Tuesday, March 31, 2009

LANTIK TUN MAHATHIR PENASIHAT KERAJAAN

Kesungguhan Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak untuk memperkasakan semula kerajaan, BN dan UMNO wajar diterjemahkan menjadi kenyataan dengan seberapa segera – wujudkan satu kumpulan negarawan ulung untuk menasihati kerajaan dari semasa ke semasa dengan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusinya.

Kumpulan negarawan ulung ini pula wajar diberikan skop tugasan yang jelas dan komprehensif termasuk berinteraksi dengan generasi muda, professional, anggota akademik, pelajar, wakil pekerja dan wakil-wakil masyarakat akar umbi – termasuk nelayan dan petani -- tanpa mengira kaum. – Ruhanie Ahmad

Tun Mahathir suntik semangat

KUALA LUMPUR 29 Mac - Keputusan Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk kembali menyertai UMNO boleh memberi lonjakan semangat baru kepada ahli-ahli parti itu.

Profesor Politik dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, langkah Dr. Mahathir itu dilihat akan mengembalikan semula ahli-ahlinya yang telah 'lari' daripada UMNO sebelum ini.

"Ini kerana Dr. Mahathir adalah ikon kepada rakyat terutama generasi muda. Mereka yang merasa sinis dan ragu dengan UMNO setelah apa yang berlaku sebelum ini mungkin akan mengubah sikap itu dan mengikut jejak Mahathir," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai perkembangan terbaru yang berlaku di dalam UMNO apabila bekas Perdana Menteri itu secara mengejut hadir pada Perhimpunan Agung UMNO ke-59 semalam dan mengumumkan akan menyertai semula UMNO.

Mohamad Mustafa berkata, penyatuan antara dua bekas Presiden UMNO di pentas UMNO semalam juga merupakan permulaan baik buat parti keramat orang Melayu itu.

"Ini semua adalah respons positif yang akan membuka ruang kepada UMNO untuk kembali diyakini rakyat," katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0330&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_02.htm

Monday, March 30, 2009

BERSIHKAN KREDIBILITI PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah pasti akan mengosongkan persada kepimpinan negara. Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak akan mengisi kekosongan tersebut. Tun Dr Mahathir Mohamad pula menghadirkan diri di Perhimpunan Agung UMNO dan diberi penghormatan sewajarnya. Semuanya adalah petanda awal bahawa UMNO akan pulih dalam tempoh terdekat ini.

Bagaimanapun segolongan generasi muda tetap belum berpuas hati. Mereka masih mempersoalkan kredibiliti kepimpinan tertinggi Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Mereka tidak dapat merasionalkan bagaimanakah individu yang sudah jelas dijatuhkan hukuman kerana politik wang diberikan tempat tertinggi dalam hiraki kepimpinan berkenaan.

Lantas golongan ini pun mendesak pucuk pimpinan tertinggi UMNO yang sudah berikrar untuk memulihkan UMNO supaya bertindak tegas menyelesaikan masalah kredibiliti ini. Mana-mana anggota UMNO yang sudah dijatuhkan hukuman baru-baru ini hendaklah disiasat secara rapi oleh SPRM.

Jika tidak, soal kredibiliti dalam Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan UMNO seluruhnya akan menjadi kanser yang akan menjejaskan seluruh perjuangan memulihkan parti. Ini kerana majoriti pengundi dalam PRU13 kelak adalah generasi muda yang masih muak dengan sesetengah individu tertentu dalam kepimpinan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mutakhir.

Moga-moga suara generasi muda ini mendapat tempat di hati Najib dan juga Tan Sri Muhyiddin Yassin. Moga-moga selepas ini akan berduyun-duyun anak-anak muda kita yang selama ini berada di luar pagar kembali untuk sama-sama memperkasakan UMNO.

Nota: Saya tidak bertanding MT UMNO sebab tak cukup dua pencalonan untuk memenuhi kuota. Kepada sahabat-sahabat yang tertanya-tanya, itulah jawapannya. – Ruhanie Ahmad

Tuesday, March 24, 2009

PENYOKONG ALI RUSTAM KE MANA UNDINYA?

Pertandingan bagi jawatan Timbalan Pesiden UMNO kini hanya antara Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin dan Tan Sri Muhammad Muhd. Taib. Setelah Datuk Seri Ali Rustam dilarang bertanding bagi jawatan ini atas kesalahan politik wang, siapakah yang akan jadi pilihan penyokong-penyokong beliau?

Persoalan ini rumit untuk dijawab secara tepat. Ada pihak mengatakan para penyokong Ali akan memberikan undi mereka kepada Muhammad atas dasar marah dan protes kepada keputusan yang dikenakan ke atas Ali. Ada pula pihak meramalkan undi para penyokong Ali akan terbahagi dua – kepada Muhyiddin dan Muhammad. Lebih serius lagi, ada juga pihak mengatakan kini terdapat arahan tertentu supaya seluruh penyokong Ali mengundi bukan Muhyiddin.

Di sini saya siarkan dua komen Pak Belalang yang dikirimkan ke blog ini mengenai perkara di atas seperti berikut:

Komen satu: Sah. Tun Dr Mahathir Mohamad telah membuat kenyataan terbuka menyokong Najib dan Muhyiddin. Saya rasa ini adalah sokongan seikhlas-ikhlasnya dari ayahanda negarawan kita Tun Dr Mahathir. Adalah diharapkan bahawa perwakilan dapat merealisasikan kehendak Tun Dr Mahathir ini.

Inilah harapan terakhir bagi UMNO untuk dipulihkan semula martabatnya supaya rakyat kembali menyokong parti keramat UMNO ini demi untuk kesejahteraan orang Melayu masa depan. Kita tidak ada pilihan lagi. Perjuangan mesti diteruskan tanpa ada kepentingan diri. -- 12:43 PM

Komen dua: Last call untuk perwakilan UMNO. Pilihlah pemimpin yang bijak dan amanah menjalankan tanggungjawab untuk memperjuangkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara.

Sebelum mengundi dan untuk mententeramkan jiwa supaya dapat memilih pemimpin yang tepat, saya sarankan supaya perwakilan membaca surah al-baqarah ayat 18. -- Shummun bukmun 'umyun fahum laa yar ji'uun! (Mereka tuli, bisu, buta, maka mereka tidak dapat kembali (ke jalan yang benar). - 10:44 PM

Fikir-fikirkanlah. Kepada Allah Berserah! – Ruhanie Ahmad

Saturday, March 21, 2009

LIMBANG: BUKTI KECUAIAN AKTOR UTAMA DASAR LUAR MALAYSIA?

Ruhanie Ahmad

Aktor utama hubungan dan dasar luar sesebuah negara perlu pintar, articulate, berani dan proaktif. Contohnya adalah Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Razak Hussein, Tun Hussein Onn dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tunku Abdul Rahman membebaskan Malaysia daripada dominasi ketenteraan Barat. Beliau mengikat perjanjian pertahanan dengan Britain melalui Anglo-Malayan Defense Agreement (AMDA) semata-mata untuk melindungi negara ini daripada ancaman Parti Komunis Malaya (PKM). Tetapi, Tunku Abdul Rahman enggan menyertai pakatan ketenteraan multilateral South East Asian Treaty Organisation (SEATO) yang dianggotai oleh AS, Britain, Australia dan beberapa negara Asia. Ini kerana Tunku Abdul Rahman tidak redha AS memanipulasikan Malaysia di era Perang Dingin.

Tun Razak memperkenalkan konsep ZOPFAN supaya Malaysia dan ASEAN terbebas daripada dominasi ketenteraan asing di era Perang Vietnam dan Perang Dingin. Tun Razak juga menerokai hubungan diplomatik Malaysia-China sesudah China tidak lagi bersekutu dengan Russia tetapi berbaik-baik dengan AS. Tun Razak bertindak demikian untuk memelihara keselamatan dan survival Malaysia.

Tun Hussein pula berhempas-pulas mengimbangi kemaraan Russia yang bersengketa dengan China sewaktu Perang Vietnam. Beliau membantah penglibatan Russia di Vietnam dan membangkang China membantu Vietnam. Sesudah itu Tun Hussein melawat Beijing dan Moscow untuk menyejukkan hati kedua-dua negara besar berkenaan. Tun Hussein bertindak begitu untuk memelihara neutrality dan keseimbangan dasar dan hubungan luar Malaysia-China, Malaysia-Russia dan Malaysia-AS.

Tun Mahathir pun bijak menangani masalah hubungan dan dasar luar Malaysia. Beliau bersikap proaktif untuk berbaik-baik dengan negara membangun dan miskin menerusi kerjasama Selatan-Selatan bagi menyekat penindasan Barat ke atas Dunia Ketiga. Tun Mahathir juga berani dan tegas terhadap Presiden Amerika Syarikat (AS) yang cuba mengheret Malaysia menyertai pakatan ketenteraan internasional untuk menyerang Afghanistan dan Iraq menerusi Perang Anti Keganasan Global. Beliau juga berani menempelak Britain sewaktu negara itu melayani Malaysia sebagai tanah jajahannya.

