Thursday, March 05, 2009

DEMOKRASI DI BAWAH POKOK DAN POKOK DEMOKRASI

Ruhanie Ahmad


Konflik dan kegawatan boleh ditangani menerusi pelbagai kaedah, pendekatan dan cara. Aliran realis akan menyelesaikannya menerusi permainan politik kuasa atau/dan peperangan. Pendukung aliran rasionalisme akan berusaha meleraikan kebuntuan menerusi aneka cara, menerusi perundingan, tawar-menawar atau penjajaran semula (re-alignment) struktur organisasi yang dilakukan secara bijaksana dan demokratik.

Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein pernah menggunakan pendekatan rasionalisme untuk menyelesaikan masalah kekuasaan politik Perikatan di beberapa negeri di Malaysia Semenanjung selepas PRU 1969. Hasilnya, pada tahun 1974 tertubuhlah Barisan Nasional (BN). Beberapa parti pembangkang, terutamanya Pas, Gerakan dan PPP, menganggotai BN yang ditunjangi oleh UMNO bersama MCA dan MIC sebagai pendukung Perikatan.

Ketika itu saya berkhidmat sebagai wartawan politik NST. Saya merakamkan peristiwa bersejarah Razak mengumumkan penubuhan BN di satu rapat raksasa, di satu malam, di Termerloh, Pahang.

Malam itu, Razak bersama Allahyarham Tan Sri Mohd. Asri Muda selaku Presiden Pas, berada di atas satu pentas (sebenarnya di atas sebuah lori). Ketika juruacara membuka majlis dengan mukadimah yang memanifestasikan kegembiraan rakyat jelata akar umbi pelbagai parti terhadap kewujudan BN, saya saksikan air mata meleleh di pipi Razak dan Asri. Kedua-dua pemimpin Melayu itu duduk bersebelahan di atas lori berkenaan. Mereka merenung jauh ke hadapan dengan senyum menawan. Emosi kegembiraan mereka terpancar jelas. Sejarah kegembiraan itu tersimpan dalam lipatan khazanah negara untuk kajian di masa depan.

Saya mengimbas sejarah ini untuk dijadikan perbandingan kepada peristiwa yang tercetus di Perak. Dua hari lalu, atas nama demokrasi, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak mengadakan sidang tergemparnya di bawah sepohon pokok.

Dalam situasi sedemikian, soal konvensyen dan undang-undang seolah-olah diketepikan. Yang penting, matlamat menghalalkan cara. Matlamatnya adalah menyemarakkan sokongan pengikut parti-parti terbabit. Caranya adalah dengan merendahkan taraf DUN yang mulia.

Persidangan DUN memang boleh diadakan di mana-mana, waimah di atas pokok, di bawah pokok atau di dasar lautan, jika itulah pilihannya. Tindakan sepeti itu memang di luar dugaan ramai. Tetapi, kalau ada pihak berfikiran tidak rasional, hendak sensasi dan politikkan suasana, itulah kesudahannya.

Bagaimanapun, sesuatu sidang DUN, biarpun diadakan di mana-mana-mana lokasinya, mesti ada pra-syaratnya. Paling utama sekali, sidang itu mesti diizinkan oleh peraturan mesyuarat (standing order) dan menerima perkenan DYMM Baginda Sultan.

Jadi betullah kenyataan Prof. Madya Mohammad Agus Yusoff dari UMK. Tapi, pra-syaratnya mesti dipenuhi. Kalau pra-syarat itu diketepikan, sidang di atas pokok, di bawah pokok atau di dasar lautan itu tidak sah. Itulah pendapat Agus.

Malangnya, kenyataan Agus tidak disiarkan sepenuhnya. Beliau hanya dipetik sebagai berkata bahawa sidang bawah pokok itu sah. Pra-syarat yang beliau nyatakan tida pula dipetik dalam laporan-laporan akhbar semalam. Jadi, kecoh dan kelam-kabutlah suasana. Agus sendiri menerima ugutan dan cemuhan. Inilah bahana selective reporting!

Seterusnya, teringat saya akan pengalaman saya mengupas demokrasi selama seminggu di satu bengkel anjuran Wilton Park, think-tank berprestij milik kerajaan British, di Essex England. Bengkel itu diadakan di sebuah rumah ladang yang jauh daripada hiruk-pikuk City of London. Di ladang itu dihimpunkan Ahli Parlimen daripada seluruh dunia untuk mengupas apakah itu demokrasi.

