Wednesday, October 10, 2007

Helo Datuk Christopher Wan...
Bertindaklah Secara Bijaksana

Khamis, 4 Oktober 2007, saya mengirim satu posting kepada Datuk Christopher Wan Soo Kee, Pengarah CID PDRM Bukit Aman, dengan tajuk: Helo Christopher Wan, Ada Tak Fotofit Saya?

Saya bertanyakan kisah gadis yang disyakki terlibat dengan pembunuhan Nurin yang ditangkap di Nilai, tetapi tidak mempunyai pengenalan diri, kenapa cepat-cepat diberi identiti bahawa dia adalah warga Indonesia?

Saya juga bertanya, kenapa kisah gadis yang kononnya menelan sim card telefon bimbitnya itu disensasikan hanya berasaskan kenyataan sumber-sumber sahaja? Kalau pasti, kenapa tidak ada kenyataan rasmi? Kalau tidak, kenapa terus disensasikan setiap hari, sampai ke hari ini?

Hari ini, 10 Oktober 2007, gadis itu dibebaskan tanpa syarat. Sebabnya, polis tidak mempunyai bukti kukuh yang cukup untuk mendakwanya di mahkamah.

Berita penuh mengenai pembebasan itu boleh diakses menerusi link ini:
http://web7.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=289493

Mengapakah begitu akhirnya? Adakah sudah disiasat secara rapi, siapakah sumber-sumber yang mensensasikan kisah “penelanan sim card” itu? Siapakah sumber-sumber yang mengatakan gadis itu juga adalah “penjaga” Nurin sewaktu dalam penculikan?

Apa motif sebenar pihak polis mensensasikan berita yang tidak ada akauntabilititi itu? Tidakkah penahanan seorang warga Indonesia yang baru-baru ini nyaris-nyaris jadi kes diplomatik, mengajar kita jadi lebih berhati-hati dan lebih bijaksana?

Atau, memang mungkinkah ada udang di sebalik batu di sebalik usaha mensensasikan kisah gadis itu? Untuk memesongkan tumpuan umum kepada kisah kes tembakan dengan peluru hidup tanpa mengikut Geneva Convention di Kuala Terengganu? Atau untuk memenuhi hasrat tertentu yang akhirnya melaga-lagakan Malaysia dan Indonesia dalam apa jua isu yang boleh dieksploitasikan pada ketika ini? – Ruhanie Ahmad

No comments: