Tuesday, December 30, 2008

Siri Satu:KES PULAU BATU PUTEH MALAYSIA PUTIH MATA..

Ruhanie Ahmad

Kedaulatan Pulau Batu Puteh kini milik Singapura. Maka, tulisan ini adalah bertujuan re-visit kes Pulau Batu Puteh untuk merungkai sejauh mana keprihatinan kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terhadap kes berkenaan. Ia juga merungkai kemungkinan menantu lelaki Abdullah memainkan peranan dalam pemilihan sebahagian komponen asing yang diserapkan ke dalam team Malaysia untuk mempertahankan kedaulatan tanahair ini di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). Pada waktu yang sama, akan dirungkai juga sama ada Malaysia pernah menganalisa kes Pulau Batu Puteh yang dibawa ke ICJ itu dalam konteks percaturan geopolitik oleh sebuah kuasa besar tertentu yang sedang berusaha untuk memperkukuhkan hegemoninya di wilayah Asia Tenggara di abad ke-21.

Seluruh perkara di atas penting untuk dirungkai kerana kehilangan kedaulatan Malaysia ke atas Pulau Batu Puteh kini menjadi satu antara legasi durjasa Abdullah dalam era pasca PRU12. Perungkaian terhadap perkara-perkara berkenaan juga penting kerana persepsi umum kini menuduh Abdullah sebagai telah menggadaikan kedaulatan Pulau Batu Puteh kepada Singapura. Sebab itulah Abdullah kononnya tidak membantah kenyataan Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim, selaku Menteri Luar, yang secara diplomasi menyifatkan keputusan ICJ mengenai kes Pulau Batu Puteh sebagai suatu situasi “menang-menang.” Sebab itulah hingga ke hari ini Malaysia seolah-olah berpuas hati dengan keputusan berkenaan dan tidak lagi berusaha mencari bukti baru untuk mendesak ICJ menyemak semula kes terbabit.

Titah Sultan

Sebab itulah juga Abdullah seolah-olah memandang sepi titah DYMM Sultan Johor yang berazam menebus semula kedaulatan Pulau Batu Puteh, seperti yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia di bawah ini:

JOHOR BAHRU 19 Jun 2008: – Sultan Johor, Sultan Iskandar bertitah, baginda akan berikhtiar mencari jalan mendapatkan semula hak kedaulatan ke atas Batu Putih yang kini dimiliki Singapura.

Baginda bertitah, pulau berkenaan bukan milik republik itu, sebaliknya hak kerajaan Johor.

“Saya akan berikhtiar mencari jalan mendapatkan semula hak kedaulatan Batu Putih yang kini dimiliki Singapura supaya kembali kepada kerajaan Malaysia.

“Suka saya ingatkan bahawa saya tidak lupa pada Batu Putih. Pulau itu bukan hak Singapura, tetapi hak Johor. Sampai bila pun saya akan cari ikhtiar dapatkan semula pulau milik Johor itu,” titah baginda.

Sultan Iskandar bertitah demikian semasa merasmikan pembukaan Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini hari ini.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, ketika diminta mengulas titah Sultan Johor itu berkata, pihaknya akan mengambil kira perkara yang dibangkitkan oleh baginda. Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Sikap Abdullah tidak memberikan apa-apa reaksi kepada kenyataan di atas mencerminkan sikap kerajaan Malaysia yang seolah-olahnya berpendirian bahawa tiada apa lagi usaha yang boleh dijalankan untuk mengambil semula kedaulatan Pulau Batu Puteh daripada Singapura.

Bagaimanapun, blog kuda-kepang dalam postingnya pada 21 Jun 21 2008, antara lainnya menegaskan seperti berikut:

Rakyat jelata Malaysia, khususnya warga Johor, wajar menyokong penuh azam murni DYMM Sultan Johor, Sultan Iskandar, untuk mendapatkan semula Pulau Batu Puteh daripada Singapura.

Sokongan padu ini amat penting kerana Pulau Batu Puteh memang hak milik Kesultanan Johor Darul Takzim. Pulau ini juga warisan bangsa Melayu di bumi Malaysia yang berdaulat dan merdeka. Inilah hakikatnya. Inilah sejarahnya.

Lantaran itu, sifatkanlah iltizam Sultan Johor ini sebagai kemuncak kepada rasa tidak puas hati rakyat Malaysia terhadap keputusan ICJ mengenai Pulau Batu Puteh yang dibuat pada 23 Mei 2008.