Masing-masing wakil menghuraikan amalan dan corak demokrasi di negara mereka. Wakil Amerika Syarikat (AS) dengan bangganya menyuarakan bahawa corak dan amalan demokrasi di negaranya adalah yang terbaik sekali di dunia. Begitu juga wakil lain-lain negara. Tidak ada yang mengatakan bahawa demokrasi di negara mereka tempang, pincang, terpimpin, liberal, sosialis atau sebagainya.

Saya pun begitu juga. Kata saya, demokrasi di Malaysia ikut citarasa dan acuan Malaysia yang pelbagai kaum dengan latarbelakang dan tahap ekonomi yang berbeza. Demokrasi di Malaysia juga melalui evolusi. Kata saya, tidak ada sesiapa boleh mendakwa demokrasi amalan mereka adalah the father of all democracies.

Amalan demokrasi di Malaysia disesuaikan dengan kemajmukan warganya. Tetapi, mereka yang mendukung atau mengidolakan demokrasi Barat akan melabelkan demokrasi Malaysia tidak tulus dan tidak tulen. Tuduhan sebegini adalah subjektif kerana demokrasi Malaysia adalah bertunjangkan matlamat perpaduan dan survival negara-bangsa yang multi-keturunan. Ia juga berpaksikan kepada hakikat bahawa Malaysia, khususnya Malaya, adalah bumi yang beraja. Sebab itu demokrasi Malaysia digandingi oleh institusi Raja.

Jadi, bila DUN Perak bersidang di bawah pokok, dari segi semangatnya, mungkin pihak terbabit beranggapan tindakan itu sama dengan para pembesar Rom purba bersidang di roman step sehingga cara demokrasi itu dikenali sebagai Roman Step Democracy.

Tetapi, mereka lupa. Para pembesar Rom bersidang di tangga sebab itulah tradisinya ketika itu. Jadi, adakah tradisi di Malaysia moden untuk bersidang di bawah pokok? Tidakkah tindakan itu dikatakan perbuatan orang tidak rasional? Yakinkah kita bahawa DYMM Baginda Sultan akan perkenan tindakan tidak rasional seperti ini?

Sehubungan itu, ayuh kita berfikir sejenak. Amalan demokrasi di tangga di era Rom kuno adalah sah. Kalau amalan itu diadakan hari ini, ia tetap sah. Tapi, orang akan kata pengamalnya gila. Jadi, sidang DUN bawah pokok pun mungkin sah, jika pra-syaratnya dipenuhi. Tapi, tidak mungkinkah orang akan menyifatkannya sebagai tindakan tidak secocok dengan amalan di zaman moden?

Demokrasi memang perlu dibaja dan disuburkan mengikut tuntutan zaman. Sebab itulah walau Parameswara pernah bermesyuarat dengan para pembesarnya di bawah pokok Melaka, setelah Empayar Melayu Melaka mencapai mercu kegemilangannya, Sultan Melaka tidak lagi bermesyuarat di bawah pokok Melaka. Ini bermakna bahawa evolusi dan peredaran masa seharusnya menjadikan manusia juga berfikiran kedepan, bukannya regressive!

Oleh itu, adakah amalan demokrasi di bawah pokok di Perak itu akan menyuburkan demokrasi di Malaysia atau sebaliknya? Dan, inikah contoh pokok demokrasi yang boleh dijadikan teduhan kepada seluruh rakyat jelata?

12 comments:

Ibnu Majidi said...

1. Kalau kita nak menyuburkan demokrasi, serahkan kepada rakyat untuk memilih wakil kerajaan mereka melalui pilihanraya, bukan dengan cara merampas kuasa melalui pintu belakang dan berselindung di balik Istana.

2. Persidangan di bawah pokok bukanlah pilihan, tapi tetapi terpaksa dilakukan setelah Bangunan DUN dikunci dan tidak dibenarkan masuk.

3. Jika kita tahu sidang itu tidak sah, mengapa perlu kita menghalang, kerana jika diadakan sekalipun, mestilah tidak sah dan segala keputusan tetap tidak boleh dikuatkuasakan.

