Monday, August 07, 2006


SIRI JELAJAH DR. MAHATHIR
BOLEH GUGAT BN
PADA PILIHAN RAYA

TUARAN 6 Ogos – Tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengkritik kepimpinan negara dalam siri jelajahnya ke seluruh negara boleh menggugat UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad.

Beliau yang melahirkan kebimbangan itu tidak menolak kemungkinan BN terpaksa berdepan dengan situasi yang hampir sama dengan pilihan raya umum 1999, jika siri jelajah itu berterusan.

Menurutnya, tindakan itu bukan sahaja telah diambil kesempatan oleh parti pembangkang dengan menghadiri setiap siri ceramah bekas Perdana Menteri itu, malah ia juga mengelirukan ahli-ahli UMNO sendiri.

‘‘Dalam keadaan politik sekarang, apabila bekas Perdana Menteri jelajah seluruh negara, ia turut disertai sama oleh parti pembangkang.

“Ini telah menimbulkan kekeliruan dan dalam keadaan kita akan menghadapi pilihan raya akan datang, kita mungkin berhadapan dengan situasi pilihan raya 1999,’’ katanya semasa berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tuaran, di sini hari ini.

Radzi berkata, pada Pilihan Raya Umum 1999, UMNO kehilangan banyak undi majoriti di kubu kuat BN seperti di Shah Alam dan Selayang, ekoran banyak ahli dan penyokong UMNO terkeliru dengan isu pada masa itu.

UMNO dan BN berhadapan dengan cabaran getir pada Pilihan Raya Umum ke-10 pada 1999 berikutan isu pemecatan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang digunakan sepenuhnya oleh parti pembangkang untuk meraih sokongan.

Ketika ditemui pemberita kemudiannya, Radzi mengakui siri jelajah Dr. Mahathir telah membebankan kepimpinan parti sekarang apabila terpaksa membuat penjelasan semula kepada ahli UMNO di pelbagai peringkat.

“Ia satu beban kerana kita terpaksa beri penerangan semula menggunakan banyak tenaga, usaha dan masa. Kita ada banyak kerja yang nak dibuat,’’ jelasnya.

Sehubungan itu katanya, bagi mengelakkan sebarang masalah, seluruh lapisan kepimpinan UMNO khususnya di peringkat cawangan perlu memastikan setiap ahli mendaftar sebagai pengundi.

Menurutnya, terdapat hampir 660,000 ahli UMNO di seluruh negara didapati masih gagal mendaftar sebagai pengundi dan ia merugikan parti apabila berdepan dengan sesuatu pilihan raya.

Beliau menarik perhatian mengenai Pilihan Raya Kecil di Pengkalan Pasir, Kelantan pada 6 Disember tahun lalu apabila 877 ahli UMNO didapati tidak mengundi, sedangkan sepatutnya mereka dapat memberi kemenangan selesa kepada calon BN.

“Akibat masalah ini, Wanita UMNO terpaksa merayu undi dari rumah ke rumah untuk mendapatkan sokongan bagi membantu kemenangan calon kita,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan wakil rakyat BN supaya tidak berasa selesa dengan majoriti undi di kawasan masing- masing kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku pada pilihan raya akan datang.

Turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Sabah yang juga Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin dan Ketua UMNO Bahagian Tuaran, Datuk Hajiji Mohd. Noor.
http://utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=0807&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm


KHAIRY BOLEH LETAK JAWATAN
BERGANTUNG PADA PERWAKILAN


KUALA LUMPUR 6 Ogos – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini berkata, Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin boleh meletak jawatan parti jika sudah dianggap satu liabiliti kepada parti.

Bagaimanapun, Perdana Menteri ketika mengulas perkara itu berkata, keputusan Khairy untuk meletak jawatan sebagai Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO bergantung kepada perwakilan parti.

“‘Kalau orang tak mahu pada dia (Khairy), tunggu apa lagi. Betul tak?

“‘...tentulah kalau orang tak mahu, tentulah dia tak jadi (naib ketua) lagi, tak pegang jawatan yang berkenaan,’’ katanya.

Beliau mengulas kenyataan Khairy semalam bahawa beliau (Khairy) sanggup melepaskan jawatannya jika pergerakan Pemuda menganggapnya sebagai liabiliti kepada parti itu.

