Thursday, June 14, 2007

Haramkan Segera Eksport Batu
Dan Debu Kuari Ke Singapura

Ruhanie Ahmad

Pendedahan blog ini sejak dua bulan yang lalu mengenai aktiviti pengeksportan batu pejal dan debu kuari dari Negeri Sembilan dan Selangor ke Singapura terbukti benar – bukan ura-ura, bukan fitnah dan bukan pembohongan.

Hari ini, sumber-sumber blog ini memberikan nama-nama syarikat pembekal bahan berkenaan yang beroperasi di Malaysia dan juga nama-nama syarikat pembelinya di Singapura. Juga didedahkan adalah anggaran jumlah yang dieksport setiap hari, bilangan tongkang pengangkutnya, jeti perlepasannya, harga pembeliannya, dan anggaran keuntungannya.

Beberapa syarikat tempatan kini terbukti mengeksport sejumlah 35,000 metrik ton batu pejal (granite) dan debu kauri (quarry dust) sehari, dari Negeri Sembilan dan Selangor ke Singapura, dengan nilai harian dianggarkan RM4 juta, sejak Mac 2007.

Ini bermakna, secara hitung panjang, sekurang-kurangnya 3,150,000 metrik ton bahan-bahan berkenaan dengan nilai RM252 juta, telah dieksportkan dari pantai barat Malaysia Semenanjung ke Singapura, sejak tiga bulan yang lalu.

Jumlah di atas tidak termasuk eksport bahan-bahan yang sama dari Muar, Batu Pahat dan Melaka, seperti yang dilaporkan menerusi ruangan forum http://www.mykmu.net/. Portal berkenaan juga memaparkan gambar-gambar beberapa buah tongkang yang sarat dengan batu pejal dan debu kuari dari Muar yang dipercayai sedang dalam perjalanan menuju ke Singapura.

Hong Leong

Sumber-sumber blog ini berkata, sebuah daripada syarikat terbabit di Negeri Sembilan dikenali sebagai Sungai Rambai Angkut Sdn. Bhd. (PT5551), beralamat di Jalan Klang-Banting Batu 13, Kampung Sungai Rambai, 42600 Jenjarom, Selangor. Syarikat ini kini mengeksport 15,000 metrik tan bahan-bahan berkenaan ke Singapura setiap hari, dengan menggunakan tiga buah tongkang, menerusi jeti di Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan. Bahan-bahan tersebut dikatakan diperolehi daripada kuari di Nilai.

Beberapa syarikat lagi yang namanya masih sedang dalam siasatan, mengkesport sejumlah 35,000 metrik tan bahan-bahan yang sama ke Singapura setiap hari, dengan menggunakan tujuh buah tongkang, menerusi jeti di Morib dan Pulau Carey, Selangor. Bahan-bahan tersebut dikatakan diperolehi daripada kuari di sekitar Jugra.

Sumber-sumber yang sama juga berkata, keseluruhan bahan-bahan di atas dijual kepada dua syarikat di Singapura dengan harga RM80.00 satu metrik tan. Seluruh pembekal terbabit dari Malaysia pula dipercayai mengaut keuntungan bersih sebanyak RM25.00 setiap metrik tan. Bagaimanapun, masih belum diketahui berapakah harga pasaran bahan-bahan berkenaan yang dikenakan kepada pembelinya di Singapura.

Satu daripada syarikat yang kini membeli batu pejal dan debu kuari Malaysia di Singapura adalah Sing Lian Huat Sand Quarry Pte. Ltd., No. 19, Simon Road, Singapore 545904. Untuk maklumat lanjut mengenai syarikat ini, sila klik link berikut:

