Friday, November 30, 2007


Pakai T-Shirt Kuning
Pun Kena Soal Polis…

Di bawah ini saya paparkan terjemahan komen Elle mengenai warna kuning.

Apa? Dah mula dah.. Jumaat lalu, jiran saya sekeluarga dari Kajang pergi ke Kuala Lumpur. Mereka di tahan di satu sekatan jalanraya. Anak lelaki mereka yang berumur sembilan tahun, saya ulangi anak lelaki mereka berumur sembilan tahun telah disoal oleh polis. Kenapa?? Semata-mata kerana budak tu pakai t-shirt warna kuning. Kenapa? Adakah ini bermakna tidak ada sapa boleh pakai warna kuning?? Atau adakah warna kuning salah di sini undang-undang??? – Elle. Jumaat, 30 November 2007, 8:23 malam.
Ceriakan Suasana Dengan Warna Kuning
Hingga Abdullah Dan Menantunya Pening

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pastinya pening kepala dengan seluruh perkembangan terakhir di negara ini sekarang. Menantunya juga seolah-olah jadi bisu dan membatu.

Kita tak payah pedulikan mereka berdua. Apa yang berlaku kebelakangan ini berpunca daripada kedua-duanya. Pentadbiran Abdullah lemah dan pincang. Keterlanjuran tindakan menantunya amat mencabar kesabaran banyak pihak.

Biarkan mereka berdua, biarkan. Apa yang kita perlu lakukan sebagai rakyat jelata yang cintakan keadilan dan rindukan pembelaan ialah teruskan kempen kita berpakaian kuning setiap Sabtu sebagai tanda kita tak senang hati terhadap apa yang sedang berlaku.

Jom. Esok Sabtu. Esok kita ceriakan suasana hidup kita dengan warna kuning. Kita kuningkan negara ini sehingga Abdullah dan menantunya menjadi sejarah.
Desakan Abdullah Berundur
Bukan Suara Main-Mainan

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi didesak mengosongkan seluruh jawatannya dalam kerajaan dan Pekembar (UMNO) dengan serta-merta demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

Demikianlah semangat baru yang meledak di kalangan sesetengah rakyat jelata Malaysia setelah gelombang kuning melanda Kuala Lumpur pada 10 November 2007.

Desakan-desakan seperti ini disuarakan dengan lantang, tegas, nyata dan berbuka, menerusi postings dan komen-komen dalam blogs dan portal berita tempatan. Ia juga dipolemikkan di sesi-sesi sembang di kedai-kedai kopi di desa dan kota.

Desak-desakan ini bukan main-mainan. Kalau Abdullah mahukan bukti-buktinya, silakan layari sendiri sebilangan besar blogs dan portal berita maya kebelakangan ini. Bacalah postings mereka dan bacalah juga komen-komen yang ditinggalkan oleh para pengunjung ke blog-blog terbabit.

Abdullah juga boleh memperolehi bukti-bukti mengenai perkembangan ini menerusi maklum balas yang telah dikutip oleh seluruh jentera perisikan kerajaan di seluruh negara.

Oleh itu, Abdullah sewajarnya melapangkan sepenuh masanya pada ketika ini untuk membaca seluruh bukti-bukti ini untuk memastikan kebenaran dan realitinya.

Pada waktu yang sama, Abdullah mestilah bebaskan dirinya daripada cengkaman penyakit atau sindrom penafian yang sedang beliau hidapi.

Kalau beliau tidak berbuat demikian, pasti Abdullah tidak akan dapat berpijak di alam nyata. Sebaliknya, beliau akan terus berada di awang-awangan dengan keyakinan bahawa rakyat jelata terus menyanjung beliau dan kerajaannya pula dalam keadaan stabil.

Fenomena terbaru ini membuktikan bahawa kekecewaan rakyat jelata terhadap Abdullah dan kelemahan serta kepincangannya memang sudah sampai ke peringkat paling maksima. Ia juga membuktikan bahawa kemarahan rakyat jelata terhadap menantu Abdullah juga sudah sampai ke tahap yang sama.

Lantaran itu, beranikah menantunya menasihati Abdullah supaya berundur dengan serta-merta? Atau, mungkinkah kalau Abdullah tidak berundur, maka keputusan itu bukannya keputusan Adullah, sebaliknya keputusan menantunya yang disifatkan oleh banyak pihak, sebagai sedang mabuk kuasa? – Ruhanie Ahmad

Saturday, November 24, 2007

Friday, November 23, 2007

Abdullah, Berhentilah Serta-Merta

Politica
[
http://politica-net.blogspot.com]

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memang wajar mengundurkan diri dari persada kuasa Malaysia. Kosongkan jawatan Perdana Menteri dengan segera. Kosongkan lain-lain jawatan dalam kerajaan dengan serta-merta. Lepas itu panggil perhimpunan agung luar biasa UMNO untuk letak jawatan presiden parti.

Lintah darat serupa Khairy Jamaluddin dan Patrick Lim yang selama ini bagaikan sokong membawa rebah, jangan sekali-kali masuk campur. Ini urusan Abdullah dengan rakyat. Ini masalah Abdullah dengan negara.

Rakyat makin derita berketuakan Abdullah. Negara tambah kucar-kacir dipimpin Abdullah. Demi rakyat dan demi negara, Abdullah kenalah korbankan jawatannya yang sedang jadi sumber rezeki seluruh lintah darat di sekelilingnya.

Abdullah tak payah lengah-lengah, tak payah tangguh-tangguh. Balik dari sidang CHOGM kali ini, kemaslah pejabat dan tinggalkanlah Seri Perdana. Lepas itu, ucapkanlah selamat tinggal kepada persada kuasa buat selama-lamanya.

Setelah tak ada apa-apa jawatan, baca semula puisi Ku Cari Damai Abadi. Abdullah kena tanya diri sendiri, benarkah selama jadi Perdana Menteri, yang dicarinya bukan harta bertimbun-timbun untuk hidup kaya; bukan wang berjuta-juta untuk hidup bergaya; dan bukan kawan-kawan untuk hidup berfoya-foya?

Sesudah itu, Abdullah jawablah pertanyaan suara hati sendiri, benarkah yang dicari selama jadi Perdana Menteri, adalah Al-Ghazali dan Al-Shafie? Benarkah yang mahu dibongkar oleh Abdullah selama ini adalah kitab suci untuk cari pedoman dan sunnah nabi untuk jadi panduan semoga dapat menikmati hidup yang damai abadi?

Untuk pengetahuan Abdullah, apa yang saya suarakan di sini hanya tuntutan saya sendiri kepada pemimpin yang sudah tidak lagi saya yakini. Tapi, janganlah Abdullah terkejut kalau tuntutan saya ini sama dengan tuntutan gelombang rakyat di seluruh negara.

Friday, November 23, 2007

Hi Esok Hari Sabtu
Esok Hari Kuning…

Esok hari Sabtu. Esok hari kuning. Kita kuningkan suasana negara kita biar jadi lebih ceria. Kita kuning suasana hidup kita biar jadi lebih bahagia.

Kita teruskan kempen kita berpakaian kuning setiap Sabtu untuk membuktikan solidariti sesama kita adalah kukuh dan jitu. Kita kenakan warna kuning setiap Sabtu kerana gelombang kuning yang bermula pada Sabtu 10 November, 2007, adalah gelombang hati dan jiwa kita semua yang kini meledak menjadi gelombang rakyat di seluruh negara.

Kita kuningkan tekad kita bersama supaya ledakan gelombang rakyat akan terus menggelora ke arah matlamat mencari perubahan suasana kehidupan yang lebih saksama di hari muka.

Thursday, November 22, 2007

Gelombang Merah
Setiap Hari Jumaat

[dipetik daripada http://anotherbrickinwall.blogspot.com]

Secara ikhlas, kali ini penulis bersikap agak tawar untuk bersungguh-sungguh berhujah dan mempertahankan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Apa ertinya mempertahankan kerajaan kepimpinan Abdullah kalau tindakan itu akan diputarbelit sebagai memberi legitimasi kepada kepimpinan dan tindak tanduk Abdullah?

Mempertahankan Abdullah bermakna bersekongkol dengan kelemahan dan kecuaian kepimpinannya; amalan korupsi yang berleluasa; ketidak-cekapan pentadbirannya; polisi-polisinya yang menjejaskan kedaulatan negara, negeri dan masa depan orang Melayu; amalan pembohongan yang lazim oleh pucuk kepimpinan; dan meleluasakan amalan nepotisma. Penulis tidak rela melakukan perbuatan sedemikian.

Di bawah kepimpinan Abdullah, negara, bangsa, agama dan UMNO sudah tidak disegani dan dihormati. Kelalaian, sikap ambil mudah dan penyerahan penuh perjalanan parti dan kerajaan pada kaum kerabat dan sahabat-sahabat tertentu telah meniriskan perjuangan asal parti untuk memertabatkan agama, bangsa dan negara. - A Voice

Untuk membaca posting sepenuhnya sila klik

http://puteramalaysia.blogspot.com
Gelombang Kuning
Dukung Rukunegara

Ruhanie Ahmad

Pentadbiran Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengkategorikan gelombang kuning sebagai perhimpunan “haram”. Propaganda RTM menggambarkan gelombang kuning sebagai aktiviti politik jalanan yang liar, ganas dan boleh menjejaskan ketenteraman awan serta mengancam keselamatan negara.

Begitulah seriusnya prasangka kedua-dua pihak terhadap gelombang kuning walaupun sebelum rombongan berjalan kaki secara aman menuju ke Istana Negara itu menjadi realiti pada 10 November, 2007. Mereka mempunyai prasangka sedemikian rupa nampaknya kerana mereka jahil terhadap semangat dan prinsip-prinsip Rukunegara, yang diperkenalkan oleh Tun Razak Hussein sejak 31 Ogos, 1970, dan sentiasa menjadi rukun masyarakat rakyat jelata Malaysia hingga ke hari ini.

Rukun Masyarakat

Rukunegara menggariskan prinsip-prinsip ketuhanan, kesetiaan, perpaduan, pembangunan, kemajuan dan modenisasi. Seluruh prinsip ini jadi asas utama dalam pembentukan jatidiri rakyat jelata yang patriotik. Seluruh prinsip ini juga diterapkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad ke dalam Wawasan 2020 - doktrin nasional yang diharapkan dapat memacu rakyat dan negara Malaysia ke arah kemajuan sepenuhnya 13 tahun akan datang. Sebab itulah Wawasan 2020 disifatkan sebagai lanjutan dan dinamika kepada Rukunegara.

Prinsip-prinsip Rukunegara merangkumi kepercayaan kepada Tuhan; kesetiaan kepada Raja dan negara; keluhuran Perlembagaan; kedaulatan undang-undang, dan kesopanan dan kesusilaan.

Seluruh prinsip ini kait-mengait antara satu sama lain. Oleh sebab itu, setiap rakyat jelata yang menghayati Rukunegara pastinya akan menghayati seluruh maksud dan semangat di sebalik prinsip-prinsipnya. Ini kerana Rukunegara juga adalah rukun masyarakat yang sentiasa menghargai serta mengutamakan keamanan, kemakmur dan perpaduan.

Prinsip Kesetiaan

Dalam konteks perbincangan ini, hayatilah maksud prinsip kedua Rukunegara - kesetiaan kepada Raja dan negara. Lamanweb Kementerian Penerangan menjelaskan prinsip ini seperti berikut:

Semua rakyat dituntut setia kepada raja dan negara. Yang di Pertuan Agong merupakan ketua negara dan Raja Melayu merupakan ketua negeri. Raja adalah simbol penyatuan rakyat dan pelindung hak istimewa peribumi. Penderhakaan kepada raja juga bermaksud penderhakaan kepada negara.

Dalam buku saya, Patriotisme Malaysia Penangkis Neopimerialisme, prinsip kedua ini saya huraikan seperti berikut:

Prinsip ini jadi asas pembentukan rakyat Malaysia yang patriotik. Bila mereka patriotik, mereka akan cinta dan sayangkan negaranya. Bila mereka cinta dan sayangkan negara, mereka akan sentiasa memelihara seluruh institusi yang menjamin keselamatan, kenteraman dan kemakmuran. Bila mereka sedia memelihara seluruh institusi berkenaan, pastinya mereka rela berkorban untuk mempertahankan Malaysia dari sebarang ancaman dalaman atau luaran. Dengan cara tersebut, kemerdekaan Malaysia akan terus dipertahankan, kedaulatan Malaysia akan sentiasa dilindungi dan kemurnian agama akan sentiasa dipelihara.