Abdullah yang juga Presiden UMNO berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita mengenai perkara itu selepas merasmikan Liga Sukan Komuniti 2006 di Padang Semarak, Angkasapuri di sini hari ini.

Semalam, Khairy memberitahu media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Wangsa Maju dan Cheras di sini bahawa beliau sanggup melepaskan jawatan yang dipegangnya sejak pemilihan parti 2004 jika dianggap sebagai liabiliti kepada pergerakan itu.

Ini katanya, sejajar dengan budaya UMNO iaitu parti lebih penting daripada individu.
Khairy berkata, beliau juga berpegang kepada prinsip bahawa mana-mana pemimpin perlu berundur sekiranya kehadiran mereka dilihat mendatangkan beban atau masalah kepada organisasi masing- masing.

Bagaimanapun, sebagai menghormati anggota parti, Khairy berkata sebarang keputusan mengenai kedudukannya hanya boleh ditentukan oleh perwakilan pergerakan itu memandangkan mereka yang memilihnya.

Semalam adalah penampilan dua hari berturut-turut menantu Perdana Menteri itu membuat penjelasan secara terbuka kepada anggota UMNO berhubung tuduhan yang dilemparkan kepadanya.

Jumaat lepas, ketika merasmikan persidangan Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, Khairy menafikan tuduhan bahawa beliau telah berkahwin dengan pelakon popular Maya Karin.

Menurut Abdullah, semua pemimpin UMNO mempunyai prinsip yang sama iaitu apabila tidak diperlukan, maka boleh meletak jawatan.

Beliau menegaskan, jawatan Khairy itu sememangnya dipilih oleh ahli dan jika tidak diperlukan oleh ahli, maka peletakan jawatan adalah yang paling sesuai.
http://utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=0807&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_01.htm


‘PENYEBAR FITNAH
UMPAMA BERUK SARKAS
GONCANG POKOK’


KLANG 6 Ogos – ‘‘Kalau tiada angin, masakan pokok boleh bergoyang’’. Itulah peribahasa yang masih kedengaran ditujukan kepada Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin walaupun beliau telah menafikan dakwaan berkahwin dengan pelakon, Maya Karin.

Menurut beliau, masih ada pihak yang tidak percaya bahawa beliau tidak berkahwin dengan Maya walaupun telah memberi penjelasan secara terbuka semasa merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, kelmarin.

‘‘Ada seorang teman memberitahu saya, isterinya tidak percaya dengan penafian itu kerana katanya kalau tiada angin, masakan pokok boleh bergoyang.

‘‘Bagaimanapun, dalam keadaan sekarang ini, peribahasa seperti itu tidak boleh digunakan kerana jika ada orang yang goncang pokok itu daripada bawah, tentulah bergoyang dan kalau yang goncang itu berukpun, tentu bergoyang juga.

‘‘Jadi yang goyang pokok itu (sebarkan fitnah), saya ibaratkan seperti beruk, beruk sarkas,’’ katanya sambil disambut gelak ketawa perwakilan ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Klang, di sini malam tadi.

Sambil berseloroh beliau menambah: ‘‘Saya tidak teringin berkahwin dengan pontianak.”

Bagaimanapun kata-kata itu disambut oleh salah seorang perwakilan yang berkata, walaupun pontianak tetapi pontianak itu cantik dan dewan sekali lagi gamat dengan gelak ketawa.Maya pelakon utama filem Pontianak Harum Sundal Malam 1 dan 2.

Khairy berkata, beliau amat kesal dengan fitnah itu kerana ia membabitkan rumahtangganya dan menegaskan beliau tidak suka memberi penjelasan secara terbuka mengenai peribadi, apatah lagi soal rumahtangganya.

‘‘Bayangkan, saya terpaksa beri penjelasan mengenai rumahtangga saya dalam forum UMNO,” katanya.

Khairy menambah, beliau dan isterinya Nori mahu bersama-sama UMNO memberi sumbangan menguatkan parti.

Bagaimanapun, katanya, ada pihak yang tidak puas hati dan menfitnah mereka dengan pelbagai tuduhan sehingga mengaitkan hal-hal peribadi.

Katanya, sudah dua tahun beliau diasak bertubi-tubi dengan pelbagai fitnah dan sehingga kini fitnah itu masih berterusan.

‘‘Apa salah kami? Salahkah atau tidak bolehkah kami (walaupun anak dan menantu Perdana Menteri) memberi sumbangan kepada parti?. Apa pula sumbangan ‘beruk sarkas’ ini kepada parti?,’’ soalnya.