4. Apabila diadakan halangan, maka jadi bertambah keliru, benarkah tidak sah, atau BN memang takut kerajaan yang baru dibentuk (belum ditentukan kesahihan oleh mahkamah) tersungkur menjadi kerajaan paling singkat.

zeme said...

Salam Datuk,

Lagak hukum rimba digunapakai, hukum perlembagaan disanggah tepi. Jadi untuk apa perlembagaan dicipta jika tidak mahu mengikut aturcara perlembagaan yang telah termaktub?

Mengikutpakai aturcara peraturan dewan "standing order", sudah jelas dan nyata perlu perkenan pentadbir negeri iaitu Sultan. Jadi apakah Speaker dan ADUN² terbabit tidak meneliti dan menghayati kandungan buku "standing order" atau sengaja ingin mencipta dan mengikut hukum rimba? Mentaliti pemimpin yang daif mengikut emosi merosakkan nilai sesuatu demokrasi.

Krisis pentadbiran Perak secara klimaks telah memperlihatkan dan membuktikan rasional pihak-pihak terbabit samada bertanggungjawab atau tidak dalam mendukung perlembagaan. Maka, kemelut di Perak merungkai seribu persoalan kemana titik noktah yang seadil-adilnya bukan hanya untuk pihak terbabit tetapi keutamaan untuk kepentingan rakyat Perak.

Saya berpendapat 2 langkah menangani krisis pentadbiran di Perak adalah : -

1.Membentuk kerajaan campuran antara BN dan PR dengan perkenan Sultan, seadil-adil pembahagian kuasa tadbir kepada puak-puak bertelagah. Sekiranya kedua-dua pihak masih bersikap tidak mahu mengalah dan bertolenrasi dengan pembentukan kerajaan campuran jelas menunjukkan mereka hanya berkepentingan diri bukan untuk mencari damai dan kesejahteraan buat rakyat.

2.Alternatif kedua, dengan perkenan Sultan pembubaran DUN adalah langkah adil untuk memberikan kuasa penuh kepada rakyat memilih pemimpin yang sebenar kembali. Tidak mustahil sekiranya rakyat telah bosan dengan kerenah permainan ala politik rimba, calon bebas akan menjadi pilihan alternatif.

Maka untuk penyelesaian bersama dimana rakyat sebagai asas utama kepentingan, pihak-pihak bertelagah harus bermuhasabah dan bermuasyarah mencari sebaik molek erti demokrasi bukan berlandaskan kata emosi.

Wasalam.

dan kajang said...

As'kum Dato',

1. Nampaknya politik Malaysia sekarang dah jadi maha kelam kabut.Apa kesudahannya?Berapa lama lagi rakyat mesti tunggu untuk melihat Kerajaan Malaysia maju ke hadapan dan bersatu padu seperti dulu? Sebenarnya jawapan ini hanya ada pada para pemimpin kita, tidak kira samada dari kalangan parti pemerintah atau pembangkang.

2. Secara kebetulan pula dunia dan negara kita kini menghadapi krisis ekonomi yang paling teruk setakat ini.Samada ini satu mala petaka ataupun suatu hikmah, hanya Tuhan sahaja yang mengetahui.Tapi kita semua tahu bahawa bagi menghadapi krisis yang begini besar maka sesebuah negara itu perlulah mengembleng seluruh tenaga rakyatnya dan bersatu padu.Tidak mungkin kita mampu keluar dari kemelut ini jika rakyat terus berpecah dan bercakaran.Sehebat mana sekali pun pemimpin itu,dia pasti akan tewas jika rakyat terus berpecah.

3. Kita lihat sekarang masing2 cuba menegak kebenaran.Semua mengaku bahawa mereka lebih baik dari pihak yang satu lagi.Yang lebih teruk lagi ialah satu pihak itu cuba pula menjatuhkan pihak lain.Akhirnya siapa yang jatuh dan siapa yang rugi? RAKYAT juga.

4. Oleh itu sudah tiba masanya bagi DS Najib yang bakal memegang tampok kepimpinan negara hujung bulan Mac ini bermuhasabah dan mengambil pendekatan seperti ayahandanya Tun Abd. Razak pada tahun 1974 iaitu pendekatan rationalisme dalam menghadapi masalah besar ini.Semua pihak termasuk dari parti pembangkang hendaklah diajak meletakkan senjata kepentingan politik masing2 dan duduk semeja untuk berbincang tentang bagaimana kita harus menghadapi krisis ekonomi ini.
Eloklah juga selepas itu ditubuhkan pula suatu Pakatan Nasional bagi mengabungkan semua parti untuk memerintah negara ini.

5. Lupakan sahaja persidangan DUN bawah pokok.Lupakan sahaja projek pengambilan alih Kerajaan Persekutuan 19 September.DS Anwar juga perlu melupakan hasrat dan cita2nya untuk jadi PM.DS Najib boleh lantik beliau sebagai Menteri Kanan. Tempoh gencatan senjata politik ini biarlah berpanjang sehingga negara kembali stabil.Insyallah kita boleh.

Unknown said...

Dato Ron,

Sebelum menuding jari ke arah barisan ahli dun Perak yang bersidang dibawah pokok, ada beberapa rentetan peristiwa telah berlaku sebelum itu.

pertama: notis penutupan bangunan suk dan dewan dun. notis guna kepala surat rasmi kerajaan tetapi tidak ditanda tangan.

kedua: pada hari sidang akan dibuat, pintu sudah dikunci oleh setiausaha dan polis serta fru sudah menunggu didepan pintu menghalau ahli dun yang akan hadir.

ketiga: sekumpulan lelaki garang dan serius menyerang ahli dun dan speaker semasa ahli dun dan speaker sedang menuju ke arah bangunan suk. serangan ini tidak dihalang atau didamaikan oleh pihak polis. dibiarkan saja berlaku.

Soalan saya: adakah 3 perkara diatas demontrasi kepada demokrasi yang betul dan tepat mengikut landasan dan aturan gunapakai diMalaysia?
adakah itu demokrasi yang dinyatakan didalam perlembagaan negara ini?

odeen said...

KITA MASIH TUNGGU ITU PANGLIMA DO RE MI UTK MENYELAMATKAN NEGERI PASIR DUA BUTIR. KASIHAN RAJA DAN MEMANDA MENTERI
MEETING BWH POKOK. LAGI CEPAT PANGLIMA DO RE MI DTG LAGI BAGUS SBB MENETRI FASOLA DAH MELAMPAU SBB MERAMPAS
PEMERINTAHAN DGN CARA TDK ADIL. BIARLAH RAKYAT YG TENTUKAN. KERANA RAKYAT MENDERITA DAN TELAH MELARIKAN DIRI KE GUNUNG2
BUKIT2 DAN GUA2. SUATU HARI KEBENARAN AKAN TERBONGKAR.

DARI KISAH CERITA P. RAMLEE "DO RE MI" MAKA ANA SIMPULKAN BEGINI. RAJA DAN MEMANDANYA YG MEMERINTAH NEGERI PASIR DUA BUTIR
ADALAH DARI KUMPULAN PR (DATUK SERI NIZAR). ITULAH SBBNYA MEREKA MEETING DI BWH POKOK. RAJA FASOLA DAN ASKAR2NYA ADALAH
DARI KUMPULAN BN (DATUK ZAMBRY). PANGLIMA DO RE MI ADALAH MUNGKIN KALANGAN RAKYAT BIASA YG AKAN BANGKIT UTK MENUNTUT
KEADILAN. INI AKAN DIBUKTIKAN DLM 3SNAP ELECTION AT 3B. BUKIT SELAMBAU, BUKIT GANTANG & BATANG AI.

SAMA-SAMA KITA NANTIKAN MOVIE OF THE YEAR DO RE MI NYATA DI NEGARA

Mika Angel-0 said...

Sdr Ruhanie Ahmad

Penasihat Istana Yatim Piatu
(adegan bangsawan moderen)


Jangan dicuba adakan mesyuarat di bawah pokok di hari hujan berkilat sambar menyambar.

"Tanya tuanku siapa kata sidang dipanggil dan diadakan dalam keadaan darurat, dai orang istana"

mahu mencetus huruhara tanpa perkenan tuanku, wahai rakyat biasa keturunan bukan melayu?
patutukah kita lantas katakan silakan sahaja, Kuda Kepang?

Jiwa Merdeka said...

Salam,

Saya rasa "persidangan DUN bawah pokok" dan pelbagai peristiwa lain yang berkaitan dengan krisis politik Perak sekarang, adalah merupakan "akibat" dari dua perkara pokok yang berlaku sebelumnya: a) Tindakan BN "merampas" kerajaan Perak daripada PR, dan b) Keengganan Sultan menyetujui pembubaran DUN sebagaimana yang diminta oleh MB yang "terdahulu".