Tetapi, mengapakah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang pernah menjadi Menjadi Menteri Luar seolah-olah sambil lewa dengan soal-soal diplomasi dan diplomatik? Terbaru sekali adalah mengenai isu Limbang. Mengapakah terkeluar kenyataan beliau bahawa isu Malaysia-Brunei mengenai Limbang sudah selesai? Dan, setelah kenyataan beliau dinafikan oleh pihak Brunei, mengapakah hari ini beliau buat cerita lain mengenainya?

Tidakkah sikap aktor utama dasar luar seperti ini menyebabkan kredibiliti Malaysia tejejas? Mengapakah jadi begini? Adakah ini akibat salah nasihat oleh Wisma Putra atau akibat kesilapan Datuk Seri Abdullah sendiri?

Brunei Gugur Limbang

BANDAR SERI BENGAWAN 16 Mac – Brunei Darussalam hari ini secara rasmi menggugurkan tuntutan ke atas Limbang di Sarawak selepas Sultan Hassanal Bolkiah dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menandatangani Surat Pertukaran bagi menyelesaikan isu sempadan dan tuntutan bertindih.

Berita menggembirakan itu dinyatakan oleh Abdullah kepada pemberita Malaysia selepas upacara tersebut yang ditanda tangani pada kira-kira pukul 12.05 tengah hari di Istana Nurul Iman di sini.

“Hari ini adalah hari yang cukup bersejarah kerana Brunei telah menggugurkan tuntutan ke atas Limbang dan dengan ini Limbang akan menjadi sebahagian dari wilayah kita.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0317&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm

Brunei Denies Limbang Story

Bandar Seri Begawan - YB Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Awg Lim Jock Seng, Minister of Foreign Affairs and Trade II, yesterday said claims on Limbang were never discussed during Monday's deliberations between Brunei and Malaysia.

He was responding to YB Dato Paduka Hj Puasa bin Orang Kaya Seri Pahlawan Tudin's query on the contents of the "Letter of Exchange" signed between Brunei and Malaysia, which also touched on Brunei's claims over Limbang.

http://www.brudirect.com/DailyInfo/News/Archive/Mar09/18/nite01.htm

Isu Limbang Boleh Selesai

CYBERJAYA 20 Mac – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi percaya kedudukan Limbang yang menjadi pertikaian antara Malaysia dan Brunei akan selesai apabila kerja-kerja penandaan sempadan kedua-dua negara secara kekal dan tepat dilaksanakan.

Serentak itu, Perdana Menteri meminta semua pihak tidak membuat andaian mengenai status wilayah itu setelah Kuala Lumpur dan Bandar Seri Bengawan menandatangani Surat Pertukaran bagi menyelesaikan isu sempadan dan tuntutan bertindih Isnin lalu.

‘‘Apa yang diputuskan ialah kita telah menandatangani perjanjian itu yang memberi kesempatan untuk membuat tanda-tanda sempadan yang tepat antara Malaysia dan Brunei. Apabila kerja-kerja menanda sempadan secara kekal yang telah dipersetujui, (maka) selepas itu tidak ada masalah (lagi) yang timbul berkaitan mana-mana tempat antara Malaysia dan Brunei yang menjadi pertikaian atau tidak dapat diselesaikan,” katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0321&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm

Friday, March 20, 2009

BAGAIMANA HENDAK REFORMASIKAN UMNO?

Sejak kebelakangan ini ramai sahabat-sahabat menghantarkan komen meminta saya memberikan cadangan mengenai reformasi UMNO. Saya tidak termampu berbuat demikian kerana kostrain waktu. Kalau terluang masa pun saya tidak akan kemukakan cadangan itu kerana saya adalah generasi yang turut terlibat dengan keadaan UMNO mutakhir, sementara UMNO yang perlu direformasikan adalah milik generasi muda seluruhnya.

Oleh itu saya persilakan sahabat-sahabat blog ini untuk mengirimkan cadangan masing-masing untuk saya halusi dan publishkan sehari dua sebelum PAU 2009 bermula. Sampaikanlah cadangan anda secara ikhlas, elakkan emosi dan ketepikan sentimen negatif.

Sebagai panduan, cadangan anda mungkin boleh dikategorikan kepada tajuk-tajuk berikut: falsafah dan matlamat perjuangan; aspirasi generasi muda terhadap UMNO; program perjuangan yang yang paling komprehensif dan diterima ramai; perlukah seluruh anggota UMNO direorientasikan semula akidah perjuangan mereka; apakah ciri-ciri pemimpin UMNO; perlukah pucuk kepimpinan tertinggi UMNO di bahagian-bahagian diwujudkan atas perlantikan; apakah larangan dan dorongan yang diperlukan; perlukah sistem pemilihan kepimpinan UMNO pusat dirobah secara struktural; perlukah sistem pemilihan calon pilihanraya daripada UMNO juga dibuka kepada seluruh orang Melayu walaupun bukan ahli UMNO, tetapi simpatisan UMNO; dan sebagainya.

Saya kemukakan cadangan ini kerana UMNO tidak bersalah. Tetapi sesetengah kalangan UMNO yang sebenarnya menyebabkan UMNO jadi sedemikian rupa pada hari ini. – Ruhanie Ahmad

Wednesday, March 18, 2009

UMNO PERLUKAN REFORMASI STRUKTURAL

Ruhanie Ahmad


Lapan hari lagi Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2009. Para perwakilan akan memilih pucuk pimpinan tertinggi parti yang akan menentukan nasib UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam PRU13. Tindakan yang dikenakan ke atas Datuk Seri Mohd. Ali Rustam belum pasti mendorong para perwakilan untuk memilih pemimpin mereka berdasarkan merit. Kesetiaan sesetengan perwakilan kepada seseorang calon pilihan mereka atas motivasi material sukar untuk dikikis dalam keadaan sekarang. Ini kerana sesetengah perwakilan telah bergolok bergadai di peringkat bahagian masing-masing untuk dipilih ke PAU supaya mereka berpeluang menjajakan undi mereka kepada pihak yang menawarkan ganjaran yang paling tinggi.

Saya pernah menjadi perwakilan ke PAU daripada 1984 hingga 2003 -- selama 19 tahun berturut-turut. Pada tahun 1992 saya diberi peluang oleh Perhubungan UMNO Johor untuk membahaskan ucapan dasar Presiden UMNO. Tema ucapan saya adalah sindrom lupa sejarah atau historical amnesia syndrome. Saya huraikan, kalau orang UMNO ketika itu sudah tidak mahu melihat ke belakang untuk menjadikan sejarah perjuagan bangsa sebagai cermin dan iktibar kepada perilaku semasa masing-masing, saya bimbang UMNO ahirnya akan punah.

Lantas saya pun sarankan supaya proses pengukuhan perjuangan UMNO ketika itu dilakukan secara serius, komprehensif dan konsisten. Saya sarankan UMNO perlu mewujudkan satu blueprint perjuangan daripada atas ke bawah – daripada peringkat Majlis Tertinggi hinggalah ke cawangan. Ini untuk mengelakkan perjuangan UMNO jadi adhok dan bermusim mengikut citarasa dan matlamat yang bercelaru. Dalam ertikata lain, saya sarankan yang UMNO perlu diregimentasikan dengan norma, etika serta disiplin yang rigid, dengan pengisian perjuangan yang ikhlas dan dengan komitmen perjuangan yang luhur – ketepikan amalan cahketing, fitnah, pembunuhan karektor, cantas-mencantas, beri peluang kepada seluruh anak bangsa yang terpelajar untuk menyertai wadah perjuangan, jangan ada diskriminasi, jangan gadai parti kepada kapitalis yang memodali mereka untuk dapatkan jawatan dan seterusnya.

Sesudah itu, dalam beberapa tulisan saya untuk majalah dan akhbar (ketika itu belum ada blog) saya pernah sarankan supaya calon-calon UMNO untuk sesuatu pilihanraya ditentukan oleh satu jawatankuasa khas yang memantau dan memupuk potensi kepimpinan seseorang ahli UMNO sejak beliau menganggotai UMNO di peringkat cawangan. Saya buat saranan ini untuk mengelakkan perebutan jawatan di peringkat bahagian kerana selama ini wujud andaian bahawa sesiapa yang menduduki kerusi tertinggi di peringkat bahagian berpeluang besar menjadi calon pilihanraya. Tulisan saya hanya jadi bahan sindiran dan cacian. Ini kerana sudah berakar-umbi dalam pemikiran orang UMNO bahawa jawatan di bahagian adalah paspot untuk jadi wakil rakyat, exco, menteri, menteri besar, waimah perdana menteri.

Saya insaf saranan saya ada baik dan tidak baiknya. Baiknya, UMNO akan mengetengahkan tenaga yang pakar dalam bidang masing-masing sebagai calon pilihanraya. Tidak baiknya, saranan itu mungkin mengurangkan minat orang UMNO untuk memimpin bahagian. Saya hujah balik, kalau orang yang tidak berkemampuan dalam kepimpinan, tapi ada banyak lembu politik yang boleh diperah susunya waktu pemilihan kepimpinan, dan dia jadi ketua bahagian, orang macam ini kalau menang pilihanraya tentu akan cari duit lebih banyak untuk mempertahankan kedudukannya di peringkat bahagian atau lebih tinggi lagi.

Hujah saya terbukti benar. Suatu ketika ada pertandingan bahagian. Seorang daripada calonnya ditaja oleh seorang tauke pemilik kedai jual kereta terpakai. Tauke itu hinggakan sponsor calon berkenaan beli kambing untuk kenduri di masjid sewaktu calon itu berkempen. Seorang lagi calon ditaja oleh seorang tauke kilang batu bata. Kilang itu menyebabkan pencemaran udara di kawasan berkenaan. Tapi terus beroperasi atas perlindungan calon terbabit. Orang UMNO tidak fikir panjang. Calon-calon seperti itu disokong dan didukung. Mana mereka dapat duit untuk beli tidak menjadi masalah. Sama ada mereka ditaja oleh tauke khinzir atau tauke judi haram pun tidak ada sesiapa yang peduli. Pokoknya, waktu kempen mereka seronok berduyun-duyun, makan sana, jamu sini, macamlah UMNO akan selama-lamanya akan berkuasa.

Kisah saya di atas hanya secebis daripada banyak lagi kisah. Saya tulis kisah ini menjelang PAU kerana kalau-kalaulah dalam PAU kali ini ada perwakilan nak bahas ucapan Presiden dan mahu cadangkan reformasi, fikirkanlah satu reformasi yang strategik dan komprehensif. Ini kerana masalah politik wang yang diperkatakan selama ini hanya satu daipada masalah UMNO. Masalah ini pun bukannya strategik. Malasah ini adalah masalah sampingan yang wujud daripada beberapa kepincangan yang strategik dalam struktur UMNO yang sudah tidak relevan dengan zaman mutakhir ini.

Seperti kata Datuk Seri Ghaffur Salleh dan Datuk Nurjazlan Mohammed dalam program Hujah TV9 malam tadi, UMNO perlu mengkaji pelbagai masalah yang dihadapinya hari ini secara menyeluruh – secara strategik dan secara struktural. Prof. Madya Dr Mohammad Agus Yusoff yang menjadi moderatornya kelihatan tidak puas hati dengan jawapan-jawapan yang diberikan. Oleh itu, apa ruginya UMNO jika dihimpunkan seluruh bijak pandai Melayu untuk memerah minda mereka bersama-sama UMNO untuk mencari formula remormasi UMNO yang terbaik yang dinanti-nantikan oleh anak-anak merdeka yang kini menjauhi UMNO kerana mereka dapati UMNO tidak lagi secocok dengan jiwa mereka.

Tuesday, March 17, 2009

ALI RUSTAM DAN KISAH-KISAHNYA

Pertandingan bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO menjadi satu lawan satu antara Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib bila Datuk Seri Ali Rustam yang didapati bersalah bawah Perkara 10.1 tataetika ahli UMNO dilarang bertanding jawatan berkenan.

Justeru pertandingan bagi kerusi nombor dua ini dijangka lebih sengit kerana para penyokong Ali mungkin memihak kepada Muhammad atas pelbagai sebab tertentu. – Ruhanie Ahmad

Seterusnya ikutilah beberapa bingkisan berita awal yang saya petik daripada Utusan On-line seperti berikut:

Ali Rustam dilarang bertanding

KUALA LUMPUR 17 Mac - Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam dilarang bertanding atau dipilih ke jawatan Timbalan Presiden UMNO pada pemilihan parti akhir bulan ini.

Beliau didapati melakukan kesalahan di bawah Perkara 10.1 tataetika ahli UMNO.

Keputusan tersebut dibuat oleh Lembaga Disiplin parti. – Utusan (4:36pm)

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0317&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_11.htm

Najib percaya Ali Rustam boleh terima keputusan Lembaga Disiplin

KUALA LUMPUR 17 Mac - Datuk Seri Najib Tun Razak percaya Datuk Seri Ali Rustam boleh menerima keputusan Lembaga Disiplin UMNO yang tidak membenarkan beliau bertanding pada pemilihan parti akhir bulan ini.

Timbalan Perdana Menteri juga percaya Ketua Menteri Melaka itu akan terus kekal bersama UMNO. – Utusan (5:06pm)

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0317&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_13.htm

Ali Rustam buat kenyataan penuh esok

IPOH 17 Mac – Datuk Seri Mohd. Ali Rustam akan membuat kenyataan penuh esok berhubung keputusan Lembaga Disiplin UMNO melarangnya bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO.

Beliau enggan mengulas lanjut kerana perlu meneliti dan mengesahkan keputusan berkenaan terlebih dahulu. – Utusan (5:41pm)

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0317&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_14.htm

Ali Rustam pengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri

MELAKA 17 Mac – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam hari ini mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri di kediaman rasminya di Seri Bendahara.

Mesyuarat tersebut dihadiri oleh semua ketua-ketua UMNO bahagian. Sebelum itu, pada pukul 8.30 pagi, Mohd. Ali yang juga Ketua Menteri Melaka mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob pukul 8.30 pagi ini. – Utusan (11:01am)

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0317&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_01.htm

Ali Rustam serah kepada Lembaga Disiplin

MELAKA 17 Mac – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam menyerahkan kepada Lembaga Disiplin untuk membuat keputusan sama ada beliau bakal dikenakan tindakan atas kesalahan politik wang.

"Tu kena tanya Lembaga Disiplin UMNO," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri di kediaman rasminya di Seri Bendahara di sini hari ini. – Utusan (11:51am)

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0317&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_04.htm

Setiausaha Politik Ali Rustam antara yang digantung

KUALA LUMPUR 17 Mac - Setiausaha Politik Ketua Menteri Melaka, Saadun Basirun dan dua pemimpin UMNO Bahagian Bukit Katil merupakan antara yang digantung keahlian UMNO selama tiga tahun kerana didapati bersalah melanggar Tataetika Ahli UMNO.

Saadun yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bukit Katil serta dua lagi pemimpin UMNO bahagian tersebut didapati bersalah di bawah Perkara 5.1.2, 5.5.1, 5.5.2 dan 5.6.1 Tataetika Ahli UMNO yang berkait dengan rasuah atau sogokan politik.

Dua lagi pemimpin terlibat ialah Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bukit Katil, Rosli Hassan dan Naib Ketua Puteri UMNO Bahagian Bukit Katil, Zalina Ismail. -- Utusan. ( 6:07pm)

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0317&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_15.htm


KHAIRY DIBERI AMARAN, KHIR TIDAK BERSALAH

KUALA LUMPUR 17 Mac - Lembaga Disiplin UMNO mendapati Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin bersalah dan diberi surat amaran.

Manakala bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo didapati tidak bersalah. – Utusan (4:37pm)

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0317&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_12.htm

Saya tidak akan komen berita di atas. Anda tafsir dan agaklah sendiri implikasinya. – Ruhanie Ahmad

Sunday, March 15, 2009

NAJIB DAN MUHYIDDIN DIGANGGANG BARA SIASAH

Ruhanie Ahmad

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Tan Sri Aziz, secara terus terang menyatakan dalam Mingguan Malaysia hari ini bahawa gabungan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin “merupakan gandingan yang amat mantap dan meyakinkan.” Kata Nazi lagi: “saya kira itulah yang hendak dilihat rakyat.”

Begitulah kata Nazri. Komen golongan yang anti-Najib dan anti-Muhyiddin mutakhir ini, sukar untuk kita ketahui. Negativiti umum terhadap Najib dan Muhyiddin bertebaran di warung-warung kopi hotel lima bintang dan warung-warung kopi di pinggir desa.

Kalau di Melaka, mungkin negativiti tersebut turut kedengaran di warung asam pedas dekat perigi Hang-Lipo atau pun di jeti perahu ke Pulau Besar. Kalau di Johor, mungkin negativiti berkenaan mengaung-ngaung di gerai mee Bidali, di perhentian bas Yong Peng, di gerai nasi lemak di stesen keretapi Kluang atau di restoren udang galah dan ikan baung di pinggir sungai di Bandar Segamat.

