Tuesday, April 24, 2007

Yang Hak Tetap Hak?

Oleh Ketua Perusuh
[http://ketuaperusuh.wordpress.com]

Tulisan blogger yang menggelarkan dirinya sebagai Ketua Perusuh kini semakin panas. Kali ini beliau menulis soal hak sesebuah negara yang merdeka dan berdaulat dengan jodol Yang Hak Tetap Hak? Posting beliau sepenuhnya boleh dibaca menerusi link: http://ketuaperusuh.wordpress.com.

Kali ini, Ketua Perusuh mengacukan “serangannya” kepada Singapura. Antara intisari posting tersebut adalah seperti berikut:

Tambak Johor: Malaysia berhak menggantikan tambak ini dengan satu jambatan sesuai dengan peredaran masa dan kesesakan lalulintas mutakhir. Jika Singapura tidak bersetuju, Malaysia berhak merobohkan mana-mana bahagian tambak tersebut yang berada di dalam kawasan negara ini.

Jambatan: Malaysia berhak membangunkan satu jambatan baru untuk menggantikan tambak berkenaan. Malaysia berhak membuat apa sahaja bentuk jambatan yang sesuai di kawasan Malaysia sendiri. Terpulanglah sama ada Singapura akan menyambungnya atau pun tidak.

Pesawat: Malaysia berhak menyekat dan melarang mana-mana pesawat tentera Singapura memasuki ruang angkasa negara ini tanpa kebenaran awal. Malaysia berhak menembak jatuh mana-mana pesawat yang mengingkari arahan unit keselamatan negara ini.

Kenderaan: Malaysia berhak menyekat mana-mana kenderaan Singapura dari memasuki negara ini pada bila-bila masa yang didapati perlu.

Levi: Malaysia berhak mengenakan levi atau caj bagi setiap kenderaan Singapura yang memasuki Malaysia, sama seperti Singapura mengenakan caj kepada kenderaan Malaysia yang memasukki pulau berkenaan. Malaysia juga sepatutnya berhak melarang rakyat Singapura menggunakan kenderaan mereka sendiri di Malaysia melainkan dengan menggunakan kenderaan yang disewa di negara ini.

Air: Malaysia berhak menetapkan kadar bayaran air yang perlu dikenakan kepada Singapura mengikut kadar piawaian antarabangsa. (Sekarang Malaysia dibayar RM0.03 bagi setiap 1200 gelen air.) Malaysia juga berhak untuk tidak membekalkan air kepada Singapura selagi negara itu enggan menerima kadar yang ditetapkan oleh negara ini.

Perjanjian Air: Malaysia sangat-sangat berhak mengkaji semula dan meminda mana-mana bahagian di dalam perjanjian air yang termeterai dengan Singapura sejak berpuluh tahun lamanya.

Tebus guna pantai: Malaysia berhak menyekat Singapura menebus guna pantainya yang berhadapan dengan kawasan pantai negara ini kerana ia akan menyebabkan garisan sempadan kedua negara jadi berubah.

WPI: Malaysia berhak menetapkan beberapa sekatan kepada warga Singapura, termasuk mengubah semua perjanjian yang melibatkan pembelian hartanah (diubah menjadi cuma pajakan 60 atau 99 tahun sahaja) pada bila-bila masa yang difikirkan perlu.

Pendek kata, Malaysia berhak untuk berbuat apa sahaja yang kita kehendaki di tanahair tercinta ini.

Komen:

Saya yakin Ketua Perusuh insaf bahawa walau pun soal hak sesebuah negara yang merdeka dan berdaulat memang terserah kepada negara itu sendiri untuk menentukannya, tetapi hak itu juga wajar digandingi dengan semangat kejiranan yang tulen lagi abadi. Soal hak juga wajar didasari perundangan antarabangsa yang bertanggungjawab meregulasikan keamanan sejagat.

Bagaimanapun, hakikat ini seolah-olah tidak wujud langsung dalam kerangka kejiranan Malaysia dengan Singapura. Ini kerana soal hak ini lebih didukung oleh mentaliti kiasu dan kiasi. Kalau tidak, mana mungkin soal Pulau Batu Putih yang memang milik Malaysia terpaksa diheret ke pengadilan internasional. Kalau tidak, mana mungkin soal penambakan pantai oleh Singapura juga tidak mengambilkira undang-undang laut antarabangsa.

Jadi, mungkinkah Ketua Perusuh bersuara begitu tegas dalam postingnya kali ini kerana beliau kecewa dengan mentaliti kiasu-kiasi serta karenah dan perilaku Singapura yang seolah-olah dialah kuasa superamo di rantau ini? Mungkinkah beliau kecewa bila Singapura seolah-olah melambat-lambatkan perundingan membabitkan pelbagai masalah yang belum selesai sejak beberapa tahun lamanya?

Atau, mungkinkah posting beliau kali ini juga mencerminkan kekecewaan Ketua Perusuh terhadap kelemah-lembutan Malaysia yang amat akomodatif dalam menyelesaikan pelbagai isu tertunggak dengan Singapura?

Bagaimanapun, Ketua Perusuh mungkin terlupa bahawa Malaysia juga berhak untuk tidak menjual pasir kepada Singapura, seperti Indonesia juga memilih untuk tidak menjual pasir kepada Singapura mutakhir ini!

Kesimpulan kepada segala persoalan hak antara dua negara yang berjiran, seperti yang disuarakan oleh Ketua Perusuh, pasti boleh menimbulkan kekeliruan dan ketegangan duahala, sekiranya disuarakan oleh kerajaan Malaysia.

Bagaimanapun, inilah contoh sentimen sebilangan rakyat Malaysia mutakhir ini. Inilah realitinya yang wajar diambilkira oleh Singapura bila berurusan dengan Malaysia di hari muka. Dan, inilah juga realitinya yang perlu mendasari tindakan Malaysia bila berurusan dengan negara berkenaan di hari-hari mendatang! – Ruhanie Ahmad

1 comment:

spycatcher03 said...

Memang kita sebagai sebuah negara berdaulat berhak membuat apa saja asalkan 'within the ambit of law'. Masalahnya adakah kita mempunyai 'political will' untuk menentukan hak2 kita spt yang di sebut oleh Ketua Perusuh, dijaga dan tidak dicabul oleh kuasa lain? Pada hemat saya, kalau diambil kira prestasi kepimpinan negara sekarang, kita akan tetap mengalah kepada negara jiran, atas apa jua alasan.Kalau kita mempunyai hubungan duahala yang amat baik buat masa ini, mengapa kita tidak mengambil peluang untuk bereskan isu2 tertunggak! Mengapa Shahril menganjurkan singapura membuka balik perbincangan mengenai jambatan dgn malaysia? Kalau dah batal , batal ajelah.
Datuk,kita harus buka telinga lagi terhadap kemungkinan penjualan pasir berlaku!!