Tuesday, April 24, 2007

Jambatan Indah
Dibina Semula?

Jambatan Indah mungkin dibina semula tidak lama lagi? Inikah mesej yang cuba disampaikan oleh Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahril Abdul Samad, bila beliau menyarankan supaya kerajaan Singapura bersikap terbuka untuk membincangkan semula isu pembinaan jambatan tersebut?

Kata Datuk Shahril, Singapura pernah menyuarakan pendirian bahawa ia bersedia untuk berbincang dengan Malaysia mengenai isu jambatan dan tambak Johor selepas tahun 2007. Kenyataan penuh Datuk Shahril mengenai hal ini boleh diakses menerusi link Utusan Malaysia seperti berikut:

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=0423&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_04.htm

Komen:

Kita semua sedia maklum, projek Jambatan Indah untuk menggantikan Tambak Johor ini telah dibatalkan pembinaannya pada 12 April 2006 – iaitu satu tahun yang lalu.

Kisah di sebalik pembatalan projek ini terlalu panjang dan lebar - penuh dengan kedolak-dalikan, penuh dengan misteri, penuh dengan kontradiksi, dan penuh dengan kontroversi.

Saya sendiri menghasilkan sebuah buku berjodol Mahathir Menyinga. Buku tersebut menelusuri seluruh kedolak-dalikan, misteri, kontradiksi dan kontroversi di sebalik pembatalan projek berkenaan.

Apa pun, pendirian pembesar negara kita mengenai pembatalan ini nampaknya memang sudah muktamad, semuktamadnya. Mana-mana pihak yang tidak puas hati dengan keputusan ini dilabelkan sebagai elemen-elemen yang cuba mencampuri urusan kerajaan.

Anehnya, kini Ahli Parlimen Johor Bahru kembali bersuara mengenai soal pembinaan jambatan berkenaan. Biarpun mesej beliau disampaikan secara berbelit-belit, pokoknya ialah, isu pembinaan Jambatan Indah wajar dibincangkan semula.

Adakah Datuk Shahril yang memang sewajarnya dapat merasakan degup jantung kemarahan sebilangan rakyat Johor berikutan pembatalan projek itu, kini berpendapat bahawa projek itu perlu dilaksanakan semula?

Kalau inilah matlamat di sebalik kenyataan beliau semalam, yang perlu didesak bukannya Singapura. Tetapi, kerajaan Malaysia, kerana pembatalan projek ini adalah satu keputusan yang silap.

Sesudah itu, berbincanglah dengan Singapura mengenainya. Tapi, bertegaslah dalam perbincangan itu. Jangan sampai perbincangan mengenai hal jambatan disambar pula oleh Singapura untuk menyelesaikan hal-hal lain yang boleh ditakrifkan sebagai tindakan menggadaikan maruah dan kedaulatan ngara ini kepada negara sekangkang kera itu.

Janganlah perbincangan tersebut sampai dijadikan peluang keemasan oleh Singapura untuk mengatasi masalah kedahagaan air dan ketandusan pasir yang kelihatan sangat-sangat mendsak repulik pulau itu pada hari ini.

Pendek kata, kalaulah soal jambatan ini mahu dirundingkan semula dengan Singapura, perundingan itu hendaklah khusus dan fokus hanya kepada soal jambatan. Kalau Singapura setuju, teruskan. Kalau tidak, biarlah projek jambatan itu hanya menjadi satu kenangan pahit yang terus mengusik jiwa sebilangan rakyat Malaysia dan warga Johor yang memang sudah pun calar, luka dan berdarah dada mereka sejak setahun yang lalu! – Ruhanie Ahmad

2 comments:

Artakus said...

Tuanku Sultan pun dulu dah suh robohkan tambak tu..takkan lar takmau dengar kata Tuanku Sultan Johor..

Rockybru said...

berita sensasi ni. papers lain tak follow-up ke?