Iltizam ini juga klimeks kepada kekecewaan rakyat Malaysia terhadap sikap kiasu serta semangat kejiranan Singapura yang terbukti seolah-olah tidak tulen dan tidak abadi kerana tergamak mempertikaikan status kedaulatan Pulau Batu Puteh berasaskan pelbagai agenda strategiknya yang tersendiri.

Oleh itu, Singapura perlu menerima titah Sultan Johor dengan sikap yang terbuka. Jangan sekali-kali republik ini menganggap kekuatan iltizam Sultan Johor untuk memiliki semula Pulau Puteh sebagai usaha mengeruhkan suasana harmoni di antara sesama jiran tetangga.

Pihak berkuasa Malaysia pula tidak wajar menyifatkan titah Sultan Johor ini sebagai remeh dan tidak perlu dilayan dengan serius. Sebaliknya, gunakanlah pemikiran kritis, strategik dan kreatif untuk merangka pelbagai strategi serta mencari cara terbaik untuk memiliki semula kedaulatan pulau berkenaan.

Artikel 61

Saya berpendirian seperti di atas kerana biarpun ICJ telah memberikan kedaulatan Pulau Batu Puteh kepada Singapura, dan keputusan itu adalah muktamad, sesungguhnya pasti masih terdapat jalan dan cara untuk mendapatkan semula jajahan takluk Johor ini, jika pemerintah Malaysia serius mengenainya.

Ini kerana Statut ICJ sendiri mempunyai peruntukan khusus – Artikel 61 - yang memungkinkan penyemakan semula sesuatu kes jika perlu. Artikel 61 dalam Statut ICJ ini membolehkan permohonan untuk semakan semula terhadap sesuatu kes yang telah diputuskan oleh ICJ. Syaratnya, pihak yang memohon semakan semula itu hendaklah menemui fakta baru yang boleh menjadi faktor penentu. Bagaimanapun, pada ketika penghakiman terhadap kes berkenaan dibuat sebelum itu, fakta baru tersebut tidak diketahui oleh pihak ICJ.

Satu lagi syarat yang dikehendakki oleh Artikel 61 dalam Status ICJ ini adalah: fakta yang baru ditemui itu telah tidak dapat dikemukakan sewaktu perbicaraan sebelumnya, bukan akibat sesuatu kecuaian. Lebih jelas lagi, ini bermakna bahawa fakta yang baru ditemui itu hendaklah benar-benar tidak diketahui oleh pihak yang memohon semakan semula, sewaktu perbicaraan ke atas kes terbabit dijalankan sebelum itu.

Artikel 61 ini juga mensyaratkan supaya sesuatu permohonan untuk semakan semula terhadap sesuatu kes yang telah diputuskan oleh ICJ perlulah dilakukan dalam tempoh enam bulan daripada tarikh penemuan fakta yang baru, dan dalam tempoh 10 tahun mulai tarikh penghakiman terhadap kes terbabit yang telah diputuskan oleh ICJ sebelum itu.

Oleh itu, titah DYMM Sultan Johor seperti di atas wajar dipandang serius oleh pemerintah Malaysia, termasuk Kerajaan Negeri Johor. Artikel 61 di atas wajar dijadikan pendorong utama oleh semua pihak untuk terus berusaha dengan lebih gigih mencari dan menggali apa jua bahan bukti dan data-data sejarah yang baru untuk dijadikan asas yang membolehkan permohonan penyemakan semula ke atas keputusan ICJ mengenai kedaulatan Pulau Batu Puteh yang kini diserahkan kepada Sinapura.

Untuk mencapai cita-cita murni ini, pemerintah Malaysia mestilah mewujudkan satu task force atau badan petugas khas yang khusus merangkumkan keanggotaan pelbagai penasihat, penyelidik, penyiasat, pakar undang-undang, pakar sejarah, pakar politik antarabangsa dan seluruhnya. Tanpa task force sepperti ini, seluruh cita-cita akan terus menjadi cita-cita dan impian semata-mata.

Pokok persoalannya di sini: apakah Abdullah pernah bercita-cita seperti DYMM Sultan Johor? Kalau kini terdengar ura-ura bahawa Malaysia mungkin mencari jalan untuk mengemukakan satu permohonan penyemakan semula kes Pulau Batu Puteh di ICJ, sejauh manakah kebenaran ura-ura tersebut? Jika ura-ura ini tidak benar, adakah Malaysia hanya akan mendiamkan diri dan tidak mencuba nasibnya seperti yang diberikan oleh Artikel 61 dalam Statut ICJ yang dihuraikan di atas?

