Wednesday, February 20, 2008

Terkini Tengahari:
Pemimpin-pemimpin Parti Komponen BN Temui Abdullah

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Dengan hanya tinggal empat hari sebelum hari penamaan calon bagi pilihan raya umum 8 Mac ini, pemimpin-pemimpin Barisan Nasional terus mengunjungi Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi mengemas kini senarai calon BN.

Sejak semalam beberapa Menteri Besar menemui Abdullah yang juga Pengerusi BN di Pejabat Perdana Menteri di sini.

Hari ini, beberapa buah kereta antaranya yang membawa Presiden MCA Datuk Seri Ong Ka Ting dilihat masuk ke kawasan bangunan kerajaan itu.

Lagi: http://web6.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=314965


Polemik Pasal Bloggers Di Ambang PRU 12

Di bawah ini adalah kenyataan terbaru dari seorang menteri dalam kerajaan sementara Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai bloggers tempatan. Menteri berkenaan (sahabat saya) menyarankan bloggers Malaysia “menjalani kursus budi bahasa.”

Saya tidak akan komen kenyataan di bawah ini. Sebaliknya, saya paparkan beberapa posting saya terdahului mengenai blogging dan bloggers buat renungan bersama. Juga dipaparkan di sini adalah sebahagian epilog buku yang sedang saya tulis – Bloggers Kawan Atau Lawan – sebagai input penggeloraan minda.

Berikut adalah antara sedutan kenyataan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, yang saya petik daripada Bernama 19 Februari 2008, berjodol Hentam Kerajaan Dalam Blog Bukan Budaya Malaysia.

Penulis blog perlu menilai diri sendiri sebelum mahu menghidupkan budaya mencemuh orang lain di negara ini.

Walaupun budaya menghentam kerajaan dalam laman blog adalah antara cabaran yang dihadapi oleh Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi pilihan raya umum, ia bukanlah budaya BN dalam berkempen dan memenangi pilihan raya.

Kursus Budi Bahasa?

Mereka (bloggers) menghentam Perdana Menteri, menteri dan anggota pentadbiran tetapi yang mereka tak hentam adalah diri mereka sendiri.

Tindakan penulis blog kini semakin menjadi-jadi dan pada pandangan saya mudah, musim (pilihan raya) ini adalah musim mencemuh orang, membunuh orang dengan kata-kata tetapi itu bukan budaya kami (BN). Saya sarankan mereka menjalani kursus budi bahasa kerana budi bahasa itu budaya kita.

Pada 11 Oktober 2006, saya kirimkan posting berjodol Ingatan Google Tentang Pengaruh Blog yang saya petik daripada Reuters seperti berikut:

Ketua Eksekutif Google Inc., Eric Schmidt, menyifatkan ahli-ahli politik masih belum menghargai impak dunia secara talian yang akan turut memberi kesan kepada keputusan pilihan raya.

Katanya, ramai ahli politik sebenarnya tidak memahami fenomena Internet dengan baik disebabkan masalah usia mereka.

Pada 14 September 2006 saya kirimkan tulisan ke blog ini berjodol Demokrasi Maya Mula Berwibawa. Antaranya saya meminta Datuk Seri Lik Kheng Yaik membaca The Electronic Republic oleh Lawrence Grossman, Cyberethics oleh James Lynch, dan Vote.Com oleh Dick Morris, kerana ketiga-tiga buku ini memberikan perspektif jelas mengenai alam siber dan generasi internet.

Maklumat Alternatif

Ketiga-kita buku ini juga boleh membantu kita memahami bagaimana masyarakat celek internet di serata dunia, termasuk di Malaysia, sedang dan akan mencorakkan demokrasi di hari muka menerusi ICT.

Pada 3 Mei 2007, saya poskan menerusi blog ini berita Bernama yang berjodol NUJ Mahu Kerajaan Iktiraf Blog Sebagai Media Baru. Berita itu memetik Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ), Norila Mohd Daud, sebagai berkata bahawa fenomena mendapatkan maklumat menerusi internet memberi kesan yang amat besar dan ini menjadi sumber maklumat alternatif isu-isu semasa yang menyentuh masyarakat di negara ini.

Akhir sekali, inilah tulisan mutakhir saya yang saya akan muatkan sebagai prolog dalam buku baru saya mengenai bloggers. Antaranya saya katakan seperti berikut:

Saya menerima satu ugutan maut, lebih lima kali diura-urakan untuk di tahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA, pernah digosipkan secara meluas untuk dipecat daripada UMNO, dibenci dan dimusuhi oleh segelintir manusia di sekeliling Perdana Menteri, digolongkan dalam kalangan 30 bloggers Malaysia yang berada dalam senarai hitam pihak-pihak tertentu, dan, paling hina sekali, pernah dikartunkan wajah saya dengan bertubuhkan seekor anjing!

Semua ini terjadi kerana manusia yang memandang serong terhadap bloggers sosio-politik, termasuk Abdullah dan segelintir menterinya, gagal memahami pentingnya blogs sebagai wadah komunikasi rakyat yang paling berkesan pada ketika ini. Sikap prejudis dan kebencian yang amat tebal ini menyebabkan individu-individu tersebut jadi buta hati. Mereka enggan menerima hakikat bahawa bloggers sosio-politik di Malaysia adalah golongan yang mempunyai kepakaran di bidang profesional. Mereka juga gagal untuk mengakui bahawa majoriti bloggers sosio-politik di negara ini juga adalah kumpulan wartawan yang berpengalaman dan ada nama.

Paling Rugi

Kegagalan Abdullah dan segelintir menterinya memahami hakikat blogs dan blogging serta signifikennya cabang komunikasi ini di seluruh dunia, juga menyebabkan mereka jadi bahan ketawa kepada banyak pihak. Lebih serius lagi, kegagalan ini menyebabkan mereka tidak menggunakan blogs sebagai satu daripada media penting dalam soal-soal negara dan kenegaraan.

Dalam konteks parti politik, sikap negatif dan tindakan konfrontasi Abdullah serta segelintir menterinya terhadap bloggers sosio-politik, menyebabkan UMNO khususnya, jadi pihak yang paling rugi dan paling ketinggalan dalam memanfaatkan blogs sebagai satu cara mengukuhkan parti, baik dari segi proses memenangi jiwa dan sokongan generasi muda, mahu pun dalam konteks melicinkan pengurusan politik hingga ke akar umbi.

Sebagai seorang ahli UMNO, saya amat sedih dengan hakikat ini. Bagaimanapun, saya sengaja tidak akan menghurai serta memperincikan dari aspek manakah UMNO kerugian dan dari aspek mana pula UMNO jadi ketinggalan. Cukup sekadar saya nyatakan di sini, apalah yang hendak diharapkan daripada UMNO kalau Ketua Penerangan UMNO Malaysia yang tidak tahu cara mengakses sesuatu lamanweb, membawa bala tenteranya ke satu balai polis di Kuala Lumpur untuk membuat laporan kononnya ada lamanweb tempatan yang menghina Institusi Raja.

Memang UMNO mempunyai sekumpulan cyber troopers atau bloggers upahan dengan ganjaran yang lumayan. Tetapi, oleh kerana individu yang jadi Ketua Penerangan UMNO Malaysia pun tidak faham apa itu blogs dan apa pula signifiken dan pentingan blogs sebagai wadah komunikasi moden, bloggers upahan ini pun hanya bertindak sebagai kaki pukul siber yang merapu tak tentu hujung dan pangkalnya. Ada juga di kalangan bloggers upahan ini yang kini jadi penabur fitnah par excellence!

Segala-galanya jadi begini kerana inilah hakikatnya UMNO di era Abdullah. Kalau UMNO di era Tun Dr Mahathir Mohamad berjaya mencetuskan gagasan ICT yang dikagumi dunia, UMNO di era Abdullah terbukti gagal hanya untuk menangani fenomena blogs - satu-satunya ledakan baru daripada convergence ICT mutakhir ini. Kalau ada individu yang perlu dipersalahkan dalam hal ini, individu itu adalah Abdullah, Menteri Penerangannya dan lain-lain pihak yang enggan menasihati Abdullah, UMNO dan pemerintah dengan nasihat yang sebenar-benarnya mengenai blogs dan komunikasi rakyat di zaman ICT. – Ruhanie Ahmad

Tuesday, February 19, 2008

Kenyataan “Hamba No. Satu Negara”
Yang Sukar Untuk Dilupakan Rakyat (2)

Sebilangan rakyat jelata Malaysia dilanda dilemma dan keresahan. Mereka dirayu untuk memberikan mandat besar kepada Barisan Nasional (BN) dalam PRU12 seperti dalam pilihan raya umum sejak berpuluh tahun yang lalu.

Untuk membantu rakyat jelata membuat keputusan muktamad, saya siarkan semula di bawah ini beberapa kenyataan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Perdana Menteri mutakhir.

Buat siri kali ini, pastikanlah mengapa dalam Manifesto BN bagi PRU 11, Abdullah berkata: “saya adalah hamba no. 1 negara” dan “bekerja bersama saya dan bukan untuk saya.”

Sesudah itu, renungkanlah apa sudah jadi kepada “hamba no. 1 negara” kita pada hari ini? Mengapakah kini wujud persepsi negatif rakyat jelata terhadap beliau? Mengapakah terlalu banyak foto beliau yang sedang tertidur dalam sesuatu majlis diabadikan oleh jurufoto lokal dan internasional? [Foto-foto beliau yang menghiasi side-bar blog ini adalah antara buktinya.]

Dan, adakah kata-kata “bekerja bersama saya dan bukan untuk saya” yang terkandung dalam Manifesto BN bagi PRU11 cuma satu retorika atau sudah jadi kenyataan? Kalau jadi realiti, siapakah yang bekerja untuk Abdullah? Menantunya? Konco-konco menantunya? Atau, sekadar segelintir manusia di sekelilingnya yang bertindak “sokong bawa rebah”?

Oleh itu, sekali lagi wajar anda insaf bahawa sebelum anda keluar mengundi pada 8 Mac 2008, renung, tuntasi dan rincikanlah kata-kata di atas dengan tenang dan rasional. Kaji sejauh manakah kata-kata itu telah diberikan roh dan jiwa setelah Abdullah menerima mandat besar melalui PRU 11. Akhirnya, pastikan sendiri sama ada kenyatan di atas adalah realiti atau sekadar retorika dan ilusi. – Ruhanie Ahmad

Saturday, February 16, 2008

Tunggul Kayu, Kenyataan Mahathir
Dan Pendapat Terbaru Khir Toyo….

Baru-baru ini Tun Dr Mahathir Mohamad menasihati rakyat Malaysia supaya berfikir dengan penuh hikmah sebelum mengundi BN dalam PRU12. Kata Tun Mahathir, sekiranya calon itu hanya “tunggul kayu” dan rasuah “rakyat tidak sepatutnya mengundi mereka sekalipun mereka mewakili BN.”

Kenyataan Mahathir disifatkan oleh sesetengah pihak sebagai menghasut. Sebenarnya, kenyataan itu berasaskan maklumat yang sampai ke telinga Mahathir. Contohnya adalah seperti di bawah ini:

Voters Go For Candidates Than Party, Says Khir

KUALA SELANGOR, Feb 16 (Bernama) -- Two recent surveys indicate that the majority of voters in the Klang Valley rely on the candidate than the party in picking their elected representative, Selangor Menteri Besar Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo said here.

He said the surveys, conducted by the Selangor Barisan Nasional (BN), showed that between 50 and 70 per cent of the respondents looked at the personality of the candidate rather than the party when making their choice in an election.

The surveys revealed that the mindset of voters had changed, signalling that the Selangor BN must ensure that its candidates in the Klang Valley must be well qualified and acceptable to the voters, he told reporters after launching the Sekinchan Smart Community programme at the Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yoke Kuan in Sekinchan near here last night.

As such, the criteria for choosing election candidates in Selangor included good educational background and good interpersonal skills, he said, adding that good looks would be an added advantage.

Khir said this new trend was also apparent among the Indian voters in the Batu Caves state constituency, adding that Selangor BN had to propose more than one potential candidate from the MIC to gauge their popularity and acceptance.

He also called on voters in Sekinchan to return the BN to the state seat held by the DAP. – BERNAMA [http://www.bernama.com]

Mingguan Wasilah meminta komen saya mengenai kenyataan Mahathir. Jawapan saya kepada akhbar tabloid yang akan terbit esok adalah seperti berikut:

“Tun Mahathir seorang negarawan. Beliau pemikir soal bangsa yang kritis dan futuristik. Beliau banyak membaca. Beliau banyak mengkaji. Kepada saya, apa yang Tun Mahathir suarakan perlu dikaji secara dalam. Kepada saya, kenyataan itu ibarat “pukul anak sindir menantu”.

Bila Tun Mahathir minta rakyat berfikir panjang sebelum mengundi, kenyataan itu mesti dibaca bersama kenyataan beliau yang meminta rakyat menilai sama ada seseorang calon dalam PRU12, waima BN, adalah “tunggul kayu”, rasuah, penipu dan tidak mempunyai akauntabiliti kepada rakyat. Saya katakan ini kenyataan “pukul anak sindir menantu” kerana Tun Mahathir mahu menghantar isyarat kepada kepimpinan mutakhir supaya calon-calon BN dalam PRU12 ini adalah berwibawa, jujur, ikhlas dan mempunyai komitmen tinggi terhadap rakyat dan kesejahteraannya.

Maknanya, Tun Mahathir mahukan Datuk Seri Abndullah Ahmad Badawi “bersihkan” UMNO, kerajaan dan BN menerusi pemilihan calon PRU12. Ini membuktikan Tun Mahathir terus prihatin terhadap keunggulan UMNO, BN dan kerajaan.

Pastinya Tun Mahathir mengeluarkan kenyataan itu setelah beliau membaca sikap pengundi di zaman ini, di mana mereka lebih menentingkan personaliti daripada soal parti.

Sebagai blogger sosio-politik, saya sering menerima komen seperti ini daripada kalangan mereka yang memberikan komen. Saya rasa sikap ini seolah-olah menyeluruh di kalangan generasi muda dan golongan profesional. Mereka mengambil sikap ini kerana mereka jelak dengan desas-desus rasuah, skandal rasuah dan salahguna kuasa dan sebagainya yang berlaku hari ini.

Jadi, kepimpinan BN kenalah sensitif terhadap kenyatan Tun Mahathir ini. Ambillah semangat kenyataan ini secara positif dan proaktif demi UMNO, BN dan kerajaan. Tapi, kalau kenyataan Tun Mahathir ini disifatkan negatif dan ditafsir dari sudut yang serong, ambillah risiko sendiri kalau sesuatu mengejutkan berlaku menerusi PRU12 ini.

Jangan kata tidak ada negarawan yang pernah bersuara tentang hal ini! Lagipun, memang sudah sampai masanya kita ketengahkan golongan yang berwibawa dan berkemampuan memperjuangkan rakyat kerana zaman menuntut kita sentiasa memperkasakan perjuangan kita!
- Ruhanie Ahmad


Kenyataan “Hamba No. Satu Negara”
Yang Sukar Untuk Dilupakan Rakyat (1)

Sebilangan rakyat jelata Malaysia dilanda dilemma dan keresahan. Mereka dirayu untuk memberikan mandat yang besar kepada Barisan Nasional (BN) seperti dalam pilihan raya umum sejak berpuluh tahun yang lalu.

Untuk membantu rakyat jelata membuat keputusan muktamad, saya siarkan semula di bawah ini beberapa kenyataan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Perdana Menteri mutakhir.

Dalam siri permulaan ini saya siarkan sepenuhnya di bawah ini ucapan Abdullah sewaktu membentang Usul Penghargaan Dan Terima Kasih kepada YAB Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad, Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia pada jam 11.00 pagi, 3hb November 2003.

Luangkanlah sedikit masa untuk membaca kenyataan yang agak panjang ini seperti berikut:

Tuan Yang di-Pertua. Izinkan saya bangun membawa usul khas di bawah Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 27(3), dalam persidangan Dewan kali ini yang berbunyi:

Bahawa Dewan ini, menerima hakikat bahawa Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu, yang menjadi Perdana Menteri Malaysia Keempat sejak 16 Julai 1981 dan telah berkhidmat dengan penuh dedikasi, tegas, cekap, berkesan, cemerlang dan bijaksana, telah pun mengosongkan persada kepimpinan negara;

Menghargai serta menyanjung tinggi perjuangan, pengorbanan, budi, jasa dan bakti bekas Perdana Menteri iaitu Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu yang amat murni, abadi serta tidak ternilai besarnya, menerusi pelbagai dasar, strategi dan program yang pragmatik, demi perpaduan dan ketahanan nasional, keselamatan dan kesejahteraan bangsa serta kemakmuran dan kegemilangan negara;

Menyedari serta menginsafi konsistensi, kesungguhan dan keprihatinan Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu di dalam perjuangannya memartabatkan Islam dan umat Islam di seluruh jagat, khususnya di negara Malaysia yang majmuk, menerusi penguasaan dan kecemerlangan ilmu di semua bidang kehidupan mutakhir,

Kebijaksanaan

Menghayati serta menyokong penuh kebijaksanaan Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu di dalam menangani krisis ekonomi negara akibat kedurjanaan pengganas kewangan antarabangsa menerusi strategi ekonomi, kewangan dan pengurusan yang unik, efektif dan diiktiraf dunia;

Mengiktiraf bahawa Wawasan 2020 yang diilhamkan oleh Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu iaitu bekas Perdana Menteri adalah satu doktrin perdana bagi perjuangan membina negara Malaysia yang terus berdaulat dan merdeka serta lebih bersatu padu, sejahtera, aman, makmur, maju, cemerlang, bermaruah dan berwibawa di era globalisasi dan neo-kolonialisme;

Mengakui bahawa perjuangan Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu memajukan ICT menerusi penubuhan Koridor Raya Multimedia serta memajukan bioteknologi menerusi kewujudan Lembah Bio akan memberi manfaat besar kepada bangsa dan negara Malaysia di hari muka;

Mengagumi kewibawaan, kebijaksanaan serta keberanian Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu yang telah memperkasa martabat bangsa dan negara Malaysia serta umat manusia di negara-negara membangun secara amnya, di arena antarabangsa, menerusi inisiatif multilateral sewilayah, di antara benua dan di seluruh jagat, serta menerusi pandangan, gagasan serta pemikirannya yang universal di bidang kemanusiaan, kesaksamaan, kesamarataan, perdagangan sains, teknologi, siasah dan keluhuran undang-undang antarabangsa, khususnya di peringkat ASEAN, APEC, NAM, OIC dan PBB;

Maka, Dewan Rakyat yang bersidang pada hari ini, 3 November 2003, bersamaan 8 Ramadhan 1424H, mengambil ketetapan untuk;

Merakamkan setinggi-tinggi penghargaan serta jutaan terima kasih dari seluruh rakyat jelata Malaysia kepada Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu;

Berikrar akan terus berjuang mempertahankan kedaulatan, kemerdekaan dan kesejahteraan tanah air menerusi seluruh dasar, strategi dan program yang telah diperkenalkan serta diperjuangkan oleh Ahli Parlimen Kubang Pasu;

Pengabdian

Dan terus berusaha ke arah mencemerlangkan rakyat Malaysia di hari muka berasaskan semangat Perlembagaan Persekutuan, prinsip-prinsip Rukun Negara dan juga matlamat utama Wawasan 2020.

Tuan Yang di-Pertua, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad telah mengabadikan diri untuk negara bangsa Malaysia selama tempoh 22 tahun 3 bulan 15 hari sebagai Perdana Menteri bermula pada 16 Julai 1981 sehinggalah pada tarikh beliau bersara pada 31 Oktober lalu.

Sesungguhnya khidmat beliau kepada negara bangsa bermula lebih awal dari itu. Suara bernas lagi tegas beliau mula bergema di Dewan ini sejak dipilih sebagai Ahli Parlimen bagi kawasan Kota Setar Selatan dalam pilihan raya umum yang diadakan pada 25 April 1964.

Perkhidmatan beliau sebagai Ahli Parlimen terputus seketika apabila beliau tewas dalam pilihan raya umum pada Mei 1969. Pada 12 Februari 1973 beliau dilantik sebagai Ahli Dewan Negara. Dalam pilihan raya pada 24 Ogos, 1974 beliau dipilih menjadi Ahli Parlimen bagi kawasan Kubang Pasu. Beliau lalu dilantik oleh Allahyarham Tun Abdul Razak sebagai Menteri Pelajaran.

Apabila Tun Abdul Razak kembali ke rahmatullah, beliau di lantik oleh Allahyarham Dato’ Hussein Onn sebagai Timbalan Perdana Menteri. Di bawah kepimpinan Dato’ Hussein Onn beliau pernah menjawat jawatan Menteri Perdagangan dan Industri.

Dalam tempoh waktu menjawat jawatan Perdana Menteri beliau turut menjadi Menteri kepada Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kewangan.

Ditolak 42 bulan beliau terputus menjadi Ahli Parlimen, Ahli Dewan ini, Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu adalah orang kedua yang paling lama selepas Ahli Parlimen bagi Batu Berendam berkhidmat sebagai Ahli Parlimen.

Dalam tempoh hampir 36 tahun menjadi Ahli Parlimen, selama 29 tahun beliau menjadi anggota Jemaah Menteri dan selama lebih 22 tahun sebagai Perdana Menteri.

Wawasan

Sewaktu menjadi Ahli Parlimen biasa di Dewan Rakyat mahupun di Dewan Negara, beliau telah menyuarakan pendapat secara berani, secara kritis, secara terbuka, secara berterus terang.

Beliau memiliki identiti sebagai Ahli Parlimen yang menyuarakan pandangan bernas dan berpendirian tegas. Beliau sentiasa membawa nada pembaharuan sering kali mendahului jauh ke hadapan dari segi pandangan, pendirian unjuran dan wawasan.

Ketika mengambil tanggungjawab sebagai Perdana Menteri, negara di ambang menyambut ulang tahun kemerdekaan kali yang ke 24. Ketika beliau mengundurkan diri dari jawatan tersebut, Malaysia telah menyambut hari ulang tahun kemerdekaan kali yang ke 46.

Beliau mewarisi dari kepimpinan terdahulu sebagai sebuah negara yang stabil dari segi politik dan makmur dari segi ekonomi, bertapakkan gagasan sebuah negara yang aman lagi makmur, beliau telah melonjakkan pencapaian negara kepada satu tahap kejayaan yang amat membanggakan.

Pembangunan prasarana fizikal dan pembangunan sumber manusia negara berlaku paling pesat dalam tempoh beliau menjadi Perdana Menteri yang lebih penting adalah kejayaan meletakkan negara mendapat pengiktirafan dunia hingga Malaysia dijadikan negara contoh dari segi kestabilan politik, kemakmuran ekonomi, perpaduan kaum dan toleransi agama serta di iktiraf sebagai sebuah negara Islam yang paling progresif.

Melalui kepimpinan beliau, negara kecil bernama Malaysia bangun untuk memainkan peranan besar di forum antarabangsa, Kerjasama Selatan-selatan diberikan nafas baru, ASEAN berjaya diperbesarkan, Persidangan Negara-negara Komanwel, Negara G15, Persidangan Negara-negara Berkecuali dan Persidangan Negara OIC dapat dianjurkan di Malaysia.

Kebanggaan

Hari ini Malaysia menjelma sebagai negara ke lapanbelas terbesar dunia dari segi perdagangan. Malaysia telah menggariskan wawasan jangka panjang menjadi sebuah negara maju dalam tahun 2020. Malaysia berkeupayaan menangkis ancaman krisis kewangan 1997.

Beliau berjaya membina dan menyemaikan keyakinan diri, kebanggaan nasional, nilai, maruah dan semangat kenegaraan, di kalangan warga. Beliau adalah wira bangsa, wira Negara, yang telah mengharumkan nama negara, bangsanya di serata dunia.

Bekas Perdana Menteri pemimpin berwawasan. Lebih penting dari itu, beliau mempunyai kesungguhan memastikan wawasan menjadi realiti.

Beliau merupakan negarawan yang memenuhi aspirasi warganya dan memberikan inspirasi kepada mereka untuk mencapai aspirasi yang diimpikan. Seorang negarawan yang mendahului pemikiran warga sezaman, namun berjaya mencipta masa depan yang penuh realiti. Beliau melakukan transformasi kepada negara dari begitu bergantung kepada sumber pertanian menjadi sebuah negara perindustrian dan maju di kalangan negara membangun.