Raja Dan Negara

Berasaskan prinsip kesetiaan kepada Raja dan negara seperti yang terhurai di atas, siapakah Ketua Negara Malaysia kalau bukannya Yang di Pertuan Agong? Oleh itu, salahkah bagi rakyat jelata mengadakan rombongan berjalan kaki secara aman dan beramai-ramai menuju ke Istana Negara semata-mata untuk menyampaikan satu memorandum kepada wakil Yang di Pertuan Agong?

Pada waktu yang sama, adakah masuk akal bagi sesuatu rombongan ke Istana Negara untuk merusuh di sepanjang jalan? Kalau tidak masuk akal, kenapakah RTM menyiarkan klip video kononnya gelombang kuning akan jadi ganas dan liar? Apakah rasional di sebalik tindakan yang tidak bijaksana oleh RTM ini?

Berasaskan prinsip kesetiaan kepada Raja dan negara seperti di atas juga, adakah Abdullah yakin bahawa rombongan jalan kaki menuju ke Istana Negara itu adalah rombongan pengganas, elemen anti-nasional dan elemen anti-raja? Kalau Abdullah yakin peserta gelombang kuning bukan pengganas, bukan anti-nasional dan bukan anti-raja, apakah rasional pentadbiran Abdullah enggan memberikan permit kepada gelombang kuning?

Bukti Kejahilan

Bukankah tindakan tidak memberikan permit ini mencerminkan seolah-olah pentadbiran Adullah yang sebenar-benarnya anti-raja? Tidakkah tindakan tersebut juga membuktikan kejahilan pemerintah terhadap prinsip kesetiaan rakyat kepada dan raja negara?

Abdullah juga wajar bertanyakan kepada diri sendiri: adakah lojik bagi rombongan rakyat jelata yang mahu mengadakan rombongan berjalan kaki ke Istana Negara akan bertindak liar dan ganas sehingga boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara?

Tanyalah juga kepada diri sendiri: adakah lojik kelompok-kelompok manusia daripada golongan professional, kakitangan korporat, kakitangan awam, ahli-ahli parti pembangkang dan parti pemerintah, pesara pasukan keselamatan dan organisasi berniform, pelajar institusi pengajian tinggi dan masyarakat akar umbi yang menyertai gelombang kuning akan jadi ganas dan liar dalam perjalanan untuk menyerahkan memorandum kepada wakil Yang di Pertuan Agong di Istana Negara?

Lagu Negaraku

Bukankah sebelum 10 November 2007 sudah diwar-warkan menerusi internet bahawa rombongan gelombang kuning menuju ke Istana Negara akan memulakan perjalanan mereka di Dataran Merdeka dengan upacara bacaan ikrar Rukunegara yang disusuli dengan nyanyian lagu Negaraku secara beramai-ramai? Bukankah sudah diwar-warkan bahawa majoriti peserta gelombang kuning akan menjunjung Jalur Gemilang sambil melaungkan slogan Daulat Tuanku, Daulat Tuanku, Daulat Tuanku, di sepanjang jalan?

Tidakkah seluruh aturcara di atas dibuat berasaskan prinsip kesetiaan kepada Raja dan Negara? Kalau begitu, kenapakah gelombang kuning tidak mendapat permit polis dan disifatkan sebagai perhimpunan “haram”?

Penderhakaan?

Amat malang sekali. Semangat peserta gelombang kuning yang berkobar-kobar mahu menggemakan ikrar Rukunegara terhalang. Semangat berkobar-kobar mereka untuk menggemakan Negaraku terbatal. Semangat mereka yang berkobar-kobar untuk menjunjung Jalur Gemilang juga turut digagalkan. Mereka tidak dapat berbuat begitu kerana Dataran Merdeka sudah disita dan dikepong oleh pihak polis.

Segala-galanya juga gagal kerana pentadbiran Abdullah enggan memberikan permit polis. Segala-galanya gagal kerana pentadbiran Abdullah seolah-olah hanya mentakrifkan prinsip kedua Rukunegara – kesetiaan kepada Raja dan negara – sebagai barisan ayat-ayat mengenang jasa simati (obituary) yang terpahat di batu-batu nisan!

Sebab itulah juga bendera Malaysia pun diharamkan untuk dibawah bersama ke dalam perarakan gelombang kuning. Menurut satu maklumat, rampasan Jalur Gemilang dilakukan kononnya kerana batang bendera boleh dijadikan senjata untuk mencederakan orang lain.

Kalaulah maklumat ini benar, pentadbiran Abdullah kenalah jawab soalan ini: adakah perarakan gelombang kuning berhasrat mahu merusuh atau mahu menyerahkan memorandum kepada wakil Yang di Pertuan Agong di Istana Negara? Kalau kisah ini juga benar, pentadbiran Abdullah juga kena jawab soalan ini: bolehkah tindakan pihak yang merampas Jalur Gemilang ini disifatkan sebagai telah melakukan penderhakaan kepada Raja dan negara?

Pantang Dicabar

Saya yakin Abdullah bukan pemimpin yang menganggap prinsip-prinsip Rukunegara sebagai tulisan-tulisan kaku di batu-batu nisan. Saya juga pasti, Abdullah memang insaf bahawa tindakan merampas Jalur Gemilang dan melarangnya untuk dibawa dalam perarakan gelombang kuning boleh disifatkan sebagai penderhakaan kepada Raja dan negara.

Oleh itu, adalah sangat-sangat menghairankan, kenapa dan mengapakah pentadbiran Abdullah tidak mengarahkan pihak polis mengeluarkan permit untuk gelombang kuning? Adakah kerana Abdullah menganggap gelombang kuning sebagai satu tindakan yang mencabar kepimpinannya? Sebab itukah Abdullah berkata beliau “pantang dicabar”?

Lupakah Abdullah bahawa kepimpinan beliau merupakan mandat daripada rakyat? Kalau kepimpinan Abdullah adalah mandat rakyat, mengapakah diketepikan aspirasi rakyat dengan sewenang-wenangnya sehingga Abdullah sendiri boleh disifatkan seolah-olah sebagai mengepalai satu rejim yang tidak menghayati semangat dan prinsip Rukunegara?

Di hujung Tanduk?

Tafsiran cetek seperti di atas mungkin dangkal dan meleset. Tetapi, bagaimanakah kalau tafsiran cetek ini merupakan hakikat dan keberanan yang sebenar-benarnya? Kalau hakikatnya begitu, salahkah kalau majoriti rakyat Malaysia mengatakan bahawa Abdullah telah melakukan kesilapan yang strategik dan besar bila pentadbiran beliau enggan memberikan permit polis kepada gelombang kuning?

Akibat kesilapan tersebut, diri Abdullah kini dikatakan berada dalam keadaan yang rapuh, umpama telur di hujung tanduk, bagai layang-layang terputus tali. Akibat kesilapan berkenaan juga, insafkah Abdullah bahawa mulai 11 November, 2007, sudah ada satu pihak tertentu yang dikatakan mula melancarkan kempen ke seluruh negara untuk menjatuhkan beliau sebagai Presiden UMNO Malaysia? Siapakah pihak berkenaan, kenalah Abdullah sendiri menyiasatnya secara rapi dan segera.

Pada waktu yang sama, tidakkah Abdullah mahu memastikan siapakah sebenarnya di sebalik gelombang kuning? Tidakkah Abdullah juga mengesyakki akan wujudnya pihak yang lebih besar daripada kelompok yang telah melancarkan kempen “ganyang Abdullah” mulai 11 November, 2007?

Jadi Bubur

Oleh itu, ambillah iktibar daripada peristiwa gelombang kuning. Abdullah wajar mengakui kesilapan strategik dan besar yang dilakukan oleh pentadbirannya dalam menangani gelombang kuning. Abdullah wajar mula membuat perhitungan yang waras terhadap nasib dan masa depannya. Abdullah juga wajar insaf bahawa kesilapan yang berlaku telah menyebabkan nasi menjadi bubur.

Dalam situasi seperti ini, Abdullah hanya mempunyai dua pilihan. Satu, mengundurkan diri secara terhormat dan menyerahkan nasi yang jadi bubur ini kepada pentadbiran yang baru. Opsyen ini pastinya sukar dan membabitkan banyak perkiraan itu dan ini.

Tetapi, kalau Abdullah memilih alternatif kedua, iaitu terus berpaut kepada status quo yang ada, saya jangka beliau mungkin menghadapi satu gelombang rakyat yang bertambah hebat kerana gelombang ini memang sedang meledak di seluruh negara untuk menentang dan menyingkirkan Abdullah pada bila-bila masa.

Siapakah Mereka?

Tetapi, Abdullah juga pastinya akan terus tertanya-tanya: siapakah sebenarnya wajah-wajah di sebalik gelombang kuning? Dan kini, siapakah pula wajah-wajah di sebalik gelombang rakyat?

Saya pasti gelombang kuning yang sudah bertukar menjadi gelombang rakyat bukan didayausahakan oleh mana-mana personaliti di sekeliling Abdullah, baik di dalam pentadbirannya mahupun di dalam Pekembar. Kalau ada pun pihak-pihak di sekeliling Abdullah yang telah melancarkan gerakan “mengganyang” beliau, pihak itu mungkin hanya cuba menunggang kuasa ledakan gelombang rakyat setelah menganalisa impak gelombang kuning baru-baru ini.

Kesimpulan di atas hanya timbul daripada analisa rambang saya sendiri. Saya mungkin betul dan saya mungkin salah. Tapi, fikir-fikirkanlah secara tenang dan waras. Fikir-fikirkanlah apakah backlash atau kesan libasan selanjutnya yang akan muncul daripada kesilapan strategik Abdullah mengenepikan prinsip dan semangat Rukunegara sebelum membuat keputusan muktamad bahawa gelombang kuning tidak wajar diberikan permit polis. Fikir-fikirkanlah sedalam-dalamnya dan semasak-masaknya!

Wednesday, November 21, 2007

Reaksi Kepada Isu Maya O Maya
Dan Monsoon (Wang Ehsan) Cup

Di bawah ini saya paparkan dua komen terhadap posting mengenai Maya Karin dan Monsoon (Wang Ehsan) Cup di Kuala Trengganu buat tatapan anda. Baca dan fahamilah maksudnya. Sesudah itu ambil iktibar daripadanya. – Ruhanie Ahmad

Komen Abraham: Kasihan rakyat Terengganu. Menang sorak kampung tergadai. Tnah dipijak milik orang! Apalah sangat Monsoon Cup jika dibandingkan dengan keperluan atau kebutuhan rakyat marhein terutama sekali kerana saya kira masih ramai lagi rakyat Terengganu hidup di bawah paras kemiskinan.

Apa manfaatnya Monsoon Cup kepada majoriti rakyat Terengganu kiranya yang mendapat habuannya adalah segelintir cuma.

Benar, tidaklah salah mencari sedikit keuntungan. Tetapi, janganlah rakyat yang memberi mandat diabaikan, kroni diutamakan.

Mungkin mereka merasakan gelombang biru penggal yang lalu mampu mengulangi kejayaanya pada pilihan raya akan datang. Mandat rakyat jangan dipermainkan. Anda dipilih bukan bermakna anda wewenang berbuat apa sahaja.

Suara majoriti bukanlah bermakna anda boleh melewati batasan hukum duniawi dan moral, jauh sekali hukum Tuhan. Suara minoriti yang tidak sealiran dengan ideology atau pendapat anda juga haruslah didengari dan diambil peduli. Bukankah mereka ini juga warga dan rakyat anda?

Tidak mengapa jika anda menganggap komentar ini sebagai suatu yang tidak bermakna. Pada anggapan anda umpama "anjing menyalak bukit." Tidak mengapa.

Teruskanlah dengan agenda anda mendodoikan rakyat semahu-mahunya atas manifesto (retorik?) tradisi membela rakyat, walhal lain yang berlaku.

Mengapa tergesa-gesa melakukan pembangunan drastik di kala mandat hampir tamat? Kenapa tidak semasa mula-mula mengambil alih tampuk kuasa (dari pembangkang)?

Anda adalah pemimpin Negeri yang banyak hasil mahsul. Tiada hakkah anda untuk mengutarakan segala macam pembaharuan dan perubahan untuk kebaikan rakyat?

Saya hanya berdoa dan berharap anda masih lagi mempunyai masa untuk melakukan perubahan dengan berani sebab anda dipilih oleh rakyat, bukan dipilih oleh Perdana Menteri atau Naib Ketua Pemuda.

Justeru, jadilah pemimpin yang bermaruah. Anda dipilih untuk memakmurkan rakyat dan negeri bukan sampingannya untuk memakmurkan diri sendiri dan kroni!

Ingatlah! Anda bukan tidak mengerti soal prinsip. Lainlah jika itu tidak menjadi soal lagi kerana kepentingan diri dan kroni telah mengaburi mata!

Salam Hormat. – Abraham, 4:33 pagi, 21 November, 2007

Komen Kamalkamal: Kerajaan Islam Hadhari cukup istimewa. Kalau kita cerita lebih-lebih, nanti dikatakan kita menabur fitnah. Kalau tak diberitakan perkara tersebut memang berlaku. Habis sebagai rakyat marhaen apa yang patut kita buat?

Akhir-akhir ini rakyat semakin di perbodohkan oleh kepimpinan Islam Hadhari. Apakah itu tuntutan Islam Hadhari yang sebenar terhadap Negeri Terengganu? Persoalannya, berapa kerat rakyat Terengganu mendapat faedah dari Monsun Cup tersebut?

Nampaknya kerajaan Islam Hadhari cukup kebal. Langsung tidak memgambil "pot" rintihan rakyat... Asalkan kantung kroninya diisi, rakyat biarkan!!!, biarkan!!! – Kamalkamal, 8:35 pagi, 21 November, 2007

Tuesday, November 20, 2007

Maya Is Monsoon Cup Envoy

KUALA LUMPUR: The organisers of the Monsoon Cup 2007 has named actress Maya Karin as the event’s “maiden”, akin to being an ambassador.

Event adviser Peter Gilmour said Maya would be the spokesman for celebrities taking part in an upcoming concert that would be held in conjunction with the annual sailing competition.

“We chose her because of her popularity in the entertainment arena, especially in TV dramas and movies,” he told reporters at a restaurant here yesterday.

The press conference also announced the upcoming concert, An Evening with Maya Karin and Monsoon Cup 2007.

Among the artistes who would be featured are Deja Moss, Farah Wahida, Zaibo, Badri, Syanie, Raja Azura and Nazri, the former singer of nasyid group Raihan.

Maya, who counts sailing as one of her favourite past times, said: “I will do my best to promote the sport as well as the local culture, especially to the foreign participants.”

This year’s Monsoon Cup is part of the World Match Racing Tour 2006-2007 and the final of 10 international legs. (A match race is a regatta for two sailing boats, racing each other around a course.)

The competition, which is in the calendar of events for Visit Malaysia Year, is the training ground for America Cup qualifiers and will crown the champion of this season’s World Match Racing Tour.

It will be held from Nov 28 to Dec 2 at the Heritage Bay Club Marina and Resort in Pulau Duyong, Terengganu.

Gilmour, a four-time world match champion, said this year’s competition would feature an all-female team in the sailing event.

Apart from sailing, there are also side events that include the arts and fishing competitions.

T-Best Events, the organisers, said the Monsoon Cup offers a prize purse of RM1mil, making it the richest sailing event in the world.

http://www.thestar.com.my/news/story.asp?file=/2007/11/20/nation/19520833&sec=nation

Komen:

Maya O Maya….
Kaulah Gadis Paling Bertuah!!!

Posting ini khusus buat sahabat-sahabat di Terengganu. Akhbar The Star hari ini memaparkan kisah di atas. Iaitu kisah Maya Karin jadi Duta Monsoon (Wang Ehsan) Cup di Terengganu.

Kita semua kenal siapa Maya Karin ni. Gossip pasalnya dengan sidia tu amat meluas. Sebab tu agaknya Maya Karin kini mewah dengan projek mencurah-curah.

Tak berapa lama dulu kita dapat berita bahawa Maya Karin dapat projek membina satu bangunan di Jalan Duta Kuala Lumpur. Berjuta-juta harganya. Maya Karin juga dikatakan dapat projek PR TM atau Telekom Malaysia. Berjuta-juta ringgit juga harganya. Tuah badan!!

Tapi, bila cerita pasal Monsoon Cup, orang masih tak lupakan satu gambar istimewa membabitkan Datuk Seri Abdullah Ahmad, PM kita, dengan aktres world, Michelle Yeoh.. Cun betul gambar tu!! [lihat paparannya di sidebar blog ini]

Lagi satu, bila cerita pasal Monsoon Cup, semua rakyat Terengganu perlu bertanya, kenapa agaknya Monsoon Cup tu dibiayai oleh Wang Ehsan yang sebenarnya untuk rakyat jelata Terengganu? Anda semua tak berani tanya? Hai, hak rakyat disalurkan kepada perlawan perahu layar pun orang Terengganu tak berani tanya?

Paling kurang, tanyalah pihak berkenaan, inikah caranya Wang Ehsan dibelanjakan? Untuk isi kantong dan saku konco-konco pihak tertentu? Inikah caranya wang untuk rakyat dibelanjakan? Atau dibazirkan?

Nasiblah kau Luncai!! Terjunlah kau dengan labu-labumu. Biarkan, biarkan!!! Terjunlah kau Luncai dengan labu-labumu. Biarkan, biarkan!!!!!
– Ruhanie Ahmad

Sunday, November 18, 2007

Keluar Permit Polis
Adalah Kuasa KPD

Spycatcher03

Saya melihat episod (pengeluaran permit untuk gelombang kuning) ini with contempt. Akta Polis menggariskan kuasa mutlak mengeluarkan permit perhimpunan di bawah Seksyen 27, adalah terletak kepada kuasa Ketua Polis Daerah (KPD), bukan Ketua Polis Negeri, Ketua Polis Negara waima Menteri!!!

Jadi, segala kenyataan-kenyataan yang di keluarkan sebelum keputusan KPD dibuat adalah null and void dan dilihat sebgai usaha untuk mempengaruhi KPD daripada membuat keputusan secara bebas.

Kuasa Ketua Polis Negeri hanya membuat keputusan apabila ada rayuan terhadap keputusan yang dibuat oleh KPD.

Jadi, di sini kita dapat lihat betapa “takutnya” kerajaan terhadap gerakan gelombang kuning ini dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan untuk mempengaruhi keputusan KPD (sehingga dibawa dalam Pehimpunan Agung UMNO).

Bagi saya, kerajaan harus mempunyai pemikiran terbuka dalam hal ini. Perhimpunan (gelombang kuning) ini harus dibiarkan tanpa halangan untuk memberi peluang kepada kerajaan menilai tahap sokongan rakyat terhadap gerakan ini dan mengambil tindakan susulan terhadap tuntutan mereka!

Dengan cara ini gelombang kuning akan berkubur apabila didapati kerajaan membuat koreksi terhadap isu yang dibangkitkan. – Kiriman Spycatcher03, 18 November, 2007, 1:25 PM

Saturday, November 17, 2007

Isu Halal Lawan Haram
Rakyat Lawan Abdullah?

Ruhanie Ahmad

Gelombang kuning yang melanda Kuala Lumpur pada 10 November 2007, kini terus dijebak masalah statusnya yang “halal” atau “haram” di sisi undang-undang. Sindrom pasca peristiwa ini sengaja dicanangkan secara bertubi-tubi ke seluruh negara untuk menyekat, melemah dan mematikan gelora penentangan yang sedang marak membara di kalangan segolongan rakyat jelata terhadap Datuk Seri Abdullah Ahmad, selaku Perdana Menteri, Menteri Kewangan, Menteri Dalam Negeri, Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO.

Sindrom ini juga terus dikipas dan dibesar-besarkan oleh perkasas propaganda pemerintah kerana gelombang kuning kini mula mencetuskan fenomena gelombang rakyat - satu kebangkitan tanpa mengira kaum dan fahaman politik - yang berani menyatakan tentangan terbuka terhadap Abdullah.

Ini bermakna, gelombang kuning kini memang sudah bertukar jadi gelombang rakyat. Ia sudah berubah corak dan matlamatnya. Hanya pihak-pihak yang gemar didodoikan dengan “denial syndrome” sahaja yang enggan mengakui hakikat dan realiti ini. Dan, hanya kalangan yang berpandangan singkat dalam perjuangan sahaja yang akan lemah semangat, angkat bendera putih, dan dengan hati yang longlai, terus menyerah kalah secara betina.

Jangan Hilang Punca

Oleh itu, janganlah sindrom “halal” dan “haram” ini menyebabkan perjuangan gelombang rakyat termati langkah dan kehilangan punca. Kuatkanlah semangat dan jitukanlah tekad juang masing-masing. Fahamilah bahawa kalau gelombang kuning hanya menuntut kewujudan satu sistem pilihan raya bersih, telus, adil dan saksama, gelombang rakyat adalah perjuangan menuntut satu proses koreksi yang komprehensif dan total terhadap seluruh bentuk kepincangan yang wujud di bawah kepimpinan Abdullah.

Insafilah. Kalau gelombang kuning distruktur dan dipimpin secara rasmi, gelombang rakyat meletus secara spontan dan tanpa struktur organisasi dan kepimpinan yang rasmi dan nyata. Kalau gelombang kuning hanya kelihatan di sekitar Kuala Lumpur, gelombang rakyat pastikan menggelora di serata negara. Kalau gelombang kuning kelihatan dengan kehadiran fizikal rakyat jelata secara besar-besaran di perkarangan Istana Negara, gelombang rakyat pula hanya memerlukan penyatuan dan penggemblengan roh dan jiwa warganegara yang dahagakan pembelaan tulen dan sejati, benar dan ikhlas, adil dan saksama dalam semua aspek kehidupan.

Oleh itu, sementara rakyat menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini dan merafak sembah kasih kerana pihak Istana Negara berkenan menerima memorandum pada 10 Noveber 2007, rakyat juga menggantungkan harapan semoga perjuangan gelombang rakyat untuk mengkoreksikan kepimpinan Abdullah secara komprehensif dan total ini turut berada dalam pengetahuan Baginda. Harapan ini bukan berbentuk politik. Harapan ini dilahirkan kerana perjuangan ini adalah nasional ciri-cirinya.

Dalam konteks ini, pastinya rakyat jelata akan menjunjung titah Baginda untuk sentiasa “mematuhi undang-undang negara dan tidak melibatkan diri dalam apa-apa juga kegiatan atau tindakan yang menyalahi atau bertentangan dengan undang-undang negara; akan terus memelihara ketenteraman awam demi menjamin keamanan dan kesejahteraan negara; dan mengekalkan semangat persaudaraan dan perpaduan demi membina negara yang lebih makmur, bersatu padu dan dihormati.”

Tuntutan Pembaharuan

Tetapi, dalam konteks ini juga pastinya rakyat jelata mengharapkan satu kepastian yang terjamin terhadap penghujung kepada perjuangan mereka. Apa yang mereka harap-harapkan adalah perubahan dan pembaharuan dalam kepimpinan negara. Apa yang mereka aspirasikan adalah seluruh naluri dan sendi yang lemah dan longgar dalam Perlembagaan Negara diperkukuh dan diperjelaskan tanpa menjejaskan status quo yang ada mutakhir ini. Apa yang mereka cita-citakan adalah seluruh tunjang dan paksi kenegaraan dan kewarganegaraan Malaysia mesti dimartabat, didaulat dan dimuliakan berasaskan sejarah warisan silam yang diserasikan pula dengan realiti semasa.

Intisari kepada semua tuntutan di atas adalah: kemuliaan agama, kesejahteraan rakyat jelata, kemerdekaan dan kedaulatan negara, integriti dan maruah bangsa serta pertahanan, keamanan dan keselamatan tanahair ini jangan sekali-kali digolok-gadaikan kepada sesiapa dan jangan sekali-kali dikompromikan dengan kepentingan mana-mana pihak, baik rakan, taulan dan jiran tetangga, sama ada regional atau pun global.

Begitulah besar, komprehensif dan totalnya matlamat dan cita-cita gelombang rakyat yang sedang menggelora. Dalam keadaan begini, tidak perlulah diizinkan diri masing-masing diracuni kesan sindrom “halal” atau “haram” gelombang kuning. Dalam keadaan begini, lebih wajar jika diperkukuhkan lagi azam dan iltizam mengkoreksikan seluruh kelemahan dan segala kepincangan Abdullah selaku insan yang menerima mandat untuk memimpin kita semua. Dan usaha koreksi total ini mestilah dilaksanakan secara aman, bijaksana, bersopan dan bersusila.

