Monday, August 07, 2006



BLOGGERS, BERUK
DAN LIM KENG YAIK


Hang mesti kow-tow habisan-habisan kepada Datuk Seri Lim Keng Yaik. Hang juga mesti katakan kepadanya kata-kata merdu seperti berikut: Soli Latuk Seli, soli. Wa caya sama lu, lu caya sama wa. Wa sulah give up. Wa sulah panas montot. Wa tak mau lagi blogging. Wa tak mau manyak olang jali panik. Wa tak mau manyak olang jali mingung. Wa tak mau manyak olang jali loklak. Wa tak mau manyak olang jali gempaq. Soli Datuk Seli. Soli, soli, soli, soli. Satu yuta kali soli ok hoh!

Kata-kata di atas didramakan oleh seorang sahabat daripada Kedah kepada saya menerusi telefon pada 3 Ogos 2006. Waktu dia mendramakan kata-kata itu, pelat suaranya sebiji macam suara seorang anak Cina kawan saya di Yong Peng, Batu Pahat, Johor. Sahabat saya mendramakan kata-kata di atas kononnya kerana dia mahu memberi amaran kepada saya bahawa bloggers Malaysia kini berhadapan dengan seribu satu kemungkinan kena tahan, kena masuk lokap atau disumbatkan ke pusat tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Pada hari yang sama, saya juga menerima satu pesanan ringkas daripada seorang sahabat di Parit Sulong. Secara berjenaka, pesanan itu meminta saya bersiap sedia dengan sehelai tuala Good Morning, sehelai sejadah, sehelai seluar dalam, sehelai kain, sebatang berus gigi dan ubatnya, sebatang pisau cukur dan senaskah surat Yasin. Katanya, semua keperluan itu hendaklah dimasukkan ke dalam sebuah beg plastik. Lepas itu, katanya, saya kenalah tunggu di muka pintu rumah saya untuk menanti kedatangan tetamu tidak diundang yang kononnya akan menjemput saya ke suatu destinasi yang penuh misteri.

Berikutnya, saya tidak putus-putus menerima panggilan telefon - dari Sarawak, dari Sabah, dari Kelantan, dari Terengganu, dari Seremban, dari..... Kesemuanya bimbang sesuatu akan terjadi ke atas diri saya. Kesemuanya ingin tahu kalau saya selamat sejahtera. Bagaimanapun, ada seorang daripada mereka meminta saya membaca akhbar Harian Metro.

Jadi, saya pun meminta seorang kakitangan saya membeli akhbar berkenaan. Rupa-rupanya, akhbar itu menyiarkan kenyataan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Lim Keng Yaik, seperti berikut:

“Mana-mana penulis blog, sama ada mereka bergelar Datuk atau tiada Datuk, akan diheret ke mahkamah dan didakwa jika melanggar undang-undang negara sama ada undang-undang jenayah, akta hasutan atau apa saja, kita boleh ambil tindakan.”

Berasaskan kenyataan di atas, ramai kawan-kawan mencadangkan agar semua bloggers Malaysia mendedikasikan tabik hormat yang paling istimewa kepada Datuk Seri Lim Keng Yaik. Hakikatnya demikian kerana kenyataan di atas membuktikan bahawa beliaulah orang yang paling berkuasa mengenai hal ehwal ruang maya pada (cyberspace) di negara ini.

Sesungguhnya, memang tidak ada sesiapa yang boleh menyekat tindakan yang diura-urakan ke atas bloggers. Tetapi, ketahuilah bahawa ura-ura tersebut sebenarnya telah menyebabkan lebih ramai warga maya Malaysia berebut-rebut melawat blog dan lamanweb tertentu di negara ini. Pelawat-pelawat itu termasuklah rakyat Malaysia yang berada di seberang laut.