Bahawa warga dan negara amat menghargai jasa dan khidmat bakti yang telah beliau laksanakan secara amanah, secara bertanggungjawab hingga memungkinkan warga dan bangsa berada di persada kehebatan bertapak di altar kecemerlangan muncul sebagai sebuah negara yang dihormati lagi disegani.

Dewan ini, Tuan Yang di-Pertua, ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas segala jasa dan segala bakti, segala cetusan pemikiran, segala kebernasan pendapat, segala pengorbanan, segala khidmat, segala kesungguhan, segala kegigihan yang telah beliau buktikan.

Sesungguhnya Dewan ini juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Siti Asmah binti Mohd Ali dan seluruh anggota keluarga beliau yang turut sama melakukan pengorbanan besar untuk membolehkan beliau menumpukan tenaga, pemikiran dan masa mengabadikan diri berkhidmat bukan sekadar untuk negara dan warga Malaysia, malah di rantau ini di kalangan negara-negara membangun, di kalangan negara-negara Islam.

Warisan

Kita mendoakan semoga hari-hari persaraan beliau dilimpahkan segala rahmat dan keberkatan. Semoga beliau berada dalam keadaan sihat lagi sejahtera, semoga beliau dan Tun Dr. Siti Asmah serta keluarga dilimpahkan segala kebahagiaan.

Semoga khidmat bakti beliau diterima oleh Allah S.W.T sebagai amal maa’ruf, dianugerahkan ganjaran di dunia dan ganjaran akhirat. Sebesar-besar hadiah persaraan yang dapat warga Malaysia berikan kepada beliau adalah untuk meneruskan wawasan dan impian menjadikan Malaysia sebuah negara maju, makmur, aman dan stabil.

Saya amat bersyukur bahawa bekas Perdana Menteri telah mewariskan satu kejayaan, kejayaan mengekalkan kestabilan politik, kejayaan mengukuhkan perpaduan warga, kejayaan membangunkan ekonomi negara, kejayaan mengisi erti kemerdekaan, atas tapak kejayaan tersebut dengan bimbingan Ilahi dan mengambil pedoman dari kejayaan yang telah dicipta oleh pemimpin-pemimpin terdahulu.

Dengan kerjasama anggota Jemaah Menteri dan dengan sokongan dari setiap lapisan rakyat saya akan berusaha menumpukan fikiran dan tenaga meneruskan usaha membina kejayaan lebih cemerlang, lebih gemilang dan lebih terbilang.

Tuan Yang di-Pertua, izinkan saya memetik hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud bermaksud:

“Jikalau Allah inginkan supaya sesuatu bangsa itu sejahtera maka Tuhan memberikan bangsa itu pemimpin yang baik.”

Kita bersyukur kerana Allah S.W.T telah mengurniakan negara Malaysia dengan barisan kepimpinan yang baik.

Keempat-empat Perdana Menteri terawal Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putera - Al-Marhum, Tun Abdul Razak Hussein - Al-Marhum, Tun Hussein Onn - Al-Marhum dan Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad telah mewariskan kepada kepimpinan terkemudian sebuah negara yang aman, stabil dan makmur.

Terbilang

Pemimpin terkemudian berupaya membina kejayaan lebih cemerlang atas kejayaan yang telah dicipta oleh pemimpin sebelumnya.

Setiap Perdana Menteri telah mencipta kejayaan dalam era kepimpinan masing-masing. Dewan ini wajar memperingati jasa dan bakti setiap Perdana Menteri, mewariskan kepada warga sebuah negara yang stabil lagi makmur.

Semoga Allah S.W.T. mencucuri rahmat ke atas mereka yang telah pergi mendahului kita kembali ke Rahmatullah. Pada petang Jumaat 31 Oktober 2003, bersama 5 Ramadhan 1424 Hijrah, dengan ketentuan Allah S.W.T. saya telah mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia Kelima.

Penentuan tersebut memperkukuhkan betapa kebesaran kuasa Ilahi bahawa manusia sekadar merancang, Allah juga yang menentukan. Ketahuilah Allah S.W.T. adalah berkuasa dan mentakdirkan segala-galanya dalam ayat Al-Quran 68, Surah Al-Qasas, ada sepotong ayat yang maksudnya: “Dan Tuhanmu menciptakan apa yang dirancang berlakunya, dan dialah juga yang memilih sesuatu dari makhluknya untuk sesuatu tugas ataupun keutamaan dan kemuliaannya. Tidaklah layak dan tidaklah berhak bagi sesiapa pun memilih selain dari Allah, maha suci Allah dan maha tinggilah keadaannya dari apa yang mereka sekutukan dengannya.”

Abdullah melafazkan kata-kata di atas di Dewan Rakyat dengan secara ikhlas dan jujur demi agama, bangsa dan negara. Bagaimanapun, sebelum anda keluar mengundi pada 8 Mac 2008, renung, tuntasi dan rincikanlah kata-kata di atas dengan tenang dan rasional. Kaji sejauh manakah kata-kata itu telah diberikan roh dan jiwa setelah Abdullah menerima mandate besar melalui PRU 11. Sesudah itu, pastikan sendiri sama ada kenyatan itu satu realiti atau sekadar retorika dan ilusi semata-mata. – Ruhanie Ahmad
Buku-Buku Mengenai PRU12
Dijual Di Warung Buku Siber

Hindraf
Satu Konspirasi?
ISBN No: 978-983-43835-1-0.

Gelombang Kuning
Gelombang Rakyat
ISBN No: 978-983-43835-2-7

The Toyol Code
ISBN No: 978-983-43835-0-3

segera dapatkannya menerusi http://warung-buku.blogspot.com

Friday, February 15, 2008

Abdullah Mengadap DYMM Sultan Johor:
Bakal MB Baru Seorang Veteran UMNO

[maisuara.blogspot.com]

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini tergesa-gesa terbang ke Johor Bahru untuk mengadap DYMM Sultan Johor, Sultan Iskandar, di Istana Bukit Serena, dipercayai untuk membereskan soal pencalonan bakal MB Johor selepas PRU12. Demikian sumber-sumber ibu pejabat UMNO Malaysia memberitahu Suara tengahari tadi.

Sebelum itu, Abdullah mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi BN dan kemudiannya mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO, di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur.

Sumber-sumber di Johor Bahru pula memberitahu Suara, Abdullah diperkenan mengadap DYMM Sultan Iskandar lebih kurang satu jam mulai 3.30 petang. Kemudiannya beliau terus terbang pulang ke Kuala Lumpur.

Adalah tidak diketahui sama ada MB Johor, Datuk Haji Abdul Ghani Othman, yang tidak menghadiri mesyuarat MT UMNO di Kuala Lumpur, turut terlibat dalam pertemuan berkenaan.

Bernama pula melaporkan Ghani memang tidak turut serta dalam rombongan Abdullah menghadap Sultan Iskandar. Kata laporan itu lagi, ini menguatkan ura-ura bahawa pertemuan itu ada kaitan dengan kedudukan Ghani.

Ketika ini, beberapa nama disebut-sebut sebagai bakal MB Johor selepas PRU12. Ini termasuklah Datuk Seri Khalid Nordin, Exco Kanan Haji Ahmad Zahri Jamil dan Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Tan Sri Mohamad Rahmat.

Sumber-sumber di Johor Bahru bagaimanapun menyatakan, kemungkinan nama-nama di atas diperkenankan menduduki kerusi MB Johor adalah amat tipis. Kata mereka, DYMM lebih lebih cenderung melilih seorang pemimpin veteran UMNO Johor untuk jawatan tersebut.

Siapakah beliau? Warga politik Johor yang masih ingat bagaimana bercelarunya keadaan pertukaran kerusi DUN dan Parlimen di saat-saat akhir dalam PRU11, di mana Khalid Nordin yang dijangka bertanding DUN terpaksa berhijrah ke Parlimen Pasir Gudang, pastinya ingat akan Datuk Ali Hassan, yang kini Speaker DUN Johor. Mungkinkah beliau calon MB yang direstui DYMM Sultan? Kita tunggu dan lihat! - Suara Eksklusif
Rakyat Malaysia Mengundi Pada 8 Mac

PUTRAJAYA, 14 Feb (Bernama) -- Pengundian bagi pilihan raya umum ke-12 ditetapkan pada 8 Mac ini manakala penamaan calon ialah pada 24 Feb, Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) mengumumkan hari ini.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata pilihan raya umum kali ini membabitkan 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di 12 negeri kecuali Sarawak yang telahpun mengadakan pilihan raya negerinya pada 2006.

Seramai 10,922,139 rakyat Malaysia layak mengundi kali ini berdasarkan kepada daftar pemilih yang diwartakan pada 5 Feb lepas, katanya.

http://web6.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=313754

Thursday, February 14, 2008

Terkini:
Pencalonan 24 Februari 2008
Pengundian Sabtu 8 Mac 2008

Ini maklumat terkini yang masih belum disahkan – hari penamaan calon bagi PRU12 dijangka pada Ahad 24 Februari 2008 (12 hari dari tarikh pembubaran parlimen), sementara pembuangan undi pada Sabtu 8 Mac 2008 (14 hari dari hari penamaan calon).

Tempoh ini agak panjang (25 hari dari tarikh pembubaran parlimen hingga ke hari membuang undi) berbanding PRU11. Pastinya ini akan menjadikan PRU12 lebih menarik, mendebarkan dan mencapekkan semua pihak. – Ruhanie Ahmad
Untuk Tempahan Buku

The Toyol Code
ISBN No: 978-983-43835-0-3
RM16.00 (Semenanjung)
RM18.00 (Sabah & Sarawak)
Tambahan RM3.00 untuk tempahan secara pos

Gelombang Kuning Gelombang Rakyat
ISBN No: 978-983-43835-2-7
RM17.00 (Semenanjung)
RM19.00 (Sabah & Sarawak)
Tambahan RM3.00 untuk tempahan secara pos

Hindraf Satu Konspirasi?
ISBN No: 978-983-43835-1-0
RM18.00 (Semenanjung)
RM20.00 (Sabah & Sarawak)
Tambahan RM3.00 untuk tempahan secara pos
Kunjungilah

Warung Buku
destinasi serenti untuk karya ruhanie ahmad

http://warung-buku.blogspot.com/

SUARA
Laman Berita Politik Malaysia

http://maisuara.blogspot.com
Kepimpinan Abdullah Dan PRU12:
Satu Renungan Buat Rakyat Jelata

Ruhanie Ahmad

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan membubarkan parlimen pada 13 Februari 2008 mengikut kuasanya yang termaktub dalam Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan.

Lantas, majoriti rakyat jelata pun terus memfokus perhatian kepada PRU12 yang boleh dijalankan pada bila-bila masa dalam tempoh 60 hari mulai tarikh pembubarannya.

Hanya segelintir sahaja yang mungkin dibelenggu pertanyaan sama ada setelah pembubaran di atas, Agong wajar melantik satu team kerajaan sementara di bawah pimpinan seorang Perdana Menteri yang juga sementara kuasa-kuasanya.

Hakikatnya sedemikian kerana rakyat Malaysia sudah terbiasa dengan amalan convention di mana Perdana Menteri dan kabinetnya yang berkuasa sebelum parlimen dibubarkan diiktiraf sebagai team yang terus bertanggungjawab mengendalikan negara secara sementara setelah parlimen dibubarkan.

Hakikatnya juga begitu kerana convention yang sama memang jadi amalan di majoriti negara-negara komonwel di serata dunia, melainkan di Bangladesh.

Pada waktu yang sama, Perlembagaan Persekutuan juga tidak mempunyai peruntukan khusus dan jelas mengenai kerajaan sementara dan sekatan-sekatan kuasanya.

Kerajaan Sementara

Rakyat Malaysia juga tidak pernah mempertikaikan status kerajaan sementara di waktu parlimen sudah dibuarkan kerana majoritinya selesa dengan karenah serta perilaku pucuk pimpinan kerajaan yang wujud sebelum pembubaran berkenaan.

