-kobar mahu menggemakan ikrar Rukunegara terhalang. Semangat berkobar-kobar mereka untuk menggemakan Negaraku terbatal. Semangat mereka yang berkobar-kobar untuk menjunjung Jalur Gemilang juga turut digagalkan. Mereka tidak dapat berbuat begitu kerana Dataran Merdeka sudah disita dan dikepong oleh pihak polis.

Segala-galanya juga gagal kerana pentadbiran Abdullah enggan memberikan permit polis. Segala-galanya gagal kerana pentadbiran Abdullah seolah-olah hanya mentakrifkan prinsip kedua Rukunegara – kesetiaan kepada Raja dan negara – sebagai barisan ayat-ayat mengenang jasa simati (obituary) yang terpahat di batu-batu nisan!

Sebab itulah juga bendera Malaysia pun diharamkan untuk dibawah bersama ke dalam perarakan gelombang kuning. Menurut satu maklumat, rampasan Jalur Gemilang dilakukan kononnya kerana batang bendera boleh dijadikan senjata untuk mencederakan orang lain.

Kalaulah maklumat ini benar, pentadbiran Abdullah kenalah jawab soalan ini: adakah perarakan gelombang kuning berhasrat mahu merusuh atau mahu menyerahkan memorandum kepada wakil Yang di Pertuan Agong di Istana Negara? Kalau kisah ini juga benar, pentadbiran Abdullah juga kena jawab soalan ini: bolehkah tindakan pihak yang merampas Jalur Gemilang ini disifatkan sebagai telah melakukan penderhakaan kepada Raja dan negara?

Pantang Dicabar

Saya yakin Abdullah bukan pemimpin yang menganggap prinsip-prinsip Rukunegara sebagai tulisan-tulisan kaku di batu-batu nisan. Saya juga pasti, Abdullah memang insaf bahawa tindakan merampas Jalur Gemilang dan melarangnya untuk dibawa dalam perarakan gelombang kuning boleh disifatkan sebagai penderhakaan kepada Raja dan negara.

Oleh itu, adalah sangat-sangat menghairankan, kenapa dan mengapakah pentadbiran Abdullah tidak mengarahkan pihak polis mengeluarkan permit untuk gelombang kuning? Adakah kerana Abdullah menganggap gelombang kuning sebagai satu tindakan yang mencabar kepimpinannya? Sebab itukah Abdullah berkata beliau “pantang dicabar”?

Lupakah Abdullah bahawa kepimpinan beliau merupakan mandat daripada rakyat? Kalau kepimpinan Abdullah adalah mandat rakyat, mengapakah diketepikan aspirasi rakyat dengan sewenang-wenangnya sehingga Abdullah sendiri boleh disifatkan seolah-olah sebagai mengepalai satu rejim yang tidak menghayati semangat dan prinsip Rukunegara?

Di hujung Tanduk?

Tafsiran cetek seperti di atas mungkin dangkal dan meleset. Tetapi, bagaimanakah kalau tafsiran cetek ini merupakan hakikat dan keberanan yang sebenar-benarnya? Kalau hakikatnya begitu, salahkah kalau majoriti rakyat Malaysia mengatakan bahawa Abdullah telah melakukan kesilapan yang strategik dan besar bila pentadbiran beliau enggan memberikan permit polis kepada gelombang kuning?

Akibat kesilapan tersebut, diri Abdullah kini dikatakan berada dalam keadaan yang rapuh, umpama telur di hujung tanduk, bagai layang-layang terputus tali. Akibat kesilapan berkenaan juga, insafkah Abdullah bahawa mulai 11 November, 2007, sudah ada satu pihak tertentu yang dikatakan mula melancarkan kempen ke seluruh negara untuk menjatuhkan beliau sebagai Presiden UMNO Malaysia? Siapakah pihak berkenaan, kenalah Abdullah sendiri menyiasatnya secara rapi dan segera.

Pada waktu yang sama, tidakkah Abdullah mahu memastikan siapakah sebenarnya di sebalik gelombang kuning? Tidakkah Abdullah juga mengesyakki akan wujudnya pihak yang lebih besar daripada kelompok yang telah melancarkan kempen “ganyang Abdullah” mulai 11 November, 2007?

Jadi Bubur

Oleh itu, ambillah iktibar daripada peristiwa gelombang kuning. Abdullah wajar mengakui kesilapan strategik dan besar yang dilakukan oleh pentadbirannya dalam menangani gelombang kuning. Abdullah wajar mula membuat perhitungan yang waras terhadap nasib dan masa depannya. Abdullah juga wajar insaf bahawa kesilapan yang berlaku telah menyebabkan nasi menjadi bubur.

Dalam situasi seperti ini, Abdullah hanya mempunyai dua pilihan. Satu, mengundurkan diri secara terhormat dan menyerahkan nasi yang jadi bubur ini kepada pentadbiran yang baru. Opsyen ini pastinya sukar dan membabitkan banyak perkiraan itu dan ini.

Tetapi, kalau Abdullah memilih alternatif kedua, iaitu terus berpaut kepada status quo yang ada, saya jangka beliau mungkin menghadapi satu gelombang rakyat yang bertambah hebat kerana gelombang ini memang sedang meledak di seluruh negara untuk menentang dan menyingkirkan Abdullah pada bila-bila masa.

Siapakah Mereka?

Tetapi, Abdullah juga pastinya akan terus tertanya-tanya: siapakah sebenarnya wajah-wajah di sebalik gelombang kuning? Dan kini, siapakah pula wajah-wajah di sebalik gelombang rakyat?

Saya pasti gelombang kuning yang sudah bertukar menjadi gelombang rakyat bukan didayausahakan oleh mana-mana personaliti di sekeliling Abdullah, baik di dalam pentadbirannya mahupun di dalam Pekembar. Kalau ada pun pihak-pihak di sekeliling Abdullah yang telah melancarkan gerakan “mengganyang” beliau, pihak itu mungkin hanya cuba menunggang kuasa ledakan gelombang rakyat setelah menganalisa impak gelombang kuning baru-baru ini.

Kesimpulan di atas hanya timbul daripada analisa rambang saya sendiri. Saya mungkin betul dan saya mungkin salah. Tapi, fikir-fikirkanlah secara tenang dan waras. Fikir-fikirkanlah apakah backlash atau kesan libasan selanjutnya yang akan muncul daripada kesilapan strategik Abdullah mengenepikan prinsip dan semangat Rukunegara sebelum membuat keputusan muktamad bahawa gelombang kuning tidak wajar diberikan permit polis. Fikir-fikirkanlah sedalam-dalamnya dan semasak-masaknya!

7 comments:

A Voice said...

Buat apa yang patut untuk menyelamatkan alif, ba, ta ... alif.

Kawan ambil ilham Dato ajak ramai-ramai pejuang dan pencinta UMNO glombang merah hari jumaat. Tak kisah apa, asalkan merah hari jumaat.

Kalau mereka tak ambil endah kuning, mereka kena ambil endah gelombang merah kerana ia boleh menggugatkan mereka.

Akar umbi UMNO pakai baju, atau apa2 merah hari Jumaat. Biaq mereka sedar akar umbi tak puas hti dengan pucuk pimpinan.

Hari Jumaat bukan Sabtu.

Sila baca: APA KATA PAKAI MERAH HARI JUMAAT?

Mohd Mohtar Adnan said...

Semasa krisis perlembagaan yag mengurangkan kuasa DYMM dahulu Dato' di mana?

Kamalkamal said...

Datuk,

Sedikit sebanyak mungkin ada percanggahan pendapat antara kerajaan dengan raja-raja. Cuma kita tidak tahu sejauh mana percanggahan tersebut. Kalau seorang Menteri Besar (MB) sesebuah negeri tidak disenangi oleh Rajanya... MB tersebut mesti ditukarkan atau dibersarakan.

Belum pernah lagi terjadi dalam sejarah Malaysia, seorang Perdana Menteri (PM) tidak disenangi oleh Yang DiPertuan Agong (YDA)...PM dibersarakan. Mungkin saya salah, kalau silap tolong perbetulkan. Kalau adapun krisis Perlembagaan yang mengurangkan kuasa raja-raja di zaman Tun Dr. Mahatir (TDM). Tapi rakyat tidak bangun menentang TDM melalui perhimpunan seperti yang berlaku seperti Gelombang Kuning. Sebaliknya TDM yang turun padang bertemu rakyat menerangkan situasi berkenaan.