Akibatnya, ada sesetengah blogger kini mendakwa, kononnya kebelakangan ini, blognya dilawati oleh sekurang-kurangnya satu juta pelawat sehari. Adakah ini benar? Kalau benar, ini bermakna blog-blog yang didakwa sebagai penjaja dan penyebar fitnah dan hasutan, kini menerima audiens yang semakin besar. Dan, kalaulah apa yang didakwa sebagai fitnah dan hasutan itu adalah kebenaran, ini bermakna lebih ramailah warga Malaysia yang kini mengetahui hakikat kebenaran itu.

Tahniah dan syabas Datuk Seri Lim Keng Yaik. Syabas kerana menyebabkan lebih ramai pelawat berkerumun ke beberapa blog dan lamanweb Malaysia yang tertentu kebelakangan ini. Tahniah kerana menyebabkan jumlah hit sesetengah blog dan lamanweb kini mencecah satu juta, melebihi edaran harian akhbar perdana negara!

Oleh itu, Datuk Seri Lim Keng Yaik dan kerajaan perlu bertindak secara lebih kreatif dan lebih bijaksana. Jangan gempaq-gempaq tak tentu pasal. Jangan ugut-ugut tak tentu pasal. Kalau asyik gempaq-gempaq dan ugut-ugut, lebih ramai generasi internet akan marah kepada kerajaan. Lebih ramai warga maya akan marah kepada kerajaan. Kemarahan seperti ini mungkin menjadikan demokrasi siber atau kebebasan maya lebih liar dan membakar.

Jadi, Datuk Seri Lim Keng Yaik perlu mencadangkan kepada kerajaan supaya apa yang disifatkan sebagai peperangan pena menerusi intrnet pada hari ini dibalas dengan serangan pena juga. Banjirilah alam maya Malaysia dengan beribu-ribu lagi blog dan lamanweb tajaan kerajaan dan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN).

Strategi seperti ini dilakukan oleh Pentadbiran Bush untuk mengeliru, menenggelam, meluntur dan neutralize seluruh bloggers dan lamanweb yang mencari kebenaran mengenai peristiwa 911 dan Perang Iraq. Akibat, mereka yang melayari blog dan lamanweb mengenai 911 dan Perang Iraq secara sambil-sambilan pun jadi keliru. Begitu juga dengan lamanweb dan blog tajaan zionis yahudi. Blog dan lamanweb jenis ini mercup seperti cendawan tumbuh. Akibatnya, banyak pihak jadi keliru dan kebingungan.

Jadi, Datuk Seri Lim Keng Yaik, apa macam? Bolehkah cadangan di atas difikirkan semasak-masaknya? Tapi, kalau kerajaan memang dah pasti nak cekup sesetengah bloggers di Malaysia, kononnya atas dakwaan memfitnah atau menghasut, rasa-rasanya wajarlah aspek fitnah dan hasutan itu dikaji sehalus-halusnya. Ini kerana elemen fitnah dan hasutan seperti yang didakwa wujud menerusi sesetengah blog dan lamanweb tertentu, sebenarnya mungkin juga wujud di alam nyata, khususnya dalam media cetak.

Contohynya, apakah hukuman yang akan dikenakan kepada kumpulan pengarang sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang terang-terang menyiarkan berita dan gambar Presiden UMNO Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, sempena Sambutan 60 Tahun UMNO, sebelah menyebelah dengan satu iklan beer secara berwarna warni? Tidakkah tindakan pemaparan seperti ini disifatkan sebagai penghinaan terhadap Datuk Seri Abdullah dan UMNO oleh sebuah akhbar milik UMNO?

Contohnya, apakah hukuman yang boleh dikenakan terhadap kumpulan pengarang sebuah akhbar Inggeris milik UMNO yang telah menyiarkan kartun yang mempersenda-sendakan Nabi Muhamad SAW? Bukankah perbuatan itu mempersenda-sendakan UMNO, tulangbelakang Kerajaan Malaysia yang menjadi Pengerusi OIC? Lebih serius lagi, tidakkah tindakan itu memprsenda-sendakan Islam, agama rasmi Malaysia?

Contohnya, apakah tindakan yang akan diambil ke atas seorang orang besar sebuah akhbar Inggeris yang membohongi rakyat Malaysia mengenai hakikat pertemuan Datuk Seri Abdullah dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad di Tokyo tempohari?