Dalam ertikata lainnya, sebelum ini memang sebilangan besar rakyat Malaysia tidak pernah berasa kecewa, tidak pernah berasa resah dan tidak pernah melahirkan kebencian mereka secara terbuka terhadap kerajaan sebelum parlimen dibubarkan.

Mereka bersikap begitu kerana mereka tidak pernah berasa tidak selamat, tidak pernah merasakan maruah dan kedaulatan negara seolah-olah digadaikan kepada kuasa asing, tidak pernah menganggap kehidupan mereka amat dihempet dan dihambat oleh kos sara hidup yang seolah-olah di luar kawalan kerajan.

Majoriti rakyat juga tidak pernah beranggapan bahawa Perdana Menteri mereka tidak efektif, tidak pernah diganggu-gugat oleh kemaharajalelaan kroni-kroni pembesar negara ke tahap yang ekstrem, tidak pernah terfikir yang kerajaan diancam sindrom kredibiliti yang parah, tidak pernah dibingungkan dengan seribu satu kedolak-dalikan, pembohongan, penipuan dan kepura-puraan.

Pendek kata, setelah mengambil kira hakikat bahawa “manusia hanya merancang, tetapi Allah SWT sahaja yang menentukan segala-galanya,” rakyat jelata sebelum era Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memang tetap yakin bahawa kerajan dan kepimpinan negara boleh terus dimandatkan memimpin kerajaan sementara sewaktu parlimen sudah dibubarkan untuk sesuatu PRU.

Era Mahathir

Hakikat dan realiti seperti di atas terutamanya wujud di era kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri. Biarpun kepimpinan Mahathir pernah berhadapan dengan seribu satu masalah, ribut dan kegawatan, majoriti rakyat tetap yakin dan selesa bila Mahathir mengepalai kerajaan sementara sewaktu sesuatu PRU dijalankan.

Ini kerana Mahathir berwawasan besar, optimis, melonjak serta mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa, memberikan harapan dan inspirasi yang segar ke arah hari muka yang lebih berwibawa, bahagia dan sejahtera. Kepimpinan Mahathir juga tidak dibayangi pelbagai karenah dan perilaku ekstrem oleh segelintir insan rakus, angkuh dan manipulatif di sekelilingnya.

Memang ada segolongan rakyat yang membidas Mahathir secara melulu sehingga tercetus gelaran “mahafiraun” dan sebagainya. Tetapi, negativism sedemikian rupa mudah sahaja dilunturkan oleh rekod Mahathir yang diiktiraf ramai sebagai cemerlang dan membanggakan.

Biarpun begitu, walau terdapat suatu detik dalam pemerintahannya di mana Mahathir hanya menikmati popularity rating sebanyak 80 peratus, Barisan Nasional (BN) terbukti pernah tewas di peringkat negeri. Sampai hari ini pun Kelantan masih kekal dikuasai oleh PAS sejak 1990.

Berasaskan huraian yang mungkin juga digandingi retorika dan nostalgia seperti di atas, sewajarnyalah kepimpinan Abdullah menginsafi hakikat dan realiti terhadap peluang BN dalam PRU12.

Keajaiban Abdullah

Tetapi, kerana PRU12 pun hanya beberapa hari lagi akan diadakan, apakah keajaiban Abdullah untuk menjamin kecemerlangan BN kali ini serupa dengan prestinya dalam PRU11?

Slogan cemerlang, gemilang, terbilang ciptaan Abdullah kini hanya jadi gurauan rakyat. Retorika Abdullah bahawa “saya hamba no. 1 negara” sudah jadi bahan ketawa. Propaganda puitis bahawa Abdullah adalah Mr. Clean yang hanya mencari “Al-Ghazali dan Al-Shafie” kerana beliau pemimpin yang berpedomankan “rahsia kitab suci” dan berpandukan “sunnah nabi,” sudah jadi amat sukar untuk diyakini.

Saya ahli UMNO dan saya juga pendukung BN. Manusia seperti saya menghuraikan soal-soal di atas bukan kerana membenci BN atau mengkhianati UMNO. Saya jadi begini kerana saya bimbang akan sesuatu bencana yang mungkin tiba.

Berapa ramai lagikah agaknya warga siasah yang pessimis seperti saya? Dalam kebimbangan seperti ini mereka juga dilanda dilemma. Di telan mati emak, diluah mati bapak, begitulah ibaratnya.

Dalam situasi sebegini, apakah ubat kepada dilemma tersebut? Bagaimana jika sebilangan besar warga UMNO dan BN memilih untuk menjadi Jebat Derhaka? Apa kesudahannya jika mereka memilih untuk mengubati kekecewaan mereka yang parah secara emosi dan marah?

Lantaran itu, untuk menyelamatkan keadaan sedemikian rupa, bersalahkah dan berdosakah jika majoriti rakyat menggantungkan harapan agama, bangsa dan negara ini buat sementara waktu, ke pundak Agong dan Raja-Raja Melayu untuk mengkoreksikan segala kepincangan, ketempangan dan kekecewan yang wujud mutakhir ini secara total dan komprehensif? DAULAT TUANKU!

Wednesday, February 13, 2008

Pendirian Ruhanie, BN Dan PKR
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-12

Kehadiran saya di satu majlis yang turut dihadiri sahabat saya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Kuala Lumpur, malam tadi, sekali lagi menimbulkan spekulasi kononnya saya akan bertanding di kawasan Parlimen Parit Sulong, Johor, atas tiket PKR dalam PRU12. Lantaran itu, saya dihujani panggilan telefon sepanjang hari ini. Posting saya di blog ini hari juga menerima pelbagai reaksi pro dan kontra.

Oleh kerana parlimen sudah dibubarkan dan hari penamaan calon bagi PRU12 dijangka pada 21 Februari 2008, saya siarkan sepenuhnya di bawah ini satu posting saya di blog puteramaya pada 27 Disember 2007, dengan jodol Ruhanie Tanding PRU 12 Atas Tiket Parti Keadilan?, seperti berikut:

Masyarakat dalam Parlimen Parit Sulong sedang digemparkan dengan ura-ura saya (Datuk Ruhanie Ahmad) akan bertanding dalam PRU12 atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR)

Berita ini menyebabkan seorang Pegawai Polis Cawangan Khas (SB) bahagian politik di Pejabat Polis Daerah Batu Pahat menghubungi saya untuk mendapatkan kepastian yang muktamad.

Ia juga menyebabkann wartawan bebas, Saudara Basrah Ali, menghubungi saya untuk mebdapatkan gambaran sebenarnya.

Jawapan saya kepada kedua-duanya mudah sahaja. Saya katakan kepada mereka: “Saya seorang ahli UMNO sejak 1973. Saya pernah menjadi Ahli Parlimen Parit Sulong atas tiket BN selama tiga penggal mulai 1990. Saya tidak pernah merancang untuk menyertai mana-mana parti pembangkang. Saya akan terus berada di dalam UMNO. Tetapi, saya akan berjuang bersendirian menerusi blogging untuk membantu pihak-pihak loyalis UMNO menegakkan kebenaran dan keadilan serta memulihkan imej, maruah dan martabat UMNO.”

Pendirian saya seperti di atas telah pun saya sampaikan menerusi SMS kepada Ketua UMNO Bahagian Parit Sulong, YB Haji Ahmad Zahri Jamil, beberapa hari yang lalu.

Ahmad Zahri menjawab: “Biasalah. Menjelang pilihan raya macam-macam spekulasi timbul. Selamat berjuang.”

Semoga kenyataan hitam putih ini akan mematikan seluruh spekulasi, desas-desus dan cakap-cakap kedai kopi mengenai diri saya di Parit Sulong ketika ini. – Ruhanie Ahmad [Posted by puteramaya at 8:54 AM, Thursday, December 27, 2007]

Saua harap posting di atas akan menghapuskan segala keraguan dan keghairahan di kalangan kedua-dua belah pihak - BN dan juga BA.

Dengan ini, saya ucapkan selamat berjuang dan selamat majujaya kepada seluruh sahabat saya yang akan bertanding di pihak BN dan BA di Parit Sulong kali ini. Tetapi, oleh kerana senario siasah negara ketika ini kelihatan agak luar biasa, gunakanlah sepenuh kebijaksanaan sewaktu anda melaksanakan kuasa demokrasi sewaktu membuang undi. Salam takzim. – Ruhanie Ahmad
Terbaru:
Penamaan Calon

Sumber-sumber memberitahu blog ini bahawa hari penamaan calon dijangka pada 21 Februari 2008 sementara hari pembuangan undi adalah pada 1 Mac 2008.

Dalam PRU12 ini terdapat lebih 10.9 juta pengundi. – Ruhanie Ahmad
Terbaru:
Parlimen Dibubar

Sumber-sumber memberitahu blog ini bahawa Abdullah telah dipanggil mengadap Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong pada jam 11.00 pagi tadi. - Ruhanie Ahmad
Parlimen Dibubar

Ini berita terkini yang belum disahkan – PARLIMEN DIBUBARKAN HARI INI, kata beberapa sumber kepada blog ini sebentar tadi.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dijangka mengadakan satu sidang akhbar di JPM sebentar lagi.

Apa pun, dalam hal ini Abdullah telah berjaya memperdayakan semua pihak yang berteka-teki mengenai tarikh pembubaran tersebut. – Ruhanie Ahmad
Tiada Pembubaran Parlimen Esok

BANGI, 12 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini berkata tiada pembubaran Parlimen esok bagi memberi ruang kepada pilihan raya umum ke-12.

“Tak adalah, esok tak ada," katanya kepada pemberita selepas melancarkan empat program serentak iaitu Institut Islam Hadhari Universiti Kebangsaan Malaysia, Kursi Syeikh Abdullah Fahim, buku Biografi Tun Abdullah Salleh dan Kompleks Tun Abdullah Salleh di sini.

Ditanya adakah esok mesyuarat kabinet terakhir sebelum parlimen dibubarkan beliau berkata: "Apakah yang membuatkan anda terfikir bahawa ia adalah mesyuarat kabinet yang terakhir,” katanya.

Berita sepenuhnya, sila akses:
http://web6.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=313493

Isu Pembubaran Parlimen
Anwar Ibrahim dan PKR

12 Februari 2008: Hari ini banyak pihak berteka-teki: benarkah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengadap Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong untuk memohon perkenan bagi pembubaran parlimen pada 13 Februari 2008? Benarkah esok, Rabu, merupakan hari Mesyuarat Kabinet yang terakhir bagi kerajaan Abdullah? Betulkah PRU12 akan dijalankan dalam seminggu dua lagi?

Jawapan kepada seluruh teka-teki di atas adalah: Abdullah belum mengadap Agong. Esok bukan Mesyuarat Kabinet terakhir bagi Abdullah. PRU12 belum pasti diadakan dalam tempoh dua minggu dari sekarang.

Mana saya perolehi jawapan di atas? Daripada orang dalam. Siapa mereka? Itu rahsia kerana etika kewartawanan mengizinkan saya melindungi sumber-sumber maklumat saya. Bolehkah info ini dipercayai? Kalau nak percaya, silakan. Kalau tak percaya, apa boleh buat!

Sebagai maklumat tambahan, sumber-sumber saya menyatakan bahawa Mesyuarat Kabinet terakhir bagi Abdullah adalah pada 27 Februari 2008. Pada 26 Februari 2008, beliau dijangka mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO.

Kalau begitu, tidak mungkinkah parlimen akan dibubarkan pada 1 Mac 2008, hari penamaan calon pada 13 Mac 2008 dan pembuangan undi pada 22 Mac 2008? Kesemua tarikh ini mati dengan angka 4. 1 Mac adalah 1+3=4. 13 Mac adalah 1+3=4. 22 Mac adalah 2+2=4.

Saya ramalkan tarikh di atas kerana kata orang, Abdullah sangat menggemari angka 4. Tapi, jika Abdullah bukannya kaki nombor, ini bermakna parlimen mungkin dibubarkan pada atau selepas 27 Februari 2008. Dan, ini juga bermakna bahawa seluruh komuniti politik tanah air akan terus berteka-teki mengenai tarikh PRU12 yang sebenarnya.

Dalam kesibukan komuniti politik berteka-teki seperti di atas, malam ini saya ketemu sahabat dan bos lama saya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama isteri, YB Datin Seri Wan Azizah Ismail, di satu majlis deklamasi puisi anjuran Prihatin Malaysia atau PRIMA, di kediaman Tan Sri Khalid Ibrahim, di Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, kami yang duduk bersebelahan, hanya terluang waktu beberapa minit sahaja untuk bertukar-tukar maklumat siasah. Sebaliknya, Anwar memperli saya kerana kononnya mengambil sikap “atas pagar” dan saya pula mengucapkan “selamat berjuang” kepada beliau yang akan memimpin Barisan Alternatif dalam PRU12.

Dalam pada itu, pengacara majlis memperkenalkan saya sebagai mantan Ahli Parlimen Parit Sulong. Saya pun berkata: “Saya memang mantan AP Parit Sulong. Tetapi, kehadiran saya dalam satu majlis bersama Anwar bukan untuk mengesahkan ura-ura kononnya saya akan bertanding atas tiket PKR bagi parlimen yang sama dalam PRU12.”

Para hadirin yang hampir 200 orang, majoritinya warga PKR, karyawan, cendikiawan dan warga korporat, ketawa berderai mendengar kata-kata tersebut.

Apa pun, sama ada benar atau tidak saya akan bertanding atas tiket PKR, Anwar tetap sahabat yang saya kenali sejak 1969 - murah dengan senyuman, karismatik, berjiwa besar dan masih lagi penuh dengan api perjuangan yang terus membara.

Kepada Anwar, saya sampaikan menerusi blog ini satu mesej daripada seorang sahabat: “BN goyang di lima negeri. BA mungkin boleh sapu BN kalau ketengahkan calon yang secocok.”

Saya tidak tahu sama ada mesej itu benar atau propaganda semata-mata. Bagaimanapun, saya ucapkan selamat berjuang dan selamat maju jaya! – Ruhanie Ahmad

Tuesday, February 12, 2008

Abdullah Nilai Kredibiliti Calon BN
Siapa Menilai Kredibiliti Abdullah?

http://puteramalaysia.blogspot.com
Sokongan Pengundi Melayu
Jangan Diambil For Granted

Lamandau

Dalam posting - Mengimbas Kembali Manifesto BN Dalam PRU11 (3) - saya kemukakan persoalan mengapakah kebelakangan ini timbul anggapan di kalangan pemimpin kita seolah-olah undi orang Melayu kurang penting untuk memenangkan BN dalam PRU12? Saya juga katakan, jika anda kurang faham akan hakikat ini, kajilah sendiri majoriti kenyataan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya kebelakangan ini dan pastikan, tidakkah kenyataan mereka membuatkan orang Melayu, termasuk warga UMNO, berasa dipinggirkan, jengkel dan jauh hati?

Di bawah ini saya siarkan sepenuhnya reaksi seorang Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian. Reaksi beliau seolah-olah membuktikan bahawa keprihatinan hati kecil saya ketika ini adalah benar dan hakiki.

Sebagai seorang ahli UMNO, saya amat optimis BN akan menang dalam PRU 12. Cuma tahap kemenangannya yang menjadi teka-teki semua aktivis UMNO. Saya amat terpanggil untuk berkongsi sentimen orang Melayu dengan Datuk. Rata-rata orang Melayu menganggap pemimpin negara sekarang ini mengambil orang Melayu "for granted". Orang-orang Melayu rasa terpinggir dalam keadaan semasa memandangkan pemimpin hanya sibuk melakukan damage control di kalangan bangsa lain.

Untuk makluman Datuk, orang Melayu rata-rata terguris hati mereka berikutan dengan dakwaan Hindraf. Dakwaan melulu Hindraf betul-betul membuat orang Melayu rasa terhina dan rasa bersalah kerana dituduh sedemikian rupa oleh aktivis Hindraf yang saya amat yakin bersifat chauvanist dan racist.

Orang Melayu rasa kecewa kerana selama ini kaum India tidak pernah memberitahu kita tentang kedaifan mereka. Persoalan yang mungkin timbul di kalangan orang Melayu hari ini ialah: adakah peminggiran benar-benar berlaku ke atas kaum India. Sehingga kini saya belum terbaca dakwaan kaum India itu disertakan dengan statistik tertentu untuk memperkuatkan hujahnya.

Dalam hal yang sama, saya juga gagal untuk membaca hujah-hujah pemimpin kerajaan berserta dengan statistik untuk menafikan dakwaan kaum India. Saya berharap sangat kalau-kalau ada pemimpin Melayu – Menteri-Menteri, KSN, KSU atau ketua jabatan - mengeluarkan statistik untuk menunjukkan kedudukan kaum India sebenarnya. Seterusnya, bagaimana pula kedudukan golongan profesional kaum India jika dibanding dengan populasinya yang kurang lebih 2.2 juta sahaja?

The absence of these explanations thus cause the Malays to ponder. Are we that cruel, heartless or inhumane? Lest, our leaders take immediate remedial actions to give in to the demands of not only the Indian but the Chinese too! What about our (Malay) demands?

Inilah yang merupakan hambatan kepada usaha kita untuk memujuk orang Melayu memberikan 100 peratus sokongan kepada BN. Setakat nak tunjuk harga barang keperluan yang rendah berbanding negara-negara lain, saya ingat pengundi tidak terpedaya.

Kedudukan sekarang, advantagenya adalah milik pembangkang. Banyak isu yang tidak terjawab akan dieksploitasikan seoptimum mungkin oleh pembangkang yang akan membuatkan pemidato BN ketandusan modal dan hanya berusaha untuk membuat rebuttal aje!

Tujuan saya memberi komentar ini adalah untuk mengingatkan pemimpin kita agar waspada terhadap sokongan orang Melayu dan carilah jalan supaya sokongan mereka dianggap lebih relevan oleh kaum sendiri! – Lamandau, 12.27 PM, 12 Februari 2008.

Maka, terserahlah kepada Abdullah dan barisan kepimpinan Melayu untuk menilai luahan hati seperti di atas. Pastikanlah sama ada perasaan seperti ini menyeluruh atau hanya isolated. – Ruhanie Ahmad
Siri Ketiga:
Mengimbas Kembali Manifesto BN Dalam PRU11

Ruhanie Ahmad

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah dapat ilham untuk memohon restu Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen dan mengadakan PRU12. Sama ada permohonan ini akan diperkenankan adalah bergantung kepada kuasa mutlak Agong yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, politik Malaysia kini mula dilanda seribu satu gelora rasa. Pihak yang mengharap untuk dicalonkan makin berdebar-debar. Kalangan yang khuatir digugurkan dari betanding semula jadi semakin gusar. Keadaan ini melanda warga BN dan juga pembangkang.

Pada waktu yang sama, pemimpin serta penyokong BN bimbang akan majoriti kerusi yang akan dimenangi dalam PRU12, pihak pembangkang mencongak keupayaan masing-masing di beberapa negeri tertentu, pengundi atas pagar pula sukar menentukan arah undi mereka secara muktamad.

Dalam PRU11, BN pimpinan Abdullah menang besar berasaskan rekod kecemerlangan Tun Dr Mahathir Mohamad. BN juga menang besar kerana kecemerlangan Mahathir dipakejkan bersama propaganda mengenai diri Abdullah sebagai Mr Clean, insan yang hanya mencari “Al-Ghazali dan Al-Shafie”, pemimpin yang berpedomankan “rahsia kitab suci” dan pemimpin yang berpandukan “sunnah nabi.”

Kotakan Janji

Seluruh realiti dan ilusi di atas telah memukau hati majoriti pengundi dalam PRU11. Lantas, mereka pun yakin bahawa kepimpinan Abdullah juga akan memunculkan Malaysia cemerlang, gemilang, terbilang.

Keyakinan ini juga menjadikan sebilangan besar pengundi berasa bahawa BN dan Abdullah akan mengkotakan sebilangan besar janji-janjinya dalam manifesto PRU11. Antara janji-janji tersebut adalah seperti berikut:

BN mengiktiraf semua golongan, termasuklah generasi muda, wanita dan penduduk luar bandar, sebagai aset negara.

BN menjemput semua kumpulan menyertai proses pembangunan negara. Generasi muda, kaum wanita dan masyarakat luar bandar terutamanya merangkumi sebahagian besar daripada jumlah rakyat. Mereka mestilah diberikan peluang untuk sama-sama memainkan peranan.

BN menjamin satu sistem kerajaan untuk semua rakyat di mana kerajaan yang dipilih haruslah berupaya memelihara segala pandangan dan pendapat rakyat diberi perhatian dalam usaha melaksanakan dasar mesra rakyat.

Punya Suara

Dengan BN, semua rakyat Malaysia mempunyai peranan dan suara. BN memberikan setiap warganegara suara dalam pentadbiran negara.

BN menjamin kepentingan semua rakyat, peka dan bertindak memenuhi harapan dan aspirasi semua kumpulan merentasi umur, jantina,kaum dan agama.

Selepas PRU11, bagaimana? Adakah rakyat “mempunyai peranan dan suara”? Adakah benar BN “memberikan setiap warganegara, suara dalam pentadbiran negara”?

Jika ada, bagaimana timbul persepsi umum bahawa Abdullah dimanipulasikan oleh menantunya serta kroni-kroni menantunya? Jika benar, di mana suara rakyat dalam beberapa isu besar seperti kewujudan WPI, kenaikan harga barang-barang makanan, kenaikan harga petrol dan kenaikan kadar tol?

Jika benar, mengapakah suara-suara kekecewaan rakyat disifatkan sebagai penentangan sehingga Abdullah tergamak mengeluarkan kata-kata “saya pantang dicabar”?

Keresahan

Jika benar, kenapakah Abdullah tidak mengindahkan keluhan, keresahan dan kecaman rakyat terhadap keleluasaan dan kemaharajalelaan menantunya yang kelihatan seolah-olah dialah yang sangat berkuasa di Malaysia?

Hari ini, Abdullah dan jemaah kabinetnya seolah-olah sedang berkempen, walaupun PRU12 entah bila akan dilaksanakan. Hari demi hari berdentam-dentum kenyataan dihebahkan dan pelbagai projek berbillion ringgit diumumkan.

Kalau janji dalam manifesto cemerlang, gemilang, terbilang bagi PRU11 pun sebilangan besarnya masih belum dikotakan, bagaimanakah rakyat boleh menerima janji-janji yang baru?

Dan, mengapakah agaknya dalam tempoh kebelakangan ini kelihatannya seolah-olah undi orang Melayu kurang penting untuk memenangkan BN dalam PRU12?

Jika anda kurang faham akan hakikat ini, kajilah sendiri majoriti kenyataan Abdullah dan Timbalannya kebelakangan ini. Tidakkah kenyataan-kenyataan mereka membuatkan orang Melayu, termasuk warga UMNO, berasa dipinggirkan, jengkel dan jauh hati?

Lantas, apakah agaknya tema manifesto BN bagi PRU12? BN PEMBELA RAKYAT? BN PEJUANG KESEJAHTERAAN? RAKYAT JELATA SUMBER KUASA? Atau hanya satu barisan kata-kata yang mudah - MAAFKAN KAMI?

Monday, February 11, 2008

Kes Penggadaian Tanah Premier UM:
Harapkan Pagar, Pagar Makan Padi?

Apa kata komuniti prihatin Malaysia mengenai perkembangan terbaru membabitkan UM kali ini? Mungkinkah Profesor Diraja Ungku Aziz akan menyifatkan cadangan ini sebagai suatu yang “gila dan kurang ajar.” Mungkinkah Alumni UM akan membantah? Mungkinkah BPR akan segera menyiasat? Mungkinkah Kementerian Pendidikan Tinggi akan membuat siasatan terperinci? Mungkinkah Abdullah akan mengeluarkan arahan supaya penggadaian ini dibatalkan segera? Mungkinkah Abdullah akan membiarkan sahaja perkembangan ini berlaku kerana ia membabitkan kroninnya sendiri? Atau, mungkinkah Abdullah akan merestui kata-kata hikmat: harapkan pagar, pagar makan padi! – Ruhanie Ahmad

Untuk posting sepenuhnya sila akses
Kroni PM "Flip-Flop" Gadai 27 Ekar Tanah UM?

[
bigdogdotcom.wordpress.com]

Kroni PM ‘Flip-Flop’ Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Dato’ Annuar Zaini, telah ‘mengadai’ sebidang 27 ekar tanah premier (bernilai tinggi) dalam kawasan kampus Universiti Malaya (UM), kepada sebuah pemaju hartanah untuk dijadikan kondominium mewah. Sebagai timbal-balas (trade off), Alumni Universiti Malaya akan mendapat balik lima ekar dari tanah itu dan sebuah bangunan rumah kelab bernilai RM 3 juta.

Annuar, yang juga Ahli Lembaga Pengelola Majlis Universiti Malaya (merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Korporat Universiti Malaya) membuat keputusan untuk menerima cadangan syarikat pemaju hartanah itu. Sumber maklumat ini datang dari kakitangan UM sendiri.

Pada kasarnya, sekiranya tanah premium itu dinilai sebagai RM 100.00/ kaki persegi (kerana lokasinya berada di utara kampus, bersempadan dengan kawasan mewah Bukit Damansara dan amat hampir dengan kawasan Bukit Bandaraya/Bukit Pantai, yang harga tanah rata rata melebihi RM 200.00 / kaki persegi), bermakna Universiti Malaya telah ‘melepaskan’ tanah bernilai sekurang kurangnya RM 95.6 juta untuk menerima ‘habuan’ sebuah rumah kelab bernilai RM 3 juta sahaja. Sekiranya nilai tanah itu bernilai RM 150.00 / kaki persegi, maka ianya dengan mudah bernilai RM 143.7 juta.

Annuar juga merupakan Pengerusi Bernama dan penulis ucapan PM ‘Flip-Flop’ Abdullah. Sebagai usaha membetulkan imej yang ‘dicalari’, beliau telah menemu-ramah PM ‘Flip-Flop’ Abdullah pada sebuah rancangan khas TV 3 yang disiarkan 7 Ogos 2006, sebagai respons awal kepada kritikan kiritikan terbuka mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai beberapa isu. Antara yang menjadi ‘mercu tanda’ temu ramah ini ialah apabila PM ‘Flip-Flop’ mengatakan Kerajaan tidak terlibat memberi kontrak kepada Scomi (yang dikuasai Dato’ Kamaluddin Abdullah) dan menantu beliau (Khairy Jamaluddin) tidak terlibat langsung dalam apa apa proses keputusan Kerajaan.

Annuar juga ialah seorang ahli lembaga pengarah Malaysia Airlines. Beliau, PM ‘Flip-Flop’ Abdullah dan mantan Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam, yang baru baru ini ‘menjawab’ bagi pihak PM ‘Flip-Flop’ Abdullah segala kritikan terbaru mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad dalam satu forum anjuran Alumni UM, adalah antara alumnus UM ini.

Untuk membaca posting sepenuhnya sila akses:

Sunday, February 10, 2008

Pastikan Pindaan Enakmen Rizab Melayu
Tak Jejas Anak Sendiri Mati Kebuluran!

Enakmen Rizab Melayu (ERM) adalah undang-undang tanah yang strategik. Ia “menyekat tanah kerajaan di dalam kawasan Rizab Melayu daripada dilupuskan dengan apa cara jua pun kepada bukan Melayu” dan “menyekat tanah pegangan Melayu atau tanah Rizab Melayu daripada dibuat apa-apa urusniaga persendirian di antara Melayu dan bukan Melayu.” Kedua-dua objektif ini memastikan seluruh tanah milik Melayu di bawah ERM berkekalan dikuasai oleh orang Melayu sepanjang zaman.

Bagaimanapun, banyak pihak berpendapat objektif-objektif di atas menyukarkan Tanah Rizab Melayu TRM untuk dibangunkan secara komersil. Takrif Melayu dalam ERM pula berbeza dari negeri ke negeri. Ada pendapat mengatakan takrif itu mengatasi tafsiran Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kata mereka: “walaupun tafsiran Melayu didalam Perkara 160 Fasal 2 Perlembagaan Persekutuan kelihatan semacam mengatasi tafsiran Melayu di dalam tiap-tiap ERM, namun kerana tafsiran Melayu di dalam ERM dibuat mengikut peruntukan Perkara 89 Fasal 6 Perlembagaan Persekutuan, maka tafsiran Melayu di dalam ERM mengatasi tafsiran Melayu di bawah Perkara 160 Fasal 2 Perlembagaan Persekutuan. Melayu bagi maksud Perkara 160 Fasal 2 memberi penekanan kepada adat istiadat, manakala di bawah Perkara 89 Fasal 6 seperti yang diberikan pada tiap-tiap ERM memberi tekanan kepada keturunan.”

Seluruh perincian mengenai ERM boleh diperolehi daripada link berikut:
www.instun.gov.my/sehari%20selembar%20benang/ENAKMEN%20RIZAB%20MELAYU10.pdf

Pihak kerajaan telah melaksanakan beberapa mesyuarat penggeloraan minda dan menubuhkan beberapa pasukan kerja untuk mengatasi masalah-masalah di atas menerusi cadangan meminda ERM.

Pada 2002, kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet berkenaan Pembangunan Tanah Rizab Melayu. Laporan jawatankuasa ini telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri. Lantas dibentuklah Jawatankuasa Teknikal Penyediaan Cadanagan Pindaan ERM yang merumuskan dasar dan strategi pembanguna TRM. Antaranya adalah seperti berikut:

Membenarkan bank dan institusi yang dilesenkan di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (Akta 372) atau Akta Bank Islam 1983 (Akta 276) untuk menerima gadaian TRM.

Membenarkan Perbadanan yang dibenarkan oleh Pihak Berkuasa Negeri (PBN), melalui pemberitahuan di dalam warta, dan Perbadanan ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang Persekutuan atau Negeri untuk menerima gadaian TRM.

Pendek kata, dalam usaha membangunkan TRM, jawatankuasa penyediaan pindaan undang-undang ERM sentiasa bertunjangkan kepada prinsip “ke arah memperluaskan ruang bagi usaha-usaha membangun dan meningkatkan nilai komersial TRM dengan cara membolehkannya dibangunkan bersama penglibatan orang Bukan Melayu, tanpa menjejaskan pemilikan tanah-tanah tersebut di kalangan orang-orang Melayu.”

Perincian dasar dan strategi ini boleh diakses menerusi link berikut: www.instun.gov.my/Kertas%20Seminar/Pembgnan%20tanah%20Rizab.doc

Oleh itu, bila Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid, dipetik oleh Utusan Malaysia 8 Februari 2008, sebagai berkata bahawa ERM akan dipinda untuk “membolehkan tanah rizab Melayu di seluruh negara dipajak termasuk kepada bukan Melayu dengan tempoh maksimum 60 tahun supaya ia dapat dimajukan,” kita pastikanlah pindaan itu membawa manfaat lebih besar kepada Melayu.

Kenyataan terbaru Azmi sepenuhnya boleh diakses di sini: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0209&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_03.htm

Mengikut perangkaan 2002, di Kuala Lumpur terdapat 1182.61 hekter TRM - Kampung Bharu 101.02 hekter, Datuk Keramat 87.58 hekter, Segambut 293.97 hekter, Kampung Sungai Penchala 291.65 hekter, Gombak 320.61 hekter dan Selayang 87.78 hekter.

Lantaran itu, kepimpinan masyarakat, parti politik dan NGO Melayu di seluruh negara, khususnya di kawasan seperti di atas, wajar prihatin terhadap pindaan yang akan dilakukan. Manalah tau kalau-kalau status syarikat Melayu yang akan membangunkan kawasan TRM suatu ketika kelak adalah syarikat atas kertas, di mana realitinya, syarikat itu adalah milik asing, terutama sekali dari selatan yang dipercayai sedang “mengaruk” di Kuala Lumpur dengan bantuan sesuatu kelompok Melayu tertentu!

Dan, adalah lebih afdal jika Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar serta pelbagai agensi kerajaan berkaitan dengan pentadbiran tanah memberikan taklimat yang telus, jelas dan ikhlas kepada seluruh kepimpinan Melayu mengenai strategi dan matlamat pindaan yang mahu dilaksanakan ke atas TRM.

Langkah pro-aktif seperti ini pasti akan mengelakkan sebarang kemungkinan negatif di mana pindaan ke atas ERM ini akan menyebabkan dagang lalu ditanakkan, kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kebuluran! – Ruhanie Ahmad
Kerajaan Sementara:
Dr Aziz Bari Sanggah Rais Yatim Dan Shad Faruqi

Tarmizi Mohd Jam
[
http://sanggahtoksago.blogspot.com]

Setelah meneliti tulisan Datuk Ruhanie Ahmad bertajuk “Realiti Kerajaan Sementara Sesudah Parlimen Bubar” yang disiarkan dalam blognya kuda-kepang.blogspot.com pada 7hb. Februari lalu, saya terus menghubungi Profesor Dr Abdul Aziz Bari untuk mendapat penjelasan tentang isu-isu berhubung dengan kerajaan sementara, pembubaran parlimen dan banyak lagi, yang saya kira ia patut diketahui oleh rakyat.

Pensyarah Undang-Undang di UIAM itu agak kecewa kerana katanya apa yang disiarkan dalam akhbar perdana tidak begitu tepat dan cuba mengesahkan apa sahaja yang dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional.

Dr. Abdul Aziz telah lama memperkatakan malah telah menerbitkan buku tentang isu-isu yang kini menjadi perbahasan hangat.

Persoalan tentang kuasa pembubaran dewan oleh Agong telah disentuh oleh Dr. Abdul Aziz dalam kolumnya di Mingguan Eksklusif sewaktu era reformasi pada 1999. Ia kemudian diterbitkan oleh IKD sebagai salah satu bab dalam sebuah buku bertajuk Politik Perlembagaan pada 2006.

Buku ini turut memuatkan persoalan kerajaan sementara. Dr. Abdul Aziz telah menghuraikan konsep kerajaan sementara dan sebuah lagi buku beliau yang diterbitkan pada tahun 2002 ialah Cabinet Principles yang turut menyentuh isu ini.

Apapun Dr. Abdul Aziz berasa positif tentang keprihatinan yang ditunjukkan oleh Datuk Ruhanie Ahmad dalam blognya kuda-kepang.blogspot.com itu.

“Bagaimana rencana dalam Utusan Malaysia yang memetik pandangan Dr Rais Yatim itu semacam meremehkan isu kerajaan sementara tetapi Rais tidak bertegas.

“Walaupun Rais betul dalam menyebut bahawa Perlembagaan tidak menyatakan konsep kerajaan sementara! Apa yang menjadi masalah, Rais tidak begitu tegas dan semacam cuba mengharuskan tindakan kerajaan mengumum atau meluluskan projek sewaktu berkempen,” komen Pensyarah Undang-Undang UIAM itu.

Untuk posting sepenuhnya sila akses: http://sanggahtoksago.blogspot.com/2008/02/kerajaan-sementara-dr-aziz-bari-sanggah.html

Saturday, February 09, 2008

BLOG KUDAKEPANG
TERIMA 1 JUTA HITS

Hari ini blog kudakepang berusia satu tahun enam bulan. Tetap pada jam 5.30 petang, pada hari ini juga, 9 Februari 2008, hits blog kudakepang mencecah satu juta. Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh pengunjung yang terus mengikuti cetusan minda saya menerusi blog ini.

Sempena pencapaian hits yang ke satu juta ini saya sedang menyiapkan sebuah buku berjodol Bloggers: Kawan Atau Lawan. Buku ini mengisahkan pengalaman saya sebagai blogger sosio-politik, penemuan saya mengenai pentingnya blog sebagai saluran komunikasi rakyat yang murah lagi berkesan, masa depan blogs kepada propaganda dan sosialisasi politik masyarakat, dan gagasan minda saya tentang cara-cara meningkatkan akauntabiliti bloggers dalam konteks demokrasi siber di Malaysia.