Akhir sekali, gelombang rakyat perlu mengambil inisiatif mengenalpasti kumpulan insan berjiwa murni yang difikirkan layak dijadikan jemaah pemimpin gagasan perjuangan besar, total dan kompehensif ini. Renungkanlah dan fikir-fikirkanlah dengan hasrat mulia terhadap agama, bangsa dan negara!


Hari Ini Adalah Permulaan
Gelombang Rakyat Malaysia

Sabtu adalah hari yang kita tunggu-tunggu. Sebagaimana telah saya saya sarankan Ahad lalu, gelombang kuning perlu terus digelorakan dengan memakai pakaian - baju, baju-t, tudung, necktie, selendang, kot, jubah, serban, seluar, skirt atau topi – berwarna kuning pada setiap hari Sabtu.

Tindakan ini adalah simbol kasih dan sayang kita kepada Raja dan Negara dan bersesuaian dengan prinsip kedua Rukun Negara di mana kita mengikrarkan kesetiaan kita kepada Raja dan Negara pada setiap masa.

Kita juga kenakan pakaian warna kuning setiap Sabtu untuk memperingati Sabtu 10:11 atau Sabtu 10 November 2007, tarikh bermulanya gelombang kuning di negara ini yang kini sudah bertukar menjadi fenomena gelombang rakyat.

Kuning adalah warna melambangkan kebijaksanaan, persahabatan dan kesetiakawanan. Kuning adalah warna kebijaksanaan kita dalam memperjuangkan kesejahteraan, keadilan dan kesaksamaan. Kuning adalah warna perpaduan dan permuafakatan di kalangan seluruh rakyat Malaysia.

Jom kita mulakan hari ini. Jom kita kuningkan suasana Malaysia biar lebih ceria dan bahagia. Jom kita kuningkan semangat dan jiwa kita demi Malaysia yang lebih adil dan saksama. – Ruhanie Ahmad
Peserta Gelombang Kuning
Bukan 60,000 Tapi 138,000?

Saya dapat info terbaru. Jumlah yang menyertai gelombang kuning Sabtu lalu adalah 138,000 orang. Inilah sebabnya Abdullah khuatir sehingga KJ pun dah jadi bisu.

Satu lagi info. Katanya, dalam istana pun ada talibarut Abdullah yang berusaha memperkecilkan Raja kita. Jadi, janganlah kita terburu-buru membuat kesimpulan. Daulat Tuanku. – Kiriman Cyber, 17.11.07, 12:20 am.

Friday, November 16, 2007

Gelombang Kuning
Gelombang Rakyat

Ruhanie Ahmad

Gelombang kuning kini memunculkan satu perspektif baru. Pada 16 November 2007 - enam hari selepas gelombang kuning melanda Kuala Lumpur - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, dipetik oleh BERNAMA sebagai melahirkan rasa kesal dengan dakwaan kononnya baginda dan Istana Negara memperkenankan dan menyokong gelombang kuning.

Kata BERNAMA, Tuanku Mizan menegaskan bahawa baginda dan Istana Negara tidak pernah pada bila-bila masa jua memperkenankan atau memberikan apa-apa sokongan secara langsung atau tidak langsung kepada mana-mana pihak yang menganjurkan atau terlibat dalam perhimpunan haram itu (gelombang kuning) dan apa-apa jua kegiatan lain yang berkaitan yang menyalahi undang-undang negara.

Tuanku Mizan juga berharap agar rakyat Malaysia sentiasa bertindak dengan mematuhi undang-undang negara; tidak melibatkan diri dalam apa-apa juga kegiatan atau tindakan yang menyalahi atau bertentangan dengan undang-undang negara; bertanggungjawab untuk memelihara ketenteraman awam demi menjamin keamanan dan kesejahteraan negara; dan bersama-sama mengekalkan semangat persaudaraan dan perpaduan demi membina negara yang lebih makmur, bersatu padu dan dihormati.

Kenyataan di atas amat jelas mesej dan maksudnya. Ia pastinya menggembirakan Datuk Seri Abdullah dan barisan kabinetnya yang sedang berhempas pulas menyebarkan propaganda menegakkan benang yang basah. Pastinya kenyataan di atas juga akan ditafsirkan oleh pihak pemerintah sebagai satu kemenangannya.

Dinamika Rakyat

Tafsiran saya amat jauh berbeza. Apa jua yang mahu dikatakan pada hari ini mengenai gelombang kuning, semua pihak terpaksa menerima hakikat bahawa gelombang itu kini sedang mentransformasikan bentuknya menjadi satu gelombang rakyat yang menyeluruh serta mempunyai mesej, matlamat dan aspirasi yang lebih besar daripada tuntutan pilihan raya yang benar-benar telus, bersih, adil dan saksama.

Oleh itu, persoalan terhadap soal “halal” dan “haram” gelombang kuning di sisi undang-undang sudah tidak lagi relevan dan hanya jadi topik yang akademik bentuknya. Apa yang pasti adalah: gelombang kuning sudah pun menggerak dan membangkitkan dinamika kekecewaan rakyat jelata terhadap kepimpinan Abdullah untuk menggelorakan gelombang rakyat yang lebih besar, menyeluruh dan luas cita-cita serta aspirasinya.

Jangan bicarakan prasangka politik dan usah dirungkai aspek-aspek teknikaliti perundangan untuk memahami kebangkitan gelombang rakyat. Sebaliknya, analisalah hakikat kemarahan, keresahan dan kekecewaan rakyat jelata terhadap kepimpinan Abdullah selaku Perdana Menteri, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Presiden UMNO, Pengerusi OIC dan Pengerusi NAM mutakhir ini.

Kajilah juga kebangkitan gelombang rakyat ini dalam konteks Islam sebagai agama rasmi negara; dalam konteks kepincangan pengurusan negara dan keleluasaan amalan neopotisme serta kronisme; dalam konteks kedaulatan negara dan maruah bangsa; dan dalam konteks kecelaruan fokus serta emfasis perjuangan mensejahterakan rakyat seluruhnya.

Secara ringkasnya, dinamika gelombang rakyat yang saya maksudkan ini wajar dikaji dari sudut sosio-politik dan ekonomi Malaysia mutakhir dan masalah semasa yang menjejaskan kesejahteraan rakyat akibat kepincangan dalam pengurusan ketiga-tiga cabang kehidupan berkenaan.

Tanpa Prasangka

Pihak penganjur gelombang kuning yang sedang dibuai euphoria kemenangan (dan kini pasti dikejutkan pula oleh titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong) seolah-olah gagal melihat kelahiran gelombang rakyat ini. Pihak pemerintah yang dijebak propaganda menegakkan benang basah (dan kini mungkin kegembiraan dengan kenyataan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong) juga gagal melihat fenomena yang sama.

Sebab itulah kedua-dua pihak terus terperangkap dengan persoalan asas sama ada perarakan gelombang kuning baru-baru ini “halal” atau “haram” di sisi undang-undang. Sebab itulah kedua-dua pihak seolah-olah tidak menyedari bahawa gelombang kuning telah jadi pemangkin yang melekdakkan dinamika kebangkitan gelombang rakyat di seluruh tanahair.

Dari Perlis sampai ke Sabah, rakyat jelata kini sedang membicarakan gelombang kuning dalam konteks keresahan dan kekecewaan mereka terhadap sosio-politik dan ekonomi negara tanpa sebarang batas dan prasangka politik. Mereka membicarakan impak serta implikasi gelombang kuning kepada penyatuan aspirasi seluruh rakyat jelata ke arah mencari satu formula jitu untuk mengkoreksi segala-galanya yang pincang dan tempang dalam kepimpinan Abdullah ketika ini.

Memang kebangkitan gelombang rakyat ini masih samar-samar bentuk dan matlamat utamanya. Memang dinamika massa ini masih belum mempunyai struktur kepimpinan yang nyata. Tetapi, hakikat kebangkitan massa ini sudah mula dirasai rentak dan geraknya.

Sabtu Yang Kuning

Contohnya, idea blog ini supaya rakyat Malaysia memakai pakaian berwarna kuning pada setiap hari Sabtu mulai menerima reaksi serta sambutan yang luas dan luar biasa. Ini bermakna segolongan rakyat jelata sudah mula redha untuk mengassosiasikan diri masing-masing dengan gelombang kuning. Ini bermakna mereka juga mempunyai sebab dan rasional tersendiri untuk mentransformasikan gelombang kuning sebagai satu kebangkitan gelombang rakyat. Ini juga bermakna bahawa segolongan rakyat jelata yang tidak mendukung pejuangan BERSIH secara khusus, pun mula menggelorakan gelombang rakyat.

Pastinya golongan yang mengharapkan kebangkitan gelombang rakyat ini tidak akan memilih untuk berlindung di bawah naungan BERSIH. Pastinya mereka menanti-nantikan kemunculan sekumpulan individu yang mampu memimpin mereka ke arah suatu perjuangan mecapai cita-cita mereka. Pastinya kumpulan individu pemimpin yang dinanti-nantikan kehadirannya pula bukannya daripada kalangan penganjur gelombang kuning.

Lantas, siapakah yang bertanggungjawab untuk memunculkan kepimpinan gelombang rakyat? Organisasi apakah yang wajar dijadikan wadah kepada perjuangan gelombang rakyat? Bagaimanakah organisasi ini akan muncul dan bagaimana pula ia akan melegitimasikan perjuangan gelombang rakyat?

Persoalan ini wajar difikirkan secara terperinci. Gelombang kuning hanya mahukan kewujudan satu sistem pilihan raya yang bersih, telus, adil dan saksama. Tuntutan ini tidak mungkin akan dipenuhi oleh pemerintah hari ini. Gelombang rakyat pula menuntut satu bentuk koreksi yang komprehensif kepada seluruh kepincangan sosio-politik dan ekonomi yang wujud mutakhir ini. Tuntutan ini juga pastinya tidak dapat dilaksanakan oleh pemerintahan Abdullah.

Formula Di Luar Kotak

Tuntutan gelombang kuning urgent dan penting. Tuntutan gelombang rakyat yang lebih besar dan menyeluruh juga amat urgent dan amat penting. Kedua-dua tuntutan ini perlu diatasi secara serentak. Kedua-dua tuntutan ini memerlukan satu bentuk organisasi yang berwibawa, mantap dan efektif.

Jadi, fakir-fikirkanlah. Apakah agaknya bentuk organisasi perjuangan gelombang rakyat? Dan, siapkanlah minda kita semua seandainya organisasi kepimpinan gelombang rakyat ini pula muncul secara mendadak dan tiba-tiba hasil daripada satu proses pemikiran di luar kotak!

Seluruh persoalan di atas dan kesudahan kepada perjuangan gelombang rakyat yang masih berada di peringkat permulaan ini jadi semakin kritikal bila Tuanku Mizan sendiri melahirkan rasa kesal dengan dakwaan kononnya baginda dan Istana Negara memperkenankan dan menyokong satu perhimpunan haram (gelombang kuning) pada Sabtu, 10 November 2007.

Oleh itu, fikir-fikirkanlah perkembangan terbaru ini dengan serius, rasional dan menjurus kepada komitmen memberikan pembelaan kepada rakyat jelata yang mahu kepincangan pemerintahan Abdullah dikoreksikan dengan seberapa segera.
Tuanku Mizan Kesal Dakwaan
Baginda Sokong Perhimpunan Haram

KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin melahirkan rasa kesal dengan dakwaan kononnya baginda dan Istana Negara memperkenankan dan menyokong satu perhimpunan haram di sini Sabtu lepas.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Wan Mohd Safiain Wan Hasan hari ini, Seri Paduka Baginda juga melahirkan rasa kesal dengan perhimpunan itu yang dianjurkan oleh satu kumpulan dikenali Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) yang disokong parti-parti pembangkang.

Dalam kenyataan itu, Tuanku Mizan menegaskan bahawa baginda dan Istana Negara tidak pernah pada bila-bila masa jua memperkenankan atau memberikan apa-apa sokongan secara langsung atau tidak langsung kepada mana-mana pihak yang menganjurkan atau terlibat dalam perhimpunan haram itu dan apa-apa jua kegiatan lain yang berkaitan yang menyalahi undang-undang negara.

Sabtu lepas, BERSIH yang disertai oleh badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan parti pembangkang mengumpulkan penyokong-penyokongnya di beberapa tempat di sekitar ibu kota termasuk Jalan Masjid Jamek, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Masjid Negara sebelum berarak ke Istana Negara bagi menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Isnin lepas, Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamaruddin Jaffar, berkata dalam satu kenyataan bahawa BERSIH mengambil keputusan menyerahkan memorandum itu kepada Yang di-Pertuan Agong setelah Tuanku sendiri memberikan perkenan Baginda, dan kehadiran BERSIH ke Istana Negara pada hari Sabtu itu, adalah bagi menjunjung perkenan Tuanku untuk menyerahkan memorandum itu kepada wakil Baginda.

Tuanku Mizan bertitah sebagai Ketua Utama Negara, baginda bertanggungjawab untuk memastikan bahawa prinsip sistem pentadbiran negara berlandaskan prinsip Raja Berperlembagaan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sentiasa dihormati dan dipatuhi oleh semua.

Baginda berharap agar rakyat Malaysia sentiasa bertindak dengan mematuhi undang-undang negara dan tidak melibatkan diri dalam apa-apa juga kegiatan atau tindakan yang menyalahi atau bertentangan dengan undang-undang negara.

"Setiap rakyat Malaysia bertanggungjawab untuk memelihara ketenteraman awam demi menjamin keamanan dan kesejahteraan negara," titah baginda.

Seri Paduka Baginda juga berharap agar rakyat dapat bersama-sama mengekalkan semangat persaudaraan dan perpaduan demi membina negara yang lebih makmur, bersatu padu dan dihormati.

Wan Mohd Safiain pula berkata pihak pengurusan Istana Negara buat pertama kalinya memanggil media untuk menghebahkan kenyataan ini kerana Yang di-Pertuan Agong memandang serius perkara itu.

"Kebiasaannya Istana Negara mengeluarkan kenyataan melalui faksimili, tetapi kali ini terpaksa memanggil media untuk memastikan ianya dapat dihebahkan kepada seluruh rakyat," katanya.

-- BERNAMA, 16 November, 2007 12:45 PM

http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=296599
Akibat Ledakan Gelombang Kuning
Abdullah Dalam Keadaan Tertekan?

Datuk Seri Abdullah Ahmad kini dikatakan dalam keadaan amat tertekan dipercayai akibat keengganan beliau memberikan permit kepada perarakan gelombang di Kuala Lumpur, Sabtu, 10 November 2007.

Beliau juga diberitakan menghadapi tekanan akibat kekasaran pihak polis sewaktu menangani segolongan para peserta gelombang kuning.

Sumber-sumber memberitahu blog ini bahawa beberapa negara asing telah pun menghantar surat kepada beberapa agensi pemerintah Malaysia mengenai gelombang kuning.

Surat-surat tersebut datangnya daripada beberapa negara Islam di Asia Barat, daripada United Kingdom, daripada Amerika Selatan dan beberapa anggota ASEAN.

Sebilangan besar negara berkenaan dikatakan kesal dengan cara pemerintahan Abdullah menangani gelombang kuning.

Majoriti rakyat jelata pula kesal kerana kengganan Abdullah memberikan permit kepada gelombang kuning disifatkan sebagai tindakan yang tidak menghormati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara Malaysia.

Pada waktu yang sama, sebilangan rakyat akar umbi di kampung-kampung juga kini mula berani bersuara lantang dan menuntut Abdullah mengundurkan diri secara terhormat.

Sementara itu, adalah difahamkan bahawa kempen kuning yang pertama kali dicetuskan ideanya oleh blog ini dijangka menerima sambutan yang menggalakkan.

Kini penganjur gelombang kuning dikatakan menerima banyak panggilan telefon dan e-mail daripada rakyat Malaysia yang mahu membeli baju-t gelombang kuning. – Ruhanie Ahmad

JOM CERIAKAN MALAYSIA DENGAN PAKAIAN WARNA KUNING MULAI SABTU INI!

Thursday, November 15, 2007

Rukun Negara

Sebelum Rukun Negara diperkenalkan, telah berlaku rusuhan antara kaum pada 13 Mei 1969. Ketenteraman negara telah terjejas akibat kejadian itu. MAGERAN (Majlis Gerakan Negara) telah mengambil alih pentadbiran negara. MAGERAN telah menubuhkan Majlis Perundingan Negara (MPN) untuk membincangkan dan menilai isu perpaduan Negara. MPN telah memperkenalkan ideologi negara iaitu Rukun Negara.

Matlamat Rukun Negara

Mengukuhkan perpaduan.
Memelihara corak hidup demokratik.
Mencipta sebuah masyarakat yang adil.
Menjamin sikap liberal terhadap tradisi kebudayaan yang pelbagai.
Membina masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi.

Prinsip-prinsip Rukun Negara

Kepercayaan kepada Tuhan

Agama merupakan pegangan utama rakyat Malaysia. Rakyat yang beragama mudah diurus. Perlembagaan menetapkan Islam adalah agama rasmi tetapi agama lain bebas -diamalkan.

Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara

Semua rakyat dituntut setia kepada raja dan negara. Yang di Pertuan Agong merupakan ketua negara dan Raja Melayu merupakan ketua negeri. Raja adalah simbol penyatuan rakyat dan pelindung hak istimewa peribumi. Penderhakaan kepada raja juga bermaksud penderhakaan kepada negara.

Keluhuran Perlembagaan

Perlembagaan merupakan undang-undang utama. Perlembagaan dianggap luhur, suci dan unggul. Rakyat dituntut supaya menerima, mematuhi, menyanjung dan mempertahankannya

Kedaulatan Undang-Undang

Rakyat dituntut menghormati undang-undang dengan tidak melakukan kesalahan di sisi undang-undang. Rakyat akan hidup dalam keamanan apabila kedaulatan undang-undang terpelihara. Rakyat bertanggungjawab memastikan undang-undang negara sentiasa didaulatkan dan tidak dicabar oleh mana-mana pihak.

Kesopanan Dan Kesusilaan

Rakyat Malaysia dituntut bersopan dan bertatasusila. Ia merupakan nilai-nilai murni yang melambangkan keperibadian seseorang individu. Amalan ini akan menjamin kehidupan masyarakat yang harmoni, penyayang dan saling menghormati.

[Dipetik daripada Lamanweb Kementerian Penerangan]

http://www.kempen.gov.my/index.php?option=com_content&task=view&id=311&Itemid=144&lang=malay

Monday, November 12, 2007

Abdullah Lakukan Kesilapan Besar
Ketepikan Perkenan Istana Negara

Ruhanie Ahmad

Gelombang kuning yang menggelora secara aman di Kuala Lumpur pada 10 November 2007 adalah satu kebangkitan rakyat yang unik, mengandungi pelbagai mesej tersirat dan wajar dirungkai implikasinya kepada kelangsungan kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di hari-hari terdekat ini.

Hakikatnya demikian kerana gelombang kuning telah membuktikan wujudnya satu anjakan strategik di kalangan rakyat jelata yang mula memasrahkan nasib dan masa depan mereka kepada Institusi Raja yang menjadi satu daripada tunggak dalam sistem pemerintahan Malaysia, iaitu sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlambagaan.

Saya yakin para penasihat professional di Istana Negara yang memungkinkan kedatangan delegasi gelombang kuning pada 10 November 2007, sudah membuat kajian awal terhadap jangkaan wujudnya anjakan strategik seperti ini. Lantaran itulah permohonan delegasi gelombang kuning diperkenankan. Dan, perkenan itulah yang telah dijadikan pengukur untuk memastikan sejauh manakah kebenaran jangkaan tersebut. Kalau tidak, mana mungkin Istana Negara secara senang-senang sahaja bersetuju menerima kedatangan delegasi gelombang kuning!

Kedaulatan Negara

Hakikat ini akan jelas kelihatan jika semua pihak, termasuk Abdullah, sedia menginsafi bahawa matlamat gelombang kuning adalah lebih besar daripada tuntutan mewujudkan suatu sistem pilihan raya yang lebih adil dan saksama.

Gelombang kuning adalah manifestasi suara hati rakyat jelata yang hilang keyakinan terhadap kepimpinan Abdullah. Gelombang kuning adalah cetusan hati nurani rakyat jelata yang beranggapan Abdullah adalah Perdana Menteri yang lemah. Gelombang kuning adalah cermin realiti yang memancarkan imej-imej kebimbangan rakyat jelata terhadap kedaulatan negara dan maruah bangsa yang makin jelas tercabar di era kepimpinan Abdullah.

Gelombang Rakyat

Gelombang kuning adalah gelombang rakyat. Oleh sebab itu, bukan semua rakyat jelata yang menyertai gelombang kuning jadi ahli organisasi yang menuntut pilihan raya umum yang adil dan saksama. Di kalangan mereka adalah ribuan pesara perkhidmatan awam peringkat tinggi, terutama sekali daripada sektor keselamatan dan pertahanan. Di kalangan mereka adalah anak-anak muda tanpa parti yang cukup prihatin dan sensitif terhadap kelangsungan negara-bangsa. Di kalangan mereka adalah golongan professional muda. Di kalangan mereka adalah insan-insan akar umbi yang sudah mula loya dengan karenah, perilaku dan keangkuhan segelintir anak muda di sekeliling Abdullah. Di kalangan mereka adalah ahli-ahli UMNO dan lain-lain komponen Barisan Nasional (BN) yang rindukan pembelaan. Di kalangan mereka adalah ribuan warga Johor yang mahu membawa mesej bahawa projek mega Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) adalah mempertaruhkan kedaulatan dan keselamatan negara. Sebab itulah perarakan gelombang kuning tidak membawa apa-apa sepanduk politik, melainkan Jalur Gemilang!

Lantaran itu, Abdullah memang sangat-sangat tersilap perkiraan bila kerajaannya enggan memberikan permit kepada gelombang kuning. Lantaran itu, adalah tidak bijaksana bila RTM bertindak secara pre-emtif untuk memberikan persepsi umum bahawa gelombang kuning adalah demonstrasi jalanan yang liar, ganas dan boleh mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Kini gelombang kuning sudah menggelora. Tiada satu pun harta benda yang dimusnahkan oleh para peserta. Kini gelombang kuning sudah melanda. Tiada seorang pun anggota pasukan keselamatan yang tercedera, waima akibat dibaling dengan sebutir pasir sekalipun.

Dilemma Pemerintah

Tidakkah hakikat ini membuktikan usaha pre-emtif RTM sebelum ini adalah semberono dan tidak bijak? Tidakkah hakikat ini membuktikan kenyataan Abdullah pada petang 9 November 2007, kononnya gelombang kuning adalah demokrasi jalanan, sebagai kata-kata emosi yang tidak seharusnya dinyatakan oleh seorang pemimpin besar?

Lantas, siapakah yang terbukti bijaksana dan siapakah pula yang terbukti tidak bijaksana menerusi pancaran hakikat ini? Siapakah yang kini dalam dilemma bila prinsip kedua Rukun Negara, iaitu kesetiaan kepada Raja dan Negara, tidak dipandang serius oleh pemerintahan Abdullah?

Memang ada juga insiden di mana pihak pasukan keselamatan bertindak ke atas para peserta gelombang kuning. Mereka bertindak begitu atas arahan dan perintah. Mereka menjalankan tugas dan tanggungjawab. Tetapi, hakikat bahawa para peserta gelombang kuning tidak liar dan tidak ganas seperti yang mahu digambarkan oleh RTM, akhirnya melembutkan juga jiwa dan hati anggota pasukan keselamatan!

Kesilapan Besar

Saya yakin para peserta gelombang kuning tidak akan terus menerus mempertikaikan tindakan pasukan keselamatan. Sebaliknya, saya pasti mereka mempersoalkan di manakah kebijaksanaan kepimpinan Abdullah? Di manakah kebijaksanaan Menteri Penerangan?

Berita gelombang kuning sudah diketahui sejak hampir dua bulan sebelumnya. Kenapakah tidak disiasat, tidak dikaji dan tidak diselidik menggunakan seluruh mekanisma perisikan yang ada dalam kerajaan? Mungkinkah tindakan-tindakan seperti tembakan gas pemedih mata ke dalam masjid, bekalan air ke masjid dipotong sehingga menyebabkan kesukaran kepada mereka yang mahu menunaikan solat Zohor, rakyat jelata berbaju kuning ditahan di sekatan jalanraya, akan berlaku sekiranya kerajaan bijaksana dalam persiapannya mengendalikan kemaraan gelombang kuning?