Memang seluruh kes membabitkan media cetak seperti di atas tidak melibatakan Datuk Seri Lim Keng Yaik. Tetapi, sebagai seorang Menteri senior dalam Kabinet Malaysia hari ini, sewajarnyalah beliau menasihati pihak-pihak yang bertanggungjawab terhadap media cetak supaya melihat perkara di atas dengan serius. Jangan nanti sampai ada orang tuduh kerajaan sebagai double standard!

Satu lagi aspek yang mesti dilihat secara serius oleh Datuk Seri Lim Keng Yaik adalah aspek-aspek subversion halus yang diselitkan menerusi sesetengah iklan televisyen di negara ini. Saya tidak termampu untuk memperincikan perkara ini. Tetapi, gunakanlah pakar-pakar yang ada untuk mempastikan wujudnya unsur-unsur subversion halus terhadap gaya hidup, adat, susila dan budaya timur menerusi iklan. Usaha ini penting dan kritikal terhadap kelangsungan Malaysia di hari muka.

Oleh itu, kalau benarlah segolongan besar bloggers dan pengoperasi lamanweb berita di Malaysia kini bertindak tanpa etika dan batasan undang-undang, saya percaya keadaan di negara ini akan jadi kalam-kabut. Ini kerana bloggers itu akan siarkan apa sahaja ke internet tanpa mempastikan maklumat-maklumat itu fitnah atau hasutan.

Bagaimanapun, hakikatnya tidak begitu. Contohnya, dalam tangan saya sendiri pada ketika ini terdapat beberapa maklumat yang panas, sensasi dan boleh menyebabkan keyakinan segolongan rakyat jelata terhadap kerajaan mungkin terhakis dan menipis.

Maklumat pertama: Baru-baru ini saya menerima satu dokumen mengenai percantuman ECM Libra Berhad dan Avenue Capital Resources Berhad. Dokumen terhad ini dikirimkan kepada saya menerusi email. Ianya panas dan sensasi. Ia boleh meletup-letup. Tetapi, kenapa saya tidak menulis beradsaskan dokumen seperti ini? Jawapnya kerana saya tidak pasti maklumat itu benar dan sahih. Jawapnya kerana saya tidak mahu menyebarkan fitnah!

Maklumat kedua. Pada 2 Ogos 2006 saya menerima maklumat mengenai satu sesi penerangan oleh seorang Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia di Pulau Pinang. Menurut maklumat yang turut disahkan oleh sebuah agensi kerajaan, majlis itu backfired. Kenapa saya tidak tulis hal ini dan siarkannya menerusi blog saya? Jawapnya kerana saya tidak mahu undermined UMNO!

Contoh ketiga: Pada 3 Ogos 2006, saya dikunjungi oleh dua orang sahabat yang datang khusus daripada Johor. Kedua-duanya mengadu hal akan apa yang telah berlaku dalam satu mesyuarat antara Datuk Sri Abdullah dengan Exco Kerajaan Johor pada Ahad 31 Julai 2006. Kedua-duanya mendakwa kononnya ada seorang orang besar Khazanah Nasional Berhad dan dua sahabatnya daripada Jabatan Perdana Menteri yang dimarahi oleh Perdana Menteri dalam mesyuarat itu. Kedua dua sahabat itu juga menyatakan kononnya ada beberapa Exco Johor tidak senang hati dengan penubuhan Perbadanan Johor Selatan. Adakah ini benar? Mengapakah saya tidak menulis hal ini scara terperinci dan siarkannya ke blog saya? Jawapnya kerana saya tidak mahu Johor sebagai tiang seri UMNO dan BN Malaysia jadi haru-biru!