Insya Allah, buku ini akan saya terbitkan dalam tempoh dua bulan dari sekarang. Sementara itu, terimalah saya dengan segala kekurangan saya selama ini. Dan, berilah teguran membina jika difikirkan wajar. Terima kasih. – Ruhanie Ahmad

Thursday, February 07, 2008

Realiti Kerajaan Sementara
Sesudah Parlimen Dibubar

Kesedaran undang-undang di kalangan rakyat Malaysia kian meningkat dan semakin canggih. Lantaran itulah ura-ura PRU12 dalam tempoh terdekat mencetuskan pelbagai persoalan membabitkan peruntukan perlembagaan dan kuasa-kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Persoalan yang paling dimusykili ramai adalah mengenai kuasa-kuasa Agong berkaitan pembubaran parlimen dan pembentukan kerajaan sementara dalam tempoh sesuatu PRU dijalankan.

Contohnya, Kim Quek, menerusi artikelnya dalam Malaysia Today, 28 Januari 2008, bertanyakan soalan Can the Agong withhold consent to the dissolution of Parliament?. Atau, bolehkah Agong tidak memberikan perkenannya kepada pembubaran Parlimen?

Kim Quek menghuraikan soal ini menerusi penghujjahannya terhadap Perkara 40 Perlembagaan Malaysia. Katanya, selama ini memang wujud popular belief atau keyakinan ramai bahawa Perdana Menteri mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan tarikh pembubaran parlimen. Tetapi, katanya lagi, persoalan ini tidak mempunyai constitutional basis atau tidak mempunyai asas-asasnya dalam Perlembagaan Malaysia.

Penghujjahan Kim Quek selanjutnya boleh diakses menerusi http://www.malaysia-today.net/2008/content/view/1929/46/.

Bekas pensyarah saya, Shad Saleem Faruqi, pula menulis dalam akhbar the Star bahawa “convention rules during dissolution”.

Antaranya, Shad Faruqi, pensyarah di UiTM, menulis bahawa sebaik sahaja Parlimen dibubarkan, kita akan berhadpan dengan satu isu Perlembagaan yang menarik. Isunya adalah: what is the legal basis for a government that dissolves parliament to remain in power during the run-up to the election?, atau apakah asas undang-undang yang membolehkan kerajaan yang membubarkan parlimen untuk terus berkuasa sewaktu proses pilihan raya dijalankan?

Seterusnya, beliau menghuraikan bahawa Perlembagaan Malaysia tidak memaktubkan panduan yang jelas mengenai sama ada sebaik sahaja Parlimen dibuarkan, Agong diperlukan melantik Perdana Menteri sementara dan anggota kabinetnya dengan secara rasmi.

Untuk membaca penghujjahan Shad Faruqi selanjutnya sila akses: http://www.malaysia-today.net/2008/content/view/2409/1/

Wartawan Utusan Malaysia, Zulkifli Jalil, pula menulis pada 7 Februari 2008, mengenai kuasa kerajaan sementara. Katanya, pada tahun 1970-an, sifat dan elemen kerajaan sementara telah dipersoalkan oleh satu pihak di mahkamah.

Ketika itu, tindakan Tengku Razaleigh Hamzah selaku seorang menteri, dipersoalkan kerana mengumumkan satu bantuan untuk rakyat semasa Parlimen telah dibubarkan untuk menghadapi PRU. Mahkamah memutuskan, kerajaan sementara berhak memberikan bantuan kepada rakyat semasa tempoh Parlimen bubar asalkan ia tidak melibatkan kepentingan peribadi calon pilihan raya.

“Dengan ini juga bermakna semua menteri dan timbalan menteri semasa tempoh kerajaan sementara masih boleh menggunakan peruntukan untuk rakyat.”

Zulkifli memetik pendapat Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang disifatkan sebagai pakar Perlembagaan Persekutuan. Menurut Rais, kerajaan sementara tetap berfungsi dan mentadbir negara mengikut lunas-lunas Perlembagaan. Namun begitu, ini bukan bermakna kerajaan sebelumnya tidak berkuasa. Cuma, yang lupus hanyalah amalan di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

Rais juga dipetik sebagai berkata bahawa satu lagi aspek kerajaan sementara ialah ia membawa pengertian mengambil alih kerja-kerja pentadbiran. Ia selaras dengan amalan berkerajaan dunia dan Komanwel semasa Parlimen dibubarkan sehingga Dewan Parlimen baru diwujudkan semula, maka kerajaan sementara itu hendaklah secara berhati-hati menjalankan tugasnya.

Rais bagaimanapun mengakui, Perlembagaan Malaysia tidak memperuntukkan kewujudan sifat kerajaan sementara. Ini kerana ia merupakan satu Konvensyen Berparlimen yang telah menjadi amalan dan adat negara-negara di dunia.

Untuk membaca artikel Zulkifli sepenuhnya sila akses: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0207&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm

Demikianlah aspek-aspek Perlembagaan Malaysia mengenai kuasa-kuasa Agong dalam konteks pembubaran parlimen dan kerajaan sementara. Ini bermakna, kewujudan kerajaan sementara, termasuk soal siapakah yang wajar atau layak menjadi Perdana Menteri dan jemaah menterinya dalam tempoh PRU dijalankan, sebenarnya ditentukan oleh kuasa mutlak Agong.

Rakyat jelata wajar menginsafi serta memahami hakikat ini kerana demikianlah realitinya yang termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia! - Ruhanie Ahmad

Wednesday, February 06, 2008

Sekiranya BA Menang PRU Ke-12…

Sebuah kerajaan bersih, adil dan sama rata akan dibentuk sekiranya pakatan pembangkang yang dipanggil Barisan Alternatif (BA) yang terdiri daripada PAS, DAP, dan PKR memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 kelak. “Bersih” yang dimaksudkan oleh mereka adalah sebuah kerajaan yang tiada penyelewengan, penipuan, korupsi, kronisma dan nepotisma. “Adil” pula bermaksud semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama akan diberikan peluang dan hak yang adil dalam segala aspek baik dari segi politik, ekonomi, sosial dan perundangan. Manakala “Sama rata” pula membawa maksud bahawa layanan dan pembahagian yang sama banyak akan diperolehi oleh semua kaum dan agama dalam segala aspek yang disebutkan tadi. Inilah sebuah manifestasi ideal yang dilontarkan kepada rakyat Malaysia dalam usaha mereka untuk memenangi pilihan raya kali ini.

Berlandaskan kepada janji ini, maka pemimpin-pemimpin BA bersama penyokong-penyokongnya mencanangkan bukan sahaja dalam negara malah kepada dunia luar bahawa kepimpinan dan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah sebuah kerajaan perkauman yang mentadbir negara secara tidak ‘bersih’, tidak adil dan jauh sekali mengamalkan konsep sama rata.

Sekiranya BA memenangi PRU kali ini, kepimpinan dan kerajaan BA terlebih dahulu akan ‘membersihkan’ kementerian, jabatan dan agensi kerajaan yang dikatakan korup termasuk yang mengamalkan kronisma serta nepotisma. Mereka akan melantik pegawai-pegawai baru yang ‘bersih atau dipercayai bersih’ oleh mereka. Maka ramailah pegawai-pegwai yang akan dibuang kerja atau setidak-tidaknya dimasukkan ke dalam ‘peti sejuk’. Mahu tidak mahu, perjalanan pentadbiran kementerian, jabatan dan agensi akan tergendala buat seketika. Maklumlah, untuk mencari pegawai yang mereka katakan itu akan mengambil masa yang agak panjang.

Katakanlah perkara di atas agak mustahil untuk dilaksanakan kerana ia akan membuang masa dan merencatkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat. Maka jalan pintas adalah dengan menggantikan beberapa pegawai atasan yang dirasakan perlu dengan meletakkan kenalan mereka atau pegawai yang sealiran dengan kehendak politik mereka. Sekiranya ini berlaku, ia juga tidak akan dapat menyelesaikan persoalan tersebut secara total dan berkesan. Rombakan dan penstrukturan organisasi secara keseluruhan perlu dilakukan dari atas hinggalah ke bawah sepertimana yang acapkali mereka war-warkan dalam setiap kempen dan ceramah mereka.

Untuk membaca posting sepenuhnya, sila akses:
http://sahabatmantap.wordpress.com/2008/01/28/sekiranya-ba-menang-pru-ke-12/

Tuesday, February 05, 2008

Surat Dr. Mahathir Kepada Pemimpin Dunia

Norliza Abd. Rahman

“SUARA Malaysia moden, buku yang dipenuhi komentar-komentar dalaman dan tersirat... satu pandangan yang menarik, menerusi kata-kata antara pemimpin terkemuka dunia yang telah berjaya mengubah sejarah, sebuah buku yang patut diraikan,” - Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah.

Demikian ulasan yang tertera pada kulit buku bertajuk Mahathir’s Selected Letters to World Leaders yang baru dilancarkan minggu lalu.

Buku tersebut menghimpunkan 71 pucuk surat dan surat balasan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada pemimpin dan bekas pemimpin terkemuka dunia.

Pemimpin terkemuka yang amat dikenali dengan sikap suka berterus terang dan kritis itu telah dilancarkan di Yayasan Kepimpinan Perdana dengan dihadiri ratusan tetamu termasuk para diplomat asing.

Surat-surat itu belum pernah didedahkan kepada umum dan mendapat kelulusan kerajaan Malaysia untuk disiarkan.

Antara pemimpin dunia yang menerima dan membalas surat Dr. Mahathir ialah Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush; bekas Presiden AS, Bill Clinton; bekas Presiden Perancis Jaques Chiraq; bekas Perdana Menteri Britain – Margaret Thatcher serta Tony Blair dan Putera Charles.

Buku setebal 239 muka surat berharga RM49.90 tersebut disusun dan disunting oleh bekas Duta Khas Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Tan Sri Abdullah Ahmad.

Abdullah merupakan penulis dan lulusan Cambridge dan Harvard serta pengasas Institut Kajian Politik dan Ekonomi.

Uniknya, surat tersebut ditulis oleh Dr. Mahathir mengikut stailnya tersendiri, amat berterus terang dan sarat dengan mesej - bertepatan dengan sikapnya sebagai seorang tokoh yang dikagumi di persada antarabangsa.

Untuk artikel sepenuhnya sila akses:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_07.htm

Sunday, February 03, 2008

Siri Kedua:
Mengimbas Kembali Manifesto BN Dalam PRU11

Ruhanie Ahmad

Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi merangkul kemenangan besar dalam PRU11. Abdullah memukau rakyat jelata ketika itu dengan manifesto dan slogan Cemerlang Gemilang Terbilang. Beliau juga menambat hati rakyat dengan retorika “saya adalah hamba no. 1 negara” dan “bekerja bersama saya dan bukan untuk saya”.

Abdullah juga memaparkan imejnya yang bersih dengan menggunakan puisinya - Ku Cari Damai Abadi - sebagai penutup kepada manifesto tersebut. Sepatah kata Firdaus Abdullah dalam Utusan Malaysia 26 Jun 2003, puisi itu adalah manifestasi “wajah dalaman” Abdullah, pegangan hidupnya dan falsafah perjuangannya.

Dalam manifesto itu juga dipaparkan beberapa gambar Abdullah bersama Tun Dr Mahathir Mohamad dalam suasana yang mesra dan ceria. Untuk mengimbas kembali kandungan manifesto berkenaan dan menyaksikan cara pengolahan gambarnya, sila akses: http://202.56.84.170/webserver/umnoonline/manifesto/BM%20version%20-%20full.pdf

Antara azam, tekad, ikrar dan janji BN yang termaktub dalam Manifesto PRU11 adalah seperti berikut:

Mempertahankan kemerdekaan serta kedaulatan negara: Dalam konteks ini, rakyat wajar mengambil kesimpulan sama ada kewujudan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) selaras dengan ikrar mempertahankan kemerdekaan serta kedaulatan negara. Kalau usaha ini memang secocok dengan cita-cita tersebut, mengapakah wujud persepsi di kalangan rakyat jelata bahawa WPI adalah menjejaskan kedaulatan negara?

Meningkatkan martabat bangsa dan negara, agar sentiasa dihormati dan dicontohi, di pentas dunia; dan memastikan Malaysia tetap berpengaruh di peringkat antarabangsa, khususnya selaku pengerusi OIC dan NAM: Bagaimanakah hakikatnya pada hari ini? Benarkah sebagai yang didakwa oleh banyak pihak bahawa imej Malaysia di arena internasional kini kian merosot?

Suara Rakyat

Komited kepada demokrasi berparlimen, memberikan setiap warganegara suara dalam pentadbiran negara: Di manakah suara rakyat jelata dalam konteks beberapa isu kontroversi seperti penyambungan khidmat pengerusi SPR, skandal ECM Libra dan lain-lainnya?

Memenuhi tuntutan rakyat dengan memerangi rasuah. Meneruskan usaha-usaha untuk membudayakan semangat menolak rasuah: Perkara ini telah saya ulas dalam siri satu. Secara umumnya, mengapakah kini wujud persepsi bahawa kadar rasuah kian berleluasa?

Membangunkan negara secara menyeluruh dan seimbang berlandaskan pentadbiran, pengurusan, perkhidmatan malah pemikiran ‘kelas pertama’: Apakah di antara contoh “pemikiran kelas pertama” yang dicetuskan oleh era Abdullah?

Prihatin terhadap keperluan rakyat dan akan merujuk kepada pandangan rakyat dalam isu-isu penting, serta mendapatkan pandangan rakyat secara aktif bagi isu-isu penting: Adakah tekad dan azam seperti ini wujud dalam usaha kerajaan menangani kenaikan harga barang-barang makanan termasuk minyak masak, kenaikan harga petroleum, kenaikan kadar tol, kewujudan WPI, tuntutan mewujudkan sistem pilihan raya yang telus dan sebagainya?

Membanteras jenayah dan gejala sosial: Mengapakah kini sindiket jenayah asing dilaporkan berleluasa di Malaysia? Mengapakah terjadi kes penculikan kanak-kanak yang kian meningkat? Mengapakah kadar jenayah dikatakan bertambah serius?

Meningkatkan tahap keselamatan peribadi setiap individu: Hujjah di atas berkait rapat dengan ikrar dan janji ini. Soalnya, apakah pendapat rakyat jelata mengenai hal ini?

Agenda Tegas

Maka, terserahlah kepada rakyat jelata untuk membuat kesimpulannya. Abdullah memang telah mengatakan dalam Manifesto PRU11 bahawa “agenda yang saya tetapkan adalah sesuatu yang saya mahu lihat dilaksanakan dan bukan sesuatu yang hanya sedap didengar dalam ucapan untuk mendapat tepukan.”

Secara hitam putih juga Abdullah menegaskan dalam manifesto berkenaan bahawa ”saya tegas dengan janji saya bahawa agenda saya bukan sekadar janji manis atau janji pilihan raya. Kerajaan yang saya pimpin dan parti yang saya ketuai ini sudah membuktikan bahawa kami bekerja untuk rakyat dan bukan untuk mendapat undi.”

Berasaskan seluruh azam, cita-cita, tekad, ikrar dan janji seperti di atas, Abdullah dan BN wajar membuat reality check sebelum merangka manifesto bagi PRU12. Ini kerana situasi mutakhir agak mustahil untuk BN mengulangi kecemerlangan prestasi PRU11.

Berasaskan seluruh azam, cita-cita, tekad, ikrar dan janji yang sama juga adalah menjadi hak rakyat Malaysia untuk membuat penilian secara bijaksana dalam PRU12.

Tindakan dan keputusan yang diambil pula wajarlah berlandaskan pertimbangan yang bijaksana, menyeluruh, luas, rasional dan berhemah. Ini kerana pada ketika ini memang ramai di antara kita yang sedang dicengkam dilema ditelan mati emak, diluah mati bapak. Lantas, pilihan yang sebaik-baiknya adalah berlandaskan kepentingan agama, bangsa dan negara.

Friday, February 01, 2008

Rating Kecekapan Malaysia:
Kenapa Bohongi Rakyat Jelata?

Pada Isnin, 28 Januari 2008, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menghebahkan ke seluruh negara bahawa rating “kecekapan kerajaan Malaysia semakin meningkat dan kini diletakkan sebagai yang keenam terbaik di dunia.”

Hakikat ini amat membanggakan. Rakyat jelata wajar ucapkan syabas kerana inilah buktinya Abdullah seorang Perdana Menteri Malaysia yang cekap dan efektif, bukannya lemah dan tidak berkesan.

PUTRAJAYA 28 Jan. – Kecekapan kerajaan Malaysia semakin meningkat dan kini diletakkan sebagai yang keenam terbaik di dunia, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri yang memetik laporan World Competitiveness Year Book yang dikeluarkan oleh IMD, sebuah institusi pengajian perniagaan terkemuka berpejabat di Switzerland, berkata, dari segi kecekapan Malaysia yang tergolong dalam kategori negara mempunyai lebih 20 juta penduduk mengatasi United Kingdom, Jerman, Thailand, Sepanyol, Jepun, Rusia dan Perancis.

‘‘Di atas kita ialah China, Kanada, Amerika Syarikat, India dan Taiwan.

‘‘Bukan kita hendak bohong rakyat kerana kalau bohong, tidak lamalah kerajaan yang sedia ada ini lingkup. Jadi, tak usah fikir pasal gagal... kita tiada pilihan melainkan berjaya, berjaya, berjaya,” katanya.

Untuk laporan sepenuhna, sila akses di sini: http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0129&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm

Sehari sesudah itu saya terbaca dalam KLPos kenyataan mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendakwa Abdullah “memutarbelitkan fakta mengenai tahap daya saing Malaysia” seperti di atas.

Kata Anwar, “penelitian menyeluruh kepada data yang dikeluarkan mendapati bahawa fakta tersebut adalah betul, tetapi hanya di kalangan kategori negara-negara yang mempunyai populasi 20 juta penduduk ke atas.”

Untuk laporan sepenuhnya, sila akses di sini:
http://klpos.com/klpos/index.php?option=com_content&task=view&id=2257&Itemid=49

Pada 30 Januari 2008, saya menerima sepucuk e-mail mengenai isu yan dihebahkan oleh Abdullah. E-mail itu diberi jodol Rating Yang Digah Oleh Pak Lah Tu Betul Ke Palsu?

Pengirim e-mail tersebut berkata: “I naik jelak tengok Pak Lah dok gah rating Malaysia dalam TV dan newspapares yesterday. Betul ke fakta yang dia dok hebah tu? Dari mana dia dapat maklumat tu? Dari petikan paper yang saya tengok ialah dari "The World Competitiveness Scoreboard". So saya pergilah ke laman tersebut dan semak. Dari mana dia dapat maklumat, kata kita duduk ranking no. 6. Sebab yang saya tengok dari laman tersebut kita duduk no. 23, jatuh 1 tangga dari no. 22 tahun 2006 dengan score point 74.09."

Pengirim berkenan melampirkan dua alamat laman web untuk kita siasat sendiri sama ada kenyataan Abdullah itu benar atau palsu. Alamatnya adalah seperti berikut:

http://www.imd.ch/research/publications/wcy/announcing.cfm
http://www.imd.ch/research/publications/wcy/upload/scoreboard.pdf

Hari ini saya pula terbaca dalam Malaysia Today satu e-mail yang mebawa jodol Pembohongan Pak Lah Dalam World Competitiveness 6th Rank.

Pengirim e-mail itu menegaskan: “setelah saya belek dalam internet, saya telah jumpa satu bukti paling besar! Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berbohong kepada rakyat mengenai kedudukan Malaysia dalam penilaian tahap kecekapan (competitiveness) negara yang didakwa berkedudukan nombor enam di peringkat dunia.”

Kata pengirim e-mail itu lagi: “Perdana Menteri semasa berucap didalam satu program bersama semua Kakitangan Kerajaan beberapa hari yang lalu memetik laporan World Competitiveness Year Book yang dikeluarkan oleh IMD, sebuah institusi pengajian perniagaan terkemuka berpejabat di Switzerland, berkata, dari segi kecekapan Malaysia yang tergolong dalam kategori negara mempunyai lebih 20 juta penduduk menduduki tangga ke 6 mengatasi United Kingdom, Jerman, Thailand, Sepanyol, Jepun, Rusia dan Perancis. "Di atas kita ialah China, Kanada, Amerika Syarikat, India dan Taiwan. "Bukan kita hendak bohong rakyat kerana kalau bohong, tidak lamalah kerajaan yang sedia ada ini lingkup. Jadi, tak usah fikir pasal gagal... kita tiada pilihan melainkan berjaya, berjaya, berjaya," katanya.”

Ee-mail ini boleh dibaca dengan mengakses alamat berikut: http://www.malaysia-today.net/2008/content/view/2157/46/. Pengirimnya juga membekalkan alamat satu laman web seperti berikut:

http://www.imd.ch/research/publications/wcy/announcing.cfm?bhcp=1 dan menegaskan Malaysia “sebenarnya kita menduduki tangga ke 23.”

Beliau meminta kita klik alamat di atas untk mengetahui kedudukan sebenar Malaysia. Katanya lagi: “bandingkan dengan kenyataan PM, kemudian anda akan tahu pembohongannya.”

Saya pun klik alamat di atas dan mendapati bahawa apa didakwa oleh Anwar, pengirim e-mail kepada saya dan juga pengirim e-mail kepada Malaysia Today adalah benar – ranking Malaysia pada 2007 adalah yang ke-23, merosot daripada tangga ke-22 pada tahun 2006.

Jadi, sapa yang memberikan maklumat palsu? Abdullah? Kenapa? Atau, mungkinkah penasihat Abdullah yang cuba membohongi rakyat jelata dengan anggapan bahawa rakyat mutakhir ini mudah untuk diperbodoh-bodohkan? – Ruhanie Ahmad
Tambahan: Isu di atas juga diulas oleh Blog Ketua Perusuh dengan jodol Bila Abdullah Ahmad Badawi Mula Menipu! Untuk posting sepenuhnya sila akses:

http://ketuaperusuh.wordpress.com/2008/01/29/bila-abdullah-ahmad-badawi-mula-menipu/
Abdullah PM Satu Penggal?

Di bawah ini saya paparkan tiga posting daripada Agendadaily, Kuda Ranggi dan Bernama untuk membantu anda buat kesimpulan sama ada benar-benar wujud “gentlemen’s agreement” antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai tempoh jawatan Perdana Menteri. – Ruhanie Ahmad

Agendadaily:
Tiada Perjanjian Jadi PM Satu Penggal – Pak Lah

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi nampak relaks tetapi tegas ketika para wartawan petang Khamis bertanya mengenainya.

"Tiada gentlemen's agreement ” ,”katanya tentang dakwaan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad Rabu bahawa ada perjanjian lisan antara mereka berdua yang menetapkan beliau berkhidmat sebagai Perdana Menteri hanya untuk satu penggal sebelum menyerahkan jawatan itu kepada Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

untuk posting sepenuhnya sila akses: http://www.agendadaily.com/cms/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_1b63fcca-cabec5bb-154de0b0-d08a5a1a

Kuda Ranggi:
Antara Mahathir Dan Pak Lah - Siapa Pembohong?

Apalah nak jadi dengan pemimpin kita? Seorang kata ada perjanjian atau persefahaman manakala seorang lagi kata tidak ada. Yang pasti salah seorang daripada mereka adalah pembohong. Munafik! Ma'af cakap, itulah hakikatnya.

Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa ada perjanjian (mungkin persefahaman, agak saya) antara beliau dengan Perdana Menteri Abdullah Ahmad (Badawi) sebelum Mahathir menyerahkan tampuk kepimpinan kerajaan kepada Pak Lah.

Persefahaman itu ialah bagi Pak Lah menjadi Perdana Menteri untuk tempoh sepenggal sahaja dan selepas itu diambil alih oleh timbalannya Najib Tun Razak. Itu yang didakwa oleh Mahathir.

Untuk posting sepenuhnya sila akses: http://www.kudaranggi.blogspot.com/

Bernama:
Najib Tak Tahu Mengenai Perjanjian Dr Mahathir-Abdullah

PUTRAJAYA, 31 Jan (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau tidak tahu mengenai sebarang perjanjian antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dikatakan menghendaki Abdullah berkhidmat sebagai Perdana Menteri hanya untuk satu penggal sebelum menyerahkan jawatan itu kepada Najib.

"Saya tak tahu pasal itu. Saya komited dalam sokongan saya kepada Perdana Menteri dan taat kepada beliau," kata Timbalan Perdana Menteri di sini hari Khamis.

Untuk posting sepenuhnya sila akses:
http://web6.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=311439