Kesimpulannya, rakyat kurang senang dengan PM sekarang, maka mereka sanggup turun dari seluruh pelusuk Semenanjung walaupun terpaksa menghadapi pelbagai rintangan sebelum sampai ke destinasinya. Yang pasti rakyat telah membuktikan bahawa mereka sanggup bersusah payah untuk bersama Gelombang Kuning. "Signal" ini sebenarnya cukup jelas. Terpulanglah kepada kepimpinan untuk mentafsirkannya dan seterusnya mengambil langkah yang proaktif atau sebaliknya.

Unknown said...

Zam Maidin jahil rukunegara. Pak Lah jahil rukunegara. Menantu dia 100 kali jahil rukunegara. Malang sungguh kita rakyat Malaysia!!!!!!

Pasal dia orang tu semua jahil, rakyat nak mengadu hal dengan Raja pun dikatakan perhimpunan haram. Inilah Malaysia hari ini. Penuh dengan pemimpin jahil. Jadi rakyat yang tak jahil kenalah hidupkan gelombang rakyat untuk hapuskan semua kejahilan!!!!!!

Unknown said...

Datuk cedok penjelasan mengenai kesetiaan kepada Raja dan Negara dari lamanweb rasmi Kementerian Penerangan. Tapi, kenapa Menteri Penerangan tak faham maksud perkara tu?

Datuk kata, kesetiaan kepada Raja dan negara patut diambilkira bersama-sama faktor lain sewaktu nak keluarkan permit polis untuk gelombang kuning. Kenapa Abdullah tak fikirkan masalah ini? Dia tak faham Rukunegara ke?

Saya rasa, biarkan dia orang tu melalut. Yang penting, gelombang rakyat mesti kita teruskan sampai berjaya. Daulat Tuanku!

limado said...

Abdullah memang patut dah undur diri dulu-dulu lagi. Lagi lama dia jadi PM, makin banyak masalah menimpa rakyat. Lagi lama dia perintah, lagi naik kepala menantunya meratah harta kita semua. Baru-baru ni pun dah ada sok-sek yang anak perempuan Jeane Abdullah pun dah dapat lesen telekomunikasi. Apa nak jadi ni? Cepat-cepatlah undurkan diri wahai Abdullah. Kalau nak duduk lagi, nanti teruk you kena langgar gelombang rakyat. Kalau dah kena langgar gelombang rakyat pun tak undur lagi, tunggulah kedatangan tsunami rakyat......

kudakepang said...

Terima kasih anda semua.

Voice: Kuning, Merah, Biru dan Hijau adalah warna-warna pelangi. Warna-warna ini akan hilang jadi gelap gelita bila tiba gerhana total. Lantas, pilihlah mana satu idaman kalbu.

Stefaniman: Salam perkenalan. Soalan anda tidak relevan dengan kebangkitan gelombang kuning dan ledakan gelombang rakyat. Harap maaf.

Kamal: Saya setuju dengan anda. Terpulanglah kepada Abdullah untuk mentafsirkan gelombang kuning dan gelombang rakyat secara ikhlas dan jujur.

Cyber: Kita ikutilah tindak-tanduk Zam dan Abdullah selanjutnya. Yang jelas, mengapakah pentadbiran Abdullah memandang enteng kemaraan gelombang kuning dan gelombang rakyat? Akibatnya, siapakah yang sedang terperangkap di dalam dilema?

Putera Bentan: Benar kata anda. Kita biarkan mereka terus melalut dan melatah. Yang penting, gelombang rakyat mesti terus menghimpun tenaga yang cukup perkasa.

Limado: Rasa-rasanya tak payahlah bangkit tsunami siasah di Malaysia. Cukuplah dengan gelombang rakyat. Kalau Abdullah pintar baca suasana, pastinya dia akan bertindak dengan bijaksana.

Salam takzim.