Maklumat keempat: Baru-baru ini seorang sahabat memberitahu saya kononnya seorang usahawan telah menemui seorang pegawai di tingkat empat, Pejabat Perdana Menteri, di Putrajaya. Kononnya, usahawan itu cuba mendapatkan sebuah kontrek Kerajaan secara direct nego. Konon ceritanya, semua projek RMK-9 yang tersenarai dalam komputer bimbit pegawai itu, semuanya telah dianugerahkan kepada kontrektor tertentu. Adakah ini betul? Kenapakah saya tidak menyiarkan kisah ini menerusi blog saya scara detail? Jawapnya kerana kisah itu tidak masuk akal dan fitnah semata-mata!

Maklumat kelima: Pada 2 Ogos 2006, seorang bekas Setiausaha Parlimen memberitahu saya kononnya hari ini ramai Menteri Besar marah-marah pada Perdana Menteri. Kononnya kerana Perdana Menteri hanya minat memberi pembangunan mega kepada Pulau Pinang, Johor dan Terengganu. Kononnya ada Mentri Besar mengatakan biarlah Datuk Seri Abdullah mengharapkan sokongan politik dari Pulau Pinang, Johor dan Terengganu sahaja. Kenapa saya tak siarkan kes ini dalam blog saya? Jawapnya, maklumat seperti ini mungkin akan menghasut dan fitnah! Jawapnya ini cerita karut marut!

Maklumat keenam: Sekumpulan dua orang sahabat daripada sebuah agensi kerajaan datang ke pejabat saya 4 Ogos 2006. Salah seorang daripadanya memberikan kepada saya satu fotostet maklumat yang diturun-muatkan oleh adiknya daripada Harakahdaily 14 Julai 2006. Dia minta saya ulas kisah Khairy perlukan Anwar untuk halang Najib yang termuat dalam maklumat itu. Kenapa saya tidak respons? Jawapnya kerana saya pasti maklumat itu mungkin hanya fantasi penulisnya sahaja.

Kalaulah saya gelojoh sangat untuk melakukan fitnah dan hasutan, tentu saya terkam semua isu di atas. Tetapi, kenapa saya tidak lakukannya? Kenapa? Jawapnya kerana saya masih sayangkan Perdana Menteri saya dan juga Presiden UMNO.

Inilah hakikatnya. Rata-rata rakyat Malaysia memang amat sayangkan Perdana Menteri dan Presiden UMNO. Tetapi, kalaulah adalah pihak tertentu yang kini sangat-sangat dibenci oleh segolongan besar rakyat Malaysia, cari dan pastikanlah sendiri siapa manusia-manusia itu.

Oleh itu, janganlah ada pihak yang cepat sangat melatah dan menuduh segolongan bloggers Malaysia sebagai penyebar fitnah dan hasutan. Dan, janganlah pula pihak-pihak yang cuba memerangi kepura-puraan akhirnya dijadikan mangsa atas alasan kononnya merekalah pengedar, penjaja dan penyebar fitnah dan hasutan paling hebat di Malaysia!

Saya pasti Datuk Seri Lim Keng Yaik memahami kata-kata di atas. Bagaimanapun, sebelum beliau bertindak ke atas mana-mana bloggers Malaysia, saya cadangkan beliau membaca buku-buku berikut: The Electronic Republic oleh Lawrence Grossman, Cyberethics oleh James Lynch, dan Vote.Com oleh Dick Morris. Ketiga-tiga buku ini akan memberikan perspektif jelas mengenai alam siber dan generasi internet. Ketiga-kita buku ini juga akan membantu kita memahami bagaimana masyarakat celek internet di serata dunia sedang dan akan mencorakkan demokrasi di hari muka.


Jadi, tidak bimbangkah kerajaan kalau generasi internet Malaysia memberontak dalam pilihanraya umum yang akan datang? Kalau bimbang, siapakah yang akan angkat tabik kepada siapa pada hari ini? Bloggers angkat tabik hormat kepada Datuk Seri Lim Keng Yaik? Atau, Datuk Seri Lim Keng Yaikkah yang akan angkat tabik kepada bloggers, generasi internet dan pakar undang-undang siber?

Soalan ini perlu dipastikan jawapannya kerana generasi internet, bloggers dan pakar undang-undang siber tempatan sebenarnya perlu dibawa berbincang untuk membolehkan kerajaan merangka beberapa strategi berkesan menjelang pilihanraya umum akan datang di Malaysia?

