Friday, December 05, 2008

SIRI DUA:MASALAH RASUAH AGENDA TERAKHIR ABDULAH

Ruhanie Ahmad

Tekad Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk membanteras rasuah seperti yang saya huraikan dalam siri satu (4 Disember 2008) kelihatan semakin serius bila beliau “mempelawa pemimpin ASEAN untuk menghantar peserta ke Akademi Pencegahan Rasuah” yang akan ditubuhkan di Malaysia supaya mereka “membina kemampuan memerangi rasuah” di kalangan negara ASEAN.

Abdullah mengeluarkan pelawaan ini sewaktu berucap di Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun di Tokyo pada 12 Disember 2003. Menurut Utusan Malaysia, Abdullah satu-satunya pemimpin ASEAN yang menyentuh soal rasuah di persidangan berkenaan.

Pada 13 Januari 2004, Abdullah pula membuat kenyataan untuk membendung rasuah seperti berikut:

“Kerajaan akan menjadikan sistem pemberian tender terbuka sebagai amalan bagi mengurangkan rasuah dan mengekang peningkatan kos perniagaan di negara ini. Rundingan secara langsung pula akan dihadkan hanya kepada kes istimewa yang tertentu sahaja.”

Kenyataan Abdullah mengenai rasuah sewaktu beliau berada di Tokyo seperti di atas, nampaknya mendorong lebih banyak media spin di kalangan penulis tempatan. Umpamanya, pada 9 Februari 2004, Utusan Malaysia menyiarkan satu artikel berjodol Serius Memerangi Rasuah.

Agenda Tersendiri

Artikel ini seolah-olah membuktikan bahawa kenyataan-kenyataan Abdullah mengenai rasuah bukannya benar-benar untuk membanteras rasuah secara ikhlas dan jujur. Tetapi, seolah-olah mempunyai sesuatu agenda yang tersembunyi dan tersendiri.

Saya berpendapat begini kerana artikel berkenaan kelihatan berlebih-lebihan sangat dalam sanjungannya kepada Abdullah mengenai usaha membanteras rasuah. Ia juga seolah-olah mahu memberikan suatu mesej bahawa ada sesuatu yang tersirat di sebalik usaha Abdullah memerangi rasuah. Contohnya adalah seperti berikut:

“Dari hari pertama hingga ke hari yang ke-100 beliau memegang jawatan Perdana Menteri dan mungkin hingga beliau bersara pun, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mungkin akan terus memerangi rasuah. Semangatnya tinggi dan mantap untuk mencapai hajatnya itu. Kesungguhan Perdana Menteri tentu ada sebabnya. Beliau tidak menyatakan dengan jelas apa yang tersirat dan tersimpan di dalam sanubarinya. Abdullah tidak akan menyatakan. Tidak bijak untuk memaparkan siratan hati. Tetapi, serangan tanpa hentinya kepada amalan rasuah memperlihatkan wujudnya lembaga hitam yang dikendongnya selama ini yang menghantui pemikirannya.”

Daripada barisan kata-kata di atas, pasti kita akan bertanyakan diri sendiri, apakah yang dimaksudkan dengan “lembaga hitam” dalam artikel berkenaan dan apa pula “matlamat yang tersirat dan tersimpan” dalam sanubari Abdullah bila beliau memerangi rasuah?

Saya serahkan teka-teki di sebalik artikel tersebut kepada anda untuk mentafsirkannya mengikut daya imajinasi masing-masing. Bagaimanapun, seluruh perkembangan mengenai rasuah selepas penyiaran artikel berkenaan mungkin dapat memberikan jawapannya.

Orang Kenamaan

Contohnya, kajilah sendiri mengapakah liputan media terhadap usaha Abdullah membanteras rasuah jadi kian rancak dan seolah-olah sengaja diperbesar-besarkan setelah dua insan kenamaan ditahan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) atas tuduhan rasuah.

Pada 9 Februari 2004, BPR menahan bekas Pengarah Urusan Perwaja Steel Sdn. Bhd., Tan Sri Eric Chia Eng Hock, 71, berhubung kes penyelewengan dalam syarikat itu yang melibatkan kerugian RM2.9 bilion. Tiga hari berikutnya, iaitu pada 12 Februari 2004, Tan Sri Kasitah Gaddam selaku Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi dalam era interim Abdullah pula dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua tuduhan melakukan rasuah dan penipuan berhubung keputusan meluluskan cadangan penjualan 16.8 juta saham Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS). Kasitah adalah orang kenamaan kedua yang ditahan oleh BPR di era awal kepimpinan Abdullah.

