Wednesday, October 22, 2008

MASA DEPAN KARYAWAN DAN PRIBUMI MALAYSIA

Hari ini saya menghadiri dua peristiwa bersejarah. Pada sebelah tengahari Presiden Penulis Politik Malaysia, Tuan Syed Hussein Al-Attas @ Pak Habib dan geologis, Datuk Aziz Chemor, menganjurkan satu majlis gencatan senjata di kalangan penulis politik Malaysia – ketepikan idola siasah dan ketepikan ideologi politik masing-masing – semata-mata untuk mencari sedetik ruang yang singkat bagi merenungkan masa depan para karyawan, bloggers, sasterawan dan penulis tanahair yang tidak terikat dengan media arus perdana.

Sambil makan-makan, kami pun bersembang pasal diri manusia sejenis kami. Di sana ada Pak Ya (Yahya Ismail), ada Yassin Salleh (penyair dan pengarah filem), ada Darmala NS (penyair dan penlis), ada MSO (wartawan/blogger Mohamad Sayuti Omar), ada abang Zek (penulis), ada Mao (blogger bertopeng), ada Datuk Kamal Amir (blogger) dan ramai lagi, termasuk wakil Shaw Brothers (SB).

Dalam sembang punya sembang, tercetuslah beberapa gagasan spontan. Satu: para karyawan-sasterawan-penulis-bloggers wajar ada wakilnya di Dewan Negara. Dua: kelompok insan ini wajar diberi pengiktirafan negara dan negeri dengan pelbagai darjah kebesaran. Tiga: merangka satu resolusi khas untuk diketengahkan kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Seluruh gagasan ini akan dituntas dan dirincikan di satu pertemuan susulan insan-insan karyawan ini di kediaman (taman) Pak Habib di Janda Baik, pada 26 Oktober 2008, dari 10 pagi hingga 4 petang. (Pak Habib mempersilakan kelompok karyawan lainnya semoga sudi dan berminat menyertai sesi penjanaan minda berkenaan).

Saya sifatkan pertemuan itu bersejarah kerana para karyawan, penulis, sasterawan dan bloggers jarang-jarang sekali mempunyai ruang dan waktu untuk memikirkan nasib dan masa depan diri sendiri. Selama-lamanya, mereka sibuk mencerna minda dan mengasah pena demi agama, bangsa dan tanah air. Selama-lamanya mereka mengabdikan diri kepada perjuangan yang tidak pernah selesai. Tetapi, mereka hanya disifatkan sebagai lilin yang membakar diri – memberikan cahaya kepada masyarakat tanpa meraih sebarang pangkat, darjat, upah dan ganjaran!

Lantaran itu, gagasan satu dan dua seperti di atas moga-moga mendapat sokongan massa. Gagasan ini disuarakan dengan rendah hati yang amat sangat. Gagasan ini dicetuskan dengan keinsafan semoga para karyawan, bloggers, penulis dan wartawan di luar kerangka media perdana juga perlu dimartabatkan dengan sewajar-sewajarnya.

Pada sebelah petang pula saya menghadiri majlis pelancaran lamanweb PERKASA – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia – oleh Yang Amat Berbahagia Jen. (B) Tun Ibrahim Ismail, di Kelab Sultan Sulaiman (KSS), Kuala Lumpur.

PERKASA bukan parti politik dan tidak diwujudkan oleh kelompok manusia kecewa baik dalam siasah atau dalam pentadbiran kerajaan. PERKASA adalah NGO bebas dan tidak mengharapkan apa-apa bantuan kewangan dari kerajaan.

Sebaliknya, PERKASA adalah NGO yang melangkaui batas ideologi siasah, didukung oleh kelompok manusia yang sanggup mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dari sebarang ancaman, serangan dan kecaman. Perjuangan PERKASA dilaksanakan secara non-confrontational, berhemah, berdisiplin dan menerusi pendekatan yang bijaksana. Butiran penuh PERKASA boleh diperolehi daripada http://pribumiperkasa.org

Majlis itu bersejarah kerana di KSS bermulanya sejarah perjuangan memerdekakan negara, di KSS jugalah PERKASA memulakan langkah perjuangannya mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi sumber dan paksi kepada Malaysia yang berdaulat dan merdeka.

PERKASA memilih arah perjuangan ini kerana adalah tidak rasis untuk mempertahankan perlembagaan negara, khususnya Fasal 152 dab 153 yang membabitkan pribumi serta keindukan dan keistimewaannya.

Pada ketika ini, PERKASA diterajui kepimpinannya oleh Dato’ Ibrahim Ali selaku presiden dan Dato’ Fuad Hasaan selaku timbalan presiden. Tiga Naib Presidennya adalah dari Kedah, Wilayah Persekutuan dan Sabah.

Keahlian PERKASA terbuka kepada seluruh pribumi Malaysia berumur 18 tahun ke atas, termasuk di Sabah dan Sarawak. Pendaftaran keahlian boleh juga dilakukan secara on-line. – Ruhanie Ahmad

9 comments:

CINTA suci abadi said...

assalamualaikum Datuk dan Karyawan semua...
Hairan...kata semua berjuang dengan iklas untuk Ugama Bangsa Negara..tapi akhirnya kesitu juga semuanya...pangkat pengiktirafan anugerah dan gelaran..
Tiada beza dengan orang politik...
Nak Senator juga? Jins mewakili siapa?...Wakil dalam dewan? kalau macam itu senator tu mesti di bagi bagi kan..wakil petani,peladang penjaga kambing, lembu Nelayan, jurutera akitek penulis pelukis pelakun orang cacat, penarik beca pemandu bus, pilot,pelajar,guru ustaz dan lain lain ..bukan begitu?..wassalam

luaskanmata said...

Amww Datuk:

Saya nak maklumkan yang tawaran Datuk untuk bertanding MT UMNO disiarkan semula di blog saya.

Semoga sinar Islam akan menerobos ke segenap pelusuk di tanahair tercinta.

Salam jihad.

donmny said...

TUAN

KENAPA PENCALONAN BAHAGIAN TIDAK DIGUNAPAKAI SEBAGAI KEPUTUSAN MUKTAMAD

Sekarang demam pemilihan dalam umno telah hampir 'kebah'. Setiap bahagian umno sibuk dengan pencalonan masing-masing dalam proses mancari pemimpin mereka yang paling 'afdal' yang dirasakan paling sesuai bagi memimpin mereka.

Persoalannya ialah, adakah suara setiap bahagian ini akan selari dan seiring dengan pemilihan bulan Mac yang akan datang. Kenapakah pencalonan bahagian ini tidak digunapakai sebagai keputusan muktamad pemilihan pimpinan umno. Manakala perhimpunan bulan mac ini eloklah hanya sekadar perhimpunan untuk meraikan mereka yang telah dipilih.

Bukankah pencalonan bahagian ini merupakan suara akar umbi yang paling tepat dan merupakan gambaran yang diinginkan akar umbi. Sekiranya ada usaha melobi melalui bahagian tidak kiralah samada melalui politik wang, janji projek dan sebagainya, dirasakan keberkesanannya agak terbatas. Ini kerana skopnya yang besar dan luas meliputi seluruh bahagian diseluruh negeri.

Terdapatnya banyak laporan pencalonan bahagian dimana suara pimpinan bahagian dan ahli-ahlinya tidak selari, tetapi akhirnya suara ahli yang dipilih. Masalahnya ialah apabila pengundian dibuat pada perhimpunan Mac nanti, perwakilan bahagian yang beberapa orang itulah yang akan membuat pengundian semula. Pada peringkat inilah usaha melobi ataupun politik wang oleh calon jika dilakukan akan berjaya dengan cemerlang dan gemilangnya.

Ini kerana perwakilan yang jumlahnya lebih kurang 2500 orang inilah akan menentukan pimpinan parti. Seolah-olahnya pencalonan bahagian tidak berguna. Bukankah pencalonan bahagian adalah sia-sia dan membazir masa jika suara perwakilan pada Mac nanti tidak sama dan selari dengan pencalonan akar umbi.

Satu lagi yang dirasakan perlu diubah ialah jarak masa antara mesyuarat bagi pancalonan setiap bahagian ini tidak boleh terlalu jauh. Paling molek sekiranya dijalankan serentak. Ini bagi mengelakkan keputusan pencalonan satu-satu bahagian digunakan sebagai 'inspirasi' pencalonan bahagian lain. Ini terutamanya pencalonan bahagian presiden dan timbalan presiden yang bakal digunakan oleh bahagian lain atas alasan selari dengan pucuk pimpinan. Kaedah dan caranya boleh diperhalusi kemudian.

Pencalonan oleh bahagian ini menjadi sangat penting apabila sistem kuota mula diperkenalkan sejak peristiwa pemilihan tahun 1987 dulu. Dirasakan sistem ini elok, tetapi haruslah diperkemaskan sebagai pemilihan oleh bahagian tetapi bukannya pencalonan untuk layak bertanding sahaja. Pencalonan oleh bahagian eloklah digunapakai sebagai proses pemilihan yang muktamad.

Lihatlah pada peristiwa tahun 1987 dimana Dr Mahathir menerima pencalonan lebih 2/3 daripada bahagian. Lojiknya tentulah beliau tidak ada aral yang melintang lagi. Tetapi bila pemilihan dibuat seperti yang termaklum Dr Mahathir nyaris-nyaris tewas tersungkur.

Bagi kali ini pemilihan pimpinan ketua pemuda paling sengit terutamanya antara Khairy vs Mukhriz. Gambaran awal menunjukkan Mukhriz ada 'dihati' ahli pemuda. Tapi yakinlah Khairy tidak akan berpeluk tubuh dengan senyuman manja dengan 'signal' yang pemuda bahagian berikan. Tentunya usaha melobi akan dilakukan dengan apa cara sekalipun.

Percayalah kita bahawa sistem yang diamalkan ini sebenarnya menyemarakkan politik wang menjadi lebih membarah dan bernanah. Yang menang pencalonan akan berusaha untuk menterjemahkan pencalonan itu kepada kemenangan sebenar dengan apa cara sekalipun. Yang tewas pencalonan, tapi layak bertanding juga akan berusaha dengan apa cara sekalipun, supaya kemenangan dipihaknya.

Semua dan segalanya ini apa lagi kalau tidak dengan wang. Makanya politik wang akan dapat dihapuskan. Jawapannya tentulah sangat-sangat mustahil, akan hanya merupakan retorik sampai bila-bila.

Eloklah pemilihan dua kali ini yang tidak berapa cerdik ataupun dalam bahasa yang mudahnya 'bodoh' ini dihentikan supaya matlamat perjuangan umno kembali dilandasannya seperti yang difalsafahkan dalam perlembagaan perjuangannya demi kelangsungan umat melayu seperti yang dinyanyikan pimpinan atasan.

Posted by donmny

msleepyhead said...

if it's already enshrined in the document, why does it need defending?

azienmat said...

Sekarang musim orang dah rimas dengan gelaran datuk ni, kalau boleh nak kurangkan gelaran yang membingungkan ini. Ada pulak kelompok orang yang masih terhegeh-hegeh nak minta darjah anugerah gelaran semua ini. Orang seni, orang sukan, orang karyawan tak membawa apa sumbangan yang membanggakan untuk negara ini, sedarlah sikit. Lihatlah pencapaian sukan, setakat yang tu jugak, lihat pencapaian filem, tak kemana. Muzik lagu lebih memalukan. Berpesatuan bukan main hebat, hasilnya hancur, ini antara golongan yang tak boleh harap, tak boleh pakai. Ghentikanlah.. hentikan lobi-melobi benda yang mengarut ini.

Unknown said...

Dengan penuh rendah diri, sepatutnya Majlis Raja-raja (bukan setakat dalam konteks Raja-raja Melayu tetapi sebagai payung segala warga di Malaysia) menekankan Agama Islam sebagai teras utama dan kemudiannya diikuti dengan agenda-agenda lain.

Rukunegara pertama bukankah Kepercayaan kepada Tuhan?

Wassalam.

kerangka_umno said...

"Keahlian PERKASA terbuka kepada seluruh pribumi Malaysia berumur 18 tahun ke atas, termasuk di Sabah dan Sarawak'

Datuk Ron:

Ayat diatas sering digunapakai oleh penulis, pengacara tv dan sebagainya, dan ianya adalah salah. Jika menyebut Malaysia tak perlu menambah perkataan TERMASUK SABAH DAN SARAWAK kerana kedua negeri tersebut semangnya dalam Malaysia.

Harap Maklum.

wira said...

Datuk Ron, saya amat bersetuju dengan sahabat blogger yang menyatakan tak perlu disebut 'termasuk Sabah dan Sarawak'. Sememangnya Malaysia itu merangkumi semua 13 negeri tanpa kecuali.

Stigma 'termasuk Sabah dan Sarawak' ini harus dikikis kerana sekarang telah lebih 50 tahun merdeka. Zaman dulu-dulu generasi lama mungkin susah hendak hilangkan ungkapan ini. Tetapi kita harus tidak gunapakai ungkapan ini supaya nampak perubahan dalaman kearah integrasi.

Sekian, Datuk Ron.

CUCU TOK KEDU said...

Dato Ron yang dihurmati!

Ubntuk apa ke Dewan Negara? Untuk dicucuk hidung?
Dah lain nampaknya cita-cita anda semua? Kalau sesiapa berhajat nak jadi Wakil Rakyat amatlah baiknya ceburi parti politik secara bersungguh-sungguh, bertanding dalam Pilihanraya! Menang! Maka di situ barulah ada satu perjuangan yang besar dan penuh erti!

Kalau setakat lantik tak payahlah, kita semua dah faham dah tugas hidung ditindik.

Kita lihat sejarah Dato Ron tika mewakili Parit Sulong dulu. Dia menang dalam pilihanraya atas kewibawaan politiknya. Dia mampu melaksana perjuangan bukan kerana gaji!

Lupakanlah hajat itu! Kerajaan UMNO/BN tak pandang pun blogger dan karyawan ni kecuali yang membodek membuta tuli mereka!

http://rp-semantan.blogspot.com
CUCU TOK KEDU