Krisis politik yang berlarutan ini mungkin tidak berlaku sekiranya dua perkara pokok itu tidak berlaku.

Untuk menyelesaikan krisis politik yang berlarutan ini, pihak yang berfikiran rasional mencadangkan satu cara saja: "pulangkan kuasa kepada rakyat", iaitu bubarkan DUN dan adakan pilihan raya baru.

Dengan itu, kita akan dapat melihat parti manakah yang menjadi pilihan rakyat.

Seladang said...

Dato Ron yang dihurmati.

Lebih baik demokrasi tulin ditegakkan di bawah pokok daripada berada dalam bilik hawa dingin istana tetapi ianya haram dan menolak mandat rakyat!

Azman said...

Kemelut di Perak, kedua-dua belah pihak tidak mahu berlapang dada, mencari penyelesaian untuk rakyat. Wujud perbezaan itu lumrah, tetapi mencari persamaan terhalang oleh ego yang memuncak. Jangan berselindung disebalik perkataan 'rakyat' untuk menagih simpati; ditujukan untuk PR & BN. Simpati hanya layak diberikan kepada peserta Akademi Fantasia yang tersingkir pada konsert prelude tetapi diterima semula untuk bertanding dan akhirnya menang sehingga mendapat hadiah berbuah-buah kereta dan perkahwinannya ditaja. Jika simpati juga diberkan kepada politikus melalui undi, hasilnya dapat bermewah-mewah setelah menang PRU, menambah isteri, bercerai, bayar mutaah berjuta-juta, dan air mata 'seniman & seniwati politikus jalanan & pokok'.

shekh said...

Salam Datuk,

Peristiwa sedih Perak, inilah dia namanya Demokrasi. Bagaimana indah sekalipun kita susun, pinda dan aturkan, kesudahannya adalah fitnah dan zulmat. Demokrasi amalan ciptaan Rom kuno, sebagaimana Datuk telah jelaskan.

Fakta sejarah, Sahabah Rasullullah SAW dah takluk Rom yang Hebat, Rom yang Demokrasi. Tetapi adakah Sahabah R.hum terkesan dengan tamadun dan ambil amalan hidup Rom sebagai cara hidup seharian?! Sahabah tidak menoleh pada Demokrasi. Sahabah bukan 'tahu' agama, tetapi 'faham' agama.

Hadrat Saad Bin Abi Waqas sampai ke Cina dengan memperkenalkan diri sebagai "Ummat kepada Nabi Mohd SAW", bukan sebagai bangsa arab atau melayu, bukan sebagai peniaga atau guru. Berjuta orang cina telah di Islamkan. Kita tanya dengan diri kita, berpuluh tahun kita berjirankan cina tetapi adakah mereka terkesan dengan Islam? Mungkin mereka terkesan dengan demokrasi dan semangat bangsa yang kita puja, bukan Islam.

Tiada perjuangan bangsa kecuali fitnah dan perpecahan. Tiada amalan hidup selain kehidupan Sunnah Rasullullah SAW.

Maafkan saya, Allahualam.

Anonymous said...

Peralihan kuasa pernah dinegeri kelantan berlaku dalam sejarah pada zaman Tun Abdul Razak dimana melalui undi tidak percaya akhirnya mengikut proses undang-undang dan tidak berlaku kekecohan yang berpanjangan.
Apa yang berlaku diPerak buat Pertama kali dalam sejarah setelah 50 tahun merdeka.UMNO(BARU)tersilap perhitungan dan akan menghadapi masalah kerana terlalu terdesak gila kuasa tanpa memikirkan kesan masa panjang.

wira said...

Wahai orang orang yang berilmu yang mendapat pendidikan dari persekitaran dunia barat, demokrasi adalah tunjang mereka. Yang lebih afdal dan sesuai untuk kita adalah kepimpinan yang berteraskan keimanan dan kejujuran seperti yang telah diamalkan oleh Rasulullah SAW. Dengan sempena Maulidulrasul ini kembalikan wahai sahabat sahabat dari Umno tercinta pimpinlah dengan baik semuga tempat kita diakhirat adalah disyurga. Amin