Kalau Datuk Seri Lim Keng Yaik dan kerajaan prihatin terhadap masa depan negara ini, fikir, kaji dan dalamilah kata-kata saya ini. Sesal dulu, pendapatan, sesal kemudian apa gunanya?

Kalau Datuk Seri Lim Keng Yaik mendakwa dirinya sebagai jauhari yang arif untuk mengenal maknikam, janganlah permata disangka kaca. Kalau beliau sensitif terhadap bloggers, insaflah bloggers di Malaysia bukanlah kumpulan beruk seperti yang didakwa oleh seorang individu tertentu kebelakangan ini. Jadi, Datuk Seri Lim Keng Yaik kena betulkan salah sangka kononnya bloggers di Malaysia adalah kumpulan beruk sarkas yang gemar menggoyang pokok.

Datuk Sri Lim Keng Yaik kena tahu, apa bezanya beruk sarkas dengan beruk universiti. Betulkah beruk sarkas, bila dapat bunga, habis diramas-ramas bunga itu sampai lunyai. Tapi, betulkah beruk universiti, bila dapat bunga, dia akan hadiahkan bunga itu kepada beruk betina kesukaannya, dengan harapan dia boleh berasmaradana dengan beruk betina itu pada bila-bila masa?

Jadi, betulkah ini bezanya beruk sarkas yang kononnya suka menggoyang pokok, dengan beruk universiti yang suka berasmaradana dengan beruk betina? Memang tak jadi masalah. Beruk memang tak payah akad nikah. Beruk memang tak ada hukum zina. Beruk bukannya manusia. Tapi, beruk sarkas makan ajar. Beruk universiti pula main balun ikut suka aje.

Oleh itu, waspadalah kita semua. Ikut senario hari ini, beruk pun ada kastanya. Ada beruk sarkas, ada beruk lulusan universiti. Ada beruk bodoh, ada beruk cerdik. Ada beruk tak pandai main wayang, ada beruk pakar sandiwara. Ada beruk mengong, ada beruk pak turut. Ada beruk cakap ikut hidung, ada beruk cakap ikut exhaust. Beruk oh beruk!

Terlanjur memperkatakan soal beruk, elok juga kita renungkan maksud Saudara Zaharin Yassin, mengenai beruk. Kandungan sms yang dikirimkan kepada saya adalah seperti berikut: Dalam (saluran) Discovery, beruk melompat-lompat (dan) menjerit-jerit terkejut melihat muka dia macam beruk bila dia tengok cermin. Itu sebab agaknya (hari ini ada individu tertentu) menjerit sana, menjerit sini, sebab (sewaktu) dia tengok cermin, muka dia macam beruk!”

Berasaskan seluruh hakikat di atas, saya minta maaf kepada sahabat saya yang meminta saya mesti kow-tow habis-habisan kepada Datuk Seri Lim Keng Yaik. Kepada sahabat itu, saya katakan menerusi blog ini bahawa saya tidak akan sekali-kali menyembah Datuk Seri Dr. Lim Keng. Saya tak mau jadi bodoh dan berkata: soli Latuk Seli, soli. Wa caya sama lu, lu caya sama wa. Wa tobat. Wa give up. Wa sulah panas montot. Wa tak mau lagi blogging sampai manyak olang jali panik, manyak olang jali mingung, manyak olang jali loklak, manyak olang jali gempaq. Soli Datuk Seli. Soli, soli, soli, soli, satu yuta kali soli ok hoh!

Minta maaf banyak-banyak wahai sahabatku. Saya bukannya beruk sarkas. Saya dididik supaya berani kerana benar dan takut kerana salah. Demi agama, bangsa dan negara, biar putih tulang, jangan putih. Demi agama, bangsa dan negara, patah sayap, bertongkat paruh, namun tetap terbang jua. Demi agama, bangsa dan negara, bujur lalu, melintang patah, pantang undur mengaku kalah!

No comments: