Thursday, April 19, 2007

Ketua Perusuh Akan Terus Merusuh
Menerusi Pendedahan Di Blognya?

Kebelakangan ini, blogger Ketua Perusuh menjadi salah seorang blogger yang saya rujuk dan pinjam postingnya. Dua hari lalu saya siarkan di blog ini dua tulisan Ketua Perusuh mengenai peranan Singapura di selatan Thailand. Kali ini saya poskan pula tulisan beliau mengenai operasi risikan antarabangsa, yang menurut beliau, juga membabitkan Singapura.

Tulisan Ketua Perusuh kali ini berjodol Operasi Risikan Antarabangsa? Antara intisarinya yang menarik adalah seperti berikut:

Singapura, walaupun berjiran dengan Malaysia, masih lagi bersikap prejudis terhadap ekonomi, kuasa dan politik Malaysia. Beberapa insiden yang berlaku lewat tahun 80-an dan 90-an banyak yang dijanakan dari Singapura. Malah beberapa pertelagahan berkaitan dengan keselamatan negara juga pernah berlaku diantara dua negara ini, walaupun ianya berjaya dikawal sehingga tidak mencetuskan kegawatan keselamatan.

Namun, seperti biasa, bila mana sesebuah negara yang tidak mempunyai hasil galian dan kawasan yang luas, pastinya negara itu akan sentiasa meragui kejujuran jiran mereka. Cuba kita lihat senario yang berlaku di Asia Barat (Israel dan Palestine). Israel senantiasa meragui akan jiran-jirannya seperti Jordan dan Syria. Malah mereka pernah cuba menggempur dan berperang dengan dua negara jiran ini.

Walaupun Malaysia tidak pernah (tidak akan) berkonflik dengan Singapura menggunakan kekuatan ketenteraan, namun kewaspadaan perlulah senantiasa ada. Singapura sejak dahulu lagi dikenali sebagai proksi Amerika Syarikat di kawasan Asia Tenggara. Malah kemudahan keselamatan yang diperolehi oleh Singapura melangkau jauh dari sudut teknologinya dari negara-negara jiran yang berhampiran dengannya. Kemudahan yang dibekalkan oleh pihak Amerika Syarikat dengan kerjasama Israel sebagai penasihat keselamatan, telahpun digunapakai dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh Singapura.

Beberapa tindakan penyusupan telah dilakukan (sentiasa dilakukan) oleh pihak agensi risikan Singapura melalui tindakan pesawat terbang tanpa pemandu (Unmanned Aerial Vehicle - UAV). Tindakan sepeerti ini telah dilakukan di beberapa kawasan strategik seperti di Johor Selatan dan pernah ada pihak terlihat akan UAV terbang pada waktu subuh di kawasan Mersing dan Kota Tinggi.

Walaupun beberapa syarikat utama pertahanan negara seperti SCS Technology ada membangunkan kemudahan UAV buatan tempatan, namun keberkesanannya masih lagi dipersoalkan, malah beberapa ujian yang gagal telah berlaku terhadap kemudahan UAV ini. Namun kita amat berharap agar Malaysia dapat menggunakan kemudahan UAV ini untuk tujuan mengawal keselamatan sempadan negara.

Penggunaan UAV yang kecil dan senyap (Predator) itu pernah juga mencetuskan kebimbangan penduduk di sekitar Tampoi dan Skudai di Johor. Namun ianya disenyapkan oleh kata-kata yang dikeluarkan oleh Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak. Malah tiada tindakan konstruktif dari pihak Kementerian Pertahanan menangani permasalahan ini.

Kita (agensi risikan tempatan) tahu bahawa Malaysia selalu digunakan sebagai lokasi pertemuan dan pertukaran maklumat di antara beberapa agensi risikan dunia yang terkenal seperti FSB, KGB, CIA, MOSSAD, MI6 serta beberapa lagi agensi risikan kecil sejak dari awal Perang Dingin lagi. Kini dunia operasi risikan menggunakan Malaysia sebagai platform yang selamat kerana kita (rakyat Malaysia) tidak mengambil peduli akan isu-isu berkaitan keselamatan.

Pada artikel (episod) yang akan datang, InsyaAllah saya akan mengupas lebih lanjut berkaitan dengan isu risikan dan keselamatan negara. Keperluan agensi risikan tempatan dan pihak pertahanan negara melaksanakan plan C4I dan lain-lain plan sokongan adalah sesuatu kemestian yang perlu dimulakan dan dipercepatkan. -
http://ketuaperusuh.wordpress.com/

Komen:

Saya yakin Ketua Perusuh mengirimkan tulisan di atas ke blognya kerana beliau mahu ianya dikongsikan dengan majoriti rakyat Malaysia. Tetapi, ini tidak pula bermatlamat menjadikan sesetengah negara jiran terdekat kita sebagai hantu momokan.

Sebagai seorang bekas fellow kanan ISIS, pastinya Ketua Perusuh mengetahui dan sering menganalisis banyak scenario geo-politik Asia Tenggara mutakhir ini, termasuk mengenai Singapura.

Setelah membaca tulisan beliau menerusi sirinya baru-baru ini, saya pun mengambil kesimpulan dalam bentuk beberapa soalan berikut:

Satu: Adakah wajar bagi sesebuah negara masuk campur dalam urusan dalaman di negara jirannya yang merdeka dan berdaulat menerusi kerja-kerja sabotaj, operasi hitam dan sebagainya, sehingga menyebabkan pembunuhan dan pertumpahan darah sperti di selatan Thailand?

Dua: Inikah buktinya bahawa prinsip kesetiakawanan dalam ASEAN kini hanya tinggal dokumen yang wujud tanpa semangat dan kejujuran?

Tiga: Apakah tindakan yang perlu diambil dalam keadaan seperti ini?

Empat: Mengapakah dan sampai bilakah hal-hal seperti ini dibiarkan untuk terus berleluasa?

– Ruhanie Ahmad

No comments: