Thursday, April 26, 2007

Kisah PRK Ijok Seperti Macam Lunas
Dan Web Malaysia Today Yang Panas?

Pada 29 November 2000, calon Barisan Nasional (BN) tewas kepada calon Parti Keadilan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Lunas, di Kedah. Kekalahan itu menyebabkan BN Kedah tidak lagi menikmati kedudukan dua pertiga kekuasaannya dalam kerajaan negeri Kedah. Lunas adalah kawasan majoriti Melayu yang sudah sekian lama diwakili oleh wakil rakyat BN daripada MIC.

Pada 28 April 2007 ini, calon BN daripada MIC yang ditentang oleh calon Keadilan akan menentukan nasibnya dalam PRK DUN Ijok, di Selangor. DUN ini juga satu kawasan majoriti Melayu yang sudah sekian lama diwakili oleh wakil rakyat BN daripada MIC.

Kalau PRK Lunas dikategorikan sebagai panas, PRK Ijok kali ini boleh dikatakan lebih panas. PRK Ijok terlalu panas sehingga sesi kempen pun terpaksa dihadiri oleh Polis Simpanan Persekutuan (FRU) yang bersenjatakan meriam air (water canon) untuk menenangkan keadaan.

Projek Segera

Tetapi, walaupun banyak pihak cuba menafikan persamaan ciri-ciri PRK Lunas dan PRK Ijok dalam beberapa segi, persamaan itu tetap kelihatan dan terus diperkatakan secara meluas.

Antara persamaannya adalah: Lunas dan Ijok adalah DUN yang mempunyai majoriti pengundi Melayu. Tetapi, DUN ini diwakili oleh wakil rakyat BN daripada MIC.

PRK Lunas yang hari mengundinya pada 29 November 2000, ditandingi oleh BN (MIC), Keadilan (Melayu) dan Bebas (keturunan India). PRK Ijok yang hari mengundinya pada 28 April 2007, pula ditandingi oleh BN (MIC) dan Keadilan (Melayu).

Dalam PRK Lunas, rakyat tempatan dicurahi projek segera yang melempah ruah. Dalam PRK Ijok, projek segera juga mencurah-curah dan melempah ruah.

Pengundi Hantu

Dalam PRK Lunas, beberapa bas yang dikatakan membawa “pengundi hantu” telah diminta oleh pihak keselamatan supaya keluar daripada DUN Lunas untuk mengelakkan sebarang kemungkinan negatif.

Sumber-sumber mengatakan bahawa sebilangan besar pengundi berkenaan dipercayai “diimport” daripada Ijok menerusi network MIC. Jadi, mungkinkah pada 28 April 2007 ini akan ada return visit “pengundi hantu” daripada Lunas, juga menerusi network MIC?

Bagaimanapun, ada juga perbezaan antara PRK Lunas dan Ijok. Sewaktu PRK Lunas, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang merengkok di dalam penjara. Dalam PRK Ijok, beliau jadi chief gerakan kempen calon Keadilan.

Di Lunas tidak timbul pelbagai isu panas mengenai kepimpinan BN dan kerajaan. Di Ijok isu-isu panas mengenai kepimpinan BN dan kerajaan dihamburkan secara habis-habisan.

Malaysia Today

Sewaktu PRK Lunas, kempen, curahan rasa dan kekecewaan rakyat yang menyokong BN dan mendukung pembangkang tidak dihamburkan ke internet secara meluas kerana ketika itu penggunaan blogs masih belum meluas di negara ini. Hari ini, blogs dan perang mulut di internet turut menghangatkan suasana dan kempen PRK Ijok.

Antara blog dan portal berita yang terhangat sekali semasa PRK Ijok adalah http://www.malaysia-today.net/. Sepanjang 24 semalam, Malaysia Today mencatatkan lebih 3 juta hits berbanding purata 1.8 juta hits sehari pada hari-hari biasa.

Akibatnya, Malaysia Today yang selama ini menggunakan bandwidth 10GB sehari telah meningkat kepada bandwidth 46GB dalam tempoh dua hari.

Ini menyebabkan syarikat yang hosting web Malaysia Today mengarahkan portal berita itu ditutup kerana melimpasi had bandwidth yang diizinkan selama ini.

Bursa Berita

Setelah berunding, Malaysia Today diizin untuk meneruskan operasi berita internetnya. Tetapi terpaksa membayar $10,000 untuk tambahan bandwidth yang diperlukan sehingga berakhirnya PRK Ijok.

Di samping itu muncul pula http://www.malaysiakita-bakaq.blogspot.com/ – satu blog tempatan yang diwujudkan sempena PRK Ijok.

Blog ini bertindak sebagai bursa berita PRK Ijok yang dicedok daripada akhbar-akhbar serta blogs tempatan dan luar negara. Hits menerusi blog ini juga dikatakan terus meningkat menjelang hari pembuangan undi Sabtu ini.

Demokrasi Siber

Demikianlah kisahnya Lunas, Ijok dan Malaysia Today. Mungkinkah semangat kemenangan pembangkang di Lunas pada 2000 akan melunaskan BN di Ijok Sabtu ini?

Mungkinkan semangat waja pengundi BN di Ijok Sabtu ini pula akan melunaskan keghairahan pembangkang di hari muka?

