BLOGGERS WILD WEST
PENDUKUNG KEBENARAN
Asyik ada-ada sahaja. Lepas satu, satu tuduhan lagi ditimbulkan. Naik pening kepala kita dibuatnya. Hilang kisah singa sarkas, timbul cerita beruk sarkas. Hilang kisah beruk sarkas, timbul kisah iblis. Hilang isu iblis, muncul pula isu penembak curi.
Bagaimana agaknya kalau satu hari nanti ramai rakyat jelata Malaysia pula yang asyik mengeluarkan tuduhan demi tuduhan? Umpamanya, rakyat Malaysia akan menuduh sipolan itu malaun, sipolan itu talam dua muka, sipolan itu agen makhluk asing, sipolan itu konco Dick Cheney, sipolan itu rapat dengan MI6 London, sipolan tu tak tau mengenang budi, sipolan itu lesbian, sipolan tu homo, sipolan tu rasuah, dan berbagai-bagai lagi sipolan tu…..
Saya bangkitkan pertanyaan hipotatikal di atas kerana tuduhan sedemikian tidak menyelesaikan masalah. Dalam konteks “wild, wild bloggers” contohnya, apa gunanya Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor, mencabar bloggers bertopeng untuk berbahas dengan beliau?
Datuk Shaziman bukan tak tau, di abad ke-21 ini, ada segolongan “manusia bertopeng” yang melaksanakan operasi hitam dan bendera palsu bagi pihak neoimperialis. Contohnya, segolongan “manusia bertopeng” kini diperalatkan oleh sesetengah pihak untuk menghuru-harakan Iraq.
Kalau kita rajin menganalisa perkembangan geopolitik dunia mutakhir, kita akan setuju bahawa segolongan “manusia bertopeng” memang mahu diberikan imej yang kononnya sinonim dengan “teroris Islam antarabangsa.”
Contohnya di Iraq. Orang yang menculik sesiapa sahaja setahun dua yang lalu, adalah “manusia bertopeng”. Oleh kerana wajah sebenar “manusia bertopeng” itu tidak kelihatan, maka mudahlah mereka diberi jenama dan label.
Amerika Syarikat dan jentera propagandanya pun menuduh kelompok “manusia bertopeng” itu kononnya sebagai teroris Islam yang memusuhi demokrasi dan memusuhi dunia Barat.
Anehnya, majoriti masyarakat dunia percaya sepenuhnya dengan propaganda itu. Mereka langsung tidak mahu berfikir, kalau-kalaulah “manusia bertopeng” itu adalah agen neoimperialis yang bertindak untuk memburuk-burukkan dunia Islam, umat Islam dan agama Islam.
Begitu juga dengan “bloggers bertopeng” di Malaysia hari ini. Datuk Shaziman tak boleh borong dia orang semua sebagai “penembak curi.” Tak adil tuduh begitu. Nanti dia orang tembak balik Datuk Shaziman sampai jatuh terduduk baru padan muka.
Kalau dia orang tak mau tembak pun, nanti dia orang pujuk-pujuk seorang dua orang kuat Pakeda Kuala Lumpur jumpa Datuk Shaziman pun cukup. Di kalangan bloggers yang dicap sebagai “penembak curi” mesti ada yang tau mengapakah Datuk Shaziman akan lari tak cukup tanah kalau ada orang Pakeda Kuala Lumpur cari dia.
Saya yakin Datuk Shaziman mencabar kumpulan “bloggers bertopeng” ini kerana persepsi umum mutakhir ini mengatakan, semua bloggers yang berselindung di sebalik nama samaran di Malaysia adalah bloggers yang mahu memperkecil-kecilkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, penyebar fitnah dan juga penghasut.
Persepsi umum juga mendakwa bloggers jenis ini kononnya sebagai kumpulan baling batu sembunyi tangan, tidak bertanggungjawab, tidak beretika, dan mahu melumpuhkan kerajaan.