Negativiti terhadap Najib dan Muhyiddin juga mungkin berdengung-dengung di Rembau, Negeri Sembilan atau di kedai mamak di Kuala Kubu Baru, Selangor. Di Kedah, di Perlis, di Penang, di Perak dan di mana-mana jua, waimah di Sarawak.

Mungkin juga negativity mengenai Najib dan Muhyiddin turut dianalisis di bawah lindungan Eiffel Tower di Paris, di sepanjang Oxford Street di London, di 5th Avenue di New York, di Akihabara di Tokyo, di padang golf Burswood di Perth dan di Hotel Sahid Jaya Jakarta.

Sesetengahnya akan menganalisis Najib dari perspektif kes mahkamah tertentu, kes orang rumahnya, tohmahan rasuah, serangan siasah oleh pihak-pihak berkenaan dan sebagainya. Jarang-jarang sekali mereka menganalisis Najib dari sudut Tun Razak Hussein – akitek pembangunan luarbandar, pencetus gagasan Rukunegara, bapak pembangunan negara, pelopor keberkecualian ASEAN menerusi konsep zon aman, bebas dan berkecuali atau ZOPFAN dan pembuka tirai buluh di Republik Rakyat China di era Perang Dingin pada 1974.

Mereka yang menganalisis Muhyiddin pula ghairah mengatakan beliau tidak ada PR, tidak pandai senyum, kurang mesra, gemar dengan fesyen baju batik gebobor, cendekel, susah nak ingat nama orang UMNO dan lain-lainnya. Mereka kurang arif yang Muhyiddin adalah family man yang yang setia, peminat seni tampak, anak Tok Guru Haji Yassin yang terkenal di Bakri dan Pancor, Muar, pernah jadi Menteri Besar dalam keadaan Johor amat diduga dengan gelombang siasah Melayu 80-an yang amat mencemaskan, menyatupadukan Melayu Johor menerusi Perhimpunan Melayu Johor yang turut didukung oleh YAB Dato’ Haji Abdul Ghani Othman, pernah jadi Setiausaha Parlimen Kementerian Luar dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa, bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor dan Ketua Perhubungan UMNO Johor, bekas Menteri Belia dan Sukan yang menjayakan Sukan SEA, mantan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Najib dan Muhyiddin memang sedang mengharungi keadaan yang amat menduga dan mencabar. Kebelakangan ini mereka seolah-olah diganggang bara siasah yang tiada berkesudahan. Najib dengan tohmah dan kisah yang tidak pernah bernoktah. Muhyiddin pula diasak oleh ketangkasan lain-lain calon Timbalan Presiden UMNO yang cergas dari segi fizikalnya, dikatakan perkasa dari segi materialnnya dan memang terbukti ramah dari segi pergaulannya.

Najib serta Muhyiddin jugalah yang kebelakangan ini dikatakan sentiasa dirundung seribu satu kemungkinan -- sama ada kemungkinan dimangsakan oleh pihak yang berhajat untuk memangsakan mereka, atau dikorbankan oleh kelompok yang mendapati kedua-duanya sebagai gabungan yang boleh menghapuskan seluruh keghairahan percaturan politik kuasa oleh kelompok terbabit.

Serangan terhadap Najib kini turut dilancarkan menerusi wadah komunikasi internasional. Siapa pengangkaranya Tuhan saja yang maha mengetahuinya. Di arena tempatan, ada juga ramalan mengatakan Najib mungkin hanya jadi Presiden UMNO tetapi tidak mungkin menjadi Perdana Menteri. Pendek kata, itulah hakikatnya Najib mutakhir ini. Segala-galanya seolah-olah diselubungi gerhana yang panjang.

Soal pengimplikasian kes mahkamah tertentu terhadap Najib mutakhir ini saya ikuti dengan teliti. Kritikan umum terhadap insan-insan terdekat dengannya juga saya ambil ingatan secara serius. Tetapi, soal roh, jiwa dan nurani beliau terhadap agama, bangsa, negara, UMNO dan BN jarang-jarang sekali dianalisis oleh pihak yang mengatakan Najib adalah insan yang diragui hinggakan beliau dihukum menerusi pendapat umum bahawa kerusi Perdana Menteri bukan miliknya dalam tempoh terdekat ini.

Malangnya Najib bukan kepalang. Di garis permulaan ke arah lonjakan kariernya, beliau berhadapan dengan aral yang melintang di sepanjang jalan. Pastinya tidak ramai di antara kita yang sudi membantu beliau mengatasi halangan tersebut. Sebaliknya, mungkin ramai pula yang sunggup menyediakan talqin siasah untuk menguburkan beliau secara politik ketika ini.

Begitu juga halnya dengan Muhyiddin. Ciri-ciri keluhuran jiwa, keikhlasan kepimpinan, ketangkasan minda dan komitmen kerja beliau basah lucut ditenggelamkan oleh banjiran material daipada pihak-pihak tertentu. Senjata yang berhasrat memancung, memenggal, mengelar, menghiris dan mencantas beliau juga muncul dari pelbagai hala.

Bagaimanapun, seperti kata Nazri, Najib dan Muhyiddin adalah gabungan terbaik dan mantap. Terserahlah kepada para perwakilan UMNO menentukan nasib Muhyiddin pada 26 Mac 2006. Dan kepada Allah saya berserah semoga ramalan Nazri menjadi realiti dalam tempoh 11 hari dari sekarang. Insya Allah!

Friday, March 13, 2009

ABDULLAH PASTI SERAH KUASA?

Semalam saya bertanya, apa dah jadi kepada siasah Malaysia? Hari ini saya bertanya, apa dah jadi kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi? Benarkah beliau berasa berat untuk mengosongkan persada kuasa negara? Atau, benarkah beliau sudah menyediakan sepucuk surat bertarikh 3 April 2009 untuk menyerahkan kuasa kepada penggantinya? Kenapakah Abdullah seolah-olah berdolak-dalik? Kenapakah Abdullah seolah-olah mahu heret situasi politik yang tidak stabil di negara ini hingga ke peringkat yang paling maksimum?

Abdullah boleh terus jadi Perdana Menteri jika itulah kehendak dirinya sendiri. Beliau juga boleh terus berkuasa jika itulah kehendak penasihat-penasihatnya. Teruskanlah. Tapi, jangan salahkan sesiapa jika UMNO mungkin ranap dan BN mungkin musnah dalam PRU13 kelak. Dan, jangan salahkah sejarah jika Abdullah dikenang sebagai Perdana Menteri yang amat tidak sensitif kepada jeritan suara hati rakyat jelata Malaysia seluruhnya.

Kalau esok Abdullah mahu tubuhkan kerajaan perpaduan bersama-sama PKR, lakukanlah segera. Apa salahnya jika itulah yang terbabik untuk Malaysia. Lagi pun ura-ura mengenainya pun sudah merata hingga ke ceruk desa.

Jika esok Abdullah mahu singkirkan Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, singkirkanlah mereka dengan segera jika itulah caranya untuk mengukuhkan UMNO tulang belakang kepada BN. Tiada siapa boleh membantah kerana itulah prerogatif Perdana Menteri.

Tapi awas. UMNO bukan milik Abdullah. Kerajaan Malaysia juga bukan milik penasihat-penasihat Abdullah. Hakikatnya, UMNO milik ahli-ahlinya. Kerajaan Malaysia milik rakyat jelatanya. Jangan perkecil-kecilkan kuasa akar umbi UMNO dan jangan pula perlekehkan kuasa rakyat.

Apa pun, insaflah. Peperangan dan keamanan pun ada etikanya. Konflik dan persengketaan juga ada batas-batasnya. Politik juga bukan semata-mata mengenai percaturan kuasa. Oleh itu, jika Abdullah (baca: penasihat-penasihat Abdullah) bercadang melakukan sesuatu kejutan, lakukanlah secara bijaksana. Jangan sampai kejutan itu juga menyebabkan rantaian kejutan yang lebih serius kepada kesejahteraan nusa dan bangsa tercinta.

Oleh itu, rakyat jelata Malaysia yang dibelenggu kebimbangan, saya harap mereka pegang kenyataan Abdullah sebelum ini. Sebagai seorang gentlemen, pastinya Abdullah akan mengundurkan diri dan menyerahkan kuasa kepada individu yang berhak menerimanya. Kepada Allah Berserah. – Ruhanie Ahmad

Thursday, March 12, 2009

PERTEMUAN ENAM-MATA ABDULLAH-ANWAR DAN ULAMAK TAREKAT NASBANDIYAH

Kira-kira jam 4.30 pagi tadi (Rabu 11 Mac 2009) saya menerima lima pucuk SMS daripada seorang contact agent saya di Kuala Lumpur. Mesejnya adalah mengenai pertemuan enam-mata antara Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi; Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; dan seorang pemimpin tarekat Nasbandiyah daripada Sumatera bernama Sheikh Mahmud Majzub; di Madrasah Nurul Iman, Hulu Langat, Selangor, pada tengahari Selasa 10 Mac 2009.

Terdapat beberapa fakta sulit terkandung dalam SMS berkenaan. Saya tidak akan siarkan fakta-fakta tersebut di sini. Tetapi, saya terasa kebas tangan dan kaki bila menjangka kemungkinan yang boleh terjadi.

Blog Tinta Merah milik sahabat saya, Mohd Sayuti Omar, memberikan liputan mengenai pertemuan berkenaan. Sila baca kisah selanjutnya di alamat ini: http://www.msomelayu.com/archives/author/admin

Sewaktu berada di UKM tengahari tadi, beberapa orang pelajar dan pensyarah bertanyakan kepada saya mengenai pertemuan berkenaan. Saya tidak dapat mengulas pertanyaan mereka kerana apa yang saya ketahui adalah sulit.

Pada 2.30 petang, saya pula memerima panggilan telefon daipada seorang penyair terkenal. Beliau mencadangkan saya membaca posting terbaru RPK dalam Malaysia Today dengan jodol 14 days is a long time in politics. Sila baca posting sepenuhnya di sini: http://mt.m2day.org/2008/content/view/19061/84/

Menjelang Maghrib tadi, seorang sahabat saya daripada Hulu Langat pula mengirimkan sepucuk SMS kepada saya. Mesejnya berbunyi begini: Pak Lah dan DSAI dengan Pak Kiyai Sheikh Mahmud bertemu di Madrasah Hulu Langat semalam. Ada perkara aneh nak terjadi. Agenda besar?

Kira-kira jam 9.00 malam ini pula seorang pembesar Malaysia mengirimkan SMS kepada saya untuk bertanya sama ada saya tahu apakah yang sebenarnya dirundingkan di Hulu Langat semalam.

Saya tahu apa yang terjadi semalam. Tetapi, apa yang saya ketahui adalah sulit. Saya tidak boleh siarkannya di sini kerana saya tidak mahu menyebarkan spekulasi liar. Biarpun begitu, izinkan saya akhiri posting ini dengan satu pertanyaan: APA DAH JADI KEPADA POLITIK MALAYSIA? – Ruhanie Ahmad

Wednesday, March 11, 2009

MENEGAKKAN SEMULA POKOK PERJUANGAN YANG CONDONG

Ruhanie Ahmad

Program Hujah TV9 malam tadi memberikan beberapa jawapan kepada rakyat Malaysia, mengapakah UMNO kini bermasalah, tidak diyakini oleh segolongan orang Melayu, dan amat dijauhi oleh segolongan anak-anak merdeka.

Menurut Datuk Seri Rais Yatim yang jadi tetamu Hujah, UMNO kini bagaikan pohon condong yang jadi rambatan kura-kura. Katanya lagi, pokok yang condong ini perlu ditegakkan semula supaya umat manusia dapat berteduh di bawah naungannya.

Kenyataan Rais mengenai UMNO bagaikan pohon yang condong ini membanyangkan sikapnya yang ikhlas dan berterus-terang. Tetapi, cita-citanya untuk menegakkan semula pohon perjuangan yang condong ini mencerminkan sikap Rais yang optimistik.

Rais optimistik kerana usaha menegakkan pokok perjuangan yang condong bukan satu usaha yang tidak besar. Usaha menegakkan pokok perjuangan yang condong bukannya satu usaha yang tidak memerlukan komitmen dan keikhlasan. Usaha menegakkan semula pokok perjuangan yang sudah condong bukannya satu usaha yang tidak menuntut semangat juang yang jitu, pukal dan sukarela.

Jadi, siapakah yang perlu melakukan kerja-kerja menegakkan semula pokok perjuangan yang condong ini? Apakah pra-syaratnya? Siapakah aktor utamanya? Adakah pokok perjuangan itu mahu ditegakkan semula supaya berdiri ke arah kiblat? Adakah pokok ini mahu ditegakkan semula mengikut arah matahari terbit? Adakah pokok itu mahu ditegakkan semula mengikut arah matahari terbenam?

Sesudah pokok perjuangan itu ditegakkan semula, siapakah yang perlu menyiraminya setiap pagi dan petang? Siapakah yang akan memberikan bajanya setiap bulan? Siapakah yang akan memotong ranting-rantingnya yang kering dan reput? Siapakah yang akan memusnahkan rumput parasit yang merambat ke batangnya? Siapakah yang akan membunuh seluruh anai-anai yang bersembunyi di bahagian akarnya? Siapakah yang akan menghalau segala beruk yang gemar bergayut sehingga merosakkan dahannya? Siapakah yang akan menghalau tupai yang akan membaham buahnya yang masih putik? Siapakah yang akan memagarinya pada setiap masa untuk mengelakkan kaum pengkhianat menebang pokok itu untuk dijadikan tangga di rumah mereka?

Permasalahan ini boleh disifatkan sebagai remeh. Tetapi seluruhnya juga boleh disifatkan sebagai permasalahan yang strategik mengenai sesuatu pokok perjuangan yang mahu ditegakkan semula.

Apapun, tahniah kepada Porf. Madya Mohammad Agus Yusoff kerana menerusi pendekatannya yang kurang bekeng, beliau berjaya mencungkil analogi pokok perjuangan ini daripada Rais. Moga-moga Agus selaku seorang pensyarah sains politik akan membantu Rais menjawab seluruh permasalahan strategik yang disenaraikan di atas untuk membolehkan pokok perjuangan tersebut kembali hijau, rendang, burung-burung sudi bersarang di situ sambil bersiul riang setiap pagi dan petang, dan anak-anak merdeka juga sudi bergilir-gilir untuk memagari pokok perjuangan itu daripada para pengkhianat yang mungkin menebangnyanya untuk dijadikan tangga memanjat martabat secara jalan pintas.

Tuesday, March 10, 2009

8 MAC 2008-8 MAC 2009: SATU KRITIKAN DAN HARAPAN

Ruhanie Ahmad

Pada 8 Mac 2008, Malaysia dikejutkan oleh ledakan tsunami politik bila Barisan Nasional (BN) kehilangan kuasa di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor serta gagal menebus kekuasaannya di Kelantan menerusi PRU 12. Berikutnya, segolongan rakyat jelata termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad selaku mantan Perdana Menteri, pun mendesak Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya mengosongkan persada kekuasaan Malaysia. Pada waktu yang sama, beberapa tokoh UMNO, termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin, pula menyarankan supaya UMNO dan BN dibedah siasat secara komprehensif oleh sebuah organisasi yang nor-partisan.

Seluruh gesaan dan saranan di atas tidak menjadi realiti. Pemerintahan negara masih lagi dikuasai oleh Abdullah. Walaupun beliau dijangka menyerahkan kuasa Perdana Menteri kepada Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak pada akhir Mac 2009, beberapa perkembangan mutakhir pula menyebabkan peralihan kuasa ini terus diragui dan dipolemikkan hingga ke hari ini.

Begitu juga hakikatnya dengan UMNO dan BN. Walaupun Abdullah menyatakan UMNO dan BN tidak perlu menjalani post-mortem sesudah PRU12, kedua-duanya masih lagi dalam keadaan yang tidak stabil. Calon BN daripada UMNO tewas dalam PRK Parlimen Permatang Pauh dan Kuala Terengganu. Kini Perak pula bergolak akibat kuasa Pakatan Rakyat di negeri itu diambil alih oleh BN baru-baru ini.

Senario di atas menggambarkan kedudukan siasah Malaysia selama setahun di era pasca PRU12 - BN masih gagal memulihkan kredibilitinya, PR dalam keadaan yang bercelaru, rakyat jelata pula seolah-olah tidak mendapat pembelaan sewajarnya daripada kedua-dua pihak, terutamanya dalam keadaan ekonomi yang semakin menghimpit dan mendera kesejahteraan hidup pada ketika ini.

Oleh itu, sempena ulangtahun pertama PRU12 pada 8 Mac 2009, semua pihak perlu berusaha untuk memulihkan kestabilan politik di negara ini. BN perlu mengemukakan formula baru jika mahu menambat sokongan majoriti anak-anak merdeka dalam PRU13. Para perwakilan UMNO mesti bersikap serius sewaktu memilih barisan kepimpinan tertingginya yang pada 26 Mac 2009 supaya mereka yang benar-benar ikhlas dalam perjuangannya memelihara kemerdekaan negara dan membela rakyat jelata sahaja yang akan diberi tempat dan kedudukan.

Pada waktu yang sama, BN dan PR pula mestilah memberhentikan permainan serta percaturan politik kuasa masing-masing dan mencari jalan bersama untuk membela kesejahteraan rakyat jelata. Fikirkanlah semasak-masaknya sama ada pendekatan Allahyarham Tun Abdul Razak dan Allahyarham Tan Sri Asri Muda dalam menangani dan menyelesaikan kegawatan politik 1969-1974 boleh diaplikasikan semula kepada senario mukathir ini. Jika tidak, politik Malaysia akan terus bergolak dan rakyat jelata pula akan terus didera penderitaan hidup yang berpanjangan.

Akhir sekali, fahami dan dekatilah generasi muda Malaysia yang merupakan force terbesar dalam menentukan kemenangan sesuatu parti dalam PRU13. Secara umumnya, usaha-usaha ke arah ini wajar dilakukan secara komprehensif, segera dan menerusi pendekatan yang secocok dengan aspirasi mereka. Usaha-usaha ke arah ini oleh pihak UMNO pula perlu dibuktikan menerusi kesungguhan parti tersebut dalam membanteras rasuah, salahguna kuasa, neopotisme, kronisme dan kemunafikan dalam perjuangan.

Friday, March 06, 2009

ALFATEHAH BUAT ZUBIR ALI


Penyair, penggubah muzik dan penyanyi Zubir Ali, yang suatu ketika dulu popular dengan kumpulan Hamoni dan lagu Sepanjang Jalan Ke Pulau Pinang, pagi tadi kembali ke rahmatullah.

Saya temui beliau kali terakhir di majlis puisi Untuk Mu Palestin anjuran Kumpulan Utusan beberapa minggu yang lalu. Saya ucapkan takziah kepada keluarga beliau. Juga didoakan semoga Allahyarham akan sentiasa berada di kalangan orang-orang yang soleh. Alfatehah! – Ruhanie Ahmad

ZUBIR ALI MENINGGAL DUNIA

KUALA LUMPUR 6 Mac – Pencipta lagu-lagu puisi, Zubir Ali meninggal dunia pagi ini di Pusat Perubatan Damansara, Petaling Jaya akibat serangan jantung. – Utusan

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0306&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_02.htm

PENJELASAN AGUS MENGENAI KONTROVERSI SIDANG DUN BAWAH POKOK

Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang diadakan di bawah pokok baru-baru ini adalah satu perkembangan politik yang luar biasa di Malaysia. Pensyarah Sains Politik UKM, Prof. Madya Mohammad Agus Yusoff, adalah antara banyak pihak yang dihubungi oleh media untuk memberikan komennya. Bagaimanapun, komen Agus yang sepenuhnya tidak disiarkan oleh pihak media. Ini menyebabkan Agus dilanda kontroversi.

Di bawah ini adalah kenyataan penuh Agus yang diemailkan kepada blog ini untuk tatapan sahabat-sahabat sekalian. Moga-moga kekeliruan sebelum ini difahami oleh semua pihak, di manakah silap dan puncanya. – Ruhanie Ahmad

Assalamualaikum wrth,

Terima kasih kerana telah dua kali berturut-turut dalam dua minggu ini laman blog Datuk menulis nama saya dan mengulas pandangan saya tentang isu politik semasa. Pertamanya, ulasan terhadap rancangan Hujah di TV9 antara Datuk Seri Dr Zahid Hamidi dengan Tan Sri Isa Samad. Keduanya, ulasan Datuk tentang pandangan yang saya berikan kepada wartawan mengenai kesahihan persidangan DUN Perak di bawah pokok -- yang Datuk namakan 'pokok demokrasi.'

Pertama sekali, perlu saya nyatakan bahawa saya tidak ingat kepada wartawan dari akhbar atau stesen TV manakah yang saya katakan bahawa sah sidang DUN diadakan di atas pokok. Ini kerana pada hari itu, terlalu ramai wartawan yang menghubungi saya untuk bertanyakan pelbagai persoalan berkaitan dengan perkembangan politik semasa.

Kedua, saya mengaku saya berkata bahawa sah diadakan sidang DUN, bukan sahaja di bawah pokok, tetapi juga di atas pokok. Kepada wartawan yang sama juga saya jelaskan beberapa perkara berkaitan dengan rasa isi saya tentang politik supaya dituliskan, jika boleh, kerana saya sedih melihatkan krisis politik yang berlaku. Namun, apa yang saya katakan kepada wartawan berkenaan tidak dimasukkan secara sepenuhnya, melainkan disensasikan dengan satu kenyataan -- SIDANG DI ATAS POKOK PUN SAH.

Saya memang menyatakan sidang sah diadakan di mana-mana, tapi dengan tiga syarat utama seperti berikut: (i) sidang itu mengikuti Peraturan Tetap Dewan; (ii) sidang tersebut mengikuti undang-undang Tubuh Negeri, dan (iii) sidang berkenaan ditetapkan oleh Speaker. Malangnya, ketiga-tiga syarat yang saya nyatakan ini tidak dilaporkan oleh pihak akhbar.

Saya juga ditanya oleh pihak akhbar, adakah perkenan Sultan diperlukan? Saya jawab, perkenan Sultan adalah wajib sekiranya sidang lepas adalah prorogue (dihentikan), tetapi, tidak perlu sekiranya sidang lepas 'was adjourned' (ditangguhkan). Hal ini dilaporkan oleh media berkenaan.

Selepas itu saya ditanya, sah atau tidaknya persidangan tersebut? Saya jawab persoalan ini sukar untuk dijawab dalam bentuk afirmatif kerana ia sudah menjadi satu krisis politik dan bukan lagi undang-undang. Jadi, payah untuk diselesaikan secara undang-undang, melainkan melalui penyelesaian politik. Alasan saya ialah, sekiranya melalui tindakan undang-undang, kedua-dua pihak yang bertelagah sukar untuk menerima keputusan mahkamah. Maksudnya, jika mahkamah memutuskan PR yang menang, maka BN sudah tentu tidak puas hati dengan keputusan tersebut. Sekiranya mahkamah memutuskan BN menang, PR pula sudah tentu tidak puas hati dengan keputusan tersebut. Maka konflik ini berterusan. Dan ini tidak baik untuk mahkamah, untuk rakyat dan untuk kestabilan politik negara.

Atas alasan itu, saya pun menyatakan rayuan saya supaya kedua-dua pihak yang bertikai dalam krisis ini mengambil dua pendekatan utama (kenyataan saya ini langsung tidak dilaporkan). Pertama, berunding dan bersedia untuk berkompromi dengan apa cara sekalipun untuk membentuk kerajaan gabungan dengan melupakan segala sejarah pahit antara hubungan mereka. Kedua, menyatakan bahawa pemimpin politik perlu berjiwa besar, berunding bersama-sama dan kedua-duanya sekali -- YAB Dr Zambry dan YAB Ir Nizar mengadap Tuanku Sultan memohon perkenan baginda untuk memperkenankan pembubaran Dewan.

Dalam percakapan telefon dengan pihak akhbar tersebut juga, saya tegaskan apapun keputusan DUN dan perundingan antara BN dan PR, DUN tidak akan terbubar kecuali dengan perkenan Tuanku Sultan atau telah tamat tempohnya selama lima tahun.

Begitulah antara lain, inti percakapan telefon saya dengan wartawan tentang krisis di Perak ini. Tapi, betul seperti Datuk kata, ia telah disiarkan dalam bentuk laporan terpilih yang mungkin tidak disengajakan. Apapun, kesannya tentu tidak baik kepada saya. Tidak baik kerana ia tidak menggambarkan hasrat sebenar saya untuk memberi pendidikan politik kepada rakyat. Tidak baik kerana ia tidak melaporkan pandangan sebenar saya supaya pemimpin politik kita -- sama ada dari BN atau PR -- berunding bagi membincangkan pendekatan terbaik bagi menyelesaikan krisis ini.

Jadi, apa yang perlu saya buat? Saya memilih untuk tidak berkata apa-apa, melainkan tadi pagi saya bercakap dengan wartawan NST untuk menagdu hal tentang statement saya yang dikeluarkan secara tidak lengkap. Saya juga memberitahu kepada dua kenalan rapat saya (orang politik) mengadu hal tentang isu ini yang sudah terlalu banyak dikupas oleh pemerhati, ahli akademik, peguam dan orang politik sehingga ia sudah menjadi semakin kompleks.

Sebenarnya, saya berbuat demikian kerana saya bimbang sekiranya krisis ini berlanjutan, ahli politik akan lupa untuk memberikan keutamaan kepada krisis ekonomi yang kita hadapi. Saya bimbang sekiranya kita terus berpolitik mempertahankan pandangan parti masing-masing, rakyat akan terabai dan kesejahteraan negara terjejas. Saya cukup bimbang tentang hal ini sekiranya ia boleh menjejaskan kestabilan yang kita nikmati.

Menariknya, apabila pandangan 'atas pokok saya' disiarkan, sesetengah blog -- ada yang memuji dan ada mengeji saya -- memetik dan menyiarkan kenyataan saya ini. Dengan itu, saya dapati bahawa hasrat asal saya untuk memberikan pandangan 'to educate' orang kita tentang politik supaya 'berbaik dan bertenang' sudah menjadi sebaliknya. Ini semata-mata kerana laporan terpilih yang Datuk maksudkan itu.

Tidak mengapalah soal saya dipuji atau dikeji. Itu hal yang kecil, tapi yang pastinya, saya harap Datuk sendiri, sebagai seorang bekas pemimpin UMNO, perlu memainkan peranan bukan lagi untuk mencurahkan api kepada keresahan rakyat, tapi jadilah sebagai pembimbing yang boleh membawa ketenangan kepada suasana politik yang panas hari ini.

Saya tidak boleh berperanan seperti Datuk kerana saya tidak mempunyai blog sendiri dan belum lagi berhasrat untuk mempunyainya. Saya juga tidak berhasrat untuk menjadi orang politik, dan seboleh mungkin sehingga ke tahap ini, saya hanya mahu menjadi pengulas politik yang memberikan pandangan politik berdasarkan ilmu yang saya punyai.

Kepada Datuk dan juga untuk peringatan kepada diri saya sendiri, satu perkara yang perlu kita ingati ialah pesanan Voltaire, ahli falsafah Perancis yang terkenal. Kata beliau, kesilapan kita ialah kerana "kita tidak belajar dari sejarah (baca: pengalaman)."

Sekian, terima kasih.

MOHAMMAD AGUS YUSOFF

Thursday, March 05, 2009

DEMOKRASI DI BAWAH POKOK DAN POKOK DEMOKRASI

Ruhanie Ahmad


Konflik dan kegawatan boleh ditangani menerusi pelbagai kaedah, pendekatan dan cara. Aliran realis akan menyelesaikannya menerusi permainan politik kuasa atau/dan peperangan. Pendukung aliran rasionalisme akan berusaha meleraikan kebuntuan menerusi aneka cara, menerusi perundingan, tawar-menawar atau penjajaran semula (re-alignment) struktur organisasi yang dilakukan secara bijaksana dan demokratik.

Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein pernah menggunakan pendekatan rasionalisme untuk menyelesaikan masalah kekuasaan politik Perikatan di beberapa negeri di Malaysia Semenanjung selepas PRU 1969. Hasilnya, pada tahun 1974 tertubuhlah Barisan Nasional (BN). Beberapa parti pembangkang, terutamanya Pas, Gerakan dan PPP, menganggotai BN yang ditunjangi oleh UMNO bersama MCA dan MIC sebagai pendukung Perikatan.

Ketika itu saya berkhidmat sebagai wartawan politik NST. Saya merakamkan peristiwa bersejarah Razak mengumumkan penubuhan BN di satu rapat raksasa, di satu malam, di Termerloh, Pahang.

Malam itu, Razak bersama Allahyarham Tan Sri Mohd. Asri Muda selaku Presiden Pas, berada di atas satu pentas (sebenarnya di atas sebuah lori). Ketika juruacara membuka majlis dengan mukadimah yang memanifestasikan kegembiraan rakyat jelata akar umbi pelbagai parti terhadap kewujudan BN, saya saksikan air mata meleleh di pipi Razak dan Asri. Kedua-dua pemimpin Melayu itu duduk bersebelahan di atas lori berkenaan. Mereka merenung jauh ke hadapan dengan senyum menawan. Emosi kegembiraan mereka terpancar jelas. Sejarah kegembiraan itu tersimpan dalam lipatan khazanah negara untuk kajian di masa depan.

Saya mengimbas sejarah ini untuk dijadikan perbandingan kepada peristiwa yang tercetus di Perak. Dua hari lalu, atas nama demokrasi, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak mengadakan sidang tergemparnya di bawah sepohon pokok.

Dalam situasi sedemikian, soal konvensyen dan undang-undang seolah-olah diketepikan. Yang penting, matlamat menghalalkan cara. Matlamatnya adalah menyemarakkan sokongan pengikut parti-parti terbabit. Caranya adalah dengan merendahkan taraf DUN yang mulia.

Persidangan DUN memang boleh diadakan di mana-mana, waimah di atas pokok, di bawah pokok atau di dasar lautan, jika itulah pilihannya. Tindakan sepeti itu memang di luar dugaan ramai. Tetapi, kalau ada pihak berfikiran tidak rasional, hendak sensasi dan politikkan suasana, itulah kesudahannya.

Bagaimanapun, sesuatu sidang DUN, biarpun diadakan di mana-mana-mana lokasinya, mesti ada pra-syaratnya. Paling utama sekali, sidang itu mesti diizinkan oleh peraturan mesyuarat (standing order) dan menerima perkenan DYMM Baginda Sultan.

Jadi betullah kenyataan Prof. Madya Mohammad Agus Yusoff dari UMK. Tapi, pra-syaratnya mesti dipenuhi. Kalau pra-syarat itu diketepikan, sidang di atas pokok, di bawah pokok atau di dasar lautan itu tidak sah. Itulah pendapat Agus.

Malangnya, kenyataan Agus tidak disiarkan sepenuhnya. Beliau hanya dipetik sebagai berkata bahawa sidang bawah pokok itu sah. Pra-syarat yang beliau nyatakan tida pula dipetik dalam laporan-laporan akhbar semalam. Jadi, kecoh dan kelam-kabutlah suasana. Agus sendiri menerima ugutan dan cemuhan. Inilah bahana selective reporting!

Seterusnya, teringat saya akan pengalaman saya mengupas demokrasi selama seminggu di satu bengkel anjuran Wilton Park, think-tank berprestij milik kerajaan British, di Essex England. Bengkel itu diadakan di sebuah rumah ladang yang jauh daripada hiruk-pikuk City of London. Di ladang itu dihimpunkan Ahli Parlimen daripada seluruh dunia untuk mengupas apakah itu demokrasi.

Masing-masing wakil menghuraikan amalan dan corak demokrasi di negara mereka. Wakil Amerika Syarikat (AS) dengan bangganya menyuarakan bahawa corak dan amalan demokrasi di negaranya adalah yang terbaik sekali di dunia. Begitu juga wakil lain-lain negara. Tidak ada yang mengatakan bahawa demokrasi di negara mereka tempang, pincang, terpimpin, liberal, sosialis atau sebagainya.

Saya pun begitu juga. Kata saya, demokrasi di Malaysia ikut citarasa dan acuan Malaysia yang pelbagai kaum dengan latarbelakang dan tahap ekonomi yang berbeza. Demokrasi di Malaysia juga melalui evolusi. Kata saya, tidak ada sesiapa boleh mendakwa demokrasi amalan mereka adalah the father of all democracies.

Amalan demokrasi di Malaysia disesuaikan dengan kemajmukan warganya. Tetapi, mereka yang mendukung atau mengidolakan demokrasi Barat akan melabelkan demokrasi Malaysia tidak tulus dan tidak tulen. Tuduhan sebegini adalah subjektif kerana demokrasi Malaysia adalah bertunjangkan matlamat perpaduan dan survival negara-bangsa yang multi-keturunan. Ia juga berpaksikan kepada hakikat bahawa Malaysia, khususnya Malaya, adalah bumi yang beraja. Sebab itu demokrasi Malaysia digandingi oleh institusi Raja.

Jadi, bila DUN Perak bersidang di bawah pokok, dari segi semangatnya, mungkin pihak terbabit beranggapan tindakan itu sama dengan para pembesar Rom purba bersidang di roman step sehingga cara demokrasi itu dikenali sebagai Roman Step Democracy.

Tetapi, mereka lupa. Para pembesar Rom bersidang di tangga sebab itulah tradisinya ketika itu. Jadi, adakah tradisi di Malaysia moden untuk bersidang di bawah pokok? Tidakkah tindakan itu dikatakan perbuatan orang tidak rasional? Yakinkah kita bahawa DYMM Baginda Sultan akan perkenan tindakan tidak rasional seperti ini?

Sehubungan itu, ayuh kita berfikir sejenak. Amalan demokrasi di tangga di era Rom kuno adalah sah. Kalau amalan itu diadakan hari ini, ia tetap sah. Tapi, orang akan kata pengamalnya gila. Jadi, sidang DUN bawah pokok pun mungkin sah, jika pra-syaratnya dipenuhi. Tapi, tidak mungkinkah orang akan menyifatkannya sebagai tindakan tidak secocok dengan amalan di zaman moden?

Demokrasi memang perlu dibaja dan disuburkan mengikut tuntutan zaman. Sebab itulah walau Parameswara pernah bermesyuarat dengan para pembesarnya di bawah pokok Melaka, setelah Empayar Melayu Melaka mencapai mercu kegemilangannya, Sultan Melaka tidak lagi bermesyuarat di bawah pokok Melaka. Ini bermakna bahawa evolusi dan peredaran masa seharusnya menjadikan manusia juga berfikiran kedepan, bukannya regressive!

Oleh itu, adakah amalan demokrasi di bawah pokok di Perak itu akan menyuburkan demokrasi di Malaysia atau sebaliknya? Dan, inikah contoh pokok demokrasi yang boleh dijadikan teduhan kepada seluruh rakyat jelata?

Wednesday, March 04, 2009

ZAHID HAMIDI DAN IKON UMNO

Prof. Madya Mohammad Agus Yusoff dari UKM, dengan pendiriannya yang tidak memihak, sekali lagi menghangatkan program Hujah TV9 malam ini. Kaedah moderator seperti Agus berjaya mencungkil ketokohan Datuk Seri Dr Zahid Hamidi dan Tan Sri Mohd. Isa Samad yang jadi tetamunya, untuk diadili oleh seluruh rakyat Malaysia.

Zahid seorang Menteri dan bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Isa bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dan bekas Menteri Wilayah Persekutuan. Kedua-duanya menawarkan diri untuk jadi Naib Presiden UMNO Malaysia.

Agus adalah pengantara rakyat. Beliau bertindak sebagai jurucakap kepada generasi muda yang sedang tercari-cari indentiti dan ikon paling sesuai untuk menyakinkan mereka mendekati parti UMNO. Pendek kata, Agus mewakili generasi muda Melayu yang sedang mencari identiti politik yang serasi dengan citarasa anak-anak merdeka. Hakikatnya begitu kerana Agus adalah Ketua Kajian Sains Politik UKM yang sentiasa mengikuti denyut siasah negara menerusi esei dan tesis politik pelbagai jodol yang majoritinya menggambarkan keresahan para siswazah terhadap UMNO sebagai tunjang siasah Malaysia di abad ke-21.

Persoalannya di sini, apakah bentuk ikon dan identiti baru dalam UMNO yang sedang dicari-cari oleh anak-anak merdeka? Adakah ikon dan identiti itu merupakan insan perjuangan, falsafah perjuangan atau kedua-duanya? Jika ikon dan identiti yang dicari-cari adalah dalam bentuk falsafah perjuangan, apakah kurangnya falsafah perjuangan UMNO hari ini? Jika ikon dan identiti baru itu mahu dijelmakan dalam bentuk insan perjuangan, siapakah insan itu dan apakah ciri-ciri utamanya? Jika ikon dan identiti itu adalah kombinasi insan dan falsafah perjuangannya, siapakah insan perjuangan UMNO mutakhir yang boleh mempelopori anjakan falsafah perjuangan UMNO?

Itulah tafsiran saya mengenai program Hujah malam ini. Dan, seperti saya tegaskan minggu lalu, program seperti inilah yang ditunggu-tunggu oleh sebilangan anak-anak merdeka. Mereka dahagakan wacana umum yang boleh membantu pencarian ikon dan identiti perjuangan mereka.

TV9 dan Agus memahami hakikat pencarian ini. Justeru itulah wujud Hujah dalam format terbaru yang sewajarnya dijadikan trend-setter kepada program seumpamanya di lain-lain saluran TV tempatan.

Moga-moga tokoh-tokoh UMNO seperti Zahid juga amat memahami hakikat ini serta sanggup mempelopori usaha untuk merealisasikan kewujudan ikon dan identiti baru ini. – Ruhanie Ahmad

Tuesday, March 03, 2009

PEMIMPIN MALAYSIA MENENTANG APARTHEID SEJAK 1957

Saya cukup teruja bila ada pihak mengatakan Malaysia mengamalkan dasar apartheid. Saya teruja kerana sememangnya dasar itulah yang seharusnya dilaksanakan sebaik sahaja Malaya merdeka pada 1957. Dengan dasar itu, kita boleh usir seluruh imigran ketika itu pulang ke negara asal masing-masing.

Tapi, saya juga amat menghargai kebijaksanaan para pemimpin Malaysia kerana mempunyai hati budi untuk mempelawa golongan imigran menjadi warganegara di bumi bertuah ini. Kebijaksanaan dan ketulusan hati pemimpin Malaysia ini adalah lambang keperimanusiaan yang amat terpuji.

Lantaran itulah saya amat sedih bila mutakhir ini wujud kelompok-kelompok yang buta sejarah dan terencat budi sehingga tergamak untuk mengungkit-ungkit status kepribumian orang Melayu dan etnik bumiputera lainnya di Malaysia.

Saya berpeluang melawat Afrika Selatan dua tahun sebelum dasar apartheid di negara itu dimansuhkan. Sewaktu berada di Cape Town, saya dibawa oleh seorang keturunan Melayu di sana untuk meninjau kawasan Malay Quarters. Beliau tunjukkan kepada saya kesan-kesan penindasan rejim apartheid kulit putih terhadap keturunan Melayu di Cape Town yang dikategorikan sebagai golongan coloured. Sesudah itu, beliau bawa saya meninjau keadaan hidup pribumi Afrika Selatan di Black Settlement, iaitu perkampungan pribumi Afrika Selatan yang dikategorikan sebagai blacks.

Sesudah tamat meninjau keadaan, kenalan saya berkata bahawa rejim apartheid adalah keompok manusia tidak berhati perut. Pribumi Afrika Selatan dijadikan hamba abdi. Hidup mereka ditindas. Tenaga mereka diperah ke peringkat maksimum. Kekayaan negara mereka, terutama sekali berlian, habis dikaut oleh golongan imigran kulit putih. Di bawah dasar apartheid, yang kaya bertambah kaya, yang miskin papa kedana.

Sewaktu menjamu selera di rumah kenalan saya itu, saya pun ceritakan kisah zaman kanak-kanak saya yang hidup di sebuah kampung pendalaman - tidak ada bekalan air bersih, tidak ada bekalan letrik, tidak ada jalan tar, tidak ada segala-galanya. Saya juga katakan kepadanya bahawa kaum imigran di era penjajahan Malaya, hidup senang lenang di bandar-bandar - ada jalan batu, ada api letrik ada bekalan air bersih. Kata saya, sementara kaum pribumi Malaya ketika itu hidup merempat di ceruk hutan, kaum imigran pula menikmati seluruh kemewahan di bumi tempat mereka berdagang.

Kenalan saya bertanya, adakah pribumi Malaya di era penjajah Inggeris pun hidup dalam keadaan apartheid seperti coloured di Cape Town dan blacks di seluruh Afrika Selatan? Saya beritahu beliau, keadaannya telah berubah sesudah merdeka. Tetapi, keturunan imigran terus hidup mewah tanpa diganggu-gugat oleh pihak peribumi. Kenalan saya berkata, you Malays are so kind hearted and the non-Malays are so very lucky!

Begitulah kisahnya apartheid. Dasar tersebut adalah dasar penindasan peringkat tinggi. Dasar tersebut adalah dasar terkutuk. Dasar berkenaan menyebabkan pribumi Afrika Selatan dijadikan pariah, ditindas, dihina, diperas, dinafikan hak politik mereka, dilarang untuk berinteraksi dengan orang putih – sekolah asing-asing, tandas awam lain-lain, segala-galanya memanifestasikan bahawa pribumi Afrika Selatan dinafikan seluruh hak keperibumian mereka.

Atas dasar kemanusiaan, para pemimpin Malaysia, sejak Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra hinggalah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak pernah jemu-jemu bersuara dan berbicara untuk menentang dasar apartheid di Afrika Selatan. Di era awal kemedekaan Malaya, Tunku Abdul Rahman sudah mula menentang apartheid menerusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Mahathir pula menentang apartheid di mana sahaja beliau berpeluang untuk menentangnya - menerusi pentas komanwel, Selatan-Selatan dan PBB. Pemimpin-pemimpin Malaysia ini berjuang menentang apartheid kerana mereka insaf bahawa apartheid adalah “a system of legal racial segregation.”

Sebab itulah bila dasar apartheid di Afrika Selatan mulai 1948 dihapuskan pada 1994, Malaysia adalah antara negara yang aktif membantu Afrika Selatan untuk mengendalikan pilihan raya bebas yang pertamanya. Sampaikan poster pilihan raya pun di cetak di Kuala Lumpur dan diterbangkan khas ke sana.

Jadi, betulkah Malaysia mengamalkan dasar apartheid? Dan, bukankah hanya manusia yang buta sejarah dan terencat minda sahaja yang tergamak mengatakan bahawa kerajaan Malaysia adalah pengamal dasar apartheid? – Ruhanie Ahmad