Menurut Khairy, sebagai menantu kepada Perdana Menteri, beliau boleh berfoya-foya atau duduk goyang kaki di rumah dan tidak memikirkan masalah negara melainkan keluarga dan diri sendiri.
‘‘Tetapi kami pilih untuk bersama-sama berjuang dalam parti untuk kepentingan orang Melayu dan membangunkan negara,’’ katanya.

Sehubungan itu, katanya, sekiranya dirinya menjadi beban kepada parti, beliau sedia berundur diri kerana baginya institusi UMNO lebih penting daripada individu.

‘‘Saya belajar banyak daripada bapa mentua saya, beliau selalu berkata, bercakap benarlah walaupun kebenaran itu amat pahit untuk diterima,’’ ujarnya.
http://utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=0807&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_02.htm

KHAIRY TAK PERLU UNDUR

KUALA LUMPUR: Pelbagai peringkat kepemimpinan Umno semalam menganggap hasrat Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin (gambar) meletak jawatan bukan penyelesaian terbaik untuk menyangkal fitnah terhadapnya.

Sebaliknya, mereka menasihatkan Khairy bersikap rasional dan membuat pertimbangan teliti dengan mengutamakan kepentingan parti sebelum membuat sebarang keputusan.

Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Khairy perlu berfikir panjang kerana peletakan jawatan tidak semestinya menyelesaikan masalah, sebaliknya mencipta masalah baru dalam Pemuda Umno dan memberi kesan kepada parti.

“Soal nak letak jawatan itu hak dia tapi dia kena juga fikir panjang pro dan kontra. Mungkin lebih banyak kontranya. Jika dia boleh jelas (dakwaan) dan orang terima, mungkin boleh selesai masalah dan dia boleh terus memegang jawatan,” katanya.

Kelmarin, Khairy menyatakan kesediaan berundur daripada memegang jawatan parti jika dia dianggap liabiliti kepada parti. Bagaimanapun, jika ahli berasa beliau boleh membantu ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menjalankan tugas beliau akan terus berjuang bersama barisan Pemuda.

Muhyiddin berkata, sebagai orang muda dan memegang jawatan penting, Khairy mesti berani mempertahankan diri serta menjawab serta memberi penjelasan fitnah terhadapnya atau isu lain yang dikaitkan dengan namanya.

“Orang terima atau tidak, itu soal mereka tetapi saya fikir ia sikap yang baik kerana kita tak mahu ia membebankan Perdana Menteri kerana ada yang mengaitkan antara kedua-duanya,” katanya.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pula berkata, menantunya itu tidak perlu menyandang jawatan Naib Ketua Pemuda Umno jika perwakilan parti sendiri tidak mahukannya.

“Kalau orang tak mahu pada dia, tunggu apa lagi. Betul tak? Orang tak mahu dah...tentulah kalau orang tak mahu, dia tak pegang jawatan berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Liga Sukan Komuniti 2006 di Padang Semarak Angkasapuri di sini, semalam.

Perdana Menteri berkata, Khairy dipilih oleh ahli pergerakan itu dan tindakan untuk mengundurkan diri juga perlu mendapat maklum balas daripada peringkat akar umbi parti.

Sementara itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob pula berkata, hanya Persidangan Pemuda Umno berhak menurunkan Khairy daripada jawatan itu.

“Kita kena ingat Khairy jadi Naib Ketua bukan dia sendiri pilih, bukan Perdana Menteri pilih tetapi Pemuda pilih. Kalau Pemuda pilih kerana dia menantu Perdana Menteri, itu hak Pemuda. Kalau Pemuda nak Khairy, kita tidak boleh halang,” katanya.

Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Norza Zakaria pula menggesa pihak yang melemparkan pelbagai tuduhan memberhentikannya serta merta kerana ia umpama menyerang dan memperlekehkan institusi Pemuda Umno sendiri.

“Pemuda Umno menyokong penuh tanpa berbelah bagi kepemimpinan Hishammuddin dan Khairy sebagai pemimpin paling kanan Pemuda yang juga aset penting negara,” katanya.

Penolong Setiausaha Pemuda Umno, Datuk Abdul Rahman Dahlan dengan nada tegas memberi amaran kepada pihak luar supaya tidak masuk campur dalam urusan pergerakan itu.

