LIABILITI, PERSEPSI
& PONTIANAK SEKSI
Kebelakangan ini, segolongan anggota siasah Malaysia asyik membincangkan soal iblis, beruk, dan pontianak. Di mana-mana sahaja, soal iblis, beruk dan pontianak jadi topik menarik, hangat dan sensasi.
Secara sindiran, istilah beruk sarkas nampaknya ditujukan khusus kepada segolongan individu yang didakwa sebagai penyebar fitnah mengenai Khairy Jamaluddin, menantu Perdana Menteri Malaysia. Istilah iblis pula nampaknya ditujukan khusus kepada golongan yang didakwa menyebarkan fitnah mengenai Datuk Sri Abdullah Ahmad Badawi.
Perkataan pontianak pula dibangkitkan oleh sesetengah pihak yang sinis terhadap Khairy. Kata mereka, kalau ada beruk-beruk yang kini dikatakan menggoyang pokok, seperti yang didakwa oleh Khairy, beruk-beruk itu sebenarnya berbuat demikian untuk menolong satu pontianak yang tersangkut di pokok berkenaan.
Bagaimanapun, antara iblis, beruk dan pontianak, cerita beruk dan pontianak sangat-sangat diminati ramai. Sebab itulah muncul cerita pasal beruk totok, beruk miang, beruk gatal, beruk jantan gila betina, dan beruk jantan yang mempunyai dwi-citarasa.
Fenomena beruk ini timbul akibat Khairy. Dialah yang mula menghangatkan cerita beruk ini. Pada 5 Ogos 2006, dia menuduh pihak yang kononnya menabur fitnah mutakhir ini sebagai beruk sarkas. Betul tak betul, siapa yang peduli. Pokoknya, itulah kenyataan Khairy.
Kesannya, kebelakangan ini ramailah rakyat akar umbi mula bercerita kisah beruk. Tapi, mereka tidak bercerita pasal beruk sarkas. Sebaliknya, merka lebih minat kepada soal beruk miang dan beruk gatal. Kata mereka, beruk-beruk jenis ini dikatakan sentiasa terkinja-kinja. Ke sana, ke mari, mereka sentiasa ranggi dan pasang badan.
Kata orang kampung, beruk-beruk jenis ini, dengan sukarelanya dikatakan berebut-rebut nak goyang sepohon pokok istimewa. Masing-masing nak goyang pokok ini bukan pasal nak balun buahnya yang masak ranum. Masing-masing berebut-rebut nak goyang pokok ini kerana mereka miang, teruja dan naik minyak. Mereka jadi begitu kerana di atas pokok yang digoyang itulah satu pontianak tersangkut dan meronta-ronta dalam keadaan yang amat menggiurkan.
Jadi, kata orang kampung, janganlah ada pihak nak tuduh kononnya ada beruk sarkas goyang pokok tak tentu pasal. Tak payahlah heboh-hebohkan lagi dongeng beruk sarkas ini ke merata kota dan desa.
Begitu pun, orang kampung syok betul dengan kisah beruk-beruk yang teruja, naik minyak dan miang sedang mengoyang-goyang pokok. Beruk-beruk ini kononnya prihatin. Kononnya, mereka kesian. Kononnya mereka bimbangkan pontianak yang tersangkut di atas pokok tersebut, kalau tidak diselamatkan, mungkin pontianak itu boleh kena karan.
Kata beruk-beruk itu, kalau pontianak tu kena karan, nanti pontianak itu gol. Kalau pontianak itu gol, mana boleh pontianak itu kahwin dengan salah seekor beruk miang berkenaan? Sebab itulah pontianak seksi itu dikerumuni ramai-ramai. Sebab itulah pokok itu digoyang dan digoncang secara beramai-ramai. Haru-biru dibuatnya. Beruk yang dikatakan sangat meminati pontianak itu marah akan hal ini.
Bagaimanapun, ada pihak berpendapat, kononnya kisah beruk sarkas yang dibangkitkan oleh Khairy bukan perkara remeh. Sebilangan rakyat jelata berpendapat, kononnya kisah itu mungkin boleh jadi keris makan tuan.
Kisah beruk sarkas itu mendahului kemunculan Datuk Seri Abdullah dalam program Bersemuka Bersama Perdana Menteri, di TV3 malam Selasa, 7 Ogos 2006. Dalam program itu, Perdana Menteri menyatakan secara jelas, bahawa perjuangannya adalah berasaskan prinsip kebenaran dan keadilan. Prinsip tersebut diperjuangkan oleh angkatan belia Malaysia pada awal 70-an. Ketika itu, Datuk Seri Abdullah jadi salah seorang penggerak utama perjuangan belia di negara ini.
Malangnya, berapa kerat sahaja rakyat Malaysia yang menyanjung prinsip perjuangan Datuk Seri Abdullah seperti di atas. Mungkin aktivis pelajar pasca 13 Mei 1969 seperti saya dan rakan-rakan seperjuangan dalam PKPIM, ABIM dan GPMS sahaja yang menyedari dan menghayati prinsip tersebut hingga ke hari ini.
Oleh kerana tidak ramai rakyat yang menginsafi prinsip kebenaran dan keadilan yang mendasari perjuangan Datuk Sri Abdullah, maka kisah beruk sarkas yang dibangkitkan oleh Khairy pun dijadikan sebab mengapa banyak pihak dikatakan tidak puas hati dengan program Bersemuka Bersama Perdana Menteri.
Tindakan seperti ini memang tidak rasional. Tetapi, dalam politik, kadang-kadang persepsi mengatasi realiti. Dalam politik, kadang-kadang, emosi dan prasangka lebih menonjol daripada tindakan serta pemikiran yang rasional. Sebab itulah sebilangan rakyat Malaysia dikatakan marah-marah kepada Datuk Seri Abdullah semata-mata akibat Khairy dan cerita beruk sarkas yang diheboh-hebohkannya.
Saya sendiri melakukan satu survey ringkas menerusi sms mengenai kemunculan Datuk Seri Abdullah di TV3 pada malam 7 Ogos 2006. Saya mengutarakan satu soalan yang sangat mudah. Soalan itu adalah: Adakah anda puas hati dengan program PM di TV3 7hb Ogos 2006?
Saya menghantarkan soalan di atas menerusi sms kepada 60 orang di serata negara. Dalam tempoh lima minit sahaja, saya menerima sms secara bertubi-tubi. Jawapannya, lebih 99 peratus daripada lebih 50 orang yang saya kaji pendapatnya, memberikan reaksi yang negatif.
Mereka terdiri daripada 20 ahli dan pemimpin UMNO, 13 orang usahawan, seorang pakar ekonomi, seorang pesara kerajaan, seorang wartawan media cetak, seorang wartawan media elektronik, seorang penyair, tiga orang pemimpin PAS, seorang pemimpin Parti Keadilan Rakyat, seorang guru, seorang Pegawai Belia Daerah, seorang Pgawai Koperasi Daerah, seorang pemimpin pelajar, seorang aktivis masyarakat, seorang pegawai TV3, dan seorang Pegawai PPK.
Hanya seorang Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), seorang pesara agensi kerajaan dan seorang wartawan media cetak sahaja yang memberikan reaksi yang agak neutral. Begitu pun, Ahli Parlimen berkenaan menyatakan bahawa “penjelasan Khairy (mungkin termasuk kisah beruk sarkas) lagi menimbulkan persoalan.” Wartawan itu pula berkata: “positif atau tidaknya penjelasan Datuk Seri Abdullah, bergantung kepada puak dan sentimen.”
Ada juga pihak yang saya survey memberikan jawapan yang kritikal mesejnya dan kesat bahasanya. Bagaimanapun, majoriti yang mengeluarkan kata-kata kesat mengatakan bahawa mereka bersimpati dengan Perdana Menteri. Tetapi, mereka tidak boleh lagi menerima “keterlanjuran” Khairy.
Saya tidak terdaya untuk menghuraikan apa yang didakwa sebagai “keterlanjuran” Khairy. Tetapi, persepsi seperti ini mungkin berasaskan desas-desus, gossip dan hakikat yang circumstantial mengenai Khairy. “Keterlanjuran” yang dimaksudkan juga mungkin berasaskan jawapan Khairy mengenai pinjaman yang kononnya beliau perolehi daripada seorang kawannya untuk membeli saham ECM Libra.
Berasaskan persepsi negatif terhadap Khairy, seorang kontraktor dan pemimpin UMNO peringkat bahagian daripada Terengganu berkata demikian mengenai program Perdana Menteri di TV 3 pada 7hb Ogos 2006:
“Saya amat dok (tidak) puas hati. Khairy kena jaga kata-katanya” Seorang usahawan daripada Johor Bahru yang juga pemimpin Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian berkata: “OK. Tapi, rakyat jelata nampaknya ramai yang kontra. Mereka kata, mereka jelak dengan cakap-cakap Khairy”
Seorang pemimpin pelajar yang sedang menjalani kurus sarjana di Kuala Lumpur berkata: “Satu pun soalan Tun Dr. Mahathir Mohamad tak dijawab.” Seorang Pegawai Belia Daerah merangkap AJK UMNO Bahagian pula mengesyakki “macam ada lagi yang disembunyikan.”
Seorang aktivis masyarakat dari Lembah Kelang kesal dengan tindakan Perdana Menteri yang didakwa sebagai banyak membicarakan soal perniagaan anak dan menantunya. Seorang usahawan merangkap pemimpin UMNO Bahagian daripada Johor pula berkata: “Lebih 30 minit berbicara soal keluarga. Baki kira-kira 15 minit baru bicara hal nasional.”
Ini pula pendapat seorang wartawan media cetak. Katanya: “Tak puas hati. Mungkin ada lagi yang cuba di sorokkan.” Seorang wartawan media elektronik berkata: “Itu bukannya penjelasan..” Seorang bekas ketua editor pula berkata: “Tak faham apa yang telah diperkatakan.” Seorang penyair pula berkata: “Kawan-kawan kata tak cukup. Pak Lah tidak menjawab soalan. Dia tepis soalan.”
Sementara itu, segolongan pihak PAS pula sinis terhadap program di TV3 itu. Seorang pemimpin PAS Pusat dan seorang Ketua Pemuda PAS Negeri berkata, kedudukan Datuk Seri Abdullah boleh jadi mantap kalau beliau tidak dihantui oleh Khairy. Seorang pemimpin Parti Keadilan Rakyat peringkat bahagian pula berkata: “penjelasan di TV3 itu mungkin membuatkan Tun Dr. Mahathir tambah menyinga.”
Seorang usahawan dari Lembah Kelang mendakwa kononnya program itu dijadikan sesi “menegakkan benang basah.” Seorang usahawan tani dari Parit Sulong pula menuduh: “Temuramah tu nampak benar macam lakonan.”
Seorang guru berkata, Datuk Seri Abdullah kurang tegas. Seorang Pegawai PPK menyatakan Perdana Menteri kurang menyakinkan rakyat. Seorang Pegawai BTN berkata, “Saya jadi lebih bingung.” Seorang bekas banker pula mencadangkan Datuk Annuar Zaini mewawancara Perdana Menteri sekali lagi.
Seorang pembantu kepada seorang bekas Menteri menyatakan bahawa program yang dihoskan oleh Datuk Annuar itu sangat dikesali.
Akhir sekali, seorang usahawan kecil dari Segamat memberikan reaksi yang amat memeranjatkan. Katanya: “Sediakan peluru. Kita perang. Nasi dah jadi bubur.”
Seluruh kisah di atas, mengenai beruk, pontianak dan gendang perang adalah maklum balas daripada sebahagian rakyat jelata Malaysia. Saya sudah tapis maklum balas itu berkali-kali untuk mengelakkan masalah undang-undang. Saya juga telah lembutkan ayat-ayat dalam maklum balas itu. Saya buangkan semua perkataan dan ayat yang kesat, pedas dan tumpul.
Oeh itu, demi agama, bangsa dan negara, saya serahkan maklum balas ini kepada pihak yang berwajib. Berani kerana benar, takut kerana salah. Biar putih tulang, jangan putih mata.
Namun begitu, dalam musim-musim rakyat Malaysia tengah panas dengan cerita iblis, beruk, pontianak dan gendang perang, ada pula kaki wayang yang telefon saya dan minta TV1, TV2, TV3 dan TV7 tayangkan filem-filem P. Ramlee.
Mereka minta TV1 tayangkan filem Tiga Abdul. Golongan ini, kononnya sangat merindui dialog “ayahanda marah???.” Ada yang minta TV2 tayangkan filem Nujum Pak Belalang! Puak-puak ini, kononnya sangat merindui dialog “engkau nampak tak? Kalau tak nampak, engkau anak ……!”
Ada yang minta TV3 atau TV7 tayangkan filem Pontianak Harum Sundal Malam. Golongan ini kononnya mahu lebih ramai beruk gatal dan beruk miang goyang pokok supaya pontianak seksi itu dapat dijinakkan dan jadi mesra manusia!
Dalam pada itu, ada juga kumpulan sinis yang minta Astro tayangkan siri Yes, Prime Minister. Golongan ini kononnya dah lupa macam mana Perdana Menteri Britain kononnya dimanipulasikan oleh pegawai-pegawai di sekelilingnya!
Akhir kata, kalau apa yang dipaparkan di atas sudi untuk dianalisa secara ikhlas dan jujur, tidakkah kita akan bertanya kepada diri kita sendiri, mengapakah begini jadinya negara kita pada hari ini?
Adakah seperti yang ditanyakan oleh wartawan Norzah Haji Kepol, dalam Buletin Rakyat, 3 Ogos 2006, segala-galanya berpunca daripada Khairy? Kalau Khairy puncanya, ayuh kita selamatkan Datuk Seri Abdullah yang kita kasihi!
Khairy pula tak payah tanya lagi sama ada dia liabiliti kepada UMNO. Jawapnya tidak. Tetapi, adakah dia liabiliti kepada ayahanda mertuanya? Tepuklah dada, tanyalah selera!
Politik macam-macam tafsirannya. Ada orang kata, dalam politik, matlamat menghalalkkan cara. Ada orang kata, politik adalah seni menangani sesuatu yang mustahil. Ada orang kata, dalam politik, kita kena tangani impak realiti dan persepsi.
Kajilah. Benar atau tidak, hari ini persepsi mengatasi kebenaran dan hakikat? Benar atau tidak, ketika ini persepsi mewarnai siasah UMNO. Benar atau tidak, persepsi ini kononnya wujud akibat pelbagai desas-desus mengenai Khairy yang tidak renti-renti sejak dua tahun yang lalu?
Ingat. Majoriti pengamal siasah Malaysia adalah manusia yang rasional dan bukan kelompok kerbau cucuk hidung. Jadi, janganlah ada mana-mana pihak yang cuba hendak perbodohkan mereka.
Ingat. Majoriti generasi muda Malaysia juga adalah golongan yang berpendidikan tinggi. Golongan ini adalah satu force politik yang kuat, dinamik dan berpengaruh. Mereka menjadi kuasa penentu dalam sesuatu pilihan raya umum. Jadi, jangan perkecil-kecilkan kewujudan mereka.
Datuk Seri Abdullah adalah Mr. Clean dan A Nice Guy. Beliau memerlukan sokongan yang lebih padu daripada kita semua. Rasa-rasanya sokongan itu akan datang secara berlipat-ganda. Syaratnya, Datuk Seri Abdullah sendiri pun kena berkorban. Hapuskanlah apa jua yang tidak serasi dengan kehendak rakyat jelata pada masa ini. Tegakkanlah mana yang pincang. Jernihkanlah mana yang keruh. Yang tua, kita muliakan. Yang dulu, kita hormati. Bertindaklah mengikut suara hati, lagu jiwa dan bisikan sukma sendiri.
Pada waktu yang sama, demi agama, bangsa dan negara, pihak-pihak yang pada persepsi umum kelihatan menjadi liabiliti kepada Perdana Menteri, juga mesti bertindak secara lebih bijaksana. Kalau mereka perlu berundur, segeralah berundur. Jangan tunggu lama-lama, nanti makin buruk padahnya.
Mudah-mudahan selepas ini akan lenyaplah segala tuduhan mengenai iblis, beruk tidak akan naik minyak, pontianak tidak akan terus tersangkut di pokok, gendang perang juga tidak jadi dipalu ke seluruh kampung. Mudah-mudahan UMNO akan kembali tenang, siasah Malaysia juga tidak lagi dilanda gelora akibat persepsi yang negatif terhadap kepimpinan negara seluruhnya! – Ruhanie Ahmad www.kuda-kepang.blogspot.com
1 comment:
Dato'
Saya fikir bukan Khairy sahaja labialiti. pak Lah pun sudah jadi labialiti kepada UMNO. jemput lawat blog saya jika ada masa.
http://cuitsikit.blogspot.com/
Post a Comment