http://dir.bca.gov.sg/bca/CompanyDetail.asp?CoType=All&ID=199000234N

Satu lagi syarikat pembeli di Singapura adalah Hong Leong Asia Ltd. yang memiliki dan mengoperasikan PT Kariumn Granite – sebuah kauri batu pejal terbesar di Asia Tenggara, di Pulau Karimun, Indonesia. Bahan-bahan daripada kuari ini dibekalkan untuk kerja-kerja tebusguna tanah di Singapura. Bahagian bahan binaan Hong Leong Asia Ltd. beroperasi di No. 43 Sungei Kadut Street 4, Singapore 729061. Untuk maklumat selanjutnya sila klik link berikut:

http://www.hlasia.com.sg/
www.hlcorp.com.sg/hlatest/hlanew/contact.htm

Indonesia

Bagaimanapun, sejak kerajaan Indonesia mengharamkan pengeksportan pasir, batu pejal, debu kuari dan lain-lain bahan “hydraulic fill” ke Singapura baru-baru ini, pembekal-pembekal di republik itu pun mencari bahan-bahan berkenaan daripada sumber-sumber lain, khususnya dari Malaysia. Juga diberitakan bahawa bekalan bahan-bahan yang sama kini dikatakan diperolehi dari Mynmar dan Vietnam.

Sumber-sumber blog ini juga berkata, aktiviti-aktiviti eksport batu pejal dan debu kuari dari Ngeri Sembilan dan Selangor kini dipercayai diselaraskan oleh seorang warga Singapura yang memandu kenderaan Mercedes Benz berwarna silver dengan nombor pendaftaran 350 SBZ 91 B.

Seperti yang didedahkan oleh blog ini pada 10 pada Mei 2007, dengan jodol Eksport Batu Ke Singapura Dilesenkan Oleh Kerjaan? dan pada 9 Mei 2007, dengan jodol Eksport Pasir Ke Singapura Haram, Eksport Batu Dan Debu Kuari Halal?, aktiviti-aktiviti eksport dari Malaysia ini adalah dilesenkan oleh MITI.

Hakikat ini mengundang pelbagai tanda tanya dan cadangan. Antaranya adalah seperti berikut:

Mengapakah MITI tidak mengkategorikan batu pejal dan debu kuari sebagai bahan asas yang diperlukan untuk kerja-kerja tebusguna pantai di Singapura? Persoalan ini timbul kerana aktiviti tebusguna pantai secara “hydraulic fill” bukan sahaja memerlukan pasir, malahan batu pejal, debu kuari serta pasir berlumpur sebagai bahan utamanya.

Oleh itu, jika pengharaman eksport ke Singapura untuk bahan tebusguna tanah yang dikuatkuasakan oleh MITI hari ini hanya tertumpu kepada pasir, maka komponen lain untuk “hydraulic fill” – batu pejal, debu kuari dan pasir berlumpur – juga mesti segera di haramkan.

Hydraulic Fill

Adakah kerajaan Malaysia tidak berpendapat bahawa sekarang merupakan waktu terbaik untuk mengkaji semula istilah “hydraulic fill” ini supaya merangkumi batu pejal dan debu kuari yang diperlukan untuk kerja-kerja tebusguna tanah di Singapura dan sekaligus mengharamkan pengeksportannya?

Adakah kerjaan Malaysia akan terus membisu dan sekaligus menyumbang kepada pembesaran Singapura – sekali ganda saiznya hari ini – dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang?

Adakah kerajaan Malaysia sedar bahawa pemerintah Indonesia kini sedang mengkaji semula istilah “hydraulic fill” ini supaya merangkumi batu pejal dan debu kuari? Untuk Maklumat lanjut, harap klik di sini: http://www.todayonline.com/articles/176927.asp

Atau, adakah kerajaan Malaysia sanggup berhadapan dengan masalah sempadan laut tidak lama lagi akibat daripada kerja-kerja tebusguna tanah di Singapura yang menggunakan komponen “hydraulic fill” dari Malaysia?

Bagaimana jika Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) kelak memutuskan yang Pulau Batu Putih adalah milik Singapura, dan berikutnya, pantai pulau itu pula ditebusguna menggunakan bahan-bahan “hydraulic fill” dari Malaysia? Tidakkah akibatnya adalah sempadan Malaysia-Singapura jadi berubah – semakin mendekati pantai Malaysia? Tidakkah ini berbahaya kepada keselamatan negara?