Dan, mungkinkah fenomena Malaysia Today yang kian menerima sambutan panas dari warga maya Malaysia mutakhir ini mencerminkan kehangatan serta kemeriahan demokrasi siber dan kempen menerusi internetnya dalam Pilihan Raya Umum ke-12 kelak? – Ruhanie Ahmad

3 comments:

lamandau said...

Memang betul Datuk, kalau kita tengok kekecuhan yang berlaku pada hari penamaan calon dan perkembangan terkini kempen PR kecil ini menyerupai PRK Lunas dahulu.
Saya rasa pihak keselamatan juga patut di persoalkan keprofessionalism mereka menjalankan kawalan keselamatan pada hari tersebut.Pihak polis sepatutnya mengamalkan taktik 'to dominate the area' bebrapa jam sebelum acara berjalan. Perarakan calon oleh kedua2 Parti harus diatur sehingga tidak mungkin 'bertembung' pada bila2 masa sekali pun. Saya rasa Polis gagal membina kawalan 'box system' agar kedua2 kumpulan penyokong parti dapat di'contain' dalam satu kawasan penjagaan rapi Polis.S aya rasa dengan kekuatan l/k 1000 anggota amat mencukupi.Antara dua kotak penyokong hendaklah mempunyai jarak yang tidak memungkinkan perhubungan fisikal terjadi. Pihak Polis sudah tentu mempelajari dari kejadian yang lepas yang melibatkan PKR !
Saya juga khuatir berkenaan keselamatan pada hari membuang undi, Datuk. Dengan tuduhan semasa kempen tentang ujudnya pengundi hantu, berkemungkinan besar pekerja2 dan penyokong PKR akan membina sekatan jalanraya sendir (secara haram) untuk mengesan pengundi hantu. Kalau pihak Polis tidak pro-aktif dalam hal ini , kejadian spt di Lunas akan berulang.Tindakan umpama ini bukan sahaja illegal, tetapi juga akan menyusahkan orang ramai membuang undi, mungkin juga peratus 'turnout' akan menurun.Regular/high level patroling and omni-present by Police may curtail illegal acts by anybody!

kudakepang said...

Datuk:
Tadi saya berada diIjok sepanjang hari. Kira-kira 3 km ke arah pekan ada dua sekatan polis. Ini menyebabkan kesesakan yang hampir 3-4 km.

Maklum balas yang saya kutip, banyak pihak tak puas hati dengan cara pihak keselamatan melaksanakan public order. Rakyat setempat agak marah bila FRU pun dikrah ke majlis ceramah PKR.

Saya orang BN. Yang marah-marah pun ramai orang BN. Apa saya nak buat? Saya minta mereka bersabarlah samapai Sabtu ini.

Bacaan sikap pengundi agak ilusif. Ada penduduk pasang bendera BN pasal nak jalan tar. Tapi undi merka masih belum jelas.

Rata-rata menyuarakan rasa tidak puas hati kerana diwakili calon MIC. Ini soal keputusan kepimpinan. Para pekrja BN tak dapat menjawab persoalan ini. Mereka hanya put thir best.

Ada kawasan peti undi yang dah memang hitam. Para pekerja BN di kawasan seperti ini hanya bekerja brtungkus lumus untuk memperbaiki score sahaja. Kalau semalam contohnya 40 peratus, hari ini mereka bekrja untuk dapatkan 42 peratus. Kalah tetap kalah di kawasan peti undi sedemikian.

Hari ini YAB PM turun ke Ijok. Tapi, agak sukar untuk lawatan itu memperbaiki prstasi BN di sesetengah kawasan peti undi yang hitam. Mereka tak benci BN kerana merka orang BN. Tetapi, PRK ini sudah bertukar kepada soal bangsa, antara India atau Melayu/Islam.

Situasi seperti ini agak mendebarkan. Di kawasan yang dikatakan hitam ini, pengundi majoritinya orang BN. Tapi soal mengundi calon BN masih diragui oleh kerana faktor bukan Melayu.

Olh itu, setakat petang ini, orang sana kata, situasi masih 50:50. Ada juga kata BN 42 PKR 48. Mana satu yang sahih, hanya tuhan sahaja yang maha mengetahui.

Itulah update saya mengenai Ijok hari ini.

Salam hormat
Ruhanie Ahmad

Unknown said...

Sekarang saya bukan orang BN atau keadilan. Saya inginkan rakyat semua untung. Apabila ada saja pilihanraya macam macam janji ditaburkan. Benda percuma melimpah ruah. Kononnya semua mengambil berat. Pihak yang berebut kuasa ini jangan tunjuk taring. Semestinya kebajikan rakyat menjadi isu. Setiap kali adanya pilihan raya kecil berpuloh juta RM dihadiahkan olih pihak tertentu. Saya ingin sarankan supaya semua wakil rakyat yang kurang letak jawatan dan adakan pilihan kecil lagi. Lagi banyak pilihan raya kecil lagi untung rakyat. Lagi bertambah harga "saham" pengundi. Jika bolih biarlah pilihan raya dibuat berulang ulang. saya rasa dengan cara ini rakyat akan pasti mendapat faedah.