Tuesday, December 16, 2008

SIRI AKHIR: PRK KUALA TERENGGANU: JONG PECAH, YU KENYANG, MUNGKINKAH RIBUT BERHENTI MELANDA?


Ruhanie Ahmad

Di samping soal-soal kedudukan UMNO dan calon yang akan dipertandingkan dalam PRK Parlimen Kuala Terengganu yang dihuraikan dalam siri satu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi perlu insaf bahawa BN yang memenangi Parlimen Kuala Terengganu dalam PRU12 adalah BN yang tidak menghadapi konflik terbuka dengan MCA dan Gerakan. Sebaliknya, BN yang akan mengendalikan PRK Kuala Terenggani kali ini adalah BN yang sedang berkocak dengan ribut dalam cawan yang ditimbulkan oleh MCA dan Gerakan.

Sekali lagi, adakah Abdullah lupa akan hakikat ini bila beliau menyatakan bahawa “kita telah menang dulu dan saya tidak melihat kenapa kita tidak boleh menang sekali lagi.”

Bukankah benar bahawa jumlah pengundi keturunan Cina dalam Parlimen Kuala Terengganu adalah yang terbesar di negeri itu?

Jadi, apakah ribut dalam cawan BN ini akan menjejaskan prestasi BN dalam PRK Parlimen Kuala Terengganu? Dan, apakah pula corak undi pengundi Cina dalam PRK ini?

Oleh itu, sudahkah Abdullah membuat kajian “kekuatan dan kelemahan” BN dalam konstituensi Parlimen Kuala Terengganu sebelum beliau berkata seperti di atas? Adakah wajar membuat kenyataan yang optimis seperti itu tanpa mengambil kira masalah kesetiakawanan di kalangan komponen BN mutakhir ini?

Buat ketika ini BN masih mempunyai masa untuk mengkaji seluruh faktor di atas bagi memastikan kemenangannya dalam PRK Parlimen Kuala Terengganu kira-kira sebulan dari sekarang.

Ini kerana faktor calon, kekuatan UMNO serta kesetiakawanan BN mutakhir adalah kritikal kepada kemenangannya kali ini.

Pada waktu yang sama, pastikanlah tidak akan wujud banyak sangat “kepala” untuk mengendalikan PRK berkenaan. Jika Datuk Seri Najib Tun Razak yang dipertanggungjawabkan sepenuhnya, berilah beliau mandat sepenuh-penuhnya.

Pihak Perhubungan UMNO Terengganu wajar mengiktiraf mandat ini. Dan, janganlah ulangi gelagat di Permatang Pauh di mana wujud pula pihak yang bertindak membelakangi Najib kerana kononnya dia orang kepercayaan Abdullah.

Pada ketika ini Najib kelihatan bertindak atas landasan psikologi yang betul. Beliau mengajak seluruh jentera BN berusaha memastikan kemenangan BN dalam PRK ini semata-mata kerana kejayaan BN “merupakan titik permulaan kebangkitan UMNO dan BN” selepas kekalahan dalam PRK Parlimen Permatang Pauh dan sesudah keputusan PRU12 menyaksikan Kerajaan Negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor jatuh ke tangan PR.

Kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, bahawa kemenangan BN dalam PRK Parlimen Kuala Terengganu “bakal menjadi hadiah paling istimewa” kepada Abdullah dan Najib tidaklah wajar diulangi.

Kenyataan seperti ini negatif kesannya. Kepimpinan Abdullah yang terbukti sudah disanggah menerusi PRU12 tidak wajar dijadikan poendorong utama untuk memenangi PRK Parlimen Kuala Terengganu. Kepimpinan Najib yang hanya bermula Mac 2009 juga tidak wajar diperbesar-besarkan.

Ini kerana soal pokoknya di sini bukannya Abdullah atau Najib. Soal pokoknya adalah kelangsungan atau survival BN di masa depan di mana PRK Parlimen Kuala Terengganu akan jadi indikator awalnya.

Jadi, oleh kerana PRK ini berlaku sewaktu pelbagai pihak berkempen memenangi jawatan-jawatan tinggi UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO Mac 2009, jangan sekali-kali diizinkan PRK ini dicorak dan diwarnai oleh karenah serta gelagat peribadi pihak-pihak terbabit sehingga matlamat memenangi PRK ini jadi agenda kedua.

Seterusnya, BN tidak seharusnya membesar-besarkan soal peruntukan pembangunan yang akan dibawa ke Terengganu di hari muka.

Contohnya, kini berpuluh billion wang ringgit dijanjikan akan dicurahkan ke Terengganu. Terbaru sekali adalah pengumuman pada 13 Disember 2008, bahawa Kerajaan Persekutuan pada prinsipnya meluluskan penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) untuk mengendalikan pelaburan wang royalti minyak di Terengganu dengan dana permulaan bernilai RM10 bilion.