Bagaimanapun, apa yang telah berlaku bukannya silap pasukan keselamatan. Apa yang telah berlaku adalah kesilapan besar kepimpinan Abdullah. Paling besar kesilapannya ialah permit tidak diberikan walaupun pihak Istana Negara sudah berkenan menerima kemaraan gelombang kuning pada 10 November 2007.

Perkecilkan Raja

Mengapakah jadi begini? Adakah Abdullah sengaja mahu mencabar Institusi Raja Berperlembagaan atas sebab-sebab tertentu yang mungkin sentiasa menghantui beliau selama ini? Adakah kenyataan Abdullah bahawa beliau “pantang dicabar” sebenarnya ditujukan khas kepada Istana Negara? Atau, apakah tindakan membelakangkan perkenan Istana Negara ini terjadi kerana Abdullah memang sebenar-benarnya seorang Perdana Menteri yang lemah?

Lantaran itu, apakah tindakan selanjutnya oleh Abdullah setelah kebijaksanaan beliau tercabar oleh gelombang kuning? Apakah tindakan Abdullah bila kini terbukti bahawa beliau seolah-olah memperkecil-kecilkan perkenan diraja terhadap kemaraan gelombang kuning ke Istana Negara? Tidakkah Abdullah insaf bahawa label “haram” yang beliau berikan kepada gelombang kuning sebenarnya telah terlebih dulu dan secara tidak langsung “dihalalkan” oleh perkenan diraja yang sudi menerima kedatangan delegasi gelombang kuning?

Abdullah Berundur?

Saya harap Abdullah akan mengarahkan seluruh penasihatnya meneliti reaksi rakyat jelata berikutan gelombang kuning. Kutip, baca dan analisalah seluruh komen menerusi blog dan portal berita. Buatlah perkiraan dan perhitungan sendiri bila ada komen-komen yang menggesa Abdullah supaya segera berundur secara terhormat. Kajilah sendiri bila ada komen mengatakan gelombang kuning menghantarkan isyarat serius kepada Kabinet Abdullah. Fahamilah maksudnya bila ada komen mencadangkan ahli-ahli akar umbi UMNO pula perlu melancarkan gelombang merah untuk menyampaikan suara mereka kepada Abdullah. Garaplah apa tafsirannya bila ada komen yang menyeru gelombang kuning menyelamatkan Malaysia daripada Sindrom Khairy.

Saya sendiri sudah melancarkan kempen supaya rakyat jelata Malaysia mengenakan pakaian berwarna kuning pada setiap Sabtu mulai hujung minggu ini. Saya lancarkan kempen ini kerana warna kuning perlu dijadikan simbol kasih dan sayang rakyat jelata Malaysia kepada Raja dan Negara.

Raja Dan Negara

Tindakan ini amat bersesuaian dengan prinsip kedua Rukun Negara di mana kita mengikrarkan kesetiaan kita kepada Raja dan Negara pada setiap masa. Saya juga lancarkan kempen ini untuk memperingati Sabtu 10:11 atau Sabtu 10 November 2007, sebagai tarikh bermulanya gelombang kuning di negara ini.

Pada waktu yang sama, kuning adalah warna yang melambangkan kebijaksanaan, persahabatan dan kesetiakawanan. Ini bermakna warna kuning adalah warna kebijaksanaan rakyat jelata Malaaysia dalam memperjuangkan kesejahteraan, keadilan dan kesaksamaan. Ini bermakna, kuning juga adalah warna solidariti, perpaduan dan permuafakatan di kalangan seluruh rakyat Malaysia.

Untuk makluman Abdullah, kempen ini Insya Allah merebak dan berjaya. Saya menerima sokongan sebilangan besar bloggers yang dilabelkan sebagai penembak curi, goblok atau penyanyi karaoke. Lepas ini, apa pula label yang akan diberikan bila bloggers berkempen supaya rakyat Malaysia berpakaian kuning pada setiap Sabtu sebagai simbol cintakan Raja dan Negara dan sebagai manifestasi kepada solidariti, kesetiakawanan, perpaduan dan permuafakatan di kalangan sesama rakyat? Adakah selepas ini kerajaan Abdullah akan mewartakan supaya warna kuning diharamkan dari dipakai oleh rakyat Malaysia pada setiap masa dan sepanjang masa?

Apa Kesudahannya?

Akhir kata, saya ulangi sekali lagi. Abdullah membuat kesilapan besar bila beliau enggan mengarahkan polis memberikan permit kepada gelombang kuning. RTM membuat kesilapan yang menjejaskan kebijaksanaannya bila ia memaparkan secara pre-emtif kilp video kononnya gelombang kuning adalah ganas dan liar.

Kini gelombang kuning sudah mula membibitkan keresahan dan kecelaruan di kalangan pemerintah. Abdullah wajarlah bersedia daripada sekarang untuk merungkai seluruh kemungkinan apa yang akan terjadi pada hari-hari terdekat ini. Fikirkanlah apa akan terjadi kalau tuntutan terhadap mewujudkan sistem pilihan raya yang adil dan saksama, diperkenan untuk dilaksanakan. Mungkinkah pilihan raya umum ke-12 akan ditangguhkan? Fikirkanlah kalau kempen berpakaian kuning setiap Sabtu merebak luas ke seluruh tanahair. Siapakah yang akan berputih mata? Fikirkanlah jika gelombang kuning merangsang suatu kebangkitan suara rakyat secara menyeluruh. Apa akan terjadi? Fikirkanlah!!!

Sunday, November 11, 2007

Gelombang Kuning Wajar Diteruskan
Dengan Pakaian Kuning Setiap Sabtu

Gelombang kuning perlu terus digelorakan di seluruh pelusuk tanahair tercinta. Bukan dengan perarakan ke Istana Negara di Kuala Lumpur. Tapi, hanya dengan memakai pakaian - baju, baju-t, tudung, necktie, selendang, kot, jubah, serban, seluar, skirt atau topi – berwarna kuning pada setiap hari Sabtu.

Kita pakai warna kuning pada setiap Sabtu mulai hujung minggu ini sebagai simbol kasih dan sayang kita kepada Raja dan Negara.

Tindakan ini amat bersesuaian dengan prinsip kedua Rukun Negara di mana kita mengikrarkan kesetiaan kita kepada Raja dan Negara pada setiap masa.

Kita juga kenakan pakaian warna kuning setiap Sabtu untuk memperingati Sabtu 10:11 atau Sabtu 10 November 2007, tarikh bermulanya gelombang kuning di negara ini.

Kuning adalah warna yang melambangkan kebijaksanaan, persahabatan dan kesetiakawanan. Ini bermakna warna kuning adalah warna kebijaksanaan kita dalam memperjuangkan kesejahteraan, keadilan dan kesaksamaan. Ini bermakna, kuning juga adalah warna perpaduan dan permuafakatan di kalangan seluruh rakyat Malaysia.

Jom kita mulakan pada Sabtu depan ini. Jom ramai-ramai kita kuningkan suasana Malaysia biar lebih ceria dan bahagia. Jom kita kuningkan semangat dan jiwa kita demi Malaysia yang lebih adil dan saksama. – Ruhanie Ahmad
Abdullah Diminta Undur
Dengan Cara Terhormat?

Di bawah ini saya siarkan komen Nakhoda sebagai reaksi kepada gelombang kuning. Saya mengambil risiko besar menyiarkan komen ini. Tapi, demi kebaikan bersama, bacalah komen berikut: - Ruhanie Ahmad

Tahniah kepada rakyat jelata yang menyertai gelombang kuning semalam. Apa yang terjadi adalah pengajaran. Lain kali saya harap Abdullah kawal lidah dia. Jangan jadi macam KJ.

Abdullah manusia paling berkuasa di negara ini. Itu kita semua akui. Tapi dia kena ingat kuasa itu mandat dari rakyat dan amanah dari Allah SWT. Jangan sombong, jangan bongkak, jangan takbur. Jangan terikut-ikut perangai KJ menantunya yang sangat angkuh dan ingat dia berada di tempat hari ini kerana kepintarannya.

Abdullah kena dengar rintihan rakyat. Bukan asyik pertahankan keluarga, anak dan menantu saja. Kalau Abdullah nak terus macam gitu, baik fikirkan cara nak kosongkan jawatan dengan seberapa segera. Kalau nak cara terhormat, kosongkanlah kerusi menjelang pilihan raya. Kalau nak cara sebaliknya, tunggu sajalah apa kemungkinan yang boleh terjadi.

Biarpun gelombang kuning dikatakan anjuran pihak-pihak tak sehaluan dengan pemerintah. Tapi, ramai peserta gelombang kuning adalah simpatisan atau penyokong pemerintah yang mahukan perubahan. Terutama sekali, mereka mahu perubahan sikap dan tindak-tanduk Abdullah supaya Abdullah boleh ubah sikap dan tindak tanduk KJ.

Kalau Abdullah tak mahu gunakan peluang terakhir ini, berundurlah seberapa segara dengan cara terhormat. Ini saja pilihan rakyat ketika ini. Tak kira Melayu, Cina, India, Dayak dan Kadazan, inilah cara terbaik bagi Abdullah, iaitu berundur dengan cara terhormat.

Tentu Abdullah akan marah dengan saranan ini. Tentu dia akan anggap ini cabaran. Ini bukan cabaran. Ini permintaan dan ini adalah rayuan. Permintaan dan rayuan ini datang dari manusia macam saya, orang kecil, rakyat marhaen yang sangat-sangat membenci kepincangan, kepura-puraan dan pembohongan.

Saya minta maaf kalau saya kurang ajar atau biadab. Tapi saya tak ada pilihan lain dari menyampaikan kata-kata ini. Nak bawa usul ikut saluran UMNO, saya dianggap dayus. Nak tulis surat dalam akhbar, bakul sampah menanti surat saya. Nak panjat pejabat UMNO atau JPM, gaji saya kecil. Nak apa-apa pun lagi saya tidak termampu untuk membuatnya.

Saya sayang Abdullah tapi saya meluat dengan KJ. Saya sayang UMNO tapi suara saya tak didengar. Saya sayang pemerintah tapi pemerintahan nampaknya lemah. Jadi, saya luahkanlah hati saya di mana ada ruang dan wadah. Di zaman moden ini, hanya internet saja yang masih mahu melayan manusia macam saya.

Luahan di atas bukan peribadi. Luahan ini adalah mengenai kepimpinan negara, masa depan anak cucu saya, dan maruah serta kedaulatan negara dan bangsa kita seluruhnya. – kiriman Nakhoda
Gelombang Kuning Beri Isyarat
Sangat Hebat Kepada Kabinet

Gelombang Kuning memberikan signal yang sangat hebat kepada Kabinet. Silap Presiden UMNO menyentuh tentang "demonstrasi jalanan" dan "pantang dicabar" semasa berucap 20 minit dalam Dewan (PWTC pada petang 9 November 2007). Sepatutnya jangan sentuh langsung. Barulah nampak aloof dan statesmanlike.

Saya rasa terpegun bila baca truck FRU tak dapat gerak, tersekat dalam ribuan insan. Mengurus ribuan manusia dalam gelombang begitu bukan benda main-main. Ribuan manusia yang bernyawa, ada anak, ada bapa dan berkongsi ibu pertiwi, punya hak yang sama seperti orang di Sipitang, seperti orang di Parit Botak, Kampung Sireh, Kuala Berang, Tanjung Lumpur dan juga yang duduk dalam Kabinet.

Mengurus kerajaan dan negara juga bukan mudah. Bagi yang sudah veteran, mengurus anak dan menantu juga bukan senang. Lalu betullah ungkapan "telan mati anak, luah mati menantu". Tidak dinafikan, ramai yang pernah berhadapan dengan situasi serba tak kena. Rasa lemas!

Boleh juga kita rujuk dengan ungkapan "malu bertanya, sesat jalan". Soalnya, siapa yang patut kita tanya? Tanya budak pun boleh, tanya orang tua pun boleh. Tanya orang berpengalaman boleh, tanya orang tak berpengalaman (atau kanyiaq) pun boleh.

Kita berkongsi hak dan tanah air. Ia memberi signal besar kepada Kabinet, bahawa selepas diberi mandat memerintah, bukan bermaksud Kabinet boleh buat apa saja. Bila rakyat sangsi, bimbang dan terkeliru apatah lagi suara sumbang semakin berkumandang tentang gangguan dalam pemerintahan. Ada pulak yang kata negara kita dalam auto pilot mode.

