Tuesday, August 22, 2006


PENEGAK KEBENARAN
JADI MANGSA FITNAH
[Bahagian Satu]

Fitnah adalah satu amalan negatif. Ia sangat mudah untuk disalahgunakan. Ia sering jadi senjata sesetengah pihak yang mungkar. Matlamatnya supaya golongan mungkar terus hidup segar dan berakar. Matlamatnya supaya penjunjung dan penegak kebenaran pula dilihat oleh masyarakat sebagai kelompok yang kotor dan tercemar.

Fitnah juga boleh dijadikan senjata oleh segelintir manusia yang sangat-sangat gila kuasa, gila takhta dan gila harta. Golongan seperti ini akan menggunakan fitnah ke atas sesiapa sahaja yang disifatkan boleh menghalang nafsu, kemungkaran dan kerakusan mereka.

Sebab itulah fitnah tidak memilih mangsa. Tidak peduli orang besar. Tidak peduli orang kecil. Sesiapa sahaja yang perlu disesah, disesahlah secara habis-habisan. Sesiapa sahaja yang perlu dibelasah, dibelasahlah sampai lunyai.

Lazimnya, seseorang individu yang lurus, ikhlas dan jujur jadi mangsa fitnah kerana kebenaran yang dijunjung dan ditegakkan olehnya boleh menjejaskan kelompok yang mungkar, tamak dan haloba. Seseorang individu yang lurus, ikhlas dan jujur juga jadi mangsa fitnah akibat hasad dengki, dendam, cemburu, irihati, khianat, dan lain-lain sifat negatif yang sejenis dengannya.

Inilah bahana fitnah. Akibat fitnah, seseorang individu yang tulus, ikhlas, dan jujur boleh ditukarkan menjadi seorang manusia yang berimej kotor, buruk dan tercemar. Seseorang yang sangat berjasa dan masih terus berjuang untuk menjunjung dan menegakkan kebenaran boleh dituduh dengan pelbagai celaan, hinaan, dan kata nista yang panjang berjela.

Bagaimanapun, kesan sesuatu fitnah bergantung kepada jenis saluran fitnahnya. Kalau fitnah itu disebarkan menerusi surat layang, maka tidak parahlah kesannya. Kalau fitnah itu disebarkan secara lisan, tak sejauh manalah kesannya. Tetapi, kalau fitnah itu disebarkan menerusi sutarkhabar atau internet, parahlah padahnya.

Sebab itulah fitnah berbahaya kepada kelangsungan seseorang individu, seseorang pemimpin, sesuatu kerajaan, dan sesebuah negara yang memperjuangkan kebenaran dan keadilan. Fitnah juga boleh menyebabkan kemerdekaan, kedaulatan dan integriti wilayah sesebuah negara-bangsa hancur dan musnah.

Saya sendiri telah dan sedang diserang fitnah menerusi ketiga-tiga saluran ini. Sewaktu pertama kali saya bertanding dalam pilihanraya, saya telah difitnahkan oleh puak pembangkang menerusi cara lisan sewaktu berkempen. Saya juga difitnahkan oleh pihak pembangkang menerusi edaran surat layang kepada para pengundi.

Berikutan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim, selaku Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO, saya difitnahkan dengan bermacam-macam cara. Paling utama adalah menerusi penyebaran maklumat palsu dalam akhbar dan buku-buku. Mutakhir ini, saya dibalun fitnah menerusi internet. Tetapi, saya akan terus menegakkan kebenaran.

Al-Quran ada menyebut, angkara fitnah adalah lebih besar bahayanya daripada pembunuhan. Hadis pula ada menyatakan, fitnah itu empat puluh kali lebih buruk dari berzina.

Firman Tuhan dan hadis Nabi ini membuktikan, fitnah memfitnah adalah amalan keji. Fitnah memfitnah adalah dosa besar. Fitnah memfitnah boleh menyebabkan sesuatu masyarakat rosak. Fitnah memfitnah boleh menjadikan sesuatu organisasi jadi hancur lebur.

Tetapi, siapa yang peduli akan firman dan hadis seperti di atas? Orang bukan Islam seperti Presiden Amerika Syarikat, George W Bush, mungkin tidak tahu mengenai hukum fitnah memfitnah. Sebab itu dia balun ikut suka hatinya sahaja. Dia balun Iraq cukup-cukup, semata-mata menerusi fitnah. Sebab itu juga dia sesah dan belasah Afghanistan habis-habisan sampai jadi padang jarak padang tekukur.

Kepada Bush dan konco-konconya, fitnah adalah satu strategi peperangan, adalah satu strategi propaganda, adalah satu strategi operasi bendera palsu. Sebab itulah bila Bush hendak menjajahi Iraq kerana minyaknya, dia fitnahkah Iraq secara bertubi-tubi. Kononnya Iraq memiliki senjata pemusnah (WMD).

Tetapi, oleh kerana alasan itu mungkin tidak cukup kuat, maka difitnahkanlah kononnya WMD Iraq mahu dibekalkan kepada Osama Bin Laden. Kononnya WMD itu akan digunakan untuk menyerang Amerika Syarikat atau sekutunya di seluruh dunia.

Akibat fitnah seperti ini, sebuah negara yang berdaulat dan merdeka kini dijajah, porak-peranda, bermandi darah, dan sedang dilanda perang saudara. Sebab itulah Allah berfirman bahawa angkara fitnah adalah lebih besar bahayanya daripada pembunuhan. Sebab itu jugalah terdapat hadis Nabi mengatakan bahawa fitnah itu empat puluh kali lebih buruk dari berzina.