Menurut Najib, penubuhan TIA yang merupakan cadangan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, sudah pun dipersetujui oleh Kerajaan Persekutuan Jumaat lalu.

Penubuhan TIA pastinya dialu-alukan oleh seluruh rakyat jelata Terengganu. Ia melambangkan keprihatinan Tuanku Mizan selaku Yang di-pertuan Agong dan Sultan Terengganu yang amat berjiwa rakyat.

Bagaimanapun, jika TIA dijadikan bahan kempen yang berlebih-lebihan, adalah dikhuatirinya ianya akan jadi “blowback” atau senjata makan tuan kepada BN.

Ini kerana BN pastinya tidak mahu menabur berjuta-juta janji membabitkan wang ringgit. BN juga pasti tidak bercadang untuk berjuang seperti kata pepatah Melayu, jong pecah, yu kenyang, tetapi ribut akan terus melanda sehingga mungkin menyebabkan BN karam dan lemas dalam PRK Parlimen Kuala Terengganu.

Kepada seluruh jentera BN, insafilah bahawa kemenangan PRK Parlimen Kuala Terengganu membabitkan soal hidup dan matinya BN dalam PRU13. Selamat berjuang kepada anda untuk memenangi PRK ini dengan cemerlang!

4 comments:

Mika Angel-0 said...

Sdr Ruhanie Ahmad,

kini berpuluh billion wang ringgit dijanjikan akan dicurahkan ke Terengganu. Terbaru sekali adalah pengumuman pada 13 Disember 2008, bahawa Kerajaan Persekutuan pada prinsipnya meluluskan penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) untuk mengendalikan pelaburan wang royalti minyak di Terengganu dengan dana permulaan bernilai RM10 bilion.

Menurut Najib, penubuhan TIA yang merupakan cadangan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, sudah pun dipersetujui oleh Kerajaan Persekutuan Jumaat lalu.


Who is the best muslim, malay, malaysian stock picker and the best asset fund manager? The Wars Of The Funds Managers is what I call it, Kuda Kepang.

There are thousands out there.
There are a few Sovereign Wealth Funds. No match for the Fed-Bank of England-EU lead managers, are the muslims? What do you think, Kuda Kepang?

I prefer Tun Mahathir to lead the march if not the charge.
Blue Ocean Barzakh
(the meeting of two seas)

CINTA suci abadi said...

Kata Datuk "...Pihak Perhubungan UMNO Terengganu wajar mengiktiraf mandat ini. Dan, janganlah ulangi gelagat di Permatang Pauh di mana wujud pula pihak yang bertindak membelakangi Najib kerana kononnya dia orang kepercayaan Abdullah."
Ini tetap akan berlaku...ada patrik kat Ganu...
Kat Amerika Obama di panggil President-Elect pasal bila tiba masa nya dia akan akan sumpah jadi President ganti Bush yang baru dapat sepasang kasut dari rakyat Iraq.hehehe
Tapi kat Malaysia Najib di panggil PM -elek ..pasal dia belum tentu boleh jadi PM bila tiba masanya..hehehe..elek kata samy

Anak Pantai Merdeka said...

Salam Datuk,

Dalam kempen PRK Kuala Terengganu nanti pelbagai peringkat ahli dalam UMNO akan turun bantu calon berkempen terutama yang bertanding Mac 2009 nanti. Biasanya semasa PRK bantuan mencurah-curah, sebaiknya biarlah bantuan sampai kesasaran bukan tersasar.

Bagi saya Datuk Mohd Ali Rustam tak sesuai jadi pemimpin no. 2 negara, asyik nak bodek saja. Kalau Datuk Mohd Ali jadi pemimpin no. 2, tak tahulah apa nak jadi pada Malaysia nie.

BN mesti menang di KT, kalau kalah imej Datuk Najib tercalar, PM boleh cuci tangan. Cuma jangan jadi kempen di KT sebagai kempen untuk Mac 2009 sudahlah!!!!

bat8 said...

Dato

Kempen UMNO dah bermula. Kali ni peniaga getah dari rantau panjang akan jadi towkey getah selepas pilihanraya lepas.

Ini berdasarkan apa yang saya diberitahu semasa balik ke kampong sempena hari raya korban. Calon AKIM di pmtg pauh sebenarnya adalah peniaga kaset kecil-kecilan disebuah kampong ditanah merah. Selepas pilihanraya dia dah beli sebuah pajero baru beb....

Jadi kempen UMNO untuk pilihanraya kecil KT kali ini tidak ada bezanya dengan kempen kat pmtg pauh tempohari. Yang pasti wang akan ditabur bagaikan daun pokok.

Sama-sama lah kita tengok nanti.