Kedaulatan

Tidakkah penerusan eksport batu pejal dan debu kuari ke Singapura, pada perkiraan akhirnya, akan menjejaskan kedaulatan Malaysia? Tidakkah Malaysia berhak untuk segera mengharamkan eksport bahan-bahan tersebut yang sedang rancak ketika ini?

Blog ini, www.mayaputera.blogspot.com, shar101.blogspot.com dan mykmu.net telah beberapa kali merungkai soalan-soalan di atas. Tetapi, oleh kerana bloggers secara amnya dilabelkan sebagai “liars” dan “penabur fitnah” maka perungkaian ini hanya disifatkan sebagai usaha memburuk-burukkan kerajaan mutakhir.

Singapura kini memerlukan pasir dan lain bahan binaan bukan sahaja untuk tebusguna tanah. Tetapi juga untuk pembinaan, khususnya sebuah kasino di Sentosa Island.

Sebagai penutup kepada posting ini, sama-samalah kita renungkan semula beberapa potong ayat oleh Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak, mengenai eksport pasir ke Singapura.

Beliau membuat kenyataan ini dalam konteks Malaysia tak akan jual pasir kepada Singapura sebagai syarat Singapura mempersetujui pembinaan jambatan menggantikan Tambak Johor. Saya harap semangat di sebalik kenyataan itu terus relevan selama-lamanya.

Haramkan

Utusan Malaysia 21 Mac 2006 melaporkan Najib sebagai berkata bahawa kerajaan akan bertindak tegas mengenai soal penjualan pasir (kepada Singapura) demi mempertahankan kedaulatan dan maruah negara.

Katanya, beliau difahamkan jika Malaysia bersetuju menjual pasir kepada Singapura, sebanyak 50 juta meter padu setahun, untuk selama 20 tahun, bagi melebarkan Pulau Tekong, Tuas dan Jurong, ini bermakna, dalam tempoh dua dekad, pasir berkenaan akan bersamaan saiz sebuah lagi pulau Singapura.

Oleh itu, adakah pembesar Malaysia kini tidak insaf bahawa pasir yang nak dibeli oleh Singapura - sebanyak 50 juta meter padu setahun, untuk selama 20 tahun – dan juga batu pejal dan debu kuari yang sedang dieksportkan ke sana ketika ini, akan membina sebuah lagi pulau yang sama saiznya dengan Singapura yang wujud pada masa ini?

Walaupun eksport bahan ini menjana pendapatan negara, bukankah pengharaman eksport pasir, batu pejal, debu kuari dan lain-lain komponen asas kepada “hydraulic fill” dari Malaysia ke Singapura merupakan tindakan yang mesti dilakukan dengan seberapa segera? Tidakkah kepentingan dan kedaulatan negara mengatasi perkiraan perniagaan dan perolehan keuntungan?

Untuk bacaan selanjutnya berkaitan isu di atas, sila klik di bawah ini:

http://www.asiasentinel.com/index.php?option=com_content&task=view&id=356&Itemid=32

http://www.littlespeck.com/region/CForeign-SEA-030802.htm

http://www.littlespeck.com/content/development/CTrendsDev-070203.htm

http://www.aggregateresearch.com/caf/flyash/article.asp?id=10439

http://www.wildsingapore.com/news/20070304/070316-9.htm

http://news.bbc.co.uk/2/hi/asia-pacific/6465855.stm

6 comments:

Dr. Hamizi said...

Dato... jika benar apa yg. disampaikan ini, saya tidak hairan... memang banyak loop hole dalam unndang-undang yang dikawal kerajaan...

cuma saya menyeru kalau-kalau wartawan dari media perdana ada membaca penulisan Dato' ini dapat menyuarakan soalan-soalan ini kepada pemerintah... kerana sekarang saya nampak kecenderungan mereka memetik berita dari bloggers sebagai salah satu sumber maklumat penting bukannya kosong... lagipun rumours di Malaysia selalunya menjadi, sebab kita memang tidak boleh simpan rahsia...