Mungkin rakyat tidak faham. Kalau bagitu, ceritalah baik-baik, dalam bahasa mudah. Rakyat perlu faham banyak perkara, tentang SJER (WPI), tentang petrol, tentang espionage yang disebut-sebut.

Mengandaikan bahawa, orang Melayu tidak akan memangkah (mengundi parti) yang lain, sangat bahaya! Dalam keadaan tersepit, orang akan berfikir sejenak sebelum memangkah; antara anak dan menantu, antara Bola dan Koridor, antara 880 billion dan 880 projek, antara orang tua cerdik dan budak berhingus, antara jual dan sayangkan negara, antara terbela dan tergadai!

Gelombang Kuning ada mesej besar! Lets do some soul serching and soul cleansing. Kita diajar dari sekolah lagi, bila menyanyi NEGARAKU, nyanyilah dengan penuh semangat. Semangat itulah yang diperlukan untuk menjamin kesejahteraan tanahair tercinta. Kiriman Berita Dari Gunung
Gambar-Gambar Gelombang Kuning


Gambar-gambar gelombang kuning (ehsan Malaysia Today dan rocky's bru blogspot) boleh diakses menerusi link di bawah ini:

http://www.malaysia-today.net/nuc2006/report07.php?itemid=208

http://www.malaysia-today.net/nuc2006/report07.php?itemid=216

http://rockybru.blogspot.com/

Saturday, November 10, 2007

Komen Peserta:
Kejayaan Gelombang Kuning
Kejayaan Rakyat Jelata..

Saya salah seorang peserta gelombang kuning. Saya dan kira-kira 2,000 peserta pelbagai keturunan dalam kumpulan saya adalah rakyat biasa yang tidak menyertai mana-mana parti politik atau NGO.

Oleh itu, kejayaan gelombang kuning adalah kemenangan rakyat jelata tanpa mengira kaum, parti atau pertubuhan. Gelombang kuning adalah kejayaan rakyat Malaysia. Saya mahu dunia mengiktiraf hakikat ini. – Imran Hamidi
Berita Terbaru:
20 Peserta Gelombang Kuning
Di Tahan Di Penjara Pudu…

5.22 petang: Dapat berita bahawa 20 peserta gelombang kuning telah ditahan di Penjara Pudu. Identiti mereka belum dapat dipastikan. Bagaimanapun, pihak penganjur sedang berusaha memberikan pembelaan kepada mereka dengan seberapa segera. - Ruhanie Ahmad
Laporan Detik Ke Detik:
Dosakah Rakyat Berpakaian Kuning
Sempena Hari Gelombang Kuning?

Polis mengkategorikan gelombang kuning sebagai perhimpunan haram. Itu hak polis yang tidak akan saya pertikaikan.

Tetapi, dosakah rakyat jelata memakai pakaian kuning pada hari ini? Anda jawablah sendiri setelah membaca cebisan-cebisan berita di bawah ini:

12.00 tengahari, di satu lokasi kira-kira 6 kilometer daripada Dataran Merdeka, Kuala Lumpur: Beribu-ribu rakyat jelata berpakaian baju kuning ditahan beramai-ramai. Apa dosa mereka? Kerana berpakaian kuning? Apa maksudnya tindakan seperti ini?

12.00 tengahari, di satu lokasi di Subang Jaya, Selangor: Seorang pemuda Melayu disuruh keluar dari keretanya semata-mata kerana dia sedang menikmati lagu-lagu nasyid. Keretanya digeledah. Dia disuruh membuka baju. Apa keselahannya? Kerana dia Melayu? Kalau tidak, kenapa pemandu-pemandu lain yang bukan Melayu tidak ditahan dan tidak diapa-apakan? Apa ertinya tindakan seperti ini?

12.30 tengahari, di Ampang-Ulu Langat, Selangor: Seorang Hamba Allah yang berpakaian baju Melayu kuning sedondon ditahan oleh pihak keselamatan. Apa dosa? Kerana dia berbaju kuning, walaupun di satu lokasi berpuluh kilometre jauhnya daripada Dataran Merdeka Selangor? Apa motifnya tindakan seperti ini?

[akan disambung sebentar lagi]

Masjid Pun Kena Tutup?

2 petang, Jalan Masjid India, Kuala Lumpur: Kira-kira 5,000 orang rakyat jelata berhimpun di sana. Masjid ditutup. Orang Islam tak dapat menunaikan Zohor. Apa ertinya tindakan ini?

[akan disambung sebentar lagi]

Disembur Water Canon

2.10 petang, Masjid Jamek Kuala Lumpur, berhampiran Dataran Merdeka: Sekumpulan umat Islam, lelaki dan wanita, yang selesai menunaikan Zohor dilarang keluar daripada masjid berkenaan. Siapa yang membantah disembur dengan water cannon. Apa ertinya tindakan seperti ini?

[akan disambung sebentar lagi]

Air Di Masjid Negara Dipotong?

2.26 petang: Umat Islam yang terperangkap di Masjid Jamek Kuala Lumpur terus tidak boleh keluar. Water canon menggunakan asid.

Pada ketika ini juga KL hujan lebat. Beribu-ribu peserta gelombang kuning basah kuyup.

2.30 petang: Keadaan di Masjid Negara Kuala Lumpur dilaporkan tegang. Umat Islam tidak dapat menunaikan Zohor kerana bekalan air sengaja dipotong.

[bersambung sebentar lagi]


Target Utama Adalah Melayu/Islam?

2.45 petang: Setelah mengikuti seluruh peristiwa di atas, hati kecil saya membuat kesimpulan seperti berikut: kelihatannya target pihak keselamatan setakat ini hanya tertumpu kepada kelompok rakyat jelata Melayu dan Islam sahaja. Mengapakah jadi begini? Adakah ini arahan pemimpin besar negara? Adakah ini arahan sesetengah personality dalam pasukan keselamatan?
[bersambung sebentar lagi]
Bedilan Gas Dan Acid Bermula..

2.50 petang: Polis mula menembakkan gas pemedih mata ke arah peserta gelombang kuning di dalam Masjid Jalan India dan Masjied Jamek. Peserta di sekitar Bangunan KWSP Jalan Raja Laut pula disembur dengan water canon berisi asid.

[bersambung sebentar lagi]
10,000 Tiba Di Istana Negara

3.00 petang: Para peserta di sekitar bangunan KWSP diberi amaran supaya bersurai. Kalau tidak mereka akan ditangkap beramai-ramai.

3.20 petang: Sekumpulan 10,000 peserta gelombang kuning sudah tiba di kawasan Istana Negara. Sementara itu, kelompok peserta yang dihalang keluar daripada Masjid Jamek pula dilaporkan semakin lumpuh. FRU hampir mengepung seluruh kawasan masjid.

[bersambung sebentar lagi]
Dianggarkan 40,000 Di Hadapan Istana

3.40 petang: Dianggarkan hampir 40,000 peserta gelombang kuning sudah berada di hadapan Istana Negara. Sementara itu, perarakan masih berterusan. Kira-kira sepanjang 1 kilometer lagi gelombang kuning bergerak menuju ke istana tersebut.

[bersambung sebentar lagi]
Daulat Tuanku, Daulat Tuanku, Daulat Tuanku!!!!!

3.55 petang: Jumlah peserta gelombang kuning di hadapan Istana Negara makin bertambah. Seorang peserta mengirimkan sms ini: “saya bangga jadi rakyat Malaysia. Daulat Tuanku!!!” Seorang lagi peserta pula mengirimkan sms ini: “Perkarangan Istana Negara dibanjiri gelombang kuning. Kira-kira 100,000 manusia.”.
Alhamdulillah…

[bersambung sebentar lagi]
Truck FEU Tersadai
4.00 petang: Beberapa truck FRU berkejar ke Istana Negara. Kenderaan mereka tidak boleh bergerak kerana jalanraya dibanjiri gelombang kuning.

Delegasi BERSIH Mengadap Agong

4.03 petang: Syukur Alhamdulillah… Pada jam 4.03 minit sekumpulan 10 orang delegasi BERSIH diperkenan masuk mengadap DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

[Pembetulan fakta: Wakil BERSIH diizinkan masuk ke Istana untuk menyampaikan memorandum kepada Setiausaha Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Setiausaha tersebut menerima memorandum itu dengan perkenan Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong.]

DAULAT TUANKU! DAULAT TUANKU! DAULAT TUANKU!!!!!

[bersambung sebentar lagi]

Hujan Lebat, Gelombang Kuning Terus Menggelora

4.15 petang: Blogger Mohd Sayuti Omar menelefon. Katanya, beliau amat berbangga dengan respons rakyat jelata. Majoriti mereka terpaksa berjalan kaki hampir 15 kilometer untuk ke istana dalam keadaan hujan lebat. Katanya lagi, kalau inilah hakikatnya Pilihan Raya Umum akan datang, hanya Allah sahaja yang mengetahui kesudahannya.

Seorang eksekutif syarikat swasta pula mengirimkan sms: “Alhamdulillah. Saya sudah menunaikan tanggungjawab saya sebagai seorang ayah, seorang individu dan lebih penting lagi, sebagai seorang Muslim. Perarakan ini adalah untuk anak saya, agama saya, bangsa saya dan negara saya. Daulat Tuanku!”

[bersambung sebentar lagi]


Misi Berjaya. Daulat Tuanku!!!

4.25 petang: Seorang anak muda yang saya kenali mengirimkan sms ini: “Saya bersama-sama kira-kira 20,000 orang masih terus berjalan ke Istana Negara. Hidup Melayu! Daulat Tuanku!!!”

Pejuang-penyair Yassin Salleh pula mengirimkan sms: “Misi tertunai. Alhamdulillah! Daulat Tuanku! Daulat Tuanku! Daulat Tuanku!!!!”

Seorang sahabat pula mengirimkan sms ini: “Jam 3.30 petang tadi Agong meninjau gelombang kuning dari udara dengan menggunakan helikopter.”

[Pembetulan fakta: Saya difahamkan bahawa yang meninjau keadaan dari udara dengan menggunakan helikopter adalah sekumpulan pegawai daripada Istana Negara.]

Daulat Tuanku! Daulat Tuanku! Daulat Tuanku!!!!

[bersambung sebentar lagi]

Daulat Tuanku! Daulat Tuanku! Daulat Tuanku!!!!

4.57 petang: Peserta gelombang kuning mula meninggalkan kawasan Istana Negara. Bagaimanapun, wakil BERSIH masih lagi di dalam istana.

Sebagai keseimpulannya, para peserta telah membuktikan bahawa mereka memang bertindak secara aman, walau pun diprovokasi dengan pelbagai rintangan, mereka meneruskan perjalanan mereka dalam hujan lebat menuju Istana Negara.

Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh pengirim mesej dan yang membuat panggilan telefon kepada saya untuk membolehkan saya merakamkan detik bersejarah ini.

Dengan ini, saya tamatkan laporan detik ke detik ini. Analisa mengenai kejayaan gelombang kuning akan menyusul malam ini.

Akhir kata, gelombang kuning yang menggelora telah pun reda bersama senja yang akan berlabuh dengan satu nostalgia kebangkitan rakyat yang amat merindukan kesejahteraan dan kedamaian untuk diwarisankan kepada generasi muka…..

Daulat Tuanku! Daulat Tuanku! Daulat Tuanku!!!! – Ruhanie Ahmad


Gelombang Kuning Menggelorakan
Suara Rakyat Jelata Ke Istana Negara

Dalam tempoh kira-kira tiga jam, Dataran Merdeka Kuala Lumpur, dijangka menyaksikan kemaraan gelombang kuning – gelombang warna dan jiwa yang mencerminkan kesungguhan ratusan ribu rakyat jelata untuk menyampaikan satu memorandum mengenai pilihan raya adil dan bersih kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Menurut penganjurnya, gelombang kuning adalah satu perarakan secara aman yang dilambangkan dengan kibaran Jalur Gemilang dan laungan kalimah Daulat Tuanku, Daulat Tuanku, Daulat Tuanku, dengan nada syahadu yang menggema di angkasa.

Perarakan ini akan dirakamkan oleh puluhan wakilan media antarabangsa dan juga pihak-pihak yang prihatin dengan keluhuran hak asasi manusia. – Ruhanie Ahmad
Perarakan Gelombang Kuning:
Saat Akhir Yang Mendebarkan

Gelombang kuning tetap bermula daripada Dataran Merdeka Kuala Lumpur menuju ke Istana Negara mulai 3.00 petang hari ini, Sabtu, 10 November 2007. Begitulah kenyataan salah seorang penganjurnya pada 1.30 pagi ini.