Tetapi, adakah kesemua konon dan dakwaan itu benar. Tidakkah ada segelintir “bloggers bertopeng” itu yang menyatakan kebenaran? Tidak mungkinkah kebenaran itu amat dirasai sehingga ada pihak yang panik dan menggelabah tak tentu pasal?
Pada waktu yang sama, adakah Datuk Shaziman pernah berfikir sejenak dan bertanya kepada diri kita sendiri - macam manakah kalau segolongan bloggers yang berselindung itu sebenarnya bloggers yang diupah menulis untuk sengaja memburuk-burukkan imej pihak-pihak yang kini didakwa kononnya memusuhi Perdana Menteri?
Bagaimana kalau bloggers sedemikian sengaja diupah oleh anasir yang hendak menangguk di air keruh? Bagaimana kalau bloggers itu adalah upahan anasir asing yang berminat kepada kehuru-haraan di Malaysia? Soalan-soalan ini hipotatikal. Tetapi, perlulah dikaji oleh Datuk Shaziman.
Oleh itu, Datuk Shaziman tak perlu bimbang pasal bloggers yang tidak bertopeng seperti Datuk A. Kadir Jassin, Saudara Rocky Bru atau Ahiruddin Attan, bekas Ahli ParlimenJames Wong, Saudara Fathi Aris Omar, Tuan Syed Imran, Saudara Khalid Jaafar, Saudara Jeff Ooi, dan saya sendiri.
Bacalah blog mereka, analisalah tulisan mereka, dan adililah mesej mereka. Bukankah mereka pencari kebenaran dan pendukung kebenaran? Adakah mereka ini kelompok anti-nasional? Adakah mereka menyalahgunakan internet? Adakah mereka mahu Malaysia jadi huru-hara? Adakah mereka “penembak curi”? Bukankah mereka rakyat Malaysia yang mahu sama-sama mempertahankan maruah dan kedaulatannya?
Saya harap Datuk Shaziman sudi baca blog saya, www.kuda-kepang-blogspot.com. Carilah artikel saya 7 Ogos 2006 yang berjudul BLOGGERS, BERUK DAN LIM KENG YAIK. Dalam artikel itu saya cadangkan kerajaan kaji kemunculan bloggers di Malaysia mutakhir ini. Saya juga cadangkan semoga kerajaan bersemuka dengan kelompok gentlemen bloggers daripada seluruh tanahair.
Saya buat cadangan di atas kerana hari ini, banyak pihak prcaya, blogspots sudah mengatasi suratkabar atau media cetak. Kalau tidak, mana mungkin ramai rakyat Malaysia dalam lingkungan umur 60 tahun ke atas, kini dikatakan berebut-rebut hendak menguasai internet. Kenapa? Kata pihak yang membawa cerita, mereka mahu melayari blog Datuk Kadir, Rocky, Jeff Oii, kmu-net, kuda-kepang @ gerbang ruhanie dan sebagainya.
Cerita di atas bukan rekaan. Jadi, kalau Datuk Shaziman dan bosnya masih mahu memusuhi bloggers di Malaysia, apa kita boleh buat? Permusuhan itu hanya akan menambahkan populariti blog-blog tertentu di Malaysia.
Saya tidak berhak mewakili sahabat bloggers yang tidak bertopeng. Tetapi, saya amat yakin dan percaya bahawa mereka dan segolongan “bloggers bertopeng” adalah golongan yang berjuang untuk mencari kebenaran, menegakkan kebenaran, menjunjung kebenaran, dan mempertahankan keadilan, demi bangsa Malaysia dan negara Malaysia tercinta.
Maka, terserahlah kepada Datuk Shaziman dan bosnya. Pokoknya, kalau adalah “wild bloggers” di “wild, wild, web” di Malaysia pada hari ini, saya yakin segolongan daripada bloggres kategori itu adalah pencari kebenaran, pendukung kebenaran dan penjunjung kebenaran.
Oleh itu, tanganilah fenomena bloggers bertopeng ini secara bijaksana. Ibarat menatang minyak yang penuh. Ibarat menarik rambut dalam tepung. Secara berhemah. Secara sopan santun. Secara berbudi dan berbahasa.
No comments:
Post a Comment