Thursday, August 03, 2006

DAKWA PENULIS BLOG
BERUNSUR FITNAH

PUTRAJAYA: Penulis blog laman web, termasuk individu bergelar Datuk menghadapi kemungkinan di dakwa ke mahkamah jika artikel atau komentar mereka berunsur hasutan, fitnah dan bercanggah dengan undang-undang negara.

Ini kerana, mesyuarat Kabinet semalam memberi tanggungjawab sepenuhnya kepada Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi untuk mengawasi, memantau dan bertindak terhadap kelompok itu.

Menterinya, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik, berkata kerajaan tidak akan menyekat atau menapis kandungan internet seperti dijanjikan oleh bil jaminan ketika penubuhan Koridor Raya Multimedia (MSC), namun tindakan masih boleh dikenakan mengikut pelbagai akta lain.

“Mana-mana penulis blog, sama ada mereka bergelar Datuk atau tiada Datuk, akan diheret ke mahkamah dan didakwa jika melanggar undang-undang negara sama ada undang-undang jenayah, akta hasutan atau apa saja, kita boleh ambil tindakan.

"Tetapi jika penulis blog itu di luar negara, ia sukar untuk kita ambil tindakan tetapi bukan penulis blog tempatan. Kita boleh (bertindak) jika mereka melanggar undang-undang negara,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat Kabinet di sini semalam.

Kelmarin, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata laporan tidak tepat pelbagai isu yang disebar menerusi SMS dan Internet oleh pihak yang tidak bertanggungjawab akan memberi kesan kepada usaha pembangunan negara.

Lim berkata, pada mesyuarat Kabinet itu, Perdana Menteri bersetuju supaya tiada penapisan terhadap kandungan internet tetapi percaya ada jalan lain untuk bertindak terhadap mereka yang melanggar undang-undang negara. – Dipetik Daripada Harian Metro, 3 Ogos 2006.


No comments: