Thursday, February 05, 2009

DINAMISME POLITIK KUASA DI PERAK MAKIN MENARIK

Dinamisme politik kuasa membabitkan DUN Perak kini semakin menarik. Time-line perkembangan pagi ini menurut laporan Utusan on-line adalah seperti berikut:

9.49 pagi: Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak mengadap Sultan Perak Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, di Istana Kinta di Ipoh.

10.00 pagi: Najib keluar istana dan kembali ke Pejabat UMNO Perak untuk mempengerusikan mesyuarat BN Perak. Hanya lima minit sesudah itu, Najib kembali ke Istana Kinta dan membawa bersamanya empat ADUN yang melompat parti semalam.

11.00 pagi: Najib kembali semula ke bangunan UMNO Perak dengan disambut tepukan gemuruh oleh para penyokong BN. Sesudah itu, Najib adakan sidang akhbar.

Najib berkata, Sultan Perak menitahkan semua ADUN yang menyokong BN menghadap dan majlis menghadap sudahpun diatur susun dan diterima menghadap.

“Tuanku akan buat keputusan secepat mungkin. Kita akan maklumkan sebab ada proses yang perlu diikuti. Jadi sebelum MB baru boleh angkat sumpah, Tuanku perlu membuat keputusan sama ada membubarkan DUN atau meminta MB sekarang meletak jawatan,’’ katanya pada sidang akhbar itu.

Ditanya reaksi sekiranya keputusan yang akan dibuat oleh Sultan Perak tidak memihak kepada BN, Najib menjawab: “Kita akan hormati apa jua keputusan Tuanku kerana itu hak mutlak Tuanku.’’

12.02 tengahari: Sultan Perak sudah disembah maklum mengenai majoriti mudah yang diperoleh BN untuk menubuhkan kerajaan baru.

Kesemua 28 ADUN BN termasuk dari Bota yang kembali kepada parti itu serta tiga yang meninggalkan parti masing-masing menjadi ADUN Bebas telah memberi pengakuan menyokong kerajaan BN.

12.17 tengahari: Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin dipanggil ke Istana Kinta untuk menghadap Sultan Perak. - Ruhanie Ahmad

1 comment:

dizzy boy said...

itulah UMNO/BN tamak kuasa dan gila kuasa,sanggup menggadai kepentingan rakyat.Rakyat yg memilih pemerintahan,biarlah rakyat yg menilai semula.Kini rasuah dlm UMNO/BN kembali bergoncang dgn hebatnya.TDM dan KuLi mengutuk tindakan sebegini.