Begitulah akibatnya fitnah yang diperjuangkan oleh Bush pada masa ini. Dunia seolah terkapai-kapai dibuatnya. Bush tergamak berbuat begitu kerana dia sekutu zionis. Dia sekutu dajjal. Dia kategori manusia yang lidah bercabang. Dia juga jenis manusia yang mengherup darah. Jadi, biarkanlah dia. Biarkanlah sampai suatu hari nanti, Bush tersungkur, badannya lebur dimamah bumi.

Tetapi, yang kita semua ni macam mana? Mereka yang menjaja fitnah di kampung-kampung macam mana? Mereka yang menjaja fitnah di hotel-hotel lima bintang di kota-kota besar, macam mana? Segelintir individu yang menyebar fitnah menerusi internet macam mana? Segelintir manusia yang bergelumang dengan fitnah di tahap atas-atasan macam mana?

Mereka semua orang Islam. Mereka semua tahu akan wujudnya firman Tuhan dan hadis Nabi mengenai fitnah. Tetapi, apakah halnya sehingga mereka terlalu ralit sangat dengan fitnah memfitnah? Apa pasal sampai mereka seolah-olah ketagih sangat dengan perbuatan memfitnah, menabur fitnah dan mendengar fitnah?

Fitnah wujud di kalangan bangsa Melayu/Islam sejak zaman berzaman. Dalam Hikayat Hang Tuah ada kisah fitnah. Dalam Tuhfat Al-Nafis karya Raja Ali Haji juga terdapat kisah fitnah. Di era kegemilangan Empayer Melayu Melaka, Laksamana Hang Tuah pernah difitnah. Hang Jebat mengamuk dan bertindak derhaka pun kerana hendak membela Hang Tuah yang disingkirkan oleh Sultan akibat fitnah.

Di era itu, kepala tukang fitnah dikenali sebagai Patih Karma Wijaya. Kisah fitnah ciptaan Patih Karma Wijaya terhadap Hang Tuah dihuraikan dalam Bab 9 dan Bab 15 Hikayat Hang Tuah. Akibat fitnah ke atas Hang Tuah buat kali kedua, bumi Melaka telah bermandi darah. Dua sahabat sepengajian, sepermandian, dan sepermainan, terpaksa berbunuh-bunuhan.

Sesudah itu, negeri Melaka pun hancur lebur. Tidak lama kemudiannya, Melaka pun diserang Portugis. Lepas itu, Empayer Melaka jatuh ke tangan puak Kristian. Penjajahan itu hanya ditebus semula 440 tahun kemudiannya.

Dalam era kesultanan Melayu di Singapura, budak pintar bernama Hang Nadim, mati akibat fitnah. Semua ini adalah bukti bahawa fitnah memang sudah wujud sejak zaman sejarah purba. Pada zaman itu, fitnah memfitnah adalah permainan orang-orang yang berkuasa. Pada zaman itu, fitnah memfitnah adalah permainan orang-orang besar yang irihati, cemburu, dengki, khianat atau hasad dengki.

Orang yang terfitnah pula tidak berani langsung bangkit untuk membela diri dan mempertahankan kebenaran. Hakikatnya begitu kerana sistem feudal yang tebal. Hang Jebat dikatakan cuba membalas dendam terhadap perbuatan fitnah ke atas Hang Tuah. Tetapi, akhirnya Hang Jebat sendiri yang terkorban di tangan Hang Tuah.

Di era moden pun terdapat bermacam-macam kisah fitnah. Malaysia difitnahkan kononnya melatih sekumpulan teroris Islam Filipina di Sabah. Malaysia difitnahkan kononnya campurtangan dalam konflik berdarah antara etnik di selatan Thailand.

Malaysia difitnahkan kononnya jadi salah satu destinasi kepada salah seorang mastermind Tragdi 11 September 2001 di Amerika Syarikat. Selat Melaka difitnahkan kononnya jadi sarang teroris Islam antarabangsa yang kononnya akan meletupkan beberapa kapal tangki minyak asing. Semua fitnah seperti ini berpunca daripada luar. Semua fitnah seperti ini adalah permainan sesetengah kuasa besar yang mahu menguasai Asia Tenggara di abad ke-21.

Berikut pula adalah kisah fitnah di kalangan segelintir pembesar UMNO. Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah difitnahkan kononnya mempunyai teman wanita keturunan Cina. Tun Musa Hitam difitnahkan kononnya mahu menggulingkan Tun Dr. Mahathir.

Allahyarham Datuk Harun Idris dipendekkan kerjaya politiknya kerana fitnah. Kononnya beliau menjadikan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia pimpinannya sebagai parti di dalam parti yang berkonflik dengan UMNO.

Begitulah hakikatnya fitnah. Dalam sesebuah parti siasah, fitnah adalah senjata tajam yang boleh menghakis maruah, merendahkan martabat dan membinasakan kerjaya seseorang ahli politik.

Ironinya, tukang fitnah tidak peduli akan firman Allah atau Hadis Nabi. Pihak yang menerima dan mendengar fitnah juga dengan sewenang-wenangnya mengulangi fitnah tersebut tanpa sedikit rasa bersalah atau berdosa. Kesannya, amalan fitnah memfitnah pun terus hidup hingga sekarang. – Ruhanie Ahmad




No comments: