Ruhanie Ahmad
Setelah mengkaji dan memahami denyut nadi sahabat-sahabat yang mengirimkan komen dan reaksi mereka - majoritinya duka dan kecewa - terhadap apa yang sedang bergolak di Perak mutakhir ini, saya pun berusaha untuk membuat sorotan ringkas terhadap dinamika politik Malaysia dalam era pemerintahan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Presiden UMNO, Pengerusi BN dan Perdana Menteri.
Sorotaan ini saya bina dalam bentuk pertanyaan kepada diri saya sendiri. Saya bertanya: mengapakah sejak pemerintahan Abdullah, banyak perkembangan siasah yang luarbiasa? Contohnya, kedolak-dalikan kata sentiasa jadi polemik rakyat, soal neopotisme sering mendominasikan suasana, ketegangan antara rejim lama dan rejim baru jelas di depan mata, kestabilan siasah pemerintahan bagaikan telur di hujung tandunk, nasib rakyat jelata pula terumbang-ambing bagaikan layang-layang terputus tali.
Sesudah itu, saya terus bertanya: adakah segala ini akibat penguasa yang lemah dan dikuasai oleh pihak lain di balik tabir? Adakah kesemua ini
net result daripada
gross inefficiency pengurusan siasah dan negara? Adakah seluruhnya adalah impak daripada longgokan kekecewaan rakyat jelata bila harapan mereka tak kesampaian seperti lumrahnya sebelum ini? Benarkah segala-segalanya berpaksikan kepada soal pemimpin dan kepimpinan Malaysia sekarang ini?
Sesudah itu, saya simpulkan pertanyaan di atas juga dengan beberapa pertanyaan berikut: inikah kesan daripada amalan
power politics? Inikah impak daripada percaturan
realpolitik? Dan, inikah kesan daripada politik boneka rekaan Pak Dalang yang entah bagaimana wajah iblisnya? Soal politik kuasa,
realpolitik dan politik boneka dalam persoalan-persoalan ini bukan saya sasarkan hanya kepada pihak pemerintah. Tetapi kepada semua pihak yang sedang bermain kuasa, yang sedang mencatur kuasa, yang sedang gila kuasa dan sedang beranggapan bahawa mereka adalah sumber dan pemilik kuasa yang paling mutlak dan hakiki menerusi landasan prinsip demokrasi.
Sesudah tamat dengan perdebatan minda diri sendiri, saya pun membaca kembali kiriman
Zeme - seorang sahabat blog ini - yang bertanya sama ada dalam kemelut kuasa di Perak mutakhir ini, wajar diwujudkan satu kerajaan campuran BN-PAS untuk melenyapkan cengkaman DAP di negeri tersebut?
Seterusnya, saya kaji pula buah fikiran seorang lagi sahabat blog ini yang menggunakan nama
Manggis Ajaib. Katanya: "wahyu adalah jawapan yang paling tepat untuk menjadi neraca pertimbangan kepada manusia yang beriman. Yang pasti, wahyu Tuhan tidak pernah dan tidak akan bertentangan dengan rasionaliti. Justeru untuk kita membuat keputusan dalam situasi getir seperti di Perak sekarang, kembalilah kepada wahyu. Rujuklah al-Qur'an dan dapatkanlah bahasan dari sejarah junjungan yang mulia Rasulullah SAW. Sekiranya masih sukar mendapatkan jawapan, rujuklah kepada pandangan waris Nabi-Nabi, yakni para Alim Ulama, agar keputusan yang bakal menjadi penentu kepada penerusan semula pemerintahan yang berasaskan sistem demokrasi beracuan Malaysia akan mendapat keberkatan dari Tuhan."
Kepada saya, pertanyaan
Zeme ada relevannya untuk dihalusi. Ini kerana selepas kemelut politik pasca PRU 1969, Perikatan Perak pernah menerima Parti Progressive Rakyat (PPP) sebagai komponen kepada kerajaan campuran menerusi status PPP menyokong Perikatan dalam DUN Perak, sebelum Allahyarham Tun Razak Hussein mewujudkan BN pada 1974, di mana PPP jadi antara komponennya yang berdaftar.
Saranan
Manggis Ajaib juga amat penting untuk dirincikan oleh ilmuan dan intelektuil Islam supaya mereka dapat menasihati, kalau tidak menggesa, seluruh pihak yang sedang berbeza pendapat, untuk duduk semeja dan menyelesaikan masalah bersama mengikut cara Islam.
Dalam pada itu, komen
Tok Iskandar dalam blog ini masih mengiang-ngiang di pemikiran saya. Beliau menuduh saya sebagai berfikiran spastik - maksudnya cacat dan goblok - semata-mata kerana saya telah menyuarakan apa yang terpendam di minda saya melalui beberapa postings sebelum ini.
Kepada
Tok Iskandar, dengan takzimnya saya katakan bahawa kita wajar pintar berbeza dengan cara yang berhemah, bersopan dan bersantun. Bagaimanapun, saya juga ingin dapatkan kepastian daripadanya, apakah relevannya saya selaku senior beliau di UiTM dengan kespastikan minda saya? Dan, apakah relevannya status beliau sebagai junior saya di UiTM dengan anggapan bahawa minda beliau juga tidak terhindar dari cacat dan cela, dalam konteks diri kita sebagai manusia yang sememangnya tidak sempurna.
Akhir kata, saya persilakan sahabat-sahabat sekalian sudilah apa kiranya mengunjungi blog puisi saya di alamat:
http://panggilan-pertiwi.blogspot.com. untuk membahaskan sama ada benar bahawa apa yang berlaku di Perak dan Malaysia mutakhir ini adalah umpama perbuatan
menyula wajah bulan gerhana.