Kedua-dua kes di atas amat menarik. Ini kerana Eric Chia sering diperkatakan oleh segolongan rakyat Malaysia sebagai seorang sahabat Mahathir. Kasitah pula menteri yang dilantik oleh Mahathir. Oleh itu, adakah matlamat tersirat Abdullah memerangi rasuah di era awal kepimpinannya memang sebenar-benarnya untuk menempelak Mahathir?

Saya harap para pembaca akan ambil ingatan terhadap persoalan di atas kerana mutakhir ini (2008), salah satu masalah utama yang dikatakan menghantui kepimpinan Abdullah adalah masalah rasuah, salahguna kuasa, kronisme dan neopotisme.

Masalah ini tidak seharusnya wujud jika kesungguhan dan iltizam politik Abdullah dalam memerangi rasuah dan penyakit yang sejenis dengannya adalah benar-benar tulus, ikhlas dan jujur.

Saya juga meminta para pembaca untuk mengambil ingatan terhadap persoalan ini kerana kenyataan dan tindakan anti-rasuah yang dilakukan oleh Abdullah di era awal kepimpinannya memang seolah-olah dirancang oleh pihak-pihak tertentu ke arah sesuatu agenda yang juga tertentu. – [bersambung di siri ketiga]

4 comments:

PKR Negeri Sembilan said...

Ketika di awal pemerintahan Pak Lah 2004 lalu,saya secara terangnya menyokong "pembaharuan" yg diwar2kan dan hebat digebangkan sebelum itu.saya myakini akan wujud perubahan tetapi "perubahan" itu mmg menjadi namun sekadar ada tujuan tertentu...ibarat panas permulaan bila sampai pertengahan sejuk dan terus tepu hingga ke akhirnya.

Aliran itu cuba dibangkitkan semula supaya "pembaharuan" terkini dicanangkan kembali...

Saya kira bagi rakyat yg sedar,kritis dan jauh pemikirannya PASTI tidak akan terpedaya dengan "perubahan" atau "pembaharuan" yg Paklah ingin bawa kali ni..

Cukup sudah tertipu lagi terpedaya dengan anjakan pradigma kepura-puraan ini...

slyderrose said...

Rasuah sudah macam satu budaya di negara 'islam' Malaysia. Dari parti memerintah hinggalah dalam pentadbiran negara, penguatkuasa dan dll. Macam mana nak dihapuskan kalau parti yg memerintah sendiri pun rasuah sudah macam jadi satu amalam setiap kali penamaaan calun. Sudah dilatih dari dalam parti maka tak heran jugalah kalau di luar sana pun sama. Sudah berakar umbi dan tempiasnya kena pada semua rakyat jelata. Dan negeri2 yg diperintah olih PR menerima bebannya sekarang. Yg biasa dapat sogokan, bila kini tidak dapat lagi, mulalah buat kerja acuh tak acuh, lambat dan buat sambil lewa. Tak tahulah apa nak jadi kat negara ini. Semuanya nak kejar duit. Semuanya nak dapat duit mudah. Usaha kurang. Bila kaum lain maju dalam sesuatu bidang, kita marah dan cuba nak menidakkan usaha kaum tersebut. Berbagai alasan diberi untuk mengekalkan status quo semoga budaya dapat duit mudah ini direruskan. Tak tahu orang kita apa nak jadi.

amirhamzah64 said...

Kebobrokan rasuah hari ini bolehkah kita sandarkan kepada bahu Pak Lah seorang sahaja yang sehingga kini masih sebagai pemimpin dan Perdana Menteri Malaysia ke lima. Adilkah kita menyalahkan Pak Lah seorang tentang masalah gejala rasuah yang telah berakar umbi sekian lama dan tidak pasti bilakah ia bermula.

Adakah ia bermula dalam sejarah singkat Malaysia atau sejak negara ini bernama Tanah Melayu atau sejak Kesultanan Melayu Melaka atau lebih awal dari itu kerajaan-kerajaan tua seperti kerajaan Gangga negara atau Genggayu.

