Monday, August 14, 2006

'DR M CUBA
JATUHKAN PM'

KUALA KANGSAR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (gambar) menganggap tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad yang berterusan mengkritik pemimpin dan kerajaan bertujuan mahu menghancurkan parti dan menjatuhkan Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Kalau dia terus juga bagi hancur parti kita, dia mahu lihat Umno hancur, lihat presiden turun, saya akan tampil ke hadapan sebagai pendekar Umno untuk membela parti kita. Marah la, saya tak kira,” katanya berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno Bahagian Padang Rengas di Sekolah Menengah Kebangsaan Temenggong, Kati.

Nazri yang juga ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno mempertikaikan kenyataan bekas Perdana Menteri itu bahawa beliau tidak berniat memecah-belahkan Umno.

“Macam mana Umno tidak berpecah. Hari ini pun orang tanya siapa yang betul (Tun atau Pak Lah). Itu pun sudah (dikira) berpecah-belah. Macam mana dia kata tak pecah (belah),” katanya.

Beliau juga menyifatkan kritikan Dr Mahathir sebagai cabaran paling besar dihadapi Umno dan kerajaan ketika ini.

“Pas tidak bersuara, Keadilan tidak bersuara, DAP tidak bersuara tetapi pembangkang yang paling kuat pada hari ini yang mahu melihat Perdana Menteri kita jatuh dan turun ialah bekas presiden kita. Jadi macam mana?” katanya.

Nazri yang juga Ketua Umno Bahagian Padang Rengas berkata, walaupun Dr Mahathir bebas mengkritik kepemimpinan kerajaan tetapi melakukannya di depan ahli parti pembangkang adalah pendekatan yang salah.

Beliau berkata, berikutan itu, pada masa depan ahli Umno tentu sukar disiplinkan jika tindak tanduk Dr Mahathir itu dijadikan teladan.

"Jika ahli lain berbuat seperti bekas Perdana Menteri yang turut menghadiri forum pembangkang, sudah tentu mereka diberi surat tunjuk sebab dan dipecat daripada parti," katanya.

Katanya, atas dasar menghormati Dr Mahathir, beliau dan pemimpin Umno lain tidak meminta bekas Perdana Menteri itu dipecat daripada parti walaupun apa yang dilakukannya sekarang adalah menyalahi peraturan parti.

"Saya fikir dia (Dr Mahathir) melakukan perkara ini kerana tahu sudah melakukan banyak kesilapan dan berharap mendapat simpati. Dalam usaha mendapat simpati, saya fikir dia mahu dipecat daripada parti," katanya.

Nazri berkata, Dr Mahathir seolah-olah memiliki keahlian istimewa dalam Umno menyebabkannya kebal daripada sebarang tindakan disiplin walaupun tindakan beliau ketika ini mirip kepada perlakuan parti pembangkang.

“Dr Mahathir mendapat keahlian itu kerana ahli Umno amat hormat kepadanya. Kelihatan sekarang terdapat satu bentuk keahlian baru, keahlian istimewa yang bermaksud apabila kita sudah melakukan perkara yang baik terhadap parti, kita boleh `menghentamnya' balik...Tak apa,” katanya.

Beliau berkata, Dr Mahathir tidak boleh mendakwa bertindak bersendirian mengkritik kerajaan kerana beliau sudah memegang tampuk pemerintahan negara selama 22 tahun. -http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Sunday/Mukadepan/20060812225341/Article/


‘BIAR PIHAK LAIN
KOMEN DULU’

KEPALA BATAS 13 Ogos – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu mendengar pandangan pihak-pihak lain terlebih dahulu berhubung kenyataan yang menyifatkan tindakan berterusan Tun Dr. Mahathir Mohamad mengkritik pemimpin dan kerajaan, sebagai usaha cuba menjatuhkannya.

‘‘Saya tidak boleh komen yang itu. Biar dia orang komen dulu, saya dengar kemudian,” katanya ketika diminta mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz di Kuala Kangsar.

Perdana Menteri berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Hari Pengasas Yayasan Budi Penyayang dan Bank Muamalat Malaysia Berhad yang terletak di Kompleks Budi Penyayang di sini. -
http://utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=0814&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_03.htm

KRITIKAN TIDAK AKAN JEJASKAN
KEPIMPINAN ABDULLAH

MUAR 13 Ogos – Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin segala kritikan terhadap kerajaan yang dilemparkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed tidak akan menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap kewibawaan dan kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Malah, menurut beliau, seluruh ahli UMNO daripada peringkat akar umbi sehingga ke Majlis Tertinggi percaya bahawa Perdana Menteri perlu diberi peluang untuk terus memimpin negara dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan termasuk memastikan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) mencapai matlamat.

Kata beliau, kritikan yang dibuat terhadap kerajaan pimpinan Abdullah sedikitpun tidak menimbulkan perbalahan dalam parti, malah beliau (Abdullah) mendapat sokongan padu daripada semua ahli parti bagi meneruskan kepimpinannya.

‘‘Saya boleh berkata di sini, seratus peratus ahli UMNO akan tetap menyokong pendirian Pak Lah selaku Perdana Menteri walaupun beliau telah dikritik hebat. Walaupun terdapat sedikit pihak yang menyokong Tun (Dr. Mahathir), itu adalah normal tetapi majoriti semua ahli UMNO akan tetap menyokong Perdana Menteri.

‘‘Kami (semua ahli UMNO) mahu memberi Pak Lah peluang untuk beliau terus memerintah negara dan melaksanakan apa yang dirancangnya termasuk menjayakan RMK-9.

‘‘Lebih banyak Tun Dr. Mahathir bercakap (mengkritik kerajaan), ia akan mengecewakan beliau sendiri kerana segala usahanya itu tidak akan menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap Pak Lah,” jelasnya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pagoh. –
http://utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=0814&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_04.htm


DR. MAHATHIR TIDAK
AKAN RAMPAS KUASA

BATU PAHAT 13 Ogos – Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin yakin Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kini lantang mengkritik kerajaan tidak akan merampas kuasa daripada penggantinya,Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau yang juga bekas Setiausaha Politik Tun Dr. Mahathir menegaskan faktor umur menyebabkan bekas ‘bos’ nya itu tidak akan terfikir untuk berbuat demikian.

‘‘Saya yakin kalau dia (Tun) nak rampas kuasa mengapa dia mesti serah kuasa, bukan kerana saya nak pertahankan Tun ... tidak, bagi saya untuk merampas kuasa balik... sesuatu yang jauh di belakang.

“Bagi saya, adalah salah sekiranya ada pihak mengatakan Tun cuba berbuat demikian dan saya berani cakap kalau dia (Tun) seorang yang mahu berkuasa dia tidak perlu beri kuasa, bukan ada suntikan daripada mana-mana pun.

‘‘Bahkan pada peringkat pertama dia mahu serah kuasa orang menangis jangan Tun... jangan Tun saya nampak lagi muka-muka itu,” jelas beliau.

Abdul Aziz yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menyatakan demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Batu Pahat.
.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Nazri Aziz bahawa tindakan Dr. Mahathir yang berterusan mengkritik pemimpin dan kerajaan bertujuan mahu menghancurkan Abdullah.
Abdul Aziz berkata, apa yang penting semua pihak ketika ini perlu menyokong seluruh kepimpinan Abdullah dan sebagai pemimpin utama negara, sudah tentu Perdana Menteri mahukan semua tugas yang dipikulnya dijalankan dengan baik.

‘‘Rakyat mesti sedar kita mesti membantu kerajaan yang ada kerana pemimpin terbaik itu datang daripada sokongan rakyat. Saya tahu Perdana Menteri kita sekarang mahu membuat kerja terbaik tetapi kadang-kadang ada orang ketiga,” katanya.

Abdul Aziz juga yakin persoalan yang timbul dalam UMNO sekarang akan selesai kerana bilangan yang bermusuh tidak ramai dan parti kukuh seperti dahulu.

Sehubungan itu, Abdul Aziz berkata, bagi mengembalikan suasana keruh kepada jernih sama ada pemimpin hingga peringkat masyarakat hendaklah mengamalkan empat perkara dalam kehidupan iaitu tidak bercakap bohong, jangan mungkir janji, pegang amanah diberikan dan bergaduh jangan sampai berperang.

Katanya, pegangan itu bukan semasa isu yang melanda dalam UMNO sekarang tetapi mesti dijadikan amalan sepanjang masa.

‘‘Pegangan itu sebagai asas hidup sekurang-kurangnya mengurangkan perkara yang tidak baik, ia untuk semua rakyat apatah lagi pemimpin,” ujarnya.-
http://utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=0814&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_02.htm


DR. M TIDAK ADA
KAPASITI JATUHKAN PM

LUMUT 13 Ogos – Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak mempunyai kapasiti untuk menjatuhkan Perdana Menteri kerana institusi itu mempunyai hubung kait dengan Presiden UMNO, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik.

Beliau berkata, hubung kait itu membawa maksud di Malaysia tidak ada seorang pun boleh menjadi Perdana Menteri kecuali beliau merupakan Presiden UMNO.

‘‘Saya mempunyai keyakinan sebarang orang perseorangan termasuk Dr. Mahathir memang tidak mempunyai kapasiti untuk menjatuhkan seorang Perdana Menteri sebab institusi Perdana Menteri ini ada hubung kaitnya dengan institusi Presiden UMNO di Malaysia.

‘‘Jadi sebab itu, kalau beliau (Dr. Mahathir) hendak menjatuhkan Perdana Menteri yang pada masa yang sama Presiden UMNO, maka beliau kena menyakinkan sekurang-kurangnya dua pertiga daripada 191 bahagian UMNO atau sekurang-kurangnya dua pertiga daripada 2,500 hingga 2,600 perwakilan yang bermesyuarat,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan UMNO Bahagian Beruas di sini. –
http://utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=0814&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_06.htm

1 comment:

Anak Deddy said...

SALAM...........

Nazri? Ha ha ha........

Pendekar?

Pendekar bujang lapuk.......
Ha ha ha ha

UMNO pecah? Awak ni doa macam tu kah?
Nak UMNO berpecah ye? Hish tak sayang mulut betul pendekar angkat bakul ni!

Komen Pak Lah?

Hi hi hiks........biasalah
General perang mmg cam tu, dok belakang sekali. Mana berani dok depan, takut kena tembak dulu. Maklum la baru main sepuluh minit, mana puas!!! Bayar sejam, main sejam le! Lain le kalu tembak atau kena tembak awal...he he he...

Tu la jawapan sensasi dari Mr No Comment aka Mr I Dunno aka Mr Naif(no more Nice) Guy!!!!

Wa ka ka ka.......Our politicans now are now acting like a bloopers.

Know Y? Coz our leader is simply Chief of Bloopers.