Katanya lagi, pada saat-saat akhir ini bermacam-macam dakyah dan sms diedarkan. Ada yang mengatakan gelombang kuning akan dipindahkan ke Putrajaya. Ada yang mengatakan sekumpulan orang kuat kuil India yang bermasalah baru-baru ini akan turut serta. Ada yang mengatakan para penganjurnya akan ditahan di bawah ISA tengahari esok. Ada yang mengatakan gelombang kuning akan dibatalkan. Dan, berbagai-bagai lagi sms dan dakyah untuk menggagalkan perarakan tersebut.

“Ini semua karut, ini semua tidak benar, ini semua dakyah, “ kata penganjur itu lagi.

“Pihak Istana Negara sudah pun berkenan menerima 10 orang wakil BERSIH untuk menyerahkan memorandumnya,” tambah beliau.

Oleh itu, katanya, gelombang kuning tetap sebagaimana yang telah dijadualkan pada waktu, hari dan tempat permulaan yang telah diumumkan sebelum ini, iaitu Sabtu, 10 November 2007, mulai 3.00 petang, bergerak daripada Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, menuju ke Istana Negara.

“Jadi, jangan terpedaya dengan apa jua dakyah dan sms. Segala-galanya muktamad seperti yang telah ditetap dan dihebahkan sebelum ini. Tidak ada apa-apa perubahan,” tambahnya. – Ruhanie Ahmad

Friday, November 09, 2007

Kerana Abdullah Pantang Dicabar
Kita Tanya Beliau Soalan Mudah

Datuk Seri Abdullah Ahmad memberitahu seluruh dunia petang tadi bahawa beliau pantang dicabar. Kita mesti terima kenyataan itu dengan penuh hormat dan takzim kerana pendirian itu adalah hak asasi Abdullah sebagai individu, Perdana Menteri dan Presiden UMNO Malaysia.

Oleh kerana itu, saya tidak akan sekali-kali mencabar Abdullah. Tetapi, saya hanya mahu bertanyakan beberapa soalan mudah kepada Abdullah. Soalan-soalannya adalah seperti berikut:

Soalan asal satu: Pihak Istana Negara sudah menyatakan perkenaan untuk menerima 10 orang wakil BERSIH mengadap DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada petang 10.11.07 untuk menyerahkan memorandum mengenai Pilihan Raya. Tidakkah secara tidak langsung ini bermakna bahawa perarakan gelombang kuning berada dalam pengetahuan Istana Negara?

Soalan tambahan: Pihak Perdana Menteri pasti sudah mendapat maklumat ini. Jadi, apa implikasinya kalau perarakan itu dihalang dan para pesertanya dikasari oleh pihak keselamatan?

Soalan tambahan: Bukankah lebih wajar kalau pekembangan di atas ini ditafsirkan secara waras dan rasional untuk mengelakkan sebarang kemungkinan yang seribu satu macam bentuknya?

Soalan asal dua: Perdana Menteri juga memberitahu seluruh dunia petang tadi bahawa peristiwa di Batu Buruk, Terengganu, baru-baru ini adalah perbuatan liar. Kenapa tidak dihebahkan bahawa seorang pegawai polis telah melepaskan dua das tembakan peluru hidup kepada dua orang pemuda tanpa mengikut Geneva Convention?

Soalan tambahan: Kenapa tidak dijawab soalan mengenai tembakan peluru hidup itu sampai sekarang? Siapakah yang liar dalam kes tembakan itu?

Soalan asal tiga (tak berkaitan dengan BERSIH): Sewaktu ratusan ribu rakyat Johor dilanda banjir besar hujung 2006, Perdana Menteri tergesa-gesa terbang ke Perth, Australia. Betulkah laporan akhbar The Star baru-baru ini bahawa Perdana Menteri ke sana untuk pergi belayar dalam sebuah kapal layar serba canggih? Inikah contoh pemimpin besar yang sangat-sangat berjiwa rakyat?

Soalan asal empat (juga tak ada kena mengena dengan BERSIH): Beberapa bulan lalu ada sekumpulan kaum India Malaysia berdemonstrasi di Putrajaya. Adakah demo itu dapat kelulusan polis? Kenapakah kisah itu tidak dilaporkan oleh media perdana?

Soalan tambahan: Kalaulah demo ini tidak ada permit, kenapa tidak ada tindakan polis? Kenapa kisah di Batu Buruk pula diperbesar-besarkan out of propotion?

Saya rasa cukuplah untuk saya mengemukan empat soalan asal dan beberapa soalan tambahan seperti di atas. Saya harap Abdullah tidak akan melenting dan menuduh saya sebagai mencabar beliau.

Saya tidak mencabar sesiapa. Saya hanya kemukakan soalan mudah yang perlu dijawab kalau Abdullah sudi, atau biarkan sahaja tanpa jawapan, kerana sebilangan rakyat jelata pun sudah tahu jawapan sebenarnya.

Pokoknya, saya berpegang kepada kenyataan Abdullah bahawa beliau pantang dibacar. Jadi saya tidak mencabar beliau. Untuk rekod, secara hitam dan putih menerusi blog ini, saya cuma bertanya!!! – Ruhanie Ahmad
Abdullah Panggil Semua Komponen BN
Mahu Umumkan Tarikh Pilihan Raya?

Desas-desus terbaru menyatakan, Datuk Seri Abdullah Ahmad telah mengarahkan seluruh ketua komponen Barisan Nasional (BN) menghadiri majlis penutup Perhimpunan Agung UMNO (PAU) di PWTC, Kuala Lumpur, petang ini.

Abdullah dipercayai akan mengumumkan di majlis itu tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) ke 12 yang akan datang.

Adakah ini benar? Perkara seperti ini tidak pernah berlaku dalam mana-mana PAU sebelum ini. Tetapi, kalau inilah kebenarannya, maka ia akan menjadi satu sejarah dalam politik UMNO.

Bagaimanapun, ada juga maklumat mengatakan bahawa dalam ucapan penggulungannya petang ini, Abdullah akan “condition the minds” atau menyediakan kerangka minda rakyat jelata Malaysia mengenai beberapa isu penting. Antaranya adalah seperti berikut:

Malaysia mungkin kalah kepada Singapura dalam perbicaraan kes Batu Putih yang sedang berjalan di The Hague sekarang ini.

Implikasi negatif beberapa dasar penswastaan dan beberapa klausa perjanjian penswastaan yang selama ini dikatakan menimbulkan ketidakadilan kepada rakyat jelata.

Kesuntukan masa dalam BN dan impak negatif PRU12 kalau ianya dilaksanakan lewat daripada tempoh suku pertama 2008.

Kita tunggulah perkembangan yang sebenarnya petang ini dan pastikanlah sendiri sama ada desas-desus atau ura-ura di atas adalah benar. – Ruhanie Ahmad

Perarakan Gelombang Kuning:
Jalur Gemilang Senjata Utama

Blog ini difahamkan, matlamat tunggal perarakan gelombang kuning mulai 3.00 petang esok, Sabtu, 10 November 2007, daripada Dataran Merdeka menuju ke Istana Negara, Kuala Lumpur, adalah untuk menyampaikan satu memorandum menuntut sistem Pilihan Raya Umum (PRU) yang telus, adil dan saksama di negara ini.

Blog ini juga difahamkan, para peserta gelombang kuning diharamkan daripada membawa apa jua bentuk senjata dan sepanduk berbau politik.

Sebaliknya, pihak penganjur dipetik sebagai berkata bahawa “senjata” yang terbaik sekali pada esok hari adalah sehelai bendera Jalur Gemilang yang bersaiz kecil seperti yang dikibarkan di kereta-kereta sewaktu perayaan kemerdekaan tanahair.

Oleh itu, para peserta dinasihatkan membawa bersama mereka Jalur Gemilang berukuran kecil untuk dikibarkan sewaktu dalam perarakan sambil melaungkan kalimah Daulat Tuanku, Daulat Tuanku, Daulat Tuanku, dengan penuh semangat membelah angkasa. - Ruhanie Ahmad
Terbaru:

Untuk membaca panduan terperinci bagi peserta Himpunan 100k Rakyat, oleh Herman Samsudeen, dalam Malaysia Today, sila askes link berikut:

http://www.malaysia-today.net/nuc2006/letter.php?itemid=167
Kadam-Kadam Beruang Hitam
Mensabotaj Gelombang Kuning?

Kini terdapat sekumpulan kadam suruhan seorang anak muda codenamed “beruang hitam” sedang menyebarkan risalah di sekitar Kuala Lumpur dan Lembang Klang. Kadam-kadam berkenaan diarah oleh bosnya untuk menggagalkan gelombang kuning yang akan menggelora daripada Dataran Merdeka menuju ke Istana Negara, Kuala Lumpur, Sabtu, 10 November 2007, mulai 3.00 petang.

Kadam-kadam “beruang hitam” juga menyebarkan berita bahawa bos mereka telah mengarahkan sekumpulan “askar upahan” untuk memprovokasi peserta gelombang kuning supaya bertindak liar di sepanjang perjalanan mereka menuju ke Istana Negara.

Jangan terpedaya dan jangan patah semangat. Pastikan gelombang kuning akan tetap menggelora. Sepatah kata hebahan dalam Malaysia Today (http://www.m2day.org/), sebaik sahaja perarakan tiba di perkarangan Istana Negara, seramai 10 orang wakil gelombang kuning akan diperkenankan masuk mengadap dan menyampaikan memorandum yang mengandungi hasrat dan cita-cita rakyat jelata kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Lantas, buktikanlah kepada dunia bahawa gelombang kuning memang sebenar-benarnya satu perarakan aman. Mulakanlah langkah dengan bacaan ikrar Rukun Negara. Susulilah ikrar itu dengan nyanyian lagu Negaraku. Laungkanlah kalimah: Daulat Tuanku, Daulat Tuanku, Daulat Tuanku, di sepanjang perjalanan dengan penuh semangat membelah angkasa.

Bergeraklah dengan penuh sopan santun dan budi bahasa. Junjung dan araklah Jalur Gemilang dengan penuh tertib dan gaya perwira negara. Jangan layan apa jua bentuk provokasi yang mungkin dicetuskan oleh kadam-kadam “beruang hitam”. Jalan dan terus berjalan dengan langkah perkasa, mengikut alir dan arus gelombang kuning menuju ke Istana Negara.

Dengan susun cara seperti di atas, mana-mana pihak yang berusaha menggagalkan gelombang kuning adalah kelompok yang mahu mengkhianati rakyat jelata daripada mengadukan nasib mereka kepada Rajanya. Dengan susun cara seperti di atas juga, kalaulah terjadi sesuatu yang tidak diingini, cepat-cepatlah katakan bahawa itulah angkara “beruang hitam” dan kadam-kadamnya yang sedang mabuk kuasa!

Insaflah. “Beruang hitam” sedang bekereja keras untuk mencipta “collateral damage” yang akan dijadikan bahan bukti kononnya gelombang kuning adalah satu tindakan tanpa budaya.

Oleh itu, jangan izinkan gelombang kuning diperdayakan oleh mana-mana pihak. Gelombang kuning bukan berhasrat mencari “collateral damage”. Sebaliknya, gelombang kuning mencita-citakan “collateral advantage” demi kesejahteraan Malaysia dan rakyat jelatanya.

Daulat Tuanku, Daulat Tuanku, Daulat Tuanku!!! – Ruhanie Ahmad

Wednesday, November 07, 2007

Suara Hati Ahli UMNO Biasa
Mengenai Khairy Jamaluddin

Saya seorang ahli UMNO peringkat bawahan. Sempena Perhimpunan Agung UMNO kali ini, saya mahu berkognsi pendapat dengan semua perwakilan mengenai Khairy Jamaluddin. Sikap, gelagat dan perilaku biadap dan angkuh anak muda ini sudah melampaui batas. Ini bukan kerana dia Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Tetapi kerana dia menantu Perdana Menteri.

Mengikut pepatah, bidalan atau peribahasa Melayu, Khairy adalah umpama kadok naik junjung, beruk dapat bunga, kacang lupakan kulit atau kodong dapat cincin. Ada juga karenah dan gelagat Khairy yang melayakkan dia digelar sebagai musang berbulu ayam, gunting dalam lipatan, pagar memakan padi dan sokong membawa rebah. – Kiriman Putera Bentan

Untuk membaca komen sepenuhnya sila akses:

http://puteramalaysia.blogspot.com