Penglibatan orang Melayu dalam amalan rasuah atau 'pandai' memberi rasuah tidak juga dapat dikenalpasti tarikh yang tepat. Malah rasuah tidak mengenali bangsa, warna kulit, keturunan dan juga agama. Ianya satu amalan yang universal dan berlaku di seluruh dunia selagi ada yang memberi dan menerima dan melibatkan keuntungan di kedua-dua pihak.

Bagaimana amalan rasuah di zaman Almarhum Tunku, Allahyarham Tun Razak, Allahyarham Tun Hussein atau zaman Tun Mahathir. Apakah tindakan-tindakan kerajaan di zaman pemimpin-pemimpin tersebut. Siapakah di antara pemimpin-pemimpin yang terjebak dan terperangkap dalam isu rasuah ini. Adakah kerana benar-benar mereka terlibat dan bersalah atau memang ada agenda-agenda tersembunyi dan tersirat ke atas pemimpin-pemimpin berkenaan. Adakah penangkapan Allahyarham Datuk Harun Idris di zaman Allahyarham Tun Hussien itu ada muslihat tersembunyi, dendam atau sebaliknya?

Bagi saya amat sukar untuk membaca yang tersirat kerana hanya Allah dan tuan punya diri saja yang tahu. Kita hanya boleh membuat andaian dan persepsi yang kadang kala betul tetapi selalunya kita tersasar.

Usaha Pak Lah membenteras rasuah sejak beliau mengambil alih pemerintahan negara ini sehingga hari ini pun amat sukar untuk menentukan ianya ikhlas atau ada agenda-agenda yang tersembunyi. Ianya hanya satu andaian. seperti dalam tulisan Datuk ' Artikel ini seolah-olah membuktikan bahawa kenyataan-kenyataan Abdullah mengenai rasuah bukannya benar-benar untuk membanteras rasuah secara ikhlas dan jujur. Tetapi, seolah-olah mempunyai sesuatu agenda yang tersembunyi dan tersendiri.

Bagi saya sebagai orang kampung yang selalunya lurus bendul, teringat kata-kata Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Ahmad Said Hamdan dalam temuramah dengan wartawan TV3 baru-baru ini, ' Di zaman Pak Lah memang nampak kesungguhan dan komitmen tinggi kerajaan untuk membenteras rasuah berbanding di zaman pemerintahan perdana menteri terdahulu' Kenyataan ini boleh juga dilihat sebagai satu propaganda Pak lah seperti mana tulisan Datuk, ' Saya berpendapat begini kerana artikel berkenaan kelihatan berlebih-lebihan sangat dalam sanjungannya kepada Abdullah mengenai usaha membanteras rasuah. Ia juga seolah-olah mahu memberikan suatu mesej bahawa ada sesuatu yang tersirat di sebalik usaha Abdullah memerangi rasuah.' Tambahan pula Ketua Pengarah BPR itu adalah orang Kepala Batas memungkin banyak kemungkinan yang tidak pasti.

Kalau kita sebagai rakyat hanya berfikir tentang persepsi, dan andaian sehingga yang fakta menjadi palsu dan sebaliknya maka amatlah sukar bagi mana-mana pemimpin atau kerajaan untuk membuat sesuatu dasar. Masalah rakyat Malaysia sekarang adalah terlalu banyak dimomokkan dengan persepsi-persepsi dan andaian-andaian. Rakyat Malaysia terlalu banyak 'berpolitik' sehingga kita kadang-kadang lupa untuk menyumbang. Terlupa untuk melibatkan diri atau tidak ambil pusing langsung malahan kita mengharapkan usaha-usaha itu akan gagal. Semuanya ini memang telah terserap di dalam hati dan minda lantaran kita benci dan tidak suka kepada Pak Lah.

Bagi saya Pak Lah juga gagal membenteras rasuah seperti mana pemimpin-pemimpin dan kabinetnya yang terdahulu. Malah semakin merisaukan seperti mana tulisan Ku Seman Ku Hussein dalam tulisannya bertajuk 'Analogi akar, pokok dan rasuah' dalam Utusan Malaysia 19/08/2007. Beliau menyatakan ' HASIL kaji selidik sebuah universiti tempatan tahun 2003 menunjukkan 30.5 peratus pelajar universiti sanggup menerima rasuah sekiranya ada peluang. Kita boleh saja tidak mempercayai hasil kaji selidik ini tetapi tidak boleh sama sekali memandang remeh tentang kecenderungan yang dicatatkan dalam kaji selidik tersebut.'

'Istilah rasuah dan perbuatan rasuah bukan perkara baru di negara ini. Tetapi yang barunya apabila generasi yang akan keluar sebagai penggerak dan pemimpin di sektor swasta dan awam mengaku sanggup menerima rasuah.'

Tulisan ini ditulis ketika Pak Lah baru saja menjadi Perdana Menteri. Namun tahun 2008 seperti mana tulisan Datuk dalam siri 2, ' Saya harap para pembaca akan ambil ingatan terhadap persoalan di atas kerana mutakhir ini (2008), salah satu masalah utama yang dikatakan menghantui kepimpinan Abdullah adalah masalah rasuah, salahguna kuasa, kronisme dan neopotisme.' Jadi wajarkah kita meletakkan kelemahan membenteras rasuah ini ke atas batu jemala pak Lah seorang jika berdasarkan kajian yang disebutkan tadi.

Malaysia bukan seperti Thailand atau Singapura yang menggunakan penguatkuasaan undang-undang untuk melaksanakan sesuatu dasar. Prinsip dan kaedah negara kita adalah melalui pendidikan yang boleh menimbulkan kesedaran kepada rakyat disamping penguatkuasaan yang tidak serius. Kaedah ini lah yang diguna pakai oleh semua pemimpin kita dari zaman Tunku hinggalah ke zaman Pak Lah. Sebab itulah kita gagal. Kerajaan berusaha tetapi tidak serius.
Apabila rasuah dianggap sebagai upah, yang memberi atau menerima tidak berasa bersalah apa lagi perbuatan itu mendatangkan keuntungan. Pihak yang menolong sesuatu perkara menerima upah sementara pihak yang ditolong memberi upah.

Kita perlu serius memahami hasil kaji selidik di atas sebelum menjadi begitu defensif atau sinikal terhadap gejala rasuah yang meletakkan Malaysia tangga ke-40 dari 163 dalam indeks Transparency International (TI) tahun 2006. Golongan pelajar barangkali memahami rasuah dari persekitaran mereka bahawa perbuatan ini bukanlah suatu yang luar biasa.

Statistik 30.5 peratus yang sanggup menerima rasuah itu tidak sepatutnya membuatkan kita marah, kecewa dan hilang punca untuk melihat positifnya. Kajian itu dengan sendirinya memberikan satu isyarat bahawa memerangi rasuah bukan saja di sektor awam dan swasta tetapi kalangan yang bakal memenuhi keperluan dua sektor tersebut.

'Peperangan' terhadap rasuah akan diwariskan kepada bakal perdana menteri yang akan datang. Jika pemimpin berkenaan bercakap secara lantang dan bertindak secara aggeresif adakah kita masih lagi berfikir ianya sesuatu yang ikhlas atau ada agenda yang tersembunyi?

Berita dari gunung said...

Rasuah yang sering digambarkan sangat jijik ini, jika dalam bisnes ia merupakan prerequisite atau prasyarat.

Istilah umum "no money no talk". Dalam bisnes, ada column untuk "entertainment" di buku akaun supaya semua belanja ke arah itu senang dikira dan boleh dituntut.

Umpama grease untuk melegakan mekanisma bisnes. Kereta perlu ganti minyak selinder selalu, setiap 10,000km dengan fully synthetic engine oil. Dunia ini ada kesamaan dalam banyak hal.

Untuk dapatkan bisnes, dapatkan loan SME, untuk clear itu dan ini, untuk tapak politik, semuanya perlu sedikit lobbying. Memangpun, masakan duduk diam-diam boleh dapatkan apa yang kita idam!

Tetapi bukan semua rasuah berbentuk wang. Kuasa yang disalahguna adalah manifestasi RASUAH yang sangat keji. Itu lebih buruk.

Bagi mereka yang cekap, rasuah sering kekal tersimpan dalam fail minda seperti dalam movie QUANTUM OF SOLACE, James Bond. Itu adalah fail yang tidak boleh dibuka-buka.

Dimanakah harus perang rasuah ini bermula. Atau "kepimpinan melalui teladan" perlu jadi gagasan penting untuk menolak segala-galanya kedepan. Itu untuk Abdullah fikirkan.