“Kerja untuk menaikkan atau menjatuhkan pemimpin Pemuda Umno adalah hak dan tanggungjawab ahli pergerakan, pihak luar jangan masuk campur,” katanya.

Ketua Penerangan Pemuda Umno, Datuk Azimi Daim pula meminta Khairy tidak tunduk kepada pihak yang berniat jahat menabur fitnah dengan meletak jawatan.

Beliau berkata, Khairy perlu bertindak rasional dengan meneliti setiap dakwaan dan memberi penjelasan untuk meredakan keadaan.

Exco Pemuda Umno, Reezal Merican Naina Merican, pula berkata fitnah itu memberi kesan kepada imej Pemuda dan memuji keberanian Khairy memberikan penjelasan kerana beliau tidak bersalah.

“Khairy sudah memberi penjelasannya dan dia sanggup meletak jawatan jika betul tuduhan itu. Beliau pendirian terbuka dan itu membuktikan bahawa beliau berani kerana benar.

“Takkan Khairy dikorbankan hanya kerana fitnah. Hari ini orang mengenakan Khairy dan mungkin esok orang lain pula yang akan menjadi mangsa,” katanya.

Di IPOH, Ketua Pemuda Umno Perak, Zainol Fadzi Paharudin, mahu Khairy terus memimpin pergerakan itu di sebalik pelbagai tohmahan yang dilemparkan.

“Melepaskan jawatan bukan tindakan tepat dan kita berharap Khairy terus cekal serta tabah menghadapi sepak terajang dalam dunia politik.

Di SEREMBAN, Ketua Pemuda Umno Negeri Sembilan, Datuk Jamlus Aziz, berkata Khairy tidak perlu berundur hanya kerana tohmahan, sebaliknya diterima sebagai asam garam politik.

“Beliau dipilih dan mendapat mandat ahli Pemuda Umno seluruh negara dan jika ada sebarang perubahan pun, biarlah ahli membuat keputusan pada pemilihan akan datang,” katanya.

Di KANGAR, Pemuda Umno Perlis mahu Khairy tidak lagi menimbulkan hasratnya untuk meletak jawatan walaupun pelbagai fitnah dan tohmahan dilemparkan.

Ketuanya, Rozabil Abdul Rahman, berkata ahli pergerakan itu tidak pernah merasakan Khairy adalah liabiliti kepada parti, sebaliknya aset penting parti.

Di KOTA BHARU, Pemuda Umno Kelantan meminta Khairy terus memimpin pergerakan itu bersama Hishammuddin demi kepentingan Melayu.

Ketua Pemuda Umno negeri, Dali Husin, berkata pemimpin nombor dua pergerakan itu yang dikaitkan dengan pelbagai spekulasi termasuk berkahwin dengan pelakon Maya Karin bukan liabiliti terhadap parti.

“Khairy juga bukan pengkhianat...ini hanya cakap-cakap dan tohmahan pihak tertentu yang mempunyai agenda untuk melemahkan Pemuda dan Umno secara keseluruhan,” katanya.

Di KUALA TERENGGANU, Pemuda Umno negeri juga mahu Khairy terus menjawat jawatan dan tidak gentar menghadapi tohmahan oleh pihak yang ingin menggugat keutuhan parti.

Ketua Pemudanya, Mohd Sabri Alwi, berkata ahli pergerakan itu tetap yakin terhadap kepimpinan Khairy dan akan menyokong setiap usaha bagi menjawab tohmahan terhadpnya.

Di MUAR, Ketua Pemuda Johor, Razali Ibrahim, berkata fitnah terhadap Khairy tidak akan berhenti hanya jika beliau berundur daripada memegang jawatan parti.
http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Monday/Mukadepan/20060806231627/Article/

KETUA PEMUDA
IPOH BARAT
LETAK JAWATAN

IPOH 6 ogos – Persidangan perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Barat hari ini dikejutkan dengan pengumuman peletakan jawatan ketuanya, Syed Mohamed Noor Azmi Syed Hassan Nazari.

Syed Mohamed Noor Azmi membuat pengumuman itu semasa berucap pada majlis perasmian persidangan perwakilan pergerakan itu di hadapan Ahli Majlis Tertinggi UMNP, Datuk Dr. Noraesah Mohamad.

