Thursday, August 24, 2006

PENGENDALI LAMAN BLOG
IBARAT PENEMBAK CURI

KUALA LUMPUR 22 Ogos 2006: Datuk Shaziman Abu Mansor mencabar pengendali laman forum atau blog yang berselindung di sebalik nama samaran untuk tampil dan berdebat secara terbuka mengenai pelbagai isu semasa.


Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi itu berkata tindakan kumpulan yang mengkritik pihak tertentu termasuk kerajaan tetapi enggan mendedahkan identiti sebenar seperti penembak curi.

Katanya, kumpulan itu harus menghentikan kerja yang sia-sia dan tidak bertanggungjawab itu.

“Bukannya berlindung di sebalik blog atau laman web yang tidak bertanggungjawab,” katanya menjawab soalan tambahan Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) di Dewan Rakyat semalam. Tan meminta kerajaan mengawal tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab menyalahgunakan Internet untuk tujuan tidak baik.

Shaziman berkata, kerajaan pada dasarnya tidak mempunyai peruntukan undang-undang mengawal internet termasuk laman forum dan blog berikutan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta jaminan Koridor Raya Multimedia (MSC), menyekat penggunaan Internet. "Sehubungan itu, saya mengharapkan kebijaksanaan rakyat menilai kesahihan pelbagai isu yang digembar-gemburkan di dalam internet.

“Kita boleh memantau dengan mendaftarkan semua blog atau laman web di dalam negara kita, tetapi kita jangan lupa, rakyat kita masih boleh mendaftar blog milik mereka di luar negara,” katanya yang menyifatkan perkara itu bukan hanya berlaku di Malaysia, tetapi di seluruh dunia serta sukar dibendung. – Berita Harian, 22 Ogos 2006.

No comments: