Tuesday, March 10, 2009

8 MAC 2008-8 MAC 2009: SATU KRITIKAN DAN HARAPAN

Ruhanie Ahmad

Pada 8 Mac 2008, Malaysia dikejutkan oleh ledakan tsunami politik bila Barisan Nasional (BN) kehilangan kuasa di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor serta gagal menebus kekuasaannya di Kelantan menerusi PRU 12. Berikutnya, segolongan rakyat jelata termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad selaku mantan Perdana Menteri, pun mendesak Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya mengosongkan persada kekuasaan Malaysia. Pada waktu yang sama, beberapa tokoh UMNO, termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin, pula menyarankan supaya UMNO dan BN dibedah siasat secara komprehensif oleh sebuah organisasi yang nor-partisan.

Seluruh gesaan dan saranan di atas tidak menjadi realiti. Pemerintahan negara masih lagi dikuasai oleh Abdullah. Walaupun beliau dijangka menyerahkan kuasa Perdana Menteri kepada Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak pada akhir Mac 2009, beberapa perkembangan mutakhir pula menyebabkan peralihan kuasa ini terus diragui dan dipolemikkan hingga ke hari ini.

Begitu juga hakikatnya dengan UMNO dan BN. Walaupun Abdullah menyatakan UMNO dan BN tidak perlu menjalani post-mortem sesudah PRU12, kedua-duanya masih lagi dalam keadaan yang tidak stabil. Calon BN daripada UMNO tewas dalam PRK Parlimen Permatang Pauh dan Kuala Terengganu. Kini Perak pula bergolak akibat kuasa Pakatan Rakyat di negeri itu diambil alih oleh BN baru-baru ini.

Senario di atas menggambarkan kedudukan siasah Malaysia selama setahun di era pasca PRU12 - BN masih gagal memulihkan kredibilitinya, PR dalam keadaan yang bercelaru, rakyat jelata pula seolah-olah tidak mendapat pembelaan sewajarnya daripada kedua-dua pihak, terutamanya dalam keadaan ekonomi yang semakin menghimpit dan mendera kesejahteraan hidup pada ketika ini.

Oleh itu, sempena ulangtahun pertama PRU12 pada 8 Mac 2009, semua pihak perlu berusaha untuk memulihkan kestabilan politik di negara ini. BN perlu mengemukakan formula baru jika mahu menambat sokongan majoriti anak-anak merdeka dalam PRU13. Para perwakilan UMNO mesti bersikap serius sewaktu memilih barisan kepimpinan tertingginya yang pada 26 Mac 2009 supaya mereka yang benar-benar ikhlas dalam perjuangannya memelihara kemerdekaan negara dan membela rakyat jelata sahaja yang akan diberi tempat dan kedudukan.

Pada waktu yang sama, BN dan PR pula mestilah memberhentikan permainan serta percaturan politik kuasa masing-masing dan mencari jalan bersama untuk membela kesejahteraan rakyat jelata. Fikirkanlah semasak-masaknya sama ada pendekatan Allahyarham Tun Abdul Razak dan Allahyarham Tan Sri Asri Muda dalam menangani dan menyelesaikan kegawatan politik 1969-1974 boleh diaplikasikan semula kepada senario mukathir ini. Jika tidak, politik Malaysia akan terus bergolak dan rakyat jelata pula akan terus didera penderitaan hidup yang berpanjangan.

Akhir sekali, fahami dan dekatilah generasi muda Malaysia yang merupakan force terbesar dalam menentukan kemenangan sesuatu parti dalam PRU13. Secara umumnya, usaha-usaha ke arah ini wajar dilakukan secara komprehensif, segera dan menerusi pendekatan yang secocok dengan aspirasi mereka. Usaha-usaha ke arah ini oleh pihak UMNO pula perlu dibuktikan menerusi kesungguhan parti tersebut dalam membanteras rasuah, salahguna kuasa, neopotisme, kronisme dan kemunafikan dalam perjuangan.

6 comments:

gotahlantun said...

Kami tak tau apa akan jadi kat negara kita ni. Semenjak keputusan PRU 12 kluar, masih tak selesai lagi hal politik. Dari kaca TV sampai la ke surat khabar nyamuk, dari warung kopi pisang sesikat sampai la ke hotel mewah 5 bintang, dari pakcik nelayan sampai la ke Hang kebun. Cerita tadak lain, politik, politik, politik.

Wahai Pejuang Bangsa, Wahai Pejuang Rakyat, Wahai Pembesar Negara.

Tolong la berhenti sejenak dan fikirkan sekejap masalah rakyat terbanyak. Kami sekarang ni berdepan dengan kesusahan akibat kos sara hidup yang meningkat di tambah pula kesan sub prima kejatuhan ekonomi global. Banyak kilang dah tutup, banyak premis dah lingkup, banyak kes pembuangan pekerja secara bersistematik, meningkatnya kadar pengangguran yang drastik lalu meningkatnya kadar jenayah secara automatik.

Kini ramai rakyat bawahan yang kesusahan dan hidup penuh kesulitan. Harga getah jatuh. Harga sawit jatuh. Harga besi buruk pun jatuh.
Nak berniaga, pelanggan ramai tapi ramai nak masuk akaun sebab tak berduit.
Jadi kontraktor kecil, projek kerajaan turun, kroni yang pulun.
Masa depan kami kabur. Masa depan anak-anak kami bercampur baur.Perutkami tak kan kenyang dengan politik.

Anak-anak kami yang kelaparan tidak akan tido lena didendang pidato politik.
Suara kami hanya akan kami terjemahkan di dalam Peti-peti Undi. Suara rakyat, suara keramat.


Oleh itu wahai pejuang bangsa, wahai pejuang rakyat, wahai pembesar negara.


Berhentilah seketika dan ayuh duduk semeja demi kebajikan rakyat terbanyak. Makmurkan ekonomi negara,jangan biarkan rakyat hidup dalam kesusahan kerana,

"Kemiskinan akan membawa kepada keganasan dan kekufuran".


Pombosar2 negaro konolah pikirkan... Semua, tak kira parti dan bangso, kono pikirkan.
Samo2lah kito buek sesuatu.
Apo tunggu laee...!!!

Anonymous said...

salam takzim....

memang betol apa yang dikatakan oleh saudara, negara kita terlalu kucar kacir, saya pun tak tahu mana pihak yang perlu kita salahkan... sama ada BN ataupun PR, kerana kelam kabut yang dibuat oleh parti2 politik negara kita tak dah stabil... mungkin terlalu mementingkan suaka politik berbanding perlindungan pada rakyat....

kenapa agaknyer perkara sebegini boleh berlaku? sedangkan BN telah pegang tampuk pemerintahan selama 50 tahun, tak kan tak tahu nak mentadbir negara? jika nak dibandingkan dengan PR juga, ketua nya adalah seorang BEKAS TIMBALAN PERDANA MENTERI, tapi tidak dapat membawa parti masing2 kearah yang dapat dipercayai rakyat...

saya sebagai seorang pelajar, cukup sedih dengan keadaan sekarang. negara kita seperti tidak mempunyai ketua, mahupun perdana menteri yang boleh memberikan satu keputusan yang tegas dan berwibawa seperti mantan perdana menteri tun mahathir....

saya berharap selepas berlaku nya perubahan pada pucuk pimpinan yang akan berlaku tidak lama lagi, saya berharap akan berlaku satu perubahan yang ketara, agar dunia kembali memberikan kepercayaan kepada negara kita. lihat akibat negara kita kucar-kacir, pihak luar cuba ingin merampas pulau ambalat dari tangan kita. kita jangan biarkan pisang berbuah dua kali, jika batu puteh dah diambil orang, jangan biarkan imej negara kita tercalar lagi.....

semoga ALLAH merahmati dan melindungi negara kita dari anasir jahat............

InsyaAllah.........

salam takzim dari saya........

Penggali Kubur said...

Salam Datuk Ron,

Orang-orang rasional macam Datuk ni mesti dipinggirkan habis-habisan oleh puak-puak korup dalam UMNO.

Kalau UMNO terus korup macam sekarang, bagaimana nak menarik generasi muda? Takkan berhasil!

Generasi muda (atau generasi tua sekalipun) takkan tertarik dengan parti yang korup dan tak ada matlamat hala tuju. Polemik saja tak habis-habis.

Orang cuma akan tertarik apabila sesebuah organisasi itu mempunyai perjuangan yang jelas.

Sekarang orang Melayu dah mula mempersoalkan perjuangan UMNO sendiri. Dok sebut-sebut PERJUANGAN MELAYU ni, berjuang untuk apa sebenarnya? Ekonomi ke, pendidikan ke. Ini tak pasal-pasal PERJUANGAN MELAYU... KITA MESTI BERSATU...

Bersatu pulak untuk apa? Adakah bersatu untuk mempertahankan pemimpin yang rasuah?

imah said...

Salam Dato'

Akhir sekali, fahami dan dekatilah generasi muda Malaysia yang merupakan force terbesar dalam menentukan kemenangan sesuatu parti dalam PRU13.

Saranan Dato' seperti petikan diatas itu sewajarnya dibuat segera sebaik sahaja PRU 12 dulu, tetapi sampai la ni tak ada pun yang ambil berat.

Tetapi Dato' jikalah saya dan Dato' juga berada dalam usia muda sekarang ini,rasanya kita pun masih ragu-ragu pemimpin Umno manakah yang patut kita jadikan ikon kita. Kita memerlukan ikon Dato'.

Pada masa saya kanak-kanak, saya cukup mengkagumi Tun Razak, Gafar Baba, Tunku, Dato' Senu, Dato' Harun Idris dll. Mereka berjaya menjadi ikon saya masa kanak-kanak

Bila saya remaja, saya teruja dengan Dr Mahathir, Tengku Razaleigh, Anwar Ibrahim dan Datuk Suhaimi.

Sebenarnya apabila saya berada dalam usia remaja, personaliti yang mengetuai Umno amat mempesonakan. Bermula dari Dato' Suhaimi, diikuti oleh Anwar dan juga Najib mempunyai ketokohan yang mampu mempesona para remaja dan belia tanah air.

Selepas Najib, golongan belia seperti dibiarkan tercicir. Nazri Aziz tidak memiliki apa-apa keistimewaan untuk menarik para belia. Hishamuddin langsung tidak memiliki sebarang karisma sebagai pemimpin dan tidak langsung melekat dihati orang muda. Malangnya dialah yang paling lama menduduki post Ketua Pemuda Umno dan selama itulah golongan belia terabai.

Dikalangan wanita pula memang ketandusan pemimpin muda yang mampu menambat jiwa remaja perempuan. Yang ada semuanya bertaraf mak nenek jauh dari hati anak dara dan gadis-gadis. Hanya pada era Azalina memimpin Puteri, anak-anak gadis terasa mereka mendapat tempat tetapi setelah beliau meninggalkan puteri, golongan ini juga terus kehilangan ikon mereka.

Jelasnya sejak era reformasi hingga sekarang, selama 12 tahun golongan muda ini tidak dipandang penting oleh Umno.

Dan dalam tempoh itulah muncul Mahfuz Omar, Mohamad Sabu, Nurul Izzah, Tian Chua, Azmin Ali, Ezam Mohd. Nor dll dari pihak satu lagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh kepimpinan Pemuda dan Wanita (baca Puteri) Umno.

Dan selepas sepuluh tahun, belum ada bayang-bayang dari dalam Pemuda Umno seseorang yang mempunyai personaliti dan karisma yang kuat untuk muncul ditengah-tengah golongan muda rakyat Malaysia.

Nampaknya masa depan Umno masih penuh dengan kesamaran selagi tidak munculnya seorang anak muda yang mempunyai karisma yang tinggi, personaliti yang mantap dan jati diri yang unggul dari dalam Pergerakan Pemuda Umno untuk terjun hidup bersama khalayak muda.

ChengHo said...

Pemilihan Umno lagi 2 minggu ini sesautu yg kritikal yg akan menentukan survival Umno samada diterima olih rakyat atau ditolak olih rakyat
Persepsi dan imej Umno sangat parah Umno misti memulihkan rasa yakin rakyat kepada perjuangan Umno
Dato Najib misti memberikan isyarat yg jelas dan nyata saperti Datuk Nazri Aziz
Datuk Najib memerlukan Muhyiddin , Rais Yatim dan Shafiee Afdal untuk membaik pulih Umno

Mika Angel-0 said...

the sdr gotahlantun has got a cute pic, bung - cool surfing

jom kita ZOOOOOM! ZOOOOM!
ala ka zoom! s p r m(?)