Maka, di sinilah relevennya iltizam politik dan arah kepimpinan yang sewajarnya diberikan oleh sesuatu kepimpinan yang benar-benar prihatin terhadap kedaulatan negaranya. Adalah tidak diketahui mengapa Abdullah tidak memberikan iltizam politik dan arah kepimpinan seperti ini dalam kes Pulau Batu Puteh. Bagaimanapun, adalah diharapkan semoga team kepimpinan negara selepas Abdullah akan memberikan perhatian yang paling serius terhadap perkara ini. – bersambung dalam siri kedua.

15 comments:

Unknown said...

Itu satu pengajaran kita buat kita semua, nasi dah jadi bubur, tak guna nak diungkit-ungkit lagi, hanya akan mengeruhkan hubungan kita dengan singapura saja.
Manusia dipegang pada janjinya, janganlah kita jadi orang munafik.
Yang perlu diberi tumpuan sekarang ialah kepada pulau-pulau lain seperti pulau pisang yang kritikal dan tidak jelas statusnya itu.
Nanti jadi yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran.

wira said...

Datuk Ron Selamat Maal Hijrah 1430 dan Selamat Tahun Baru 2009 semuga khidmat Datuk didalam menyediakan wadah di blog ini membuahkan perubahan insya Allah.

Kalau zaman dahulu, dengan kudrat kekuatan tulang empat kerat memang sudah berperang sekurang-kurangnya amarda kapal serta pahlawan telah turun kepadang untuk mengusir penakluk dari jajahan yang berdaulat.

Zaman ini adalah zaman yang ditentukan oleh siapa yang bijak dan tangkas berfikir dialah yang menguasai dan memerintah.

Di zaman ini yang kaya dengan maklumat dan penyebaran maklumat yang luas dan pantas, sesuatu keputusan yang dilakukan akan diadili oleh ummah seluruh alam sejagat ini.

Oleh itu kecerdikan dan kecendekiawan lah yang akan menentukan kedudukan seseorang atau sesuatu suku atau puak atau kumpulan. Dengan rahmat yang diberi oleh Allah dan restunya saya amat kecewa dengan apa yang telah berlaku sebagai anak Johor.

Titah Tuanku itu akan menjadi satu misi Sultan Johor yang akan datang untuk menentukan tanah jajahan itu kembali.

antubiul said...

Saya cadangkan Kerajaan Malaysia Menuntut Pulau Singapura sebagai hak nya kerana Tunku Abdul Rahman terkhilaf memerdekaan Singapura. Dengan tuntutan ini maka Batu Putih tidal lagi menhjadi isu. Banyak Malaysia boleh lakukan misal nya membatalkan perjanjian Air Johor kerana perjanjian itu di buat oleh pihak British sepatu selepas Merdeka sudah kira 'Void and Null'. Malaysia cuma perlu pemimpin ynag berani yankni yeng mempunyai telor untuk memastikan hak Negara tidak cabuli.

imah said...

Apabila Malaysia memenangi kes Pulau Ligitan/Sipadan semasa perbicaraan di ICJ dengan Indonesia, saya amat yakin, berdasarkan fakta yang digunapakai oleh ICJ bahawa Pulau Batu Putih Akan terlepas ketangan Singapura.

Asas pertimbangan yang digunapakai oleh ICJ jelas menggunakan doktrin zaman kolonial kurun ke 15 dahulu. Mereka berpegang kepada siapa yang menguasai sesuatu wilayah yang ditemui, maka dialah yang diiktiraf sebagai pemilik.

Lihat sahaja pendudukan Inggeris keatas benua Amerika Utara. Bila sahaja mereka menemui benua itu, dan berjaya menguasainya, mereka isytiharkan itu adalah wilayah mereka. Begitu juga Pertugis, Belanda dan Inggeris di Asia Selatan dan Asia Tenggara. Perancis di benua Afrika, Israel di Timur Tengah.

Konsep itulah yang digunapakai memasa memberi kemenangan kepada Malaysia dakm kes denganIndonesia itu.

Dan konsep itulah juga yang membawa kekecewaan kepada Malaysia bila berhadapan dengan Singapura.

Sepatutnya rasa akan berlaku kehilangan ini telah pun dapat dikesan sebaik sahaja Malaysia memenangi kes dengan Indonesia.

Asasnya mudah sahaja, sesiapa yang berada dan menguasai pentadbiran keatas sesuatu wilayah dalam tempuh yang lama dan tidak ada pihak lain yang membuat protes atas pendudukan itu,bermakna kawasan itu milik pihak yang berada diatas wilayah itu.

Sebab itulah kita menang keatas Indonesia kerana kerjahaan Sabah menduduki kedua-dua pulau itu sejak lama sebelum Indonesia membuat bantahan.

Dan sebab itulah Malaysia kalah kerana membiarkan Singapura menguasai Pulau Batu Putih tanpa ada usaha-usaha resmi atau tidak resmi untuk mrngambil balik sejak berdekad-dekad yang lalu.

Menyalahkan PM Abdullah sepenuhnya dalam isu ini sangat tidak adil. Beliau hanya dua tiga tahun mengambil-alih pemerintahan sebelum kes ini dibicarakan.

Perdana Menteri terdahulu kena bertanggungjawab kalau tidak sepenuhnya, sebahagian besar kekalahan ini kerana tidak menampilkan usaha-usaha mendapatkan balik pulau tersebut.

Selepas Singapura dikeluarkan dari Malaysia, tidak ada rekod resmi menunjukkan kerajaan Malaysia mahu mengambil balik pulau itu.

Hanya selepas selesai kerja persempadanan yang dibuat pada tahun 1990han, barulah isu ini timbul. Itu pun setelah Singapura membuat bantahan keatas peta baru yang dikeluarkan oleh Malaysia.

Sebenarnya pada era 1980han, 1990han dan awal 2000, Perdana Menteri kita terlalu sebuk menangani masaalah politik dalam negara yang silih berganti.

Dan apabila ada masa aman sedikit beliau lebih menumpukan komitmennya untuk menjadi Juara Dunia Ketiga sehingga isu yang membabitkan wilayah sendiri terlupa atau sengaja memandang remeh terhadapnya.

Saya tidak setuju dengan pandangan datuk yang sepenuhnya meletakkan kegagalan kes Pulau batu Putih ini keatas Abdullah. Kalau pun ada beban yang perlu dihumban keatas bahu Abdullah ialah kegagalan beliau menyediakan satu pasukan yang terkuat untuk mengharungi perbicaraan.

bungaraya said...

Pulau Batu Putih yah?. Bagai mana dengan Pulau Pinang? Kita asyik mencari runag dan peluang untuk membantai Pak Lah. Sedarkah kita akan Pulau Pinang? Apabila saya melihat Datuk Ron, saya ternampak Perkasa. Bila saya nampak Pulau Batu putih saya juga ternampak Perkasa. Begitu juga dengan Pulau Pinang. Kini dan selamanya Pulau Pinang telah menjadi bukan ampunya kita. Hanya pada nama mereka berada dalam Malaysia. Tapi mereka sama spt Singapura. Mau banyak lagi Pulau jatuh ketangan mereka.
Kadang-kadang mereka tak perlukan undang-undang untuk meneroka tanah kita. Pulau Labuan juga satu ketika mungkin milik mereka. Perumahan telah banyak kekawasan kita diperkampongan, menjadikan jumlah semut itu bertambah banyak.
Strategi mereka yang kita anggap biasa tapi sebenarnya bisa.

kudakepang said...

Sahabat-sahabat sekalian, jutaan terima kasih dan salam Maal Hijrah

Bukan niat saya nak membebankan segala-galanya ke bahu Datuk Seri Abdullah. Siri selanjutnya akan membuktikan hal ini.

Bagaimanapun, komen Imah dan Bunga Raya menginsafkan saya akan perspektif baru - mengenai pulau pinang. Saya pernah diterjah oleh pemikiran yang serupa tetapi kemudiannya terlupa untuk menghalusinya. Lepas ini saya akan cuba berbuat begitu kalau termampu masa kerana mulai minggu depan saya jadi budak sekolah balik, masuk UKM buat masters dan kemudiannya, Insya Allah, selanjtnya.

Salam takzim - Ruhanie Ahmad

imah said...

Salam Dato'

Saya minta maaf, bukan berniat membangkang tetapimemberikan pendapat saya.

Jika boleh dalam siri berikutnya, dapat kiranya Dato' serta bukti-bukti seumpama nota diplomatik dari pehak Malaysia kepada Singapura berkaitan tuntutan kedaulatan pulau itu, mulai selepas merdeka hinggalah keputusan dicapai untuk dibawa ke ICJ; untuk kita perbincangkan bersama.

Wassalam, terima kasih.

Mika Angel-0 said...

Sdr Ruhanie Ahmad,

check this out, dude!

i am a dodo bird the veggies and pluto's dog

terima kasih

Semut Api said...

dato,

sebagai seorang yang mengenal mereka yang berusaha mendapatkan kedaulatan pulau tersebut, saya ti dak meragui langsung komitmen mana-mana individu yang terlibat, samada dari pemimpin politik, pentadbir kerajaan, pembuat dasar, ahli dewan perundangan dan rakyat jelata.. saya yakin semua usaha telah dibuat berdasarkan lunas perundangan yang betul... jangan lagi kita menyalahkan mana-mana pihak dan mempersoalkan patriotisme mana-mana rakyat ...

sungguhpun demikian, kehilangan wilayah berdaulat memang melukakan dan menyayat hati. tetapi dalam kita mengorak langkah untuk mengembalikan kedaulatan kita ke atas hak kita, jangan kita memecah belahkan kesatuan rakyat terutama sesama orang melayu apatah lagi cuba menangguk di air keruh...

marilah kita bersama-sama mencari jalan penyelesaian dan bukan pengusutan yang akhirnya menggadai lebih banyak maruah bangsa...

MELAYU harus bersatu... dan atas dasar itu saya menyokong PERKASA.. untuk menyatukan bangsa dan bukan sebaliknya memecah-belahkan mereka...

terima kasih dan salam hormat...

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

Salam Datuk.

Saya masih tertanya-tanya, siapakah Penolong Setiausaha Negeri Johor yang membuat surat rasmi mengatakan Kerajaan Johor tidak berminat ke atas Pulau Batu Putih?

Adakah kenyataan Penolong Setiausaha Negeri Johor dikeluarkan selepas mesyuarat pentadbiran Kerajaan Negeri atau telah mendapat perkenan sultan?

Siapakah yang sepatutnya lebih berkuasa dalam membuat keputusan ke atas kekuasaan sesuatu wilayah sama ada Setiausaha kerajaan negeri, Menteri Besar atau Sultan? Mengapakah surat daripada Penolong Setiausaha Kerajaan Johor yang diambil kira?

Apakah tidak ada surat-surat rasmi lain daripada Pusat Pentadbiran Bukit Timbalan yang ditanda tangani oleh orang yang lebih berkuasa daripada Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri?

Surat ini penting kerana surat inilah yang diambil kira dalam ICJ membuat keputusan mengatakan Malaysia sudah tidak berminat terhadap Pulau Batu Puteh.

Amir Hamzah
Batu Pahat.
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Unknown said...

secara ringkas, perkara2 berikut harus diawasi

surat dan dokumen penting harus dijaga dan simpan dengan rapi

perjanjian air - tentukan harga yang adil bagi pihak Malaysia

kawasan udara

pasir (sebelum dicuri)

taman baru dibina drp tanah melayu, namun yg mampu beli siapa

pulau pulau lain

remaja yg terpesong oleh hadiah kebendaan

MD SULAIMAN said...

Walaupun saya dilahirkan selepas kemerdekaan kita mesti mempelajari sejarah negara kita dan memperhalusinya.

Memang ICJ dah buat keputusan tetapi keputusan masi boleh dirayu...

Sejarah tetap sejarah tetapi ramai dari kita tak nak belajar sejarah..

Sejarah tetap berulang tetapi yang beza adalah masa ..

Fikir-fikirlah sebelum negara tergadai...

ChengHo said...

Suluh kembali jentera kerajaan termasuk PTD adakah mereka yg terbaik berkhidmat untuk kerajaan ?
Selalu nya PTD diambil bukan dari kalangan 1 st grader tetapi dari aliran bukan sains yg mana pelajar2 kita yg cemerlang tiap2 tahun adalah pelajar2 sains..renungkan kembali
Bagaimana PTD membuat research jika kemahiran bahasa tidak ada.

Unknown said...

Saudara sekalian,
Supaya saudara mengetahui apa sebenar yang telah berlaku di ICJ, silalah melayar website wisma putra,http://www.kln.gov.my dan kliklah lah logo Batu Puteh, kemudian klik lah "Pacific Settlement of Disputes Based on International Law- Malaysia's Experiences at the International Court of Justice". Segala persolan mengenai Batu Puteh adalah dijawab dalam buku itu. Silalah baca !

Unknown said...

Saudara sekalian,
Untuk mengetahui apa yang sebenar telah berlaku di ICJ, silahah layar website http://www.kln.gov.my, klik logo Batu Puteh di Homepage, kemudian klik "Pacific Settlement of Disputes Based on International Law- Malaysia's Experiences at the Intemational Court of Justice". Segala selok belok kes ini adalah dijelaskan dalm penulisan itu. Bacalah !