Beliau yang merupakan seorang ahli perniagaan dan memegang jawatan itu sejak 2000 berkata, jawatannya kini akan dipangku oleh Naib Ketua, Ahmad Faizal Azumu.
Beliau tidak menyatakan sebab peletakan jawatan dan enggan mengulas apabila ditanya oleh para pemberita kemudian.

Bagaimanapun dalam ucapannya, beliau berkata, Pemuda Ipoh Barat akan membawa usul pada Perhimpunan Agung UMNO wanita meminta memberi jawapan dan penjelasan yang lebih terperinci terhadap pelbagai persoalan yang dibangkitkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.

‘‘MT juga perlu mengadakan mesyuarat khas dengan menjemput dr. mahathir bagi membincangkan segala kemelut yang melanda parti dan negara sebelum keadaan menjadi bertambah parah.

‘‘Para pemimpin parti hendaklah mencari jalan untuk memastikan tiada lagi pertembungan di kalangan pemimpin-pemimpin parti. setiap kenyataan yang dibuat hendaklah mengutamakan sensitiviti ahli.

‘‘Sifat adab sopan pemimpin melayu hendaklah diketengahkan,” ujarnya.

Syed Mohamed Noor Azmi juga berkata, Pemuda UMNO Ipoh Barat akan tetap taat dan setia kepada kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Presiden parti dan Perdana Menteri.

‘‘Pembentangan usul ini adalah satu cara kami untuk menyuarakan pandangan kami terhadap pentadbiran kerajaan,” katanya.

http://utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=0807&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_06.htm



LUAHAN RASA
UMNO ROMPIN
KEPADA PM


ROMPIN 5 Ogos – UMNO Bahagian Rompin hari ini meluahkan pandangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya lebih berwaspada apabila berurusan dengan Singapura.

Ketuanya, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis berkata, Pemuda, Wanita dan Puteri mahu kepimpinan negara berhati-hati dengan tindak-tanduk Singapura supaya negara ini tidak mudah diperkotak-katik.

Katanya, ketiga-tiga cabang UMNO itu sebulat suara menyokong kepimpinan Abdullah menjalankan dasar menghormati dan berbaik-baik dengan negara jiran itu tetapi perlu sentiasa berhati-hati kerana selama ini Singapura hanya mementingkan diri sendiri sahaja.

‘‘Saya akan membawa pandangan ini ke Majlis Tertinggi bagi memastikan negara kita terus dihormati oleh negara jiran. Pada dasarnya, Pemuda, Wanita dan Puteri melahirkan sokongan tidak berbelah-bahagi kepada Presiden UMNO bagi memastikan kesinambungan pembangunan negara dan Wawasan 2020 berjalan lancar,” kata Jamaluddin.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Bahagian Rompin 2006 di Auditorium Uniten, Muadzam Shah dekat sini, hari ini.

‘‘Walaupun kita mencapai kemenangan besar dalam pilihan raya lalu tetapi itu tidak bererti kita berasa selesa. Sebaliknya kita perlu berusaha keras mengekalkan kecemerlangan UMNO Rompin dan sentiasa berhati-hati dengan anasir dari luar dan dalam yang cuba merosakkan parti.

‘‘Kita harus berhati-hati kerana terdapat usaha golongan tertentu untuk membawa semula bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke dalam UMNO. Jika ini berlaku ia boleh menimbulkan perpecahan dalaman parti,” kata beliau.

Menurutnya, ini menunjukkan UMNO adalah sebuah parti keramat yang sukar digugat kerana mereka yang menderhaka kepada parti dan cuba berjuang dari luar akan gagal dan akhirnya cuba kembali semula apabila sedar perjuangan itu tidak akan membawa mereka ke mana-mana.

Sebelum ini kata beliau, UMNO telah berhadapan dengan dugaan besar sehingga memecah-belahkan parti pada 1987.

Katanya, ahli UMNO juga perlu mengukuhkan perpaduan supaya perpecahan pada 1997 tidak berulang.
http://utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2006&dt=0806&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_01.htm

http://utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2006&dt=0806&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_01.htm

1 comment:

Truth said...

Syabas orang Pahang. Ada juga yang celek. Ingatkan dah buta tuli orang2 UMNO yang menyokong tanpa syarat.

Jangan kita terlalu ghairahkan keadaan di Palestine dengan kerenah Israel sedangkan kita lalai apabila berdepan dengan Yahudi Asia Tenggara. Allahu Alam.

Selamat Bersidang kepada UMNO Bahagian2 seMalaysia.