Dr. Hamizi said...

jikalau kerajaan merasakan ini adalah lepas pandang dari mana-mana kementerian, sila perbetulkan... jangan banyak alasan... jangan cari kambing hitam... sebelum isu ini menjadi besar dan tidak terkawal...

tetapi jika ini disengajakan, siap sedia untuk bencana pilihan raya (undi protes), kerana rakyat sudah jelak dengan perangai kerajaan sekarang yang dikepalai oleh melayu yang lupa daratan...

lamandau said...

Syabas Datuk, moga2 bloggers lain menyiarkan posting Datuk agar lebih ramai orang tahu masalah ini. Singapura tidak ketandusaan pasir sekarang kerna telah mendapat bekalan dari Vietnam! Cuma komponen hydraulic fill lain sahaj diperlukan dari Malaysia. Minta Tgky 4 respon sikit kalau tidak pun Kak fidah kita !!

happysus said...

Isu ini juga melibatkan kedaulatan negara kita. Kalau mereka tidak dapat dari Malaysia, mereka juga akan dapat dari negara lain.

Janganlah kita sendiri, yang menghalalkan dan membenarkan. Ini adalah kerana genarasi akan datang akan berdepan dengan tuntutan pengubahan sepadan perairan negara.

:: Alimin Othman :: said...

Assalamualaikum semua,

Datuk, tahniah kerana membuat posting yang sarat dengan fakta. Saya hampir percaya bahawa URA-URA ini telah pun menjadi KURA-KURA.

Nampaknya datuk begitu bersungguh-sungguh mengkaji dan membuat siasatan Memang itulah style penulisan Datuk. Itu yang membuat saya begitu hormat kat datuk.

Sebagaimana saya hampir percaya bahawa segala fakta berkaitan penjualan debu dan batu kuari ini 100% benar. Saya juga ingin sekali untuk mempercayai bahawa Pak Lah tidak pernah terlibat dalam isu ini. Jadi saya menyeru kepada datuk, jangan sekali-kali menyalahkan Pak Lah atas isu ini sebab saya pernah percaya bahawa PM kita tak tau apa-apa. Apatah lagi menyalahkan kerajaan yang diterajui oleh Pak Lah! Dalam islam pun kita dilarang menghukum mereka yang tak tahu (untuk makluman semua "tak tahu" dalam bahasa arabnya jahil).

Datuk, semua kita tahu bahawa debu dan batu kuari tidak termasuk dalam kategori "hydraulic fill" maka sekali lagi saya ingin mempercayai bahawa apa yang dilakukan tauke-tauke cina (atau siapa saja!) ini adalah tidak salah sama sekali. Jika kita merasakan kita diperbodohkan oleh singapura. Kita kena terimalah hakikat yang kita sememangnya bodoh-bodoh belaka. Itu sebab saya konsisten bahawa idea menjual negara kepada singapura, idea lebih baik dan rasional. Siapa boleh bagi jaminan, yang kita akan maju pada tahun 2020 sekiranya Malaysia tidak dijual kepada singapura. (Mungkin Tun Dr. Mahathir sorang kot). Persetankanlah semangat kemerdekaan yang dah lapuk tu. Semangat kemerdekaan ni hanya untuk orang-orang macam datuk je. Zaman sekarang mana ada orang nak fikir semua tu. Kita perlu fikir macamana nak cari duit. Kabel telefon pun orang dok jual, apa nak kecoh sangat dengan debu dan batu!

Kerajaan (atau sesiapa saja yang terlibat dalam penjualan ini) tidak melakukan sebarang kesalahan. Jangan disalahkan kerajaan. Jika ada pun kesalahan yang dilakukan oleh pemimpin kita, bukanlah dari sudut undang-undang tetapi dari sudut etika dan mungkin rukun negara kedua (kesetiaan kepada raja dan negara). Benda etika ni bukan boleh masuk mahkamah pun. So peduli apa!

Datuk kata kita perlu gubal undang-undang! Jangan mengarut datuk. Jangan mengharap bulan jatuh ke riba. Berpijaklah dibumi yang nyata. Dato lebih arif dari saya berkaitan hal ini. Takkanlah orang-orang ini begitu bodoh untuk tabur debu dan batu kuari ke dalam periuk nasi mereka. Dari masuk dalam periuk, lebih baik jual kat singapura. Dapatlah juga duit buat beli lauk makan tengahari. Bukankah begitu, lebih cerdik!

Sebagaimana datuk, sebagai warga Malaysia yang merdeka saya tidak suka kepada singapura. (Tetapi saya begitu berat hati, terpaksa mempercayai bahawa saya bukan lagi anak merdeka). Tetapi sebagai seorang manusia, kita perlu kesian dengan singapura yang begitu memerlukan tanah untuk terus hidup. Rakyatnya semakin bertambah. Kalau tidak ditambak laut, dimana mereka nak tinggal? Nak tambak laut, kena ada pasir. Mana nak cari pasir? Kalau kita tak jual siapa lagi nak kesian kan mereka? Rakyat singapura pun manusia juga. Kalau kita jual pasir pun bukan habis pun pasir kita. Rakyat Johor je yang tak nak jual pasir ni. Rakyat negeri lain nak! Jadi kalau orang Malaysia jual pasir kat singapura tu patut kita bersyukurlah, masih ada lagi orang yang berhati mulia di zaman hadhari ini. Bukan macam TDM yang tak nak bagi air dan pasir kat singapura!

Sebelum mengundur diri. Saya nak minta maaf kat datuk. Bukan niat saya untuk suruh datuk berhenti dari membuat sebarang pendedahan. Teruskanlah usaha datuk untuk membuat pendedahan.Namun ingatlah nasihat saya, zaman datuk, zaman TDM dah pun berakhir. Datuk tunaikan tanggungjawab datuk, dan saya juga akan menunaikan tanggungjawab sebagai warga dijajah untuk mempertahankan kerajaan singapura pimpinan Pak Lah! (maaf tersasul! Kerajaan Malaysia! Orang muda pun selalu gak tersasul)

Sekian

Anonymous said...

Saudara Hamizi, Saudara Lamandau, Saudara Happysus, Saudara Mohamad Alimin.

Terima kasih.

Apa yang saya siarkan bukan berniat cari kesilapan sesiapa. Sebaliknya, semoga kerajaan insaf dan bertindak mengkategorikan batu pejal dan debu kuari sebagai bahan yang diharamkan eksportnya ke negara jiran kita. Itu saja. Seperti kata Happysus, biarlah jiran tu source dari tempat lain kerana apa yang berlaku sekarang pasti akan menjejaskan kedaulatan kita semua.

Apa yang dilakukan juga akan menimbulkan masalah kepada generasi mendatang. Dan masalah itu mungkin serius.

Saudara Mohamad Alimin. Saya tak pasti jiwa anda rela dijajah. Apa yang Saudara luahkan cuma kata-kata insan yang rasa tidak terdaya lagi untuk melihat apa yang sedang berlaku. Saya telah melawati blog anda dan saya dapat membaca jiwa anda.

Jangan kecewa. Anda masih muda. Dua hari sudah saya menjangkau usia 60 tahun. Tapi perjuangan mesti diteruskan. Kalau tak dapat dengan kata-kata, teruskanlah dengan doa semoga tanahair ini terselamat daripada bala bencana.

Saudara Lamandau. Tulisan saya ini telah dipetik oleh banyak bloggers. Kalau anda ada info mengenai eksport batu dan debu kuari ini, harap kirimkan kepada saya. Ada sahabat-sahabat yang nak tau siapakah pemilik kuari tu? Betulkan ada kabel dengan orang besar tertentu?

Salam takzim,

Ruhanie Ahmad