Untuk membantu Datuk Seri Zainuddin dan tokoh-tokoh seangkatannya memahami fungsi dan bidangkuasa MCMC, link ke MCMC adalah seperti berikut:
http://www.cmc.gov.my. Silakan akses link ini dan segala-galanya ada di situ.
MCMC
Oleh kerana blogging adalah antara cabang convergence yang terbaru daripada ledakan ICT, soal ini nampaknya masih belum menerima fokus secara khusus. Tetapi, mustahilkah untuk MCMC mula memikirkan soal tata etika bloggers dalam konteks rejim perundangan yang sedia ada?
Tidakkah pemerintah menyedari hakikat ini? Kenapakah perlu mengeluarkan kenyataan demi kenyataan yang kurang bijak dan konfrontasional terhadap bloggers kalau rejim perundangan di bawah MCMC ini mungkin boleh dikemaskinikan untuk membolehkan siri perundingan dengan para bloggers ke arah penggubalan satu tata etika blogging di negara ini?
Maka, berasaskan kewujudan MCMC, apakah relevannya Datuk Seri Zainuddin membuat kenyataan bahawa bloggers politik “mesti” didaftarkan?
Adakah kerana beliau beranggapan yang soal content multimedia berada di bawah kawalannya? Tidakkah beliau sedar bahawa secara hakikinya content dalam portal berita Bernama pun di bawah kawalan MCMC?
Memang ini satu ironi. Tetapi inilah antara realiti dan anamoli di era anjakan teknologi daripada rejim perundangan bukan digital kepada rejim perundangan digital.
Definisi Politik
Saya amat pasti akan hal ini kerana saya sendiri terlibat dalam membahas serta meluluskan banyak undang-undang ICT di Parlimen Malaysia.
Saya juga amat pasti akan hal ini kerana saya sendiri pernah mengemukakan banyak soalan mengenai siapakah yang mempunyai bidang kuasa terhadap contents dalam multimedia di negara ini.
Oleh itu, apakah reaksi yang perlu kita berikan kepada Datuk Seri Zainuddin yang mahukan blogs dan bloggers politik di Malaysia “mesti” didaftarkan?
Ketawa berdekah-dekah kerana kenyataan beliau amat melucukan? Menggelengkan kepala kerana kenyataan itu mencerminkan betapa tidak dalamnya pengetahuan beliau mengenai ICT sehingga tidak menydari bahawa blogs, blogging dan bloggers adalah satu cabang demokrasi siber yang lahir daripada ledakan ICT? Atau, kita pedulikan sahaja kenyataan itu kerana beliau sekali-kali tidak mempunyai hak untuk mempersoalkan perkembangan ini?
Tetapi, katakanlah kita terima kenyataan Datuk Seri Zainuddin itu sebagai satu kenyataan yang boleh masuk akal, siapa pula yang akan mendefinisikan “politik” dalam konteks blogs dan portal berita di Malaysia?
Tata Etika
Definisi “politik” siapakah yang akan dijadikan definisi rasmi dalam konteks ini? Definisi pakar-pakar sains politik tempatan dan antarabangsa? Definisi Tingkat 4 JPM? Atau, bila mana sesuatu blogs itu mengkritik kerajaan maka blogs itu pun dikategorikan sebagai blogs politik?
Dan, adakah blogs yang ditubuhkan oleh pemerintah untuk menghentam penulis-penulis blogs tempatan akan dikecualikan daripada kategori blogs politik di Malaysia?
Saya terpaksa menimbulkan soal-soal seperti ini kerana inilah realitinya apabila soal blogs dan convergence ICT adalah sesuatu yang masih baru dan sedang melalui proses evolusi.
Blogs, blogging dan bloggers di Malaysia, malah di seluruh dunia, masih berkembang dari satu tahap ke satu lagi tahap yang baru, pada setiap hari. Sebab itulah soal-soal serta peruntukan tata etika mengenai blogs masih samar-samar atau belum wujud sama sekali.
Oleh itu, janganlah pihak pemerintah Malaysia berfikiran atau perpandangan singkat. Janganlah kerana Singapura dikatakan “mempunyai mekanisma pendaftaran bagi blog yang secara konsisten memuatkan tulisan politik” maka apa yang wujud di sana dikagumi dan akan digunapakai di Malaysia.
Berunding
Di Malaysia sendiri terdapat ramai pakar undang-undang ICT. Kita juga mempunyai MCMC. Kalaulah, umpamanya, perisian iklan multimedia mempunyai etikanya yang tertentu, mustahilkah kalau bloggers Malaysia di ajak berunding untuk sama-sama membentuk kod etika blogging di negara ini suatu hari nanti?
Pra-syaratnya, jangan ada sesiapa jua di dalam pemerintahan negara ketika ini bercakap pasal bloggers secara rambang dan hentam keromo.
Jangan dimulakan proses konfrontasi antara kerajaan dan bloggers. Jangan dibina tembok pemisah sebelum pihak pemerintah mengenali hakikat sebenarnya mengnai blogging.
Jangan buat begitu kerana semakin hari, jumlah warga maya di Malaysia, kian bertambah, berganda-ganda, berlipat kali ganda. Jangan buat begitu kerana blogging adalah satu daripada cadang demokrasi siber di mana bloggers pula wujud di alam nyata yang mendukung prinsip-prinsip demokrasi.
Jangan buat begitu kerana seluruh dunia kini mengiktiraf hakikat bahawa blogs sudah mula jadi lebih berpengaruh daripada media cetak dalam konteks penyebaran berita kepada masyarakat umum.
Alliance
Hari ini, bloggers Malaysia sudah pun menubuhkan National Alliance of Bloggers (NAB). Hasrat Saudara Ahirudin Attan, selaku Presiden Penaja NAB, untuk merangka kod etika blogging pun sudah menerima sokongan ramai.
Memang pendaftaran NAB belum diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan. Tetapi, salahkah kalau pihak pemerintah dan NAB sama-sama berikhtiar merundingkan soal tata etika blogging di Malaysia dengan MCMC?
Pada pendapat saya, inilah sebaik-baiknya usaha yang perlu diambil sebelum rasa meluat para bloggers terhadap kenyataan demi kenyataan kurang bijak terus disasarkan kepada bloggers hampir pada setiap hari, jadi kian melonjak dan memuncak.
Pemerintah perlulah bertindak segera. Kalau tidak, sapa yang akan dipersalahkan kalau suatu hari nanti cetusan rasa kecewa, rasa marah dan rasa meluat warga maya Malaysia terhadap karenah serta perilaku sesetengah pembesar negara yang kini dihamburkan ke ruang maya, akan diterjemahkan pula sebagai satu ledakan bangkangan dalam proses demokrasi di alam nyata.
Untuk makluman pemerintah, dalam mesyuarat penajaan NAB baru-baru ini, tiga perkara khusus disuarakan oleh segolongan hadirin.
Misi
Pertama: Bloggers sosio-politik dan ekonomi di Malaysia datang dari pelbagai fahaman politik. Tetapi mereka bersatu untuk sama-sama mencorak dan membentuk demokrasi siber di Malaysia di hari muka.
Kedua: Bloggers yang hadir juga menginsafi hakikat bahawa dalam usaha memperjuangkan demokrasi siber, mereka juga mahu menyumbang kepada usaha meningkatkan tahap perpaduan nasional, mereka tidak akan menjejaskan ketenteraman awam, dan mereka tidak akan menggadaikan keselamatan negara.
Ketiga: Bloggers Malaysia adalah rakyat yang cintakan negara, mahu terus memelihara kemerdekaan Malaysia, dan juga mahu terus mempertahankan kedaulatan Malaysia.
Dengan adanya kenyataan misi tidak rasmi seperti di atas, tergamakkah sesiapa melabelkan para bloggers sosio-politik dan ekonomi Malaysia sebagai pembohong, pemfitnah, dan lebih serius lagi, sebagai satu pakatan yang mahu menumbangkan kerajaan?